Category: Semasa

  • Kecewa dengan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, 100 ahli keluar parti, bubar cawangan

    Kecewa dengan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, 100 ahli keluar parti, bubar cawangan

    KIRA-kira 100 ahli UMNO Cawangan Matahari Naik di sini mengumumkan keluar parti serta-merta, sekali gus membubarkan cawangan tersebut pada Ahad.

    Ketua cawangannya, Razali Ismail mendakwa Bahagian UMNO Balik Pulau yang dipimpin Datuk Shah Headan Ayoob Shah sudah lumpuh dan menjangkakan akan ada lagi cawangan yang akan mengikut jejak mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Beliau menyatakan hilang kepercayaan terhadap Shah Headan yang juga Ketua Bahagian UMNO itu kerana tidak mengambil peduli kewujudan cawangan serta kebajikan ahli sejak setahun lalu.

    “Tiada sebarang keistimewaan kepada ahli atau aktiviti dilakukan di cawangan ini.

    “Malah sumbangan 300 telefon pintar yang diberikan pada setiap tahun kepada penduduk di sini adalah hasil sumbangan sesama ahli, UMNO tidak ambil peduli langsung,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

    Mengulas lanjut Razali turut menyatakan kekecewaan dengan Shah Headan yang tidak mengunjunginya atau bertanya khabar tentang dirinya setelah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan dia hilang upaya kekal tangan kanan.

    “Ini adalah keputusan sebulat suara daripada semua ahli dan bukan keputusan peribadi saya,” tambahnya lagi lapor Astro AWANI.

    Dalam pada itu, Razali turut menyatakan beralih sokongan kepada calon bebas Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang juga anak jati Balik Pulau.

    “Beliaulah (Sabaruddin) yang menolong saya dan ahli-ahli yang lain sejak berpuluh tahun,” ujarnya lagi.

    Shah Headan bakal berdepan dengan persaingan enam penjuru dengan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan), Datuk Seri Johnny c’Hng Ewe Gee (Bebas), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (Perikatan Nasional), Sabaruddin (Bebas) dan Ahmad Fazli Mohamad dari PEJUANG pada PRU-15 ini.

  • Motosikal curi, nombor pendaftaran pula milik ketua pengarah

    Motosikal curi, nombor pendaftaran pula milik ketua pengarah

    TINDAKAN dua lelaki menunggang motosikal curi menggunakan nombor pendaftaran palsu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Titiwangsa Off Jalan Pahang di sini pada Ahad.

    Lebih malang apabila nombor pendaftaran palsu digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa itu merupakan milik seorang ketua pengarah salah satu badan penguat kuasa.

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu hantaran Facebook memaklumkan, kedua-dua suspek terbabit ditahan dalam Op Motosikal Pelbagai Kesalahan sekitar jam 11.30 pagi.

    “Telah tahan dua lelaki tempatan yang menunggang dan membonceng motosikal jenis Honda C-100 berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

    “Motosikal tersebut juga masih dilaporkan hilang bersangkut repot di Balai Polis Chow Kit pada 17 Ogos 2022,” menurut hantaran terbabit pada Ahad.

    JSPT Kuala Lumpur memaklumkan, kedua-dua suspek yang berusia 46 dan 39 tahun terbabit ditahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan motosikal berkenaan telah disita lapor Sinar Harian.

  • Shahidan tak peduli bakal dipecat, Zahid perlu cermin diri

    Shahidan tak peduli bakal dipecat, Zahid perlu cermin diri

    CALON Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak peduli sekiranya beliau dipecat daripada UMNO.

    Menteri Wilayah Persekutuan itu sebaliknya berkata, gerakan untuk memartabatkan perpaduan ummah menerusi undi UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang giat dijalankan olehnya.

    “Kempen berjalan dengan lancar dan sebagaimana saya sudah sebutkan bahawa InsyaAllah gerakan untuk memartabatkan perpaduan ummah menerusi Umno, Pas dan Bersatu duduk di bawah satu bumbung sedang diusahakan.

    “InsyaAllah kita akan mula gerakan di Arau di mana orang UMNO, Pas dan Bersatu akan sokong saya dan ini akan menampakkan bahawa jumlah yang kita dapat nanti bahawa orang mahu kepada perpaduan ummah di Arau,” katanya.

    Beliau yang juga penyandang kerusi tersebut berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui melakukan kempen secara santai bertemu pengundi di Kampung Mengkuang Layar, Tambun Tulang, di Arau, hari ini.

    Mengulas mengenai keputusan UMNO yang bakal memecatnya bersama penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding atas tiket PN dan Bebas, beliau berkata, tindakan sewajarnya dikenakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Sewajarnya Presiden UMNO yang dipecat kerana dirinya sendiri yang buat khianat disebabkan tidak ikut keputusan Top 5.

    “Apa hebatnya dia (Zahid) dan kita takut parti ini (UMNO) memberi perlindungan kepada perasuah seperti dia berdasarkan apa yang dia beritahu dalam perhimpunan MIC baru-baru ini. Dia menyatakan bahawa Timbalan Presiden UMNO, MCA dan MIC perlu beri kemenangan kepada BN kerana mereka semua akan dihadapkan ke mahkamah atas kes rasuah yang mereka dijangka hadapi,” katanya.

    Shahidan berkata, Zahid juga tidak perlu memberi amaran kepadanya sebaliknya beliau yang perlu ‘cermin’ dirinya sendiri dan bertanya adakah beliau ikhlas dalam memperjuangkan parti.

    “Dalam masa sama juga saya agak pelik melihat tidak banyak calon BN ini yang secara naratifnya memperakukan Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri bagi BN.

    “Semua parti termasuk PN, Pakatan Harapan (PH) sudah menyatakan calon Perdana Menteri masing-masing seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim namun puak (BN) ini bagaikan senyap dan tidak berani untuk menyatakan pendirian mereka,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, Shahidan berjalan secara santai bertemu dengan penduduk di kampung berkenaan bersama dengan jentera PN.

    Dalam PRU kali ini, Shahidan berhadapan dengan cabaran daripada calon BN, Datuk Rozabil Abd. Rahman dan calon muda PH, Fatin Amelina Fazlie bagi kerusi Parlimen Arau.

  • KWSP bersasar jika PN menang PRU-15 – Muhyiddin

    KWSP bersasar jika PN menang PRU-15 – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mempertimbangkan pengeluaran KWSP bersasar jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, walaupun tidak diumumkan dalam pengumuman Tawaran PN sebentar tadi, PN sedia mempertimbangkan pengeluaran bersasar itu.

    “Tak ada dalam manifesto, tetapi dulu kita buat pun tak ada dalam manifesto, insya-Allah antara perkara yang kita akan lihat balik semula ialah KWSP bersasar,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas melancarkan Tawaran PN bagi PRU-15 di Shah Alam malam ini.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, semasa menjadi Perdana Menteri, beliau sudah membenarkan beberapa kali pengeluaran KWSP termasuk i-Sinar dan i-Lestari.

    “Untuk pelaksanaan ini (pengeluaran KWSP) secara bersasar, kita perlu melihat jumlah simpanan (pencarum) terlebih dahulu.

    “Ini kerana, pengeluaran tidak boleh dibuat jika sudah tiada simpanan (dalam KWSP),” tambahnya.

    Sebelum itu, Muhyiddin membentangkan tawaran PN yang mengandungi 234 tawaran yang merangkumi 12 tunjang dan 30 pendekatan pada pilihan raya umum kali ini.

    Antara tunjang yang menjadi tumpuan adalah ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus.

  • Peja usik Anwar lagi, kali ini tunjuk susur keluar ke Utara pula

    Peja usik Anwar lagi, kali ini tunjuk susur keluar ke Utara pula

    CALON Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekali lagi mencuri tumpuan dengan idea kempennya yang unik dengan menggunakan mesej-mesej pada papan iklan di Parlimen Tambun.

    Sebelum ini bekas Menteri Besar Perak itu menggunakan mesej ‘Never Lost In Tambun’ pada papan iklan sebagai bahan kempennya namun kini digantikan dengan mesej baharu.

    Memetik laporan Malaysiakini, kata-kata tersebut boleh dikatakan merujuk kepada Ahmad Faizal tidak pernah kalah di Tambun atau tidak pernah ‘sesat’ di kawasan tersebut.

    Kali ini Ahmad Faizal atau lebih dikenali dengan panggilan Peja itu tampil pula dengan mesej baharu yang dinaikkan menunjukkan susur keluar ke utara, dipercayai ditujukan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berasal dari Pulau Pinang.

    Papan iklan dengan tulisan ‘Dari Tambun Susur Keluar ke Utara, 50m’ itu dipercayai dinaikkan pasukan kempen Peja, lewat malam tadi.

    Sebelum ini papan tanda kempen Anwar dinaikkan dengan mesej ‘Dari Tambun untuk Malaysia’ di Jalan Chemur/Jalan Meru Impian, semalam.

    Sehari selepas Anwar mengumumkan akan bertanding di situ, beliau mengalu-alukan kehadiran Presiden PKR itu dengan papan iklan yang menunjukkan sebutan yang tepat bagi air dalam loghat Perak yang dinaikkan di Komplek Lai Chee, di Tambun.

    Papan iklan dengan wajah Ahmad Faizal itu turut diiringi mesej berbunyi, ‘ayor bukan ayaq’.

    Malah Menteri Belia dan Sukan sementara ini juga tampil dalam video pendek yang dimuat naik di Facebook, Faizal secara sinis mengusik Anwar dengan berkata:

    “Hai Assalamualaikum.

    “Bagi mereka yang nak berhijrah daripada tempat lain, dari satu tempat ke satu tempat, dan nak datang ke Tambun, saya nak beritahu sikit.

    “Di Tambun kita sebut ayor. Dengar betul-betul, ayor, bukan ayaq.

    “OK terima kasih. Selamat datang,” katanya.

    Untuk rekod, Anwar berasal dari Pulau Pinang dan sebelum ini bertanding di Permatang Pauh sebelum menukar kerusinya di Port Dickson.

    Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Anwar membuat keputusan untuk lari dari kerusi Parlimen Port Dickson.

    Ayor ialah loghat bagi perkataan air di beberapa tempat di Perak.

    Pada PRU kali ini, selain Ahmad Faizal dan Anwar, turut bertanding adalah Aminuddin Md. Hanafiah (BN) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

    Tambun pernah menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi berjaya dirampas Ahmad Faizal pada 2018. Bagaimapun kemenangan Bersatu ketika itu menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH).

    Pada 2013, BN menang kerusi itu dengan 42,093 undi atau 56.2 peratus manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperoleh 32,768 undi (43.8 peratus).

    Pada 2018 terdapat tambahan 12,089 undi di Tambun. Sokongan BN merosot kepada 33,341 (38.3 peratus).

    Sebagai perbandingan, Bersatu ketika bertanding atas tiket PH, memperoleh 38,661 undi (44.5 peratus).

  • Standard integriti PN lebih tinggi berbanding BN, PH – Muhyiddin

    Standard integriti PN lebih tinggi berbanding BN, PH – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penanda aras yang ditetapkan gabungan politik itu dalam soal integriti lebih tinggi berbanding pesaingnya.

    Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mungkin mempunyai standard lebih rendah.

    “Ini sebabnya mereka yang menghadapi tuduhan rasuah boleh bertanding dalam pilihan raya umum,” katanya lapor Free Malaysia Today yang dilihat merujuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menghadapi tuduhan jenayah.

    Muhyiddin yang membuat kenyataan itu semasa membentangkan manifesto PN menambah:”Tetapi tak mengapa, itu masalah mereka, bukan kita”.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu yakin pengundi tahu menilai siapa lebih komited dalam memastikan negara bebas rasuah dan “kleptokrat”, istilah yang digunakan PN dan PH terhadap pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Najib Razak.

    Muhyiddin berkata, PN mengambil serius mengenai integriti kerana calon gabungan itu bukan saja menandatangani ikrar anti-rasuah, tetapi turut menjalani semakan menyeluruh.

    Katanya, gabungan itu akan melarang mana-mana calon berpotensi yang memiliki rekod jenayah, sedang disiasat agensi anti-rasuah atau menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah daripada bertanding.

    Beliau berkata, kerajaan PN akan meneruskan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional, inisiatif lima tahun yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 sebagai dasar komprehensif untuk membasmi rasuah.

    “Kami juga akan menubuhkan mahkamah anti-rasuah dan meminda undang-undang berhubung pembiayaan politik untuk mengekang ancaman itu.”

    Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta balasan berupa 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut serta menerima RM3.3 juta rasuah.

    Zahid pula berdepan 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan berjuta ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.

  • PRU-15: Cuti Ahad dan Isnin jika PN bentuk Kerajaan

    PRU-15: Cuti Ahad dan Isnin jika PN bentuk Kerajaan

    CUTI umum pada Ahad dan Isnin akan diberikan Perikatan Nasional (PN) sekiranya berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Sabtu, 19 November ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian cuti itu adalah tambahan kepada ratusan lagi tawaran yang disediakan Perikatan Nasional dalam manifesto “Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang” atau PN BEST.

    PN BEST merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran.

    “Saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman ataupun di lain daripada tempat tinggal mereka.

    “Jadi saya nak umumkan jika Perikatan Nasional menang dalam pilihan raya 19 November nanti kita akan isytiharkan cuti umum pada hari Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan Isnin bagi negeri-negeri lain.

    “Ini akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada Ahad ataupun Isnin yang akan datang ini,” katanya ketika melancarkan manifesto PN BEST, di Shah Alam, malam tadi.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berkata Perikatan Nasional akan membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil bagi menjamin kemakmuran berterusan dan membina Malaysia yang inklusif dan gemilang, jika menang pada 19 November ini.

    Secara keseluruhan tawaran itu digubal bagi mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum.

    “Bagi umat Islam, Perikatan Nasional akan membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam menuju keredaan Allah,” katanya lapor portal Beritabersatu.

    Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, Perikatan Nasional menggarapkan perkara ini melalui 12 Tunjang dan 30 Pendekatan dengan 234 Tawaran di dalam manifestonya.

    Beliau berkata Perikatan Nasional juga berikrar bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kewangan rakyat dan penjawat awam, akan dikekalkan dan ditambahbaik untuk semua lapisan masyarakat.

  • PRU15: Tiada sebarang perbincangan rasmi untuk PN bergabung dengan pihak lain – Azmin

    PRU15: Tiada sebarang perbincangan rasmi untuk PN bergabung dengan pihak lain – Azmin

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak mengadakan sebarang perbincangan rasmi untuk bergabung dengan mana-mana pihak kerana tumpuan ketika ini adalah memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata gabungan itu akan menggunakan peluang berkempen untuk meyakinkan rakyat tentang dasar PN yang properniagaan, mewujudkan pekerjaan serta menjamin kepedulian dan keprihatinan kepada rakyat.

    “Tidak ada sebarang perbincangan rasmi untuk bergabung dengan mana-mana pihak kerana tumpuan kita (PN) adalah untuk kemenangan PN di kawasan yang kita bertanding,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Kemensah di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan berkata BN sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti sekiranya gagal mendapat majoriti mudah.

    Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga calon PN di Parlimen Gombak berkata antara cabaran PRU15 bukan sahaja mempertahankan sokongan tetapi perlu mendekati hampir 70,000 pengundi baharu di parlimen itu.

    Katanya pengundi Gombak yang semakin pesat kini mencecah 206,000 pengundi berbanding 140,000 orang empat tahun lepas.

    Beliau berkata pengundi perlu memberi peluang kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau yang menjadi Perdana Menteri ketika negara dilanda COVID-19 telah berjaya menguruskan negara yang berdepan krisis pandemik.

    Mohamed Azmin berkata tumpuan Muhyiddin ketika itu adalah keselamatan rakyat serta mencergaskan semula ekonomi negara.

    Menurut Mohamed Azmin, Pakatan Harapan (PH) pernah mendapat sokongan rakyat namun ketika berkuasa mentadbir negara, ada parti yang mendominasi PH telah mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

    Katanya ini terbukti apabila kekalahan PH dalam enam Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika gabungan itu memerintah negara.

    Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berdepan saingan lima penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada PRU15.

    Beliau ditentang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (PH-PKR), Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang) dan calon bebas Zulkifli Ahmad.

    Pada PRU14, kerusi Parlimen Gombak dimenangi Mohamed Azmin yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Abdul Rahim Kamarudin (BN) dan Khairil Nizam (PAS).

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov ini sebagai tarikh mengundi dengan pengundian awal pada 15 Nov.- Bernama

  • Peningkatan pengundi indikator utama PN letak calon Melayu

    Peningkatan pengundi indikator utama PN letak calon Melayu

    PENINGKATAN jumlah pengundi Melayu di Parlimen Kota Melaka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi indikator utama Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan calon Melayu, Suhaime Borhan di kubu kuat DAP itu.

    Naib Presiden Gerakan, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam berkata, jumlah pengundi Melayu di Parlimen itu mencecah 43 peratus daripada keseluruhan 164,140 pengundi berdaftar di Kota Melaka ketika ini.

    “Pada PRU14, pengundi Melayu di Parlimen Kota Melaka adalah 37.8 peratus daripada keseluruhan 126,848 pengundi berdaftar dan situasi ini menyebabkan kita perlu mengubah strategi dari aspek calon.

    “Ia pertama kali Gerakan meletakkan calon Melayu di Kota Melaka sekali gus memberi pilihan kepada pengundi Melayu di Parlimen ini untuk mengundi calon Melayu kerana sebelum ini parti yang bertanding di kawasan itu adalah bangsa Tionghua kerana peratusan kaum itu lebih tinggi berbanding yang lain,” katanya ketika sidang akhbar pengenalan calon PN Parlimen Kota Melaka di Melaka hari ini.

    Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Melaka berkata, strategi meletakkan Suhaime, 42, yang merupakan Naib Pengerusi Gerakan Melaka itu sebagai langkah pembaharuan parti itu untuk mendekati pengundi Melayu di Parlimen berkenaan selain membuktikan PN merupakan sebuah parti berbilang kaum yang dibentuk menerusi gabungan parti lain seperti Bersatu dan Pas.

    Katanya, pencalonan Suhaime di kerusi tradisi DAP itu turut mengambil kira beberapa faktor lain antaranya calon itu berpengalaman hampir 20 tahun dalam politik dan telah bersama parti itu bermula di peringkat akar umbi serta dilihat mempunyai peribadi yang baik dan tidak terpalit sebarang isu.

    Gan berkata, pembaharuan itu juga dilihat akan memberi saingan kepada parti lawan dan jentera parti PN dari Gerakan, PAS dan Bersatu akan bekerja keras untuk melaksanakan gerak kerja dirancang secara lebih efektif.

    Sementara itu, Suhaime berkata, beliau berharap pencalonannya di Kota Melaka dapat menjadi ‘pemecah undi’ khususnya untuk meraih undi kaum Melayu di Parlimen itu pada PRU15 sekiranya peratusan kaum Melayu keluar mengundi tinggi.

    “Pencalonan saya di Kota Melaka merupakan satu penghormatan dan melihat kepada peratusan pengundi Melayu yang agak tinggi, saya rasa tiada masalah untuk saya berkhidmat di Parlimen ini. Saya akui ia bukan mudah tetapi tidak mustahil juga PN dapat menawan Kota Melaka,” kata ahli perniagaan itu.

    Beliau berkata, sekiranya diberi mandat pada PRU15, antara misi yang menjadi tumpuannya ialah untuk menambah baik infrastruktur perniagaan khususnya di kawasan Banda Hilir dan Melaka Raya serta pembangunan di kawasan pesisir pantai dalam Parlimen itu.

    Pada PRU15, Suhaime berdepan pertandingan empat penjuru antara Khoo Poay Tiong mewakili Pakatan Harapan, Kon Qi Yao (Barisan Nasional) dan calon Bebas, Datuk Dr Norazlanshah Hazali. Pada PRU14, Khoo menang dengan majoriti 49,175 undi.

  • Tawaran PN kepada belia, keluarga muda

    Tawaran PN kepada belia, keluarga muda

    GOLONGAN belia adalah aset masa depan negara. Justeru, Perikatan Nasional akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkasa golongan belia dan mensejahtera keluarga muda dengan menawarkan inisiatif-inisiatif berikut:

    i. Menyediakan Skim Perumahan Mikro Belia Mampu Sewa di bandar-bandar utama serta menambah baik skim pembiayaan perumahan bagi golongan B40 dan M40 seperti skim rent-to-own dan pembelian tanah;

    ii. Menetapkan kuota sekurang-kurangnya dua orang Senator dalam Dewan Negara untuk belia dan beliawanis bagi memastikan suara anak muda didengar di Parlimen;

    iii. Mengurangkan bayaran hutang pinjaman PTPTN sebanyak 25 peratus kepada graduan kelas dua atas;

    iv. Memberi insentif khas bernilai RM1,000 kepada pekerja sektor ekonomi gig yang layak untuk mengikuti kursus terpilih di institusi pengajian tinggi;

    v. Menaikkan kadar elaun pelajar yang menjalani latihan amali atau praktikal di sektor awam kepada RM1200 sebulan;

    vi. Memperkasa program usahawan golongan anak muda dalam industri ekonomi digital dan masa hadapan seperti FinTech, Robotik dan kenderaan elektrik (EV).

    vii. Memperkasa pembangunan bakat e-sports dengan memperkenalkan stadium khas e-sports serta program mencungkil bakat masa depan e-sports;

    iix. Meningkatkan kemahiran digital belia termasuk coding, artificial intelligence (AI), machine learning (ML) dan internet of things (IoT); dan

    ix. Memperkenalkan program pembiayaan perumahan tanpa faedah khususnya bagi keluarga muda.