Category: Semasa

  • Ahmad Razif, Khazan duduk semeja nikmati makan pagi

    Ahmad Razif, Khazan duduk semeja nikmati makan pagi

    Seberang Takir, ia tidak menghalang Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Khazan Che Mat untuk duduk semeja.

    WALAUPUN bakal bersaing mendapatkan kepercayaan rakyat pada pilihan raya negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, itu tidak menghalang Khazan Che Mat dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman untuk duduk semeja.

    Politik matang ditunjukkan Khazan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Ahmad Razif yang mewakili Barisan Nasional (BN) dibuktikan apabila kedua-dua calon itu dilihat menikmati makan pagi bersama di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sivik Seberang Takir, hari ini.

    Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu merupakan penyandang kerusi DUN Seberang Takir sejak 2008, lapor Sinar Harian.

    Beliau mendapat 9,340 undian ketika menentang Mohd. Fazil Wahab daripada Pas yang mendapat 7,456 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    Bagaimanapun, pada PRN kali ini PN memutuskan untuk meletakkan Khazan bertanding di kawasan kubu kuat BN itu.

    Khazan sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika bersama BN sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU14 lalu.

  • Zahid Hamidi normalisasikan rasuah, kata Syed Saddiq

    Zahid Hamidi normalisasikan rasuah, kata Syed Saddiq

    PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi cuba menormalisasikan rasuah.

    “Saya luluskan bantuan ratusan ribu… janji 12 Ogos nanti undi parti saya.

    “Tiada apa yang boleh dilihat di sini. Hanya normalisasi rasuah,” kata Syed Saddiq di Twitter.

    Syed Saddiq berkata demikian mengulas tindakan Zahid mengumumkan peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu.

    “Saya luluskan bantuan ratusan ribu…..janji 12 Ogos nantti undi parti saya”

    Zahid dalam pengumuman itu bagaimanapun meminta belia yang hadir dalam acara itu memilih ‘gelombang biru dan merah’ dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

    “Itu baru saya (umum). Lepas ini PM naik dia akan top up, akan tambah lagi, insya-Allah.

    “Asalkan pada 12 hari bulan Ogos nanti para belia mengikut gelombang biru (BN) dan gelombang merah (Pakatan Harapan) yang ada di negeri Terengganu ini,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Zahid kemudian berseloroh: “Kalau makin kuat tepukan, banyak banyak PM akan luluskan.”

  • Pelakon, pengarah drama sokong calon Bebas DUN Tendong

    Pelakon, pengarah drama sokong calon Bebas DUN Tendong

    PELAKON dan pengarah drama terkenal tanah air, Fauzi Nawawi hadir memberikan sokongan kepada Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri yang bertanding di bawah tiket Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Fauzi berkata, kehadirannya itu sebagai tanda sokongan kepada Suzainal.

    “Saya sudah lama mengenali beliau (Suzainal) seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cukup prihatin kepada ahli.

    “Sikap prihatin memang ada pada beliau. Saya rasa dia mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pemimpin di Tendong,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, Suzainal sudah lama bekerja membantu rakyat di Pasir Mas dan pengundi perlu memberi sokongan kepada beliau.

    Beliau berharap Suzainal akan menang.

  • Lagu ‘sokong penyamun’ sambut perarakan calon PH-BN di Gombak

    Lagu ‘sokong penyamun’ sambut perarakan calon PH-BN di Gombak

    PERARAKAN PH-BN bersama beberapa pemimpin utama gabungan campuran itu berkumpul kira-kira 500m daripada pintu masuk pusat penamaan calon di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu.

    “Hoi hoi ya hoi…siapa sokong penyamun,” sorak penyokong Perikatan Nasional (PN) ketika perarakan PH-BN tiba di sebuah padang berdekatan kawasan sekolah berkenaan.

    Lagu tersebut merujuk kepada lagu gubahan daripada lirik asal filem tersohor P Ramlee, “Ali Baba dan 40 penyamun”.

    Lagu gubahan itu dinyanyikan semula oleh penyanyi rap Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman dan dilancarkan di pentas politik sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    Altimet kini merupakan calon PH bagi kerusi DUN Lembah Jaya di Selangor.

    Ia juga disusuli dengan sorakan kata-kata yang dipetik daripada Pengerusi PH, DatuK Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam kempen.

    “Saya ulang… esok kita memerintah…,” yang kemudiannya disambung dengan gelak tawa penyokong PN, lapor Malaysianow.

    Sementara itu, penyokong wanita PN pula berkumpul sambil berselawat dan segelintir daruapda mereka dikesan berinteraksi secara langsung pada platform media sosial.

    Suasana dan perkembangan ini menandakan permulaan kepada perang saraf bagi kempen politik sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

    Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke pusat penamaan calon sekitar jam 9 pagi bagi mengiringi calon-calon DUN yang bakal bertanding

    PRN yang membabitkan enam negeri bermula hari ini dengan 173 pusat penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi ini.

    Selain 245 kerusi DUN dipertandingkan di enam negeri itu, turut diadakan ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi berkenaan diisytiharkan kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada PRU15.

    Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos nanti.

  • Pusat penamaan calon PRN enam negeri, PRK Kuala Terengganu ditutup 10 pagi

    Pusat penamaan calon PRN enam negeri, PRK Kuala Terengganu ditutup 10 pagi

    SEBANYAK 173 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang, ditutup pada 10 pagi hari ini.

    Turut ditutup adalah pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN dan PRK berkenaan dijalankan serentak iaitu pada 12 Ogos manakala pengundian awal 8 Ogos.

    Tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding hari ini sehingga 11.59 malam 11 Ogos.

    PRN enam negeri itu diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan pada 22 Jun diikuti Selangor yang mempunyai 56 kerusi pada 23 Jun manakala Pulau Pinang (40 DUN), Kedah (36 DUN), dan Terengganu (32 DUN) dibubarkan pada 28 Jun dan Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi DUN pada 1 Julai.

    Enam negeri berkenaan tidak membubarkan DUN mereka bersekali dengan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov.

    PRK Parlimen Kuala Terengganu pula diadakan apabila kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim dari PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

  • Dendangan lagu Warisan, zikir iringi calon PN:Rina Harun, Shukri

    Dendangan lagu Warisan, zikir iringi calon PN:Rina Harun, Shukri

    KIRA-KIRA 500 penyokong Perikatan Nasional (PN) mendendangkan lagu bertajuk Warisan nyanyian Sudirman semasa hari penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19, Shah Alam pagi ini.

    Nyanyian tersebut adalah bagi memberikan sokongan dan semangat kepada calon mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N40 Kota Anggerik, Mohamed Shukri Omar dan N41 Batu Tiga, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

    Mereka yang hadir sekitar pukul 8.30 pagi selepas berarak sejauh 500 meter turut melaungkan zikir dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

    Juga kedengaran, laungan takbir daripada calon Pakatan Harapan, Najwan Halimi (Kota Anggerik) dan Danial Al Rashid (Batu Tiga) serta penyokongnya setelah tiba di pusat penamaan calon pada 8.45 pagi.

    Perarakan itu juga disertai oleh penyokong daripada Barisan Nasional (BN), masing-masing mengenakan baju berwarna merah dan biru serta membawa bendera parti, lapor Sinar Harian.

  • Noh iringi Nurul Syazwani ke pusat penamaan calon

    Noh iringi Nurul Syazwani ke pusat penamaan calon

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengiringi anaknya, Nurul Syazwani di Pusat Penamaan Calon di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang hari ini.

    Noh bersama isterinya, Puan Sri Dr. Aishah Salleh serta kira-kira 300 penyokong berarak dari tempat penyokong Perikatan Nasional (PN) dan tiba di luar pusat penamaan itu pada pukul 9.10 pagi.

    Nurul Syazwani mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbaju kurung hitam itu kelihatan sebak memasuki pusat penamaan selepas memeluk dan memohon restu daripada keluarga.

    Sinar Harian melaporkan, laungan takbir bergema di luar pekarangan itu bagi menyatakan sokongan kepada Nurul yang kali pertama bertanding di pentas politik.

    Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri tiba lebih awal diiringi kira-kira 300 penyokong PH dan Barisan Nasional (BN) pukul jam 9 pagi.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).

    Rozana memperoleh 9, 208 undi menewaskan Sulaiman yang mendapat 8,050 undi dan Muhammad Jafaruddin meraih 2,746 undi.

  • PRN: Sanusi angkat tangan ‘ala Anwar’ di hadapan penyokong PH, BN

    PRN: Sanusi angkat tangan ‘ala Anwar’ di hadapan penyokong PH, BN

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tiba di pekarangan Pejabat Tanah dan Daerah Sik pada 9.10 pagi bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Kehadiran calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu diringi hampir 2,000 penyokongnya.

    Beliau turut mengangkat tangan ‘ala Anwar’ di hadapan ratusan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang berada di lokasi itu.

    Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dijangka bertembung calon muka baharu BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.

    Sementara itu, bagi DUN Belantek, calon PN, Ahmad Sulaiman dicabar oleh calon PH, Mazli Saipi.

    Setakat ini, pertembungan di kedua-dua DUN itu menyaksikan dua penjuru apabila tidak kelihatan mana-mana calon bebas.

    DUN Jeneri mempunyai seramai 35,079 pengundi, manakala 28,006 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka di Belantek.

  • Lebih seribu penyokong iringi calon PN

    Lebih seribu penyokong iringi calon PN

    CALON Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin dan calon DUN Kuala Nerang, Munir@ Mohamad Yusof Zakaria tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi lebih 1,000 penyokong.

    Penyokong berpakaian serba biru dengan membawa sepanduk Perikatan Nasional (PN) berarak sejauh empat kilometer dari Pekan Kuala Nerang.

    Perarakan turut disertai Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Abd Hamid, lapor Sinar Harian.

  • Saingan 3 penjuru dijangka di 19 DUN Selangor

    Saingan 3 penjuru dijangka di 19 DUN Selangor

    SERAMAI 138 individu telah diumumkan oleh parti politik masing-masing bakal berentap untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertanding pada Pilihan Raya Negeri Selangor kali ini.

    Pakatan Harapan (PH), yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri sejak 2008, menyenaraikan 44 calon yang meliputi PKR (20), DAP (15) dan Amanah (sembilan).

    Barisan Nasional (BN), yang membentuk kerjasama dengan PH, turut menamakan 12 calon sekali gus memberi lebih peluang kepada PH mengekalkan penguasaan khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada tiga parti komponen besar iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan, juga mengumumkan calon untuk bertanding di semua kerusi DUN dengan 31 didominasi Bersatu manakala PAS dan Gerakan masing-masing 17 serta lapan kerusi.

    Pertembungan dua gabungan politik gergasi PH-BN dengan PN dihangatkan lagi apabila Muda yang diterajui Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengumumkan 14 calon bagi membawa panji parti itu pada PRN kali ini.

    Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang bekerjasama dengan Muda bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos ini, turut mengumumkan empat calon di kerusi Kota Damansara, Dengkil, Meru dan Kajang.

    Perebutan kerusi tambah menarik apabila Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan calon di lapan DUN dengan tumpuan kepada kerusi sekitar Klang antaranya Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sentosa dan Pandamaran.

    Susulan pengumuman calon oleh semua parti politik, PRN Selangor bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di 19 DUN, satu lawan satu di 36 kerusi dan satu persaingan empat penjuru iaitu di DUN Sentosa melibatkan PH-PKR, PN/Gerakan serta calon daripada parti MUDA dan PRM.

    Antara kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah Dusun Tua, Bukit Antarabangsa, Bandar Utama, Batu Tiga, Kota Anggerik, Sungai Kandis dan Dengkil.

    Bagi aksi satu lawan satu, pertembungan menarik dijangka berlaku di kerusi DUN di Utara Selangor antaranya Sabak, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali dan Sungai Burong yang menyaksikan persaingan dua seteru politik utama negara sejak sekian lama iaitu BN/Umno dengan PN/PAS.

    Pertembungan sengit juga dijangka berlaku di DUN Sungai Tua, Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Semenyih, Kajang, Taman Medan, Sijangkang dan Tanjung Sepat.

    Tumpuan pastinya terarah di DUN Sungai Tua apabila Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (PH) akan mempertahan kerusi yang dimenangi sejak 2008 dan beliau dijangka ditentang oleh calon PN iaitu Muhammad Hanif Jamaluddin dalam pertembungan satu lawan satu.

    Turut menjadi perhatian kerusi DUN Hulu Kelang yang bakal menyaksikan persaingan antara Datuk Seri Azmin Ali (PN-Bersatu), tokoh yang diuar-uarkan sebagai calon menteri besar daripada PN, dengan setiausaha politik kepada menteri besar, Juwairiya Zulkifli (PH-PKR).

    Juwairiya merupakan penyandang kerusi DUN Bukit Melawati manakala Azmin adalah bekas ADUN Bukit Antarabangsa.

    Proses penamaan calon bagi PRN Selangor akan berlangsung pagi ini di 35 pusat penamaan yang antara lain meliputi dewan serbaguna, kompleks sukan, stadium tertutup, pejabat majlis perbandaran dan dewan sekolah.

    Mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya, proses penamaan calon bagi PRN Selangor dan lima negeri lain iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan hanya berlangsung sejam iaitu dari 9 hingga 10 pagi.