Category: Semasa

  • Pemulihan setara bantu lonjak ekonomi Malaysia lebih baik,kukuh

    Pemulihan setara bantu lonjak ekonomi Malaysia lebih baik,kukuh

    MALAYSIA perlu memastikan proses pemulihan yang sama rata jika ingin membina semula ekonomi negara ke arah yang lebih baik dan kukuh selepas dua tahun dilanda pandemik COVID-19, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin berkata kerajaan perlu bertindak secara langsung dan campur tangan apabila perlu memandangkan kadar pemulihan negara kini tidak sekata dengan beberapa sektor pulih lebih baik berbanding sektor lain.

    “Kami memerlukan proses pemulihan yang seimbang supaya jurang perbezaan gaji rakyat Malaysia dapat dihapuskan. Negeri tertentu lebih bergantung kepada sektor tertentu. Contohnya, pelancongan dan pembuatan, pemulihan pelancongan lebih perlahan berbanding pembuatan, negeri bergantung kepada pelancongan, akan pulih lebih perlahan berbanding negeri yang fokusnya pada pembuatan.

    “Kadar pemulihan yang tidak sekata antara negeri akan melebarkan jurang pendapatan dan pembangunan antara negeri. Sebab itu saya telah menekankan penubuhan Majlis Pemulihan Negara peringkat negeri sebelum ini,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

    Bekas perdana menteri itu juga berharap wujudnya keperluan yang mendesak dalam kerajaan untuk mengurus proses pemulihan kerana ia mesti sejajar dengan matlamat pembangunan negara yang lebih panjang, sebagaimana tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk membina ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

    Beliau turut melahirkan kebimbangan, jika pemulihan tidak diberi keutamaan yang sewajarnya, penularan pandemik selama dua tahun akan membawa kepada kehilangan selama sedekad buat Malaysia dan parut tersebut akan kekal dalam beberapa sektor ekonomi.

    “Ia tidak boleh menjadi normal. Saya telah berkali-kali ingatkan perkara ini berkali-kali. Kita perlu melihat gambaran yang lebih besar. Jika kita tidak menguruskan proses pemulihan dengan baik, kesan pandemik akan berlarutan lebih lama,” katanya.

    Muhyiddin berkata, penularan wabak COVID-19 juga memberi impak yang teruk kepada pendapatan isi rumah rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada dalam kelas pertengahan apabila lebih separuh daripada mereka yang diklasifikasikan dalam kategori M telah jatuh ke dalam kategori B.

    Laporan daripada institusi dan institusi penyelidikan lain seperti Institut Penyelidikan Khazanah juga mendapati 70 peratus rakyat Malaysia berada dalam kumpulan ‘terdedah’ akibat wabak tersebut manakala dalam Laporan Mindshare mendapati bahawa 76 peratus daripada kumpulan B61 mempunyai purata pendapatan isi rumah di bawah RM2,965.

    “Mereka merupakan kumpulan yang mampu membeli makanan untuk keluarga, tetapi terpaksa makan sekali sehari, dan harus memilih antara sumber protein dan khasiat lain. Ini membimbangkan dan mendatangkan kesan buruk bukan sahaja untuk momentum pemulihan tetapi agenda pembangunan negara secara keseluruhannya.

    “Kumpulan kelas menengah yang semakin mengecut bukanlah prospek yang baik untuk mana-mana ekonomi kerana kita tahu bahawa kelas pertengahan memacu penggunaan dengan kuasa perbelanjaan mereka. Apabila pendapatan mereka berkurangan, mereka tidak dapat berbelanja, apa lagi berjimat, dan ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi kita dan kita akan terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana dan tidak dapat melonjak ke negara berpendapatan tinggi,” katanya.

    Justeru Muhyiddin menyarankan agar sistem kebajikan seperti e-Kasih dirombak sepenuhnya dan ia perlu disatukan dan disepadukan untuk menyalurkan bantuan dengan lebih baik apabila perlu, agar individu yang memerlukan bantuan harus diberikan bantuan segera tanpa terlalu banyak birokrasi.

    Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan mesti mewujudkan ekonomi yang menumpukan kepada mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang berpatutan yang memberi tumpuan kepada peningkatan rantaian nilai melalui teknologi yang akan mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi dengan menggunakan penyelesaian digital seperti Al, robotik, untuk meningkatkan produktiviti yang membolehkan pertumbuhan gaji yang mampan.

    Muhyiddin turut mencadangkan kerajaan untuk memastikan Indeks Garis Kemiskinan yang telah disemaknya ketika menjadi Perdana Menteri pada 2020 iaitu daripada RM980 kepada RM2,208, terus diselaraskan.

    “Ini akan membolehkan kita menyasarkan bantuan kepada golongan miskin dengan lebih baik dan serius dalam usaha mengurangkan kemiskinan termasuk kemiskinan bandar,” katanya.

  • 4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu iaitu seorang di Selangor dan tiga di Sarawak kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

    Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dalam kenyataan hari ini berkata PDRM juga telah membuka lapan kertas siasatan berkaitan PRU15.

    Ia melibatkan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana fitnah, Seksyen 447 KK kerana menceroboh, Seksyen 506 KK melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 147 KK kerana merusuh.

    Selain itu adalah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (PPPA) 2016, Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan Seksyen 24(A)(2) Akta Pilihan Raya 1954.

    Hazani berkata antara yang dibuka kertas siasatan itu adalah dua di Selangor mengikut Seksyen 500 KK, Seksyen 447 KK, Seksyen 233 AKMM 1998 dan Seksyen 143(1) PPPA 2016, satu di Pulau Pinang mengikut Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan satu di Pahang di bawah Seksyen 506 KK.

    Hazani berkata bagi permit ceramah pula, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 289 permit iaitu 52 permit di Perak, Johor (47), Selangor (32), Kedah (29), Sabah (28), Sarawak (22), Pulau Pinang (18), Negeri Sembilan (15), Pahang dan Melaka masing-masing (14), Terengganu (tujuh), Kelantan (enam), Perlis (tiga) dan Kuala Lumpur (dua).

    “Sebanyak 19 ceramah tidak berpermit dikesan, dengan di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kes, Perak (lima), Pahang (satu), dan Terengganu (dua),” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • Pengundi Muar percaya pada PN

    Pengundi Muar percaya pada PN

    KEPRIHATINAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika mentadbir negara yang banyak memberi bantuan dan sokongan tanpa pilih kasih sewaktu pandemik menjadi faktor utama pengundi-pengundi di Parlimen Muar cenderung ke arah gabungan parti itu.

    Menerusi tinjauan SatuBerita di sekitar Parit Jawa, Muar mendapati rata-rata pengundi di Parlimen itu mengakui terpikat dengan kebolehan dan sifat berjiwa rakyat yang ditonjolkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri sekaligus meletakkan kepercayaan kepada gabungan parti itu secara keseluruhan.

    Peniaga gerai makanan, Aminah Zunit, 56, memaklumkan pada ketika ini, dirinya melihat lebih ramai penduduk mempunyai kepercayaan dan menyokong perjuangan Muhyiddin apabila keprihatinan yang ditonjolkan beliau menyentuh hati mereka.

    “Beliau okay dan sangat bagus. Sekarang ramai yang sokong dia. Pada saya rasuah juga tiada. Menolong rakyat banyak saya nampak dari dulu sewaktu PKP.

    “Saya terkilan dan kesian pada beliau apabila dijatuhkan ketika menjadi Perdana Menteri,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

    Sementara itu, Selamat Dahlan, 57 menyifatkan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang turut mesra dengan gelaran Abah, sebagai penyelamat negara daripada wabak Covid-19 serta kerajaan yang banyak bercanggah dengan Melayu-Islam.

    “Walaupun beliau memerintah sekejap sahaja, tetapi sayang dia telah dijatuhkan. Namun, kalau beliau tiada ketika negara sedang berdepan pandemik, tak selamat kita.

    “Dulu kita bagi bangsa lain memerintah selama 22 bulan, kita nampak sendiri bagaiamana. Nasib baiklah Abah sendiri tolong kita. Kalau beliau tiada, tak tahulah bagaimana keadaan kita,” luahnya.

    Bagi Rizwan Yusof, 37 pula, beliau selaku pengundi di Parlimen itu tidak menginginkan pemimpin yang mampu memberikan pembangunan, namun yang lebih penting baginya pemimpin yang mempunyai sifat prihatin terhadap rakyat yang susah.

    “Saya taknak minta banyak, bukan minta duit atau bangunan megah-megah. Cuma prihatin pada rakyat dan dahulukan rakyat lebih penting.

    “Orang bawah kita tak tahu mereka susah macamana, susah mereka Allah sahaja yang tahu. Jangan kerana duit dan pangkat kita lupa pada mereka,” ujarnya.

  • Prabakaran dakwa Tian Chua tuntut kembalikan watikah calon Batu

    Prabakaran dakwa Tian Chua tuntut kembalikan watikah calon Batu

    CALON Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu, P Prabakaran, mendedahkan Tian Chua menuntutnya memulangkan semula watikah pencalonan kepada jawatankuasa pilihan raya gabungan itu.

    “Saya tolak saranan itu. Dia (Tian Chua) ada bercakap dengan presiden PKR (Anwar Ibrahim) tapi saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan.

    “Tapi, akhirnya Tian Chua memilih untuk menjadi calon bebas. Saya tidak pernah melihatnya sebagai musuh,” katanya menurut Sinar Harian.

    Prabakaran ketika mengulas lanjut, berkata tindakan bekas naib presiden PKR itu bertanding bebas di kawasan berkenaan akan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong PH.

    “Saya bersyukur Tian Chua menyokong saya selama ini (sejak 2018), tetapi sedih beliau memilih untuk lawan saya dan ingkar arahan parti kali ini,” katanya.

    Katanya, itu akan merisikokan kekalahan PH dan menyebabkan calon BN mempunyai peluang untuk menang.

    “Tian Chua masih ada masa untuk tarik balik pencalonan. Ini bukan pasal beliau atau saya tapi untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.

    Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru membabitkan calon penyandang, Prabakaran, pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin (bebas), peguam Siti Kasim (bebas) serta calon Pejuang, Wan Azliana Wan Adnan.

    Beberapa nama lain turut bertanding termasuk calon BN, A Kohilan Pillay, Azhar Yahya (Perikatan Nasional), P Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (bebas) dan Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia).

    Pada PRU14 lalu, Prabakaran bertanding atas tiket bebas menang kerusi itu selepas mendapat 38,125 undi iaitu majoriti 24,438 undi menewaskan tiga lagi calon lain termasuk Presiden Gerakan Dominic Lau (13,687 undi); wakil PAS, Azhar Yahya (10,610) dan VM Panjamothy (bebas).

  • Kedudukan Shahidan, Ismail dalam PN belum diketahui

    Kedudukan Shahidan, Ismail dalam PN belum diketahui

    KEDUDUKAN Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib selepas pilihan raya sama ada bakal menganggotai mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN) masih belum diketahui, biarpun kedua-dua bekas pemimpin UMNO itu kini bertanding atas tiket gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata beliau perlu merujuk terlebih dahulu perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan mengenainya.

    “Saya nak kena rujuk. Benar dan jelas kedua-dua mereka bertanding atas tiket PN. Apa perkara selain itu saya kena rujuk. Saya tidak akan mengulas perkara yang saya tiada perinciannya,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

    Dr. Radzi ditanya mengenai kedudukan Shahidan dan Ismail dalam PN atau Bersatu.

    Beliau sebelum itu ditanya sama ada Shahidan dan Ismail akan menyertai PN atau sebaliknya selepas kedua-dua pemimpin berkenaan membuat keputusan bertanding dengan menggunakan tiket parti lawan.

    BH semalam melaporkan, Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau, dan Ismail di kerusi Parlimen Maran, layak bertanding pada PRU-15 mempertahankan kerusi masing-masing dengan menggunakan tiket PN.

    Seorang lagi bekas pemimpin UMNO yang tidak terpilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRU-15, iaitu penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin bagaimanapun bertanding mempertahankan kerusi berkenaan serta merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket Bebas.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk ketiga-tiga mereka dipecat serta merta kerana parti mempunyai hak untuk memecat mana-mana ahli yang bertanding atas tiket selain parti termasuk yang menjadi pencadang dan penyokong calon yang mewakili pembangkang.

  • Media sosial Pas sinonim dengan pengundi muda-Hadi Awang

    Media sosial Pas sinonim dengan pengundi muda-Hadi Awang

    PENDEKATAN secara lebih santai melalui media sosial yang dibawakan Pas terhadap golongan muda membolehkan parti itu lebih popular dan sinonim dalam kalangan pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, peranan media sosial amat penting terutama melibatkan pendedahan terhadap aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan anak muda.

    “Anak muda perlu dibahagikan sama ada dalam bandar, pinggir bandar dan luar bandar serta yang mempunyai pendidikan serta kurang pendidikan.

    “Golongan-golongan ini perlu didekati secara berhemah menggunakan medium media sosial,” katanya selepas penamaan calon di Marang, semalam, lapor Sinar Harian

    Abdul Hadi berkata, antara agenda besar yang dibawakan Pas kali ini ialah kefahaman terhadap perpaduan ummah.

    Katanya, Pas berusaha untuk menyatukan orang Islam, orang Melayu sama ada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan dalam masa yang sama penyertaan beberapa kaum lain yang tidak ekstrem.

    “Kita juga akan sama-sama berkempen dan bertanding secara bersopan dan beradab sepanjang tempoh pilihan raya ini,” jelasnya.

  • Tanjung Piai sepatutnya maju seperti Langkawi

    Tanjung Piai sepatutnya maju seperti Langkawi

    “PEMBANGUNAN di Tanjung Piai sepatutnya lebih pesat dari Langkawi. Ia destinasi pelancongan yang menarik dan dikunjungi ramai pelancong kerana kedudukannya di penghujung benua Asia,” kata calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Najwah Halimah Ab. Alim, 44.

    Susulan itu, beliau bertekad melakukan tiga perubahan demi kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Parlimen Tanjung Piai jika diberi mandat oleh rakyat di kawasan itu pada PRU-15 ini.

    Katanya, Tanjung Piai dikenali sektor pelancongan yang popular dan sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara, namun kemudahan di situ masih kurang.

    “Kawasan ini sepatutnya dibangunkan dengan sewajarnya, malah lebih pesat dari Langkawi.

    “Selain lokasinya di penghujung benua Asia, jambatan baharu sejauh 7.5 kilometer menghubungkan dari Sungai Pulai ke pekan Gelang Patah dapat menjimatkan masa kepada semua pengguna ke Johor Bahru.

    “Jadi saya bertekad, antaranya mahu membangunkan kawasan ini dengan menaik taraf kemudahan awam seperti diimpikan masyarakat Tanjung Piai selama ini, selain memastikan sifar kemiskinan dan meningkatkan pekerjaan serta perniagaan di sini,” katanya pada sidang media di Eco Rambah Homestay, lapor Berita Bersatu.

    Najwah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan adalah anak kelahiran Kempas, Johor Bahru dan pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk Timbalan Pengerusi Tekun Nasional (TEKUN).

    Beliau berkata, berdasarkan tinjauan, kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi di Parlimen Tanjung Piai amat membimbangkan.

    Katanya, tiada kemajuan dalam pembangunan khususnya di sektor pendidikan, pelancongan dan perumahan bagi B40 yang merangkumi golongan petani, nelayan serta buruh kasar.

    Lebih malang, katanya, hanya ada dua klinik kesihatan di Tanjung Piai untuk menampung kepadatan lebih 100,000 penduduk.

    “Jika diberi mandat, PN dengan slogan Bersih dan STabil (BEST) yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa bertekad memastikan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat di Tanjung Piai.

    “Justeru, saya merayu masyarakat Tanjung Piai keluar mengundi beramai-ramai demi menentukan masa depan anda, ” katanya kepada 70,630 pengundi di kawasan itu.

    Pada PRU-15, Najwah ditentang Barisan Nasional (BN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

    Sementara itu, penduduk Parlimen Tanjung Piai, Nazlin Manaf, 46, berkata mereka mahukan wakil rakyat yang bertanggungjawab membela nasib golongan kurang berkemampuan.

    “Najwah memahami keperluan rakyat ketika pembabitannya sebagai Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin Johor.

    “Selain itu, pembabitannya sebagai Timbalan Pengerusi TEKUN juga membantu golongan peniaga termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), ” katanya yang berniaga kedai makan di Kampung Sungai Durian, Kukup Pontian.

  • Wan Saiful nasihat Rafizi turut tumpu isu dalaman PKR

    Wan Saiful nasihat Rafizi turut tumpu isu dalaman PKR

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengalu-alukan sebarang pendedahan yang mahu dibuat oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Bagaimanapun beliau yang juga calon kerusi Parlimen Tasek Gelugor turut menasihatkan Rafizi supaya menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman yang membelenggu partinya itu.

    “Saya mengalu-alukan sebarang pendedahan Rafizi, tetapi yang pasti beliau sedang mencabar autoriti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya tak pernah lagi tengok parti seperti itu.

    “Kalau beliau nak ‘challenge’ (cabar) Presiden, sepatutnya dah ‘declare (isytihar) awal-awal,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan PN, di Tasek Gekugor hari ini.

    Yang turut hadir, bekas Ahli Parlimen Bersatu Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

    Sebelum ini, Rafizi memaklumkan akan mendedahkan lebih banyak apa yang didakwanya kepincangan dan rasuah yang berlaku sepanjang pentadbiran PN selama lebih 30 bulan esok.

    Beliau yang juga calon di Parlimen Pandan mendakwa, peluru yang akan dilontarkan itu membabitkan kepincangan didalangi UMNO, Bersatu dan Pas yang terpalit dengan rasuah bernilai bilion ringgit.

    Dalam perkembangan lain, Shabudin berkata, calon PN bagi Tasek Gelugor meskipun dari luar bukan satu masalah ekoran kemodenan sistem komunikasi berupaya menghubungkan pemimpin dan rakyat dengan pantas.

    Apatah lagi tambah beliau, kewujudan platform rangkaian internet dan media sosial yang meluas memudahkan lagi urusan pemimpin biarpun berada di luar kawasan.

    Ujar beliau, alasan tidak boleh berjumpa pemimpin pada zaman sekarang bukan lagi isu memandangkan kemodenan yang ada dapat menghubungkan rakyat dalam hanya beberapa saat.

    “Ketika saya menjadi Ahli Parlimen dulu pun, saya bertugas di Kuala Lumpur tetapi urusan pentadbiran di Tasek Gelugor tetap berjalan lancar.

    “Tambahan pula, setiap Ahli Parlimen ada pegawai dan wakil yang bertugas di kawasan yang diwakili, jadi tidak timbul masalah sekiranya calon yang dipilih bukan daripada kawasan setempat,” katanya.

  • Calon DHPP Pulau Pinang tidak gentar bersaing di kubu kuat DAP

    Calon DHPP Pulau Pinang tidak gentar bersaing di kubu kuat DAP

    SATU-SATUNYA calon daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang tidak gentar meskipun bertanding di kawasan kubu kuat DAP serta atas tiket Pas yang merupakan parti Islam.

    Malah, calon PN bagi kerusi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Koh Tien Yew, 41, berkata, beliau juga berjanji akan memberikan saingan sengit di kerusi itu dengan kempen turun padang bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan tersebut.

    Dalam masa sama, Steven yang juga aktivis masyarakat dan banyak bergerak menerusi platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkata, beliau juga tidak akan menggunakan kelebihan sebagai aktivis masyarakat itu sebagai modal berkempen semata-mata sebaliknya turut mempunyai pelbagai strategi lain.

    “Saya sama sekali tidak akan gentar dan akan lawan habis-habisan, dengan kekuatan jentera yang ada serta sokongan jentera daripada parti komponen PN lain, saya tidak akan memberikan laluan mudah kepada mereka, itu janji saya,” katanya pada majlis Pelancaran Kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Pas Pulau Pinang di Markaz Tarbiyyah Pongsu Seribu di Kepala Batas, semalam.

    Kerusi Parlimen Bukit Mertajam akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Steven Sim dan calon Barisan Nasional (BN), Tan Yang Pang.

    Pada PRU-14, Steven Sim menang dengan majoriti 52,877 undi selepas memperoleh 63,784 undi menewaskan calon BN, Gui Guat Lye (10,907 undi) dalam pertembungan satu lawan satu.

    Dalam pada itu Steven berkata, beliau turut berharap usahanya mendekati seramai mungkin pengundi di Bukit Mertajam sepanjang tempoh berkempen akan menerima sambutan dan sokongan daripada semua pihak.

    Jelasnya, PN menggunakan pendekatan kempen secara harmoni dan menolak kebencian sekali gus memudahkan calon-calonnya mendekati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

  • Mohamad Shahrum bangga dapat kerjasama dengan Tuan Ibrahim

    Mohamad Shahrum bangga dapat kerjasama dengan Tuan Ibrahim

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman berbangga dapat bekerjasama dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, beliau dan Tuan Ibrahim serta dua lagi calon PN di DUN Benta dan Padang Tengku akan strategi yang dinamik serta tepat bagi menawan hati pengundi di Kuala Lipis.

    “Tentunya hasrat kami untuk menang bukan sahaja di Parlimen Lipis malah tiga DUN iaitu Cheka, Benta dan Padang Tengku,” katanya selepas bertemu pengundi di Pekan Padang Tengku di Kuala Lipis, hari ini.

    Mohamad Shahrum yang merupakan anak kelahiran Kampung Mela menjadi Ahli Parlimen Lipis mewakili UMNO selama dua penggal, iaitu pada 2004 dan 2008 (PRU11 dan PRU12).

    Pada PRU-12, Mohamad Shahrum menang apabila memperoleh 12,611 undi dengan majoriti 4,137 selepas mengalahkan calon Pas, Dr. Mohamed Nilam Abdul Manap yang hanya mendapat 8,474 undi.

    Mohamad Shahrum berkata, beliau kembali bertanding semula semata-mata untuk membela kebajikan rakyat dan merancakkan pembangunan setempat.

    “Saya masih menang di hati pengundi, bukan kalah sebaliknya tidak dipilih menjadi calon pada PRU-13 menyebabkan saya kecewa sedangkan rakyat (pengundi) tetap setia dengan saya malah. perancangan pembangunan sudahpun nampak di Lipis.

    “Pada PRU-15 ini, saya kembali ke Lipis yang merupakan kampung kelahiran saya,” katanya.

    Mohamad Shahrum berkata, beliau membawa konsep ‘BEST’ bermaksud ‘Bersih dan Stabil’ membolehkan pengundi yang sudah mengenali beliau sejak 2004 memilih PN pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.