Category: Semasa

  • Khairuddin Calon BN di Kuala Nerus, Che Abdullah di Tumpat

    Khairuddin Calon BN di Kuala Nerus, Che Abdullah di Tumpat

    BEKAS  Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas yang juga Penyandang Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Mawi sah bakal bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Dalam satu kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengumumkan lima lagi nama calon BN yang belum diumumkan.

    “Daripada tujuh kawasan ini, dua kawasan iaitu Tumpat dan Kuala Nerus menyaksikan, Barisan Nasional menampilkan dua calon secara ‘direct candidate’ atas sifat keterbukaan dan perpaduan.

    “Dengan pengumuman ini, ia menjadikan jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen adalah sebanyak 178,” katanya.

    Lima calon lain yang turut diumumkan adalah Habibah Mohd Yusof (Parlimen Tanjong Karang), A Kohillan Pillay (Parlimen Batu), Chew Yin Keen (Parlimen Bandar Tun Razak), Shamsulkahar Mohd Deli (Parlimen Jempol), dan Adnan Abu Hasan (Parlimen Kuala Pilah).

    Katanya, BN yakin calon-calon yang dikemukakan dengan pelbagai latar belakang dan kelayakan dan mampu untuk menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak.

    Pada pertandingan tiga penjuru PRU14, Mohd Khairuddin yang bertanding atas tiket Pas memenangi kerusi dengan majoriti 8,447 undi selepas memperolehi undi 37,975 menewaskan calon BN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad (29,527 undi) dan calon PKR, Abdullah Muhamad (4,604 undi).

    Manakala bagi Che Abdullah pula berjaya menewaskan calon BN iaitu Datuk Wan Johani Wan Hussin dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Nordin Salleh dengan majoriti 17,500 undi.

  • Wanita BN kecewa pimpinan tidak tepati janji

    Wanita BN kecewa pimpinan tidak tepati janji

    WANITA Barisan Nasional (BN) berasa terkilan apabila pencalonan golongan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak memenuhi sasaran 30 peratus seperti yang dijanjikan pucuk pimpinan parti sebelum ini.

    Menurut Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad, pihaknya sedar bahawa fokus untuk memenangkan parti ketika ini lebih menjadi keutamaan.

    Bagaimanapun, janji itu akan terus dituntut khususnya melihat kepada beberapa negeri yang masih belum dibubarkan.

     “Masih terdapat enam negeri yang masih berbaki, belum dibubarkan lagi. Saya dan kepimpinan Wanita BN akan terus tuntut supaya lebih ramai calon-calon wanita dapat diketengahkan dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Noraini berkata, pihaknya akan memastikan hasrat itu mampu dicapai selari kehendak parti sebelum ini yang ingin menonjolkan lebih ramai golongan wanita.

    Sebelum ini, majoriti pimpinan parti politik meletakkan komitmen untuk memberi laluan lebih ramai calon golongan wanita untuk berada di pentas PRU15.

    Perkara itu sebelum ini turut disuarakan penyandang Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid yang tidak berpuas hati mengenai kuota calon daripada Pergerakan Wanita UMNO.

    Mastura antara beberapa nama dalam Kabinet kerajaan yang digugurkan sebagai calon PRU15 sejurus selesai Pengumuman Calon BN yang bakal bertanding dalam PRU15.

  • Annuar Musa londehkan Zahid Hamidi dalam warkah terbuka

    Annuar Musa londehkan Zahid Hamidi dalam warkah terbuka

    DISINGKIRKAN daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ternyata memberi tamparan besar buat penyandang kerusi Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

    Beliau yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN) meluahkan rasa kecewa dan terluka menerusi satu warkah terbuka dimuat naik dalam Facebook miliknya, hari ini. Berikuta adalah warkah penuh beliau:

    Warkah Terbuka Buat Sahabat Yang Terluka Atau Kecewa

    Assalamualaikum WM WB Sahabat yang dikasihi,

    1. Semoga kalian dalam keadaan yang baik serta sihat walafiat di kawasan masing-masing.
    2. Kita sedang melalui ujian yang besar, teguhkan pendirian dan mantapkan kekuda perjuangan.
    3. Penyingkiran kita bukan perkara yang tidak diduga, kita harus redha, kerana itulah harga untuk kita tegakkan pendirian ketika ada perbezaan pendapat dengan Presiden. Kita ahli-ahli parlimen istiqomah bersama PM, kerana kita YAKIN ITU YANG TERBAIK BUAT PARTI KITA. Kita sering berbeza pendapat dengan Presiden parti kita, akan tetapi kita tidak pernah membelakangkan parti, malah kita istiqomah mempertahankannya, didalam mahupun diluar parlimen.
    4. Kita tentu faham ketika kita menongkah arus, menolak kehendak Presiden kita berkali kali. Kita menggagalkan rancangan beliau, kerana kita merasakan cara kita lebih baik, lebih benar buat parti.
    5. Siang dan malam kita berkumpul berbincang bila mana ada perbezaan pendapat dan kita sentiasa bersama.

    a) Ketika presiden kita menandatangani surat kepada SPB YDP Agong dengan menyatakan ahli parlimen bersolidariti, bersetia dan bersetuju Anwar Ibrahim di angkat sebagai PM ke-9. Kita dengan tegas menolak, kerana kita berpegang pada dasar parti dan PAU, ‘NO ANWAR NO DAP’. Kita tidak salah, kita berbeza pendirian dengan individu bukan parti.

    b) Rancangan mengangkat Anwar yang kita gagalkan itu, berganti pula dengan percubaan menggagalkan belanjawan 2020, sebagai strategi ‘VOTE OF NO CONFIDENCE’ kepada kerajaan dan PM ketika itu, namun kita sekali lagi bersolidariti dan meluluskan setiap undian yang mencemaskan di Dewan Rakyat.

    c) Apabila 15 sahabat MP kita tiba-tiba menarik sokongan dan ingin menjatuhkan PM ke-8 dan kita diarah oleh Presiden melalui SUA untuk berbuat perkara yang sama, kita memilih cara yang lain untuk menyelamatkan parti kita dan sebaliknya kita mengikhtiarkan permuafakatan yang mengangkat DSIS sebagai PM ke-9, kita tidak salah.

    1. Kita tentu ingat bagaimana kita berusaha siang dan malam untuk menyelamatkan parti kita.
    2. Banyak lagi perkara dan peristiwa bagaimana kita Ahli Parlimen dan PM berperanan dan berusaha untuk membawa UMNO, BN ke mana kita berada hari ini dan kita tidak salah.
    3. Namun tindakan kita tentunya tidak disenangi Presiden namun kita yang telah berjaya menyelamatkan parti kita. Saya faham pendirian kita telah membawa kepada fitnah bertubi-tubi kononnya kita tidak setia, kita besar kepala, kita lupa kerana telah dapat jawatan, kita Pro PPBM, kita Pro PAS dan lain-lain cercaan. Sedih dan pilu bila humbanan tuduhan menjadi semacam satu ejekan, namun kita harus redha, kita tidak salah.
    4. Pernahkah kita bayangkan dimana parti kita hari ini, kalau kita telah memusuhi parti-parti yang pernah menghulur tangan membantu kita? Dimana kita jika Warkah kepada SPB YDP Agong supaya mengangangkat Anwar menjadi PM, kita ia kan?. Apa telah jadi kepada parti kita jika kerajaan terbubar, saat pandemik Covid-19 masih melanda dan rakyat marah kepada ‘politicking’ berterusan?, fikir fikirkanlah.
    5. Kita ahli-ahli parlimen beristiqomah bersama YAB PM dan MP yang menyokong kerajaan, menjaga permuafakatan, ketika api kebencian terus menerus dinyalakan. Kita lakukan demi menjaga maslahah parti kita. Alhamdulillah kita berjaya dan kejayaan menjadikan parti kita turut berkuasa dalam pemerintahan. Ini tidak di senangi oleh sebilangan orang, mungkin yang mula memikirkan pemilihan tahun depan, yang memikirkan kedudukan.
    6. Jelas pembubaran parlimen yang mahu disegerakan, telah diambil kesempatan. Kita digugurkan, dengan cara yang seolah olah tiada perlembagaan, tiada peraturan, jauh sama sekali tali persahabatan.
    7. Saya faham kalian marah dan kecewa dengan cara kalian dilayan, tetapi bersabarlah.
    8. Kita bertindak bukan sendirian, tetapi hasil pemikiran mendalam dan telah membuahkan hasil dan kekuatan kepada BN. Kita harus berbangga kerana mempertahankan kebenaran.
    9. Jangan tinggalkan perjuangan walau kita diaibkan dan jangan membakar jambatan kerana perjalanan masih panjang di hadapan.
    10. Marah jangan dibalas marah, hutang darah tak perlu dibayar darah. Perjuangan kita lebih besar dari itu. Baluti luka hati dengan iman dan kesabaran seorang pejuang.
    11. Kembalilah memimpin anak dan adik-adik kita yg bertatih. Pulihkan jentera yang berduka. Jika tidak berupaya memenangkan, setidaknya jangan mengalahkan. Parti perlu didahulukan.
    12. TERUSKAN SEMANGAT MUAFAKAT DAN PERPADUAN. TOLAK KEANGKUHAN DAN KESOMBONGAN. JANGAN JADIKAN PARTI PERISAI BADAN MELINDUNGI KECURANGAN. AMANAH RAKYAT JANGAN SIA-SIAKAN DAN CURANG.
    13. Terima seadanya soal pencalonan dengan kesabaran. Rapatkan semula saf dan terus berjuang.

    Tan Sri Annuar Musa.
    Ketua UMNO Bahagian Ketereh
    Presiden MN Malaysia

  • PN Perak belum putuskan calon MB jika menang PRU-15

    PN Perak belum putuskan calon MB jika menang PRU-15

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak masih belum memutuskan sebarang nama bagi calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perkara itu mungkin akan dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti.

    “Tidak tidak pernah bincang soal itu, tetapi saya yakin kepimpinan PN akan buat keputusan. Ini kerana, kita ada perancangan dari segipada manifesto dan sebagainya.

    “Saya ingat, selepas selesai sahaja urusan penamaan calon, akan ada proses-proses ataupun pengumuman-pengumuman dibuat kepimpinan tertinggi di negeri sama ada tentang menteri besar ataupun manifesto dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman calon PRU15 bagi PN Perak di Pejabat PN Negeri di Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Zainol Fadzi terdahulu ditanyakan sama ada PN akan turut menamakan calon Menteri Besar sekiranya menang PRU-15 di Perak sepertimana diumumkan Pakatan Harapan (PH).

    Media sebelum itu melaporkan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar Perak sekiranya PH menang di negeri itu pada PRU-15.

    Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dilaporkan berkata, ia adalah ‘perjudian besar’ bagi PH dengan menamakan Zainal sebagai calon Menteri Besarnya, tetapi menegaskan itu adalah keputusan yang tepat.

    Zainal yang juga bekas setiausaha kerajaan negeri Perak dijangka bertanding di kerusi DUN Kuala Sepetang.

  • PN komited tawar Kerajaan Prihatin, Bersih, Stabil

    PN komited tawar Kerajaan Prihatin, Bersih, Stabil

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Perikatan Nasional (PN) komited untuk menawarkan kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.

    Pengerusi PN itu berkata, perjuangan beliau melawan rasuah telah dibuktikan melalui sejarah panjangnya.

    ‘’Saya dibuat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana saya berjuang melawan golongan yang menyalahgunakan kuasa demi poket sendiri.

    ‘’Menjadi impian saya melihat Malaysia dikemudi oleh barisan kepimpinan yang bebas daripada jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Hal ini diterjemahkan dengan “Aku Janji Integriti Calon” Perikatan Nasional,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook.

    Berikut adalah Aku Janji Integriti Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 Perikatan Nasional;

    k

  • SPRM akan bertemu Raja Petra berhubung skandal LCS

    SPRM akan bertemu Raja Petra berhubung skandal LCS

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan pertemuan dengan penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin dalam masa terdekat.

    Pertemuan itu berhubung dakwaan Raja Petra terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima sogokan kira-kita RM67 juta dalam projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, agensi itu akan membenarkan Raja Petra yang dikenali sebagai RPK mencadangkan lokasi pertemuan seperti yang dicadangkan penulis blog itu dalam video di laman sesawangnya kelmarin.

    “Kita sedang mengatur tarikh, masa dan lokasi pertemuan dengan Raja Petra untuk mengambil kenyataan beliau berhubung kes oni.

    “Saya yakin dalam minggu hadapan, pegawai bertugas akan berjumpa dengan Raja Petra,” katanya menurut Utusan TV yang memetik laporan The Star.

    Mengulas lanjut, Azam berkata, pertemuan itu diatur di luar negara memandangkan blogger tersebut tidak dapat pulang ke tanah air.

    Raja Petra mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu menerima wang itu menerusi lapan bayaran secara berperingkat antara 2012 dan 2013.

    Terdahulu, Raja Petra mendakwa urus niaga LCD dipermudahkan melalui pengurup wang di Singapura dan Malaysia.

    Raja Petra turut mendakwa mempunyai dokumen dan bukti mengaitkan Zahid dengan skandal itu.

    Dalam video itu, penulis blog itu menyampaikan jemputan kepada SPRM ke UK yang merupakan negara dipercayai menjadi pangkalannya, untuk bertemunya bagi menyerahkan dokumen terbabit.

  • Simpati nasib Dr. Adham, namun tekad gempur Parlimen Tenggara-Calon PN

    Simpati nasib Dr. Adham, namun tekad gempur Parlimen Tenggara-Calon PN

    CALON Pas yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Tenggara, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar, bersimpati dengan Datuk Seri Dr. Adham Baba yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Mohd. Nazari yang juga pesara pegawai tentera menyifatkan pengguguran Dr. Adham itu sebagai kehilangan kerana Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi berkenaan adalah pemimpin yang mesra serta dihormati.

    Beliau yang kini Pengetua Maahad Tafiz Darul Iman di Bandar Tenggara mengakui bersahabat baik dengan Dr. Adham yang sering berkongsi pengalaman sebagai pemimpin dan Ahli Parlimen.

    “Saya bersimpati dengan nasib sahabat baik saya, Dr. Adham. Bagaimanapun, ia akan memberi peluang dan kelebihan kepada PN untuk menghadapi PRU-15.

    “Saya tidak pasti apa akan berlaku membabitkan kem BN di Tenggara tetapi sudah pasti, saya sebagai calon PN dan pasukan gerak kerja parti akan menggempur kawasan Tenggara kerana peluang kini terbuka luas.

    “Tawaran dan misi saya adalah memastikan kemajuan infrastruktur lebih banyak dapat dibawa ke Tenggara, termasuk pelaburan baharu supaya penduduk khususnya generasi muda mendapat lebih banyak peluang pendidikan dan pekerjaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengenalan calon PAS-PN Johor, di Johor Bahrum, semalam, lapor Berita Harian.

    Selain Mohd. Nazari yang akan bertanding di Parlimen Tenggara, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin ditampilkan sebagai calon PN di kerusi Parlimen Muar; Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr. Abdul Karim Deraman pula akan bertanding di Parit Sulong dan Zanariyah Abdul Hamid (Sri Gading).

    Sementara itu, Abdullah berkata, beliau menyambut baik saingan orang muda yang bakal ditentangnya di Parlimen Muar.

    Beliau tidak memandang mudah saingan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Mohd Helmy Abd Latif yang diturunkan Barisan Nasional (BN).

    “PN tidak ada masalah, kita akan menghadapi saingan calon orang muda dengan pendekatan dan strategi yang berbeza.

    “Sudah pasti pengundi segenap lapisan umur melihat kriteria calon, termasuk kewibawaan, pengalaman, latar belakang dan yang paling utama integriti calon itu sendiri.

    “Saya akui saingan orang muda bukan mudah, namun saya akan menggunakan imej dan pesona kebapaan yang dimiliki bagi menarik perhatian pengundi,” katanya.

  • SPRM siasat ‘akujanji’ sokong Zahid jadi PM

    SPRM siasat ‘akujanji’ sokong Zahid jadi PM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat penyebaran akujanji didakwa ditandatangani calon UMNO untuk menyokong Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri Barisan Nasional (BN).

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dipetik Bernama sebagai berkata, agensi anti-rasuah itu sudah membuka satu kertas siasatan berhubung perkara itu.

    Semalam, setiausaha akhbar Zahid, Fadzlette Othman Merican berkata, akujanji itu palsu.

    Salinan dakwaan akujanji yang tular itu antara lain menyatakan calon bersetuju menyokong Zahid sebagai calon perdana menteri BN.

    Dokumen bocor itu mengandungi tandatangani calon, Zahid dan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan.

    Zahid menyifatkan dakwaan beliau meminta calon UMNO menyokongnya untuk jawatan tertinggi negara itu sebagai ‘pembohongan’.

    Gambar akujanji yang tular itu memaparkan tandatangan Shamsul Anuar Nasarah, yang dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Lenggong semalam.

    Setiausaha politik Shamsul membuat laporan polis berhubung perkara itu hari ini.

    Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dinamakan sebagai calon perdana menteri BN, sekiranya gabungan itu memenangi PRU15.

    Pada 16 Okt lalu, Zahid dilaporkan berkata, keputusan mencalonkan naib presiden Umno itu bagi jawatan berkenaan muktamad.

  • Tular video akar umbi UMNO mengamuk Asyraf Wajdi jadi calon di Gerik

    Tular video akar umbi UMNO mengamuk Asyraf Wajdi jadi calon di Gerik

    SATU video berlakunya kekecohan melibatkan umbi UMNO dan penyokong Barisan Nasional (BN) Gerik yang marah dan tidak puas hati Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kelantan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dipilih menjadi calon di kerusi itu, tular ketika ini.

    Kejadian itu berlaku kelarin dipercayai akibat rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti berhubung pemilihan calon di kawasan berkenaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pada 19 November ini.

    Difahamkan semasa kejadian, kumpulan ahli parti terbabit berkumpul di sebuah bangunan untuk mengikuti pengumuman calon oleh pemimpin tertinggi parti yang dibuat di Kuala Lumpur.

    Menerusi video berdurasi 1 minit dan 32 saat yang tular itu menunjukkan berlaku pertikaman lidah, kemudiannya berlarutan hingga hampir berlaku pergaduhan.

    Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, kejadian tersebut berjaya ditenangkan ahli parti lain yang berada di situ.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Suprintendan Zulkifli Mahmood mengesahkan kekecohan terbabit.

    Bagaimanapun katanya, tiada sebarang laporan dibuat berhubung kejadian.

    “Kita tidak menerima sebarang laporan mengenai kekecohan yang berlaku itu,” katanya.

  • Pendapatan rendah faktor Selangor terendah Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021-Rina

    Pendapatan rendah faktor Selangor terendah Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021-Rina

    PENDAPATAN rendah dan isu ekonomi antara faktor utama menjadikan Selangor berada pada kedudukan terendah dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ini berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan indeks kebahagiaan di Selangor iaitu 5.74 peratus berbanding indeks nasional 6.48 peratus.

    “Indeks paling tinggi direkodkan di Labuan iaitu 9.29 peratus diikuti Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu dan Selangor paling bawah. Apa yang paling rendah kalau ikut komponennya adalah pendapatan dan ekonomi.

    “Sebab itulah hari ini kita bawakan program KASIH@SMILE di kawasan komuniti Putra Perdana, Puchong bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada usahawan kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), selain program sokongan lain seperti Wanita Bangkit yang menawarkan peluang pekerjaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program KASIH@SMILE di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong hari ini.

    Rina berkata usaha mempertahankan keutuhan institusi keluarga serta mengekalkan tahap kesejahteraan keluarga merupakan tanggungjawab bersama semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan mahupun setiap individu dalam keluarga.

    Pada majlis itu, Rina turut menyumbangkan 1,000 topi keledar kepada kanak-kanak yang memerlukan di komuniti itu.

    Program KASIH@SMILE diadakan sempena Bulan Keluarga Malaysia yang disambut pada November bertemakan ‘Kasih Keluarga Malaysia’.

    Pelbagai aktiviti disusun seperti bual bicara yang menampilkan personaliti dan pakar kekeluargaan; pameran dan perkhidmatan di bawah KPWKM; program e-sukan dan aktiviti sukan indoor; serta program kerohanian Maulid Akhbar yang akan dikendalikan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air.