Category: Semasa

  • Felda, Felcra semakin terbuka, bukan lagi benteng UMNO

    Felda, Felcra semakin terbuka, bukan lagi benteng UMNO

    SOKONGAN orang Melayu di kawasan-kawasan Felda dan Felcra dilihat bukan lagi ‘benteng pertahanan’ kepada UMNO dan BN.

    Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, ini kerana kebanyakan mereka dilihat semakin terbuka kepada parti lain termasuk menyokong kerja keras Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh.

    “Lihatlah di Pagoh ini di Felda dan Felcra kebanyakan menyokong Tan Sri Muhyiddin dengan kerja keras Tan Sri Muhyiddin dan kami (PN) di Pagoh.

    “Saya cukup yakin Tan Sri Muhyiddin akan menang di Pagoh,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pagoh, Muar, semalam.

    Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, momentum sokongan pengundi terhadap PN semakin meningkat dan sangat positif.

    Perkara itu diakui sendiri oleh Sahruddin yang melihat program-program Muhyiddin di Pagoh sangat memberangsangkan.

    “Saya ucap terima kasih pada seluruh pengundi di Pagoh.

    “Buktinya program Muhyiddin bersama dengan masyarakat Cina di Bukit Pasir, kehadiran dalam 200 hingga 250 orang,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Tambahnya lagi, ceramah-ceramah kelompok juga mendaoat sambutan luar biasa daripada pengundi Cina.

    “Jadi kita lihat masyarakat Cina akan membantu dan sokong Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

    Dalam pada itu, Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negara (DUN) Bukit Kepong berkata, bagi masyarakat Melayu, mereka lebih mengenali Muhyiddin kerana mengenang jasa dan sumbangan Pengerusi PN itu di Pagoh.

    “Jadi saya dapat pergi ke warung dan pergi buat ceramah-ceramah kelompok kecil-kecilan, nampak positif.

    “Contoh paling nyata adalah program di pusat daerah mengundi (PDM) kami, mendapat sambutan baik daripada kaum wanita, mahupun kaum lelaki.

    “Jadi kami cukup yakin momentum sekarang memang masyarakat Melayu, Cina, India memang pro kepada Muhyiddin,” katanya.

  • PN tawar 50,000 tapak rumah untuk rakyat Perak

    PN tawar 50,000 tapak rumah untuk rakyat Perak

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak menawarkan 50,000 tapak rumah kepada rakyat di negeri ini jika diberi mandat mentadbir kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Tawaran itu merupakan salah satu yang terkandung di dalam Manifesto PN Perak dilancarkan hari ini.

    Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bertemakan PN Baik Perbaiki Negeri Bersama Agenda Inisiatif Kemakmuran, manifesto tersebut bersandarkan kepada lima teras utama dengan fokus terarah kepada pendidikan, sosial, wanita, infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.

    Menurutnya, selain pemberian tapak rumah PN Perak turut menawarkan baucer pembelian gadget termasuk komputer riba dan tablet sehingga RM1,000 dan baucar pembelian buku.

    “Bantuan perkahwinan antara inisiatif yang dicadangkan oleh PN Perak dalam usaha memudahkan pasangan-pasangan di negeri ini untuk melangsungkan perkahwinan kali pertama. Manfaat ini diharap dapat mengurangkan tekanan kepada pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga.

    “Kaum wanita akan terus diberikan tumpuan khas. Kerajaan PN Perak komited untuk memastikan kaum wanita berdaya saing maju dalam bidang ekonomi dan ramai usahawan wanita dapat dilahirkan. Menerusi Pelan Pembangunan Peluang Pekerjaan Ekonomi Wanita Baru (EWB), penyertaan kaum wanita dalam bidang ekonomi dapat dipertingkatkan,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Manifesto PN Perak di sebuah hotel di Meru, Ipoh, hari ini, seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Ahmad Faizal berkata, nilai kad Kasih Ibu Darul Ridzuan juga akan dinaikkan daripada RM290 kepada RM400 sebulan sejajar dengan kenaikan kadar pembelian barangan asas keperluan serta perbelanjaan kesihatan.

    Menurutnya, PN Perak juga berhasrat untuk membangunkan pusat penyelidikan Kecerdasan Pembuatan serta Stadium e-Sukan.

    Sementara itu, ketika sidang akhbar, Ahmad Faizal berkata, pelancaran manifesto pada saat akhir iaitu dua hari sebelum hari mengundi bukanlah gula-gula pilihan raya untuk pengundi.

    Menurutnya, tawaran yang dibuat itu merupakan keperluan dan menjadi keutamaan untuk didahulukan.

  • PRU-15: ‘Dah banjir macam mana nak mengundi?’

    PRU-15: ‘Dah banjir macam mana nak mengundi?’

    SETIAP kali apabila hujan berterusan, banjir besar terus menghantui penduduk sekitar Dengkil, Selangor.

    Bagi penduduk Kampung Chemperai, Shamsul Bahrin berkata, pernah suatu ketika penduduk berdepan kejadian banjir sebanyak 12 kali dalam tempoh 11 tahun akibat ban yang pecah.

    Menurutnya yang juga mangsa banjir, air mula naik mendadak pada 7 pagi Khamis menyebabkan kawasan rumah tenggelam.

    “Hujan berterusan malam tadi dan air mula naik pukul 2 pagi tapi hanya paras kaki, namun pada pukul 7 pagi, air naik dengan mendadak,” jelas Shamsul.

    Dia berkata ini merupakan kali ke-12 banjir berlaku sepanjang menetap di situ.

    “Saya duduk sini dah 11 tahun, tapi ini dah 12 kali terjadi. Banjir berpunca daripada air sungai dan ban yang pecah.

    “Barang-barang dalam rumah ni semua pakai buang, sebab tahu akan jadi banjir lagi.

    “Kalau dah banjir, macam mana nak mengundi?” katanya lapor Astro Awani.

    Menurut portal Jabatan Saliran dan Pengairan setakat pukul 10.30 pagi paras air Sungai Langat di Dengkil Sepang berada pada paras 8.4 meter iaitu paras bahaya.

  • PN Pahang yakin dapat kepercayaan rakyat terajui negeri

    PN Pahang yakin dapat kepercayaan rakyat terajui negeri

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah amat yakin rakyat negeri ini akan memberikan kepercayaan kepada PN Pahang untuk menerajui pentadbiran negeri pada 19 November ini.

    Katanya, ini berdasarkan kepada kempen yang telah berlalu selama hampir seminggu.

    Katanya, respons positif rakyat dan kekuatan tawaran PN iaitu Prihatin, Bersih, Stabil boleh memberi jaminan bahawa gabungan itu dapat menawan negeri ini.

    “Kita yakin bahawa Kerajaan PN Negeri Pahang adalah bersifat inklusif dan dalam masa yang masa menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan sekali gus menepati keperluan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama di negeri Pahang,” ujarnya memetik laporan Harakah Daily.

    Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN P.082 Indera Mahkota di Kuantan, hari ini. Hadir sama ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Ustaz Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Ranndy Yap Kim Heng.

    Sementara itu, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, Pas juga melihat gelombang sokongan terhadap PN begitu tinggi sehingga kini dan dijangka terus melonjak sehingga 19 November ini.

    Katanya, dengan sokongan dan gelombang terhadap PN itu, Pas yakin dapat menang sekurang-kurangnya 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Kita sudah menang sehingga lapan kerusi DUN sebelum ini, namun begitu ada beberapa kerusi yang majoriti kecil. Senario politik PRU14 sama dengan senario politik di PRU15, iaitu kita bertanding tiga penjuru.

    “Pada ketika itu, Pas menggunakan kekuatan sendiri sahaja, tetapi pada kali ini pas tidak keseorangan, ditambah Bersatu dan Gerakan dalam PN.

    “Jadi kita yakin sokongan daripada Bersatu, Gerakan, dan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu berjasa kepada rakyat, dan melonjakkan undi kita sekaligus ambil alih DUN yang kita kalah tipis.

    “Contohnya di Pulau Tawar, Semmabu, Cheka dan beberapa kerusi yang ada. lebih kurang 11 kerusi yang kalah bawah pada 1,000. Jadi dengan pengundi tegar Pas, campur dengan pengundi dari rakan Bersatu dan Gerakan, Insya Allah menjadi kenyataan,” katanya.

    Pada PRU kali ini, beliau berdepan dengan tiga lagi calon iaitu Dr Mohamad Nor Sundari (Pejuang), Zuraidi Ismail (PH) dan Datuk Quek Tai Seong (BN).

  • Replika kereta kebal simbolik ‘pertahan kubu’ di Kemaman

    Replika kereta kebal simbolik ‘pertahan kubu’ di Kemaman

    SELAIN menyertai tradisi perang bendera dan poster, jentera PAS turut membina replika kereta kebal sebagai simbolik ‘mempertahankan kubu’ Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang kini disandang calon parti itu.

    Tersergam di Kampung Geliga, Kemaman, replika berukuran empat meter panjang dengan lebar kira-kira 1.8 meter itu dibina menggunakan bahan mudah didapati seperti papan lapis, besi, besen, tayar terpakai, pinggan plastik, batang paip PVC, tali serta jaring.

    Timbalan Ketua Pemuda PAS Cawangan Batu Geliga 3, Mohd Faisal Ayub berkata enam petugas PAS terlibat dalam pembinaan replika itu yang mengambil masa hampir dua minggu untuk disiapkan.

    “Inspirasi untuk bina kereta kebal ini datang apabila kita kini dalam mood musim PRU. Jadi, kami hasilkan ‘blueprint’ kereta kebal ini dan mula memasang rangka besi kereta kebal pada sebuah kereta,” katanya ketika ditemui di Kampung Geliga.

    Tayar terpakai dan pinggan plastik pula dijadikan tayar kereta kebal, jaring nelayan berwarna hijau digunakan sebagai cermin, manakala paip PVC digunakan sebagai meriam.

    Mohd Faisal berkata kos yang dibelanjakan untuk membina replika itu adalah sebanyak RM2,170, di mana bahan seperti 13 keping papan lapis dan besi adalah komponen yang agak mahal dalam pembinaan.

    “Pada PRU14 kita ada bina replika lori yang disertakan pelancar roket pada atap replika itu. Replika lori itu juga sama seperti replika kereta kebal ini, ada ciri-ciri ‘bertempur’,” katanya.

    Pada PRU15, Parlimen Kemaman yang mempunyai 139,423 pemilih yang layak mengundi Sabtu ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN Datuk Seri Ahmad Said dengan penyandangnya Che Alias Hamid (PAS), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang).

    Turut menarik tumpuan di Kemaman ialah replika dacing dihasilkan Pemuda BN menggunakan lampu LED berwarna biru yang menyinari pekarangan Pasar Chukai di Bandar Kemaman pada waktu malam.

    Hasifullah Mohd@Arsad, 34, yang mengetuai pembinaan itu berkata replika berukuran kira-kira tiga meter lebar dengan ketinggian kira-kira 1.8 meter itu mengambil masa hampir tiga hari untuk disiapkan dengan kerjasama tiga orang rakannya.

    “Replika ini kita hasilkan sebagai tarikan kepada anak-anak muda di Bandar Kemaman, jadi apabila malam itu, replika dacing ini sememangnya mencuri tumpuan dengan nyalaan lampu berwarna biru. Inspirasi replika ini diambil daripada logo BN itu sendiri,” katanya.

  • Gerak kerja teratur, bertanggungjawab modal Awang Hashim kukuh ikatan dengan pengundi di Pendang

    Gerak kerja teratur, bertanggungjawab modal Awang Hashim kukuh ikatan dengan pengundi di Pendang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BERBEZA berbanding ketika kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), penyandang kerusi Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim tidak lagi memiliki masalah untuk masuk berkempen ke mana-mana kawasan dalam PRU-15 kali ini.

    Menurut Awang yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, beliau yakin bahawa penerimaan rakyat itu berikutan gerak kerjanya selama ini yang tidak pernah lupa untuk kembali ke kawasan setiap minggu, meskipun diberi amanah untuk memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

    “Dalam PRU-14 dulu saya belum dikenali dan baru mula memperkenalkan diri tetapi kali ini saya tak ada masalah langsung nak ke mana-mana. Saya boleh berkempen di semua unit daerah mengundi (UDM) dan masuk dengan penuh ketenangan tanpa ada kacau ganggu atau masalah.

    “Penerimaan pengundi juga sangat baik malah ketika mengadakan sesi dialog, kami boleh bertemu dalam keadaan selesa serta bersoal jawab dalam keadaan cukup tenang tanpa ketegangan,” katanya kepada Warta Rakyat.

    Justeru katanya, beliau yakin mampu menambat hati pengundi bagi memberinya peluang untuk mewakili suara mereka di Parlimen sekali lagi.

    “Tentang gerak kerja saya di sini, saya tak fikir ada masalah. Rakyat boleh menilai tanggungjawab yang dilaksanakan sepanjang kira-kira empat tahun setengah saya mewakili mereka di sini,” katanya.

    Ditanya fokusnya terhadap kawasan Parlimen tersebut selepas ini, Awang berkata, beliau memiliki perancangan jangka masa panjang untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus rakyat di situ memiliki kelulusan diploma menjelang 2030.

    “Saya percaya pendidikan merupakan antara cara terbaik bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat. Hasrat saya adalah untuk menjadikan Pendang sebagai bandar ilmuan,” katanya.

  • PN hormati Sultan Perak dalam perkenan calon MB

    PN hormati Sultan Perak dalam perkenan calon MB

    PERIKATAN Nasional (PN) Perak menghormati hak prerogatif Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin dalam memperkenan calon Menteri Besar Perak.

    Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, biarpun namanya antara yang disenarai sebagai calon Menteri Besar Perak, keputusan memperkenankan lantikan merupakan bidang kuasa Sultan Perak.

    Menurutnya, menamakan calon-calon menteri besar merupakan prosedur biasa parti-parti bertanding.

    “Parti-parti akan kemukakan calon pada setiap kali selepas Pilihan Raya Umum (PRU) seperti PRU14, parti akan kemukakan calon walaupun tak cukup kerusi.

    “Parti boleh mengemukakan calon-calon (Menteri Besar Perak) tetapi akhirnya keputusan tertakluk kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan.

    “Kita menghormati keputusan tersebut dan terima kasih kerana pimpinan senaraikan saya sebagai calon,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto PN Perak di Hotel Casuarina, Meru, Ipoh, seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Pengerusi PN 1, Razman Zakaria dan Timbalan Pengerusi PN 2, Datuk Tee Sean Seng.

    Sementara itu, dalam satu sidang akhbar berasingan, Ahmad Faizal mengulangi kembali bahawa PN Perak mempunyai calon-calon berkelayakan untuk dipilih sebagai pemimpin.

    Menurutnya, antara nama calon tersebut termasuklah Zainol Fadzi dan Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak.

  • Fitnah: Ikmal Hisham tuntut Rafizi bayar gantirugi RM500,000

    Fitnah: Ikmal Hisham tuntut Rafizi bayar gantirugi RM500,000

    TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menghantar surat tuntutan (LoD) kepada Rafizi Ramli susulan tindakannya memfitnah beliau dan keluarga berhubung isu perolehan meriam artileri jenis ‘Self-Propelled Howitzer’ (SPH).

    Beliau sehubungan itu berkata, Rafizi dituntut membayar kos ganti rugi am dan teladan RM500,000, serta mahu timbalan presiden PKR itu memadam pernyataan fitnah; berhenti menyebar dan mengulangi kenyataan fitnah, selain membuat permohonan maaf terbuka.

    “Sekiranya tuntutan-tuntutan ini gagal ditunaikan dalam tempoh tujuh hari, pihak saya akan meneruskan kes ini dengan tindakan sivil di mahkamah. Tindakan yang saya ambil ini adalah untuk memelihara nama baik dan sebagai tanggungjawab menjaga keselamatan keluarga.

    “Berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar, takut kerana salah’ saya bersedia ke mahkamah untuk membersihkan nama saya daripada fitnah tidak bertanggungjawab dibuat oleh Rafizi,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today..

    Ikmal Hisham berkata, Rafizi tidak sepatutnya melibatkan anak dan isteri sesiapa pun dalam politik kerana ingin meraih undi semata-mata.

    Terdahulu, Rafizi berterusan membuat pendedahan mengenai penglibatan Ikmal Hisham dalam kontrak perolehan meriam artileri jenis SPH, bagaimanapun laporan polis telah dibuat berkenaan dakwaan itu, pada 7 Okt.

    Ikmal Hisham ketika mengulas lanjut, berkata Rafizi bertindak sedemikian berikutan mulai takut gelombang sokongan diterima Perikatan Nasional (PN), pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Beliau sebelum ini sudah berkali-kali menekankan bahawa semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja ketat.

    “Ia juga mesti dipersetujui terlebih dahulu oleh ‘end-user’ iaitu pihak Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya.

  • ‘PN sepakat, tiada dominasi Bersatu’ – Tuan Ibrahim

    ‘PN sepakat, tiada dominasi Bersatu’ – Tuan Ibrahim

    PAS menolak dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendominasi Perikatan Nasional (PN), sebaliknya semua keputusan diputuskan bersama dengan semua komponen dalam PN.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul soal dominasi kerana sebarang keputusan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah melalui mesyuarat bersama lima parti dalam majlis tertinggi.

    “Kita ada majlis tertinggi parti yang dibuat oleh semua komponen, iaitu lima parti dalam majlis itu.

    “Sama juga dengan BN, orang melihat BN didominasi oleh UMNO sedangkan mereka juga bersama-sama (muafakat), kita (PN) pun sama.

    “Bila kita mesyuarat, Tan Sri Muhyiddin adalah pengerusi, semua kenyataan mesti daripada pengerusi bukan bermakna dominasi, tetapi ialah keputusan bersama,” katanya kepada media di pekarangan Pasar Batu Enam, Kuala Nerus, semalam.

    Tuan Ibrahim berkata, sebelum Pengerusi PN membuat apa jua keputusan, beliau akan berjumpa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Dia (Muhyiddin) akan datang Terengganu jumpa tuan guru presiden (Abdul Hadi). Saya pun banyak kali jumpa dia, bila ada perkara penting dia akan bincang dengan Pas sebab Pas dan Bersatu menjadi tunggak kepada PN,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah berkata, Bersatu lebih dominan dalam PN dan parti itu hanya memperalatkan Pas demi kepentingan mereka pada PRU15.

    Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, Terengganu mempunyai dua ‘tanah haram’ iaitu di Marang dan Batu Enam, Kuala Nerus.

    “Di dunia ini ada dua Tanah Haram iaitu Tanah Haram Mekah dan Madinah tetapi politik di Terengganu pun ada dua ‘tanah haram’.

    “Saya tengok di Terengganu ini ada dua kawasan di mana kawasan yang memang bendera lain tak boleh masuk (pasang). Terima kasih anak muda di sini yang mempertahankan bendera Pas sahaja yang ada di Batu Enam,” katanya

  • Rina Harun mahu bangunkan Sepang jadi hab ekonomi, pelancongan

    Rina Harun mahu bangunkan Sepang jadi hab ekonomi, pelancongan

    CALON Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Perikatan Nasional (PN) di Sepang, Datuk Seri Rina Harun berhasrat menjadikan Sepang sebagai hab ekonomi dan pelancongan negara.

    Ujarnya, lokasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terletak dalam parlimen itu perlu dimanfaatkan supaya pelancong yang tiba menjadikan Sepang destinasi pilihan mereka.

    “Kita nak supaya pembangunan ini bukan sahaja tertumpu di Kuala Lumpur, KLIA, atau di Cyberjaya, tetapi limpahannya kita nak juga sampai di Sungai Pelek, Bagan Lalang dan sebagainya. Saban tahun ramai pelancong turun ke KLIA, ke mana mereka pergi di tanah Malaysia ini.

    “Jadi kita nak jadikan Sepang hub ekonomi dan pelancongan supaya mereka boleh singgah di Sepang ini bagi memakmurkan ekonomi rakyat di Sepang dan dalam masa sama dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sepang,” katanya semasa berkempen di Pasar Malam Salak Tinggi, Sepang, hari ini.

    Malah katanya, banyak lagi produk anak tempatan perlu dipromosikan di pasaran.

    “Kita ada banyak produk tempatan yang boleh kita perluaskan dan bantu supaya dapat dipasarkan produk penghasilan penjenamaan tempatan ini,” ujarnya.

    Selain itu, beliau juga akan mengatasi isu banjir dan orang muda yang telah lama dibincangkan dan bukan baru nak dilaksanakan.

    “Isu ini bukan saya datang baru nak cakap. Kita sudah ada perbincangan. Saya telah usahakan pelbagai perkara untuk membantu mengatasi masalah banjir ini.

    “Isu anak muda dan belia juga bukan baru nak dibuat, dan dilaksanakan. Saya nak teruskan usaha saya di Sepang ini,” tambah beliau.

    Dalam pada itu Rina berharap pengundi Sepang dapat memilih bakal wakil rakyat yang betul dan bukan mereka yang hanya tunjuk muka apabila tiba musim pilihan raya.

    “Calon PH ini dia baru datang, kita nak pilih pemimpin yang bila pilihan raya baru nak merayu undi, bukan baru nak tunjuk muka.

    “Kita sudah bertahun di Sepang. Jadi kalau ada ramai calon yang datang untuk berjumpa, tanya mereka, apa yang mereka laksanakan untuk bantu rakyat di Sepang,” kata beliau, lapor Astro Awani.