Category: Semasa

  • Pentadbiran PN jadikan Malaysia lebih mantap – Radzi

    Pentadbiran PN jadikan Malaysia lebih mantap – Radzi

    PERIKATAN Nasional (PN) bersedia mengemudi Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang mantap sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin, PN menawarkan sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil.

    “Ada kerajaan stabil tetapi tidak bersih, tapi PN akan pastikan Malaysia sebuah negara bersih dan stabil,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Pengeluaran Kertas Undi Pos di Putrajaya, hari ini.

    Radzi yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Putrajaya berkata, pengalaman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir negara sewaktu pandemik Covid-19 telah membuktikannya.

    “Kita ada rekod yang jelas tanpa sebarang manifesto, kita dapat berkhidmat dengan baik. Kita tidak main-main,” katanya.

    Menurutnya, manifesto yang ditawarkan oleh PN merupakan tawaran komprehensif dengan meliputi pelbagai segmen masyarakat.

    Pada masa sama, Mohd Radzi berkata, pelan jangka pendek, sederhana dan panjang turut diambil kira.

    “Saya kira ia merupakan tawaran realistik dan menyeluruh,” katanya lapor Sinar Harian.

    Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon Bebas.

    Mereka ialah Radzi, penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

  • PN mampu tarik undi bukan Melayu, kata Abdul Hadi

    PN mampu tarik undi bukan Melayu, kata Abdul Hadi

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menarik undi bukan Melayu untuk menyokong mereka sekali gus memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sokongan itu mampu ditarik menerusi gerak kerja yang dilakukan oleh parti komponen seperti Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Beliau memberi contoh, Pas mempunyai Dewan Himpunan Pendukung yang dianggotai oleh bukan Melayu.

    “Begitu juga dengan Bersatu ada cabangnya sendiri bagi yang bukan Islam.

    “Pada masa yang sama PN turut mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang ikut serta sepanjang kempen PRU-15.

    “Contoh boleh dilihat pada tiga negeri yang telah diperintah oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Kita buktikan dengan memberi keadilan, kestabilan dan keamanan kepada semua,” katanya semasa sidang akhbar pada perjumpaan tokoh masyarakat di Kota Bharu, hari ini.

    Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    “Bukan sahaja sekarang, dahulu kita pernah mencipta sejarah pada 13 Mei 1969 apabila Kelantan, Terengganu, Kedah negeri yang kuat Pas tidak berlaku huru-hara,” kata Hadi Awang lagi, lapor Sinar Harian.

  • PN bakal tubuh Jawatankuasa Khas, pantau tawaran PN Best

    PN bakal tubuh Jawatankuasa Khas, pantau tawaran PN Best

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai ahli pakar bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif dan program yang terkandung dalam tawaran PN Best.

    Tawaran PN Best bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil ke arah Malaysia Gemilang itu berteraskan 12 tunjang utama.

    Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberitahu, antara 12 tunjang utama tersebut adalah membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat, membersihkan politik dan tadbir urus serta mensejahterakan bumiputera, Orang Asli dan semua kaum.

    Katanya, PN juga akan memberi tumpuan bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan selain turut memperkasa belia dan menyejahterakan keluarga muda.

    “Selain itu, tawaran PN Best turut mengoptimumkan potensi wanita, membina warga emas yang sejahtera, memperkasa Orang Kelainan Upaya (OKU) dan senerasi Felda serta mentransformasi petani, penternak, nelayan, dan pekebun kecil, ” jelasnya menerusi laman Facebook.

    Semalam, PN di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu telah melancarkan 234 tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan untuk rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Abdul Hadi turut menjelaskan, tawaran itu bertepatan dengan peranan PN dalam usaha mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan melindungi hak semua kaum.

    “Rakyat kini amat memerlukan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil bagi menjamin kemakmuran yang berterusan, pada masa yang sama membina Malaysia yang inklusif dan gemilang.

    “Kita ingin membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam menuju keredhaan ALLAH SWT,” ujarnya.

    Tambah beliau, PN yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak swasta dan rakyat seluruhnya.

    “Insya-ALLAH, dengan sedikit pengalaman sebagai kerajaan ketika negara berhadapan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini tawaran itu dapat dilaksanakan dengan baik,” jelasnya.

    Abdul Hadi yang juga merupakan calon Parlimen Marang turut menegaskan bahawa kewajipan mengundi perlu diambil serius kerana ia melibatkan masa depan kepimpinan negara.

    Katanya, tanggungungjawab mengundi turut berkait dengan soal pahala dan dosa serta catatan amal.

    “Saya ingatkan kepada semua rakyat agar turun mengundi kerana akan menentukan masa depan negara selain melibatkan soal dosa dan pahala.

    “Mudah-mudahan, setiap amalan kita dinilai sebagai ibadat di sisi ALLAH SWT dan menjadi asbab kepada kemenangan Islam, siiru ‘ala barakatillah,” ujarnya, lapor SatuBerita.

  • ‘Muka tak malu, tanding tiket BN mengaku ahli Pas’ – Takiyuddin

    ‘Muka tak malu, tanding tiket BN mengaku ahli Pas’ – Takiyuddin

    PAS menempelak calon BN Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi yang mengaku masih lagi ahli parti itu meskipun bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN).

    “Ahli parti boleh terlucut keahlian apabila bertanding atas tiket parti lain.

    “Muka tak malu, kita bukan ahli Pas tapi kita bagi tahu masih ahli Pas, bolehkah ahli Pas bertanding atas tiket BN,” kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

    Kenyataan Takiyuddin dipercayai merujuk kepada Che Abdullah yang didakwa masih mengaku ahli Pas meskipun bertanding menggunakan logo BN.

    Che Abdullah memenangi kerusi Tumpat atas tiket PAS dengan 17,500 undi, menewaskan calon BN, Wan Johani Wan Hussin dan Pakatan Harapan (PH) Nordin Salleh pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu.

    Nama Che Abdullah tidak disenaraikan sebagai calon oleh Pas bagi mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRU kali ini.

    Takiyuddin berkata mana-mana ahli Pas bertanding atas tiket parti lain akan gugur keahlian parti itu secara automatik.

    Dua bekas wakil rakyat Pas bertanding menggunakan logo BN dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) selepas tidak dicalonkan parti itu.

    Che Abdullah cuba mempertahankan kerusi Tumpat yang dimenanginya sebelum ini dengan tiket BN, begitu juga dengan penyandang kerusi Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali.

    Dalam pada itu Takiyuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu turut memaklumkan seseorang ahli Pas boleh terhenti atas tiga faktor iaitu yang pertama disebabkan permintaan sendiri.

    “Sementara faktor kedua dipecat serta ketiga apabila mengisytiharkan diri keluar dari PAS dengan menyertai politik lain.

    “Menyertai politik kain tidak semestinya menjadi ahli, sebaliknya bertanding atas tiket parti lain juga dianggap keahliannya secara automatik terbatal,” katanya, memetik laporan Malaysiakini.

  • Ahli PAS bantu kempen parti lain boleh dipecat – Takiyuddin

    Ahli PAS bantu kempen parti lain boleh dipecat – Takiyuddin

    PAS mengingatkan mana-mana ahli parti itu yang membantu kempen parti lain boleh dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat daripada parti.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia kerana tindakan berkenaan dianggap melanggar disiplin.

    “Perkara ini sudah terkandung dalam perlembagaan yang menyebut seorang ahli Pas dianggap melanggar disiplin jika melakukan sebarang tindakan yang menyalahi serta merugikan parti.

    “Sudah tentu jika seseorang ahli membantu berkempen untuk parti lain akan merugikan Pas dan tindakan akan diambil termasuk dipecat.

    “Setakat ini kita belum menerima sebarang aduan dan ini peringatan kepada semua ,” katanya pada sidang media, di Kota Bharu, hari ini lapor BH Online.

    Pada masa sama, penyandang Parlimen Kota Bharu itu turut memaklumkan seseorang ahli Pas boleh terhenti atas tiga faktor iaitu yang pertama disebabkan permintaan sendiri.

    “Faktor kedua dipecat serta ketiga apabila mengisytiharkan diri keluar daripada Pas dengan menyertai politik lain.

    “Menyertai politik lain tidak semestinya menjadi ahli, sebaliknya bertanding atas tiket parti lain juga dianggap keahliannya secara automatik terbatal,” katanya.

    Ditanya tindakan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah yang dikatakan masih mengaku ahli Pas ketika bertemu pengundi, Takiyuddin berkata ia mampu mempromosikan Pas.

    “Mungkin juga beliau tidak malu,” katanya.

  • Lompat parti tak jadi masalah, pengundi Larut mahu Hamzah kekal

    Lompat parti tak jadi masalah, pengundi Larut mahu Hamzah kekal

    PENDUDUK Larut tidak kisah dengan penyandang kerusi Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum ini berhijrah dari UMNO kepada kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Menurut mereka, ini kerana beliau berkhidmat dengn cemerlang di Parlimen Larut selama tiga penggal dan ‘penghijrahan’ Hamzah itu tidak sesekali ‘mencacatkan’ bakti Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap penduduk tempatan.

    Tinjauan Free Malaysia Today (FMT) di sekitar Parlimen Larut mendapati, bekas menteri itu berjaya menyantuni segenap lapisan masyarakat dan sering turun pandang mendengar keluh-kesah penduduk.

    Pengundi kali pertama, Fazri Zidan, 24, berkata, dia berpuas hati dengan prestasi kerja Hamzah dan tidak melihat isu lompat parti yang membelenggu pemimpin itu sebagai ‘isu besar’.

    “Kami pilih pemimpin yang ada tanggungjawab dan berwibawa, kita tak tengok parti tetapi tengok individu. Setakat ini Hamzah okay, buat kerja dan kami puas hati dengan prestasi beliau di Larut setakat ini,” katanya memetik laporan FMT.

    “Walaupun pemimpin itu lompat parti, jangan tengok dia melompat kita tak nak undi dia, mungkin dia lompat kerana kebaikan rakyat, jadi kita tengok di situ.”

    Namun, anak jati Selama itu mahu pekan berkenaan yang berada di sempadan Kedah dimajukan lebih pesat setanding daerah lain di Perak.

    “Pekan Selama ini terpencil, duduk di hujung Perak, banyak orang tak tahu sebenarnya tempat ini. Jadi naikkan lah Selama ini di mata luar,” katanya yang mengakui pembangunan di Larut tidak begitu pesat namun terdapat banyak pembaharuan sejak lima tahun kebelakangan ini.

    “Ada kedai-kedai baru buka dah cukup bagi kami, sekurang-kurangnya anak muda ada peluang pekerjaan dan tak perlu keluar daerah untuk bekerja.”

    Pada PRU-14, Hamzah menang kerusi Larut atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas mengalahkan calon PAS Abu Husin Mohamad dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Khairil Anuar dengan majoriti 4,486 undi.

    Kemudian, bekas menteri dalam negeri itu keluar UMNO dan menyertai Bersatu pada 2019.

    Sementara itu, dua lagi pengundi Larut yang hanya mahu dikenali Pak Abu dan Makcik Hasnah turut mengakui Hamzah sebagai pemimpin ‘mesra’ dan mudah membantu orang kampung.

    “Kami mahu dia terus jadi wakil rakyat kami.”

    Mereka yang menjadi mangsa banjir kilat baru-baru ini berkata Hamzah antara pemimpin terawal yang datang melawat dan memberi sumbangan.

    Pada PRU kali ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berdepan saingan empat penjuru dengan pencabar terkuatnya dijangka daripada calon muda BN berusia 37 tahun, Shafiq Fhadly Mahmud.

  • Kenapa tak bincang banjir dengan SPR lebih awal?

    Kenapa tak bincang banjir dengan SPR lebih awal?

    BEKAS Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelan kecemasan pilihan raya umum sekiranya banjir melanda.

    “Sebelum pembubaran Parlimen, Ismail mendakwa kerajaan sudah bersedia menangani banjir.

    “Kini, beliau (Ismail) berkata akan memulakan perbincangan dengan SPR bagi mengenalpasti alternatif sekiranya banjir melanda. Mengapa tidak bincang lebih awal,” soalnya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Semalam, Ismail berkata, perbincangan akan diadakan dengan SPR dan agensi berkaitan bagi melihat alternatif boleh diambil untuk meneruskan proses pilihan raya ketika banjir besar melanda.

    Menurut Jabatan Meteorologi pada Jumaat, monsun timur laut akan bermula esok dan berlanjutan sehingga Mac tahun depan.

    Katanya, perkembangan itu akan menyebabkan banjir di kawasan rendah dan kawasan berdekatan sungai.

    Jabatan itu juga meramalkan fenomena air pasang besar boleh melanda kawasan pantai dalam beberapa tempoh antara November dan Januari tahun depan.

    Santiago juga mempersoalkan adakah wujud sebarang perbincangan dilakukan berhubung sepertiga pusat pemindahan sementara di seluruh negara digunakan sebagai pusat pengundian.

    “Ismail sepatutnya sudah membuat usaha wajar sebelum membubarkan Parlimen,” katanya.

    “Walaupun sudah berulang kali diingat melihat kepada SOP sewajarnya, beliau mengambil mudah. Sikap untuk segera mengambil tindakan sudah terlambat,” ujar beliau.

  • Abdul Latiff persoal harta Rafizi, mahu disenaraikan secara telus

    Abdul Latiff persoal harta Rafizi, mahu disenaraikan secara telus

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Abdul Latiff Ahmad mempersoalkan pengisytiharan harta oleh Rafizi Ramli yang dibuat pada awal bulan ini.

    Beliau hairan bagaimana calon Parlimen Pandan itu mempunyai pelaburan saham dalam Invoke Sdn Bhd (Invoke) walaupun syarikat itu mengalami kerugian.

    Abdul Latif berkata, walaupun syarikat itu mengalami kerugian RM4.7 juta pada Disember lalu, dalam pengisytiharan dikeluarkan Timbalan Presiden PKR itu menunjukkan sehingga 31 Oktober lalu nilai sahamnya melonjak kepada RM17 juta.

    “Demi ketelusan, yang sering disebut oleh Rafizi, rakyat berhak mengetahui apakah yang menyebabkan kenaikan nilai yang begitu mendadak? Adakah Rafizi bersedia mendedahkan dengan segera kontrak atau sumber pendapatan yang didapati oleh Invoke dalam 2022 sehingga membawa kepada kenaikan nilai yang begitu besar.

    “Saya menyeru Rafizi menerbitkan senarai penuh butiran berkenaan secara jujur dan telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 2 November lalu, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

    Beliau berkata ,pengisytiharan harta itu dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk berbuat demikian.

    Kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke, syarikat tinjauan awam yang diasaskannya iaitu sebanyak RM16.74 juta.

    Selain itu, jumlah yang dinyatakan itu turut merangkumi pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans di Prudential.

    Aset lain yang diisytihar termasuk, tunai dan simpanan RM1.17 juta; dua hartanah di Bukit Antarabangsa, Selangor, RM1.6 juta; Kereta Peugeot 3008 dan Honda Accord, RM110,00 dan pendapatan bulanan sebanyak RM23,500.

    Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata, pada 2017 Rafizi pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saham dalam Invoke akan diagihkan kepada kakitangan Invoke yang berkorban selama ini bagi menjawab persoalan Rizal Mansor sama duit yang diperoleh itu dimasukkan dalam poket beliau sendiri.

    “Bagaimanapun, selepas meneliti carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang terbaharu, saya mendapati hanya 14 pemegang saham dalam syarikat berkenaan.

    “Rafizi memegang sebanyak 73 peratus atau ‘lion share’ daripada jumlah keseluruhan saham syarikat berkenaan dan pemegang kedua terbesar adalah taikun perniagaan dikenali sebagai Lee Choo Boo yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Itramas Corporation dan ketiga adalah Ahli Parlimen PKR, Wong Chen.

    “Lain pemegang saham adalah Ahli Parlimen PKR, Akmal Nasrullah dan Onn Abu Bakar. Selain daripada itu adalah daripada syarikat kejuruteraan dan seorang warga asing bernama Hassan Mia Sonday,” katanya, lapor Berita Harian.

    Berikutan itu, Abdul Latiff berkata, dengan nama pemegang saham yang dinyatakan itu beliau mempersoalkan Rafizi di mana janji yang dibuat lima tahun lalu bagi mengagihkan saham berkenaan kepada kakitangan syarikat terbabit.

    “Perlu diingatkan bahawa pada 2017 juga, beliau menyatakan terdapat hampir 80 kakitangan dalam Invoke, adakah Rafizi tidak mahu berkongsi kekayaan berjuta itu melalui saham Invoke dengan rakyat marhaen yang ‘berkorban’ untuk beliau menjayakan Invoke,” katanya.

    Abdul Latiff berkata, berikutan itu beliau mahu Rafizi menjawab jika kekayaan berjumlah RM17 juta yang diperolehi melalui Invoke akan digunakan untuk manfaat rakyat biasa, memandangkan sokongan termasuk dana diberikan oleh rakyat biasa inilah yang menyokong untuk pilihan raya yang adil.

  • Maritim Malaysia rampas 30 set bubu naga di perairan Penaga

    Maritim Malaysia rampas 30 set bubu naga di perairan Penaga

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 30 set bubu naga di dua lokasi pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika barat daya pantai Teluk Malas, Penaga, Georgetown pukul 4.40 hingga 5.30 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, melalui rutin rondaan Op Pertiwi yang dilakukan bot ronda Maritim Pulau Pinang petang semalam, pihaknya mengesan pelampung penanda yang mencurigakan di dua lokasi dan berjaya menemukan 30 set bubu naga yang dipasang individu tidak bertanggungjawab.

    Menurut beliau, kesemua bubu naga dengan anggaran nilaiRM 3,600 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban, dekat Georgetown untuk tindakan lanjut.

    Semua bubu naga dengan anggaran nilaiRM 3,600 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban, dekat Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

    “Bubu naga ini diharamkan penggunaannya di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Abd. Razak, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    Tambahnya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • PN tawaran baru pengundi Maran, DUN Kuala Sentul

    PN tawaran baru pengundi Maran, DUN Kuala Sentul

    PERIKATAN Nasional (PN) menjadi tawaran baru buat pengundi di Maran khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul untuk membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU1-5) ini.

    Calon PN bagi DUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, PN adalah sebuah gabungan parti politik yang menolak rasuah dan mengutamakan aspek integriti.

    “Pengundi khususnya di DUN Kuala Sentul perlu berani membuat perubahan. Beri peluang kepada PN pada pilihan raya umum kali ini.

    “Saya percaya pengundi sudah bijak menilai prestasi wakil rakyat terdahulu khususnya membabitkan aspek kebajikan rakyat sama ada ia terbela atau tidak,” katanya di Maran.

    Jasri dalam pada itu berkata, beliau akan terus mendekati seramai mungkin pengundi di DUN Kuala Sentul bagi menjelaskan tentang tawaran baharu ditawarkan PN.

    Jelasnya, pengundi baharu akan terus disantuni PN Maran kerana golongan itu menjadi faktor pemangkin kepada kejayaan parti pada PRU-15 ini.

    “Pendekatan mendekati pengundi baharu ini berbeza kerana mereka tidak begitu ke arah memilih parti. Mereka lebih senang jika parti mendekati dan mengadakan program memenuhi minat mereka.

    “Dari situlah kita mendekati, mendengar suara dan hasrat mereka. Kita kena kerja kuat untuk menawan pengundi baharu ini untuk bersama PN membentuk kerajaan,” katanya.

    Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tawaran manifesto PN Best yang mempunyai 234 tawaran berteraskan 12 tunjang melalui 30 pendekatan diketengahkan bagi meraih sokongan pengundi pada PRU-15 kali ini.

    Antaranya, pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pengagihan bayaran tunai hasil petroleum secara terus kepada semua kerajaan negeri berkaitan.

    Selain itu, PN juga menyatakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia Tenggara, berteraskan industri masa hadapan dengan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan bernilai RM5 bilion.