POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran ketamin bernilai RM160,000 yang disorokkan di dalam tempat penguli doh roti di sebuah syarikat penghantaran di Bayan Lepas, Jumaat lalu.
Dalam operasi oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira pukul 7 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil pemeriksaan dan serbuan dengan dipandu arah suspek terbabit membawa kepada penemuan bahan terlarang itu dengan anggaran berat 2,928 gram di dalam 11 unit penguli (pastry rolling) berwarna merah dan hijau.
Menurutnya, berdasarkan risikan bekalan ketamin itu akan dihantar ke luar negara melalui syarikat penghantaran.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
“Turut disita adalah sebuah motosikal jenis CF250 bernilai RM12,000 dan sebuah kereta jenis Proton Persona bernilai RM15,000.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM187,000,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, anggaran dadah ketamin yang dirampas itu mampu dibekalkan kepada 4,000 penagih.
Tambahnya, suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga 10 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
POLIS menahan dua lelaki lewat malam tadi dan awal pagi ini di Gua Musang bagi membantu siasatan berhubung penyebaran paparan kertas undi pos Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berumur 20an dan 50an itu ditahan pada pukul 11.30 malam dan 2 pagi tadi kerana menerima dan menyebarkan paparan kertas undi pos berkenaan, dan polis sedang menyiasat motif mereka.
“Apa apa sahaja dokumen mengenai pilihan raya ini jangan disebarkan, kerana ini akan menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat, biarlah ia menjadi rahsia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-dua individu itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan, dan pihak sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) (j) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya. – BERNAMA
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas memiliki pandangan sama serta sehati sejiwa dalam menentukan calon menteri besar termasuk di Perlis dan Pahang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas sememangnya layak mengetuai kedua-dua negeri itu memandangkan parti itu berada di kedudukan lebih senior dan bertanding lebih banyak kawasan.
Katanya, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pas akan diberikan laluan untuk memimpin negeri itu sebagai menteri besar juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
“Di Pahang contohnya, Pas bertanding 24 daripada keseluruhan 42 kerusi yang ada di negeri itu. Lagi pun, Pas sudah bertapak lama di negeri itu manakala Bersatu pula keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.
“Bersatu masih di peringkat menstabilkan kedudukannya dan sudah tentu dari aspek politik untuk memimpin negeri, (pemimpin) yang lama itu kena ada. Senioriti, kestabilan, kekukuhan jentera dan cawangan perlu diambil kira.
“Itu perkara biasa dalam politik dan saya tidak terkejut dengan pengumuman tersebut. Tan Sri Muhyiddin pun mengumumkan secara spontan tanpa ada sebarang perbincangan dan itu menunjukkan bahawa Pas dan Bersatu ini sama pandangan serta sehati sejiwa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kempen Pelaksanaan Pembayaran Tanpa Tunai Antara Kerajaan Negeri Kedah dan Payments Network Malaysia (Paynet) di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Sanusi (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kempen Pelaksanaan Pembayaran Tanpa Tunai Antara Kerajaan Negeri Kedah dan Payments Network Malaysia (Paynet) di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.
Kelmarin, Muhyiddin berkata, Bersatu akan memberi sokongan penuh kepada wakil Pas apatah lagi setelah melihat prestasi baik dicatatkan Kedah di bawah pimpinan Muhammad Sanusi.
Namun, Muhammad Sanusi berkata, keputusan mengenai siapa calon yang bakal menduduki kerusi itu bagaimanapun akan ditentukan Pas pusat.
“Namun di Pahang, kita ada calon yang kuat iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti diumumkan Muhyiddin tempoh hari. Pandangan saya, beliau merupakan taruhan yang kuat untuk kita di negeri itu,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada Pas akan mempelawa dua bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib serta Datuk Seri Shahidan Kassim menyertai parti itu, beliau berkata, perkara itu juga terpulang kepada Pas Pusat.
“Bab nak jadi ahli Pas, kena tanya Pas Pusat. (Tetapi) saya rasa orang macam itu (Shahidan dan Ismail) patut dialu-alukanlah.
“Saya difahamkan Shahidan yang bertanding atas tiket PN belum tentukan parti mana akan disertai selepas PRU. Semua orang ada kelebihan tetapi itu kena tanya Pas Pusatlah,” katanya.
TAWARAN Perikatan Nasional (PN-BEST) yang berteraskan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran bukan sahaja realistik, tetapi sesuai dengan kapasiti dan kemampuan negara.
Penganalisis politik dan media sosial, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, rakyat harus membuat perbandingan yang terbaik di dalam menilai manifesto semua parti politik sama ada ianya benar-benar praktikal atau hanya menjanjikan bulan bintang.
“Apabila dianalisa dengan teliti, manisfesto PN dilihat adil dan saksama dari segi penyambungan dasar-dasar yang dibuat ketika pemerintahan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhiyiddin Yassin memegang jawatan itu yang berpengalaman menangani krisis kesihatan pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis politik.
“Tambah lagi pengalaman beliau sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah banyak membantu mengeluarkan tawaran manifesto yang mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Dr. Sara, walaupun PN sebuah parti baharu, satu kelebihan besar tawaran PN berbanding manifesto parti lain ialah kebanyakan janji manifestonya adalah hasil kesinambungan yang dibuat selama ini sewaktu mengambil alih tampuk pemerintahan PH pada waktu krisis pandemik Covid-19.
“Kejayaan PN dalam Program Immunisasi Kebangsaan adalah satu fakta yang tidak boleh dielak dan harus diterima umum. Ini kerana hari ini kita bersiap sedia berhadapan dengan PRU-15 dengan kesihatan yang baik adalah hasil program immuninasi yang mencapai 100 peratus, menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Timur yang mendapat bekalan vaksin pertama berbanding Australia,” Jelasnya.
Selain itu katanya, sejak penubuhan MPN dibawah kendalian Muhyiddin, sebanyak 95 keputusan dikemukakan kepada kerajaan dengan 69 berkaitan isu ekonomi dan sosial menekankan isu kos sara hidup.
“Manisfesto PN mampu direalisasikan berikutan ‘track record’ status perkembangan setiap sektor yang diperhatikan dan dinilai selama ini menerusi Majlis Pemulihan Negara. Tawaran PN juga lebih jelas dan relevan yang mana menjadi keperluan utama rakyat seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, masalah inflasi, kenaikan harga barang dan lain-lain yang berkaitan.
“Tidak terkecuali isu kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan produktiviti dan mengganggu rantaian bekalan. Kejayaan Majlis Pekerjaan Negara yang tetapkan sasaran untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan pada tahun 2021 diakhiri dengan 558,000 peluang pekerjaan adalah fakta yang harus diterima,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Sara turut menegaskan Tawaran PN-BEST turut menekankan isu integriti yang tidak banyak disentuh oleh parti lain bagi memastikan kerajaan yang lebih telus, bersih dan bebas rasuah.
“Perikatan Nasional mempunyai ‘track recordd’ kejayaaan di dalam menghapuskan elemen rasuah di mana beberapa kes mahkamah berjaya dilaksanakan tanpa campurtangan mana-mana pihak.
“Lanjutan manifesto mewujudkan Pelan Anti-Rasuah Nasional, Mahkamah Anti-Rasuah, larangan sumbangan dana politik luar negara menjadikan tadbir urus kukuh, menangani rasuah satu perkara yang harus disambut bersama,” katanya, lapor SatuBerita.
CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim nekad ‘menjatuhkan’ Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Fokus memastikan kekalahan Azlan dalam usaha memenangkan PN adalah keutamaan kita.
“Matlamat kita adalah untuk jatuhkan Menteri Besar dengan dahsyatnya kerana dia melanggar keputusan UMNO Bahagian berhubung isu calon,” katanya kepada pemberita di Arau, hari ini.
Beliau sebelum itu mendakwa Azlan sebagai Pengerusi UMNO negeri telah melanggar keputusan bahagian berhubung isu calon.
Shahidan berkata, beliau akan pergi ke Bintong untuk berkempen dan menceritakan keadaan yang sebenarnya.
“Orang seperti ini (Azlan) patut dikalahkan kerana dia ganggu politik Perlis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau yang bertanding atas tiket PN yakin dapat mempertahankan kemenangannya dengan memperoleh 35,000 undi.
“Saya yakin akan menang di kerusi Parlimen Arau. Sudah pasti 16,000 undi Pas akan berpihak kepada saya dan begitu juga lebih 1,000 undi daripada Bersatu.
“10,000 undi daripada orang UMNO dan pengundi muda. Kalau separuh undi orang muda saya dapat, bermakna calon nombor dua (dirinya) akan dapat hingga 35,000 undi,” katanya.
SEORANG kelindan lori didenda RM12,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat hantaran menghina agama Islam di laman sosial Facebook, dua tahun lepas.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu selepas Tham Wai Yuen, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes itu hari ini.
Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik dan menghina agama Islam pada ruangan komen menggunakan akaun Facebook miliknya ‘Tham Thamsarak’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 2.30 petang, 4 April 2020.
Hantaran itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di Kuala Lumpur pada 5 petang, 20 April 2020.
Tham didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Norazman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat, mengambil kira komen bersifat jelik yang dibuat oleh lelaki itu.
Peguam Zaid Abd Malek yang mewakili Tham memohon denda minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai kelindan lori selain mempunyai penyakit darah tinggi.
KEWUJUDAN gagasan Perikatan Nasional (PN) bertujuan memberikan alternatif kepada kerajaan yang sedia ada dan juga sebelum ini, kata calon PN Jerantut, Ir. Khairil Nizam Khirudin.
Ketua Penerangan Pas Pusat itu berkata, PN terbukti sebagai solusi terbaik kepada rakyat, dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19, keadaan yang tidak pernah dihadapi oleh kerajaan sebelum ini.
“Alhamdulillah dengan pendekatan terbaik dilaksanakan PN, rakyat berasa selamat berada dalam PN.
“Ramai di antara kita, boleh dikatakan keseluruhan daripada yang mengambil vaksin, alhamdulillah, dengan adanya vaksin, kita dapat bersama malam ini.
“Kita boleh duduk rapat, amalkan budaya hidup sama untuk menjalani kehidupan kita dalam membangunkan ekonomi dan mengekalkan keamanan sejagat,” katanya ketika berucap dalam ceramah umum di Jerantut.
Khairil Nizam berkata, Pas menjunjung prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, oleh itu parti tersebut serta PN adalah sebuah gabungan yang tidak ekstrem.
“Kita mengambil pendekatan melakukan penyatuan ummah yang mana kita bukan sekadar menyatukan entiti Melayu bumiputera.
“Apatah lagi kerana kaum Melayu bumiputera ini adalah kaum yang dominan, dikatakan statistiknya 60 peratus ke 70 peratus rakyat Malaysia adalah daripada kaum bumiputera,” katanya.
TAWARAN ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ oleh Perikatan Nasional (PN) atau PN BEST merupakan mekanisme gabungan tersebut untuk membantu rakyat di negara ini.
Perkara itu dapat dilihat menerusi Tunjang 2 yang antara lain meletakkan berhasrat untuk meningkatkan nilai dan taraf hidup ke suatu tahap lebih baik.
Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, situasi rakyat ketika ini cukup mencabar selepas penularan pandemik COVID-19.
Katanya, justeru tidak hairan mengapa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan jumlah rakyat Malaysia jatuh miskin meningkat mendadak daripada 40 ke 61 peratus.
Katanya lagi, manifesto PN Best dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik yang difikirkan sesuai oleh gabungan tersebut dalam membantu rakyat, pada masa sama meraih sokongan pada pilihan raya kali ini.
“Kita di Malaysia ini selepas kena Covid dua tahun dulu berlaku macam rakyat hilang kerja, hilang pendapatan. Ada orang kata M40 sudah jadi B40, yang B40 sudah jadi miskin tegar.
Sebahagian daripada penyokong Perikatan Nasional gembira selepas Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan cuti umum sekiranya parti itu memenangi pilihanraya umum ke-15 pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, kelmarin.
GAMBAR: Abd Razak Aid
“Perikatan Nasional buat itu sebagai satu mekanisme dia untuk atasi benda itu (masalah rakyat).
“Dia ini (Muhyiddin) sebagai Pengerusi MPN, mungkin dia ada data, ada maklumat. Itu adalah pendekatan dia untuk atasi masalah tadi,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.
PN Best Tunjang 2 antara lain memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat yang jatuh miskin akibat pandemik Covid-19.
Menerusinya, PN menawarkan pewujudan sebuah agensi tunggal berfungsi sebagai pusat sehenti yang akan menyelaras pemberian pelbagai bentuk bantuan dan subsidi kepada rakyat.
Sementara itu, bagi membantu meringankan beban kos sara hidup kakitangan awam, PN menawarkan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) sebanyak RM100 yang akan diselaras secara berkala.
Malah, PN juga akan memantapkan sistem pendidikan yang inklusif, berdaya saing dan bertaraf global.
Ini termasuk menyediakan peruntukan khas penyelenggaraan sekolah sekurang-kurangnya sebanyak RM2.5 bilion setahun bagi tempoh 2023-2025.
PENYANYI Zamani dilaporkan sudah sedarkan diri selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang badan yang melengkung akibat penyakit scoliosis di sebuah pusat perubatan di Cheras pada Isnin lalu.
Isteri kepada vokalis kumpulan Slam itu, Juliana Abd Rani melahirkan rasa syukur kerana proses pembedahan suami berjalan dengan selamat.
“Syukur Alhamdulillah berkat doa semua, Zamani sekarang sudah sedar dan berada di bawah pemantauan doktor di hospital. InsyaAllah dalam proses untuk dipindahkan ke wad biasa,” katanya kepada portal hiburan Gempak.
Dalam pada itu, Juliana berkata buat waktu ini dia dan keluarga enggan menerima sebarang kunjungan daripada pihak luar kerana ingin memberi waktu kepada pelantun lagu Gerimis Mengundang itu mendapatkan rehat yang cukup. Malah, dia juga berharap semua pihak dapat memahami keadaan tersebut.
“Kami sekeluarga sangat menghargai keprihatinan semua yang mengambil berat dan bertanya khabar.
“Walau bagaimanapun kami memohon kerjasama dari semua pihak untuk memberi ruang kepada beliau dan keluarga diwaktu ini kerana Zamani masih berada di dalam keadaan lemah dan perlukan banyak rehat.
“Seperti mana yang semua sedia maklum pembedahan yang dijalankan adalah satu pembedahan yang besar maka untuk pulih dan kembali sihat pasti mengambil sedikit masa.
“Atas nasihat doktor Zamani perlu banyak berehat supaya rawatan dan pemulihan terhadap beliau berjalan dengan lancar.
“Kami memohon maaf kerana tidak dapat menerima sebarang tetamu untuk melawat Zamani buat masa ini. Diharap semua dapat memahami keadaan Zamani dan keluarga ketika ini,” tambahnya.
Terdahulu, Zamani telah dibawa masuk ke dewan bedah sekitar jam 8 pagi Isnin dan prosedur pembedahan itu memakan masa hampir tujuh jam seperti yang dimaklumkan pakar perubatan.
Difahamkan juga, tempoh pemulihan Zamani akan mengambil masa antara dua hingga enam minggu. Malah, dia turut memerlukan tempoh selama tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum boleh aktif menyanyi semula.
MANIFESTO Pakatan Nasional (PN) akan menjadi rujukan gabungan itu sekiranya diberikan mandat menjadi kerajaan negeri Johor yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pesuruhjaya Pas Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, PN mampu melaksanakannya kerana kajian lengkap sudah dilakukan sebelum ini.
“PN sudah melalui proses perbincangan panjang sebelum mengeluarkan manifesto. Ini merupakan janji dan tekad sekiranya menjadi kerajaan,” katanya memetik laporan HarakahDaily, hari ini.
Mengenai cabaran beliau yang menjadi calon PN bagi Parlimen Muar, Abdullah sudah bersiap sedia berdepan dengan calon muda termasuk yang pernah menjadi bekas menteri Kabinet.
“Dalam konteks Muar, saya akan hadapi pemuda daripada UMNO, Mohd. Helmy Abd. Latif dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abd Rahman.
“Namun, saya melihat ada ruang dan peluang untuk kita, calon yang bukan daripada pemuda. Kita tidak menafikan pemuda ada kelebihan daripada sudut kecergasan dari sudut kepemudaan dengan semangat yang tinggi dengan pandangan-pandangan bernas.
“Walaubagaimanapun orang yang sudah melepasi zaman pemuda, mereka juga ada kelebihan yang lain. Maknanya masing-masing ada kelebihan, kita tidak mahu komen tentang calon yang lain.
“Ini kerana umpama orang menjual produk, jadi kita terangkan produk kita dan kebaikan-kebaikan produk kita,” katanya.