Category: Semasa

  • Sembilan terselamat bot pelancong terbalik di Pantai Teluk Batik

    Sembilan terselamat bot pelancong terbalik di Pantai Teluk Batik

    SEMBILAN individu termasuk seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dan dua kru bot terselamat apabila bot yang melakukan aktiviti rekreasi membawa pelancong telah terbalik di Pantai Teluk Batik, Seri Manjung hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian melibatkan mangsa pelancong tempatan yang kesemua berusia antara tiga hingga 34 tahun itu pada 10.58 pagi sebelum tiba ke lokasi pada 11.15 pagi tadi.

    Beliau berkata dua mangsa didapati lemas iaitu remaja OKU berusia 17 tahun terbabit dan seorang wanita 34 tahun yang telah dibawa naik ke darat oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba, manakala tujuh mangsa yang lain selamat selepas berjaya berenang ke pantai.

    “Mangsa lelaki (OKU) yang lemas telah sedar akibat daripada bantuan CPR (resusitasi kardiopulmonari) oleh orang awam seterusnya dibawa ke hospital oleh EMRS bomba.

    “Seorang lagi mangsa iaitu wanita tidak sedarkan diri dirawat oleh anggota KKM (Kementerian Kesihatan) dan didapati mempunyai nadi seterusnya dibawa ke hospital oleh ambulans KKM,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sayani berkata operasi tamat pada 12.15 tengah hari.

  • BNM syor denda RM23 juta tapi AGC kenakan RM15 juta: Zeti

    BNM syor denda RM23 juta tapi AGC kenakan RM15 juta: Zeti

    BANK Negara Malaysia (BlNM) mengesyorkan denda RM23 juta terhadap 1MDB kerana gagal mematuhi arahan bank pusat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, kata Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

    Saksi berumur 76 tahun itu berkata, untuk mengenakan penalti, BNM memerlukan persetujuan atau kebenaran AG pada masa itu.

    “AG menolak jumlah yang disyorkan oleh kami. Kami (BNM) mengesyorkan RM23 juta, namun AG mengurangkannya kepada RM15 juta,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata demikian ketika ditanya peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu yang membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Zeti: Bagi mendenda 1MDB, kami memerlukan persetujuan atau kebenaran Peguam Negara, dan Peguam Negara menolak denda yang disyorkan oleh bank pusat.

    Shafee: Berapa jumlah (denda yang disyorkan oleh BNM)?

    Zeti: RM23 juta.

    Shafee: Ini dikurangkan kepada RM15 juta.

    Zeti: Ya, betul.

    Pada 28 April 2016, BNM dilaporkan telah mengeluarkan surat kompaun kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan, yang adalah antara tindakan terakhir oleh Zeti sebelum bersara sebagai gabenor BNM.

    Kemudian pada 17 Ogos 2018, Gabenor Bank Negara ketika itu Nor Shamsiah Mohd Yunus mendedahkan bahawa 1MDB telah didenda RM15 juta.

    Antara 27 Julai 2015 dan 4 Jun 2018, peguang negara ketika itu adalah Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

    Sebelum ini, semasa perbicaraan 1MDB di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Zeti memberi keterangan bahawa Apandi pada 2015 tidak menerima cadangan BNM untuk mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol, Azral Ibrahim Halmi serta dua lagi bekas eksekutif firma itu, Casey Tang dan Nik Faisal Ariff Kamil.

    Mohamed Apandi Ali
    Perbicaraan akan bersambung esok.

    Najib, 70, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana daripada 1MDB yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

    Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

    Sementara itu, Bernama melaporkan dalam kenyataan saksinya, Zeti memberitahu bahawa ketidakupayaan 1MDB untuk membawa balik wang itu dan memberikan bukti mengenai status dana, mengakibatkan kompaun dikenakan ke atas dana kekayaan berdaulat itu.1MDB membayar kompaun pada 25 Mei 2016.

    Muhammad Shafee: Adakah terdapat sebarang percubaan oleh Menteri Kewangan ketika itu (Najib) untuk mengetepikan denda yang dikenakan ke atas 1MDB ini?

    Zeti menjawab, “Saya tidak tahu”.

    Selain itu, Zeti juga menegaskan bahawa AmBank memberitahunya bahawa Najib akan membuka akaun dengan bank itu, tetapi berkata pengarah urusan bank berkenaan Cheah Tek Kuang tidak memberitahunya bahawa ada derma yang dijangka akan masuk.

    Zeti sekali lagi menegaskan bahawa bank pusat tidak menjalankan kajian sewajarnya ke atas akaun individu, dan itu adalah kewajipan institusi kewangan masing-masing.

    Keterangan Zeti dilihat bercanggah dengan keterangan Cheah sebelum ini sebagai saksi pendakwaan ke-39 dalam perbicaraan 1MDB yang sama, apabila katanya dia telah memberitahu Zeti mengenai ‘derma’ yang dikatakan akan tiba.

    Cheah pada 4 Oktober 2022, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia telah mengikuti arahan pengerusi AmBank dan pergi ke rumah Najib pada awal 2011 untuk membantu Najib dengan dokumen pembukaan akaun bank, dan Najib mendakwa akan ada AS$100 juta derma yang datang dari kerajaan Arab Saudi untuk beliau, khusus bagi pelaksanaan aktiviti berkaitan Islam.

  • Sultan Selangor gesa segerakan jawatankuasa kaji kompetensi DUN gubal undang-undang syariah

    Sultan Selangor gesa segerakan jawatankuasa kaji kompetensi DUN gubal undang-undang syariah

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkata satu jawatankuasa khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal tentang kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

    Sultan Sharafuddin yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkata ini berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan, khususnya berkaitan kompetensi DUN dalam membuat dan meluluskan undang-undang Islam (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya.

    “Trend sebegini menggambarkan kedudukan enakmen-enakmen negeri yang melibatkan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Syariah semakin tercabar, yang sekali gus menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri untuk membicarakannya,” kata baginda.

    Sultan Selangor berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini.

    Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi majlis berkenaan.

    Justeru, baginda berpandangan penyelesaian hanya boleh dibuat melalui tindakan legislatif dengan membuat pindaan tertentu kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi membolehkan kuasa yang lebih luas diberikan kepada DUN di dalam menggubal peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah Syariah bagi orang Islam.

    “Dengan mengambil pertimbangan keadaan yang sedang kita hadapi ini, Beta berpandangan, adalah perlu satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan dari keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Sultan Selangor.

    Titah baginda, jawatankuasa khas itu perlu mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan termasuklah peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan supaya satu penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu itu dapat dibuat.

    “Jawatankuasa khas ini hendaklah dianggotai oleh pakar undang-undang Perlembagaan, undang-undang sivil dan Syariah serta ahli-ahli akademik, dan tidak ketinggalan pengamal undang-undang yang mempunyai kelayakan, kemahiran dan pengalaman yang luas dalam kedua-dua bidang undang-undang sivil dan Syariah,” kata baginda.

    Susulan itu, Sultan Sharafuddin berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang turut hadir pada mesyuarat itu, dapat mengambil langkah-langkah segera bagi pembentukan jawatankuasa khas berkenaan dan mengemukakan syor kepada MKI, seterusnya Majlis Raja-Raja ke arah penyelesaian kepada permasalahan berkenaan.

    Sementara itu, Sultan Selangor memaklumkan mesyuarat MKI pada sidang kali ini akan membincangkan satu kertas dasar berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif.

    “Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dimuktamadkan,” kata baginda.

  • Murtad: Mahkamah tolak rayuan wanita cabar keputusan Mahkamah Syariah

    Murtad: Mahkamah tolak rayuan wanita cabar keputusan Mahkamah Syariah

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan seorang wanita untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya keluar daripada agama Islam.

    Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, dalam keputusan sebulat suara memutuskan bahawa hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan isu pembatalan agama sebagaimana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

    “Mahkamah Tinggi Syariah kompeten untuk mendengar perkara itu. Kami bersetuju bahawa hakim Mahkamah Tinggi di mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Syariah.

    “Mahkamah sivil dan Syariah adalah dua sistem perundangan yang berasingan dan Mahkamah Syariah bukanlah tribunal rendah yang tertakluk kepada semakan kehakiman. Kesimpulannya, rayuan ditolak, keputusan hakim Mahkamah Tinggi Sivil disahkan,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu melalui prosiding dalam talian.

    Azizah, yang bersidang bersama Datuk See Mee Chun dan Datuk Azizul Azmi Adnan, menolak permohonan itu tanpa arahan mengenai kos.

    Peguam Fahri Azzat mewakili wanita itu manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili empat responden.

    Wanita berusia 33 tahun itu, yang dilahirkan dalam keluarga bapa seorang mualaf dan ibu menganut agama Islam, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Jun lepas yang menolak permohonannya untuk mendapat kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

    Dalam permohonan itu, yang difailkan pada 4 Mac tahun lepas, beliau menamakan Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

    Wanita itu memohon sekurang-kurangnya 12 perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa beliau bukan lagi seorang Islam serta berhak menganut dan mengamalkan agamanya iaitu Konfusianisme serta Buddhisme.

    Beliau turut memohon deklarasi Mahkamah Tinggi sivil bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah yang menolak permohonannya untuk diisytihar sebagai murtad adalah tidak sah, menyalahi undang-undang serta batal.

    Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak permohonan wanita itu untuk diisytihar sebagai bukan Islam dan memerintahkan beliau agar melalui ‘istitabah’ atau bertaubat dan mengikuti kelas agam Islam serta kaunseling akidah selanjutnya.

    Beliau kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 8 Dis 2021.

  • PRK: Calon PN akur larangan tidak berkempen di masjid, dekati 400 pengundi sehari

    PRK: Calon PN akur larangan tidak berkempen di masjid, dekati 400 pengundi sehari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LARANGAN kerajaan Johor untuk tidak berkempen di masjid atau surau sepanjang pilihan raya kecil di negeri ini perlu dipatuhi bagi mengelak perpecahan serta memelihara kesucian rumah ibadat tersebut.

    Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar berkata, larangan itu perlu dipatuhi semua pihak semasa PRK Parlimen Pulai di sini dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Muar.

    Beliau berkata, larangan tersebut tidak menjejaskan kelancaran jadual kempen PN dan sejak mula berkempen tiga hari lalu, jentera gabungan itu memastikan pemilihan lokasi yang selamat, sesuai untuk berkempen dan mematuhi peraturan ditetapkan.

    “Malah jentera PN juga memastikan lokasi dipilih itu mudah mendekati kumpulan pengundi. Sepanjang tempoh berkempen ini, kita akan berusaha mendekati kira-kira 400 pengundi setiap hari.

    “Larangan ditetapkan kerajaan kita kena ikut dan wajib, kita tidak boleh bantah selain ia juga langsung tidak menganggu jadual.

    “Kita mengetahui ia adalah tempat ibadah, saya pun tidak menggunakan baju parti ketika ke masjid atau surau selain menghormati larangan itu,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan ‘walkabout’ di gerai makan di Taman Kemas, Johor Bahru hari ini.

    Sementara itu, Zulkifli berkata, sudah menjadi kebiasaannya untuk memenuhi jadual yang padat.

    “Saya bergerak dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini selain saya kerap jalan jauh. Saya sudah biasa, namun kami menyesuaikan jadual mengikut cuaca,” katanya.

    Zulkifli juga mengakui tidak asing dalam kalangan masyarakat tempatan kerana kelebihannya sebagai anak jati Tampoi.

    Zulkifli yang juga usahawan kelahiran Tampoi berkata, beliau akan menggunakan tempoh kempen sepanjang 14 hari sebaiknya dengan memfokuskan keseimbangan dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

    “Saya bersyukur kerana semua mereka sudah mengenali saya walaupun nampak dari jauh,” katanya.

    Kerajaan negeri melarang semua pihak termasuk calon-calon yang bertanding dalam Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram untuk berkempen di dalam masjid dan surau.

    Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid menerusi suatu kenyataan pada Ahad menyatakan larangan itu bagaimanapun tidak membabitkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau pihak yang mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

  • Bayi lelaki setahun maut dipercayai akibat didera

    Bayi lelaki setahun maut dipercayai akibat didera

    LAGI kes kanak-kanak maut didera kali ini berlaku di Seberang Jaya, Pulau Pinang melibatkan seorang bayi lelaki warga tempatan yang baru berusia setahun.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang mendakwa bayi tersebut maut dengan kesan dera kira-kira pukul 7 petang.

    Menurut Cheng San, mangsa sebelum itu dibawa ke hospital tersebut oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mendakwa bayi malang itu pengsan dan memerlukan rawatan susulan.

    “Suspek bagaimanapun bergegas meninggalkan kawasan hospital tidak lama kemudian.

    “Ekoran kejadian tersebut, empat lelaki dan lima wanita warga tempatan yang berusia antara 16 hingga 48 tahun ditahan di sekitar Seberang Perai bagi membantu siasatan.

    “Siasatan lanjut mendapati, salah seorang daripada suspek yang ditahan itu mempunyai lima rekod jenayah atas pelbagai kesalahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah Cheng San, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk direman dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Abdul Hadi sedia beri keterangan kepada Bukit Aman

    Abdul Hadi sedia beri keterangan kepada Bukit Aman

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman berhubung suatu laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor.

    Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman berkata, pihaknya telah dihubungi Bukit Aman pagi tadi untuk memberi keterangan.

    “Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada Tan Sri Tuan Guru dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman.

    “Malah sebelum ini Tan Sri Tuan Guru telah pun memberikan keterangan kepada Bukit Aman, termasuklah menyerahkan peranti (telefon bimbit) milik pengendali akaun Facebook rasmi beliau (Setiausaha Akhbar) kepada pihak Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu siasatan.

    “Dalam hal ini, Tan Sri Tuan Guru menaruh kepercayaan penuh terhadap profesionalisme pihak PDRM dan SKMM dalam menjalankan tugas dan siasatan,” katanya menerusi Facebook hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hari ini, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat kenyataan Abdul hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah beliau di Markas Pas Kawasan Bakri, Muar pada 26 Ogos 2023.

    Menurut Kamarul Zaman, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duannya.

    Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

  • Bukit Aman siasat ceramah Abdul Hadi dalam PRK pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

    Bukit Aman siasat ceramah Abdul Hadi dalam PRK pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UNIT Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menyiasat kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di Markas Pas Bakri, Muar malam kelmarin.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

    “Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada malam kelmarin, Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Kawasan Bakri mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

    Menurut Abdul Hadi, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

    “Undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.

    Justeru bekas Duta Khas bertaraf menteri itu lagi, Pas mahu peruntukan undang-undang yang ada sekarang ditukar kepada peraturan Islam.

  • Cuba bunuh diri selepas isteri minta cerai

    Cuba bunuh diri selepas isteri minta cerai

    GARA-GARA isteri meminta cerai membuatkan seorang lelaki ‘hilang semangat’ apabila cuba membunuh diri dari sebuah papan tanda pada ketinggian 12 meter di Tasik Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam hari ini.

    Lelaki tersebut berusia 50an turut berada di papan tanda dalam keadaan meracau serta berteriak kepada anggota bomba yang cuba menyelamatkannya.

    Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 8.35 pagi.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati lelaki berkenaan turut mengugut untuk terjun ke bawah pada ketinggian kira-kira 12 meter.

    “Siasatan awal mendapati punca lelaki tersebut bertindak sedemikian ekoran isterinya telah meminta cerai.

    “Sepanjang berada di papan tanda itu juga didapati lelaki berkenaan telah meracau sendirian,” katanya ketika dihubungi Kosmo Online hari ini.

    Beliau menambah, pujukan yang berlangsung selama dua jam akhirnya berjaya menenangkan diri lelaki itu sebelum dibawa turun oleh anggota bomba dalam keadaan selamat.

    “Proses pujukan juga dibantu isteri lelaki dan rakan-rakannya,” jelasnya.

  • Pukul bapa hingga maut, buang tepi jalan

    Pukul bapa hingga maut, buang tepi jalan

    SEORANG anak lelaki tergamak membunuh bapanya, sebelum mayatnya dibalut dengan langsir sebelum dibuang di tepi jalan di hadapan sebuah kondominium di Sungai Way, di kelmarin.

    Menurut sumber, mayat lelaki berusia 74 tahun itu ditemui pada jam 2 pagi.

    “Siasatan mendapati kesan kecederaan di kepala, tangan sebelah kiri disyaki patah, kesan lebam di bahagian dada mangsa.

    “Pemeriksaan di lokasi rumah mangsa pula, terdapat kesan tompokan darah di bahagian dinding dan pintu bilik tidurnya serta kesan seretan di bahagian ruang tamu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, pemeriksaan pada sebuah kenderaan yang disyaki digunakan suspek berusia 40-an untuk membawa mangsa terdapat kesan tompokan darah di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

    “Suspek yang juga anak kandung mangsa telah ditahan, dia disyaki memukul bapanya dengan menggunakan penyedok sehingga menyebabkan kematian.

    “Suspek kemudian bertindak membalut mangsa menggunakan langsir sebelum meletakkan mayat mangsa di tepi jalan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    “Kita akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian itu dalam masa terdekat,” katanya.