Category: Semasa

  • Murid Tahun Tiga maut dilanggar pikap ketika lintas jalan

    Murid Tahun Tiga maut dilanggar pikap ketika lintas jalan

    SELEPAS 48 bertarung nyawa dalam rawatan kecemasan, seorang murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sungai Penipah di Mukah, yang dilanggar pikap ketika melintas Jalan Mukah Balingian di hadapan simpang sekolah itu, meninggal dunia hari ini.

    Dalam kejadian pukul 1 tengah hari kelmarin, Mohammad Firdaus Jimbat Abdullah, 9, yang juga murid Tahun Tiga, dari Kampung Kuala Lama, Mukah, cedera parah di bahagian kepala dan leher.

    Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Sibu pada pukul 10.33 pagi tadi.

    “Kemalangan berlaku apabila pikap dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun bergerak lurus dari arah Balingian menuju ke arah Mukah.

    “Ketika melalui jalan hadapan simpang sekolah itu telah melanggar seorang murid yang melintas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhamad Rizal berkata, akibat kejadian itu murid terbabit mengalami kecederaan parah dan telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

    “Pikap yang terbabit sudah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk pemeriksaan Puspakom.

    “Rakaman percakapan pemandu terbabit serta sepupu mangsa yang juga saksi kejadian turut diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lapor BH.

  • PRU15: Lonjakan sokongan kepada PN di tiga negeri

    PRU15: Lonjakan sokongan kepada PN di tiga negeri

    LONJAKAN sokongan rakyat dijangka meningkat terhadap Perikatan Nasional (PN) di Pahang, Kelantan dan Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dan BN.

    “Pertama berlaku satu gelombang penolakan rakyat Kelantan dan Pahang terhadap Pakatan Harapan (PH), ‘confirm’ dah tetapi juga kepada BN.

    “Di Perlis kita lihat gelombang penolakan berlaku apabila (Datuk Seri) Shahidan (Kassim) bersedia bersama Pas dan bersedia jadi calon PN. Beliau ada pengaruh yang besar dan Perlis hanya ada tiga Parlimen,” katanya.

    Beliau menjangkakan kerja yang dibuat PN selama ini termasuk dengan kesedaran pengundi, diharap akan berlaku ‘pembaharuan’ di Perlis.

    Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Pejabat Pas Negeri di Kota Bharu, hari ini.

    Beliau yang bertanding di Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu di Pahang juga berlaku perkara yang sama apabila tokoh besar yang berpengaruh seperti Datuk Seri Ismail Muttalib bertanding sebagai calon PN di Maran.

    “Oleh kerana sekarang beliau jadi calon PN di Maran, saya tengok ada gelombang kesedaran dan kebangkitan di Pahang.

    “Di Pantai Timur hanya Pahang yang masih dikuasai BN. Kita harap kali ni pengundi Pahang buat perubahan ke arah Malaysia yang lebih ‘best’,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu Tuan Ibrahim yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) PN di Cheka, Pahang memaklumkan beliau telah bertemu dengan hampir 80 peratus pengundi di kawasan itu.

    Katanya baki pengundi yang selebihnya akan ditemui sepanjang minggu kedua tempoh berkempen ini.

  • Azmin bimbang ekonomi negara terancam jika PH memerintah

    Azmin bimbang ekonomi negara terancam jika PH memerintah

    Oleh BADLISHAH MAT

    EKONOMI negara dibimbangi akan terancam sekiranya Pakatan Harapan (PH) dibenarkan kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, faktor tersebut ditambah jangkaan situasi ekonomi yang lembap pada tahun hadapan.

    Katanya, ekonomi Malaysia akan parah sekiranya mereka tidak meletakkan dasar yang pragmatik, progresif dan meyakinkan pelabur.

    “Saya bimbang ekonomi Malaysia akan  kembali kepada keadaan parah, apa yang PN lakukan hari ini adalah untuk menyiapkan negara berhadapan dengan kemungkinan kesan ketidaktentuan ekonomi tahun depan.

    “Kita harap impaknya tidak terlalu besar kepada negara kerana asas ekonomi kita semakin kukuh, kesan ketidaktentuan ekonomi global pada 2023 akan mengurangkan impak ke atas ekonomi Malaysia,” katanya selepas Majlis Bersama Komuniti Cina di Lunas, Kulim hari ini.

    Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ekonomi negara dilihat semakin meningkat berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini apabila mencapai pertumbuhan 14.2 peratus.

    Kata calon PN Parlimen Gombak itu, kadar tersebut lebih kukuh berbanding 8.9 peratus yang dicatat pada suku kedua.

    Jelasnya, pendekatan yang tidak sihat oleh PH ketika memerintah selama 22 bulan lalu dengan menekan peniaga menyebabkan ekonomi negara tidak stabil.

    “Oleh itu, PN mengambil pendekatan mesra pelabur serta melancarkan misi perniagaan dengan para pelabur dari luar negara,” katanya.

  • Ribut petir diramal mulai esok hingga hari pengundian PRU-15 – MetMalaysia

    Ribut petir diramal mulai esok hingga hari pengundian PRU-15 – MetMalaysia

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berlaku di kebanyakan tempat di pedalaman dan barat Semenanjung, Sarawak serta barat Sabah bermula 13 hingga 19 November, iaitu hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Mengikut analisis model-model cuaca, MetMalaysia menjangkakan fenomena cuaca itu berlaku pada sebelah petang hingga malam sepanjang tempoh tersebut.

    Menurut Pakar meteorologi, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah semalam, tempoh tiga hari mulai Sabtu hingga Isnin amat penting bagi meramalkan keadaan cuaca semasa hari pengundian PRU15.

    “Luruan angin timuran masih ada, tetapi yang menarik ialah terdapat tekanan rendah di bahagian selatan negara iaitu berhampiran Johor. Ini menunjukkan negara kita mempunyai semua elemen yang merangsangkan hujan,” katanya dalam program Malaysia Memilih, hari ini lapor Astro Awani.

    Sebelum itu, MetMalaysia meramalkan Monsun Timur Laut mula melanda negara pada pertengahan November dan berterusan sehingga Mac depan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai hak menangguhkan PRU15 jika banjir besar berlaku dan perbincangan lanjut akan dibuat sekiranya keadaan mendesak.

    Bagaimanapun katanya, persediaan telah dilakukan lebih awal melibatkan semua agensi sebelum pembubaran Parlimen.

  • PRU-15: Pak Wan nafi tak turun padang

    PRU-15: Pak Wan nafi tak turun padang

    PENYANDANG kerusi Parlimen Alor Gajah daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof menafikan beliau tidak turun padang sepanjang tempoh perkhidmatannya di kawasan berkenaan.

    Menurut Mohd Redzuan atau lebih mesra dipanggil Pak Wan, beliau turun padang tiga kali seminggu bagi menyampaikan bantuan kerana menjadi tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen.

    “Jika tidak berkesempatan, pegawai saya akan turun meninjau dan memberi bantuan yang diperlukan.

    “Semalam tular dakwaan Pak Wan lima tahun tak turun padang dan tidak menyantuni rakyat. Saya tak tahu siapa yang tularkan.

    “Apapun penggal bukan lima tahun, sebaliknya empat tahun selain kekangan Covid-19 dekat dua tahun. Mereka tak tahu saya turun Alor Gajah, kalau saya tak turun, saya pastikan ada wakil membabitkan pegawai pejabat saya memberi bantuan yang diperlukan.

    “Siapa yang tulis itu boleh minta pada Pak Wan statistik yang ada. Berjuta-juta ringgit dikeluarkan malah kereta yang ada gambar Pak Wan setiap hari keluar memberi bantuan menerusi Pusat Khidmat Parlimen Alor Gajah ketika itu.

    “Kalau mereka boleh turun padang buat macam Pak Wan, turunlah, kerana Pak Wan mempunyai rekod termasuk menyantuni mereka yang sakit, bantuan katil, keperluan susu dan pelbagai bantuan tidak kira bangsa dan agama,” katanya, lapor Harian Metro.

    Tiada niat mahu menunjuk-nunjuk tetapi apabila ada yang mempertikaikan, beliau perlu menjelaskan kerana ia tanggungjawab Ahli Parlimen.

    Dalam pada itu, beliau juga berusaha menyelesaikan masalah jalan gelap di Asahan dan kawasan lain dalam tempoh sebulan jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Katanya, itu antara 17 perkara dalam lima teras aku janjinya yang dikenal pasti dapat diselesaikan dalam tempoh singkat jika tiada kerenah birokrasi.

    Beliau berkata, ia membabitkan kaedah pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) di tiang lampu sedia ada tanpa membabitkan penambahan tiang lampu di kawasan berkenaan.

    Di bawah jenama Tawaran Untuk Rakyat Alor Gajah itu, Mohd. Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggariskan 17 tawaran membabitkan lima teras utama.

    “Semua tawaran dirangka berdasarkan maklum balas terima selama empat tahun perkhidmatan sebelum ini dengan mendekati permasalahan secara mikro tanpa meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau ingin menyambung beberapa program ketika menjadi Menteri Pembangunan Usahawan sebelum ini seperti program SmartFarmer dan Biasiswa Pak Wan kepada anak-anak tempatan.

    Selain Mohd. Redzuan, Parlimen berkenaan menyaksikan pertembungan membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Shahril Sufian Hamdan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (Pejuang)

  • Ahmad Zahid tarik balik rayuan dapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM

    Ahmad Zahid tarik balik rayuan dapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM

    BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik rayuannya untuk mendapatkan rakaman percakapan beberapa saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Pada 9 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi sebagai contoh diugut agar memberikan keterangan berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.

    Ahmad Zahid kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada bulan sama. Notis pemberhentian rayuan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan semalam.

    Seorang peguam yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

    Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pendengaran itu yang sepatutnya berlangsung 14 Nov ini telah dilapangkan.

    Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya yang bermula 13 April lepas.

    Perbicaraan kes itu bersambung 16 Jan tahun depan.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

  • ‘Ajak anak pilih pemimpin terbukti berjasa’, pesan Muhyiddin kepada ibu bapa

    ‘Ajak anak pilih pemimpin terbukti berjasa’, pesan Muhyiddin kepada ibu bapa

    IBU bapa bertanggungjawab membimbing dan menerangkan kepada anak mereka khasnya yang baru pertama kali mengundi parti mana yang perlu dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ibu bapa perlu menyatakan kepada anak mereka untuk memilih pemimpin yang sudah terbukti berjasa dan dapat menjalankan amanah dengan baik sebagai pemimpin.

    Beliau berkata, ibu bapa juga perlu mengingatkan akan kepentingan memilih pemimpin yang bersama rakyat ketika susah dan senang dan pemimpin yang prihatin ketika rakyat bergelut dengan kesulitan.

    “Kepada anak muda, keluarlah beramai-ramai dan laksanakan tanggungjawab memilih pemimpin negara yang layak.

    “Kita khuatir jika mereka tidak keluar mengundi, pemimpin yang bersih dan berwibawa terlepas peluang untuk diangkat menerajui negara,” katanya menerusi catatan terbaharu di Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menceritakan pertemuannya bersama penduduk Kundang Ulu, Parit Raja Gersik, semalam.

    Beliau berkata, jentera PN diminta mengenal pasti pengundi di kawasan mereka mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.

    Menurutnya, mereka diminta menyantuni pengundi berkenaan secara berhemah, bertoleransi serta memberikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat akan parti yang harus dipilih.

    “Ketika saya bertemu dengan jentera parti di Bilik Gerakan PDM Gersik, saya meminta mereka mengenal pasti pengundi mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.

    “Santuni mereka secara berhemah, bertoleransi serta berikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat,” katanya.

    Muhyiddin pada masa sama memberitahu, beliau turut berkesempatan untuk bersama masyarakat India dan penduduk Tionghoa di sekitar bandar Pagoh dan meminta mereka keluar mengundi pada 19 November.

    Katanya, masyarakat Tionghoa dan orang India diharapkan dapat memberi sokongan kepada beliau kerana PRU-15 paling penting yang menjadi penentu siapa dan parti mana yang bakal menerajui negara.

    “Kita perlu menolak pemimpin yang sudah terbukti tidak prihatin rakyat dan menjejaskan imej negara pada mata dunia.

    “Inilah masa untuk kita berganding bahu, mengerah kudrat dan tenaga bagi memastikan hanya pemimpin yang layak dan berwibawa dipilih memimpin negara tercinta. Ayuh semua keluar mengundi, keputusan di tangan anda!,” katanya.

  • Tiga beradik maut pulang dari pusat tahfiz

    Tiga beradik maut pulang dari pusat tahfiz

    TIGA adik beradik maut selepas Perodua Kancil dinaiki terbabas di Kilometer 165.9 Lebuh Raya Pantai Timur Satu (LPT1) di Maran, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 7 pagi itu mengorbankan Ahmad Basyir Yusry, 27, Siti Fatimah Yusry, 20, dan Saiedah, 15, manakala seorang lagi adik mereka, Adawiyah, 11, parah.

    Ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Johor selepas mengambil Saiedah yang belajar tahfiz di Pahang.

    Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Siti Fatimah dari arah Kuantan hilang kawalan, sebelum terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan.

    “Akibat pelanggaran, tiga mangsa iaitu pemandu (Siti Fatimah) dan dua penumpang (Ahmad Basyir dan Saiedah) meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa (Adawiyah) parah.

    “Dia mengalami kecederaan di kepala dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

    “Mayat semua mangsa yang dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba,” katanya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Norzamri berkata, mangsa maut beralamat di Kampung Melayu, Kulai, Johor dihantar ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat.

    Katanya, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Anwar boleh lapor, bawa bukti untuk polis siasat – Hamzah

    Anwar boleh lapor, bawa bukti untuk polis siasat – Hamzah

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta membuat laporan polis berhubung dakwaan anggota tentera yang mengundi pos di Parlimen Bera dibayar RM300.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, laporan itu bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan lanjut sekali gus membersihkan nama dan imej pasukan keselamatan yang tercalar akibat dakwaan itu.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu memberi jaminan, siasatan secara adil dan saksama akan dilakukan meskipun dakwaan itu melibatkan kawasan ditandingi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Siasatan secara adil tidak kiralah di mana sekalipun dakwaan itu, walaupun di Bera sekalipun atau calon itu melibatkan perdana menteri.

    “Maka sebab itu kalau dia betul-betul yakin ada, tunjukkan bukti dan InsyaAllah kita akan ambil tindakan mengikut perundangan yang ada dalam negara,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada Jumaat, Anwar dalam satu majlis di Kuala Nerus, Terengganu mendakwa anggota tentera di Bera yang terlibat dalam pengundian awal iaitu undi pos telah dibayar RM300.

    Anwar turut mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

  • Makin ramai ahli UMNO tolak kepimpinan Zahid Hamidi

    Makin ramai ahli UMNO tolak kepimpinan Zahid Hamidi

    KEWIBAWAAN UMNO terus tercalar apabila semakin ramai ahli dan penyokong secara terbuka mengumumkan keluar daripada parti itu.

    Sebelum ini ratusan penyokong UMNO di Bachok keluar parti itu dan menyertai Bersatu, manakala di Kubang Kerian seramai 50 ahli dan penyokong UMNO di Unit Daerah Mengundi (UDM) Wakaf Stan kini menyertai Pas.

    Borang menyertai Pas diserah pesara kerajaan, Abdul Razali Deraman bersama isterinya, Maziah Yusoff.

    Abdul Razali berkata, banyak kepincangan, penyelewengan dan kegagalan UMNO di bawah pemimpin sekarang. 

    “Kami sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden UMNO. Kami melihat kepimpinan UMNO sekarang hanya retorik yang berjuang bagi kepentingan individu tertentu.

    “Kelangsungan UMNO tidak lagi seperti dahulu sehingga menyebabkan kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi semakin terhakis,” katanya ketika ditemui di program ceramah kelompok di Batu 6, Kampung Wakaf Stan, di Kota Bahru, semalam memetik laporan Harakah Daily.

    Ceramah tersebut disampaikan ahli jawatankuasa Pas Kubang Kerian, Wan Mohd Sharafi Wan Mustafa dan bekas Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Ibrahim.

    Hadir sama isteri calon PN Kubang Kerian, Datin Sri Norrulain Md. Hashim, Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kubang Kerian, Datuk Dr. Mohamed Saat, Ketua Muslimat Pas Kawasan, Zainiah Abd. Halim dan Penghulu Mukim Wakaf Stan, Zaharudin Ya’akub.

    Parlimen Kubang Kerian menyaksikan pertandingan empat apabila penyandangnya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ditentang Dr. Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah (Pakatan Harapan), Mohamad Rizal Razali (Putra) dan Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi (BN).