Category: Semasa

  • Penyokong tegar antara faktor Abdul Hadi, Pas tidak goyah, sukar digugat di Marang

    Penyokong tegar antara faktor Abdul Hadi, Pas tidak goyah, sukar digugat di Marang

    WALAUPUN memiliki jumlah keahlian tidak seramai Barisan Nasional (BN), namun Pas masih mampu menjadikan beberapa kawasan di Terengganu khususnya Marang sebagai kubu kuat parti tersebut.

    Hal ini disebabkan selain diwarnai pengundi setia, parti itu turut mempunyai penyokong tegar bersemangat waja.

    Penulis bukan orang politik, tetapi berkawan dengan semua rakan-rakan politik sama ada Bersatu, Pas, UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Pejuang.

    Memandangkan penulis ‘membesar’ dan menetap di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang terletak di Parlimen Marang, maka apa sahaja berlaku disekeliling penulis dapat perhatikan.

    Bercakap mengenai penyokong Pas, penulis mendapati rata-rata mereka adalah terdiri daripada golongan yang kuat bekerja tanpa mengharapkan sebarang bentuk upahan.

    Sama ada tua, muda ataupun muslimat, kebanyakan penyokong Pas sanggup bersekang mata, tidak tidur demi untuk membantu parti mengadakan pelbagai program aktiviti terutama ketika berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

    Selain taat setia kepada pemimpin, penyokong Pas juga sentiasa menghormati logo atau bendera parti.

    Kebanyakan penyokong tegar ini telah sebati dengan setiap imej atau simbol sejak ‘dilahirkan’.

    Mereka tidak akan membiarkan bendera parti terjatuh ke tanah atau dikhianati pihak lain.

    Malah, mereka sanggup berhadapan dengan apa sahaja sekiranya berlaku sebarang bentuk pengkhianatan ke atas imej, simbol, logo dan bendera parti.

    Malah sikap dan semangat inilah menyebabkan Pas menjadi semakin kuat dan berpengaruh di Terengganu, khususnya Marang.

    Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa kewujudan penyokong tegar adalah antara faktor yang membantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan parti berkenaan tidak goyah dan sukar digugat di Marang.

    Ketika hari penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Marang semalam, ribuan penyokong Pas sanggup keluar beramai-ramai berarak sambil bersalawat dan bertakbir dalam kedaaan hujan renyai-renyai untok memberi sokongan kepada calon kesayangan mereka, Abdul Hadi.

    Malah penulis mendapati, ada penyokong terbabit mempunyai masalah kesihatan dan yang berkerusi roda juga turut hadir.

    Seorang rakan penulis yang merupakan orang kuat parti Pas pernah memberitahu, kalau kena caranya, letak ‘unta’ pun sebagai calon, Pas boleh menang di Marang.

    Ini terbukti apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Pas buat pertama kalinya meletakkan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon di kerusi Rhu Rendang.

    Ketika itu orang Marang ramai yang masih tidak mengenali Samsuri kerana berasal dari Besut, namun kemenangan tetap berpihak kepadanya.

    Sebab itulah Pengerusi Perhubungan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris pernah memberitahu, budaya kepimpinan dan semangat kerja dilakukan oleh para penyokong Pas akan diterapkan dalam Perikatan Nasional (PN).

    Dalam PRU15, 19 November ini Abdul Hadi yang mewakili Pas-PN dijangka tiada masalah mempertahankan kerusi Parlimen Marang sekalipun berhapan dengan persaingan empat penjuru.

    Ini kerana tiga pencabarnya dikatakan merupakan calon muda dan masih ‘mentah’ dalam politik.

    Mereka ialah Jasmira Othman (BN-UMNO), Zarawi Sulong (GTA-Putra) dan Azhar Abdul Shukor (PH-Amanah).

    Pada PRU14 lalu, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang berjaya mendapat 53,749 menewaskan
    Mohd Nor Endot (BN-UMNO) yang memperoleh 31,795 undi dan Zarawi Sulong (PKR) mendapat 5,138 undi.

  • Isteri penyandang kerusi Parlimen Kubang Pasu meninggal dunia

    Isteri penyandang kerusi Parlimen Kubang Pasu meninggal dunia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SETIAUSAHA Agung Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Amiruddin Hamzah menerima khabar duka tidak lama selepas kembali dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Pasu apabila isterinya meninggal dunia, awal pagi tadi.

    Bekas pegawai khas Amiruddin, Ku Iskandar Ku Saad berkata, Datin Siti Hamimah Ab. Rahman menghembuskan nafas terakhir pukul 12.15 pagi tadi.

    “Allahyarham meninggal dunia akibat kanser. Difahamkan beliau sudah lama menghidap kanser dan pernah sembuh namun penyakitnya itu datang kembali.

    “Arwah meninggal dunia di Jelebu, Negeri Sembilan dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru Pantai, Seremban kira-kira pukul 10 pagi,” katanya.

    Semalam, Amiruddin disahkan sebagai calon Pejuang untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Pasu yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Bekas Timbalan Menteri Kewangan di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu bakal berdepan saingan daripada tiga calon lain iaitu Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Hasmuni Hassan daripada Barisan Nasional (BN), dan wakil PH, Aizuddin Ariffin.

    Pada PRU14, Amiruddin memenangi kerusi tersebut dengan memperolehi 29,984 undi, mengatasi Datuk Seri Johari Baharum daripada BN yang memperolehi 16,975 undi dan Norhafiz Fadzil dari Pas yang sekadar mendapat 13,375 undi.

  • PN yakin mampu rampas Jerlun dari Pejuang

    PN yakin mampu rampas Jerlun dari Pejuang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SOKONGAN padu ditunjukkan penyokong pada Majlis Penamaan Calon bagi Parlimen Jerlun pagi semalam, mengundang sebak buat calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Abd. Ghani Ahmad.

    Dengan kehadiran teramai mengatasi penyokong-penyokong parti lain termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diwakili Presiden, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Abd. Ghani tampak sudah memiliki kemenangan moral untuk meneruskan kempen menjelang hari pengundian, 19 November depan.

    Menurut Abd. Ghani, antara faktor yang membuatkannya menitiskan air mata adalah sokongan padu ditampilkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jerlun untuk beliau merampas kerusi tersebut dari Mukhriz.

    “Kami yakin dengan kerjasama dan komitmen semua kepimpinan serta jentera untuk menang di sini. Di sini kami memiliki kesepakatan dan semangat setia kawan bagi menyusun jentera untuk menghadapi Pilihran Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Insya Allah kemenangan akan berpihak kepada PN. Suasana semasa juga jelas meningkat menampakkan sokongan kepada PN,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penamaan Calon di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, semalam.

    Berbanding perarakan calon lain, kedatangan Abd. Ghani disertakan dengan gema selawat oleh lebih 300 penyokong yang mengiringnya.

    Parlimen Jerlun bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan dua lagi pesaing adalah bekas Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz dari Barisan Nasional (BN) serta calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Mohamed Fadzil Mohd. Ali.

    Mengulas lanjut Abd. Ghani berkata, rakyat diyakini mampu membuat penilaian terhadap langkah-langkah diambil Tan Sri Muhyiddin Yassin di sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

    Malah katanya, Presiden Bersatu itu juga menampilkan sikap berjiwa besar apabila dengan rela hati mengundur diri daripada menjadi Perdana Menteri bagi mengelak kacau-bilau apabila UMNO membuat ugutan menarik sokongan.

    “Di situ kita lihat ketelusan seorang pemimpin dan Pas kemudiannya membuat keputusan terbaik dengan meneruskan kesinambungan bersama Bersatu. Kami yakin mencapai kemenangan di sini dan insya Allah kita tunggu perkembangan pada hari pengundian nanti,” katanya.

  • Saya nak tunggu dan lihat’, Muhyiddin ulas kenyataan Zahid sedia kerjasama

    Saya nak tunggu dan lihat’, Muhyiddin ulas kenyataan Zahid sedia kerjasama

    Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaannya untuk kerjasama dengan mana-mana gabungan, sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak dapat meraih majoriti mudah.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Zahid sebagai presiden UMNO berhak untuk menyuarakan pandangannya.

    Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan akan datang perlu dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan PN terlebih dahulu.

    “Saya nak tunggu dan lihat, sebab ini baru hari pertama bermula. Apa yang berlaku ke hadapan saya tak kata ya atau tidak.

    “Pasal ini bukan satu hak bagi diri saya sebagai presiden Bersatu sebab kita ada PN,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu sesi santai Muhyiddin bersama penduduk di Warung Lorong Paip, Pagoh, Muar, malam tadi.

    Tambahnya, kenyataan Zahid itu merupakan isu besar yang perlu dibincangkan dengan pemimpin PN.

    “Biasa bila ada satu perkara itu kita bincang dalam kalangan pemimpin tertinggi untuk dapatkan satu pandangan yang bukan peribadi kerana ini soal besar,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan akhbar New Straits Times, yang memetik kenyataan Zahid sedia untuk kerjasama dengan mana-mana gabungan parti sekiranya BN gagal mendapat majoriti mudah.

    Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enggan mengulas lanjut mengenai tindakan Ketua Wanita Bersatu Melaka, Azalina Abdul Rahman keluar parti serta-merta, semalam, selepas mendakwa parti itu telah hilang hala tuju.

    “Tak perlu komen lah,” ujar bekas Perdana Menteri itu, ujarnya lapor FMT.

    Sementara itu, Muhyiddin berkata, manifesto PN yang akan dibentangkan hari ini berteraskan tiga perkara iaitu prihatin, bersih dan stabil.

    Beliau berkata, jika PN berjaya membentuk kerajaan, gabungan itu akan menunaikan janji manifesto yang dibentangkan itu.

  • PN Maran sasar menang 4-0, sekat dominasi BN di Maran

    PN Maran sasar menang 4-0, sekat dominasi BN di Maran

    PERIKATAN Nasional Maran mahu menyekat dominasi Barisan Nasional (BN) di Maran apabila mensasarkan kemenangan 4-0 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

    Kemenangan itu bukan sahaja di kerusi Parlimen malah di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Sentul, Luit dan Chenor.

    Saingan bagi menawan Maran bermula semalam apabila kesemua empat calon yang mewakili gabungan itu diterima pencalonan masing-masing bagi menambat hati kira-kira 53,000 pengundi di situ.

    Calon PN bagi DUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, untuk DUN, PN Maran merupakan penyandang bagi kerusi Luit dan Chenor yang dimenangi Pas pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN Kawasan Maran berkata, beliau yakin dua kerusi DUN itu dapat dipertahankan PN pada PRU-15 ini.

    “Kini misi kita untuk merampas kerusi DUN Kuala Sentul pula. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lalu, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin tiga penggal menang dan beliau tidak lagi fokus di Kuala Sentul pada penggal ketiga.

    “Dia (Shahaniza) lebih fokus kepada Maran sehingga lupa kepada DUN Kuala Sentul. Kita dengan gerak kerja yang telah dilakukan bersama Pas sebagai rakan gabungan dalam PN, insya-Allah kita mampu merampas DUN Kuala Sentul,” katanya di sini.

    Pada PRU-14 lalu, Shahaniza mempertahankan DUN Kuala Sentul untuk penggal ketiga apabila mendapat 5,541 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Fazil Azmi Nadzri dan calon PKR, Bostamin Bakar.

    Jasri yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Maran berkata, dengan kesepakatan gabungan parti politik dalam PN, beliau yakin dominasi UMNO di Maran dapat disekat pada PRU-15 ini.

    “Insya-Allah Parlimen Maran akan menjadi milik PN apabila penyandangnya, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib bertanding atas tiket PN selepas tidak dicalonkan semula oleh BN pada PRU kali ini,” katanya.

  • ‘Mood terhadap PN naik, terus kerja keras capai kemenangan’-Muhyiddin

    ‘Mood terhadap PN naik, terus kerja keras capai kemenangan’-Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin yakin Perikatan Nasional (PN) dapat menubuhkan kerajaan Persekutuan selepas rakyat kini mulai sedar bahawa gabungan politik dipimpinnya dilihat ikhlas dalam melindungi dan menjaga kebajikan mereka.

    Sehubungan itu, beliau meminta calon PN dan jentera pilihan raya terus bekerja keras untuk memastikan kemenangan berganda kerana rakyat memerlukan bantuan dan perlindungan kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.

    “Tekad untuk bekerja demi manfaat rakyat ini juga yang saya pegang ketika berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap rakyat terselamat ketika wabak Covid-19 melanda.

    “Kita lakukan apa sahaja yang boleh pada ketika itu untuk melindungi nyawa rakyat dan memastikan setiap orang mempunyai makanan di atas meja.

    “Perjuangan membantu rakyat ini masih belum selesai. Ramai yang masih memerlukan bantuan kita di luar sana. Insya-Allah, perjuangan murni ini akan kita sambung setelah Perikatan Nasional beroleh kemenangan dan membentuk kerajaan,” katanya sempena kempen rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bermula hari ini.

    Bekan Perdana Menteri itu mahu semua jentera PN bekerja keras untuk memastikan kemenangan gabungan tersebut.

    “Saya dapat rasakan ‘mood’ rakyat pada masa ini amat positif kepada kita, insya-Allah. Berkempenlah dengan cara yang berhemah, patuhi undang-undang pilihan raya dan elakkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketentetaman awam,” katanya, lapor AgendaDaily.

    Pengerusi PN itu memetik hadis riwayat Ibnu Hibban iaitu Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.

    “Pesanan Rasulullah SAW seperti yang terkandung di dalam hadis di atas saya tujukan kepada semua calon Perikatan Nasional sempena kempen rasmi yang bermula hari ini.

    “Sebagai calon pilihan raya, anda sedang memikul amanah yang berat. Ini kerana apabila anda terpilih sebagai wakil rakyat, anda akan mengabdikan diri kepada rakyat dan negara,” ujar penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu.

  • PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak pasukan Op Cantas Khas untuk menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pasukan itu turut bertindak mengawal tingkah laku dan gerak kerja pihak terlibat dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PRU15 diadakan.

    Selain itu, pihaknya menempatkan pegawai PDRM dalam Pasukan Pemantau Kesalahan Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memastikan setiap pihak melakukan kempen mengikut garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “PDRM bersama SPR serta agensi lain yang berkaitan juga akan melakukan pemantauan setiap masa dalam memastikan proses berkempen dan pengundian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seramai 80,000 pegawai dan anggota seluruh negara diaturgerak untuk penugasan PRU15 bagi memastikan tahap keselamatan terjamin dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk keluar mengundi secara selamat.

    Acryl Sani turut menasihatkan parti-parti politik untuk berkempen secara beretika dan matang serta tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan perkauman.

    “Pihak yang terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya seperti calon dan pengurus kempen harus memikul tanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden seperti di Tenom, Sabah.

    “Kejadian berkenaan merupakan contoh bagaimana situasi penyokong yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kemudaratan yang seharusnya tidak berulang kembali kerana (ia) merupakan ancaman kepada tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti kesalahan lazim yang berlaku ketika berkempen iaitu mengoyak poster, mengeluarkan kata-kata atau perbuatan yang berbaur hasutan, bergaduh, demonstrasi, kesalahan melalui medium Internet dan tohmahan.

    Acryl Sani berkata selain tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan, PDRM juga akan menggunakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait secara langsung dengan pilihan raya.

    “Tindakan itu adalah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003,” katanya.

    “PDRM sentiasa komited dalam memastikan situasi keselamatan terkawal sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan pasca PRU…kita berharap proses demokrasi pada kali ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa insiden-insiden yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

  • Majoriti ketua parti pertahan kerusi tradisi tetapi Anwar tidak

    Majoriti ketua parti pertahan kerusi tradisi tetapi Anwar tidak

    PENAMAAN calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini menyaksikan majoriti pemimpin utama parti politik tanah air bertanding mempertahankan kerusi tradisi masing-masing meskipun berdepan persaingan sengit dengan lebih tiga penjuru.

    Ia termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk buat penggal keenam dalam persaingan empat penjuru, berdepan bekas Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin; calon Perikatan Nasional (PN) Dr Muhammad Faiz Na’aman dan calon Bebas Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail.

    Pada PRU-14, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 5,073 undi selepas mendapat 18,909 undi menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) yang memperoleh 13,836 undi dan calon PAS Ata Abdul Muneim Hasan Adli (4,061 undi).

    Selain itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, bertanding di kubu kuat beliau Parlimen Bera yang disandang sejak 2004, bakal berdepan dua pencabar iaitu Abas Awang dari Pakatan Harapan (PH) dan Asmawi Harun (PN).

    Turut mengambil langkah sama adalah Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang bertanding mempertahankan Parlimen Pagoh yang disandang selama enam penggal dalam pertembungan tiga penjuru.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dicabar Ahli Majlis Tertinggi Umno Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah Abd Rahman yang bertanding atas tiket PH.

    Dalam pada itu, Pengerusi Pejuang Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berdepan pertandingan lima penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenanginya atas tiket PKR pada 2018. Bekas perdana menteri itu ditentang Armishah Siraj (BN); Mohd Suhaimi Abdullah (PN); Zabidi Yahya (PH) dan calon Bebas, Abdul Kadir Sainudin.

    Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula berdepan tiga pencabar dalam usaha mempertahankan Parlimen Marang buat penggal keempat berturut-turut.

    Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berdepan persaingan lapan penjuru bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kota Raja yang dimenangi pada PRU14, dengan ditentang Mohamed Diah Baharun (PN), D. Kajendran (BN), Sarah Afiqah Zainol Arif (Parti Rakyat Malaysia), Fahmi Bazlan Muda (Pejuang), dan tiga calon Bebas P.Raveentharan, S.Surendhar serta K.Kumar.

    Turut serta dalam barisan pemimpin parti yang mempertahankan kerusi tradisi pada PRU15 adalah Pengerusi DAP Lim Guan Eng (Parlimen Bagan); Presiden MCA Wee Ka Siong (Parlimen Ayer Hitam) dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parlimen Muar).

    Senario yang sama juga dapat dilihat di Sabah dan Sarawak apabila Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Maximus Ongkili dan Presiden Parti Warisan Mohd Shafie Apdal masing-masing bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu dan Semporna yang disandang oleh mereka sejak 1995.

    Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Wilfred Madius Tangau pula berdepan persaingan enam penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran manakala Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof kekal bertanding di Parlimen Petra Jaya dalam persaingan tiga penjuru.

    Ketika majoriti ketua parti mempertahankan kerusi masing-masing, Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson, sebaliknya berdepan pertandingan empat penjuru di Parlimen Tambun pada PRU15.

    Pengerusi PH itu ditentang calon BN iaitu Ketua UMNO Bahagian Tambun Aminuddin Md Hanafiah, calon Pejuang Abdul Rahim Tahir dan Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu yang juga penyandang kerusi itu.

    Pentas PRU15 turut menyaksikan Presiden MIC S. A. Vigneswaran buat julung kali mencuba nasib di Parlimen Sungai Siput yang merupakan kerusi tradisi parti itu sejak 1959 yang dimenangi Presiden kelima MIC, Tun V.T. Sambanthan sebelum terlepas ke tangan PKR pada 2008.

    Vigneswaran berdepan enam pencabar bagi merampas kembali Parlimen Sungai Siput, iaitu penyandang kerusi itu S. Kesavan (PH), G. Irudianathan (PN), Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang) dan tiga calon bebas iaitu Baharudin Kamarudin, R. Indrani serta N. Rajah.

    Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang pertama kali menjadi calon bagi kerusi Parlimen memilih Rembau dan berdepan saingan lima penjuru apabila PH mengetengahkan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha selain pertembungan dengan Setiausaha Badan Perhubungan PN negeri Mohd Nazree Mohd Yunus, Ramly Awalludin (Pejuang) dan S. Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).

    Penganalisis Politik dan Media Sosial dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Sara Chinnasamy menyifatkan gelanggang PRU15 sebagai cabaran besar buat pemimpin-pemimpin utama parti politik kerana terpaksa menghadapi persaingan sengit sekali gus bagi mewakili ‘pro forma’ parti masing-masing.

    “Tiada isu berhubung ketua parti pertahankan kerusi tradisi mereka kerana sebelum ini pun mereka pernah berbuat demikian. Yang membezakannya ialah bilangan blok pada hari ini iaitu tiga blok utama yang bertanding dan pembukaan banyak penjuru,” katanya ketika dihubungi.

    Mengenai tindakan Anwar bertanding di Tambun, beliau berkata: “Ia boleh menjadi langkah strategik dan tahap kenyakinan yang tinggi sebagai ketua parti untuk PH menawan kembali Perak. Ia bukanlah langkah yang bijak tetapi lebih kepada langkah strategik PH untuk menerajui Perak,”.

  • Banyak tindakan PH bercanggah dengan Melayu-Islam ketika memerintah – Muhyiddin

    Banyak tindakan PH bercanggah dengan Melayu-Islam ketika memerintah – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menegakkan perjuangan Melayu-Islam.

    Beliau yang juga penyandang Ahli Parlimen Pagoh berkata, banyak tindakan ketika pemerintahan kerajaan PH bercanggah dengan kepentingan Melayu-Islam.

    “Nak buat jalan dalam Rancangan Tanah Felda, RM400 juta dah diluluskan, dibatalkan oleh Lim Guan Eng. 

    “TERAJU (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk bantu orang melayu berniaga, juga tidak diberi peruntukan oleh Lim Guan Eng. Bagi saya ini satu pengkhianatan Bersatu dan PN, kita buat keputusan tinggalkan PH.

    “Orang boleh kata saya pengkhianat, tapi saya tidak boleh mengkhianati bangsa, agama dan negara. Apa yang kau nak kata, gasak kau lah, saya rela berkorban untuk bangsa, agama dan negara,” katanya ketika berucap di lawatan PDM Sungai Raya, Pagoh, Muar, hari ini.

    Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini pernah mendedahkan pemotongan peruntukan RM400 juta untuk TERAJU yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) tanpa sebarang penjelasan diberikan Menteri Kewangan ketika itu.

    Beliau juga mendakwa, dana pusingan yang ada dalam EKUINAS (Ekuiti Nasional Berhad) hendak diambil Kementerian Kewangan dan meminta EKUINAS ditutup.

  • Tanding Bebas, keahlian Mohd Zulkifli dalam Bersatu gugur

    Tanding Bebas, keahlian Mohd Zulkifli dalam Bersatu gugur

    KEAHLIAN dan jawatan Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) gugur secara automatik.

    Perkara itu disahkan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor yang memaklumkan keputusan Mohd Zulkifli itu adalah tindakan peribadi dan tiada kena mengena dengan pimpinan parti.

    “Saya berasa terkejut dengan tindakan Mohd Zulkifli kerana sebelum ini beliau ada menyuarakan keinginannya untuk bertanding di kawasan itu (Parlimen Bachok) tetapi saya ingat cuma seloroh atau gurauan sahaja.

    “Nak buat macam mana… dia pun dah bertanding atas tiket Bebas. Jadi saya pun dah maklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi mengenai keputusannya itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Mohd Zulkifli tampil membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok.

    Mohd Zulkifli akan bertanding dengan empat calon lain iaitu Mohd Syahir Che Sulaiman (Pas), Nor Azmiza Mamat (PH-PKR), Kamarul Azam Osman (GTA-Putra) dan Datuk Mohd Zain Yasim (BN-UMNO).