Category: Semasa

  • 4 penjuru di Alor Gajah, Redzuan dicabar calon ‘heavyweight’ Shahril Hamdan, Adly Zahari

    4 penjuru di Alor Gajah, Redzuan dicabar calon ‘heavyweight’ Shahril Hamdan, Adly Zahari

    KERUSI Parlimen Alor Gajah yang disandang Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof akan menyaksikan pertembungan empat penjuru pada PRU-15.

    Redzuan yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) dicabar Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan yang mewakili Barisan Nasional (BN), Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Melaka Adly Zahari dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Senarai rasmi calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya Parlimen Alor Gajah Saiful Hazwa Kipli di Dewan Taming Sari (Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah selepas proses penamaan calon tamat pada 10 pagi tadi lapor FMT.

    Kira-kira lebih 300 penyokong parti bertanding berkumpul di pekarangan pintu masuk UiTM sejak 7 pagi tadi.

    Pada PRU-14, Redzuan menang kerusi Parlimen itu atas tiket Bersatu, yang ketika itu masih bersama PH, selepas menewaskan calon BN Wong Nai Chee dan calon Pas, Mohammad Nazree Mohammad Aris dengan majoriti 6,980 undi.

    Bersatu kemudian meninggalkan PH dan membentuk PN bersama Pas Gerakan, Star dan Parti Maju Sabah (SAPP).

    Redzuan akan mewakili PN pada PRU kali ini dalam misi mempertahankan kerusi tersebut.

  • Ahmad Faizal berdepan Anwar Ibrahim, dua calon lain di Tambun

    Ahmad Faizal berdepan Anwar Ibrahim, dua calon lain di Tambun

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berdepan saingan empat penjuru dalam usaha beliau mempertahankan Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu akan berdepan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Selain itu mereka dicabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md. Hanafiah dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Abdul Rahim Tahir.

    Pencalonan keempat-empat calon berkenaan diterima dan diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRU-15 Parlimen Tambun, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

    Pada proses penamaan calon di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Meru di Ipoh hari ini, Anwar merupakan calon pertama memasuki pusat pencalonan pada pukul 8.45 pagi.

    Ahmad Faizal hadir di pekarangan pusat penamaan calon pada pukul 8.50 pagi bersama calon DUN Hulu Kinta, Puteri Holijah Muhamad Rali (Bersatu) dan calon DUN Manjoi, Hafez Sabri (Pas).

    Ketua Pembangkang itu pula tiba bersama penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi (Amanah) dan penyandang kerusi DUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR).

    Aminuddin pula tiba di pekarangan pusat penamaan calon pada pukul 8.55 pagi bersama calon kerusi DUN Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz dan calon DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abd Rahman.

    DUN Hulu Kinta menyaksikan seorang calon Bebas yang juga kontraktor, S. Murugiah, 57, bertanding.

    Pada PRU-14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

    Sementara itu, proses penamaan calon bagi Parlimen Tambun berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.

  • Rani Kulup beri saingan calon handalan di Port Dickson

    Rani Kulup beri saingan calon handalan di Port Dickson

    ABDUL Rani Kulup, aktivis yang terkenal dengan siri laporan polis dan penampilan melucukan, mencuba nasib dengan bertanding di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Dia akan berdepan dengan tokoh handalan pelbagai parti antaranya Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH), bekas Timbalan Menteri daripada MIC P. Kamalanathan.

    Rani juga akan ditentang pelakon dan pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

    Malaysiakini melaporkan, seorang lagi calon kawasan itu ialah Rafiei Mustapha daripada Perikatan Nasional (PN).

    Ketika hadir menghantar borang bersama penyokong, dia memakai pakaian bangsawan Melayu, bertanjak dan bercapal.

    Penyandang kerusi itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertanding kerana berpindah ke Tambun, dalam rangka PH menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan dalam pilihan raya 19 November depan.

    Anwar, pengerusi PH, memang dengan majoriti besar 23,560 undi dalam pilihan raya kecil 2018.

    Parlimen yang terkenal dengan pantai peranginannya itu mempunyai 97,058 pengundi.

  • Pagoh saksi pertandingan tiga penjuru

    Pagoh saksi pertandingan tiga penjuru

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan saingan tiga penjuru selepas dua lagi calon mengesahkan pencalonan mereka bagi merebut kerusi Parlimen P143 Pagoh.

    Bekas Perdana Menteri yang juga penyandang kerusi Parlimen berkenaan, ditentang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon dari Pakatan Harapan (PH) Iskandar Shah.

    Pada proses penamaan calon yang berlangsung Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar, Muhyiddin yang mengenakan busana baju Melayu berwarna biru gelap merupakan calon terawal yang hadir sekitar 8.55 pagi dengan iringan padu daripada penyokong beliau.

    Kemudian disusuli Iskandar Shah ke pusat penamaan calon tersebut sekitar 9.01 pagi manakala Razali tiba pada pukul 9.06 minit.

    Berdasarkan undian kedudukan nombor calon pada kertas undi Razali (BN) berada pada nombor satu, diikuti Muhyiddin (PN) dan Iskandar (PH).

    Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Muhammad Ya’kub mengesahkan semua calon layak bertanding selepas setengah jam tempoh pencalonan ditutup.

    Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU-14) Muhyiddin Yassin memenangi kerusi Parlimen Pagoh dengan undian sebanyak 23,558 undi menewaskan dua lagi calon iaitu Ismail Mohamed (BN) dan Ahmad Nawfal Mahfodz (Pas).

    Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal ialah pada 15 November ini manakala hari pengundian pada 19 November.

  • Azmin berdepan saingan 5 penjuru pertahan Gombak

    Azmin berdepan saingan 5 penjuru pertahan Gombak

    PENYANDANG Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdepan saingan lima penjuru dalam usaha beliau mempertahankan Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berdepan saingan kuat daripada Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

    BH online melaporkan, Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) turut ditentang Ketua UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN).

    Selain itu turut menyertai saingan di kerusi itu, calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

    Keputusan pencalonan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihanraya bagi kerusi Parlimen Gombak, Wan Norazlina Abdul Aziz di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di Gombak, hari ini.

    Calon Perikatan Nasional, Datuk Seri Azmin Ali bersama calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Amirudin Shari dan calon Barisan Nasional, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omar Din, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad mengangkat tangan selepas selesai proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Sementara itu, pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA tidak menyerahkan borang pencalonannya sebaik pusat penamaan calon PRU15 bagi Parlimen Gombak di SMK Sungai Pusu di Gombak, ditutup pukul 10 pagi tadi.

    Terdahulu, Azwan yang pernah bertanding sebagai calon Bebas dalam PRU-14 pada Mei 2018 lalu, namun tewas dan hilang deposit, tiba di sekitar pusat penamaan calon itu, kira-kira pukul 8.30 pagi.

    Kerusi Parlimen Gombak menjadi antara tumpuan kerusi panas dalam saingan PRU kali ini, dengan PH menjadikan kerusi itu sebagai medan menebus maruahnya.

    Ini ekoran keputusan Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR pada Februari 2020 bertindak keluar parti bersama kira-kira 10 Ahli Parlimen PKR lain.

    Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, antara DUN di bawah Parlimen Gombak menjadi taruhan besar PH dan dianggap paling menyengat untuk merampas kembali kerusi itu kali ini.

    Pada PRU14 lalu, Azmin menang di kerusi itu dengan majoriti 48,721 undi.

    Sementara itu, kehadiran calon PH, PN dan BN turut diiringi ratusan penyokong masing-masing, sekali gus menyaksikan pusat penamaan calon itu gamat dengan sorakan penyokong parti.

  • Pesuruhjaya Pas Melaka diiringi 500 penyokong PN

    Pesuruhjaya Pas Melaka diiringi 500 penyokong PN

    PESURUHJAYA Pas Melaka, Zulkifli Ismail, 56, hadir ke pusat penamaan calon (PPC) bagi Parlimen Jasin di Politeknik Merlimau, Merlimau, Melaka pada pukul 9.05 pagi tadi.

    Sebelum itu beliau diarak lebih 500 penyokong bermula dari lokasi berkumpul di Bandar Baharu Merlimau Utara sehingga ke PPC.

    Pada masa ini para penyokong diletakkan di lokasi berasingan di padang Politeknik terbabit.

  • Selepas dengar ‘bisikan’ ibu, Azwan Ali tak jadi ‘lawan’ abang di Gombak

    Selepas dengar ‘bisikan’ ibu, Azwan Ali tak jadi ‘lawan’ abang di Gombak

    PENGACARA sensasi, Azwan Ali mengumumkan menarik diri dari daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika tiba di pusat penamaan calon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, pagi tadi.

    Azwan, 56, yang tiba di lokasi dengan menaiki motosikal membuat keputusan pada Subuh tadi selepas mendengar bisikan dari arwah ibunya, Mak Tom dan sekali gus menidakkan kenyataannya untuk bertanding di atas tiket calon Bebas Parlimen Gombak sebagai satu gimik.

    “Pagi ini selepas subuh saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendengar bisikan daripada Allahyarham emak saya, Mak Tom. Ini bukan perkara main-main mahupun gimik.

    “Saya percaya ada hikmah yang Allah tunjuk supaya saya tidak bertanding. Arwah Mak Tom selalu datang dalam mimpi saya dan menasihatkan saya jangan bertanding. Tak kisahlah anda kata merepek, tapi saya dengar suara emak saya.

    “Saya minta maaf sebab terlalu ramai penyokong yang inginkan saya bertanding. Jadi maafkan saya, hajat anda tidak kesampaian. Saya juga minta maaf kerana mungkin keputusan saya ini memgejutkan semua,” katanya lapor BH Online.

  • PRU-15: Calon, penyokong PN Parlimen Larut, DUN solat hajat calon

    PRU-15: Calon, penyokong PN Parlimen Larut, DUN solat hajat calon

    KEM Perikatan Nasional (PN) melaksanakan solat hajat di dewan terbuka Tapak Pasar Malam Pekan Selama, di Larut, pada pukul 8.23 pagi tadi sebelum berarak ke Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Selama.

    Dalam solat hajat itu kelihatan ke empat-empat calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen PN iaitu Mohd. Akmal Kamarudin (Selama), Khalil Yahya (Kubu Gajah), Datuk Mohd. Najmuddin Elias Al-Hafiz (Batu Kurau) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut) menyertai solat hajat yang disertai kira-kira 500 penyokong, lapor BH Online.

    Kesemua calon termasuk dari PN, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Pejuang dan calon Bebas, dilihat serentak memasuki pekarangan pusat penamaan calon pada jam 9 pagi melalui pintu utama dan pintu belakang.

  • Kehadiran Shahidan curi perhatian ramai

    Kehadiran Shahidan curi perhatian ramai

    KEHADIRAN penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) menarik perhatian ramai, di pusat penamaan calon, Parlimen Arau, di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, di Kangar, hari ini.

    Kehadiran tokoh politik berpengaruh disegani bersama lima lagi calon PN yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Guar Sanji, Tambun Tulang, Simpang Empat dan Sanglang sekitar pukul 8.30 pagi diiringi kira-kira 100 penyokong PN dari seluruh Parlimen itu.

    Kira-kira lima minit sebelum itu, calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie tiba di pekarangan dewan penamaan calon itu bersama lima calon PH lain, disertai hampir 100 penyokong PH sambil melaungkan sorakan ‘reformasi’ dan ‘lawan tetap lawan’.

    Sekitar pukul 8.45 pula, rombongan calon Barisan Nasional (BN) termasuk calon Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman serta lima lagi calon DUN berarak memasuki dewan penamaan calon diikuti calon dari Warisan dan Gerakan Tanah Air, lapor BH Online.

    Proses penamaan calon berlangsung sejam bermula pukul 9 pagi, diikuti tempoh proses bantahan selepas itu, selama sejam sebelum penamaan calon dimuktamatkan, pada pukul 11 pagi.

  • Muhyiddin disambut meriah di Pagoh

    Muhyiddin disambut meriah di Pagoh

    CALON Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba bagi proses penamaan calon pada pukul 8.55 pagi di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar, pagi ini.

    Mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh, Pengerusi PN itu disambut meriah penyokongnya sambil mengibarkan bendera PN berserta laungan takbir.

    Muhyiddin lengkap berpakaian baju Melayu berwarna biru sebelum memasuki dewan bagi meneruskan proses penyerahan dokumen pencalonan.

    Sementara, pesaing beliau Iskandar Shah Abdul Rahman dari Pakatan Harapan (PH) tiba pada pukul 9.01 pagi manakala Datuk Seri Razali Ibrahim daripada Barisan Nasional (BN) hadir pada pukul 9.06 pagi.