Category: Semasa

  • Calon PN tidak gentar berdepan DAP di Bukit Bendera

    Calon PN tidak gentar berdepan DAP di Bukit Bendera

    CALON Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Bukit Bendera, H’ng Chee Wey menganggap penglibatan dalam program-program kemasyarakatan akan membantunya semasa berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Saya mempertaruhkan pengalaman selama 24 tahun sebagai pemimpin masyarakat di kawasan itu dalam menarik keyakinan pengundi,” ujarnya yang juga Setiausaha Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang.

    Katanya lagi, penduduk di kawasan itu juga sudah mengenalinya dan tahu bagaimana caranya bekerja meskipun bukan sebagai wakil rakyat sebenar sebelum ini.

    “Sebagai anak jati di kawasan ini, saya juga lebih memahami berkenaan isu-isu dan masalah yang dihadapi penduduk di situ dan sentiasa memastikan perkara tersebut dibawa kepada pihak berwajib untuk diselesaikan.

    “Saya sudah lama bekerja dan berkhidmat di kawasan ini, jadi tidak ada masalah untuk saya turun bertemu penduduk dan bertanyakan masalah mereka kerana sememangnya itu juga yang sering saya lakukan sejak 24 tahun lalu ketika mula aktif sebagai pemimpin masyarakat,” katanya.

    Dalam pada itu, Chee Wey berkata, cabaran bertanding atas tiket dan menggunakan logo PN bukan lagi masalah besar memandangkan kebanyakan penduduk kini sudah mula mengenali dan menerima gabungan tersebut.

    Bagaimanapun, beliau mengakui jenteranya perlu bekerja keras untuk menerangkan situasi itu kepada pengundi warga emas kerana kebanyakan mereka sudah terbiasa dengan logo Gerakan.

    Mengenai cabaran dalam PRU-15 lebih-lebih perlu bersaing di kubu kuat DAP, Chee Wey yakin peluang untuk semua calon bertanding memenangi kerusi itu tetap ada serta terbuka dan pengundi akan memilih calon serta parti yang diyakini mampu membela nasib mereka.

    Chee Wey akan berdepan saingan lima penjuru di kerusi itu termasuk dengan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP iaitu Syerleena Abdul Rashid; Richie Huan Xin Yun (BN); Teh Yee Cheu (PRM) dan cLon Bebas, Razalif Mohd. Zain.

    Pada PRU14, kerusi itu dimenangi calon PH daripada DAP, Wong Hon Wai dengan majoriti 40,731 undi.

  • Warga emas dipenjara palsu dokumen: Hakim nasihat bertaubat

    Warga emas dipenjara palsu dokumen: Hakim nasihat bertaubat

    HAKIM Mahkamah Sesyen Shah Alam menasihati seorang warga emas supaya bertaubat dan insaf atas kesalahan memalsukan dokumen pindah milik tanah termasuk menggunakan cap jari orang yang telah meninggal dunia.

    “Kamu bukan muda lagi, saya harap kamu insaf dan tidak melakukan kesalahan sama. Paling menyedihkan, apabila kamu sendiri tahu pemilik tanah itu sudah meninggal dunia, tapi kamu bertindak sehingga menyebabkan tanah itu dipindah milik kepada orang lain.

    “Sebagai seorang Muslim, kita akan diadili di akhirat dengan lebih tepat. Bertaubatlah sementara hidup. Pengadilan di akhirat adalah lebih berat,” kata Hakim Rozilah Salleh sebelum menjatuhkan hukuman ke atas Ibrahim Mahidin, 61.

    Ibrahim dituduh atas empat pertuduhan pemalsuan dokumen pindah milik tanah termasuk menggunakan cap jari orang yang telah meninggal, sekitar 2015 dan 2016.

    Rozilah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman tersebut berjalan serentak bermula hari ini.

    Mengikut pertuduhan, Ibrahim secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen perjanjian jual beli dan dokumen kuasa wakil antara Che’ Nah Arshad yang telah meninggal dunia serta Mhd Kaim Tukimon, 70, masing-masing bertarikh 26 dan 27 Nov 2015, yang diketahui dokumen palsu semasa diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

    Bekas penulis surat dan urusan tanah itu juga secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen maklumat pindah milik dan gadaian melibatkan dua individu sama, serta dokumen surat akuan penama Che’ Nah Arshad yang diketahui dokumen palsu, semasa diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor. 

    Ibrahim didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Unit Pendaftaran Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pada 2 Dis 2015 dan 24 Nov 2016 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Pada 12 Mei lepas Ibrahim mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan itu, namun menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

    Pendakwaan diikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam Idris Zaidel. 

  • Saya lihat sendiri Perlis ada gelombang hebat, kata Muhyiddin

    Saya lihat sendiri Perlis ada gelombang hebat, kata Muhyiddin

    KEBANGKITAN rakyat Perlis dapat dikesan setiap kali program anjuran Perikatan Nasional (PN) yang mendapat sambutan di luar dugaan.

    Buktinya sekali lagi ribuan rakyat Perlis hadir pada program ceramah Jelajah PN Best di Kuala Perlis malam tadi dalam hujan lebat.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tiba dalam keadaan hujan lebat teruja dengan perkembangan tersebut berkata, kehadiran mereka semakin menguatkan semangat.

    “Walau ribut dan badai melanda, ia tidak sepatutnya melemahkan semangat kita untuk terus mara ke hadapan.

    “Dalam perjuangan perlu ada keberanian untuk menghadapi segala cabaran, dugaan dan rintangan,” katanya dalam program tersebut, katanya lapor portal HarakahDaily.

    Menurutnya, berdasar perkembangan yang berlaku itu PN mempunyai peluang lebih cerah untuk menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung 19 November ini.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, gelombang itu bukan hanya di Perlis tetapi melanda seluruh negara sekarang ini.

    “Saya dapat menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri Perlis sudah ada gelombang hebat. Ini menunjukkan petanda luar biasa rakyat Perlis sudah bersedia menyokong PN bagi menerajui sebuah kerajaan baharu.

    “Begitu juga untuk menegakkan sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan di bawah Perikatan Nasional. InsyaAllah, jika gelombang ini berterusan ia akan menjadi gelombang yang lebih besar,” katanya.

    Menurut beliau, usaha gigih dilakukan pasukan kempen PN bagi mewujudkan sebuah kerajaan Malaysia yang bersih, stabil dan menjamin masa depan lebih baik.

    Pada majlis tersebut, calon-calon PN diperkenalkan kepada orang ramai yang hadir.

  • Masyarakat Siam di Kelantan semakin terbuka terima PN

    Masyarakat Siam di Kelantan semakin terbuka terima PN

    MASYARAKAT Siam di Kelantan yang sebelum ini menjadi penyokong setia parti Barisan Nasional (BN), kini mula menunjukkan perubahan dalam kalangan mereka yang dilihat semakin terbuka menerima Perikatan Nasional (PN).

    Ia terbukti apabila baru-baru ini, ketua-ketua komuniti Siam menghadiri perjumpaan dengan calon PN Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.

    Mumtaz berkata, berdasarkan perkembangan yang berlaku sekarang, sudah ada perubahan dalam kalangan masyarakat Siam yang semakin menunjukkan potensi menyokong Pas dan PN.

    “Kita melihat mereka semakin berminat bersama PN. Mereka mahu gandingan yang mantap di peringkat negeri dan parlimen demi kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya pada sidang media di Pusat Media PRU-15 PAS Kelantan, semalam, lapor Harakah Daily.

    Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri menegaskan bahawa perkembangan positif yang berlaku itu memperlihatkan ada gelombang PN di Tumpat sekarang.

    “Mereka tertarik dengan slogan yang dibawa PN iaitu Prihatin-Bersih-Stabil (BEST) yang dilihat berbeza dengan BN sebelum ini,” tambah beliau.

    Mengulas lanjut, ujar Mumtaz, masyarakat Siam sangat terbuka dan akan melihat siapakah yang boleh tawarkan kepada mereka pembangunan dan kestabilan.

    “Kita melihat ini satu perkembangan baharu, yang mana masyarakat Siam di Kelantan mudah menerima PN walaupun mereka mengenali BN sejak sekian lama,” katanya.

  • Pegawai bank mengaku salah lacurkan isteri

    Pegawai bank mengaku salah lacurkan isteri

    SEORANG pegawai bank mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memperdagangkan isterinya di sebuah hotel di Kuala Pilah bulan lalu.

    Tertuduh yang berusia 35 tahun itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Berdasarkan pertuduhan tertuduh pada 30 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 petang di sebuah hotel di Kuala Pilah telah memperdagangkan isterinya berumur 35 tahun yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks.

    Dengan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

    Sinar Harian melaporkan, kesalahan itu membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah seterusnya menetapkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh dan mengeluarkan perintah identiti mangsa tidak didedahkan di mana-mana media dan berita.

    Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, tertuduh mengaku salah di atas pertuduhan hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan isterinya sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

    Perbuatan itu dilakukan pada 30 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 petang di sebuah hotel di Kuala Pilah.

    Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh 15 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November ini sebagai tarikh untuk hukuman bagi kedua-dua pertuduhan.

  • Selamat nyawa lebih 30 juta rakyat bukti keprihatinan PN – Muhyiddin

    Selamat nyawa lebih 30 juta rakyat bukti keprihatinan PN – Muhyiddin

    USAHA menyelamatkan nyawa lebih 30 juta rakyat Malaysia ketika negara berdepan pandemik Covid-19, adalah bukti keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN), walaupun ketika itu UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bergabung mendakwa kerajaan gagal.

    Sebaliknya, terbukti di atas usaha dilakukan kerajaan diterajui PN ketika itu, kini rakyat kembali dapat melakukan pelbagai usaha menyambung semula aktiviti yang terputus ketika sekatan pandemik dilakukan.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara usaha dilakukan kerajaan pimpinannya ketika itu adalah membeli seberapa banyak yang boleh vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada rakyat.

    “Jangan lupa vaksin datang daripada sumbangan dan usaha keras kerajaan Perikatan Nasional.

    “Itu satu bab mengenai kehidupan… mengenai berapa banyak nyawa yang hendak kita selamatkan.

    “Berapa nyawa kita selamatkan… lebih 30 juta rakyat Malaysia kita (kerajaan PN) selamatkan,” katanya berucap pada program ‘Santai petang bersama TSMY’ di Arau, Perlis, semalam.

    Hadir sama calon PN Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

    Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengajak rakyat Perlis supaya mengundi PN supaya pentadbiran kerajaan negeri diambil alih dan meletakkan calon Pas sebagai Menteri Besar, selepas 19 November ini.

    “Jadi sebaik mungkin adalah, kita berjuang habis-habisan atau sampai penghujung PRU ini dengan harapan memperolehi sokongan besar dari pengundi agar berjaya membentuk kerajaan,” katanya, lapor Berita Bersatu.

    Menurutnya PN menerusi manifesto bertemakan PN BEST, menawarkan janji yang boleh dilaksanakan dalam tempoh lima tahun untuk kesejahteraan pelbagai peringkat masyarakat.

    “Tidak ada seorang pun lapisan masyarakat yang dikecualikan dalam manifesto Perikatan Nasional,” katanya.

  • Manifesto PN Pahang dilancar, tawar 12 tawaran untuk rakyat

    Manifesto PN Pahang dilancar, tawar 12 tawaran untuk rakyat

    SEBANYAK 12 tawaran ditawarkan Perikatan Nasional (PN) Pahang dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang sebahagian besar berkait dengan keperluan ekonomi rakyat negeri ini.

    Bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’, manifesto itu dilancarkan Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di dataran hadapan Majlis Daerah Jerantut, Jerantut, hari ini.

    Manifesto PN Pahang mengandungi intipati untuk mendaulatkan agama, mendukung sistem tadbir urus negeri yang bersih, berintegriti dan cekap.

    Di samping itu, manifesto PN Pahang itu juga ialah menyuburkan ekonomi negeri menerusi pemerkasaan dan merakyatkan industri kecil dan sederhana, termasuk di kawasan Felda, memperkasa pemilikan rumah serta memperkemas proses libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar menerusi segmen alam sekitar lestari.

    Selain itu, manifesto yang menyediakan 45 inisiatif itu termasuk perniagaan bagi membantu belia memulakan perniagaan, memperkasakan usahawan belia, memartabatkan wanita dan warga emas, bantuan perkahwinan dan pengajian buat anak Pahang, serta memperkasa pelancongan dan kebudayaan negeri.

    Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, manifesto itu sudah cukup lengkap untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat berasaskan perubahan yang bakal dilakukan oleh PN dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan seperti pemilikan rumah dan melestari alam sekitar.

    “Tawaran ini juga melibatkan hak memartabatkan belia, wanita, warga emas, peluang pendidikan anak Pahang serta memperkasakan pelancongan dan kebudayaan negeri.

    “PN akan mengukuhkan ekonomi dan kebajikan rakyat negeri ini termasuk menyelesaikan masalah air dan perumahan menerusi kerangka pembangunan yang berbeza dan baharu juga tersirat dalam manifesto tersebut,” katanya.

    Beliau berkata, PN tidak menjanjikan apa yang ada di langit cuma berjanji apa yang lebih praktikal di bumi yang patut dan akan dilaksanakan oleh pempimpin PN selepas memenangi PRU-15 ini.

  • Muhyiddin sangkal Bersatu pergunakan Pas

    Muhyiddin sangkal Bersatu pergunakan Pas

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan parti itu mengambil kesempatan dan memperalatkan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) bagi meraih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sebaliknya, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, gerak kerja gabungan itu dibuat secara berpasukan, membabitkan semua parti komponen, selain menegaskan tiada pihak yang mendominasi PN.

    Beliau berkata, kerjasama gabungan itu antara lain menterjemahkan kesatuan dan perpaduan agak jitu dan kukuh antara parti komponen serta memberikan impak besar kepada landskap politik negara.

    “Kita memang bekerjasama, bukan guna jentera dan di bawah satu bumbung PN. Gabungan ini sudah mula bekerja sebagai pasukan, selain kita pergi ke markas PN, bukannya Pas atau Bersatu.

    “Di sesetengah tempat di utara Semenanjung, memang Pas sudah lama tertubuh tetapi di selatan dan beberapa negeri lain, mereka kurang (pengaruh) namun kita (Bersatu) lebih (sokongan) dan saling membantu sememangnya cara kita.

    “Saya fikir Perdana Menteri sudah tak begitu prihatin dengan situasi dan kedudukan sebenar. Ini urusan kami, kamu elok tengok urusan kamu dalam Barisan Nasional (BN) yang bercelaru dan pelbagai hal timbul,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini lapor BH.

    Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung Bersatu lebih dominan dalam PN selain hanya memperalatkan Pas dalam gabungan itu demi kepentingan parti berkenaan pada PRU-15.

    Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, penyokong Pas tidak belajar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, selain perlu sedar taktik licik Bersatu itu dan menyeru undi diberikan kepada BN jika tiada calon parti itu dipilih di kawasan ditandingi PN.

  • MPN tak biar pengusaha hotel gulung tikar

    MPN tak biar pengusaha hotel gulung tikar

    INISIATIF Majlis Pemulihan Negara (MPN) banyak membantu pengusaha hotel bajet yang berdepan beban kewangan sehingga menjejaskan operasi perniagaan mereka ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

    Situasi paling sukar ditempuhi pengusaha ialah masalah aliran tunai yang kronik, namun kemudiannya secara perlahan-lahan berusaha diatasi hasil bantuan kerajaan dan juga pembukaan semula sempadan negara susulan peralihan ke endemik yang merancakkan kembali industri pelancongan.

    Jarod Chia

    Pemilik Lavender Inn, Jarod Chia, berkata sepanjang pandemik ramai pengusaha hotel bajet termasuk dirinya menghadapi masalah aliran tunai yang kronik, namun menerusi inisiatif diterima, situasi sukar berkenaan dapat dilalui sehinggalah negara berubah ke fasa pemulihan dan aktiviti ekonomi dibuka sepenuhnya.

    “Moratorium dan Program Subsidi Upah (PSU) yang diberikan banyak membantu saya. Terutama dalam soal aliran tunai yang mana kita boleh gunakan untuk perkara yang lebih penting ketika itu termasuk membayar gaji pekerja.

    “Walaupun PSU yang diberi hanya RM600, ia masih lagi membantu dalam mengurangkan sebahagian beban, yang mana bila pembayaran gaji pekerja sebahagian sudah dibantu kerajaan,” katanya kepada BH.

    Beban kewangan ketika PKP

    Pengusaha bersama Ridel Boutique Hotel di Kelantan, Wan Fauziah Wan Mamat, berkata bantuan moratorium banyak membantu memandangkan sebahagian besar pengusaha hotel mengalami masalah kewangan yang agak meruncing disebabkan oleh kurangnya pelanggan dan hasil jualan rendah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Bantuan PSU RM600 sedikit sebanyak membantu meringankan beban pengusaha bagi memastikan perniagaan terus dapat dijalankan.

    “Pelbagai cabaran dihadapi pengusaha antaranya mendapatkan semula pekerja baharu disebabkan oleh sebahagian pekerja diberhentikan kerana tidak mampu membayar gaji pekerja.

    “Malah, ada pengusaha juga terpaksa memohon pinjaman bagi mendapatkan modal pusingan berikutan pengusaha gagal mendapatkan pinjaman disebabkan oleh syarat begitu ketat oleh pihak bank,” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bajet Hotel dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Kelantan turut mencadangkan supaya subsidi upah (PSU) dapat diteruskan untuk sekurang-kurangnya setahun lagi bagi memastikan kestabilan kewangan kepada pengusaha.

    “Tidak dinafikan pandemik meninggalkan kesan yang besar hingga ada pengusaha hotel bajet terpaksa menutup operasi bagi mengelak terus menanggung bebanan kewangan,” katanya.

    Sementara itu, pemilik 1108 Hotel dan Resort Sdn Bhd, Zamari Muhyi, berkata PSU banyak meringankan beban pengusaha hotel bajet untuk kekal bersaing dan bertahan.

    “Begitu juga dengan inisiatif moratorium, walau tidak begitu popukar tetapi ia tetap membantu, saya juga harap ada bantuan berterusan kepada pengusaha kerana masih ada yang berhadapan kos operasi meningkat dan kekurangan tenaga kerja,” katanya.

    Baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob, berkata pihaknya mengemukakan cadangan kepada kerajaan berkaitan isu kekurangan pekerja di sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pelancongan serta memudahkan pinjaman dan pemberian moratorium khas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Beliau berkata, sektor terbabit masih bergelut untuk pulih dalam transisi endemik selepas menghadapi pelbagai cabaran selepas tidak beroperasi kira-kira dua tahun akibat Covid-19.

  • PN mampu tawan Perlis – Muhyiddin

    PN mampu tawan Perlis – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin gabungan politik itu mampu menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 berdasarkan gelombang sokongan yang ditunjukkan oleh pengundi di negeri tersebut.

    Berdasarkan gelombang itu juga, beliau yakin PN mampu menawan tiga kerusi Parlimen di Perlis.

    “Di Perlis ada satu gelombang… rakyat Perlis dilihat telah bersedia untuk memberi sokongan kepada PN dan menolak Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan.

    “Gelombang ini bukan hanya berlaku di Perlis sebaliknya kita juga percaya mampu menawan Putrajaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Jelajah PN BEST di Kuala Perlis malam tadi.

    Muhyiddin juga berkata gelombang sokongan pengundi terhadap PN akan bertambah kuat menjelang hari pengundian pada 19 November ini.