Category: Semasa

  • PRU-15: Zainol Fadzi, Razman antara calon MB Perak dari PN – Ahmad Faizal

    PRU-15: Zainol Fadzi, Razman antara calon MB Perak dari PN – Ahmad Faizal

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengemukakan beberapa nama untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Perak, sekiranya mereka mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara nama yang akan disenaraikan ialah Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

    Menurutnya, senarai calon itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terlebih dahulu untuk perkenan baginda.

    “Apabila kita berjaya untuk membentuk kerajaan, kita akan persembahkan kepada tuanku sultan, ini adalah prerogatif tuanku untuk menentukan.

    “Kita tak hendak terjadi penderhakaan kepada sultan dalam kita nak menunjukkan calon Menteri Besar kita,” katanya ketika ditemui semasa di Pekan Tambun, Tambun, hari ini lapor Astro Awani.

    Menurutnya, terpulang kepada negeri-negeri lain untuk mengumumkan calon menteri besar masing-masing.

    Ahmad Faizal berkata, Zainol Fadzi dan Razman juga mempunyai pengalaman kerana pernah menjadi Exco kerajaan negeri.

    Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muiyiddin Yassin secara terbuka mengumumkan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon menteri besar PN untuk Pahang.

  • PRU15: 22 kertas siasatan, 4 individu ditahan

    PRU15: 22 kertas siasatan, 4 individu ditahan

    SEJUMLAH 22 kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka dan empat individu ditahan sehingga semalam.

    Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, lima kertas siasatan dibuka di Johor, masing-masing tiga di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta dua di Perak manakala masing-masing satu di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

    Beliau berkata, kes pertama melibatkan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan peras ugut terhadap pengadu di Bilik Gerakan BN, Bukit Bendera di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam Pulau Pinang pada pukul 4.30 petang.

    “Suspek mendakwa dia adalah gengster di kawasan terbabit dan lelaki itu turut meminta pengadu membuat pembayaran jika mahu memasang bendera parti di kawasan terbabit. Suspek akan membuat kacau ganggu jika pengadu ingkar

    “Kes kedua melibatkan laporan seorang pengadu yang mendakwa seorang lelaki telah memuat naik gambar kertas undi yang memaparkan nama parti dan calon yang bertanding di Parlimen Gua Musang dalam aplikasi kumpulan Whatsapp.

    “Pengadu musykil bagaimana kertas undi tersebut diperolehi dan tujuan ia dimuat naik dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (J) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya
    dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes ketiga melibatkan pengadu yang mendakwa seorang lelaki telah membuang bendera yang dipasang bersama ahli kempen BN ketika sedang memasang bendera parti pada jam 12.15 tengah malam di Jalan JB Air Hitam, Senai, Johor.

    “Sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan mabuk telah membuat provokasi dengan cara mematahkan kayu bendera yang dipasang.

    “Lelaki itu telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, kes keempat melibatkan pengadu bersama sepasukan polis sedang membuat pemantauan ceramah Pakatan Harapan telah melihat seorang lelaki membakar mercun di belakang pentas pada jam 10.48 malam di Jalan Bistari 4/1, Taman Yayasan, Segamat, Johor.

    “Pengadu membuat tangkapan terhadap lelaki itu kerana membakar mercun terlarang dan tanpa permit di tapak kawasan ceramah.

    “Tindakan lelaki itu boleh membahayakan orang ramai yang hadir untuk mendengar program ceramah tersebut, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” jelas beliau.

    Dalam pada itu, Hazani berkata, statistik harian PRU15 bertarikh 8 November juga menunjukkan pengeluaran 3,457 permit ceramah di 14 kontinjen dengan permit terbanyak di h Sabah (623) diikuti Johor (482) dan Perak (413).

    “Sebanyak 177 ceramah tanpa permit pula direkodkan secara keseluruhan. Pertama ialah Negeri Sembilan dengan 39, kemudian Perak (38) dan ketiga di Selangor (25),” katanya.

  • Aura PN makin terserlah

    Aura PN makin terserlah

    AURA Perikatan Nasional (PN) semakin terserlah setelah beberapa nama besar UMNO seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib bertanding atas tiket gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Selain itu, Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang berkata, gelombang penerimaan rakyat terhadap PN juga semakin terasa dan mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat sempena pilihan raya umum (PRU) kali ini.

    Ini kerana katanya, prinsip perjuangan Pas dalam PN jelas menjanjikan pemimpin bersih berwibawa dan kerajaan yang bebas rasuah serta mengutamakan rakyat.

    “PRU15 ini medan kepada rakyat untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang mampu membawa kemajuan dan keadilan serta kemakmuran,” katanya di Temerloh malam tadi.

    Abdul Hadi menasihat pengundi supaya bijak memilih pemimpin dalam PRU-15 supaya yang terpilih kelak bebas rasuah sekali gus dapat berbakti kepada rakyat dan negara.

    Beliau dalam pada itu berkata, kedegilan UMNO menolak kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) menjadi punca utama Pas memilih PN sebagai sekutu menghadapi PRU-15 ini.

    Beliau berkata, Pas mahu Bersatu dan beberapa parti lain di Sabah dalam MN sekali gus mewujudkan khemah besar bagi menghadapi PRU-15 ini tetapi ditolak oleh UMNO.

    “Kehendak Pas supaya Bersatu bersama MN dibuat atas prinsip penyatuan ummah tetapi UMNO menyifatkan parti pengkianat. Kalau nak diambil kira, Pas lebih lama bergaduh dengan UMNO tetapi Pas bersedia bersama demi penyatuan ummah,” katanya.

  • Muhyiddin sangkal tuduhan Anwar kerajaan PN gagal urus Covid-19

    Muhyiddin sangkal tuduhan Anwar kerajaan PN gagal urus Covid-19

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tuduhan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan pimpinannya sebelum ini gagal mengawal pandemik Covid-19 walaupun mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling lama di dunia.

    Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengiktiraf Malaysia antara negara terbaik dalam mengurus pandemik Covid-19.

    “Anwar Ibrahim menuduh saya gagal untuk menguruskan Covid-19. Betul ke? Beritahu pada Anwar Ibrahim, tak betul… bohong. Kita berhadapan dengan satu situasi yang luar biasa.

    “Bukan saja Malaysia, seluruh dunia termasuk negara maju, negara tidak maju, kecil dan besar. Anwar Ibrahim beritahu Muhyiddin tidak berjaya urus Covid-19. Ada 36,000 orang meninggal kerana serangan Covid-19 yang dikatanya terburuk dalam dunia.

    “Bukan terburuk tapi antara negara terbaik dalam menguruskan Covid-19. Amerika Syarikat antara negara termaju di dunia mempunyai kes kematian sebanyak 1,098,387 berbanding negara kita 36,495 kes,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan (PN) Best di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis, malam tadi.

    Orang ramai yang hadir dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan (PN) Best di Taman Bukit Kubu, Kuala Perlis, malam tadi. Foto Facebook Muhyiddin Yassin

    Muhyiddin berkata, negara seperti Brazil (688,444 kes), India (530,000 kes), Rusia (390,000 kes) United Kingdom (194,000 kes), Indonesia (158,000 kes) dan Jepun (47,000 kes) mencatat jumlah kematian yang lebih tinggi berbanding Malaysia di kedudukan ke-29.

    “Beritahu pada Anwar Ibrahim boleh cakap tapi apa pun tak buat. Dia tak nak ucapkan terima kasih malahan langsung tidak bersyukur kerana dengan tindakan tegas yang kerajaan pimpinan saya telah ambil kita telah menyelamatkan jutaan nyawa.

    “Kerajaan pada ketika itu telah membina pusat-pusat suntikan vaksin di seluruh negara, sehingga ke pedalaman Sabah dan Sarawak. Apa yang Anwar tahu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Anwar Ibrahim katanya, hanya pandai buat tuduhan tetapi tidak bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kerajaan lakukan waktu itu.

    “Ini termasuk menyelamatkan nyawa dia, keluarga dia, anak dia, cucu dia dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya yang menyifatkan Anwar sebagai PM (Perdana Menteri) tepi selamanya.

    Pengerusi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberitahu, kerajaan pada masa itu juga telah berjaya menyelamatkan ekonomi negara walaupun terpaksa melaksanakan PKP bagi mengelak lebih ramai rakyat dijangkiti Covid-19.

  • 3 penghuni perempuan cedera bumbung asrama anak yatim runtuh

    3 penghuni perempuan cedera bumbung asrama anak yatim runtuh

    SERAMAI tiga penghuni Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland, George Town, Pulau Pinang cedera apabila bumbung di asrama itu runtuh dalam kejadian kira-kira pukul 9.42 malam tadi.

    Mangsa masing-masing berusia 8, 10, dan 13, tahun itu cedera di beberapa bahagian badan namun keadaan mereka dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, runtuhan bumbung itu melibatkan bahagian asrama iaitu tempat tidur yang berkeluasan kira-kira 15 meter persegi panjang dan 12 meter persegi lebar.

    Menurut beliau, asrama itu menempatkan seramai 30 penguni, namun ketika kejadian hanya tiga pelajar berada di dalam asrama terbabit manakala pelajar lain ada yang sedang mengambil makanan dan mengikuti kelas tuisyen.

    “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan daripada penerangan doktor, penghuni yang berusia 13 tahun mengadu sakit belakang, 10 tahun sakit di bahagian tengkuk manakala 8 tahun cuma mengalami kecederaan ringan.

    “Dua daripada mereka yang mengadu sakit belakang dan tengkuk akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengetahui sama ada berlaku kecederaan dalaman atau sebaliknya,” tambahnya.

    Tambahnya, seramai 27 penghuni lain yang terselamat akan ditempatkan di Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam, Georgetown.

    Jelas beliau, pihaknya akan menutup lokasi itu untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

    Sementara itu, Ketua Zon 1 Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba I Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.42 malam berhubung kejadian tersebut.

    Menurutnya, seramai 33 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Paya Terubong bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat.

    “Ketika kita sampai, mangsa sudah dibawa keluar ke lokasi lebih selamat. Pemeriksaan di tingkat satu mendapati, memang benar bumbung di bahagian asrama telah runtuh,” katanya.

  • PRU15: Kerajaan gerak ATM, Rela bantu polis jika banjir

    PRU15: Kerajaan gerak ATM, Rela bantu polis jika banjir

    KERAJAAN akan menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pelbagai agensi lain bagi membantu Polis Diraja Malaysia sekiranya berlaku bencana banjir ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bantuan itu diperlukan kerana sebahagian besar kekuatan PDRM dikhususkan untuk PRU15.

    Beliau berkata, di peringkat kementerian itu, walaupun kira-kira 80,000 anggota polis telah digerakkan bagi menghadapi PRU15, lebih ramai diperlukan untuk bertugas jika berlaku banjir pada masa yang sama.

    “Jadi kita telah mengarahkan pihak Rela untuk bersama membantu namun masih tidak cukup… saya turut minta bantuan daripada anggota tentera dan beberapa agensi lain sekiranya banjir berlaku ketika PRU15, maklum sahajalah bila banjir berlaku, Ketua Polis Daerah adalah pengarah kawasan dan pada masa sama, mereka terpaksa menjaga keselamatan ketika pilihan raya,” katanya kepada pemberita di Tasek Gelugor malam ini.

    Beliau berkata demikian selepas bertemu orang ramai di Pusat Daerah Mengundi Taman Senangan di Teluk Air Tawar bersama calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu bagi Parlimen Tasek Gelugor iaitu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Hamzah, yang merupakan calon Bersatu di Parlimen Larut, diminta mengulas persediaan kerajaan jika berlaku bencana itu ketika PRU15 berikutan beberapa kawasan telah pun mengalami banjir ketika ini.

    Setiausaha Agung PN itu juga berkata, beliau meminta polis agar sentiasa bersiap siaga jika berlaku banjir ketika PRU15 untuk menjaga keselamatan rakyat. – Bernama

  • PN pasang ejen selidik ahli kempen untuk parti lain-Hamzah

    PN pasang ejen selidik ahli kempen untuk parti lain-Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) mempunyai ejen khas yang akan membuat penyelidikan sekiranya terdapat laporan ada ahli daripada gabungan itu yang berkempen untuk parti lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata: “Saya sudah mengeluarkan kenyataan semalam berhubung mana-mana ahli dari komponen parti itu yang berkempen selain daripada PN akan berdepan tindakan pengguguran.”

    Menurutnya yang juga calon PN bagi Parlimen Larut, tindakan pengguguran akan diambil selepas semua bukti diperoleh disahkan benar daripada ejen khas yang turun membuat penyelidikan.

    “Semalam kita sudah keluarkan kenyataan bahawa calon, penyokong dan pencadang PN yang berkempen untuk parti lain, selain PN akan tergugur keahlian mereka.

    “Perkara ini (kempen untuk parti lain) kita akan kesan melalui semua laporan yang datang daripada ketua-ketua dan pengerusi PN di negeri masing-masing.

    “Bila tahu siapa, ada bukti, selepas itu ejen-ejen akan turun untuk selidik dan apabila telah dibuktikan betul baharu kita akan mengambil tindakan (menggugurkan ahli),” katanya.

    Beliau berkata demikianketika ditemui pemberita ketika bertemu pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Senangan, Georgetown, hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, Pas parti gabungan PN memberi amaran kepada ahlinya supaya tidak terbabit termasuk membantu berkempen bekas Ahli Parlimen parti itu yang bertanding menggunakan tiket parti lain pada PRU-15.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, ahli parti yang didapati melakukan perkara itu akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut perlembagaan parti termasuk boleh dipecat.

    Menurutnya, berdasarkan Perlembagaan Pas, ahli yang didapati membantu calon yang bertanding di bawah tiket parti lain dianggap melanggar disiplin dan tatatertib parti.

    Ini kerana, mereka dianggap melakukan tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan Pas.

  • Dua lelaki Nepal ditahan cederakan penguat kuasa kempen PRU15

    Dua lelaki Nepal ditahan cederakan penguat kuasa kempen PRU15

    DUA lelaki warga Nepal ditahan kerana disyaki mencederakan seorang pegawai Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) dalam insiden di Jalan SS2/63, Petaling Jaya di Kuala Lumpur semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kejadian berlaku pada 11.15 malam ketika sepasukan PP-KPR membuat pemeriksaan bendera parti politik di sekitar kawasan berkenaan dan terdengar jeritan orang awam yang meminta bantuan untuk mencegah berlaku pergaduhan.

    Beliau berkata pasukan itu kemudiannya telah pergi ke lokasi dan mendapati empat lelaki warga Nepal sedang bergaduh sesama sendiri.

    “Ketika cuba untuk meleraikan pergaduhan, seorang pegawai PP-KPR telah diserang dua lelaki berkenaan sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian leher. Satu alat komunikasi mudah alih milik pasukan PP-KPR turut mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kedua-dua suspek berusia awal 20-an direman sehingga Jumaat ini dan disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan (KK) kerana gaduh gempar di tempat awam, katanya.

    Mohamad Fakhrudin berkata kes turut disiasat di bawah Seksyen 353 KK kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan, Seksyen 427 KK kerana khianat dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tidak memiliki dokumen sah).

    Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah serta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 jika mempunyai maklumat mengenai sebarang perlakuan jenayah, katanya.

  • Keahlian seorang ahli Bersatu Perak gugur kerana bantu kempen calon BN

    Keahlian seorang ahli Bersatu Perak gugur kerana bantu kempen calon BN

    KEANGGOTAAN seorang ahli parti Bersatu, Ramelle Ashram Ramli yang membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gugur secara automatik, kata Setiausaha Bersatu Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

    Beliau berkata tindakan membantu kempen parti lawan berkenaan dianggap melanggar disiplin serta memberi imej tidak baik kepada parti. 

    “Kita terima laporan beliau membantu parti lain dan mendapati Ramelle terlibat, maka tindakan tatatertib diambil ke atasnya serta merta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasir Salak, hari ini. 

    Ramelle dikatakan berkempen untuk calon BN-UMNO Parlimen Pasir Salak Khairul Azwan Harun pada PRU15 ini, selepas penyandang bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani  Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak dipilih oleh pucuk pimpinan UMNO untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu yang menjadi miliknya itu sejak 2008.

    Pertembungan di parlimen Pasir Salak melibatkan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azwan, calon Pakatan Harapan Nik Omar Nik Abdul Aziz (PH-PKR), Jamaluddin Yahya (PN-PAS) dan Zairol Hizam Zakaria (GTA-Putra).

  • PN dedah lima parti berminat sertai gabungan

    PN dedah lima parti berminat sertai gabungan

    SEKURANG-KURANGNYA lima parti politik dikatakan berminat menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

    Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mendakwa permohonan rasmi daripada parti di Sabah dan Semenanjung itu diterima sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula.

    “Ada banyak, lebih daripada lima. Dari Sabah ada, yang di Semenanjung pun ada.

    “Mereka sudah tulis surat mahu bersama kita tetapi permohonan masih dalam proses penelitian, di samping memberi peluang kita untuk fokus pada PRU15,” katanya memetik laporan BH Online.

    Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor di Larut, hari ini.

    Pada 2020, PN dibentuk menerusi gabungan Bersatu, Pas dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) sebelum disertai Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.

    PN mentadbir negara selama 17 bulan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.