Category: Semasa

  • Khazan menentang Ahmad Razif di DUN Seberang Takir

    Khazan menentang Ahmad Razif di DUN Seberang Takir

    PAS mengumumkan calon dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Khazan Che Mat mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, 12 Ogos depan.

    Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di Marang malam ini.

    Khazan akan menentang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, bekas Menteri Besar Terengganu ke-14 yang mesra dengan gelaran Cikgu Razif itu merupakan penyandang kerusi DUN Seberang Takir sejak 2008.

    Pada PRU14 lalu, Ahmad Razif menghadapi saingan tiga penjuru, menewaskan calon Pas, Mohd. Fazil Wahab dan calon PKR Abu Bakar dengan majoriti 1,884 undi.

    Beliau mendapat 9,340 undian ketika menentang Mohd. Fazil Wahab daripada parti Pas yang mendapat 7,456 undi.

    PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

    PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.

  • PRK: Ahmad Amzad kekal calon PN Parlimen Kuala Terengganu

    PRK: Ahmad Amzad kekal calon PN Parlimen Kuala Terengganu

    PAS mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut pada Ogos depan.

    Calon Perikatan Nasional (PN) itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila di Marang malam ini.

    Sebelum ini beberapa nama besar diramal menjadi calon mewakili PN dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini.

    Selain itu, antara nama lain yang disebut-sebut ialah Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.

    Dalam pada itu, wujud juga dakwaan kononnya penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Ahmad Amzad Hashim bakal digugurkan daripada bertanding selepas kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya negeri dan pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

    Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di Marang membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

    Mahkamah turut memerintahkan responden membayar RM50,000 kepada pempetiseyen selain membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen.

    Sebelum itu, UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di Marang mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Terengganu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.

    Beliau mendapat 63,016 undi, mengetepikan tiga lagi pencabarnya iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 10,946 undi; Datuk Mohd. Zubir Embong daripada Barisan Nasional (BN) dengan 22,109 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi).

  • PRN di Negeri Sembilan: Anak Rais Yatim bertembung dengan sepupu

    PRN di Negeri Sembilan: Anak Rais Yatim bertembung dengan sepupu

    ANAK kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim tidak dapat menolak pencalonannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini mempunyai kaitan dengan bapanya.

    Danni, 36, yang dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang bagaimanapun berkata, itu bukanlah faktor utama kerana jika tidak, sudah lama namanya naik sebagai calon.

    “Pastinya semua orang akan cakap apa yang saya dapat dalam hidup disebabkan ayah saya dan saya tak nafikan itu. Banyak contoh lain misalnya Datuk Mukhriz Mahathir, Lim Guan Eng dan juga ahli keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Tapi saya akan buat terbaik dengan peluang diberi ini. Cumanya saya bernasib baik kerana ada ayah seperti Tan Sri Rais Yatim,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban malam ini.

    Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu berkata, penglibatannya dalam politik sudah 13 tahun dan ia bermula dengan pelbagai ujian serta rintangan.

    Malah katanya, pembabitan ahli keluarga dalam politik juga adalah perkara biasa.

    Pada PRN ini, Danni akan bertembung dengan sepupunya iaitu penyandang kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Bakri Sawir yang merupakan anak saudara Rais.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bakri yang pertama kali bertanding menang dengan mendapat 4,296 undian ketika menentang Baharuddin Jali daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 3,320 undi dengan majoriti undi sebanyak 976.

    Mengulas mengenai pertembungan dengan sepupunya beliau berkata, perbezaan politik dalam kalangan ahli keluarga adalah perkara biasa.

    “Kita bertanding dalam keadaan sihat, tidak ada nak serang peribadi dan sebagainya. Saya akan pamerkan apa yang saya boleh tawarkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Ahmad Samsuri pertahan kerusi DUN Ru Rendang

    Ahmad Samsuri pertahan kerusi DUN Ru Rendang

    MENEPATI apa yang diramalkan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kekal dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Ahmad Samsuri dijangka berdepan saingan dua penjuru menentang calon baharu dari Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaimi Sulaiman.

    Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di Marang malam ini, lapor Sinar Harian.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang yang diambil alih daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 6,028 undi.

    Dalam saingan tiga penjuru itu, beliau menerima 13,851 undi menewaskan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dari BN (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zarawi Sulong (729 undi).

    DUN Bandar hadapi saingan tiga penjuru

    Kerusi DUN Bandar bakal menyaksikan saingan sengit pada PRN kali ini selepas Pas mengumumkan Ahmad Shah Muhamed sebagai calon yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

    Ahmad Shah bakal menentang calon Barisan Nasional (BN), Armi Irzan Mohd dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long.

    Sebelum ini, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail yang bertanding di DUN Bandar pada PRU14 lalu terpaksa akur selepas tewas di kerusi yang ditandinginya itu apabila Pas menerusi Ahmad Shah Muhamed menang dengan majoriti 2,091 undi.

    Ahmad Shah yang mendapat 7,133 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Toh Seng Cheng (5,042 undi) dan Azan Ismail dari PKR yang meraih 3,996 undi.

    Hari pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan manakala penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini.

    PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

    PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.

  • PN pertaruh calon ulama, golongan profesional di Terengganu

    PN pertaruh calon ulama, golongan profesional di Terengganu

    PERIKATAN Nasional (PN) mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di semua 32 kerusi DUN Terengganu pada PRN 12 Ogos ini, dengan calon Pas diletakkan di majoriti kerusi.

    Menurut Pesuruhjaya Pas Terengganu, Husain Awang, PN mempertaruhkan kombinasi calon-calon yang terdiri daripada ulama (50%), golongan profesional dan usahawan (39.5%), dan lain-lain (9%).

    PN turut meletakkan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

    Sementara itu, Zuraida Md. Noor (PAS) menjadi satu-satunya calon wanita diletakkan oleh PN pada PRN Terengganu, bagi kerusi DUN Ladang.

    Berikut senarai kerusi ditandingi calon PN di Terengganu:

    Kuala Besut – Azbi Salleh (PAS)
    Kota Putera – Nurkhuzaini Ab Rahman (PAS)
    Jertih – Riduan Mohd Nor (PAS)
    Hulu Besut – Mohd Husaimi Hussin (Bersatu)
    Jabi – Dr Azman Ibrahim (PAS)
    Permaisuri – Yusop Majid
    Langkap – Azmi Maarof (PAS)
    Batu Rakit – Shafizi Ismail (PAS)
    Tepuh – Hishamuddin Abdul Karim (PAS)
    Buluh Gading – Ridzuan Hashim (PAS)
    Seberang Takir – Khazan Che Mat (Bersatu)
    Bukit Tunggal – Zaharuddin Zahid (PAS)
    Wakaf Mempelam – Wan Sukairi Abdullah (PAS)
    Bandar – Ahmad Shah Muhamed (PAS)
    Ladang – Zuraida Md Noor (PAS)
    Batu Buruk – Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS)
    Alur Limbat – Ariffin Deraman (PAS)
    Bukit Payong – Mohd Nor Hamzah (PAS)
    Ru Rendang – Ahmad Samsuri Mokhtar (PAS)
    Pengkalan Berangan – Sulaiman Sulong (PAS)
    Telemung – Zawawi Ismail (Bersatu)
    Manir – Hilmi Harun (PAS)
    Kuala Berang – Dr Mamad Puteh (PAS)
    Ajil – Maliaman Kassim (PAS)
    Bukit Besi – Ghazali Sulaiman (PAS)
    Rantau Abang – Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli (PAS)
    Sura – Dr Tengku Mohd Fakhruddin Fauzi (PAS)
    Paka – Satiful Bahari Mamat (PAS)
    Kemasik – Saiful Azmi Suhaili (PAS)
    Kijal – Razali Idris (Bersatu)
    Cukai – Hanafiah Mat (PAS)
    Air Putih – Mohd Hafiz Adam (PAS)

  • PRN:Yakin Pas sapu bersih 45 kerusi DUN di Kelantan

    PRN:Yakin Pas sapu bersih 45 kerusi DUN di Kelantan

    TIMBALAN Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah yakin parti itu mampu menyapu bersih semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, keyakinan tersebut berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    “Bagaimanapun, suka saya ingatkan kita tidak boleh terlalu yakin. Sebaliknya perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Pas pada PRN nanti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU DUN ke-15 Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu malam ini.

    Katanya yang juga Naib Presiden Pas berkata, parti itu yakin mampu mempertahankan pentadbiran di Terengganu dan Kedah.

    Ujarnya, selain itu beliau optimis Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang cerah untuk merampas Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

  • Pas larang ahli buat kenyataan kecuali diizinkan Presiden-Takiyuddin

    Pas larang ahli buat kenyataan kecuali diizinkan Presiden-Takiyuddin

    PAS sekali lagi memberi peringatan kepada ahli-ahlinya agar memberikan komitmen maksimum bagi memastikan kemenangan calon PN dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan serentak pada 12 Ogos ini.

    Setiausaha Agung Pas, DAtuk Seri Takiyuddin Hassam berkata, arahan yang dikeluarkan pemimpin parti itu, khususnya jabatan pilihan raya, mestilah dipatuhi.

    Kata beliau, secara tegasnya sebarang tindakan yang menyalahi dan merugikan parti adalah suatu kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sehingga dipecat.

    “Ini termasuklah sebarang tindakan seumpama menjadi calon atau menyokong calon selain daripada calon PN,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Arahan itu adalah peringatan sekurang-kurangnya kali ketiga dibuat oleh Pas selepas penegasan yang sama disebut presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang beberapa hari lalu dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.

    Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu turut mengeluarkan arahan kepada semua ahli Pas agar tidak membuat sebarang kenyataan kecuali selepas diizinkan presiden mereka.

    “Sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden Pas bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan khususnya dalam tempoh pilihan raya ini,” katanya.

    Sebelum ini ada beberapa pemimpin Pas peringkat pertengahan dan akar umbi menyatakan rasa kurang senang dengan pengagihan kerusi dalam kalangan parti PN.

    Antara yang paling menonjol ialah pembabitan Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau yang bertanding di kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang.

    Asalnya nama Lau dikaitkan dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Berangan di Tasek Gelugor namun dibantah Pemuda Pas kawasan terbabit.

    Semalam beberapa pemimpin termasuk anggota Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya Pas Pulau Pinang membantah langkah pemimpin PN meletakkan Lau di Bayan Lepas.

    Rasa tidak senang itu mendorong Pas di kawasan berkenaan mengancam untuk menutup bilik operasi masing-masing dan enggan memberikan undi kepada Lau.

    Takiyuddin berkata, Pas mewajibkan semua ahli dan penyokong parti itu agar keluar mengundi awal dan memberikan undi masing-masing kepada calon PN.

    “Pas yakin dengan perjuangannya yang berteraskan Islam serta hala tuju yang jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara yang digerakkan bersama gabungan PN akan terus diberikan mandat untuk mara berkhidmat di peringkat negeri dan negara,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Bekas Timbalan Menteri di JPM ketuai senarai calon PN Negeri Sembilan

    Bekas Timbalan Menteri di JPM ketuai senarai calon PN Negeri Sembilan

    BEKAS Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Eddin Syazlee Shith mengetuai senarai calon PN bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dicalonkan untuk menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh.

    Senarai nama-nama calon itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Hotel Royale Chulan, Seremban, malam ini.

    Sebanyak 34 nama calon diumumkan pada malam ini dengan Bersatu mendahului daripada segi jumlah bertanding iaitu sebanyak 15 kerusi, diikuti Pas (12) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (6).

    Secara keseluruhan Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN. Nama calon bagi dua lagi kerusi DUN Jeram Padang dan Sri Tanjung tidak diumumkan.

    Setakat ini tidak dapat dipastikan mengapa PN belum menguar-uarkan calon bagi kerusi tersebut.

    Gabungan itu juga tidak mengumumkan calon mereka bagi menduduki kerusi menteri besar jika berjaya menguasai Negeri Sembilan.

    Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Faizal tidak menyebut nama parti yang diwakili calon-calon PN.

    “Saya mohon kita anggap semua calon yang kita bawa ini calon PN.

    “Saya tidak akan menyebut tidak akan namakan sama ada calon dari parti mana. Mereka adalah calon PN,” katanya.

    Pengerusi PN Negeri Sembilan itu juga berkata partit mempunyai potensi yang baik memenangi PRN.

    “Insha-Allah, berkat dengan kerja kuat setiap daripada kita bekerja sebagai satu kumpulan kita yakin kita akan menukar kerajaan Negeri Sembilan pada PRN akan datang.

    “Penting untuk kita memahami bahawa dalam menghadapi PRN akan datang ini adalah daripada kalangan kita semua, para pendukung PN.

    “Kita semua mendukung sebuah pasukan yang bersih dan stabil. PN tetap terbaik. Kita yakin menawarkan perkara yang terbaik kepada rakyat di Negeri Sembilan sekurang-kurangnya untuk jangka masa lima tahun akan datang,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Warga emas maut dihempap jentolak

    Warga emas maut dihempap jentolak

    SEORANG lelaki maut akibat dihempap jentolak ketika melakukan kerja pembersihan ladang kelapa sawit di Kampung Rosob di Pitas pukul 2.30 petang tadi.

    Warga emas tersebut, Kok Vui Siong, 64, maut akibat tersepit oleh jentera berat terbabit.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Pitas berhubung kejadian itu pada pukul 2.41 petang.

    “Seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 40 kilometer dari BBP Kota Marudu.

    “Menurut laporan sebuah jentera berat jatuh ke dalam gaung sedalam 80 meter semasa menjalankan kerja pembersihan ladang.

    “Terdapat seorang mangsa tersepit dalam jentolak berkenaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan bantuan jengkaut namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.24 petang,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Sedia bas angkut pengundi boleh timbulkan curiga, pesan KP SPRM

    Sedia bas angkut pengundi boleh timbulkan curiga, pesan KP SPRM

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak bersetuju dengan idea menyediakan bas untuk mengangkut pengundi ketika pilihan raya.

    “Saya berpandangan keberadaan pengundi dalam bas yang disediakan oleh ketua calon atau ahli parti boleh menimbulkan curiga.

    “Saya nasihatkan tidak boleh. Sebabnya… dalam bas itu boleh ‘jadi’ juga. Kita tak tahu situasi,” katanya dalam temubual Negeri FM.

    Beliau menyatakan pendiriannya selepas dimaklumkan pemberita bahawa pihak tertentu mengumumkan bas akan disediakan untuk pengundi untuk pilihan raya nanti.

    Azam juga meminta pendengar membayangkan jika banyak pihak yang terbabit dalam pilihan raya berbuat demikian.

    “Kita jangan jadi satu komuniti yang korup di mana pemikiran kita sudah korup. Bila kita korup kita akan memilih pemimpin yang korup.

    “Saya pernah guna ayat ini tapi banyak orang tak suka,” katanya memetik laporan FMT.

    Azam juga mengingatkan pendengar bahawa zaman kini ramai tukang adu, dan kemenangan calon-calon boleh terbatal sekiranya terbukti melakukan kesalahan.

    Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu akan mengadakan pilihan raya pada 12 Ogos, membabitkan 9,773,571 pemilih.