Category: Semasa

  • Polis Thailand, Malaysia lumpuhkan sindiket pemerdagangan orang

    Polis Thailand, Malaysia lumpuhkan sindiket pemerdagangan orang

    POLIS Malaysia dan Tailand melumpuhkan sindiket pemerdagangan orang dan menyelamatkan empat mangsa yang ditahan di Malaysia.

    Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat Leftenan Jeneral Jirabhop Bhuridej berkata empat wanita, dua warga Thailand dan dua warga Indonesia, diselamatkan di sebuah hotel di Selangor pada Sabtu.

    Beliau berkata polis Thailand menahan dua lelaki, seorang di Chachoengsao dan yang kedua di Chonburi pada Sabtu manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia menangkap tiga wanita di Selangor pada hari yang sama.

    “Kami sedang menyiasat lebih lanjut sama ada lebih ramai yang terlibat,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berterima kasih kepada polis Malaysia atas bantuan mereka dalam menyelesaikan kes itu.

    Dua lelaki yang ditahan di Thailand kini dalam tahanan polis.

    Mereka berdepan sembilan pertuduhan termasuk pemerdagangan orang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

    Jirabhop berkata penahanan itu susulan siasatan berbulan-bulan selepas polis Thailand dan Malaysia menyelamatkan seorang gadis berusia 13 tahun yang dipaksa melacur di sebuah hotel di Cheras, Kuala Lumpur pada Julai.

    Katanya gadis muda itu dihubungi seorang lelaki di media sosial memintanya untuk bekerja di rumah urut di Malaysia dengan gaji antara 20,000 dan 200,000 baht sebulan.

    Gadis berkenaan menerima tawaran itu dan menyelinap masuk ke Malaysia secara haram di Sungai Kolok di Narathiwat.

    Beliau berkata gadis itu kemudiannya diselamatkan dan dihantar pulang ke Thailand pada Julai selepas keluarganya membuat laporan polis. – BERNAMA 

  • 30 murid, 10 guru selisih maut bas rombongan terbabas ke ladang kelapa sawit

    30 murid, 10 guru selisih maut bas rombongan terbabas ke ladang kelapa sawit

    SERAMAI 30 murid dan 10 guru dari sebuah sekolah rendah di Pasir Puteh berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki terbabas di Kilometer (km) 44 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pukul 6.15 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, bas berkenaan dalam perjalanan dari Zoo Negara, Kuala Lumpur untuk pulang ke Pasir Puteh.

    “Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila stereng bas berkenaan tidak berfungsi dan menyebabkan pemandu gagal mengawal sebelum terbabas ke semak ladang kelapa sawit.

    “Semua penumpang hanya cedera ringan. Semua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk rawatan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

  • Bersatu Tasek Gelugor sokong Wan Saiful jadi calon Parlimen berkenaan

    Bersatu Tasek Gelugor sokong Wan Saiful jadi calon Parlimen berkenaan

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tasek Gelugor menyokong penuh cadangan menamakan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai calon bagi kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bersatu Bahagian Tasek Gelugor dalam satu kenyataan memberitahu, satu perbincangan telah diadakan bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Oktober lalu susulan laporan akhbar mengenai kemungkinan Wan Saiful akan bertanding di situ.

    Katanya, dalam pertemuan di kediaman Muhyiddin itu, mereka telah menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan memberi laluan kepada bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu sebagai calon bagi mewakili PN untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

    “Bersatu Tasek Gelugor pada awalnya menamakan Ketua Bahagian, Azmi Alang untuk menjadi calon.

    “Namun, kami bersedia memberi laluan dan menyokong Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membuka ruang bagi tokoh muda peringkat nasional yang berpotensi menjadi Menteri Kabinet untuk membawa kemakmuran kepada semua rakyat Tasek Gelugor,” katanya.

    Tambahnya, Azmi juga menunjukkan jiwa besar kerana bukan sahaja menyokong sepenuhnya pencalonan Wan Saiful, tetapi akan turut bekerja untuk memenangkan calon yang dipilih itu.

    Sehubungan itu tambahnya, Bersatu Tasek Gelugor berharap PN Pusat akan memberi perhatian kepada pandangan akar umbi di peringkat bahagian tersebut.

  • Bekas ahli politik di Pulau Pinang ditahan kes pemerdagangan orang

    Bekas ahli politik di Pulau Pinang ditahan kes pemerdagangan orang

    SEORANG bekas ahli politik di Pulau Pinang merupakan antara 11 individu yang ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan orang membabitkan penghuni pusat pemulihan dadah dan alkohol.

    Kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Selatan (SPS) dalam operasi bermula Khamis lalu hingga semalam.

    Ahli politik bergelar Datuk berusia 50-an yang juga pengasas pusat pemulihan dadah dan alkohol di daerah Timur Laut dan SPS itu ditahan di rumahnya kira-kira pukul 8.25 malam semalam.

    Penghuni-penghuni yang menghuni pusat pemulihan dadah dan alkohol itu dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh apabila dipaksa bekerja sebagai di pusat cuci kereta, kedai makan, kedai kayu dan kedai servis pendingin hawa.

    Namun mereka didakwa tidak dibayar gaji atau diberikan cuti sepanjang tempoh bekerja, malah turut dipukul dengan rotan serta diikat dengan rantai besi sekiranya enggan mengikut arahan.

    Difahamkan, ahli politik berkenaan pernah bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Pulau Pinang namun tewas.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, seramai 10 lagi suspek yang ditahan berusia antara 22 dan 60 tahun termasuk dua wanita.

    Jelas beliau, siasatan mendapati pusat pemulihan itu telah dibuka sejak dua tahun lalu namun tidak mempunyai permit yang sah daripada mana-mana agensi.

    “Mangsa terdiri daripada mereka yang mendapatkan rawatan di pusat berkenaan kerana ketagihan dadah dan alkohol dengan ada yang membayar wang antara RM1,200 dan RM1,500 sebulan.

    “Hasil pemeriksaan fizikal ke atas mangsa juga mendapati kebanyakan mereka mempunyai kesan kecederaan akibat dipukul,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut beliau, dengan penahanan suspek-suspek berkenaan polis berjaya menyelamatkan seramai 13 mangsa yang kesemuanya lelaki berusia antara 22 hingga 62 tahun.

    Tambahnya, polis turut merampas beberapa barangan antaranya sebuah komputer riba, sembilan buah telefon bimbit, dua utas rantai besi, sebatang paip PVC dan dua batang besi penyambung katil.

    Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda.

  • Negara sepatutnya dalam mod krisis, kata Muhyiddin

    Negara sepatutnya dalam mod krisis, kata Muhyiddin

    NEGARA perlu diletakkan dalam mod krisis sebagai persediaan untuk menghadapi keadaan ekonomi dunia yang kritikal ketika ini, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, mod krisis itu secara tidak langsung membolehkan penyelesaian masalah secara ‘di luar kotak’ dapat dilakukan.

    Jelas beliau, tekanan ekonomi dunia yang secara tidak langsung memberi kesan kepada rakyat dan negara ketika ini sememangnya memerlukan penyelesaian segera.

    “Bila kita berada dalam mod krisis, cara pengurusan tidak sama, tidak lagi mengikut prosedur lama, ada beberapa perkara yang kita terpaksa pinda.

    “Sebagai contoh, jika rakyat ingin melakukan pinjaman, biasanya ambil masa enam bulan. Tempoh ini sangat lama.

    “Bantuan-bantuan secara langsung sepatutnya disegerakan kerana jika tidak, tiada makanan atas meja, rakyat mati,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan UtusanTV.

    Untuk rekod, Muhyiddin merupakan Perdana Menteri Ke-8 bermula 1 Mac 2020 hingga 21 Ogos 2021, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu menguruskan negara dalam keadaan paling sukar, dengan krisis kesihatan global pandemik Covid-19 yang menghimpit rakyat dan menyebabkan sektor ekonomi terjejas teruk.

    Begitupun, mod krisis yang diaktifkan Muhyiddin berjaya membawa negara keluar dari kemelut tersebut dengan beberapa inisiatif pantas dirangka dan dilaksana.

    Antara inisiatif tersebut adalah dengan menubuhkan MPN, melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (MPN) dan memberi bantuan terus kepada rakyat yang terjejas.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, ramai yang tidak sedar bahawa negara ketika ini masih berada dalam situasi kritikal walaupun telah memasuki ke fasa endemik.

    Sebagai contoh, jelas beliau, adalah peratusan orang miskin yang semakin meningkat yang mana golongan B40 sudah menjadi golongan B61.

    Selain itu, Muhyiddin berkata, isu keselamatan makanan dalam negara juga perlu diberi perhatian yang mana kedudukan Malaysia ketika ini tidak begitu baik.

    Jelas beliau, Malaysia sepatutnya tidak menghadapi masalah tentang keselamatan makanan seperti yang berlaku ketika ini.

    “Tetapi kita menghadapi masalah sebab pengeluaran makanan dan sebagainya tidak mencukupi.

    “Kalau kita lihat, Singapura menduduki ranking pertama dalam Indeks Keselamatan Negara Global. Apa lebih Singapura daripada kita?

    “Tidak bermaksud yang sesebuah negara memerlukan tanah (Singapura). Tetapi negara itu boleh menjamin rakyatnya boleh makan jika berlaku krisis,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau merancang untuk menjadikan sektor pendidikan lebih maju dengan pendidikan digital sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Jelas beliau, antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah memberi guru dan murid sebuah peranti serta memastikan setiap satu keluarga untuk mempunyai satu komputer.

  • Bukan bermaksud tak peduli risiko banjir – Pemuda Pas jawab Asyraf

    Bukan bermaksud tak peduli risiko banjir – Pemuda Pas jawab Asyraf

    KESIAPSAGAAN Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah bermaksud gabungan itu tidak ambil peduli mengenai risiko bencana banjir.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PN perlu bertanding selepas Parlimen dibubarkan.

    “Dia begini bos, apabila gelanggang dibuka, takkanlah kami tidak masuk, mustahil hendak bagi menang percuma, lagipun belum tentu BN boleh menang kali ini. Soal banjir, kerajaan negeri siap sedia. Menteri Besar kami tidak bertanding pun, jangan bimbang. Soal pilihan raya, kami juga siap sedia,” kata beliau melalui Facebook miliknya hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini menempelak PN kerana dilihat lebih mengutamakan isu pilihan raya meskipun pernah menentang PRU-15 diadakan pada tahun ini.

    Ahmad Fadhli juga mengingatkan kepada anak muda membuat penentuan terbaik bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan stabil.

    ”Yang stabil sahaja tapi tidak bersih, akan menghancurkan negara. Stabil, tapi duit negara hilang, stabil tapi tanah rizab Melayu menyusut, stabil tapi kawasan Parlimen untuk negeri Melayu lebih sedikit, ini di zaman siapa? Bersih, tapi tidak stabil juga belum cukup, kita tawarkan bersih dan stabil. Jangan bimbang, kita lawan cara sihat,” katanya.

  • Bayi baru lahir ditinggalkan dalam kotak di hentian bas

    Bayi baru lahir ditinggalkan dalam kotak di hentian bas

    PENDUDUK di sekitar Jalan SB Indah 2, Seri Kembangan gempar apabila seorang bayi lelaki dipercayai dibuang di hentian bas berhampiran sebuah pangsapuri di Serdang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, bayi berkenaan dipercayai baru sahaja dilahirkan sebelum ditinggalkan di hentian bas terbabit.

    “Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima maklumat daripada MERS 999 Call Cars hari ini di mana pengadu seorang lelaki tempatan memaklumkan telah menjumpai seorang bayi.

    “Siasatan awal mendapati bayi lelaki berkenaan ditinggalkan dalam sebuah kotak berwarna coklat di hentian bas berhadapan Pangsapuri Sungai Besi Indah, Seri Kembangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, usaha mengesan individu yang meninggal bayi malang terbabit di hentian bas berkenaan sedang giat dijalankan pihaknya.

    “Usaha untuk mengesan saksi bebas serta kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran sedang dijalankan.

    “Bayi berkenaan telah dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • Mahkamah tolak saman fitnah Sultanah Terengganu terhadap Rewcastle Brown

    Mahkamah tolak saman fitnah Sultanah Terengganu terhadap Rewcastle Brown

    MAHKAMAH tinggi menolak saman fitnah yang difailkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Kien How @ Johan Abdullah berkata, kenyataan dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ bukannya fitnah.

    “Pada pendapat saya, reputasi plaintif tidak terjejas,” katanya dalam keputusan lisan yang disampaikan dalam talian petang ini, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Kenyataan yang disangkal itu berbunyi: “(Ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low) juga baik dengan pemain utama di Terengganu, isteri sultan, yang persetujuannya diperlukan untuk menubuhkan dana itu dan baginda kemudiannya mengatakan sokongannya penting untuk beliau mendapat jawatan penasihat.”

    Hakim turut memerintahkan kos sebanyak RM80,000 dibayar kepada Rewcastle Brown, penerbit Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.

  • Agong jalani prosedur, pemeriksaan kesihatan susulan di IJN

    Agong jalani prosedur, pemeriksaan kesihatan susulan di IJN

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani prosedur dan pemeriksaan kesihatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari, bermula hari ini.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata baginda akan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara setelah menjalani pemeriksaan kesihatan itu yang dijangka selesai hujung minggu ini.


    “Adalah dimaklumkan juga bahawa kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya.


    Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah dijadualkan menjalani prosedur itu pada pertengahan September lepas tetapi ditangguhkan.

    Beliau berkata penanggphan itu berikutan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke London, United Kingdom selama lima hari bermula 16 Sept lepas bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara Ratu Elizabeth II.

    “Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda menjalani prosedur tersebut serta pemeriksaan kesihatan susulan dengan lancar dan Baginda dikurniakan keaſiatan yang berpanjangan,” kata Ahmad Fadil.

  • PRU-15: Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau kerusi panas di Pulau Pinang

    PRU-15: Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau kerusi panas di Pulau Pinang

    TIGA kerusi Parlimen di Pulau Pinang iaitu masing-masing Permatang Pauh; Batu Kawan dan Balik Pulau dikenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot) sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketiga-tiga kawasan itu dikenal pasti berdasarkan insiden-insiden yang berlaku ketika PRU-14.

    Pada PRU-14 lalu jelas beliau, terdapat insiden yang mana pihak-pihak tertentu cuba menahan kenderaan polis dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) di kawasan berkenaan.

    “Sehubungan itu, kita berharap insiden seumpama itu tidak berlaku pada PRU-15 akan datang.

    ”Buat masa ini berdasarkan risikan kita juga, tidak ada maklumat yang menyatakan tempat-tempat ini akan berlaku situasi seperti itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, menjelang PRU-15 juga polis Pulau Pinang telah membahagikan penugasan pilihan raya kepada dua skop termasuk melibatkan penugasan yang dipohon oleh SPR.

    Selain itu jelas beliau, polis juga bertanggungjawab memastikan keselamatan rakyat terjamin bermula daripada tempoh penamaan calon hingga sehinggalah ketika keputusan PRU-15 diumumkan.

    Mengulas lanjut ujarnya, seramai 4,514 anggota dan pegawai polis iaitu 73.51 peratus daripada keseluruhan jumlah anggota kontinjen PDRM Pulau Pinang turut ditugaskan sepanjang PRU-15.

    ”PDRM Pulau Pinang di peringkat daerah dan kontinjen juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan perincian penugasan dengan pihak SPR.

    “Selain itu, kita juga akan mengadakan pertemuan dengan semua calon atau wakil calon PRU-15 bagi menjelaskan berhubung peraturan serta undang-undang pilihan raya yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

    Dalam masa ujar beliau, polis Pulau Pinang turut memohon bantuan Bukit Aman untuk memaklumkan sekiranya terdapat laman-laman web yang menyebarkan maklumat palsu atau melakukan provokasi.

    ”Kepada penyokong parti saya menyeru supaya berkempen dengan matang serta mengawal emosi dan mengelak daripada melakukan provokasi kepada mana-mana pihak,” katanya.