Category: Semasa

  • PRU-15: Harap magis anak tempatan pikat pengundi Kluang

    PRU-15: Harap magis anak tempatan pikat pengundi Kluang

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kluang, Dzulkarnain Elias mengharapkan kelebihannya sebagai anak tempatan dapat menarik pengundi untuk memilihnya sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Beliau berkata, sebagai anak jati yang telah mengenali setiap ceruk bandar Kluang, Johor, sejak lebih 40 tahun sudah pasti memahami denyut nadi dan kehendak masyarakat bandar itu.

    Tambahnya, untuk merealisasikan impian orang Kluang, 10 aku janji dibawakan sebagai tawaran kepada pengundi untuk balasan kepada sokongan yang diberikan sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen di Kluang.

    “Antara aku janji saya kepada masyarakat Kluang adalah memperkasakan sektor pendidikan, pendidikan awal kanak-kanak, sektor ekonomi rakyat terutama golongan belia dan wanita.

    “Sebagai pemimpin yang amanah, berintegriti dan bertanggungjawab saya juga akan memastikan pengurusan bencana banjir dengan lebih efektif khususnya di Kampung Bentung Dalam serta Kampung Bentung Luar,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu beliau berkata, bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat serta peniaga kecil di Kluang, satu usaha untuk menaikkan sektor pelancongan dengan menaik taraf infrastruktur dan mempromosikan Gunung Lambak perlu dilakukan.

    Katanya, tidak cukup dengan itu, usaha menaik taraf serta membina fasiliti sukan yang baharu bagi membolehkan bintang berbakat dalam kegiatan sukan mampu diterjemahkan.

    “Saya juga akan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan ambulan serta van jenazah percum akepada golongan masyarakat yang memerlukan.

    “Jika dilihat sejak akhir-akhir ini, rakyat secara hakikatnya lebih gemar untuk menemui sendiri wakil rakyat mereka untuk meluahkan apa yang inginkan dan oleh yang mereka hadapi,” katanya.

    Jelasnya, secara hakikatnya banyak lagi pembaharuan ingin dibawa ke Parlimen Kluang bagi membolehkan rakyatnya mendapat manfaat hasil daripada usahanya sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat di Parlimen itu.

    “Semua aku janji ini secara realistiknya boleh dilakukan dan ianya bukan janji kosong seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak sebelum ini,” katanya.

  • PN yakin menang di Tasek Gelugor, namun enggan berasa selesa

    PN yakin menang di Tasek Gelugor, namun enggan berasa selesa

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin dapat memenangi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun enggan terus berasa selesa.

    Calonnya yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keyakinan itu berdasarkan kajian sikap yang dilaksanakan jentera parti PN sejak tiga minggu lalu di Tasek Gelugor yang menunjukkan peningkatan peratusan positif terhadap PN berbanding parti-parti lain yang bertanding.

    Jelasnya, meskipun tidak dapat berkongsi hasil kajian itu dengan lebih terperinci kerana melibatkan strategi parti, namun ini merupakan perkembangan yang baik buat PN sekali gus diharapkan dapat diterjemahkan ke peti undi pada Sabtu ini.

    Menjelaskan lebih lanjut, Wan Saiful berkata, hasil kajian itu juga mendapati sokongan pengundi Tasek Gelugor terhadap PN tersebut disebabkan keinginan rakyat untuk melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menjadi Perdana Menteri.

    “Ini juga bertepatan dengan banyak kajian lain di seluruh negara yang mana mendapati Muhyiddin adalah calon Perdana Menteri paling popular,” katanya dalam sidang akhbar di bilik gerakan PN Tasek Gelugor, hari ini.

    Menurut Wan Saiful, sokongan kepada PN itu juga disebabkan rakyat menolak sebarang usaha kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menguasai Putrajaya.

    “Ada dakwaan bahawa Anwar dan Zahid pernah berbincang beberapa kali untuk menubuhkan kerajaan dan ini memberi kesan kepada pengundi di Tasek Gelugor yang tidak mahu BN membawa PH naik ke Putrajaya,” katanya.

    Selain itu tambah beliau, pengundi di Tasek Gelugor juga menolak taktik kotor UMNO dan BN ketika berkempen yang menyerang beliau secara peribadi dalam beberapa hal yang tidak berasas.

    “Sebaliknya, pengundi lebih selesa dengan strategi PN kerana PN adalah satu-satunya gabungan yang stabil di Tasek Gelugor.

    “Mereka lebih selesa dengan strategi kempen yang positif berbanding strategi serangan peribadi yang digunakan oleh UMNO,” katanya.

    Wan Saiful bertanding merebut Kerusi Parlimen Tasek Gelugor itu dalam persaingan lima penjuru dengan empat lagi calon iaitu Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor (BN); Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH); Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).

  • Yang kaya Anwar, sampai tak mahu ambil gaji jika jadi PM – Wan Saiful

    Yang kaya Anwar, sampai tak mahu ambil gaji jika jadi PM – Wan Saiful

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menolak dakwaan kononnya parti itu sebuah parti politik yang kaya di Malaysia seperti dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sebaliknya, Wan Saiful yang juga calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tasek Gelugor berkata, dakwaan itu sepatutnya ditujukan kepada Anwar sendiri memandangkan beliau pernah mengakui tidak akan mengambil gaji sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Saya tak baca komen (dakwaan Anwar) itu sepenuhnya, tapi saya rasa kalau kita tengok betul-betul yang kaya-raya itu adalah Anwar, sampai tak mahu ambil gaji sebagai Perdana Menteri.

    “Jadi yang ada kemampuan tolak gaji ini semestinya kaya, cuba dia (Anwar) cerita sikit, dia dapat harta dari mana sebelum tuduh orang,” katanya dalam ketika sidang akhbar di bilik gerakan PN Tasek Gelugor hari ini.

    Wan Saiful diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa PN sebuah parti kaya berikutan ‘dikurniakan’ projek bernilai berbilion ringgit dalam tempoh pandemik Covid-19.

    Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu mencabar Anwar untuk menunjukkan penyata kewangan partinya selepas menuduh PN sebagai parti politik terkaya ketika ini.

    Muhyiddin turut mencabar Anwar mengemukakan bukti berkenaan dakwaan tersebut.

    Dalam kenyataan balas semalam, Anwar menegaskan beliau bersedia mendedahkan penyata kewangan parti seperti dicabar Muhyiddin sekiranya Pengerusi PN itu juga tampil mendedahkan penyata kewangan gabungan parti itu.

  • PN beri tumpuan isu miskin tegar, kesihatan

    PN beri tumpuan isu miskin tegar, kesihatan

    PERIKATAN Nasional (PN) membuktikan keprihatinan sebuah kerajaan dengan memberi tumpuan kepada isu-isu terutama berkait dengan kesihatan dan kelangsungan hidup rakyatnya.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya PN menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini, isu kemiskinan akan diberi tumpuan dengan penubuhan MyPrihatin yang mampu mengesan golongan tersebut dalam masa singkat.

    “Kita akan tubuhkan myprihatin iaitu sebuah agensi sehenti dan pangkalan data tunggal untuk menguruskan penyaluran bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

    “Kita nak wujudkan satu sistem pangkalan. Maknanya kalaulah di Pasir Gudang, ada orang miskin dan ramai pula yang terjatuh dalam kumpulan miskin dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan, sistem ini akan kesan mereka.

    “Dalam tempoh yang dekat, mungkin cepat tak sampai sebulan mereka akan dapat (bantuan sewajarnya). Kita berikan bantuan (segera) kerana orang yang berhadapan masalah hidupnya daif, tak boleh tunggu walau sehari pun,” katanya ketika siri Jelajah Perikatan Nasional Best Daerah Johor Bahru, di Pasir Gudang, malam tadi.

    Selain itu katanya, PN juga akan menyediakan kad prihatin nasional yang memberi ruang kepada rakyat mendapat rawatan secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan.

    “Ada waktu tertentu kita ini terganggu kesihatannya. Saya kena kanser, Alhamdulillah dah empat tahun doktor buat ‘scan’ doktor kata saya sudah bebas daripada kanser. Alhamdulillah.

    “Ramai dalam kalangan kita hari ini ada darah tinggi, darah rendah, kencing manis macam-macam masalah. Jadi semua orang memerlukan rawatan kesihatan. Saya janji kalau kerajaan PN menang, kita akan wujudkan kad prihatin nasional untuk memberikan akses kepada perkhidmatan kesihatan terpilih secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan,” katanya lapor Agendadaily.

    Memahami denyut nadi rakyat yang kesempitan hidup, PN juga akan menyediakan perkhidmatan bas dan pusat penjagaan kanak-kanak secara percuma kepada kumpulan miskin serta miskin tegar.

    “Kalau mereka ada anak ke sekolah, kita sediakan bas, jadi kurang belanja ibu bapa. Kita juga sediakan pusat penjagaan kanak-kanak kerana ibunya bekerja (maka anaknya) boleh diletakkan di situ (pusat jagaan).

    “Ini kerajaan akan bina dan kita akan jemput pihak swasta juga untuk (sama-sama) membina,” katanya.

  • PRU-15:Muhyiddin tidak mahu negara jatuh ke tangan pihak rakus kuasa

    PRU-15:Muhyiddin tidak mahu negara jatuh ke tangan pihak rakus kuasa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan, beliau tidak sanggup melihat negara ini jatuh ke tangan mereka yang rakus kuasa sehingga menjadikan keadaan negara ini semakin teruk.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tanpa berselindung berkata, tidak rela negara jatuh kepada Pakatan Harapan (PH) kerana sebelum ini gabungan itu banyak membawa mudarat terutama kepada orang Melayu.

    “Ini bukan kerana saya tidak suka kepada sesiapa tetapi dasar mereka. Banyak bukti selama (PH) berkuasa selama 22 bulan, saya berada dalam (kerajaan PH pada masa itu), tekanan dan angkara perbuatan jahat (dilakukan Kabinet PH terutama terhadap hak orang Melayu).

    “Saya sudah berpuluh tahun dalam Kabinet tetapi paling teruk ialah pada jemaah (menteri) PH, sebab itu saya tinggalkan, mereka kata saya pengkhianat, saya lebih rela (dipanggil demikian) daripada menjadi pengkhianat kepada orang Melayu.

    “Tidak apalah, saya lebih rela (digelar pengkhianat) daripada bersubahat dan bersekongkol dengan niat tidak baik terhadap orang Melayu,” katanya ketika berucap dalam Program Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Dewan Masyarakat Cina Bukit Pasir, Muar, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat terutama pengundi supaya memilih PN agar negara selamat selain akan memperoleh kerajaan yang adil dan saksama selain memberi perhatian terhadap nasib orang Melayu dan bumiputera.

    Perhatian yang PN berikan katanya, adalah termasuk dalam tawaran manifesto gabungan itu yang bertemakan Tawaran PN Best iaitu akan membantu golongan peniaga Melayu dan bumiputera dalam perniagaan mereka.

    Tujuannya kata bekas Perdana Menteri itu, bagi membolehkan Melayu dan bumiputera dapat meningkatkan penguasaan ekonomi negara dengan lebih baik berbanding hari ini.

    “Dulu ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) kita nak tingkat penguasaan ekonomi Melayu sehingga 30 peratus daripada kekayaan negara. Di peringkat awal banyak usaha dibuat dalam pelbagai bentuk untuk membantu orang Melayu berniaga, jadi meningkatlah sedikit lebih kurang 20 peratus.

    “Selepas tempoh 20 tahun (DEB) selesai, kadar penguasaan ekonomi Melayu semakin mengecil dan mengcut, tidak sampai 15 atau 20 peratus. Semakin kek ekonomi negara membesar, semakin kecil penguasaan ekonomi Melayu daripada segi peratusannya,” katanya.

    Justeru ujarnya, adalah perlu untuk orang Melayu dan bumiputera dapat kuasai ekonomi secara lebih adil selepas ini.

  • Calon PH kerusi Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia

    Calon PH kerusi Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia

    CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia, dua hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Mendiang Karupaiya mengembuskan nafas terakhir di Hospital Kulim, pukul 2.20 petang ini.

    Pemergian mendiang disahkan oleh anak perempuan beliau, Dippah ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

    Difahamkan mendiang dimasukkan ke hospital malam tadi selepas mengadu sakit perut, namun setakat ini punca sebenar kematian masih belum diketahui.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Karupaiya menang bergaya dengan majoriti 8,813 undi.

    Mendiang, yang merupakan ahli PKR memenangi kerusi itu pada PRU 2018 selepas menewaskan Leong Yong Kong dari MCA dan Muhammad Sobri Osman dari Pas.

    Pada PRU-15, kerusi P017 Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk Karupaiya selaku penyandang serta calon dari Pejuang, BN, PN, Warisan dan Bebas.

  • UMNO, BN kini bukan ancaman kepada PN untuk menang PRU-Muhyiddin

    UMNO, BN kini bukan ancaman kepada PN untuk menang PRU-Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekarang ini bukan lagi ancaman kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menang dan membentuk kerajaan Prihatin, Bersih dan Stabil, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjelaskan, UMNO dan BN kini telah hancur, tatkala gelombang sokongan rakyat kepada PN dari Utara hingga Selatan tanah air, semakin membesar.

    “UMNO kini bukan ancaman lagi… UMNO dan BN telah hancur akibat dirosakkan sendiri oleh Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan Pengerusi BN), selain telah membawa masalah kepada negara rakyat.

    “Saya pernah berada dalam UMNO dan BN sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Pengerusi. Saya tahu keadaan dulu dan sekarang. UMNO dan BN kini telah dikeronyok oleh Zahid,” katanya.

    Calon PN kerusi Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Jelajah PN Best di Sierra Perdana di Pasir Gudang, malam tadi.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata Pakatan Harapan (PH) juga menghadapi isu kepercayaan dalam kalangan rakyat, apabila tidak menepati janji dibuat selepas menang PRU-14 pada 2018 lalu.

    ‘Tugas saya belum selesai’

    Muhyiddin juga berpendapat tindakan menjatuhkannya daripada jawatan Perdana Menteri tahun lalu tidak sepatutnya dilakukan, tatkala kerajaan PN berusaha untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

    Bagaimanapun, Muhyiddin tetap bersyukur kerana hasil usaha keras beliau bersama Jemaah Menteri Kerajaan PN, Malaysia kini hampir bebas daripada pandemik Covid-19 apabila telah memasuki fasa endemik.

    “Allah mengangkat saya ke satu harakah yang tinggi sebagai Perdana Menteri tatkala Covid-19 mula merebak di seluruh dunia. Dalam keadaan semua pakar di seluruh dunia masih tidak tahu apakah jenis penyakit yang melanda ketika itu.

    “Kerajaan Perikatan Nasional terpaksa bergelut dengan wabak penyakit itu. PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat setelah mengetahui wabak itu boleh membawa maut.

    “Malangnya ketika itulah UMNO, terutama Kluster Mahkamah, dan BN dengan kerjasama PH, memusnahkan usaha mengurus negara dengan lebih baik. Tindakan itu menunjukkan mereka langsung tidak memikirkan soal nasib rakyat, sebaliknya mementingkan kuasa dan politik mereka sahaja,” katanya lapor Agendadaily.

    Muhyiddin berkata beliau terpaksa meletak jawatan dalam keadaan tugasnya yang belum selesai.

    “Tugas saya belum selesai dan saya akan selesaikan selepas Perikatan Nasional diberi mandat dalam PRU-15 Sabtu ini… untuk kembali duduk di kerusi Perdana Menteri.

    “Nanti kalau saya cakap begini ada orang kata Muhyiddin berangan-angan… berangan-angan apa? Saya pernah menjadi Perdana Menteri… yang di sebelah sana itu yang berangan-angan… sampai sekarang pun tak jadi Perdana Menteri… PM tepi saja… cermin muka dulu,” katanya merujuk kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sehubungan itu, Muhyiddin berkata kerajaan yang perlu dibentuk selepas 19 November ini mestilah Kerajaan Perikatan Nasional yang bersih daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    Terbaharu, Muhyiddin berpesan kepada anak muda untuk terus memberi sokongan kepada Perikatan Nasional jika mahu melihat beliau memimpin negara selepas PRU-15 ini.

    “Tapi ingat, kalau nak tengok Abah kembali ke Putrajaya, pakat ramai-ramai undi Perikatan Nasional. Menangkan calon-calon Perikatan Nasional di kawasan anda.

    “Pesan kat mak, ayah, abang, adik, kakak, jiran, kawan-kawan semua, kali ini undi Perikatan Nasional. Keluar dan undi awal-awal lagi. Ingat janji kita, 19 November undi Perikatan Nasional.

    “Do what is right. Gemakan suara anak muda! Come on guys, lets go! PN BEST,” katanya.

  • PRU-15: Syarat kempen sukarkan usaha bantu mangsa banjir

    PRU-15: Syarat kempen sukarkan usaha bantu mangsa banjir

    USAHA untuk menghulurkan bantuan kepada lebih 3,000 mangsa banjir di seluruh negara ketika ini sukar dilakukan kerana kekangan syarat kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, berikutan kekangan itu, gabungan berkenaan pernah mencadangkan agar PRU15 ditangguhkan sehingga selesai musim tengkujuh.

    “Saya kasihan dengan 3,000 orang ini kerana mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan.

    “Kalau ditangguhkanlah supaya tidak berlaku pilihan raya (PRU15) kita boleh bagi fokus untuk membantu orang yang jadi mangsa banjir, tapi sekarang semua sudah kelam kabut… yang 3,000 orang kita nak jaga, masing-masing nak berkempen lagi.

    “Dengan berkempen nak beri bantuan pun susah sebab akta mengatakan masa kempen tak boleh bagi bantuan, cuba kita fikirkan,” kata Hamzah seperti dilaporkan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara pendaftaran perkahwinan dan penyerahan dokumen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Wisma Persekutuan Taiping, di Taiping, hari ini.

    Dalam masa sama, Hamzah berharap rakyat sedar perkara itu dan mencari pemimpin yang bertanggungjawab untuk masa depan rakyat.

    Hari ini, jumlah negeri yang terkesan akibat banjir meningkat kepada tujuh negeri berbanding enam pada semalam.

    Dalam kemas kini di laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga pukul 8 malam tadi, jumlah keseluruhan mangsa banjir di tujuh negeri adalah seramai 3,233 mangsa membabitkan 1,015 keluarga.

    Dalam masa sama, 32 pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka.

  • Kerajaan bersih, stabil tawaran Wan Saiful kepada pengundi

    Kerajaan bersih, stabil tawaran Wan Saiful kepada pengundi

    BAKAL membentuk sebuah kerajaan yang bersih, stabil di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Itu tawaran yang dibawa calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada seluruh penduduk Parlimen berkenaan menerusi kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang memasuki hari ke-11.

    Menurut Wan Saiful, PN kawasan tersebut mendapat sambutan bukan saja merentasi jurang umur namun merentasi kaum.

    “Siapa kata orang Tasek Gelugor ni tolak calon luar? Itu semua sentimen yang sengaja diada-adakan. Bagi saya sepanjang menyantuni penduduk di sini mereka menerima baik kehadiran saya serta jentera parti.

    “Bukan ahli politik tapi ramai orang luar di sini contohnya cikgu, doktor, jururawat, tentera, polis dan tak timbul pun isu mengapa orang-orang ini di sini sebaliknya penduduk Tasek Gelugor lebih matang dan rasional memilih siapa yang boleh wakili suara mereka di peringkat Parlimen dan Kabinet.

    “Jadi semua ni adalah petanda baik buat kita dan saya seru orang muda atau orang yang lebih senior untuk memilih PN bagi memastikan masa depan negara bersih serta stabil,” katanya lapor MalaysiaGazette malam tadi.

    Terdahulu, Wan Saiful mengadakan walkabout di pasar malam di Kubang Menderung di Tasek Gelugor.

    Dalam perkembangan lain, Wan Saiful menegaskan bukan mudah bagi dirinya meneruskan legasi Penyandang kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

    “Konteks ini penting, ya betul sebelum kewujudan PN mahupun parti Bersatu, kawasan ini diwakili oleh UMNO tapi wakil tersebut telah pilih PN susulan khidmat keprihatinan kepada rakyat itu diterjemahkan lebih baik oleh kita (PN).

    “Jadi Tasek Gelugor ini menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan dan membina lagi legasi yang ditinggalkan Datuk Shabudin. Banyak jasa beliau iaitu hampir 20 tahun menjadi wakil rakyat daripada Dewan Undangan Negeri hingga ke Ahli Parlimen.

    “Bagaimanapun, saya yakin akan meneruskan serta menambah baik kejayaan yang telah dibawa beliau selama ini, tambahan pula beliau sendiri yang memilih saya untuk menggantinya di sini,” jelasnya.

    Kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan persaingan lima penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor akan ditentang Wan Saiful.

    Tiga lagi calon yang disahkan bertanding di kerusi itu ialah calon Pakatan Harapan (PH) daripada Amanah, Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan serta calon Warisan, Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).

  • Rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah benar Peter Anthony gantung hukuman, sabitan dibatal

    Rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah benar Peter Anthony gantung hukuman, sabitan dibatal

    MAHKAMAH Tinggi hari ini membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk menggantung hukuman dan sabitan atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan membatalkan rayuan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis pemberhentian rayuan pada 28 Okt lepas.

    “Oleh itu, rayuan (pendakwaan) dibatalkan,” kata Mohamed Zaini semasa pengurusan kes hari ini yang turut dihadiri peguam S. Devanandan, mewakili Peter.

    Pada 5 Ogos lepas, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi di sini bagi mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang membenarkan permohonan Peter itu, selepas berpuas hati dengan alasan yang dinyatakan oleh pihak pembelaan.

    Peter, 51, memfailkan permohonan untuk menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya bagi membolehkannya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Bagaimanapun, pada hari penamaan calon 5 Nov lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak pencalonan Peter untuk bertanding di kerusi Parlimen Tenom dalam PRU15.

    Penolakan pencalonan itu dilakukan SPR dengan alasan Peter masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.