PIHAK luar tiada hak untuk memberi sebarang arahan atau cadangan kepada penyokong Pas supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali tidak layak untuk berbuat demikian kerana dia bukan pemimpin PAS.
“Bukan kerja dia (Khairuddin) untuk minta penyokong Pas undi BN, siapa dia tu?” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2021 Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.
Pada majlis itu seramai 565 pelajar menerima cenderahati dari kerajaan negeri sebanyak RM500 tiap seorang, memetik laporan Harakah Daily.
Bagaimanapun sebahagian besar penerima diwakili ibu bapa masing-masing memandangkan mereka sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
Hadir sama Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd. Adanan Hassan dan Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku lsmail.
Mohd. Amar bagaimanapun yakin penyokong Pas bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan pandangan individu daripada luar parti.
Khairuddin Ahad lalu menyaran ahli dan penyokong Pas mengundi calon BN ketika berucap pada Program Bersama Veteran UMNO di pekarangan Pejabat Adun Seberang Takir, Kuala Terengganu.
PEMBUBARAN Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan 19 November ini, mempunyai hikmah tersendiri, walaupun pada awalnya Perikatan Nasional (PN) menolak pilihan raya yang diadakan pada musim tengkujuh.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hikmah PRU kali ini adalah bagi membolehkan rakyat memilih semula sebuah kerajaan yang belum selesai melaksanakan tanggungjawabnya dalam membantu mereka dan memulihkan kembali ekonomi negara.
Beliau berkata pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang amat besar kepada kehidupan rakyat dan negara yang sehingga sekarang belum dapat diselesaikan lagi, khususnya dalam soal untuk mengembalikan semula kehidupan, pekerjaan dan pendapatan.
“Covid-19, jika kita tidak jaga dan pelihara diri kita… mungkin akan menghadapi masalah dan mungkin juga akan membawa maut kepada kita… dan itu adalah kesan pada masalah berkenaan.
“Kesan keduanya ialah kerana kita sekat pergerakan rakyat dan tak boleh keluar ke mana-mana (untuk menghalang jangkitan) sehingga kita tak boleh menjalankan urusan harian seperti biasa.
“Berniaga tak boleh… buka kilang lagi tak boleh… buat apa urusan-urusan di luar, tak dibenarkan. Dan kesannya kepada kehidupan kita adalah amat besar sekali… antaranya ialah soal nak kembalikan semula kehidupan kita… ada pekerjaan, ada pendapatan… semua perniagaan boleh diteruskan dan sebagainya sebagaimana yang telah pun kita lihat pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Jelajah Prihatin PN Parlimen Hulu Terengganu, malam tadi.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata segala usaha dan tugas yang dimulakan oleh kerajaan PN dalam menangani pandemik Covid-19 sebenarnya belum selesai, walaupun kehidupan rakyat sudah mula kembali pulih sedikit demi sedikit.
“Walaupun saya telah mulakan (usaha membantu rakyat dan negara)… dalam tempoh dua tahun lepas itu beralih sedikit kepimpinan kepada Perdana Menteri selepas saya yang tidak dapat membuktikan keupayaan untuk meneruskan usaha-usaha yang kita telah mulakan sebelum ini.
“Maka sewajarnya bila kita berhadapan dengan pilihan raya ini, ada juga hikmah iaitu pilihan raya ini berupaya untuk memberikan balik kuasa kepada rakyat melalui undi yang ada untuk memilih parti yang boleh membentuk sebuah kerajaan yang boleh meneruskan agenda yang tak selesai iaitu untuk memulihkan ekonomi negara.
“Nak pulihkan pendidikan negara… nak pulihkan kehidupan rakyat kita. Ini memerlukan suatu kerajaan yang bertanggungjawab, yang beramanah, yang tidak korup, yang tidak bobrok, yang tidak melanggar undang-undang dan mereka yang terjebak dengan masalah undang-undang seperti rasuah dan sebagainya,” katanya, lapor portal Bersatu.
Sekitar Jelajah Prihatin PN Parlimen Hulu Terengganu, malam tadi. -Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata beliau berasakan PRU-15 ini adalah antara pilihan raya yang terpenting serta paling mustahak diberi perhatian oleh setiap pengundi yang wajib untuk keluar memilih sebuah kerajaan yang baik.
Katanya pengundi hanya mempunyai tiga pilihan iaitu memilih Perikatan Nasional, Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, namun jika tersalah pilih maka musibahnya amat besar yang boleh menyebabkan rakyat serta negara jatuh ke dalam jurang yang amat dalam.
“Setiap pengundi yang ada di negara ini wajib keluar mengundi. Kerana kalau saudara dan saudari tidak mengundi, bermakna saudara saudari memberi hak kepada pihak yang tidak berhak untuk mentadbir negara. Bahaya musibahnya adalah amat besar sekali.
“Jika semua keluar mengundi… insya-Allah akan terbentuk sebuah kerajaan PN yang bersih dan stabil. Bersih daripada segala amalan-amalan yang tak betul… menyalahgunakan kuasa. Ini suatu yang kita tak akan lakukan.
“Tengok pada hari ini tak ada suatu pemimpin dalam Pas ataupun Bersatu dan Gerakan yang menghadapi apa-apa tuduhan di mahkamah,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata keadaan ini menunjukkan bahawa PN berpegang pada prinsip baharu iaitu menentang segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta perkara-perkara yang bertentangan dengan Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Kita sebutkan kita juga kerajaan yang hendak membentuk kestabilan jangan ada gangguan-gangguan yang boleh mengacau ganggu kehidupan kita. Jangan ada ancaman kepada nyawa dan keselamatan kita. Kita nakkan situasi negara kita stabil.
“Dan kalau negara kita stabil bermakna pelaburan akan masuk, banyak peluang pekerjaan yang akan disediakan dan negara kita akan lebih maju dan makmur, maju ke depan dan capai tahap sebuah negara yang telah berjaya dalam tempoh yang tidak berapa lama nanti,” katanya.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya mengakui betapa dirinya merasa cukup tenang untuk berdepan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar di Parlimen Pokok Sena dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.
Menurut Pesuruhjaya Pas Kedah itu, ketenangan tersebut hadir bersandarkan kepada sokongan serta maklum balas diberi rakyat dalam usahanya untuk mengembalikan kerusi tersebut ke tangan Pas, sebagai wakil Perikatan Nasional (PN) di situ.
Katanya, Pas memiliki kekuatan di dua daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pokok Sena yang dikuasai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 iaitu Bukit Pinang dan Bukit Lada, sekali gus menambah keyakinan pihaknya untuk meraih kemenangan.
“Lagi pun dalam PRU-14, seakan ada gelombang menyokong PH pada waktu itu. Namun kali ini kita nampak gelombang itu walaupun tidak terlalu besar, seolah-olah memberi isyarat sokongan kepada PN.
“Saya rasa tenang kerana ada keyakinan melihat sokongan dan maklum balas diberikan rakyat. Tanpa menafikan ketokohan penyandang di situ yang ada pengalaman dan mungkin sudah lama memberi khidmat, tetapi angin perubahan itu sedang kita rasai bertiup kencang dari hari ke hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sidang akhbar pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Kedah di Komples Pas Kedah di Alor Setar, malam tadi.
Tambahnya, keazaman Pas untuk mendapatkan kerusi tersebut buat PN cukup tinggi memandangkan Pokok Sena lebih banyak berada di bawah Pas berbanding parti-parti lain sejak PRU diadakan.
“Kita bercakap atas keyakinan dan data yang ada. Bersandarkan kajian lapangan serta culaan dibuat, kita yakin mampu mencapai kemenangan.
“Dalam PRU kali ini, semua parti berdepan cabaran yang sama iaitu untuk merebut undi anak muda. Namun kita punya keyakinan kerana bersandarkan kajian sikap dan pendirian anak-anak muda ini dilihat amat bencikan rasuah dan prihatin terhadap apa juga yang berlaku kepada negara.
“Mereka sebelum ini pernah berada di bawah pemerintahan BN yang sarat dengan individu terlibat rasuah dan mereka juga ada pengalaman berada selama 22 bulan di bawah pemerintahan PH. Jadi saya rasa mereka boleh menilai mana yang lebih baik,” katanya.
KADAR Rancangan Makanan Tambahan (RMT) baharu yang dinaikkan akan mula dilaksanakan pada 6 November ini, umum Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menyifatkan langkah menaikkan kadar baharu tersebut adalah penting memandangkan situasi keadaan ekonomi rakyat yang juga meningkat, malah beliau tekad untuk terus membela nasib murid yang memerlukan.
“Pelaksanaan kadar baharu ini memanfaatkan seramai 791,477 orang murid penerima RMT di seluruh negara. Ini merupakan antara komitmen saya dalam memastikan kualiti makanan RMT kepada murid yang memerlukan adalah terjaga,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook hari ini, lapor Agenda Daily.
Dengan pengumuman tersebut, kadar RMT bagi seorang murid dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung Malaysia dan RM3.00 kepada RM4.00 bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Radzi dalam pada itu juga berharap kadar baharu itu akan memberi sedikit kelegaan kepada pengusaha kantin yang berdepan dengan kenaikkan kos harga barang.
“Pelaksanaan kadar baharu ini juga pastinya memberi kelegaan kepada pengusaha kantin sekolah yang menyediakan RMT.
“KPM komited melakukan yang terbaik untuk kelestarian pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” ujarnya lagi.
MAHKAMAH Sesyen hari ini menangguhkan keputusan representasi bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapi penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, ke 15 Disember ini.
Hakim Jamaludin Mat menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih memerlukan masa untuk membuat keputusan berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, berkata pihaknya masih mempertimbangkan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan Muhammad Yasin.
“Sebutan kes hari ini ditetapkan bagi keputusan representasi. Saya ingin maklumkan representasi diterima dan sedang dalam pertimbangan.
“Kami belum ada jawapan dan meminta tarikh sebutan berhubung keputusan representasi berkenaan. Pihak-pihak bersetuju tarikh sebutan akan datang pada 15 Disember,” katanya.
Susulan itu, peguam bela penyanyi itu, Ariff Azami Hussein, berkata pihaknya sedia maklum representasi perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara yang memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan.
“Namun, kami harap keputusan itu dapat diputuskan pada tarikh akan datang dan cadangkan tempoh sebulan dari sekarang,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Dalam prosiding 4 Oktober lalu, Ariff Azami memaklumkan representasi termasuk laporan perubatan yang komprehensif difailkan pada 26 September lalu.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 6 Mac tahun depan.
Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada jam 11.05 malam, 24 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di Petaling Jaya, pukul 5.30 petang, pada 24 Mac lalu.
Pertuduhan memiliki dadah adalah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.
WANITA UMNO tidak berpuas hati dengan senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang mendakwa pucuk pimpinan parti gagal menterjemah janji untuk menetapkan kuota 30 peratus calon wanita.
Ketua penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata, pucuk pimpinan BN seakan-akan tidak memandang serius janji kuota itu.
“Apakah pucuk pimpinan BN lupa bahawa calon wanita adalah salah satu faktor kemenangan kepada BN?
“Adakah pucuk pimpinan lupa janji tersebut ditagih oleh kesemua wanita dan pengundi wanita di negara ini,” soalnya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.
Daripada 160 calon BN yang diumumkan, Selasa lalu oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi BN hanya 18 adalah wanita yang kira-kira hanya berjumlah 11.25 peratus.
Wanita UMNO pula hanya mendapat lapan kerusi manakala Puteri UMNO diberikan tiga kerusi.
Mengulas lanjut, Norshida berkata, jika tidak mahu melaksanakan janji kuota 30 peratus calon Wanita, adalah tidak perlu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Dewan Tertinggi BN menyatakan komitmen untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus pembabitan calon wanita dalam PRU-15.
“Apakah kita perlu berdiam diri dengan pendirian sebegini yang sudah begitu lama dijanjikan angan-angan kosong oleh pucuk pimpinan,” soalnya lagi seperti dilaporkan Malaysiakini.
“Jelas bahawa pucuk pimpinan tidak mengiktiraf dan memberikan kepercayaan penuh kepada Wanita BN untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam pimpinan arus perdana negara,” katanya sambil menyatakan kekecewaan pergerakan itu.
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Difahamkan sekiranya calon berkenaan, Zainal Azman Abu Seman menang di DUN tersebut, beliau akan menjadi calon Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) di Perak.
Kawasan luar bandar majoriti Melayu itu dimenangi PKR pada PRU-14 tetapi kerusi itu dirampas semula oleh UMNO pada pilihan raya 2018, dengan hanya majoriti 329 undi.
Sumber daripada PKR mengesahkan Zainal akan menjadi calon MB PH jika gabungan itu memenangi perak pada PRU15 ini.
Zainal mempunyai sejarah perkhidmatan awam yang lama, termasuk pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak semasa pentadbiran PH, yang menjadikannya ideal untuk jawatan itu.
Beliau adalah seorang daripada tujuh calon PRU-15 berprofil tinggi yang diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu.
PKR Perak dijangka mengumumkan senarai calonnya untuk kerusi DUN di Ipoh pada jam 5 petang ini.
Zainal telah mengakitifkan akaun media sosialnya beberapa hari lalu dan menyiarkan gambar-gambar aktiviti terbarunya di Perak Utara.
Dalam catatan di Facebook semalam, bekas penjawat awam itu menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak dengan menawarkan pengalaman yang dimilikinya dalam sektor awam.
“Marilah bersama-sama memberi sokongan dan undi kepada Harapan pada kali ini,” kata Zainal, memetik laporan Malaysiakini, hari ini.
PERIKATAN Nasional (PN) tidak menghalang mana-mana individu yang mahu menyertai gabungan itu, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perkara tersebut sudah menjadi dasar parti dalam gabungan berkenaan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Dasar parti-parti kita ini, sesiapa yang nak menjadi ahli kita tak pernah halang (dan) sekat.
“Itu keputusan sejak awal (dan) kita buat begitu pasal ini (PN) adalah parti yang mewakili pribumi, Bumiputera, Islam dan parti saya (Bersatu) pun ada yang bukan Islam. Jadi, itu terpulang pada pihak masing-masing.
“Bagi kita, soal menjadi keahlian itu tak menjadi masalah (tetapi) soal nak jadi calon itu adalah soal atau ada pertimbangan lain yang perlu diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Minum Petang Bersama Jentera PN Hulu Terengganu di Kuala Berang, malam tadi.
Sementara itu, Muhyiddin menjangkakan tiada perubahan calon pada saat akhir bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, ini kerana senarai nama calon berkenaan sudah diputuskan dan dimuktamadkan, apatah lagi tarikh penamaan calon juga semakin hampir.
“Yang ada sekarang, kita sudah putuskan dan sudah ada persetujuan berapa Pas dapat, Bersatu dapat dan kita kena muktamad (soal calon) pasal harinya sudah sampai dan tempoh yang cukup dekat,” katanya, lapor portal Bersatu.
Semalam, PN mengumumkan bertanding 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang, Perlis dan Perak pada PRU-15.
Menerusi jumlah itu, Bersatu bertanding 74 kerusi, Pas bertanding di 64 kerusi Parlimen manakala Gerakan diberikan 20 kerusi Parlimen.
PERATUSAN keluar undi yang rendah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh membahayakan Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, terutamanya matlamat PN untuk meneraju kerajaan baharu paska PRU-15.
Justeru katanya, rakyat perlu keluar mengundi selain menekankan golongan muda dan perantau pulang dan melaksanakan tanggungjawab mengundi.
Katanya, anak muda perlu mengundi Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kelantan supaya PN boleh menang.
“Kalau nak jelas hala tuju negara, bina negara yang stabil, keadilan yang sama antara kaum, kemajuan ekonomi dan semangat bermuafakat, maka rakyat perlu memenangkan PN.
“Insya-Allah, dengan kemenangan itu kita dapat bina sebuah negara yang hebat. Tambahan pula, kemenangan kita untuk mendaulatkan agama selain Islam menuntut untuk berlaku adil pada semua orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 PN Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, malam tadi.
Pada majlis sama, Ketua Armada Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pengundi dalam kalangan anak muda di Kelantan sangat ramai iaitu 59 peratus, sekali gus menjadi aset penentu masa depan bukan sahaja untuk kejayaan PN di Kelantan tetapi seluruh negara.
“Insya-Allah di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang, dapat menjanjikan kepemimpinan cemerlang dan ia tawaran terbaik khusus buat anak muda.
“Saya sendiri pernah jadi menteri. Kerajaan kita cukup duit untuk diberi kepada Kelantan, namun masalahnya adalah pada pentadbiran di Putrajaya yang tidak amanah dan jujur.
“Justeru, marilah kita mengundi PN yang mana terdiri daripada kalangan ulama dan ahli politik yang bebas rekod rasuah,” katanya, lapor portal Bersatu.
PERIKATAN Nasional (PN) tidak gerun kepada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) untuk berhadapan Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas sendiri bukan lagi bergerak sendirian tetapi turut mendapat sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada PRU kali ini.
Pihaknya juga yakin kejayaan Pas menakluk Kelantan selama 32 tahun, sudah cukup membuktikan bahawa pihaknya mampu menerajui negara dengan menubuhkan sebuah kerajaan baharu yang lebih baik dan adil.
Malah katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Pas yakin ramai pengundi UMNO sebelum ini akan bagi undi Pas dan PN.
“Kita akui UMNO dulu hebat, tetapi sekarang tidak perlu lagi takut.
“Kita juga perlu pastikan kesemua 14 kerusi di Kelantan dimenangi terlebih dahulu dan tidak mustahil selepas PRU-15 ini, negara diterajui kerajaan baharu yang boleh membawa perubahan besar.
“Walaupun kita parti berbeza dalam PN, kita mempunyai matlamat yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 PN Negeri Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di Koa Bharu, malam tadi.
Mohd. Amar berkata, pihaknya yakin rakyat terus memberikan kepercayaan kepada PAS dan seterusnya membuka ruang kemenangan kepada PN di seluruh negara.
Pada majlis sama, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, 11 kerusi yang dimenangi sebelum ini perlu dipertahankan manakala tiga lagi kerusi harus ditempatkan ‘penyerang’.
Katanya, Parlimen Gua musang, Machang dan Ketereh, sudah ditempatkan ‘penyerang’, manakala 11 wakil lagi bertindak sebagai ‘goal keeper’ untuk terus mengekalkan kemenangan sebelum ini.