Category: Semasa

  • Manifesto BN bahaya, tidak realistik – Muhyiddin

    Manifesto BN bahaya, tidak realistik – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) sebagai sesuatu yang berbahaya dan tidak realistik untuk dilaksanakan.

    Bekas Perdana Menteri itu bimbang tawaran dinyatakan itu sama ada boleh dilaksanakan atau akan membawa kesan besar kepada kedudukan kewangan negara pada masa akan datang.

    “Antara yang menjadi persoalan adalah jaminan dalam manifesto tersebut memberi pendapatan minimum kepada rakyat yang disifatkannya sebagai tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan di dunia.

    “Nampak memang menarik, tetapi, mampukah kita melaksanakannya? Kalau pendapatan rakyat RM1,500, mereka nak bagi RM500 seorang untuk seluruh negara? Macam mana nak laksanakan itu?

    “Niatnya baik, tetapi ada keupayaan atau tidak? Saya baru tengok sepintas lalu dan selepas ini, pasukan kami akan buat penelitian serta keluarkan kenyataan supaya rakyat tak ditipu dengan tawaran bukan-bukan serta tidak realistik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama masyarakat di Medan selera PJ2 di Jitra, hari ini, lapor SatuBerita.

    Muhyiddin turut mempersoalkan sama ada BN berada dalam kedudukan terdesak, hingga membuat tawaran sebegitu.

    Sementara itu, beliau menafikan dakwaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kononnya diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam manifesto PN meniru Bajet 2023.

    “Ismail Sabri jangan lupa kerajaan pimpinannya sebelum ini lebih ramai wakil rakyat PN di dalamnya. Sebab itu kita bersetuju dengan perkara dibentang dalam Bajet tersebut dan masukkan dalam manifesto untuk mengingatkan semua pihak mengenai perkara itu.

    “Dalam masa sama, kita sebut akan lakukan penambahbaikan jika perlu dan Ismail Sabri tak bolehlah kata Bajet 2023 itu miliknya sedangkan kami tak kata yang bajet itu bajet kami walaupun kami ramai dalam Kabinet,” katanya.

    Dalam pada itu, PN akan menempuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan keyakinan untuk membentuk kerajaan tanpa memberi tumpuan kepada kemungkinan lain seperti dinyatakan pihak tertentu.

    Muhyiddin berkata, PN telah pun membuat ketetapan dan pendirian untuk berjuang habis-habisan dalam PRU-15 dengan matlamat mendapatkan sokongan rakyat.

    Katanya, kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa BN bersedia melaksanakan apa saja kaedah termasuk bergabung dengan parti lain selepas PRU-15, membuktikan Ahmad Zahid tidak yakin mampu membentuk kerajaan.

    “Itu pandangan beliau, pandangan saya, biarlah kita hadapi PRU dulu, kita pun tak boleh jangka apa berlaku. Setakat ini, saya jangka dan harapkan akan berlaku gelombang yang bakal membersihkan segala sampah sarap politik di negara ini termasuk BN dan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

  • Calon PN Lenggong tidak tumpang populariti bapa

    Calon PN Lenggong tidak tumpang populariti bapa

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lenggong, Muhammad Rif’aat Razman menegaskan tidak akan menggunakan populariti bapanya iaitu Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Saya tidak menumpang kewibawaan bapa sebagai calon kerana sudah dikenali sebagai anak Pak Man (Razman).

    “Penduduk di Lenggong juga mengenali saya kerana ada mengajar di beberapa masjid dan guru di sekolah tahfiz di sini,” katanya yang akan bergerak dengan penyokong dalam usaha memperkenalkan diri kepada pengundi bagi meraih sokongan.

    Muhammad Rif’aat dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Jurej Latiff Rosli.

    Beliau berkata, akan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana tinggal di kawasan tersebut, lapor Sinar Harian.

  • Halimah ikrar tidak berkompromi tangani rasuah

    Halimah ikrar tidak berkompromi tangani rasuah

    CALON Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di kawasan Kapar, Dr. Halimah Ali tidak akan berkompromi dalam menangani gejala rasuah yang bergelumang di negara ini.

    Menurutnya, amalan rasuah adalah satu satu perkara penting yang perlu diperangi dalam PN khususnya Pas sebagai salah satu komponen parti tersebut.

    Beliau yang sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang itu berkata, ia bertepatan dengan slogan PN iaitu PN BEST: Prihatin, Bersih dan Stabil.

    “Kami dilatih melalui prosedur operasi standard (SOP) yang mana, pemohon awal (menyertai PN) akan diproses mengikut giliran, bukannya menghantar permohonan lewat dan diselitkan dengan duit kopi untuk cepatkan proses.

    “Jadi berkenaan rasuah, itu adalah antara perkara yang kami utarakan,” katanya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam perkembangan lain, Halimah berkata, pihaknya akan berusaha untuk mengangkat suara golongan miskin di kawasan tersebut jika beliau memenangi kerusi Parlimen Kapar.

  • Pemberian cuti manifesto PN suburkan demokrasi

    Pemberian cuti manifesto PN suburkan demokrasi

    PERIKATAN Nasional (PN) Johor menafikan dakwaan segelintir pihak berhubung pengumuman cuti yang ditawarkan dalam manifesto gabungan itu sebagai ketandusan idea.

    Pengarah Jabatan Pilihan Raya PN Johor, Rasman Ithnain menjelaskan, pengumuman cuti dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu memperlihatkan PN mendengar suara hati pengundi dan memakmurkan demokrasi dalam kalangan rakyat.

    “Pemberian cuti ini dapat menggalakkan orang ramai untuk pulang mengundi selain memberi mereka lebih masa dengan keluarga.

    “Sebetulnya cuti yang dimasukkan ke dalam manifesto PN ini merupakan penghargaan kepada pengundi. Kita hendak suburkan demokrasi di tanah air kita. Lepas mengundi, pengundi kena balik tetapi ada negeri yang hari Ahad bekerja.

    “Selain itu, mereka juga boleh luangkan masa dengan keluarga selepas melaksanakan tanggungjawab mengundi pada 19 November nanti,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PN Kota Tinggi, Kota Tinggi, hari ini.

    Pada Ahad, PN menawarkan cuti umum kepada lebih 21 juta pengundi jika koalisi itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti.

    Tawaran itu merupakan tambahan kepada 12 tunjang utama dalam manifesto PRU15 PN yang bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang atau dikenali PN BEST.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengisytiharan cuti umum itu akan dibuat pada Ahad bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor serta Isnin untuk negeri-negeri lain.

    Berhubung manifesto PN pula, Rasman yang juga Pengerusi PN Kota Tinggi mahu calon PN pada PRU-15 memahami manifesto PN supaya dapat diterangkan kepada rakyat dan pengundi.

    “Alhamdulillah, yang dibentangkan ada 12 tunjang 30 pendekatan iaitu berdaya saing, meningkat taraf hidup masyarakat, membersihkan politik yang mentadbir urus yang baik (serta) mensejahterakan bumiputera dan semua kaum.

    “Selain itu manifesto ini juga mengoptimumkan potensi wanita, memperkasakan orang kurang upaya serta memperkasakan peneroka Felda, mentransformasikan petani, penternak nelayan dan pekebun kecil,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • BN berpeluang lakukan semua dalam manifesto sejak merdeka tapi gagal

    BN berpeluang lakukan semua dalam manifesto sejak merdeka tapi gagal

    SEMUA perkara digariskan Barisan Nasional (BN) menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sepatutnya dilaksanakan sebelum ini.

    Bagaimanapun kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, gabungan berkenaan gagal melakukannya.

    “Ini adalah kerana BN telah menerajui kepimpinan negara ini sejak mencapai kemerdekaan, namun, hal-hal yang disebutkan dalam aku janji itu termasuk pemberian pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak B40, tidak pun dilaksanakan selama ini.

    “Saya fikir mereka ada peluang untuk melakukan perkara-perkara seperti itu daripada sejak merdeka lagi, tetapi telah gagal melakukannya.

    “Benar, saya fikir kita mempunyai pelbagai kekangan dalam keadaan negara nak mencapai kemajuan dan perlu memikirkan tentang perkara lain.

    “Akan tetapi, akhirnya mereka memikirkan bahawa pendidikan itu adalah perkara penting dan perlu kita dititikberatkan. Kami di Perikatan Nasional sejak awal lagi memang meletakkan agenda pendidikan, keselamatan, kesihatan rakyat sebagai agenda utama kami,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi jelajah mesra dalam siri kempen PRU15 Parlimen Tambun di Taman Perpaduan, Ipohm hari ini.

    Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas tawaran PRU-15 oleh BN menerusi manifesto, Pelan Amal dan Usaha (PADU) seperti yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

    Antara yang diumumkan BN ialah tawaran pemberian pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40 selain sistem pengajian anjal di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

    Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga calon PN Parlimen Tambun berkata, tawaran-tawaran yang telah digariskan partinya menerusi ‘PN BEST’ disifatkan sebagai sebuah manifesto yang mampu direalisasikan sekiranya gabungan itu menang PRU15.

    Katanya, manifesto yang dirangka itu turut mengambil kira pelbagai golongan termasuk dalam soal pendidikan, pembangunan anak muda serta merancakkan industri-industri perniagaan kecil.

    “Antara perkara yang mendapat perhatian ramai adalah selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) mengumumkan tawaran cuti umum sekiranya PN menang PRU15.

    “Kita lihat kali ini ramai golongan muda yang akan balik ke kampung pada 19 November nanti (untuk mengundi). Dan Tan Sri Muhyiddin katakan kalau kita berjaya tubuh kerajaan, kita akan berikan cuti umum pada Isnin dan Ahad.

    “Ini akan memudahkan mereka dan ada ruang (hari) untuk pulang semula ke kampus atau ke tempat kerja selepas selesai mengundi nanti,” katanya lagi, lapor Astro Awani.

    Pada Ahad, di bawah PN BEST, Muhyiddin mengumumkan tawaran pengisytiharan cuti umum pada 20 November (Ahad) bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dan 21 November (Isnin) bagi negeri lain sekiranya menang PRU15.

    Selain cuti umum, Muhyiddin turut menyenaraikan tawaran lain antaranya bantuan awal pengajian sebanyak RM1,000 kepada semua pelajar baharu mendaftar di IPT serta peranti digital bagi siswa dari keluarga B40 dan M40 yang layak.

  • Pak Wan ikrar pastikan kos penyelenggaraan banjir ditanggung pemaju

    Pak Wan ikrar pastikan kos penyelenggaraan banjir ditanggung pemaju

    KOS penyelenggaraan bagi mengatasi masalah banjir berulang di semua kawasan yang terjejas perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju.

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, dasar pembangunan perumahan di peringkat kerajaan Melaka juga perlu dikaji dalam memastikan isu limpahan air yang kerap berlaku dapat diselesaikan.

    Beliau yang lebih mesra disapa Pak Wan berkata, keadaan itu berlaku sehingga menjejaskan ratusan penduduk di kawasan berkenaan.

    “Saya akan beri cadangan yang bernas agar segala bentuk pembangunan yang menyebabkan banjir termasuk cadangan bagaimana nak menangani isu limpahan air akibat bencana tersebut dan kos itu mesti dipertanggungjawabkan ke atas pemaju.

    “Apabila beri (projek) kepada pemaju tanya mereka sanggup atau tidak (tanggung risiko), kalau tidak sanggup tak usah bagi (projek), itu kita kena tegas dalam kepimpinan.

    “Jangan nanti naikkan cukai (penduduk) pula, mereka dah dibebankan dengan harta benda hilang. Takkan penduduk nak dibebankan lagi sedangkan dah berapa tahun isu ini berlaku,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan masyarakat di Pasar Awam Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), di Alor gajah, hari ini, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut, penyandang kerusi Parlimen itu berkata, sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk menerajui Alor Gajah, beliau akan mewujudkan satu pasukan bertindak dalam kumpulan anak muda khusus bagi memantau bencana banjir berkenaan.

    “Antara lokasi panas yang sering terjejas dengan bencana ini adalah di sekitar Durian Tunggal dan Gadek.

    “Walaupun bukan banjir besar, tetapi selain bekerjasama dengan Jabatan pengairan dan Saliran (JPS), kita akan adakan task force dalam kumpulan anak muda, kita beri peralatan yang mana mereka akan sentiasa membersihkan saliran,” tambah beliau.

    Sebelum ini, Astro Awani melaporkan, masalah banjir yang membelenggu penduduk Durian Tunggal, di Alor Gajah sejak 15 tahun lalu, bagai tiada kesudahan.

    Sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November tahun lalu, ujar mereka, pelbagai janji jangka pendek dan panjang dikemukakan calon bertanding untuk mengatasi masalah banjir di Durian Tunggal.

    Namun, mangsa-mangsa banjir berulang di kawasan itu ketika ditemui berkata, janji berkenaan hanya tinggal di atas kertas apabila penduduk terus dilanda banjir yang tidak berpenghujung sehinggakan mereka mula berasa muak untuk membuat pilihan pada 19 November ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Mohd. Redzuan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) bakal berdepan saingan empat penjuru menentang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan calon Pejuang-Berjasa, Muhammad Nazriq Abdul Rahman.

  • ‘Manifesto PN realistik kemampuan kewangan negara’-Muhyiddin

    ‘Manifesto PN realistik kemampuan kewangan negara’-Muhyiddin

    MANIFESTO Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersifat realistik dan diyakini tidak akan membawa Malaysia ke ambang bankrap, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata, PN mengambil kira kemampuan negara dalam penyediaan manifesto berkenaan supaya tawaran kepada rakyat sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya itu nanti tidak menjejaskan kewangan negara.

    “Kami realistik kalau nak bagi, kira berapa peruntukan diperlukan, berapa banyak wang yang kerajaan ada. Kita tahu keadaan kerajaan sekarang ini, sebelum ini pun tidaklah begitu kukuh kewangannya, kita dah tahu menghadapi masalah pandemik, hasil negara tidak meningkat dan bertambah.

    “Keuntungan syarikat tidak ada untuk memberikan kita pulangan daripada cukai, kita tahu realiti ini. Kalau nak menawarkan sesuatu mesti realistik,” katanya.

    Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra dan sembang santai bersama masyarakat Jitra yang turut disertai calon PN di Parlimen Kubang Pasu Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail, di Medan Selera PJ2 di Jitra hari ini.

    Pada 6 November lepas, PN melancarkan manifesto PRU15 yang bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN Best yang merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan serta 234 tawaran dan tunjang pertama itu ialah membina ekonomi masa hadapan. – Bernama

  • Khairuddin Attakiri ditolak pengundi UMNO dan Pas, PN dijangka menang di Kuala Nerus?

    Khairuddin Attakiri ditolak pengundi UMNO dan Pas, PN dijangka menang di Kuala Nerus?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PARTI Pas menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) dijangka mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

    Sekalipun penyandang kerusi tersebut, Mohamad Khairuddin Aman Razali turut bertanding pada PRU kali ini, namun pertukaran parti yang dilakukan bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas berkenaan dikatakan telah menenggelamkan pengaruhnya di kerusi tersebut.

    Malah, rata-rata penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu menyifatkan tindakan UMNO-Barisan Nasional (BN) mencalonkan nama Khairuddin sebagai satu kesilapan besar.

    Ini kerana, penyokong dan pengundi Kuala Nerus mahukan parti itu mencalonkan ketua bahagian mereka, Apli Yusof atau pun bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

    Mohd. Khairuddin Aman Razali

    Bagaimanapun, suara dan cadangan mereka dikatakan seakan tenggelam apabila nama Khairuddin diumumkan selepas sehari pengumuman calon BN dilakukan pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Susulan itu, difahamkan pengundi BN di Kuala Nerus yang kini sedang ‘terluka’ sudah pasti tidak akan membantu Khairuddin selain ada yang mengugut tidak akan keluar mengundi.

    Pada masa yang sama, para penyokong dan pengundi Pas yang pernah menyokong dan mengundi beliau pada PRU-14 sebelum ini sudah pasti akan memilih calon PN, Dr. Alias Razak.

    Maka itu, banyak pihak berpendapat bekas Menteri Perladangan dan Komoditi itu akan tewas dengan majoriti lebih besar pada kali ini.

    Hal ini disebabkan Dr. Alias bukan asing bagi pengundi di Kuala Nerus, beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.

    Dalam PRU-14 lalu, Dr. Alias menang di kerusi Bukit Tunggal dengan majoriti 2,344 undi.

    Dr Alias Razak

    Beliau yang berjaya mendapat 8,308 undi menewaskan Tuan Ariff Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (BN) yang mendapat 5,964 undi dan Fatimah Lailawati Omar (PKR) 721 undi.

    Menyedari perkara tersebut, beberapa pemimpin UMNO termasuk Apli, Ahmad Razif, Ramli Noh dan Datuk Abdul Rahin Said mula membantu Khairuddin dengan mengadakan kempen dari rumah ke rumah.

    Pada PRU-15 kali ini selain Khairuddin dan Dr Alias, turut bertanding di kerusi Kuala Nerus ialah Azaha Wahid (GTA-Pejuang) dan Suhaimi Hashim (PH-Amanah) dalam persaingan empat penjuru.

    Dalam PRU-14 2018 lalu, Khairuddin yang bertanding atas tiket Pas menang dengan majoriti 8,447 undi.

    Beliau yang berjaya mendapat 37,974 undi menewaskan Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad (BN) yang mendapat 29,527 undi dan Abdullah Muhamad (PKR) yang mendapat 4,604 undi.

  • Dungun tersenarai dalam target PN mesti menang

    Dungun tersenarai dalam target PN mesti menang

    PENINGKATAN jumlah undi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) bukanlah perkara utama perlu difokuskan ketika ini, tetapi yang paling penting untuk dicapai oleh Perikatan Nasional (PN) adalah kemenangan.

    Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd. Ramli berkata, majoriti jumlah undi berbanding calon lain tidak perlu diberi fokus buat masa sekarang, tetapi matlamat utama adalah untuk menang sekaligus membentuk kerajaan di bawah PN.

    “Utamanya kita tak bincang majoriti tetapi kemenangan. Kalau ada majoriti undi meningkat, itu adalah bonus sebab Dungun termasuk dalam senarai Pas mesti menang untuk membentuk kerajaan PN.

    “Dungun menjadi target mesti menang di negeri ini selepas Marang dan Kuala Terengganu,” katanya, lapor SatuBerita.

    Ditanya mengenai keperluan mengetengahkan muka baharu kerana beliau sudah dicalonkan sebanyak tiga penggal, Wan Hassan berkata, gerak kerja lebih awal perlu dilakukan sekiranya hasrat itu dilaksanakan.

    “Kalau ikutkan memang saya ingin menolak tetapi kita perlukan pelapis. Pelapis memang ada tetapi kita perlukan kerja lebih keras.

    “Persediaan dana gerak kerja juga perlu dilakukan lebih awal,” katanya.

    Pada PRU14, Wan Hassan menang dengan majoriti 13,119 undi menewaskan BN dan Pakatan Harapan (PH).

  • Datuk Seri Vida mengaku tak bersalah

    Datuk Seri Vida mengaku tak bersalah

    AHLI perniagaan terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, terhadap satu pertuduhan memuat naik komunikasi bersifat sumbang pada Mei lalu, membabitkan video muzik Muah Muah Raya.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida atau DSV, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

    Vida, 51, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada 29 April lalu melalui akaun YouTube DSV Entertainment.

    Video berkenaan kemudian dilihat di di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 5 Mei lalu.

    Jika sabit kesalahan, Vida selaku Orang Kena Saman (OKS) boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, lapor Harian Metro.

    Timbalan Pendakwa Raya SKMM Fazril Sani Mohamed Fadzil, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000. Bagaimanapun, peguam yang mewakili Vida, Datuk Adnan Seman, memohon jaminan diturunkan ke RM2,000 dengan alasan ia kesalahan pertama OKS.

    Ahmad Fuad kemudian mengarahkan Vida membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

    Beliau kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen.