Category: Semasa

  • ‘Tentangan dua calon muda di Muar bukan masalah’ – Abdullah Husin

    ‘Tentangan dua calon muda di Muar bukan masalah’ – Abdullah Husin

    BERDEPAN tentangan dua calon muda dari Barisan Nasional (BN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi merebut kerusi Parlimen Muar, calon Perikatan Nasional (PN) Abdullah Hussain tetap yakin dalam memenangi hati pengundi muda.

    Abdullah yang juga Pesuruhjaya Pas Johor menegaskan setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing dan usia bukanlah satu-satunya elemen bagi mendapatkan kepercayaan masyarakat Muar.

    “Tiada halangan menjamin pengundi muda, masing masing ada kelebihan saya tiada nak pertikaikan siapa-siapa.

    “Sudah dua tiga bulan saya berada di Muar untuk program program kemasyarakatan, menyantuni orang muda terutamanya. Persaingan akan sengit, tapi saya yakin ada peluang,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni peniaga di Pasar Malam Parit Jawa, Muar.

    Malah, latar belakangnya yang pernah menjadi pengetua sebuah sekolah agama memberikan kelebihan kepada beliau apabila perkara itu menyerlahkan sifat kebapaan dalam diri beliau .

    “Keremajaan pada satu sudut ialah orang muda lebih cergas, mantap bekerja, itu kelebihan orang muda. Tapi saya orang lama bukan orang tua, ada kelebihan juga.

    “Orang lama berkelebihan dalam sudut kebapaan, sebagai bekas guru sekolah dan bekas pengetua saya berpengalaman dalam aspek orang Islam kata ‘Murabbi’ iaitu pendidik, lebih-lebih lagi saya guru agama,” katanya, lapor SatuBerita.

    Mengulas mengenai pengalamannya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa selama lima tahun, beliau sudah jelas dan faham akan keperluan orang muda.

    “Pada masa sama, saya dah biasa menyantuni anak muda, saya juga biasa menyertai kumpulan bermotosikal besar. Sukan-sukan dulu ada Piala Abdullah Hussain untuk bola sepak dan sebagainya, saya dah biasa berdamping dengan anak muda walau sudut umur dah jadi dikira bapa, orang kata anak muda boleh dibimbing oleh bapa,” katanya lagi.

    Abdullah Hussin berdepan saingan tiga penjuru di  Parlimen Muar dengan tentangan daripada BN, Mohd Helmy Abdul Latiff dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda).

  • [TAWARAN PN] Moratorium bersasar, tabung pelaburan RM5 bilion jadikan Malaysia paksi ekonomi

    [TAWARAN PN] Moratorium bersasar, tabung pelaburan RM5 bilion jadikan Malaysia paksi ekonomi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan politik itu akan menjadikan Malaysia paksi ekonomi Asia Tenggara yang berteraskan industri masa hadapan dengan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion.

    Beliau berkata, kerajaan PN akan menggalakkan perkembangan industri berteknologi tinggi bagi meningkatkan nilai tambah dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya tenaga kerja muda.

    “Bagi merancakkan proses pemulihan ekonomi negara, kita akan membangunkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaya saing sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

    “Antaranya meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan atau moratorium secara bersasar bagi membantu PMKS yang terjejas.

    “Selain itu, insentif khas Skim Prihatin PMKS akan disediakan untuk menggalakkan pendigitalan pengeluaran produk dan perkhidmatan serta latihan kemahiran,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam malam ini.

    Dengan tema “Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang” atau PN BEST, Perikatan Nasional menampilkan tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran.

    Tawaran ini digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.

    Muhyiddin berkata, kerajaan PN juga akan membangunkan sektor pertanian dan industri makanan menjadi lebih rancak.

    Beliau menambah, untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi kepada rakyat pada harga munasabah, enam Hub Mega Pengeluaran Makanan Negara akan diwujudkan di kawasan strategik dengan pelan penggunaan tanah yang komprehensif bagi tujuan pengeluaran, ketersediaan dan pengedaran makanan ke arah mencapai tahap sara diri negara.

    “Selain itu, peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk dana Fund for Food akan disediakan bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara dan menstabilkan harga makanan,” katanya.

    Beliau menambah, kerajaan PN juga menawarkan pewujudan satu juta pekerjaan dalam bidang berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

    Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat, PN juga akan memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat yang susah.

    Sehubungan itu katanya, PN menawarkan pewujudan sebuah agensi tunggal yang akan berfungsi sebagai sebuah pusat sehenti yang akan menyelaras pemberian pelbagai bentuk bantuan dan subsidi kepada rakyat.

    “Setiap tahun kerajaan memperuntukkan antara 50 hingga 70 bilion ringgit dalam bentuk subsidi dan bantuan sosial. Tetapi penyaluran bantuan diurus oleh kementerian dan agensi yang berbeza-beza.

    “Dengan adanya sebuah agensi tunggal ini, data-data mengenai rakyat yang memerlukan bantuan akan dikumpulkan secara real time dan dimasukkan ke dalam satu pangkalan data tunggal supaya bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera dan tidak ada seorang pun yang layak tertinggal daripada menerima bantuan.

    “Kita juga akan terus memperkasa Agenda Pembasmian Kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum, kelas sosial dan wilayah,” katanya.

    Muhyiddin berkata, bagi membantu meringankan beban kos sara hidup kakitangan awam yang berpendapatan rendah, Perikatan Nasional menawarkan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam sebanyak RM100 yang akan diselaras secara berkala.

    Perikatan Nasional katanya, juga akan memperkasa kualiti perkhidmatan kesihatan yang cekap dan mesra rakyat melalui kerangka dan sistem pengurusan kesihatan negara yang holistik, terutamanya dengan mengambil kira keperluan kesihatan warga emas sebagai persediaan ke arah negara menua atau aging nation.

    “Selain itu, Kad Prihatin Nasional akan diperkenalkan untuk memberi akses perkhidmatan kesihatan terpilih secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan.

    “Perikatan Nasional juga akan memantapkan sistem pendidikan yang inklusif, berdaya saing dan bertaraf global. Ini termasuk menyediakan peruntukan khas penyelenggaraan sekolah sekurang-kurangnya sebanyak RM2.5 bilion setahun bagi tempoh 2023-2025,” ujarnya lapor portal Satuberita.

  • Tawaran PN, janji yang boleh dilaksanakan – Muhyiddin

    Tawaran PN, janji yang boleh dilaksanakan – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri memberi jaminan semua tawaran yang dijanjikan gabungan itu boleh dilaksanakan.

    “Ada orang tanya, boleh kah kita buat? Saya jawab boleh. Kenapa? Kerana kita ada pengalaman.

    “Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya mempengerusikan Majlis Pekerjaan Negara. Kita tetapkan sasaran untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan pada tahun 2021.

    “Alhamdulillah, pada akhir tahun 2021, sebanyak 558,000 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan, iaitu melebihi sasaran asal.

    “Saya percaya jika Perikatan Nasional diberi mandat oleh rakyat, kita boleh buat, dan kita akan buat dengan lebih baik lagi,” katanya berucap melancarkan manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam malam ini.

    Dengan tema ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST, Perikatan Nasional menampilkan tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran.

    Tawaran ini digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.

    Muhyiddin seterusnya berkata, itu soal mewujudkan peluang pekerjaan, bagaimana pula dengan menyelamatkan pekerjaan.

    “Mungkin ramai orang terlepas pandang. Semasa pandemik Covid-19 melanda negara, ramai rakyat hilang pekerjaan. Pada ketika itu, saya katakan kita tak boleh biarkan perkara ini berlaku.

    “Jadi Kerajaan Perikatan Nasional pada waktu itu sediakan dana berjumlah RM20.29 billion dalam bentuk subsidi upah.

    “Dana ini disalurkan kepada majikan-majikan supaya mereka dapat terus membayar gaji pekerja dan mengekalkan pekerja walaupun perniagaan mereka terpaksa ditutup.

    “Dengan inisiatif ini, kita telah berjaya menyelamatkan lebih 163,000 syarikat dan 3 juta pekerjaan.

    “Bayangkan jika 3 juta pekerja hilang pekerjaan? Apa jadi kepada mereka dan keluarga mereka? Bolehkah mereka menyara hidup keluarga jika kehilangan sumber pendapatan? Jawapannya tentu sekali sukar.

    “Jadi, dengan inisiatif subsidi upah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional, ratusan ribu syarikat mendapat manfaat, jutaan pekerjaan dapat diselamatkan, dan jutaan ahli keluarga ada makanan di atas meja,” katanya.

  • PN ikrar segera selesaikan isu jejas pendapatan rakyat – Muhyiddin

    PN ikrar segera selesaikan isu jejas pendapatan rakyat – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengambil tindakan segera menyelesaikan isu-isu yang menjejaskan pendapatan rakyat dan pemulihan ekonomi negara seperti harga barang dan kekurangan bekalan makanan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut menjadi keutamaan PN ketika menyediakan tawaran janji atau manifesto kepada rakyat, tetapi dipastikan akan pertama dilakukan jika PN memerintah negara.

    “Jika diizinkan Allah, Mesyuarat Kabinet pertama Kerajaan Perikatan Nasional akan membincangkan cara-cara untuk menangani masalah kos sara hidup rakyat yang kian meningkat disebabkan oleh masalah inflasi dan kenaikan harga barang,” katanya berucap melancarkan manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam malam ini.

    Dengan tema “Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang” atau PN BEST, Perikatan Nasional menampilkan tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran.

    Tawaran ini digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.

    Muhyiddin berkata, untuk mengatasi isu kenaikan harga barang, kerajaan mesti melihat isu gangguan bekalan dan kos import dengan lebih serius, terutama sekali dalam keadaan nilai ringgit yang jatuh menjunam berbanding matawang utama dunia yang lain, terumanya dollar Amerika Syarikat.

    Katanya, isu kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan produktiviti dan mengganggu rantaian bekalan juga mesti diselesaikan segera.

    “Baru-baru ini ada kumpulan kontraktor kecil Bumiputera yang datang menemui saya mengadu masalah kekurangan tenaga kerja. Mereka kata mereka tak boleh ambil kontrak baharu kerana tiada pekerja. Kalau ada pun kosnya mahal dan mereka tak mampu bayar.

    “Akhirnya mereka kehilangan kerja-kerja kontrak yang sepatutnya mereka boleh buat dan ini menjejaskan pendapatan mereka. Jika kita berjaya membentuk kerajaan pada 19 November nanti, kita akan ambil tindakan segera untuk selesaikan isu-isu yang menjejaskan pendapatan rakyat dan pemulihan ekonomi negara,” katanya lapor portal Satuberita.

  • PN mampu menang semua 27 kerusi kritikal – Hadi Awang

    PN mampu menang semua 27 kerusi kritikal – Hadi Awang

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin PN mampu menang kesemua 27 kerusi kritikal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presiden Pas itu berkata, ini kerana semua calon yang ditampilkan itu berpotensi untuk menang, lapor Sinar Harian.

    “Sebelum ini kita ada membuat perbincangan dengan UMNO mengenai kerusi kritikal supaya tiada pertindihan.

    “Namun disebabkan oleh sikap UMNO yang berbelah bahagi, kita (PN) membuat keputusan untuk meletakkan semua calon di kawasan tersebut,” katanya selepas diminta mengulas peluang PN untuk menang di semua kerusi kritikal pada PRU-15.

    Terdahulu beliau hadir program turun padang di Pasar Peringat di Kota Bharu hari ini.

    27 kerusi Parlimen yang dikatakan kawasan kritikal kerana apabila jumlah undi UMNO dan Pas digabungkan berdasarkan keputusan PRU-14, ia boleh mengatasi undi yang diperoleh Pakatan Harapan (PH).

    Kawasan itu ialah Kangar, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Parit Buntar, Tambun, Lumut, Raub, Indera Mahkota, Kuantan, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kapar, Kuala Langat, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Sri Gading, Tanjung Piai, Tangga Batu dan Putatan.

  • Azmin akui cabaran besar menanti di Gombak

    Azmin akui cabaran besar menanti di Gombak

    DATUK Seri Mohamed Azmin Ali mengakui cabaran besar menanti untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan perubahan lanskap politik semasa, khususnya membabitkan pengundi muda.

    “Sudah tentu landskap politik kali ini sudah berubah dan anak muda juga akan terbabit dalam proses pemilihan pemimpin negara. Ini adalah cabaran besar buat saya dan juga calon lain.

    “Kami berdepan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam Malaysia. Cabarannya adalah bagaimana untuk kami yakinkan pengundi terutama dalam kalangan anak muda,” katanya lapor BH Online.

    Bagaimanapun, beliau yakin dengan rekod pentadbiran PN yang disifatkan baik dan stabil untuk meyakinkan pengundi terutama dalam kalangan anak muda.

    “Sekarang ini kita perlukan kerajaan yang stabil. Kita tidak boleh pertahankan kerajaan yang gagal memenuhi janji dan aspirasi rakyat. Kita tak boleh pertahankan mereka,” tegas Azmin.

    Kerusi Parlimen Gombak menyaksikan persaingan lima penjuru membabitkan Azmin; calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omar Din; calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohd. Tahir serta seorang calon bebas yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

    Pada PRU-14 lalu, Azmin memenangi kerusi terbabit dengan majoriti 48,721 undi di atas tiket PKR sebelum bertukar parti kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Mengenai punca adiknya, Azwan tarik diri daripada bertanding bebas di parlimen itu semalam, Mohamed Azmin berkata beliau tidak tahu-menahu mengenainya.

    “Saya tidak tahu menahu (sebab Azwan tarik diri), saya hanya fokus kepada tanggungjawab untuk menjaga rakyat di Gombak,” katanya kepada media ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama komuniti Gombak, hari ini.

    Semalam, Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengumumkan untuk tarik diri daripada bertanding bebas selepas mendakwa mendengar bisikan daripada arwah ibunya, Mak Tom supaya melupakan hasratnya itu.

  • Mas Ermieyati dihalang sertai program di surau

    Mas Ermieyati dihalang sertai program di surau

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa dihalang menyertai program bersama kariah di Surau Al Imran, Taman Indah, Masjid Tanah, hari ini.

    Mas Ermieyati berkata, kehadirannya di surau itu bukan bersifat politik, namun untuk memeriahkan aktiviti gotong-royong tersebut.

    “Ini bukan program saya pun, saya cuma nak bersama. Bila kata tak boleh, saya dah sampai jadi saya pandang dari jauh,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Namun katanya, biarpun berdepan cabaran itu namun tidak melemahkan semangatnya untuk terus bertemu pengundi tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

    “Insiden ini disifatkan sebagai cabaran dalam politik terutama pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” ujar Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) itu.

    Beliau turut mendedahkan kejadian berkeaan menerusi sebuah hantaran dalam akaun Facebook rasminya.

    “Saya dah sampai dah. Jadual sepatutnya saya bergotong royong dengan jemaah di sini pagi ni, telah dimaklumkan yang mereka tak dapat terima kehadiran saya atas sebab-sebab tertentu.

    “Hmm… Tak apalah, saya faham. Saya hanya pandang dari jauh,” tulisnya.

    Tambah beliau, surau itu mengingatkannya ketika bersama-sama rakan-rakan Gerakan Belia 4B Kawasan Masjid Tanah membuat program di situ.

    Malah ujar beliau, terdapat permintaan dari jemaah untuk menurap jalan menuju ke surau bagi kemudahan jemaah yang telah pun diluluskan pada waktu itu.

    “Apapun saya doakan semoga urusan mereka semua dipermudahkan,” tulisnya lagi.

    PR-U15 menyaksikan Mas Ermieyati berdepan saingan empat penjuru termasuk calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid, calon Pakatan Harapan (PH), Mutalib Uthman dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar.

    Mas Ermieyati yang juga penyandang Parlimen Masjid Tanah memenangi kerusi itu atas tiket BN pada PRU-14 sebelum menyertai Bersatu pada 13 Disember 2018.

  • Saifuddin setuju debat dengan calon Parlimen Indera Mahkota BN, PH

    Saifuddin setuju debat dengan calon Parlimen Indera Mahkota BN, PH

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Datuk Seri Saifuddin Abdullah bersetuju menyertai program debat yang dirancang diadakan dengan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi tersebut.

    Difahamkan, program debat itu dirancang membabitkan Saifuddin, calon BN, Datuk Quek Tai Seong dan calon PH, Zuraidi Ismail.

    Saifuddin berkata, beliau bersetuju untuk menyertainya namun setakat ini belum menerima jemputan rasmi tentang program tersebut.

    Jelasnya, menerusi debat itu, ia peluang untuk pengundi melihat apakah tawaran yang disampaikan oleh calon-calon bertanding.

    “Selepas itu, pengundi boleh menilai siapa calon yang menawarkan sesuatu yang lebih rapat di hati dan sanubari mereka,” katanya di Kuantan.

    Pada PRU-15 ini, kerusi Parlimen Indera Mahkota yang disandang Saifuddin akan berdepan saingan empat penjuru.

    Pengerusi PN Pahang itu akan dicabar Tai Seong, Zuraidi dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Mohamad Nor Sundari.

    Saifuddin berkata, beliau bersetuju menyertainya bagi menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.

  • Anggota ATM tak boleh berkempen PRU-15 -Zamrose

    Anggota ATM tak boleh berkempen PRU-15 -Zamrose

    ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak terlibat secara langsung termasuk turun berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata penglibatan secara langsung dalam proses pilihan raya boleh dianggap sebagai melanggar peraturan yang ditetapkan terhadap anggota ATM.

    “Diharapkan janganlah ada anggota kita yang turut bersama-sama memegang sepanduk parti politik dan terjerit di sana sini… itu tidak kena caranya dan kita tidak benarkan. 

    “Namun begitu kita tidaklah halang parti politik mana yang mereka ingin pilih atau sertai ceramah… itu pilihan masing-masing kerana mereka tetap boleh mengundi untuk menentukan masa depan negara.

    “Diharapkan mereka dapat tunaikan tanggungjawab masing-masing apabila tiba hari mengundi nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 472 veteran ATM peringkat Negeri Sembilan di Kem Segenting di sini hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

    Zamrose juga berkata ATM akan menambah lebih banyak latihan peralihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang relevan mengikut peredaran masa dan keperluan guna tenaga kerja negara.

    Beliau berkata lima latihan peralihan sedia ada yang ditawarkan dilihat tidak mencukupi dan perlu penambahbaikan yang efektif.

    “Setakat ini, PERHEBAT ada tawarkan kursus jangka panjang antara enam hingga 18 bulan bagi anggota yang bakal berpencen… kursus ini melibatkan bidang kejuruteraan mekanikal, reka bentuk dalaman, automotif, hospitaliti, keusahawanan dan pengajian pengurusan. 

    “Namun kita dapati ramai bekas peserta tidak bekerja dalam bidang latihan yang mereka sertai… Kita akan buat analisis terhadap isu ini dan akan berusaha untuk tambah baik kursus sedia ada serta menambah kursus lain juga,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki ditahan ‘tercuri’ motosikal polis

    Lelaki ditahan ‘tercuri’ motosikal polis

    SEORANG lelaki ditahan kerana mencuri motosikal anggota polis yang diletakkan di tempat letak kenderaan Hospital Ampang kelmarin.

    Dalam kejadian 6.30 petang itu, anggota polis yang sedang bertugas di pondok polis Hospital Ampang dimaklumkan orang awam yang melihat tindakan mencurigakan seorang lelaki menolak sebuah motosikal.

    Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, anggota polis terbabit kemudian bertanya suspek berusia 34 tahun itu mengapa cuba mengalih motosikal berkenaan.

    “Bagaimanapun suspek gagal memberi alasan munasabah dan disyaki ingin mencurinya.

    “Polis kemudian merampas motosikal itu dan menahan suspek untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu didapati positif dadah.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya.