Category: Semasa

  • Tawaran PN akan dilaksana dalam tempoh 5 tahun selepas menang PRU15-Muhyiddin

    Tawaran PN akan dilaksana dalam tempoh 5 tahun selepas menang PRU15-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan, 234 tawaran dalam Tawaran Perikatan Nasional akan dilaksana dalam tempoh lima tahun selepas rakyat memberi mandat untuk membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Jika PN menang, kita akan membentuk satu jawatankuasa khas dan bebas untuk memastikan semua yang kita janjikan ditunaikan.

    “Sama-samalah kita berdoa agar dalam masa dua minggu ini akan ada gelombang kebangkitan untuk membersihkan negara ini daripada segala kekotoran dan kebobrokan.

    “Usaha untuk memulihkan negara masih belum tercapai sepenuhnya. Kita tidak boleh membenarkan walau seinci pun daripada negara ini diperintah semula oleh mereka yang tidak amanah dan mengamalkan rasuah,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum itu menyempurnakan Siri Jelajah PN Parlimen Pendang di Pusat Konvensyen Pendang (PCC) di Kedah, malam tadi.

    Bekas Perdana Menteri itu merakamkan penghargaan kepada warga Pendang kerana datang dengan begitu ramai pada malam tadi.

    Situasi itu katanya, secara tidak langsung mereka sudah bersedia untuk mengundi calon PN daripada Pas, Datuk Awang Hashim.

    “Pas dan Bersatu adalah pengasas pembentukan Perikatan Nasional (PN) yang kita lihat hari ini dan saya tidak akan lupa akan peranan dan sumbangan Pas.

    “Saya jelaskan kepada ribuan pengundi yang hadir termasuk ahli-ahli UMNO, adalah amat penting untuk mereka menyelamatkan negara dengan mengundi PN walaupun mereka mungkin masih berat hendak meninggalkan UMNO.

    “Adalah menjadi tanggung jawab para pengundi untuk keluar mengundi pada 19 November ini waima apa jua situasi pada hari itu kerana negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat yang dapat membela nasib rakyat.

    “Kita ada kemampuan untuk menguruskan negara dan kita berikrar untuk membentuk kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil (#PNBEST) seperti mana terkandung dalam Tawaran Perikatan Nasional PRU-15.

    “Antara tawaran utama PN adalah memperkasa Felda dan membantu golongan miskin termasuk penoreh getah dengan menetapkan harga lantai getah yang munasabah dan berpatutan.

    “Jaminan kita seperti terkandung dalam Tawaran Perikatan Nasional adalah menolak rasuah dalam pentadbiran selaras janji PN dalam salah satu tunjang tawaran kita iaitu memastikan tadbir urus yang baik,” ujarnya.

  • Muhyiddin restu Ronald bertanding di Beluran lawan GRS

    Muhyiddin restu Ronald bertanding di Beluran lawan GRS

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil mempertahankan tindakan Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee mempertahankan kerusi Parlimen Beluran selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi laluan kepada calon BN.

    Menurutnya GRS sepatutnya tidak mengorbankan kerusi milik Bersatu ketika berunding dengan BN.

    “Kenapa anda (GRS) tidak mempertahankan Kiandee? Adakah ia adil? Itu jawapan saya.

    “Itu calon saya dan dia Naib Presiden (Bersatu), dia penyandang. Dia tidak dapat watikat daripada GRS. Apa yang anda buat jika di posisi saya?

    “Jadi saya beritahu Kiandee bahawa keputusan kami (PN) ialah dia boleh bertanding menggunakan tiket PN,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu pada sidang media selepas program ceramah umum PN di Pendang, malam tadi, lapor Malaysia Kini.

    Terdahulu Ronald menawarkan diri untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Beluran sekali gus menyebabkan pertembungan dengan calon BN, yang menjalin kerjasama dengan GRS dalam mentadbir kerajaan Sabah, iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Benedict Asmat. 

    Ronald berkata, Bersatu masih parti komponen GRS di Sabah, namun di peringkat nasional, Bersatu dan dua parti komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) serta Parti Progresif Sabah (SAPP) adalah komponen PN.

    Sementara itu Muhyiddin menegaskan, PN bahkan boleh sepatutnya boleh meletakkan calon di lima atau enam kerusi lagi di negeri itu tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

    Pada PRU 2018, Ronald, yang ketika itu daripada Umno mewakili BN menang dengan majoriti 7,115 undi, namun beliau bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu pada 2019.

  • PRU-15: Melayu tak percaya lagi pada UMNO – Anthony Loke

    PRU-15: Melayu tak percaya lagi pada UMNO – Anthony Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa pengundi Melayu sudah hilang kepercayaan kepada UMNO apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurutnya, pengundi Melayu berasakan yang UMNO tidak lagi relevan dan tidak amanah untuk mengetuai pentadbiran dalam kerajaan.

    “Dalam pengetahuan saya, tak pernah dalam sejarah UMNO pengumuman calonnya tidak lengkap.

    “Saya tak pernah dengar menteri UMNO digugurkan dan tutup bilik gerakan,” katanya ketika berucap pada Jelajah Anwar Ibrahim Ke Negeri Sembilan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah di Tampin, hari ini.

    Tambahnya, BN hari ini tidak sama seperti BN yang dahulu kerana yang tinggal dalam parti itu hanya UMNO manakala MCA dan MIC dilihat seperti ‘separuh mati’.

    Beliau percaya yang masyarakat Cina tidak lagi menaruh kepercayaan kepada MCA begitu juga masyarakat India terhadap MIC.

    “MCA memang dah tak relevan lagi kepada orang Cina dan BN hanya tinggal satu ‘badan’, tiada lagi ‘tangan dan kaki’.

    “MIC pula cukup berdrama dan cakap nak boikot pilihan raya, tapi tak sampai 24 jam kembali semula kepada UMNO. Calon PH dari kaum India jauh lebih ramai daripada calon India yang diletakkan MIC,” katanya lapor Sinar Harian.

  • 23 jemaah terkandas di Arab Saudi akan dibawa balik secara berperingkat – Saifuddin

    23 jemaah terkandas di Arab Saudi akan dibawa balik secara berperingkat – Saifuddin

    KERAJAAN akan membawa pulang baki 23 daripada 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi secara berperingkat bergantung sumber dana yang diperolehi untuk pembelian tiket.

    Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu tidak telibat dengan bantuan dana kerana ia lebih kepada usaha yang dilaksanakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    “Kami lebih kepada membantu dalam urusan dengan Kerajaan Arab Saudi untuk membawa mereka pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di Indera Mahkota di sini.

    Semalam, empat lagi jemaah selamat pulang ke tanah air selepas 36 jemaah dari kumpulan pertama tiba di negara ini pada 4 Oktober lalu.

    Pada Oktober lalu, Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan, 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

    Kesemua jemaah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu.

    Saifuddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Indera Mahkota berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang selepas ini kerana jemaah Malaysia mempunyai rekod baik dan kerajaan Arab Saudi selalu memuji pengurusan jemaah haji serta umrah dari negara ini.

    “Saya berharap peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi sebab kita bimbang ia mencatatkan nama baik Malaysia di kaca mata kerajaan Arab Saudi,” katanya.

  • Anggota polis terbunuh kemalangan motosikal selepas bertugas pantau PRU-15

    Anggota polis terbunuh kemalangan motosikal selepas bertugas pantau PRU-15

    SEORANG anggota polis berpangkat Koperal terbunuh ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Uban, Pulau Pinang selepas selesai melakukan kerja-kerja pemantauan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) malam tadi.

    Mangsa, Koperal Abu Talib Sarif, 33, maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda milik syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel), kira-kira pukul 12.48 tengah malam tadi.

    Kejadian itu berlaku di Kilometer (KM) 5.3 Jambatan Pulau Pinang (menghala ke bahagian pulau) dan mangsa difahamkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

    Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang dipercayai terbabas sebelum melanggar kenderaan jenis Toyota Hilux itu di kawasan penutup lorong.

    Mangsa yang telah berkahwin baru berkhidmat di bahagian tersebut Oktober lalu selepas ditukarkan dari Cawangan Trafik di IPK yang sama.

    Jenazahnya dijangka dikebumikan selepas di kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah selepas solat zuhur hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

  • Tawaran PN BEST: Rancak proses pemulihan negara dengan membangunkan PMKS

    Tawaran PN BEST: Rancak proses pemulihan negara dengan membangunkan PMKS

    PERIKATAN Nasional (PN) menerusi manifesto Tawaran ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST berhasrat, merancakkan proses pemulihan negara dengan membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Misi itu termaktub di dalam Tunjang 1 manifesto PN BEST bertemakan ‘Membina ekonomi masa hadapan’.

    Antaranya dirancang adalah meneruskan program penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan atau moratorium secara bersasar bagi membantu PMKS yang terjejas.

    Selain itu, insentif khas Skim Prihatin PMKS akan disediakan untuk menggalakkan pendigitalan pengeluaran produk dan perkhidmatan serta latihan kemahiran.

    Ini bertujuan merancakkan proses pemulihan ekonomi negara, dengan PMKS yang berdaya saing sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

    Menerusi Tunjang 1 juga, PN mahu ekonomi negara terus maju kehadapan sekali gus menjadikan Malaysia paksi ekonomi Asia Tenggara yang berteraskan industri masa hadapan.

    Justeru, Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion akan ditubuhkan oleh PN sekiranya mendapat mandat daripada rakyat kelak.

    Tabung itu bertujuan untuk menggalakkan industri berteknologi tinggi bagi meningkatkan nilai tambah dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya tenaga kerja muda.

    Sebahagian daripada penyokong Perikatan Nasional gembira selepas Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan cuti umum sekiranya parti itu memenangi pilihanraya umum ke-15 pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

    Pada masa sama, sektor pertanian dan industri makanan juga akan dibangunkan dengan lebih rancak, lapor Utusan TV.

    Untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi kepada rakyat pada harga munasabah, enam Hub Mega Pengeluaran Makanan Negara akan diwujudkan di kawasan strategik.

    Ia bagi tujuan pengeluaran, ketersediaan dan pengedaran makanan ke arah mencapai tahap sara diri negara.

    Selain itu, peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk dana Fund for Food akan disediakan bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara dan menstabilkan harga.

    Selain itu, PN akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan terutamanya dalam sektor berpendapatan tinggi dengan menawarkan pewujudan satu juta pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

    Sasaran itu bersandarkan kepada pengalaman mewujudkan 558,000 peluang pekerjaan pada akhir tahun 2021 ketika PN merajui tampuk pemerintahan negara.

    Malah, pada masa itu PN berjaya menyelamatkan lebih 163,000 syarikat dan tiga juta pekerjaan melalui penyediaan dana berjumlah RM20.29 billion dalam bentuk subsidi upah.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang tahan bot nelayan tempatan guna pukat tunda

    Maritim Malaysia Pulau Pinang tahan bot nelayan tempatan guna pukat tunda

    SEBUAH bot nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas disyaki melanggar syarat sah lesen apabila menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan itu dikesan Kapal Maritim (KM) SIKUATI ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan 12.96 kilometer barat daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 10.15 pagi semalam.

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu berpangkalan di Batu Maung, George Town, Pulau Pinang dan dikendalikan tiga warga tempatan termasuk tekong berumur antara 49 hingga 61 tahun.

    “Bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bot itu bersama kru, peralatan menangkap ikan serta ikan campur seberat kira-kira 30 kilogram (kg) ditahan dan dibawa ke Jeti Lembaga Ikan Malaysia Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di zon maritim negara demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.

    “Orang awam boleh melaporkan sebarang penemuan dan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • Isu kelulusan Projek Sungai Langat RM2 bilion, lapor SPRM bukan tabur fitnah di musim PRU

    Isu kelulusan Projek Sungai Langat RM2 bilion, lapor SPRM bukan tabur fitnah di musim PRU

    TIMBALAN Presisen Pas yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim meminta pihak yang mempunyai bukti beliau meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Beliau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka berkata, tindakan itu lebih baik daripada membuat fitnah pada musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Jelanya, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak menyebut secara terus tetapi menyatakan ada pihak tertentu cuba menteri KASA untuk meluluskan projek tersebut.

    “Pihak mana? Kalau ada pihak nak suruh desak mana pernah jumpa saya (untuk desak).

    “Apabila Parlimen bubar, satu pekeliling akan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memperingatkan semua pihak agar pertama, tidak boleh bagi apa-apa komitmen kewangan.

    “Kedua, tidak boleh menjanjikan projek yang melibatkan kewangan bagi tanggungan kerajaan akan datang. Dan yang ketiga, tak boleh buat mana-mana dasar dan polisi dalam tempoh ‘caretaker government’,” ujarnya di Ulu Cheka, Lipis.

    Tuan Ibrahim turut menjelaskan, satu lagi projek menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal untuk kerja-kerja secara tender terhad (atau selektif) adalah melalui proses tender biasa mengikut prosedur kewangan dan tidak ada isu yang timbul.

    Tegas calon DUN Cheka itu, beliau tidak pernah campur tangan dalam sebarang tender bagi projek di kementerian tidak seperti waktu Pakatan Harapan (PH) memerintah negara dahulu.

    Semalam media melaporkan Rafizi menggesa Tuan Ibrahim tampil memberi penjelasan berhubung status kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

  • Kedah mahu terus usaha eksport ketum secara sah bila PN menang

    Kedah mahu terus usaha eksport ketum secara sah bila PN menang

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan kebenaran mengeksport daun ketum ke Thailand secara sah daripada kerajaan Persekutuan bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat Kedah.

    Beliau yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, pihaknya yakin langkah itu boleh direalisasikan sekiranya rakyat memberi mandat kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Insya-Allah, bakal Perdana Menteri kita yang ke-10 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) nanti akan mengusahakan sesuatu untuk penanam-penanam ketum, kita akan usaha sampai jadi.

    “Saya yakin hal ini akan dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan. Kita ini negeri miskin, kalau jual ketum di sini RM30 sekilogram dan kalau seludup jual di Siam (Thailand) jadi RM150, sebab itu kita perlu benarkan eksport ketum ini,” katanya ketika berucap pada Siri Jelajah PN Parlimen Pendang malam tadi.

    Menurut Muhammad Sanusi, usaha itu hampir menjadi realiti sebelum ini namun ianya tertangguh setelah kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15.

    “Kalau tidak, semua orang (yang tanam ketum) di Pendang ini sudah jadi jutawan. Kalau tak benarkan ada yang rebus di rumah orang beli sampai jadi hitam kulit (minum), lepas itu kepala pening. kita tak mahu orang kita ‘rosak’.

    “Apabila kita eksport ke sana mereka akan proses jadi ubat, minuman berkhasiat dan pelbagai teknologi lagi ada untuk tujuan kesihatan. Ada juga kes orang seludup daun ketum lari sehingga jatuh gaung dan mati. Kalau dia tak perlu lari mungkin dia hidup sampai sekarang,” katanya.

    Namun kata Muhammad Sanusi, lesen mengeksport daun ketum dicadangkan diberi kepada anak syarikat kerajaan negeri atau syarikat tertentu supaya ia dapat dikawal jika aktiviti eksport dibenarkan.

    “Bukan saja orang Pendang boleh jadi jutawan, malah orang Sik dan Padang Terap juga boleh kaya, tapi sesiapa yang tak tanam lagi jangan tanam, tunggu dulu,” katanya.

  • Sasaran menang kesemua 15 kerusi di Kedah tidak mustahil

    Sasaran menang kesemua 15 kerusi di Kedah tidak mustahil

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sasaran gabungan itu untuk memenangi kesemua 15 kerusi Parlimen di Kedah adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk dicapai.

    Katanya, momentum sokongan rakyat ketika ini jelas berpihak kepada PN bersandarkan data-data yang diperolehi daripada kajian dilakukan badan bebas.

    “Bukan nak mendabik dada tetapi kita tahu macam mana reaksi di bawah dan maklum balas rakyat. Mereka tahu apa ada dalam UMNO dan orang UMNO sendiri pun marah dengan parti itu.

    “Mereka sedang menghadapi masalah yang serius kerana soal calon dan PKR pula kita lihat, sokongan orang Melayu semakin merosot. Bersandarkan data kita ada, sokongan terhadap PN memang sedang meningkat,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Siri Jelajah PN Parlimen Pendang di Pusat Konvensyen Pendang (PCC) di Kedah, malam tadi.

    Sementara itu Muhyiddin berkata, Bersatu tiada halangan untuk memberikan jawatan Menteri Besar kepada Pas sekiranya PN berjaya menang di Perlis dan Pahang dalam PRU kali ini.

    Katanya, PN sangat terbuka mengenai perkara itu apatah lagi Kedah telah mencatatkan prestasi cukup baik di bawah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor daripada Pas.

    “Dalam PN, kami mempunyai prinsip yang terbuka dalam soal ini. Saya tak ada masalah jik awik Pas menjadi Menteri Besar di negeri yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka ramai. Kita sememangnya sudah memberikan kepada negeri yang mempunyai sokongan padu kepada negeri dipimpin Menteri Besar Pas seperti Kedah.

    “Kita jangka mampu menang di kedua-dua negeri tersebut dan Pas memiliki kerusi yang banyak di Perlis dan Pahang,” katanya.