Category: Semasa

  • Pengundi positif Covid-19 diasingkan, proses mengundi dicepatkan – SPR

    Pengundi positif Covid-19 diasingkan, proses mengundi dicepatkan – SPR

    INDIVIDU positif COVID-19 yang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  akan diasingkan daripada pengundi lain bagi mengelak risiko penularan.

    Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  Dr Azmi Sharom berkata selain itu SPR juga akan memastikan proses mengundi bagi pengundi positif COVID-19 di pusat pengundian di seluruh negara, akan dilakukan dengan cepat.

    Beliau berkata mereka yang positif perlu memaklumkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan mengenai status kesihatan sebelum hadir ke pusat mengundi. 

    “Mereka (KKM) akan asingkan pengundi positif dan anda akan undi dengan cepat dan kita juga akan asingkan anda daripada pengundi lain,” katanya mengulas mengenai proses mengundi untuk individu positif COVID-19 pada hari undi awal hari ini dan pengundian PRU15 pada 19 Nov.

    Beliau yang ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini berkata proses undi awal di tempat itu berjalan dengan lancar.

    “Semua nampak berjalan lancar jadi ia petanda yang baik, ramai orang keluar, kita akan buka (pusat undi awal) sampai pukul 5 petang…harap semua akan ok,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata seorang anggotanya disahkan positif COVID-19 dan telah diarahkan mengundi pada sebelah petang. 

    “Kita telah jelaskan untuk datang petang kerana kalau waktu pagi agak sesak,” katanya menambah proses undi awal di IPD Putrajaya ketika ini berjalan lancar.

    Seramai 1,386 pengundi awal Parlimen Putrajaya terdiri daripada anggota polis dan tentera menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat pengundian di IPD Putrajaya dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di sini bermula 8 pagi hari ini.

    Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada PRU15 wajib memakai pelitup muka manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

    Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pengundi positif COVID-19, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk perkhidmatan e-hailing. – BERNAMA

  • UMNO sudah ‘tua’, pengundi Bagan Datuk perlu ‘hidangan segar’, kata calon PN

    UMNO sudah ‘tua’, pengundi Bagan Datuk perlu ‘hidangan segar’, kata calon PN

    BAGAN Datuk memerlukan perubahan yang lebih segar mahupun datang daripada pihak luar atau parti baharu, kata calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Faiz Na’aman.

    Bagan Datuk sudah enam penggal diterajui Barisan Nasional (BN) bawah kepimpinan calon tempatan, iaitu Presiden UMNO, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi, justeru sudah tiba masanya pengundi memberi kepercayaan kepada ‘orang luar’ untuk membuat perubahan, menurut Faiz.

    “Kadang-kadang perubahan itu perlu dilakukan oleh pihak luar seperti mana dalam sirah, apabila golongan Muhajirin berhijrah daripada Mekah ke Madinah, buat perubahan jadi sebuah negara Islam dan kerajaan yang berkembang luas.

    “Jadi saya mengambil semangat itu, umpamanya saya patut menawarkan prinsip dan dasar untuk berubah ke arah kebaikan kepada Bagan Datuk,” katanya dalam satu temu bual khas lapor FMT.

    Menurutnya, parti seperti UMNO meskipun telah bertapak lebih 60 tahun, namun belum tentu ia semakin kukuh kerana apabila jelas ia mudah rapuh dengan wujudnya pelbagai masalah dalaman.

    Justeru, kata Faiz, pengundi perlu berani mencuba pimpinan baharu seperti Perikatan Nasional (PN) yang menawarkan perubahan serta penyelesaian, bukan sekadar menabur janji manis.

    “Sesuatu yang sebegitu tua dan lama seperti UMNO, akan datangkan masalah. Adakalanya bila sudah terlampau membesar, ia mudah rapuh dan berpecah sesama sendiri.

    “Sebolehnya kita memahami dan menghayati apa sebenarnya denyut nadi warga biasa, orang kampung dan orang muda di Bagan Datuk ini, supaya mereka boleh pergi jauh,” katanya.

    Bercakap mengenai situasi persaingan dengan calon lain, Faiz mengakui bukan mudah menjalankan kempennya kerana turut berdepan Shamsul Iskandar Md Akin daripada PH, yang digelar ‘giant killer’.

    Setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri, katanya, justeru dalam kempennya, beliau hanya memfokuskan kepada tawaran kepada penduduk dan mengelak daripada membuat sebarang serangan peribadi terhadap calon lain.

    “Saya gunakan pendekatan yang lebih berhemah, sebab itu kalau kita tengok sejak hari penamaan calon, kalau kami bertembung dengan penyokong UMNO, perasaan saling menghormati itu ada.

    “Kita mencari ruang membuat kempen berdasarkan tawaran, bukan lagi setakat bertembung sahaja,” tambahnya.

    Di Parlimen Bagan Datuk, selain Shamsul, Faiz turut berdepan penyandang lima penggal Ahmad Zahid Hamidi (BN) dan calon bebas Tawfik Ismail, sebelum ini bekas ADUN Sungai Benut.

  • Hadi: Bukan Islam nikmati perpaduan, kestabilan di bawah pentadbiran Pas

    Hadi: Bukan Islam nikmati perpaduan, kestabilan di bawah pentadbiran Pas

    PERPADUAN dan kestabilan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam yang dinikmati terutama di negeri yang berada di bawah pentadbiran Pas ketika ini, membuktikan parti itu tidak mengabaikan kaum lain.

    Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata justeru masyarakat bukan Islam seharusnya tidak berasa takut sekiranya negara pada masa akan datang terus ditadbir oleh pemimpin Islam.

    Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata ini kerana Islam seperti yang dibawa Pas mengajar adab supaya menyantuni dan menjaga hubungan kemanusiaan bagi mengelak pelbagai permasalahan timbul.

    “Negeri yang kita perintah, Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak ada salah laku masa PN memerintah. Kestabilan dan perpaduan juga wujud dengan baik, ini nyata, keluarga Cina dan India boleh hidup di kampung orang Islam,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sempena siri jelajahnya ke Negeri Sembilan yang turut dihadiri Penasihat PN negeri Tan Sri Dr Rais Yatim di Port Dickson, malam tadi.

  • Hamzah dedah Tok Mat jumpa di kediaman untuk ‘minta tolong’

    Hamzah dedah Tok Mat jumpa di kediaman untuk ‘minta tolong’

    MENTERI Dalam Negeri,Datuk Seri Hamzah Zainudin mendedahkan Datuk Seri Mohamad Hasan sanggup berjumpa di kediamannya ‘meminta tolong’, pada April 2019, sebagai reaksi kenyataan timbalan presiden UMNO itu mengkritik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), baru-baru ini, kerana ‘berlagak suci’.

    Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu, bagaimanapun mencetuskan ‘misteri’ kerana enggan mengulas lanjut mengenai permohonan Mohamad kepadanya, dan mahu wartawan sendiri mengajukan persoalan berkenaan kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

    “Kalau dia kata PN (Bersatu) ini berlagak bersih, saya nak maklumkan kepada Tok Mat Hasan, soalan ini saya minta wartawan juga tanya kan benda ini (kepada Mohamad), ada tak bulan April 2019 ,Tok Mat Hassan datang rumah saya datang minta tolong?

    “Itu sahaja soalannya supaya dia boleh jawab… saya tak mahu timbulkan perkara yang bukan-bukan,” katanya pada sidang media selepas menziarahi Kampung Sungai Rambutan, Selama, di Larut, malam tadi.

    Semalam, Mohamad memberi amaran kepada Bersatu supaya tidak ‘berlagak suci’ memandangkan parti itu bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) menipu rakyat, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) itu, berkata rakyat perlu menilai kembali ‘dosa-dosa’ Bersatu dalam gabungan itu walaupun parti berkenaan kini bersama Perikatan Nasional (PN).

    “Bersatu terlibat merangka manifesto yang tidak ditepati tetapi orang lupa tentang itu kerana mereka sudah keluar daripada PH. Bersatu jangan ingat mereka tiada dosa dan sekarang apabila masuk PN berlagak suci pula,” kata Mohamad.

    Mengenai dakwaan Nga Kor Ming negara akan menjadi ‘taliban’ sekiranya PN berkuasa, Hamzah berkata, ketua DAP Perak itu sebagai ‘cetek pemikiran’.

    Malah, beliau tidak akan teragak-agak membuat laporan polis sekiranya kenyataan itu mencetuskan rusuhan kaum.

    “Saya rasa dia seorang yang cetek pemikirannya, kerana dia hanya membakar semangat kumpulan-kumpulan tertentu nak menakut-nakutkan golongan tertentu.

    “(Sekiranya) ada perkara-perkara yang membabitkan rusuhan atas sifat beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya akan buat laporan polis dan saya minta supaya polis mengambil tindakan,” katanya lapor FMT.

    Nga semalam mendakwa dasar ‘pelampau’ yang diketengah Pas mengenai perjudian, arak, konsert dan pengasingan lelaki dan wanita sememangnya mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.

    Katanya, dasar berkenaan akan ‘menceroboh’ kebebasan orang bukan Islam serta membawa kepada penghijrahan pelabur asing yang secara langsung memberi kesan kepada ekonomi.

  • Sambutan pengundi baharu cukup baik di Gombak – Azmin

    Sambutan pengundi baharu cukup baik di Gombak – Azmin

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu mendapat sambutan yang amat baik walaupun dengan tambahan seramai 70,000 pengundi baharu.

    Katanya, mendekati pengundi baharu agak mencabar namun menerima sokongan yang baik daripada mereka setelah beliau sedaya upaya memberi khidmat bakti yang terbaik di Gombak.

    “Alhamdulillah saya lihat sambutan cukup baik, memandangkan kehadiran saya di Gombak ini telah saya cuba sedaya upaya saya, untuk memberikan khidmat bakti yang terbaik.

    “Bukan sahaja pembangunan infrastruktur, tetapi saya akan membentuk Gombak sebagai kawasan yang maju,” katanya ketika ditemui pemberita  di Himpunan Rakyat PN Best di Taman Keramat, Kuala Lumpur, malam tadi.

    Dalam pada itu jelasnya, selain membangunkan infrastruktur dan prasarana yang menjana ekonomi, peluang pekerjaan yang berkualiti bagi anak muda di Gombak akan terus menjadi keutamaannya.

    “Ini penting bukan sahaja sekolah, perumahan, masjid tetapi juga peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak muda di Gombak dan pekerjaan yang berkualiti supaya mereka dapat menjamin masa depan yang lebih baik untuk keluarga mereka,” katanya lagi.

    Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN merupakan penyandang bagi kerusi Parlimen Gombak yang dimenanginya pada PRU-14 lalu, dengan majoriti 48,721 undi.

    Beliau berdepan saingan lima penjuru dalam usaha beliau mempertahankan Parlimen Gombak.

  • Anwar tidak boleh mendabik dada kata dia dapat sokongan besar – Muhyiddin

    Anwar tidak boleh mendabik dada kata dia dapat sokongan besar – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh mendabik dada mendakwa Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan yang besar.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang lebih penting adalah menyerahkan kepada pengundi untuk membuat pertimbangan bijaksana di hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    “Takpelah, dalam keadaan sekarang dia boleh kata begitu, tapi kita ada 5 hari lagi. Dia tak boleh mendabik dada kata dia dapat sokongan besar. 

    “Saya pun boleh kata begitu. Tapi yang penting kita nak serahkan kepada pengundi membuat pertimbangan bijaksana,” katanya ketika ditemui pemberita di Himpunan Rakyat PN Best di Taman Keramat, Kuala Lumpur, malam tadi.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH itu yang mendakwa gabungan parti diketuainya bakal memenangi 112 kerusi untuk mendapat majoriti mudah dan membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU-15.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga mendakwa, kepimpinan PH hanya mementingkan jawatan, namun beliau lebih memikirkan perkhidmatan yang mampu ditawarkan kepada rakyat setelah membentuk kerajaan.

    “Saya dah jelaskan, apa yang kita tawarkan dan perjuangkan. Yang belah sana (PH) tidak sebut apa pun, bagi dia tidak penting, bagi dia jawatan sahaja.

    “Bagi saya bukan jawatan tetapi perkhidmatan yang kita boleh tawarkan kepada negara, untuk balik dalam keadaan yang lebih baik,” tegasnya.

  • Solidariti PN: Penyokong berhujan, pemimpin pun berhujan

    Solidariti PN: Penyokong berhujan, pemimpin pun berhujan

    Biar basah kuyup akibat hujan lebat, pemimpin-pemimpin kanan Perikatan Nasional serta calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terus berdiri memberi ucapan di atas pentas separuh terbuka, sambil menolak diberikan payung.

    Semua itu dilakukan untuk menghargai ratusan penduduk dan penyokong Perikatan Nasional, terutama anak muda, yang tidak berganjak dari tempat masing-masing biar pun hujan lebat ketika ceramah mega Perikatan Nasional di Taman Keramat di dalam kawasan Parlimen Gombak, malam tadi.

    Ini termasuk Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi penghormatan kepada penyokong parti itu kerana sanggup berhujan untuk kekal mendengar ucapan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional.

    “Inilah hujan rahmat. Saya dapat lihat anda semua tidak berganjak, walaupun dilanda ribut, untuk memastikan kemenangan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 ini,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Orang ramai membanjiri ceramah PN-BEST di Taman Keramat, Kuala Lumpur walaupun hujan lebat membasahi bumi

    Ketika memberi ucapan, Muhyiddin juga menolak payung yang ditawarkan kepadanya, mengatakan dia mahu berdiri bersama-sama dengan orang ramai.

    Terdahulu, hujan renyai bertukar lebat ketika beberapa pemimpin Perikatan Nasional dan calon, mula berucap kira-kira jam 8 malam.

    Melihat kepada penyokong yang tidak berganjak, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga tidak menggunakan payung ketika hujan semakin lebat dan memberikan ucapan di atas pentas terbuka.

    Antara pemimpin lain termasuk Menteri Kanan Pendidikan kerajaan sementara yang juga Naib Presiden Bersatu dan calon Perikatan Nasional Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin. Walaupun, ketika ucapannya hujan paling lebat, namun beliau juga tidak berganjak dan tetap bersama orang ramai.

    Pemimpin lain yang turut berucap ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga calon Perikatan Nasional kerusi Parlimen Gombak; dan calon Perikatan Nasional Parlimen Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaluddin.

  • Terus bersemangat tingkatkan trend peningkatan gelombang sokongan kepada PN – Muhyiddin

    Terus bersemangat tingkatkan trend peningkatan gelombang sokongan kepada PN – Muhyiddin

    JENTERA pilihan raya Perikatan Nasional (PN) diminta terus memperhebatkan kempen bagi meneruskan trend peningkatan gelombang sokongan rakyat kepada parti itu di seluruh negara.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gelombang untuk membawa kemenangan kepada PN nampak jelas dan nyata, bukan sahaja di Shah Alam tetapi seluruh negara.

    “Peningkatan sokongan dalam kalangan orang Melayu meningkat mendadak.

    “Kalau dalam tempoh empat hari ini kita naik sokongan kepada kita sehingga kepada 60 peratus ke 70 peratus, yang tidak jauh sebenarnya, Insya-Allah negara kita akan ditadbir PN dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

    Presiden Bersatu itu berkata demikian ketika berucap di program Ceramah Kelompok Calon PN Parlimen Shah Alam di Flat PKNS Seksyen 18, Shah Alam malam ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut berharap semangat jentera parti tidak luntur dan kekal bersemangat sehingga hari pengundian.

    “Maksud saya tadi semangat kiita jangan luntur sehingga ke saat akhir. Yang paling penting 19 November ini kita keluar beramai-ramai dan pastikan jumlah pengundi Shah Alam harus mencecah 90 peratus,” katanya.

  • PRU15: ‘Saya faham politik Sabah dengan baik’ – Muhyiddin

    PRU15: ‘Saya faham politik Sabah dengan baik’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan bahahawa beliau memahami politik Sabah dengan baik kerana beliau telahpun berkecimpung dengan politik negeri itu lebih 40 tahun.

    Oleh sebab itu beliau berkata, dia amat memahami sensitiviti dan perbezaan rakyat Sabah dengan baik.

    “Untuk mengatakan saya tigak memahami politik Sabah itu tidak betul juga. Ketika saya Perdana Menteri, saya tubuhkan sebuah kementerian khas untuk Sabah dan Sarawak dan menangani isu utama yang memenuhi keperluan di bawah MA63 (Perjanjian Malaysia 1963),” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Kuala Lumpur hari ini.

    Muhyiddin mengulas laporan media mengenai kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor yang menolak pandangan Muhyiddin mengenai pembahagian kerusi di Beluran dan berkata bahawa politik di Sabah sedikit berbeza dan unik.

    Sementara itu ketika mempertahankan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee yang bertanding di Parlimen Beluran di bawah tiket PN, Muhyiddin berkata keputusan itu adalah adil dan munasabah.

    “Kita perlu menyelamatkan beliau (Ronald) daripada semua layanan yang beliau terima di Sabah dengan menawarkan beliau tiket PN dan beri beliau peluang untuk bertanding. Saya rasa saya bertindak dengan adil dan munasabah untuk mempertahankan bukan sahaja kedudukan Ronald, tetapi juga kedudukan PN,” katanya.

    Ronald digugurkan daripada barisan calon GRS yang dikemukakan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dalam usaha untuk mempertahankan kerusi Beluran, beliau yang merupakan penyandang kerusi tersebut di bawah PN, dicabar empat calon lain iaitu Benedict Asmat (BN), Rowiena Rasid (Warisan), Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang (PH).

    GRS yang terdiri daripada Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan USNO, bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negeri itu; bagaimanapun, Bersatu, STAR dan SAPP, bersama PAS dan Gerakan, merupakan parti komponen yang membentuk gabungan PN. – Bernama

  • Bekas pengurus besar PPNT dipenjara, denda RM1.54 juta

    Bekas pengurus besar PPNT dipenjara, denda RM1.54 juta

    BEKAS Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) dipenjara lima tahun dan didenda RM1.54 juta di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini kerana salah guna kuasa membabitkan pembekalan pejantan dan induk bebiri bagi projek PPNT bernilai RM303,546.

    Che Sa’adon Che Yahya, 58, turut berdepan hukuman penjara dua tahun lagi bagi setiap pertuduhan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

    Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas tertuduh didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dengan memilih Syarikat Arcana Jaya Enterprise bagi membuat pembekalan dan menghantar pejantan dan induk bebiri berjumlah RM107,050.

    Tertuduh yang juga Ahli Lembaga Pengarah Gapets Sdn Bhd mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan yang juga milik anaknya.

    Tertuduh sekali lagi didakwa menggunakan jawatannya dengan memilih syarikat sama bagi membekalkan perkara sama untuk projek berjumlah RM196,496.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Gapets di Kuala Terengganu pada 1 November dan 4 Disember 2016.

    Tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM540,000 bagi pertuduhan pertama manakala hukuman penjara lima tahun dan didenda RM1 juta bagi pertuduhan kedua.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Pegawai Pendakwa Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Zul Basyar Saharrudin dan Mohd Zul Azhan.