Category: Semasa

  • Pasukan khas tangani elemen gengsterisme ganggu proses PRU-15 di Johor

    Pasukan khas tangani elemen gengsterisme ganggu proses PRU-15 di Johor

    POLIS Johor mewujudkan pasukan khas untuk memastikan tidak ada elemen gengsterisme mengganggu sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga akan memastikan tidak ada unsur perjudian yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan membeli undi bagi menentukan kemenangan terhadap calon-calon yang bertanding.

    “Seramai 8,600 pegawai dan anggota polis Johor ditugaskan sepanjang tempoh pilihan raya umum itu.

    “Daripada jumlah itu seramai 3,800 pegawai dan anggota ditugaskan di 26 pusat penamaan calon pada 5 November ini di seluruh Johor.

    “Pihak-pihak berkenaan seperti parti politik dinasihatkan untuk mematuhi apa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Semua pihak diminta untuk saling bertoleransi supaya perjalanan proses pilihan raya nanti berjalan lancar, aman dan tidak ada sebarang gangguan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan Pusat Penamaan Calon P150 Batu Pahat di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, hari ini.

    Menurut Kamarul, bagi pengundian awal Johor mempunyai sebanyak 63 pusat mengundi awal dan 96 saluran, manakala pada hari mengundi pula sebanyak 1,024 pusat pengundi terdiri daripada 4,685 saluran.

    “Berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, sebanyak lapan lokasi panas dikesan di seluruh Johor dan pihak polis akan turut menumpukan lokasi berkenaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Exco Kedah bertanding Parlimen tak perlu letak jawatan

    Exco Kedah bertanding Parlimen tak perlu letak jawatan

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIGA Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kedah yang sudah dinamakan sebagai calon Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak perlu meletak jawatan yang disandang mereka.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu termaktub dalam perintah daripada Peguam Negara yang membenarkan setiap Exco bertanding dan pada masa sama melaksanakan portfolio masing-masing ketika pilihan raya itu.

    “Ada perintah daripada pejabat Peguam Negara, Exco yang nak bertanding PRU (bagi kerusi) Parlimen tak perlu melepaskan jawatan mereka.

    “(Tetapi) terdapat Exco yang meletak jawatan sebelum ini, maka penggantian akan dilakukan selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

    Perikatan Nasional (PN) menamakan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi Kedah, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail sebagai calon Parlimen Kubang Pasu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Datuk Azman Nasrudin akan bertanding di Parlimen Padang Serai.

    Di Sungai Petani, PN meletakkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr. Robert Ling Kui Ee.

    Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang daripada UMNO, Datuk Suraya Yaacob meletak jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga dan Pengairan Saliran Kedah pada 13 Oktober lalu.

    Kelmarin, nama Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pendang pada PRU-15.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, nama ADUN yang bakal menggantikan tempat Suraya sebagai Exco sudah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

    “Nama sudah dipersembahkan kepada Sultan Kedah dan perlu perkenan baginda, tarikh (angkat sumpah) belum ada lagi tetapi proses itu sedang berjalan,” katanya.

  • Dalam MPN ramai pakar, bukan ahli politik – Muhyiddin

    Dalam MPN ramai pakar, bukan ahli politik – Muhyiddin

    KEAHLIAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) terdiri daripada ramai pakar serta pemikir-pemikir yang arif dalam pelbagai bidang untuk membantu mempercepatkan pemulihan negara.

    Itu penegasan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas mengenai signifikan dan keberkesanan penubuhan majlis tersebut.

    Jelas bekas Perdana Menteri itu, objektif MPN bukan sahaja untuk memulihkan negara tetapi turut merangka strategi untuk meningkatkan tahap ekonomi Malaysia.

    Ujarnya, antara contoh inisiatif yang dirangka dan dicadangkan MPN untuk dilaksana kerajaan adalah berhubung usaha untuk memperkasa kembali sektor pelancongan.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sektor itu antara yang terjejas teruk selepas pandemik Covid-19 melanda dunia, termasuk Malaysia.

    “Sektor pelancongan yang terkesan besar ini antara satu daripada punca negara kehilangan pendapatan.

    “Restoran ada tetapi pelanggan kurang. Hotel menawarkan banyak bilik tetapi sukar untuk menerima tempahan.

    “Jadi saya pada waktu itu meminta Kementerian Pelancongan untuk membentangkan laporan berhubung isu tersebut kepada MPN.

    “Ada langkah-langkah yang saya tidak berapa tertarik kerana dia (Kementerian Pelancongan) kata memerlukan tempoh sehingga lima tahun (untuk pemulihan),” katanya dalam temu bual eksklusif bersama UtusanTV.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, MPN kemudian membuat keputusan untuk mengarahkan kementerian tersebut meneliti semula laporan yang diberikan.

    Begitupun, beliau dengan nada kesal berkata, laporan yang dibentangkan kementerian tersebut selepas diberi tempoh beberapa bulan adalah sama.

    “Saya tanya kenapa hasil laporannya begitu? Jawapannya adalah sektor pelancongan tidak berkeupayaan kerana banyak negara masih tidak membuka lagi sektor itu.

    “Contohnya, China yang mana pada suatu ketika dahulu terdapat empat juta pelancong datang dari negara tersebut, tetapi sekarang seorang pun tidak ada,” katanya.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, MPN berpandangan bahawa kerajaan perlu untuk memberi bantuan bagi ‘menyuburkan’ kembali sektor pelancongan.

    Kata beliau, antara bentuk bantuan yang boleh dilakukan adalah memberi pengecualian cukai serta melakukan promosi ke luar negara secara agresif.

    “Bagi RM100 juta seperti mana yang pernah dilakukan ketika dahulu dalam kempen Visit Malaysia year. Fokus kawasan-kawasan tertentu unuk dipromosikan.

    “Soal pemulihan negara ini ini jika tidak ada campur tangan Perdana Menteri dan Kabinet, ianya akan menjadi lambat,” katanya.

  • Inisiatif MPN bantu pulih aliran tunai usahawan PMKS

    Inisiatif MPN bantu pulih aliran tunai usahawan PMKS

    ISU dalam sektor perniagaan sering kali dibangkitkan terutama membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Selepas tempoh mencabar itu, kebanyakan PMKS masih lagi ‘bertatih’ membangunkan semula perniagaan mereka untuk mencapai sasaran dikehendaki.

    Menangani hal itu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) komited mengemukakan pelbagai inisiatif bagi membantu memulihkan kembali ekonomi dan pendapatan usahawan tempatan.

    Pemilik The Lov Penang Hotel, Datuk Sharifah Shareen Al Mashoor, mengakui berdepan kesukaran sepanjang tempoh PKP disebabkan penutupan penuh sektor pelancongan.

    “Disebabkan hotel tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP, pendapatan pekerja dalam sektor ini terjejas sepanjang tempoh itu. Namun, apabila semua sektor dibenarkan beroperasi semula, hampir setahun masa diambil untuk kembali pulih sepenuhnya.

    “Kami juga berdepan isu aliran tunai disebabkan orang ramai masih skeptikal untuk pergi berjalan pada awal pembukaan sektor pelancongan. Memandangkan lokasi hotel kami terletak di lapangan terbang, ia agak merudum kerana pelancong tak ramai ketika itu,” katanya yang mengusahakan perniagaan perhotelan sejak 2018, memetik laporan BH Online.

    Bagaimanapun, katanya dengan inisiatif daripada kerajaan bagi bantuan gaji pekerja bernilai RM600 diterima, ia berupaya mengurangkan beban majikan dan pekerja ketika itu.

    Pengarah Urusan Wan Vacation Sdn Bhd, Syazwan Zanini, pula berkata lanjutan moratorium daripada pihak bank yang diumumkan kerajaan ketika PKP sebelum ini, antara yang membantu ‘menyelamatkan’ syarikat pelancongannya.

    “Kami ada menerima bantuan daripada kerajaan sebanyak RM3000. Nilainya agak kecil untuk syarikat pelancongan seperti kami, namun ia tetap membantu meringankan beban pekerja ketika itu.

    “Kini sedikit sebanyak kami berjaya bangkit kerana sektor ini sudah dibuka dan orang ramai mula keluar melancong,” katanya yang menjalankan syarikat pelancongan.

    Syazwan berkata, masalah membabitkan aliran tunai turut menjejaskan mereka disebabkan beberapa faktor seperti pembayaran pendahuluan tiket penerbangan untuk pelanggan, namun keadaan itu kini semakin baik.

    Berbeza dengan pengusaha Syarikat Makteh Rempeyek, yang mencatat hasil jualan kerepek lumayan ketika PKP.

    Hasil lumayan ketika PKP

    Pengurusnya, Faizul Eqwan Rosli berkata, ketika PKP, syarikat itu mencatatkan hasil jualan sebanyak RM1 juta, tetapi selepas tempoh ‘berkurung’ tamat, perniagaan mengalami penurunan disebabkan kenaikan harga barangan.

    “Kami berdepan masalah aliran tunai dan kadang-kadang perlukan masa sehingga dua hingga ke tiga hari untuk pulih. Bagaimanapun, inisiatif daripada kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara membantu peniaga kecil,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob, mengemukakan cadangan kepada kerajaan berkaitan isu kekurangan pekerja di sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pelancongan serta memudahkan pinjaman dan pemberian moratorium khas kepada PMKS.

  • Shahidan Kassim sah bertanding atas tiket PN

    Shahidan Kassim sah bertanding atas tiket PN

    PENYANDANG Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan bahawa beliau akan terus mempertahankan kerusi itu dengan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua UMNO Bahagian Arau yang digugurkan daripada bertanding itu berkata, keputusan dibuat disebabkan beliau melihat PN mampu menyatukan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam platform yang sama.

    “Saya akan bertanding atas satu parti yang berasaskan UMNO, Pas dan Bersatu yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara walaupun UMNO pun memperjuangkan agama, bangsa dan negara namun ia kini dipimpin oleh seorang yang mengkhianati keputusan bahagian terutama di Arau.

    “Jadi kalau perkiraan ini diambil untuk menjadi pemimpin, saya kira tak layak lah kerana saya sudah menjadi pengarah pilihan raya sebanyak lima kali dan kami tidak pernah ganggu bahagian masing-masing tetapi jika dilihat calon yang bertanding kali ini sangat menyedihkan apabila tiada satu pun senarai calon yang diutarakan oleh bahagian dipilih,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Khidmat Datuk Seri Shahidan Kassim di Kubang Gajah, Kangar, hari ini.

    Terdahulu, media yang bertemu dengannya juga dikejutkan dengan kehadiran Pengerusi PN Perlis, Shukri Ramli yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis di pusat khidmat beliau.

    Ini menguatkan lagi spekulasi bahawa Shahidan kini sudah bersedia untuk diangkat sebagai calon PN bagi merampas Parlimen Arau daripada Barisan Nasional (BN).

    Sementara itu, satu pengumuman rasmi bagi calon PN Perlis yang akan bertanding di Parlimen Arau akan dilakukan di Kompleks Pas Perlis, Kangar malam nanti.

  • Khairy akan ‘dikerat’ Zahid jika rakyat undi calon BN di Sungai Buloh – Rafizi

    Khairy akan ‘dikerat’ Zahid jika rakyat undi calon BN di Sungai Buloh – Rafizi

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yakin calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy Jamaluddin akan ‘dikerat’ Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika parti itu menang di Sungai Buloh dan peringkat Pusat.

    Sehubungan itu, beliau berharap pengundi di Sungai Buloh memahami perkara itu kerana satu undi untuk Khairy adalah sama dengan satu undi untuk Zahid.

    Malah, dengan kemenangan itu, Zahid katanya akan mencantas Khairy yang disifatkan sebagai ancaman utama Presiden UMNO berkenaan.

    “Kalau Zahid dan UMNO menang dan menyumbang kepada UMNO satu kerusi lagi, sehingga membolehkan UMNO jadi kerajaan. Saya nak pengundi Sungai Buloh faham bahawa KJ akan kena ‘kerat’ kerana saya tidak nampak kalau UMNO menang, Zahid akan benarkan KJ untuk berkembang di UMNO sebab KJ adalah ancaman terbesar kepada Zahid,” katanya.

    Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari in .

    Bagaimanapun, katanya, tidak salah untuk pengundi untuk mendekati Khairy, namun mereka diingatkan agar tidak sesekali memberi undi kepada Zahid.

    “Saya tahu pengundi Sungai Buloh berada dalam dilema dan saya harap saya akan kurangkan dilema itu. Saya harap anda mengundi untuk perubahan di peringkat Persekutuan, anda boleh ambil gambar dan senyum dengan KJ.

    “Namun jangan undi dia kerana ia seperti memberi undi kepada Zahid untuk ‘kerat’ KJ. Kalau UMNO menang, Zahid jadi Perdana Menteri, dan KJ is gone,” tegasnya, lapor Astro Awani.

    Ketika ini, Khairy telah memulakan jelajah kempennya di Sungai Buloh bagi mendekati pengundi di Parlimen yang merupakan kubu kuat PKR itu.

    Khairy antara lain akan menumpukan kepada isu-isu seperti kos sara hidup, perumahan, akses kesihatan, kesesakan trafik, pengangkutan awam, banjir dan alam sekitar di Sungai Buloh.

  • Joli sebahagian wang rompakan RM180,000 sebelum ditahan polis

    Joli sebahagian wang rompakan RM180,000 sebelum ditahan polis

    SEMPAT joli sebahagian hasil rompakan berjumlah RM180,000 dengan membeli sebuah kereta Honda Civic; dua buah motosikal masing-masing Yamaha Y15ZR dan Honda Vario; empat buah telefon bimbit; sebuah televisyen; satu set bilik tidur dan dua buah mesin basuh.

    Namun kegembiraan tiga sekeluarga termasuk dua beradik warga tempatan itu tidak berpanjangan selepas mereka ditahan polis kerana disyaki memecah masuk sebuah gudang alat permainan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira tiga bulan lalu.

    Lebih malang, barangkali kerana tamak dan cuba memecah masuk gudang sama kali kedua, perbuatan mereka itu dikesan oleh pemilik gudang tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pemilik itu kemudian membuat laporan polis pada 24 Oktober lalu dan bertindak daripada laporan itu, polis menahan dua daripada suspek berkenaan iaitu adik-beradik masing-masing berusia 30 dan 25 tahun di sebuah rumah.

    Menurut beliau, ketika ditahan polis turut merampas pelbagai barangan termasuk pakaian, pedang samurai, laptop, beg silang, telefon bimbit, pemutar skru, kekunci Allen dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

    “Seorang lagi suspek iaitu isteri kepada suspek utama yang mengandung lapan bulan turut ditahan.

    “Kita turut merampas tiga bentuk cincin, dua utas rantai tangan, seutas jam tangan pintar serta 12 helai resit pembelian serta resit gadaian emas daripada suspek,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Mengulas lanjut, Cheng San berkata, polis percaya penahanan kesemua suspek itu berjaya menyelesaikan dua kes pecah gudang dan kedai di sekitar Seberang Perai Tengah yang dilaporkan pada Julai dan Oktober lalu.

    “Kesemua suspek kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda jika sabit kesalahan,” katanya.

  • Tambun, Larut dan Bagan Datuk lokasi panas PRU di Perak – polis

    Tambun, Larut dan Bagan Datuk lokasi panas PRU di Perak – polis

    POLIS Perak menumpukan penugasan pegawai dan anggotanya di tiga kawasan panas yang dikenal pasti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu Tambun, Larut, dan Bagan Datuk.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata tiga kawasan berkenaan dikenal pasti berdasarkan kepada calon dan parti yang bertanding.

    Beliau berkata, pertambahan kekuatan anggota akan dibuat berdasarkan kepada kajian dan penilaian oleh Ketua Polis Daerah jika berlaku situasi tidak aman di lokasi panas berkenaan.

    “Kita akan berterusan memantau dan memastikan bahawa polis yang akan mendominasi khususnya ketika penamaan calon bagi menjamin keselamatan dan keselesaan.

    “Ada anggota yang sentiasa ‘stand-by’ (bersiap siaga) di tiga kawasan itu,” katanya kepada pemberita ketika sidang media berkaitan persediaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak sempena menghadapi PRU-15 di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh, hari ini.

    Bagi kerusi Parlimen Tambun, akan ditandingi Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang penyandang yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Pertembungan di Larut pula bakal menyaksikan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku penyandang kerusi itu bertanding semula pada PRU kali ini.

    Pada PRU-14, Hamzah menang atas tiket UMNO (Barisan Nasional-BN) keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2019.

    Sementara Parlimen Bagan Datuk menyaksikan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN dan bekas Timbalan Persada Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan kerusi tersebut.

    Mengulas lanjut, Mohd. Yusri berkata, seramai 7,963 anggota dan pegawai polis Perak terbabit sepanjang penugasan PRU-15 berlangsung iaitu 3,494 ketika hari penamaan calon, tempoh berkempen (3,021), undi awal (1,105), dan pada hari mengundi (7,133).

    Katanya, polis turut akan dibantu segi kekuatan sumber manusia dari agensi lain iaitu Sukarelawan Simpanan Polis Polis Diraja Malaysia (SSPPDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membabitkan seramai 1,794 pegawai dan anggota.

    Katanya lagi, polis akan menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bermula hanya pada 5 November ini iaitu sewaktu hari penamaan calon bagi memastikan ceramah atau kempen calon atau parti politik yang berlangsung, dalam keadaan terkawal.

    Menurutnya, antara perkara yang dilarang sewaktu hari penamaan calon adalah penggunaan semua jenis alat muzik atau alat pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa jua cara termasuk apa jua jenis kenderaan.

    “Jangan ada provokasi berlebihan terhadap isu sensitif seperti agama, perkauman, serta, institusi diraja; serta memastikan tiada insiden yang melanggar undang-undang seperti perbuatan khianat merosakkan poster atau bendera parti lawan yang bolh mencetus suasana tidak harmoni ketika berkempen,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Muhyiddin sifatkan PRU-15 luar biasa, penting untuk wujudkan kerajaan baharu

    Muhyiddin sifatkan PRU-15 luar biasa, penting untuk wujudkan kerajaan baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai sangat luar biasa dan antara yang terpenting untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, amanah, bersih dan tidak bobrok.

    Sehubungan itu beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyeru setiap orang wajib keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab memilih sebuah kerajaan baharu.

    “Saya tegaskan jika kita tidak keluar mengundi, kita seolah-olah memberi hak kepada seorang yang tidak layak untuk memerintah negara.

    “Kita tidak boleh membiarkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa dan rakyat mesti memastikan perancangan sulit mereka untuk bergabung membentuk kerajaan selepas PRU tidak berlaku,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin yang merasmikan Program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu sempena Program Jelajah Prihatin (PN) malam tadi, bersyukur dengan sambutan orang ramai.

    Muhyiddin terharu dan bersyukur melihat kehadiran begitu ramai pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu sempena Program Jelajah Prihatin (PN)

    “Alhamdulillah malam tadi saya menyempurnakan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu sempena Program Jelajah Prihatin (PN).

    “Saya merasa terharu dan bersyukur melihat kehadiran begitu ramai sekali orang pada majlis ini yang sekali gus memberi petanda kebangkitan sokongan rakyat ke atas PN,” katanya.

    Penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu berkata, semasa berucap beliau mengimbau kembali detik-detik pembentukan gagasan PN yang dibina atas kesedaran untuk mewujudkan sebuah negara yang berdaulat, maju, bermaruah dan berjaya.

    Mereka yang hadir dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Hulu Terengganu sempena Program Jelajah Prihatin (PN)

    “Hasrat ini tidak akan dapat dicapai jika setiap parti bergerak secara bersendirian dan bukan dalam satu jemaah,” kata bekas Perdana Menteri itu yang sudah 50 tahun berkecimpung dalam arena politik.

    Justeru beliau menegaskan perlunya ada kerjasama dalam kalangan parti-parti bagi mewujudkan satu jemaah besar untuk menerajui negara.

    “Alhamdulillah gagasan tersebut menjadi kenyataan apabila Pas dan Gerakan serta beberapa parti dari Sabah bersetuju untuk bersama-sama membentuk kerajaan PN,” katanya.

  • DAP perguna Melayu untuk tembusi negeri dikuasai Melayu

    DAP perguna Melayu untuk tembusi negeri dikuasai Melayu

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, DAP telah mencapai agendanya untuk menembusi negeri-negeri Melayu dengan menggunakan orang Melayu dalam Pakatan Harapan (PH).

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata. usaha DAP untuk memperluaskan pengaruhnya di kerusi-kerusi majoriti orang Melayu akhirnya sampai ke Kedah apabila parti komponen PH, Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kerusi Parlimen Jerai untuk ditandingi DAP.

    “Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) telah memberi amaran sebelum ini bahawa DAP akan mengambil kesempatan terhadap orang Melayu (dalam PH) untuk mendapatkan kuasa di kerusi majoriti Melayu dan ancaman itu akhirnya tiba di Kedah.

    “Kerusi Parlimen Jerai yang mempunyai 80 peratus pengundi Melayu akhirnya ditembusi DAP,” kata Sanusi dalam ucapannya pada perhimpunan memperkenalkan calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Kedah, malam tadi, memetik laporan portal Bersatu.

    Majlis itu diadakan di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, turut dihadiri Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN.

    Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS berkata penyingkiran Pengerusi AMANAH Kedah Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi daripada parti itu adalah harga yang perlu dibayarnya kerana meninggalkan perjuangan PAS.

    “Saya kasihan kepadanya (Phahrolrazi) walaupun dia telah meninggalkan kami untuk menubuhkan Amanah di negeri ini, tetapi saya hanya mampu tersenyum.

    “Ini membuktikan amaran presiden (Abdul Hadi) bahawa mereka yang meninggalkan Pas akan membayar harganya,” katanya.

    Dalam laungan perjuangannya untuk PRU-15 pada 19 November, Sanusi berkata, PN negeri bertekad untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dan PH tidak akan kembali berkuasa di Kedah.

    Beliau berkata jentera pilihan raya PN akan bekerja keras mempertahankan negeri ini daripada BN dan PH.

    “Di Kedah kami bertekad untuk tidak membenarkan BN atau PH pimpinan DAP bangkit semula di negeri itu.

    “Kita akan pastikan, selagi boleh, Kedah akan kekal di bawah kerajaan PN,” katanya sambil melahirkan keyakinan PN akan memenangi kesemua 15 kerusi Parlimen pada pilihan raya nanti.