Category: Semasa

  • PRU15: Anwar pernah tawar saya jadi TPM, kata Muhyiddin

    PRU15: Anwar pernah tawar saya jadi TPM, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pernah ditawar jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

    Menurutnya, ketika itu Anwar percaya bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara kepadanya.

    “Malangnya perkara itu terjadi sebaliknya apabila Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu selepas bergaduh dengan Dr. Mahathir.

    “Anwar kata, Tun Mahathir tak lama, lepas tu dia akan berhenti (jadi Perdana Menteri). Lepas Sukan Komanwel, saya (Anwar) akan jadi Perdana Menteri dan kamu akan jadi Timbalan Perdana Menteri. Ini cerita yang tak pernah saya cerita, dia cakap dengan saya.

    “Kemudian dia (Anwar) datang melawat saya di pejabat ketika saya sebagai Perdana Menteri. Saya beritahu dia, saya cakap minta maaf Anwar, saya kini Perdana Menteri.

    “Kamu selamanya tak akan jadi Perdana Menteri selagi berkawan dengan DAP kerana orang Melayu akan tolak kamu,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah PN BEST Parlimen Tambun PN di Bandar Meru Raya, di Ipoh malam tadi.

    Turut berucap pada program tersebut ialah Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng.

    Muhyiddin berkata, sehingga kini Anwar masih bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan berharap akan menang bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Namun kata penyandang Ahli Parlimen Pagoh itu yakin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan berdepan kesukaran menjadi Perdana Menteri kerana lebih 20 tahun meninggalkan kerajaan.

    “Kalau 20 tahun sudah meninggalkan pentadbiran kerajaan, nak kembali untuk duduk sebagai Perdana Menteri, saya fikir agak sukar kerana memahami dasar dan tindakan. Saya faham itu.

    “Kalau tak ada pengalaman yang tertentu untuk menguruskan negara kita berhadapan dengan risiko yang besar. Kalau-kalau dengan keadaan sebegitu, masalah utama rakyat tak mungkin selesai dalam tempoh secepat yang rakyat mahu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Bekas Setiausaha Tetap KPSU, anak dan menantunya maut dalam kebakaran

    Bekas Setiausaha Tetap KPSU, anak dan menantunya maut dalam kebakaran

    BEKAS Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sarawak, Affendi Keli, maut dipercayai terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Gita, di Kuching pukul 7 malam tadi.

    Selain Affendi, 69, turut terkorban anaknya Aneeqa, 35 dan menantunya, Nor Hasyidah Ajis, 22.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di tingkat atas rumah jenis kekal itu.

    “Ketiga-tiga mangsa maut dipercayai lemas selepas terperangkap di dalam asap tebal akibat kebekaran itu.

    “Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.03 malam dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu lapan anggota dari BBP Batu Lintang digerakkan ke lokasi.

    “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat setengah berstruktur kekal terbakar 100 peratus dan turut musnah empat kenderaan manakala sebuah lagi musnah separuh,” katanya dalam kenyataan malam ini, lapor BH online.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.

    Affendi, juga pernah menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan Sarawak serta Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

  • Penganggur ditahan rogol anak tiri usia 12 tahun

    Penganggur ditahan rogol anak tiri usia 12 tahun

    SEORANG penganggur ditahan bagi membantu siasatan kes rogol anak tiri yang berusia 12 tahun di Maran semalam.

    Suspek yang berusia 30 tahun ditahan di kedai makan di daerah tersebut pada pukul 3.45 petang.

    Difahamkan, perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya, yang kemudian membuat laporan polis pada Jumaat.

    Suspek dikatakan sudah beberapa kali melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

    “Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

  • Daftar pemilih boleh dibeli daripada SPR: Hamzah

    Daftar pemilih boleh dibeli daripada SPR: Hamzah

    SENARAI Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) boleh dibeli oleh mana- mana individu daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya senarai tersebut disertakan dengan nombor telefon setiap individu, data tersebut bukanlah diperoleh daripada SPR.

    “Saya nak maklumkan nama-nama pengundi ini memang boleh dibeli, yang nak pergi beli kat sindiket itu buat apa?

    “(Daftar pemilih) boleh dibeli melalui SPR, kalau nama-nama pengundi itu ada nombor telefon maknanya itu bukan daripada SPR.

    “Setakat ini, belum ada sebarang laporan mengenai isu ini. Saya fikir setakat ini SPR faham dan sesiapa pun boleh beli senarai pengundi daripada SPR,” katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri, di Muar, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan pangkalan data dalam sistem MySPR melibatkan 800,000 pengguna didakwa ditawarkan di pasaran pangkalan data terkenal dengan harga jualan pada RM9,401.

    Sementara itu, Hamzah yang juga penyandang kerusi Parlimen Larut berkata, sebanyak 130 laporan polis diterima membabitkan kempen PRU15 di Johor melibatkan pelbagai kesalahan.

    Ditanya sama ada terdapat laporan polis mengenai dakwaan anggota tentera yang terbabit dengan pengundian di Bera, Pahang dan dibayar RM300, Hamzah berkata tiada laporan diterima mengenai hal itu.

    Berhubung, kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut dan PRU15, Hamzah berkata, PDRM akan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

    “Seramai 4,057 pegawai dan anggota polis dari 13 Daerah Kontinjen Johor ditugaskan bagi misi banjir dengan 134 aset PDRM sedia diatur gerak termasuk 29 bot, 40 buah lori dan 65 kenderaan pacuan empat roda.

    Manakala 8,526 pegawai dan anggota dikerah bagi penugasan PRU15 dan akan turut dibantu oleh Rela,” katanya.

  • PRU-15: BN tiru manifesto PN isu kerakyatan anak lahir luar negara-Hamzah

    PRU-15: BN tiru manifesto PN isu kerakyatan anak lahir luar negara-Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa Barisan Nasional (BN) meniru manifesto PN berhubung isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

    Hamzah menegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memasukkan isu ini dalam manifesto BN ketika menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

    “Dalam manifesto PN sudah ada tentang kerakyatan anak yang lahir di luar negara. Saya minta supaya PN masukkan perkara ini dalam manifesto.

    “Zahid sudah jadi Menteri KDN sudah lama sebelum ini, kenapa tidak pernah dimasukkan dalam manifesto BN sebelum ini?

    “Ini menunjukkan bahawa BN meniru manifesto PN dalam isu ini,” ujarnya.

    Hamzah juga menegaskan, sekiranya beliau kembali dilantik sebagai menteri dalam Kabinet kerajaan baharu selepas 19 November ini, isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara akan menjadi keutamaannya dan diselesaikan.

    “Saya sudah nyatakan sebelum ini, tangan saya terikat atas undang-undang sedia ada mengikut Perlembagaan negara.

    “Bukan saya tidak simpati kepada anak yang dilahirkan di luar negara, saya simpati tetapi saya tidak boleh lakukan lebih kerana terikat dengan undang-undang,” katanya lagi.

    Hamzah juga berharap agar semua gabungan lain yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 juga turut memberikan keutamaan kepada isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara.

  • PN sindir papan iklan Anwar di Tambun

    PN sindir papan iklan Anwar di Tambun

    Poster gergasi Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamit pandangan

    HANYA sehari selepas pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memasang poster gergasi memaparkan dirinya di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun, sepanduk besar dengan frasa ‘sizes not matter’ (saiz tidak penting) telah dipasang di atas jambatan di Jalan Tambun, Ipoh hari ini.

    Papan iklan terbaru yang dicetak ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) itu difahamkan telah dipasang lewat malam tadi dan menggantikan slogan ‘Dari Tambun Susur Keluar Ke Utara’ yang dipasang pada 6 November lalu.

    Satu lagi sepanduk dengan imej fiksyen raksasa kaiju terpampang di sebelah frasa’ ‘Ingatkan Godzilla, chor’ dengan tanda pagar slogan kegemaran Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ‘ayor bukan ayaq’ juga telah dipasang berhampiran Kompleks Lai Chee di Tambun.

    Ungkapan itu seakan mengejek kain rentang dua tingkat Anwar di jalan bertentangan, hanya 50m dari papan iklan PN.

    Sejak pengumuman Anwar pada 20 Oktober lalu bahawa dia akan bertanding di kerusi parlimen Tambun, beliau telah dihujani perang papan iklan dikatakan oleh saingannya Ahmad Faizal itu.

    Terdahulu, papan iklan dengan tulisan ‘Dari Tambun susur keluar ke Utara, 50m’ dipercayai dinaikkan oleh pasukan kempen PN.

    Kata-kata itu dilihat sebagai respons kepada papan tanda kempen Anwar dengan tulisan ‘Dari Tambun untuk Malaysia’ di Jalan Chemur/Jalan Meru Impian.

    Faizal dikatakan telah melancarkan sejumlah serangan yang boleh disifatkan agak kreatif.

    Sehari selepas pengumuman Anwar, Faizal ‘mengalu-alukan’ kehadiran Anwar dengan sindiran berkenaan sebutan ‘air’ dalam loghat Perak.

    “Di Tambun, kita sebut ayor – dengar betul-betul: ayor, bukan ayaq,” katanya.

    Sehari kemudian, papan iklan memaparkan Ahmad Faizal dan kata-kata ‘Ayor bukan Ayaq’ dinaikkan dekat Komplek Lai Chee, di Tambun.

    Anwar kemudian membalas dengan berkata dia bukan ‘orang luar’ kerana pernah tinggal selama sembilan tahun di Perak.

    Dia membangkitkan tempoh tujuh tahun belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar serta menjalani tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting selama dua tahun.

    Pada PRU lalu, Ahmad Faizal menang di kerusi Parlimen itu dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN yang juga penyandang Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria.

    Pada PRU kali ini, selain Ahmad Faizal dan Anwar, turut bertanding adalah Ketua Umno Tambun Aminuddin Md. Hanafiah yang mewakili BN dan Abdul Rahim Tahir dari Pejuang.

    This image has an empty alt attribute; its file name is 1817096.jpg
    Gambar media sosial menyindir papan iklan ‘gergasi’ Anwar
  • PRU15: Belum ada laporan polis dakwaan Anwar tentera dibayar undi awal, kata Hamzah

    PRU15: Belum ada laporan polis dakwaan Anwar tentera dibayar undi awal, kata Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan, sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anggota tentera dibayar RM300 untuk undi awal.

    “Sekiranya terdapat laporan dibuat, pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

    “Bila ada laporan polis, kami akan membenarkan PDRM menjalankan siasatan. Buat masa ini kami tidak menerima sebarang laporan polis untuk isu tersebut,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Taklimat Persediaan Banjir dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri, Muar, hari ini.

    Kelmarin, media melaporkan Anwar mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa anggota tentera berkenaan dibayar, selain menegaskan mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu.

    Berucap di majlis ramah mesra di Kuala Nerus, Terengganu, Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

    Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon PH untuk kawasan Parlimen Tambun di Perak berkata, dia menggesa SPR segera bertindak menyiasat kejadian tersebut.

  • Pendedahan Anifah buktikan Zahid mahu ketuai kerajaan – Wan Saiful

    Pendedahan Anifah buktikan Zahid mahu ketuai kerajaan – Wan Saiful

    PENDEDAHAN bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berhubung tawaran jawatan Kabinet didakwa membuktikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu mengetuai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana perkara itu jelas menunjukkan Presiden UMNO itu sedang mencatur susunan jemaah menteri dalam Kabinet.

    “Tindakan Ahmad Zahid menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri hanyalah lakonan untuk menipu rakyat Malaysia. Anggota Kabinet pun Ahmad Zahid yang hendak susun.

    “Saya yakin rakyat Malaysia sedar rancangan sulit Ahmad Zahid ini. Saya harap semua pengundi akan tolak Ahmad Zahid dan beri peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin negara melalui Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Bersatu.

    Terdahulu, media melaporkan, Anifah membuat kejutan apabila muncul dalam program Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah, semalam.

    Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu bukan sekadar hadir dalam Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Sepanggar malah, beliau secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri.

    Malah mendedahkan, beliau ada diminta oleh Ahmad Zahid untuk tidak bertanding di Parlimen Kimanis dan membantu calon-calon BN.

    Dedahnya, sebagai balasan, calon BN Parlimen Bagan Datuk itu menawarkan jawatan Menteri Luar dan Senator kepadanya.

    Bagaimanapun, katanya, bukan jawatan yang beliau kehendaki sebaliknya, beliau mahu agar tuntutan-tuntutan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan.

  • Hentikan kempen berbentuk ugutan – Ronald

    Hentikan kempen berbentuk ugutan – Ronald

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menggesa semua pihak menghentikan kempen berbentuk ugutan terhadap pengundi bagi meraih sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ronald berkata, ugutan itu juga turut ditujukan kepada ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan penjawat kerajaan yang secara jelas menyokong calon lawan selain BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    “Datuk Seri Bung Moktar Radin (Pengerusi BN Sabah) tidak berhak untuk memaksa pengundi Beluran dengan ugutan untuk menyokong atau mengundi calon pilihannya pada PRU-15 ini.

    “Perbuatan Bung Moktar ini juga menggugat sistem demokrasi berparlimen dengan menyekat hak pengundi untuk memilih wakil rakyat secara rela hati tanpa sebarang paksaan dan ugutan,” katanya pada program bersama pengundi di Kampung Pinagkau Paitan, Beluran, Sandakan, hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Bung Moktar yang dipetik menerusi sebuah laporan akhbar semalam yang menyatakan bahawa mana-mana pemimpin dalam GRS dan BN yang melawan arus kerana menyokong calon parti lain perlu disingkirkan.

    Menurut laporan Sinar Harian, Ronald yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu sepatutnya mengamalkan kempen secara sihat berlandaskan kepada undang-undang.

    Berhubung kenyataan Bung Moktar itu, Ronald berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disebabkan kenyataan tersebut dilihat berupa ugutan kepada pengundi Beluran pada PRU-15 ini.

    Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan mempertahankan kerusi Parlimen Beluran pada PRU-15 dengan bertanding atas tiket PN.

    Kerusi Parlimen Beluran menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan calon lain iaitu Rowiena Rasid daripada Parti Warisan (Warisan), Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mewakili Pakatan Harapan (PH).

  • Penyata laporan PN BEST disediakan jika bentuk kerajaan – Muhyiddin

    Penyata laporan PN BEST disediakan jika bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menyediakan penyata laporan bagi mencatat pencapaian dalam tawaran manifestonya yang dilaksanakan, jika berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tawaran PN PRU-15 Prihatin, Bersih dan Stabil bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan.

    “Setiap pencapaian yang tertulis pada tawaran itu akan dicatat dan dikemukakan dalam bentuk penyata laporan sebagai bukti setiap apa yang dijanji dilaksana sepanjang tempoh pemerintahan.

    “Tawaran PN PRU15 Prihatin, Bersih dan Stabil bersifat realistik dan akan dilaksanakan menerusi pelbagai program pembangunan yang sudah pasti dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat.

    “Insya-Allah tidak ada seorang pun yang ketinggalan dalam menikmati hasil kemakmuran negara,” kata Muhyiddin dalam catatan Facebook hari ini.

    Untuk rekod Perikatan Nasional juga akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai pakar bagi memantau segala pelaksanaan inisiatif yang ditawarkan itu.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menceritakan siri jelajahnya di Batu Pahat semalam yang turut memperkenalkan empat calon PN bertanding PRU-15 iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr. Abdul Karim Deraman ( Parit Sulong); Mohd Fazrul Kamat ( Simpang Renggam) dan Zanariyah Abdul Hamid calon Parlimen Sri Gading.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau dapat merasakan sudah ada gelombang kebangkitan rakyat untuk memilih pemimpin berkelayakan bagi menjunjung amanah dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat berbilang kaum.

    Menurutnya, kesemua calon ditampilkan PN juga amat berpengalaman serta pakar dalam bidang masing-masing.

    “Saya menegaskan semua calon ini amat berpengalaman serta pakar dalam bidang masing-masing dan ini sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk membawa suara rakyat ke Parlimen nanti,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut mengulangi gesaannya agar pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi Sabtu ini bagi memilih parti politik yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan.

    “Setiap ibu bapa bertanggungjawab membimbing anak-anak mereka memilih pemimpin yang amanah yang dapat menggalas tugas demi pembangunan ummah,” tambahnya.