Category: Semasa

  • Gunakan hak mengundi, terutama pengundi kali pertama – Muhyiddin

    Gunakan hak mengundi, terutama pengundi kali pertama – Muhyiddin

    RAKYAT wajar mengambil serius tanggungjawab mengundi barisan pimpinan yang akan menjadi penentu masa depan negara.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan calon Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin melihat rakyat keluar mengundi terutamanya pengundi kali pertama.

    “Mengundi adalah satu tanggungjawab yang amat penting dalam PRU15 ini walau apa situasi sekalipun kita harap jumlah peratusan yang keluar mengundi tinggi.

    “Menunjukkan kita menggunakan hak, terutamanya buat mereka yang pertama kali didaftarkan secara automatik iaitu pengundi umur 18 tahun ke atas,” katanya, selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar, hari ini.

    Muhyiddin turut berharap pengundi muda mampu membuat perbandingan bernas dalam menentukan pimpinan yang lebih tulus dan bersih.

    “Harapan kita supaya mereka memberikan pertimbanggan bijaksana untuk memilih parti yang mereka anggap boleh dipertanggungjawabkan memikul amanah dan memahami masalah rakyat.

    “Kami amat sedar bahawa situasi masih belum pulih sepenuhnya jadi wajarlah pengundi memberikan sokongan dan memilih calon-calon PN yang bertanding di seluruh negara,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberitahu PN sedang memperincikan beberapa perkara penting bagi menitikberatkan hal ekonomi, alam sekitar, pendidikan, belia dan wanita sebagai manifesto yang dijangka diumumkan pada esok.

    “Kami tidak hanya berjanji, kami akan usahakan dan laksanakan sepenuhnya apa yang kami janjikan dalam manifesto.

    “Ini akan dimaklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara,” jelasnya, lapor SatuBerita.

  • Shahidan mohon orang Arau ‘humban’ calon dari Pulau Pinang

    Shahidan mohon orang Arau ‘humban’ calon dari Pulau Pinang

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengharapkan pengundi di Parlimen itu menolak calon dari luar negeri berkenaan termasuk calon Barisan Nasional (BN) yang didakwanya berasal dari Pulau Pinang.

    Jelas bekas Menteri Besar Perlis itu, tujuannya bagi membuktikan penduduk di Perlis mampu diketengahkan terutama dalam kepimpinan di peringkat kawasan bukannya calon yang sering ‘berpindah-randah’.

    “Orang Arau, saya minta pilih calon tempatan… termasuk di Padang Besar, calon daripada KL (BN)… yang di Arau (BN letak) calon daripada Pulau Pinang.

    “Orang Perlis pun ramai pemimpin, ramai tokoh hebat dan berwibawa, elok pilih calon tempatan, sebab calon luar seringkali datang dan pergi. Kalau dia (orang luar yang bertanding di Perlis) hebat, bertandinglah tempat sendiri kenapa cari tempat orang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Proses Penamaan Calon Parlimen Arau di Dewan Harumanis, Politeknik Tuan Syed Sirajuddin di Arau hari ini.

    Dalam pada itu, Shahidan menzahirkan keyakinan bahawa beliau dan calon Perikatan Nasional (PN) di kesemua DUN dalam Parlimen Arau akan menang.

    Katanya, ia sekali gus membawa kepada perubahan kerajaan baharu dengan jangkaan tiga lagi DUN di Parlimen Kangar serta beberapa DUN dalam Parlimen Padang Besar berjaya dirampas PN.

    Tambahnya secara berseloroh, Pengerusi PN Perlis yang juga calon DUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli bermungkinan akan dipilih menjadi Menteri Besar yang baharu sekiranya sasaran itu berjaya dicapai.

    “Di Arau, lima DUN, saya yakin kita menang dan Parlimen (ini juga) kita menang. Di Perlis kita akan menang dengan cemerlang, kita jangka dapat tiga kerusi daripada Kangar, (dengan itu) sudah boleh perintah negeri. Cikgu Shukri bakal jadi MB, menghadap Tuanku,” katanya.

    Terdahulu, Parlimen Arau yang disebut-sebut sebagai kerusi panas bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Ketiga-tiga calon berkenaan adalah penyandang kerusi itu, Shahidan yang bertanding atas tiket PN, Datuk Rozabil Abdul Rahman (BN) dan calon berusia 28 tahun yang ditampilkan Pakatan Harapan, Fathin Amelia Fazlie.

    Pengumuman itu dibuat pada pukul 12.15 tengahari oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Parlimen Arau, Abdul Malek Hassan.

  • Jadikan Arau tapak perpaduan ummah – Shahidan

    Jadikan Arau tapak perpaduan ummah – Shahidan

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, mengajak pengundi Perlis menolak kehadiran calon luar yang dihantar bertanding di negeri itu.

    Penyandang kerusi Parlimen Arau selama empat penggal itu bermula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986, 1990, 2013 dan 2018, berpendapat pengundi Arau di kawasan yang ditandinginya, wajar menerima wakil rakyat dari kawasan itu.

    “Saya lihat bukan sahaja Arau tetapi juga Padang Besar. Calon ditampilkan (Barisan Nasional) adalah dari luar Perlis dan persoalannya apakah percaturan ini berkesan kepada mereka.

    “Di Arau ini, ramai calon dan pemimpin tempatan berwibawa, maka eloklah dipilih calon orang tempatan daripada calon luar yang kita tahu hanya datang dan pergi dan muncul bila nak undi.

    “Malah, calon luar ini kalau mereka hebat, maka mereka bertanding di tempat asal sendiri berbanding di sini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh, di sini hari ini.

    Shahidan berkata, berdasarkan kerja keras selama ini, beliau yakin PN mampu menang di Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis pada PRU15 ini.

    “Apa yang penting, saya sekarang sudah berada bersama parti baru yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air kerana di bawah PN ini, kita gerakkan perpaduan ummah di mana orang UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh duduk bawah satu bumbung.

    “Malah, saya harap orang UMNO, Pas dan Bersatu boleh sokong saya untuk jadikan Arau sebagai permulaan kepada perpaduan ummah ini berjaya dilaksanakan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Dalam PRU kali ini, Shahidan yang akan mempertahankan kerusi itu tetapi di bawah lambang PN, akan ditentang bekas anak didiknya yang dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozabil Abd Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH) Fathin Amelina Fazlie.

    Pada PRU14 lalu, Shahidan yang bertanding di bawah BN, memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,856 undi.

  • Hadi harap gelombang Shahidan bantu PN tawan Perlis

    Hadi harap gelombang Shahidan bantu PN tawan Perlis

    PRESIDEN Pas Abdul Hadi Awang berharap gelombang yang dibawa bekas penyandang kerusi Parlimen Arau Shahidan Kassim akan dapat membantu Perikatan Nasional (PN) menawan Perlis pada pilihan raya umum (PRU-15) kali ini.

    “Kita (PN) harap gelombang Arau dan gelombang Perlis. Kita mahu tawan Perlis selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya ringkas dalam sidang media di Marang sebaik saja proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Marang tamat lapor Malaysia Kini.

    Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pimpinan Pas itu akan turut turun berkempen ke Parlimen Arau.

    Shahidan bertanding sebagai calon PN di Arau melawan calon Barisan Nasional (BN), Rozabil Abd Rahman, calon Pejuang Abdul Razak Abdul Khalek dan calon Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie.

    Shahidan, 71, menjadi wakil rakyat di parlimen itu selama empat penggal sejak PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 dan ini kali kelima, bekas menteri besar itu akan mempertahankan kerusi berkenaan.

    Shahidan antara 10 pemimpin UMNO yang digugurkan daripada mempertahankan kerusi parlimen masing-masing pada PRU kali ini.

  • Kejayaan kerajaan Kelantan jadi modal kempen PN

    Kejayaan kerajaan Kelantan jadi modal kempen PN

    CALON Perikatan Nasional (PN) Machang, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kejayaan Kelantan mentadbir negeri itu selama 32 tahun tanpa sebarang rasuah boleh menjadi semangat untuk meneruskan gerak kerja kempen PN di seluruh negara.

    “Kerajaan Kelantan membuktikan kepimpinan ulama berjaya menerajui pentadbiran negeri dalam tempoh begitu lama.

    “Pemimpin yang baik, berilmu dan beriman akan melahirkan masyarakat dan negara yang baik,” katanya ketika berucap pada majlis perisytiharan calon Parlimen PN Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad, Kota Bharu, lapor Harakahdaily.

    Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, rakyat perlu membuat ketetapan penting pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi menolak golongan kluster mahkamah, ideologi komunis serta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

    Menurutnya hanya rakyat yang mampu untuk mengubah landskap negara pada masa akan datang, 19 November ini.

    “Kitalah yang bakal merubahnya, kitalah yang akan menentukan kestabilan dan kesejahteraan negara pada masa akan datang,” katanya.

  • ‘Saya masih calon PM untuk BN’ – Ismail Sabri

    ‘Saya masih calon PM untuk BN’ – Ismail Sabri

    “Saya masih lagi ‘poster boy’ dan calon perdana menteri Barisan Nasional (BN) selepas PRU15 (pilihan raya umum ke-15),” kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana menteri sementara itu berkata, pemilihan beliau sebagai calon jawatan utama pentadbiran kerajaan itu diputuskan secara jelas dalam Persidangan Agung UMNO 2021 serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO April lepas.

    “Setakat ini, tidak ada keputusan daripada MKT Umno mengatakan sebaliknya (tukar calon perdana menteri) dan baru-baru ini lebih 156 daripada 191 bahagian UMNO membuat usul mencadangkan saya sebagai calon perdana menteri.

    “Perkara itu (calon perdana menteri) tidak ‘reversed’ dan tak ada mesyuarat (dalam parti) yang memutuskan sebaliknya (tukar calon perdana menteri), maka apa yang diputuskan sebelum ini kekal,” katanya selepas hadir di pusat penamaan calon bagi Parlimen Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu turut menafikan wujud surat akuan bersumpah bagi memilih calon perdana menteri selain beliau selepas pilihan raya, yang didakwa perlu ditandatangani setiap calon Umno seperti yang tular di media sosial beberapa hari lepas.

    Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, surat yang ditandatangani calon pada pilihan raya kali ini untuk memastikan tiada yang bertindak melompat parti selaras Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang berkuat kuasa 5 Okt lepas.

    “Kalau dulu, surat itu seperti surat peletakan jawatan kita sebagai ahli Dewan Rakyat atau ADUN, kalau kita melompat parti lain. Itu dulu, tapi sekarang sejak ada akta anti-lompat parti, kita punya SD (surat akuan bersumpah) berdasarkan akta itu,” katanya.

    Mengenai spekulasi wujud kerjasama atau pakatan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, Ismail secara ringkas berkata:

    “Saya tak pasti…kita tak dengarlah perkara itu…spekulasi (timbul) macam-macam” katanya lapor Free Malaysia Today.

  • Sorakan ‘katak’ tak beri apa-apa makna, kata Hamzah

    Sorakan ‘katak’ tak beri apa-apa makna, kata Hamzah

    CALON PN Parlimen Larut, Datuk seri Hamzah Zainudin berkata sorakan ‘katak’ dilemparkan kepadanya langsung tidak memberi makna kerana pengundi tempatan lebih mengetahui apa yang telah dilakukannya di kawasan itu.

    “Sorakan itu tidak memberi makna kerana yang memberi makna adalah pengundi, mereka tahu jasa apa yang telah saya buat,” katanya kepada media di pusat penamaan calon Parlimen Larut di Pejabat Daerah dan Tanah Selama.

    Hamzah, penyandang tiga penggal Parlimen Larut, berkata terdapat calon dan wakil rakyat parti lawan datang memeluknya dan mengucapkan terima kasih terhadap jasanya di kawasan itu.

    “Bila saya bertemu dengan calon, wakil calon sebelah sana mereka peluk saya ada yang bercakap perkara yang sudah saya lakukan untuk mereka.

    “Mereka tahu jasa apa yang telah saya buat, kalau mereka kata saya pengkhianat mereka tak sedar apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat bukan untuk diri saya,” katanya, lapor FMT.

    Pada PRU-14 lalu, Hamzah menang kerusi Parlimen Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas mengalahkan calon PAS, Abu Husin Mohamad dan calon PKR, Khairil Anuar dengan majoriti sebanyak 4,486 undi.

    Bagaimanapun, menteri dalam negeri itu keluar Umno dan menyertai Bersatu, pada 2019.

  • Guna media sosial tarik pengundi muda Tambun – Peja

    Guna media sosial tarik pengundi muda Tambun – Peja

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menggunakan media sosial sebaik mungkin bagi menarik pengundi muda menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 Nov ini.

    “Kita akan kempen pastikan pengundi muda menggunakan hak mereka untuk lebih bertanggungjawab dan keluar mengundi…itu penting.

    “Namun, pada masa sama, mereka juga kumpulan yang sangat penting dalam menentukan (hala tuju negara), jadi tentunya media sosial amat penting untuk kami dekati golongan muda,” katanya selepas proses penamaan calon Parlimen Tambun di Dewan Seri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh.

    Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

    Mengenai pertembungan nama besar di Parlimen Tambun kali ini, termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Faizal yakin pengundi lebih selesa memilih calon tempatan.

    “Calon tempatan lebih dikenali, nama besar juga dikenali, tapi saya yakin rakyat dan pengundi Tambun lebih mendambakan calon (tempatan) yang lebih dikenali kerana mereka nak mengadu permasalahan dan sebagainya.

    “Masing-masing ada peluang adil, terpulang kepada kami untuk menjalankan kempen dan kami harap dapat jalankan kempen dengan baik dan penuh berhemah,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Pada PRU14, Faizal memenangi kerusi Tambun dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan calon Pas, Ibrahim Zakaria.

  • Ismail Muttalib selesa dengan PN pertahan Maran

    Ismail Muttalib selesa dengan PN pertahan Maran

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib yang mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, merasa selesa dengan PN.

    Walaupun pelbagai kecaman dilemparkan terhadapnya setelah membuat keputusan bertanding atas tiket PN selepas tidak dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN), beliau menyerahkan segala-galanya ke hadrat Allah SWT.

    “Alhamdulillah penamaan calon telah selesai hari ini dan pencalonan saya telah diterima mewakili PN.

    “Pilihan raya umum kali ini bukam sekadar mainan, tapi kita hendak melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab, amanah, bebas rasuah dan mempunyai moral yang tinggi untuk menjalankan amanah terhadap agama, bangsa dan negara.

    “Harapan saya supaya pengundi di Maran terus memberikan sokongan untuk saya berkhidmat kepada rakyat di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Maran hari ini.

    Ismail berkata, biarpun bersama ‘teman baharu’, namun beliau tidak akan melupakan teman lamanya dan akan menyapa mereka jika bertemu.

    Pada PRU-15 kali ini, kerusi Parlimen Maran menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu melibatkan Ismail, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Shuhor Awang dan calon Bebas, Muhamad Hafiz Ishak.

  • Pagoh masih perlukan sentuhan Abah

    Pagoh masih perlukan sentuhan Abah

    MEMILIKI pengalaman luas dalam politik serta prinsip konsisten menentang kemelut rasuah, korupsi dan membela agama, antara faktor kepercayaan masyarakat Pagoh masih mendambakan jasa dan bakti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ketika ditemui SatuBerita, seorang anak kelahiran Pagoh, Mohd. Zain Abdullah, 61, berkata masyarakat setempat cukup selesa dengan bekas Perdana Menteri itu apabila menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang cukup mesra dengan rakyat.

    “Dia sangat mesra dengan rakyat, tak kisah dengan orang kampung duduk semeja, meja kayu pun boleh.

    “Orangnya tak sombong apapun kita ada masalah, dia boleh tolong selesaikan. Alhamdulillah apa diberikan kepada rakyat, bukan di Pagoh sahaja malah satu Malaysia,” katanya.

    Sementara itu, bagi Miswati Ibrahim, 48, dirinya bersetuju bahawasanya masyarakat Pagoh mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Muhyiddin apabila telah banyak jasa yang telah direalisasikan oleh beliau.

    “Beliau lama berjasa di Pagoh, malah beliau ingin menyelamatkan Malaysia daripada korupsi, rasuah dan menjaga agama kita.

    “Antara jasa Tan Sri, termasuk juga hub pendidikan tinggi ini jadi, anak-anak tidak perlu keluar untuk belajar di tempat lain,” jelasnya.

    Bagi Kannan Ramasamy, 51, berkata Muhyiddin perlu diundi pada pilihan raya umum ke-15 ini, kerana dirinya berpandangan bahawa beliau pernah membuktikan kredibiliti beliau ketika menjawat jawatan Menteri Besar Johor serta Perdana Menteri.

    “Muhyiddin telah pun menunjukkan kebolehannya semasa dia dipilih menjadi Menteri Besar termuda Johor dan memerintah negeri ini dengan cekap dan bagus.

    “Kami rasa pentadbiran dia bersih, beliau membawa keadilan, kehakiman kepada semua yang menyorok duit, berkomplot dengan korupsi.

    “Kami rasa ini adalah masa terbaik untuk kaum India sokong Muhyiddin agar kerajaan dibentuk adalah kerajaan yang stabil dan bersih,” katanya.