Category: Semasa

  • Muhyiddin iringi Azmin, calon Gombak Setia dan Sungai Tua

    Muhyiddin iringi Azmin, calon Gombak Setia dan Sungai Tua

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi tiga calon gabungan politik itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Gombak Setia dan Sungai Tua ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu.

    Mereka adalah Datuk Seri Azmin Ali (Hulu Kelang), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan Muhammad Hanif Jamaluddin (Sungai Tua).

    Terdahulu mereka bersama penyokong PN berkumpul di Masjid As-Shariff sebelum berarak sambil berselawat dan melaungkan takbir sejauh 500 meter ke pusat penamaan calon.

    Pusat untuk menghantar kertas pencalonan itu akan dibuka jam 9 pagi.

    Azmin, bekas Menteri Besar Selangor yang berpindah dari DUN Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang dijangka berdepan Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Juwairiya Zulkifli.

    Hilman selaku penyandang di Gombak Setia ditentang Ketua UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin.

    Hanif pula berdepan tugas besar berdepan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyandang kerusi Sungai Tua.

  • PN umum calon DUN Jeram Padang, Sri Tanjung

    PN umum calon DUN Jeram Padang, Sri Tanjung

    PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan mengumumkan dua lagi calon untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang dan Sri Tanjung.

    PN dalam satu kenyataan memberitahu, Jeram Padang akan ditandingi Surash Sreenivasan manakala Sri Tanjung diwakili Zabidi Ariffin.

    Dengan pengumuman itu senarai calon PN akan bertanding 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan kini lengkap.

    Untuk rekod, Surash pernah bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Jeram Padang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

    Beliau bakal bertembung calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zaidy Abdul Kadir.

    Zabidi pula akan bertembung calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Sri Tanjung, Dr. Rajasekaran, lapor FMT.

    Semalam, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru akar umbi menganggap semua nama diumumkan sebagai ‘calon PN’.

    Katanya, PN akan mengumumkan calon bagi Sri Tanjung dan Jeram Padang hari ini, yang terpaksa ditangguhkan atas sebab teknikal.

  • Ras Adiba tiada masalah tak jadi calon PRN, sedia bantu PN berkempen

    Ras Adiba tiada masalah tak jadi calon PRN, sedia bantu PN berkempen

    BEKAS senator, Datuk Ras Adiba Radzi, mengambil sikap berlapang dada selepas namanya tidak menjadi pilihan Perikatan Nasional (PN) untuk dibertandingkan sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.

    Kata aktivis dan bekas personaliti televisyen itu, penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini bukan bertujuan untuk menjadi calon pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos nanti.

    “Semasa menyertai Bersatu hari tu, memang tak ada terfikir langsung untuk bertanding kerana misi utama saya ialah untuk menyokong parti saja.

    “Saya faham sekiranya ada pihak yang mungkin tertanya-tanya apa perasaan saya apabila tak dicalonkan… Saya OK saja,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Ras Adiba dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan kurang upaya (OKU) pada Mei 2020 iaitu selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dan jawatan Perdana Menteri digantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin pula merupakan Presiden Bersatu merangkap pengerusi PN.

    Beliau juga dilantik menjadi pengerusi agensi berita rasmi negara ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

    Menurut Ras Adiba, beliau menyertai Bersatu untuk menyokong perjuangan gabungan PN dalam membela nasib rakyat termasuk golongan OKU.

    PRN akan melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan akan membuka tirai secara rasmi apabila penamaan calon dijalankan esok.

    Sementara itu mengulas mengenai percaturan PN di Negeri Sembilan, Ras Adiba, 55, menyifatkan senarai calon yang dipertaruhkan kali ini mampu memberikan kemenangan buat mereka.

    “Syukur alhamdulillah, saya berpuas hati apabila ada banyak wajah baru dan parti memberi peluang kepada mereka untuk bertanding.

    “Ini memang untuk kesejahteraan semua. Walaupun mungkin ramai calon yang orang tak berapa nak kenal, tapi muka-muka itu nampak bersungguh-sungguh untuk berkhidmat demi rakyat,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Menegaskan lagi sokongannya tidak berbelah-bahagi kepada Bersatu, Ras Adiba berkata, sebagai anak jati Seri Menanti di Negeri Sembilan beliau bersedia turun padang memberikan sokongan.

    Beliau juga bersiap-siaga sekiranya menerima arahan daripada pihak atasan untuk turun berkempen di negeri lain yang turut terlibat PRN.

    “Saya orang Negeri Sembilan akan turun sokong dan berkempen. Ini tak menjadi masalah sebab tiap-tiap minggu saya akan balik kampung.

    “Sekiranya diperlukan di lokasi lain, saya tetap akan turun berkempen juga, insya-Allah,” katanya lagi.

  • AJK Pemuda DAP: Kenapa Guan Eng tidak turut digugurkan?

    AJK Pemuda DAP: Kenapa Guan Eng tidak turut digugurkan?

    SEORANG pemimpin Pemuda DAP meminta pucuk pimpinan parti itu menjelaskan kenapa pengerusi mereka, Lim Guan Eng, tidak digugurkan daripada menjadi calon dalam pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang.

    Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Pulau Pinang, M. Kogilan berkata, dia kecewa melihat senarai nama calon-calon yang diputuskan parti.

    Katanya berdasarkan senarai itu ada sekurang-kurangnya lima muka lama digugurkan.

    “Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bahawa membawa pembaharuan dalam setiap pilihan raya termasuk menggugurkan beberapa ‘orang lama’ adalah proses biasa.

    “Justeru saya ingin bertanya kenapa parti tidak menggugurkan nama Lim Guan Eng?

    “Beliau juga orang lama yang bertanding dalam pilihan raya sejak 1986,” katanya.

    Tambah Kogilan dia juga tertanya-tanya jika Lim memang tidak berniat untuk membuka ruang kepada muka baru bagi menggantikannya.

    “Atau adakah dia dilihat sebagai orang muda yang masih perlu bertanding dalam PRN kali ini,” katanya.

    Sebelum ini, Loke berkata keputusan DAP menggugurkan lima exco Pulau Pinang bagi menghadapi PRN kira-kira dua minggu lagi adalah usaha untuk meremajakan parti itu agar ia kekal relevan.

    Katanya, keputusan diambil atas pertimbangan penglibatan muka baru akan membawa nafas baru kepada parti itu yang sudah memerintah tiga penggal di Pulau Pinang.

    “Antara tokoh yang sudah lama berkhidmat termasuk P. Ramasamy yang sudah menjadi timbalan ketua menteri II selama tiga penggal, manakala Chong Eng menjadi Exco selama dua penggal, dan sebelum itu banyak penggal sebagai ahli Parlimen,” katanya.

  • Sanusi jawab Rafizi: Debat dengan saya tak akan baiki ekonomi

    Sanusi jawab Rafizi: Debat dengan saya tak akan baiki ekonomi

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menolak cabaran Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli untuk berdebat secara langsung ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Sanusi berkata perdebatan tersebut tidak akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

    “Suruh (Rafizi) jaga Kementerian Ekonomi elok-elok, guna formula-formula ajaib yang dia selalu cakap itu.

    “Kenapa nak sibuk berdebat, PRN ini bukan untuk pilih menteri ekonomi. Nak pilih kerajaan negeri saja.

    “Keadaan ekonomi negara kritikal sekarang, debat dengan saya tak akan ubah kedudukan ekonomi negara,” katanya kepada Malaysiakini.

    Rafizi yang merupakan Menteri Ekonomi dilaporkan mencabar Sanusi untuk berdebat dengannya dan menyifatkan sebagai Sanusi sebagai pemimpin pembangkang paling berani pada masa ini.

    Rafizi dan Sanusi adalah pengarah pilihan raya untuk parti masing-masing.

    Menurut Harian Metro, Rafizi berkata cabaran itu bagi memulakan budaya persaingan idea untuk membantu rakyat, berbanding tumpuan kepada retorik ‘siapa yang lebih Melayu’.

    “Saya dah bentangkan satu perkara yang mudah saja, macam mana kita nak tukar solar dan atap nak bantu rakyat. Saya nak tunggu daripada PN apa idea mereka, idea konkrit macam mana nak bantu rakyat,” katanya seperti dipetik.

    Rafizi juga berkata, beliau memberikan Sanusi kebebasan untuk memilih topik perdebatan asalkan ia melibatkan isu ekonomi seperti pembinaan lapangan terbang dan kebajikan golongan miskin.

    Debat itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tempoh dua minggu kempen dan merupakan cara terbaik untuk ‘menutup mulut’ Sanusi daripada memperlekehkan lawan politiknya, kata Rafizi.

    Sementara itu Sanusi mendakwa permintaannya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak kerana ‘angkuh’.

    “Siapa yang angkuh? Peruntukan wajib kepada kerajaan negeri (daripada kerajaan Persekutuan) pun dikatakan sebagai bantuan Pusat kepada negeri,” katanya.

    Beliau merujuk kenyataan Rafizi dua minggu lalu yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) mendapat manfaat daripada pelaburan kerajaan Persekutuan di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

    Menjawab dakwaan kerajaan Persekutuan menganaktirikan Kedah, Rafizi mendakwa, 80 peratus daripada hasil kerajaan negeri itu adalah dari kawasan bandar dan perindustrian sekitar taman teknologi tersebut.

  • Najib tarik balik rayuan cabar keputusan tolak permohonan hadir Parlimen

    Najib tarik balik rayuan cabar keputusan tolak permohonan hadir Parlimen

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik rayuannya kepada Mahkamah Rayuan untuk kebenaran memulakan tindakan undang-undang berhubung keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Parlimen.

    Notis pemberhentian rayuan itu difailkan pada 12 Julai lepas oleh Tetuan Shafee & Co, firma guaman yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

    Selain mahkamah, Jabatan Peguam Negara, yang mewakili Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, telah dimaklumkan mengenai penarikan balik tindakan undang-undang itu.

    Pada 27 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Parlimen.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa permohonan Najib adalah akademik kerana beliau tidak lagi menjadi Ahli Parlimen berikutan pembubaran Parlimen pada 1 Oktober tahun lepas yang telah membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 yang diadakan pada bulan berikutnya.

    Hakim Mahkamah Tinggi itu juga berkata melainkan dan sehingga pengampunan diberikan atau sabitan Najib dibatalkan selepas semakan semula, tidak ada kemungkinan beliau akan sekali lagi menjadi Ahli Parlimen, sambil menambah bahawa undang-undang melarang mana-mana orang yang disabitkan bersalah untuk bertanding pada pilihan raya.

    Najib memfailkan permohonan itu pada 5 Okt tahun lepas dan menamakan kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

    Beliau memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak memberikan beliau akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan konstituen.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta

  • Tiada perbincangan turunkan harga minyak RON95, kata Rafizi

    Tiada perbincangan turunkan harga minyak RON95, kata Rafizi

    MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli mengesahkan tiada sebarang perbincangan di peringkat kerajaan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel.

    Menurutnya, desas desus penurunan harga RON95 itu baru pertama kali didengarinya.

    “Sampai sekarang, saya tidak pernah dengar malah, tidak pernah ada perbincangan mengenainya,” katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 di Putrajaya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hakikatnya beliau berkata, harga minyak mentah dunia telah meningkat kepada AS$70 setong dan pernah mencecah sekitar AS$83 setong.

    Jelasnya, keputusan menurunkan harga bahan api itu sebenarnya di bawah Kementerian Kewangan kerana membabitkan peruntukan subsidi bahan api.

    Sebelum ini, MIDF Research menjangkakan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan harga runcit RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan.

  • Bunuh pemandu e-panggilan, 2 warga asing dihukum gantung

    Bunuh pemandu e-panggilan, 2 warga asing dihukum gantung

    MAHKAMAH Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua warga asing selepas didapati bersalah membunuh seorang pemandu e-panggilan warga tempatan lima tahun lalu.

    Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas warga Myanmar Sua Lay, 38, dan warga India Gurpreet Singh, 28, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Nurulhuda dalam penghakiman memaklumkan tiada pembelaan yang timbul dan berbangkit berhubung kejadian pembunuhan pemandu e-panggilan itu.

    Katanya hujahan kedua-dua tertuduh kepada mahkamah bahawa mereka tidak memahami bahasa Melayu juga tidak boleh diterima kerana tertuduh mampu memberikan arahan kepada mangsa untuk berhenti awal dari tempat asal yang dituju oleh mereka.

    Selain itu, Nurulhuda berkata kedua-dua tertuduh mampu untuk memandu arah kepada penemuan kunci kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa (ketika proses siasatan polis).

    “Mangsa dijerut dan ada kecederaan pada leher. Selain itu ada penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua tertuduh pada tali pinggang keledar bahagian pemandu.

    “Walaupun ia tidak dikatakan (pembunuhan) zalim, tetapi fakta mayat (mangsa) ditinggal begitu sahaja dalam kereta. Ini menunjukkan tertuduh tiada mempunyai perasaan belas kasihan terhadap si mati. Atas alasan itu, saya bersetuju hujahan pihak pendakwaan dan (menjatuhi) hukuman gantung sampai mati kepada tertuduh,” katanya.

    Sua Lay dan Gurpreet sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Selayang pada 16 Julai 2018 atas pertuduhan membunuh seorang pemandu e-panggilan, pada 21 Jun tahun yang sama.

    Tertuduh, masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai sayur dan kelindan lori didakwa dengan niat bersama-sama membunuh Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, di lorong belakang Blok C di Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves, pada 10.08 malam, 21 Jun 2018.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, kedua-dua tertuduh diwakili peguam Siti Anis Che Ab Wahab dan Muhamad Amirul Jamaluddin memohon agar anak guam mereka dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan berdasarkan peruntukan baharu dalam Seksyen 302 Kanun Keseksaan sama ada dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara berserta sebatan.

    Amirul berkata walaupun ada kehilangan nyawa, namun melihat pada keterangan mahkamah tidak ada bukti langsung kedua-dua tertuduh membunuh mangsa serta mahkamah jarang meletakkan sesuatu hukuman ke tahap yang maksimum kecuali ia melibatkan penjenayah tegar.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail dalam hujahannya berkata hukuman mestilah melambangkan kepentingan awam dan bertujuan mencegah selain menjadi isyarat berkesan kepada orang awam berkenaan seriusnya kesalahan membunuh.

    “Kesalahan membunuh adalah satu kes yang amat serius. Dalam kes ini, tertuduh telah melakukan satu kesalahan jenayah keji. Justeru, hukuman gantung dianggap setimpal kepada mereka selepas didapati bersalah,” katanya.

  • Pegawai suruhanjaya tinggi, pengarah syarikat ditahan rasuah lulus visa RM100 juta

    Pegawai suruhanjaya tinggi, pengarah syarikat ditahan rasuah lulus visa RM100 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa sebuah Suruhanjaya Tinggi kerana didakwa bersubahat menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) untuk membawa masuk warga Bangladesh.

    Sumber SPRM berkata, turut ditahan pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja, dipercayai bersekongkol dengan pegawai terbabit untuk meluluskan visa warga Bangladesh, kononnya untuk melancong namun sebaliknya bekerja di Malaysia.

    Menurutnya, siasatan mendapati pegawai terbabit bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia sejak 2021 dan menerima bayaran sekitar USD300 ke USD500 bagi setiap kelulusan permohonan VLN.

    “Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja,” katanya, memetik laporan FMT.

    Sumber berkata, penahanan itu adalah ketiga membabitkan pegawai agensi penguat kuasa untuk membantu siasatan Op Taka dilancarkan April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Imigresen.

    Suspek yang berusia lewat 30-an ditahan 6.30 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

    Majistret M. Mageshwary membenarkan suspek direman empat hari sehingga 31 Julai selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Shah Alam hari ini.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan menjelaskan siasatan dibuat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

  • Azmin setuju debat dengan Rafizi dengan syarat

    Azmin setuju debat dengan Rafizi dengan syarat

    BEKAS Menteri Kanan Kluster Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersetuju untuk berdebat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli namun
    disertakan dengan syarat.

    “Rafizi perlu membuktikan terlebih dahulu telah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.

    “Sebab itu wahai Rafizi, saya bersedia berdebat dengan saudara dengan syarat buktikan dahulu kamu berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.

    “Pertama turunkan harga minyak terlebih dahulu. Bukan saya janji, kamu yang janji. ‘Hari ini saya jadi Perdana Menteri, esok minyak turun….dah turun belum? Kalau belum turun, turunkan dulu baru jumpa aku,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pengenalan Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawa Gombak, malam tadi.

    Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor berkata, beliau mempunyai rekod inisiatif dilaksanakan dalam mengemudi Selangor dan ketika menjadi Menteri dahulu.

    “Bukan saya tidak mahu berdebat, saya nak jawab mudah sahaja. Saya boleh menyambut saranan beliau untuk berdebat. Tiada masalah.

    “Tetapi saudara tengok kenyataan dia, apa dia kata? ‘Azmin mendakwa beliau telah berjaya ketika menjadi Menteri Ekonomi dan Menteri MITI. Kalau benar dia berjaya, debat dengan saya’.

    “Engkau (Rafizi) tiada rekod. Kalau saya pergi debat dalam keadaan dia belum ada formula, belum ada penyelesaian, engkau nak debat dengan aku buat apa? ujar Mohamed Azmin.

    Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika menyampaikan ceramah Jelajah Madani di Sri Tanjung, Port Dickson pada Selasa, telah mencabar Mohamed Azmin berdebat mengenai ekonomi Malaysia sekiranya pemimpin Perikatan Nasional itu berani.

    Susulan itu, Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail telah memberikan kesediaan untuk menerbitkan debat antara Rafizi dan Mohamed Azmin.

    Surat jemputan mengenai debat berkenaan juga telah dihantar kepada kedua-dua belah pihak.

    Pada Rabu lalu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Ekonomi, Mohd. Rashidi Ruslan telah mengesahkan bahawa Rafizi bersetuju menerima jemputan ‘Debat Ekonomi Malaysia’ Mohamed Azmin.