Category: Semasa

  • Banjir kilat; lebih 100 penduduk Pulau Pinang dipindahkan ke PPS

    Banjir kilat; lebih 100 penduduk Pulau Pinang dipindahkan ke PPS

    LEBIH 100 penduduk di bahagian tanah besar Pulau Pinang terpaksa dipindahkan ke tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) akibat bencana banjir kilat sejak tengah malam tadi.

    Mereka terdiri daripada seramai 86 mangsa daripada 26 buah keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) True Light, Juru.

    Selain itu, seramai 20 penduduk lagi ditempatkan di PPS Bukit Teh, Bukit Mertajam selepas beberapa kawasan di sekitar daerah itu turut dilaporkan dinaiki air sehingga menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

    Difahamkan, terdapat sebuah lagi PPS turut dibuka di daerah Seberang Perai Utara (SPU) awal pagi ini selepas banjir kilat melanda ekoran hujan lebat dan berterusan di negeri itu sejak pukul 5 petang semalam.

    20 penduduk lagi ditempatkan di PPS Bukit Teh, Bukit Mertajam selepas beberapa kawasan di sekitar daerah itu turut dilaporkan dinaiki air sehingga menghalang laluan kenderaan keluar masuk ke kawasan berkenaan.

    Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu, air mulai surut di kebanyakan kawasan awal pagi ini dengan beberapa mangsa juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

    “Mungkin JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) boleh terangkan apakah langkah-langkah jangka pendek dan sederhana untuk mengawal keadaan ini (aliran air kuat hingga mengakibatkan berlakunya banjir),” katanya.

    Dalam pada itu, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang dilaporkan berkata, pemantauan berterusan terhadap paras air semasa dilakukan hingga pagi ini.

    “Kita akan siasat dan kenal pasti punca berlakunya kejadian banjir kilat ini,” katanya.

  • Sokongan anak muda kepada Perikatan Nasional di luar jangkaan: Idris

    Sokongan anak muda kepada Perikatan Nasional di luar jangkaan: Idris

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerajaan sementara, Datuk Idris Ahmad terkejut dengan gelombang sokongan yang diberikan anak muda kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurutnya, sokongan anak muda adalah di luar jangkaan kerana selama ini mereka dianggap tidak peduli atau tidak kisah dengan soal politik dan tidak membuat apa-apa pendirian berhubung politik.

    Naib Presiden Pas itu bersyukur kerana anak muda kini bangkit untuk bersama Perikatan Nasional bagi membentuk sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.

    “Walaupun ada yang ibu-bapa mereka tidak bersama Perikatan Nasional, tetapi anak-anak telah membuat satu pilihan, iaitu untuk bersama kita,” katanya.

    Idris yang bertanding di Parlimen Bagan Serai atas tiket PN berkata, gelombang kebangkitan itu muncul kerana anak muda hendak melihat sebuah kerajaan dan bentuk kepemimpinan baharu.

    “Dulu anak muda dalam PRU-14 telah membuat percubaan dengan menolak Barisan Nasional (BN) dan memilih Pakatan Harapan (PH). Namun apabila PH menang, memang sah tak boleh harap.

    “Akhirnya, kita tengok anak muda kali ini membuat percubaan untuk bersama Perikatan Nasional. UMNO yang memerintah selama 60 tahun, kita sudah tahu dan PH selama 22 bulan, kita telah tengok lagak yang mereka ada.

    “Kali ini, memberikan peluang kepada Perikatan Nasional yang terasnya ialah PAS dan juga Bersatu,” katanya.

    Idris mengakui bahawa sesetengah generasi tua bertanyakan lambang bulan yang tiada dalam PRU-15 dan menerangkan bahawa walaupun tiada lambang bulan, tetapi dalam PN tetap mempunyai lambang bulan.

    Katanya, ahli dan penyokong Pas tidak perlu bimbang kerana dalam mana-mana gabungan politik yang disertai, Pas mempunyai sikap yang jelas, iaitu mempertahankan Islam serta kedudukan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

    “Sebab itu kalau ada (parti politik) yang tidak boleh menerima perkara ini, kita tidak bersama (mereka). Sebab itu kita tinggalkan Pakatan Rakyat kerana DAP telah merobohkan dua perkara itu. Mereka melanggar apa yang patut mereka kena jaga.

    “Dalam keadaan politik di negara kita, terasnya ialah orang Melayu dan kedua, Islam sebagai agama Persekutuan yang perlu dihormati,” katanya, lapor SatuBerita.

  • Keangkuhan BN laksana PRU15 ketika banjir terbukti

    Keangkuhan BN laksana PRU15 ketika banjir terbukti

    KEANGKUHAN Barisan Nasional (BN) untuk tetap mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sebalik amaran berlakunya bencana banjir terbukti semalam apabila beberapa kawasan di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang dilanda banjir kilat.

    Sehubungan itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengundi perlu menghukum BN yang disifatkan telah menyusahkan rakyat itu menerusi peti undi pada 19 November ini.

    Beliau yang juga calon kerusi Parlimen Gombak berkata, isu bencana banjir telah dibincangkan secara mendalam ketika Mesyuarat Jemaah Menteri kerana kebarangkalian berlaku banjir amat tinggi akibat hujan lebat dan ribut yang melanda negara ketika ini.

    “Hari ini terbukti apa yang telah kita putuskan dalam Jemaah Menteri adalah berdasarkan fakta dan maklumat agensi berkaitan supaya kita dapat mengelakkan daripada menyusahkan rakyat sekiranya PRU15 berlangsung ketika musim banjir.

    “Namun, kedegilan dan keangkuhan UMNO telah menyebabkan Dewan Rakyat dibubarkan dan pengundi terpaksa menanggung akibatnya.

    “Jadi, pada 19 November ini, pengundi mesti menghukum UMNO dan BN yang telah menzalimi rakyat akibat situasi semasa banjir hari ini,” katanya.

    Beliau berucap pada program Ceramah Perdana di Bandar Tasek Mutiara, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.

    Program terbabit turut dihadiri Presiden Gerakan, Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff serta calon PN Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

    Semalam beberapa kawasan di seluruh negara antaranya di Shah Alam, Selangor dilaporkan dilanda bajir kilat akibat hujan lebat selama beberapa jam.

    Situasi sama turut melanda di Pulau Pinang khususnya di bahagian tanah besar yang mana lebih 20 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dilaporkan dilanda bajir kilat akibat hujan lebat selama beberapa jam bermula pukul 5 petang.

  • Warga emas maut terperangkap kebakaran rumah

    Warga emas maut terperangkap kebakaran rumah

    SEORANG lelaki warga emas berusia 70 tahun maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Paya Keladi Hujung, Pulau Pinang malam tadi.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian melibatkan sebuah rumah kelas B dengan anggaran keluasan 20×40 kaki persegi (6×12 meter persegi) itu kira-kira pukul 11.44 malam.

    Ujar beliau, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu BBP Kepala Batas.

    “Setibanya di lokasi, didapati terdapat sebuah rumah terlibat dalam kebakaran itu dengan anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 60 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Jurucakap itu memberitahu, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 12.19 tengah malam tadi.

    Difahamkan, mangsa yang berusia 70 tahun tinggal seorang diri ketika kejadian dan dan terperangkap ketika api marak hingga gagal menyelamatkan diri.

  • Feri sedang dibaiki terbakar di limbungan

    Feri sedang dibaiki terbakar di limbungan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH feri penumpang yang sedang dibaiki di limbungan kapal dekat Bukit Malut, Langkawi terbakar petang tadi.

    Menurut Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Fadzullah Mohd. Noor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 petang.

    “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bilik enjin feri tersebut yang diletakkan di atas tanjakan kerana sedang dibaiki.

    “Kerja-kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan air dan buih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sebanyak tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi serta satu jentera dari BBP Persiaran Putra dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Fadzullah menambah, pada peringkat awal sebanyak 11 tong buih digunakan sebelum jumlahnya ditambah sebanyak 12 tong lagi.

    “Kebakaran akhirnya dapat dikawal pada pukul 6.46 petang dan proses pemadaman api masih giat dijalankan,” katanya.

    Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

  • Pak Su Mid meninggal dunia

    Pak Su Mid meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    TOKOH ulama terkenal Kedah, Abdul Hamid Ismail, 96, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Mid meninggal dunia dipercayai akibat sakit tua hari ini.

    Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6 petang ini di sebuah hospital swasta.

    Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Kuala Pai Bukit Tembaga, Kuala Nerang di Padang Terap.

    “Saya difahamkan Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua dan sudah beberapa lama dikhabarkan tidak sihat,” katanya.

    Tambah beliau jenazah Allahyarham akan dikebumikan pagi esok.

    Pak Su Mid dilahirkan pada 1926 di Jerlun dan terkenal dengan kata-kata hikmahnya yang disampaikan secara mendalam dan penuh kiasan. 

  • Lapor SPRM jika ada maklumat, bukti sogokan undi pos di Bera – SPR

    Lapor SPRM jika ada maklumat, bukti sogokan undi pos di Bera – SPR

    INDIVIDU yang mempunyai maklumat atau bukti berlakunya perbuatan sogokan atau rasuah ketika proses pengundian pos di Parlimen Bera, Pahang supaya melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini sebagai maklum balas terhadap dakwaan perbuatan sogokan atau rasuah semasa proses pengundian pos di Parlimen Bera.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, dilaporkan mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dakwaan tersebut sebagai fitnah serta tuduhan jahat kepada pasukan keselamatan itu.

    Ismail berkata dakwaan itu juga mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat.

  • JPS keluar notis risiko banjir di 6 negeri

    JPS keluar notis risiko banjir di 6 negeri

    JABATAN Pengaliran dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan yang meramalkan kemungkinan banjir di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Sarawak jika hujan lebat berterusan.

    JPS, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kawasan yang mungkin terjejas di Pulau Pinang adalah  di kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

    Seberang Perai Utara:

    *  Kampung Merbau Kudung

    * Taman Desa Murni

    *, Kampung Nyiur Sebatang

    * Sekolah Rendah jenis Kebangsaan Tamil (SRJK(T) Mak Mandin

    * Sekolah Kebangsaan Mak Mandin; Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin

    * Kampung Tok Jawa; Kampung Baru; Kampung Labuh Banting; Kampung Telok

    * Kampung Alor Merah; Kampung Manggis, Kampung Maklom; Kampung Lahar Yooi

    Seberang Perai Tengah:

    * Kampung Labuh Banting; Kampung Kota; Kampung Kubu; Kampung Guar Jering

    * Kampung Terus; Kampung Pertama; Kampung Kubang Semang; Taman Siakap

    * Taman Makok; Taman Tembikai (Taman Mutiara); Taman Sri Rambai; Taman Belimbing

    * Taman Janggus; Kampung Permatang Rawa; Taman Guru; Kampung Tanah Liat;

    * Kampung Permatang Ara; Kampung Baru Alma; Kampung Alma; Taman Alma

    * Taman Permai Jaya; Kampung Kijang; Taman Nangka; Kampung Kebun Sireh

    * Kampung Siam; Taman Binjai; Kampung Kebun Nenas; Jalan Tembikai

    * Taman Cempedak; Taman Mangga; Kampung Juru; Taman Pinang; Taman Sentul

    * Taman Sentul Jaya; Kampung Tok Panjang; Kampung Tok Subuh; Taman Sukun

    * Taman Amra; Taman Murni; Kampung Sungai Permatang Rawa; Taman Desa Damai

    Seberang Perai Selatan:

    *Kampung Masjid

    Timur Laut Pulau Pinang – George Town dan sekitar

    Lembah Klang:

    Petaling

    * Kampung Tengah A; Kampung Kuala Sungai Baru; Kampung Bersatu Batu 13

    *Kampung Melayu Subang; TTDI Jaya; Kampung Aman Bestari; Kampung Sri Aman Berkat

    *Kampung Bukit Lanchong; KTM Batu 3; Seksyen 13 Shah Alam; Kampung Kenangan Puchong

    * Taman Mesra, Shah Alam, Seksyen 13 Shah Alam;  Lebuhraya BESRAYA

    * Kompleks Jabatan Pertanian Serdang; Sri Kembangan

    Klang

    *Kampung Delek; Jalan Kebun Nenas; Kampung Jawa; Taman Melawis; Teluk Pulai

    *Taman Petaling; Taman Sentosa; Taman Saujana; Taman Rashna; Kampung Bukit Naga

    * Batu 8; Jalan Bukit Kemuning; Pandamaran dan sekitar.

    Kuala Lumpur:

    * Bulatan Dato Onn – Bank Rakyat; Jalan Chow Sow Lin; Pekan Salak Selatan

    * Razak Mansion; Jalan Loke Yew; Jalan Raja Chulan; Jalan Sultan Ismail; Jalan Pudu

    *Jalan Tun Perak; Masjid Jamek; Universiti Malaya; Kampung Pantai Dalam

    *Jalan Dang Wangi; Jalan Maarof; Jalan Kia Peng; Jalan Leboh Pasar dan sekitar

    Kuantan (Pahang)

    *Kampung Cherating; Taman Balok Damai dan sekitar

    Temerloh:

    *Kampung Pangkalan Manggis; Kampung Loyang, pusat bandar Temerloh dan sekitar

    Sarawak:

    *Pusat bandaraya Kuching dan sekitar

    *Samarahan – *Kampung Ensika; Kampung Sekitong: Kampung Lubok Manta; Pekan Sebuyau.

    Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa. – BERNAMA

  • PN julang martabat penjawat awam jika menang PRU-15

    PN julang martabat penjawat awam jika menang PRU-15

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menunaikan 10 tawaran khas kepada penjawat awam di negara ini, sekali gus menjulang martabat mereka jika gabungan parti itu menang pada Pilihan Raya Umum (PRU-15).

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjawat awam merupakan tulang belakang kepada sesebuah negara.

    “Ketika Malaysia getir dilanda wabak Covid-19, penjawat awam termasuk petugas barisan hadapan (frontliner) telah banyak menabur jasa dan bakti mereka bertungkus lumus berkhidmat untuk negara terutama memerangi Covid-19.

    “Penjawat awam terutamanya petugas barisan hadapan seperti askar, polis, bomba, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya sanggup mempertaruhkan nyawa mereka sendiri.

    “Pada masa itu, cuti tahunan mereka turut dibekukan demi melaksanakan tugas kepada negara iaitu menjaga keselamatan dan keamanan rakyat,” katanya menerusi catatan Facebook beliau.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara menjelaskan, jika PN menang PRU-15, beliau berikrar akan menunaikan 10 tawaran khas kepada para penjawat awam.

    Pertama adalah pemberian komputer riba kepada semua guru yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    “Yang kedua, mengoptimumkan pengambilan bilangan anggota pentadbiran kerajaan persekutuan; selain penjawat awam akan menerima kenaikan gaji tahunan (KGT) RM100 seperti dalam cadangan belanjawan 2023,” katanya

    Keempat pula melibatkan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) RM100 kepada penjawat awam agar selaras dengan tanggungjawab dan keperluan semasa.

    Selain itu, ujar Muhyiddin lagi, penambahbaikan gred bagi pegawai tentera agar selaras dengan tanggungjawab dan keperluan semasa.

    Keenam melibatkan pemerkasaan jabatan hal ehwal veteran dengan langkah memantapkan lagi sokongan kebajikan dan kebolehupayaan pesara tentera yang berpencen dan tidak berpencen; dan yang ketujuh adalah perkasakan kemahiran digital melalui latihan berterusan.

    Seterusnya, menyelaraskan semula struktur kementerian dan agensi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengurangkan karenah birokrasi.

    Kesembilan pula melibatkan 20 ahli jawatankuasa pembangunan keselamatan kampung bagi menjaga keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan kampung.

    “Akhir sekali, menambah baik sistem penjawat awam kontrak berkenaan perjawatan dan kebajikan seperti keutamaan mereka akan diserap sebagai kakitangan tetap pada suatu hari nanti,” jelas beliau lagi.

    Justeru, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam.

    “Jasa dan pengorbanan anda semua tak boleh saya lupakan ketika menghadapi zaman yang getir ketika itu,” katanya.

  • Tuan Ibrahim berceramah guna ‘skylift’

    Tuan Ibrahim berceramah guna ‘skylift’

    KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin meriah apabila calon-calon bertanding menggunakan pelbagai cara bagi menarik minat pengundi mendengar ceramah dan mendekati mereka.

    Calon Parlimen Kubang Kerian dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menampilkan kelainan apabila menggunakan ‘skylift’ untuk menjadikan ceramahnya lebih unik.

    Dalam satu video yang dikongsikan oleh Tuan Ibrahim di laman Facebooknya menunjukkan beliau berada di atas skylift berketinggian kira-kira 8 meter, lapor Sinar Harian.

    Video itu telah mendapat lebih 1,500 tanda suka dan lebih 100 kali dikongsi semula oleh netizen.

    Selain Tuan Ibrahim, Parlimen Kubang Kerian turut ditandingi oleh calon BN, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; calon Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohamad Rizal Razali.

    Pada PRU14, Tuan Ibrahim memenangi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti 19,369 undi mengalahkan calon BN, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani yang mendapat 16,251 undi dan Datuk Dr Abdul Halim Yusof daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 11,557 undi.