Category: Semasa

  • Ugut KP SPRM: MCW kecam, tuntut Rafizi mohon maaf

    Ugut KP SPRM: MCW kecam, tuntut Rafizi mohon maaf

    PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengutuk tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengugut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan yang dijalankan SPRM terhadap syarikatnya.

    MCW turut menuntut Rafizi memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas ucapan yang dikeluarkan ketika kempen pilihan raya.

    “MCW juga menggesa semua pihak tidak mempolitikkan serta mengganggu-gugat siasatan pihak SPRM yang sedang berjalan.

    “Sebagai agensi yang bebas dan telus, SPRM pastinya memerlukan sokongan semua pihak terutamanya iltizam politik yang kuat dan konsisten untuk membenarkan SPRM menyiasat; proses mengumpul bukti dan menyelesaikan kes tanpa ada rasa takut,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurut MCW, SPRM mesti terus tegas dan berani bertindak menyiasat sesiapa sahaja bagi memastikan segala dakwaan kes rasuah dibongkar sehingga akar umbi.

    “Kebijaksanaan SPRM dalam menjalankan siasatan tidak wajar dipertikaikan dan ahli politik yang disiasat perlu memberi kerjasama penuh dan dinasihatkan untuk mengelakkan membuat kenyataan yang kelihatan menganggu atau mencampuri urusan siasatan bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilaksanakan,”katanya, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru malam tadi, Rafizi yang juga calon PH Parlimen Pandan memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

    “Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya-Allah.

    “Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila Pakatan Harapan menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya.

  • Amaran Rafizi terhadap KP SPRM ugutan terhadap penjawat awam – Peja

    Amaran Rafizi terhadap KP SPRM ugutan terhadap penjawat awam – Peja

    AMARAN Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahawa Pakatan Harapan (PH) akan ‘mencarinya’ jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah satu ugutan terbuka kepada penjawat awam.

    Menurut Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tindakan Timbalan Presiden PKR itu terhadap Tan Sri Azam Baki, tidak sepatutnya berlaku.

    “Ugutan dan ancaman ini dibuat semata-mata kerana SPRM menjalankan sisatan ke atas syarikat milikan Rafizi, iaitu Invoke, berdasarkan laporan yang diterima daripada awam.

    “Ugutan oleh Rafizi adalah suatu pengakuan terbuka oleh beliau bahawa PH yang didominasi oleh DAP mempunyai rancangan untuk menyalah guna kuasa kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang hanya menjalankan tugas.

    “Penyalahgunaan kuasa adalah kesalahan jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM.

    “Ini akan mempunyai kesan buruk terhadap kesemua penjawat awam yang sekian lama telah menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan tanpa berpihak.

    “Tidak pernah dalam sejarah negara, seorang pemimpin utama sebuah gabungan politik besar iaitu PH, membuat pengakuan terbuka akan menyalah guna kuasa untuk membalas dendam terhadap penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tindakan Rafizi itu juga jelas menunjukkan beliau serta pimpinan PH menganggap mereka terkecuali daripada undang-undang dan penguatkuasaan.

    “Selari dengan ini, setelah membentuk kerajaan pada tahun 2018, PH bertindak untuk mengugurkan kes rasuah terhadap pemimpin utama PH iaitu Lim Guan Eng, walaupun ini dibantah oleh SPRM,” dakwanya.

    Ahmad Faizal dalam pada itu menuntut supaya majlis tertinggi PH termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian dengan segera atas penghinaan dan ugutan terhadap penjawat awam oleh Rafizi.

    “Adakah PH dan Anwar sedia menarik balik ugutan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM dan meminta maaf kepada kesemua penjawat awam negara?,” katanya sambil mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Rafizi, lapor Astro Awani.

    Rafizi dalam Ceramah Mega PH di Johor Bahru semalam dilapor berkata, PH akan ‘mencari’ Azam sekira pakatan itu menang pada PRU15.

    ”Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi.

    “Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya-Allah,” kata Rafizi.

  • Surat kelulusan untuk berunding, bukan lulus projek – Tengku Zafrul

    Surat kelulusan untuk berunding, bukan lulus projek – Tengku Zafrul

    SURAT bertarikh 27 Okt yang didedahkan Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli semalam bukan persetujuan untuk menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat, sebaliknya, merupakan kelulusan untuk rundingan dibuat dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

    Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selepas mendapat kelulusan secara dasar untuk berunding, KASA selaku kementerian yang bertanggungjawab masih perlu berunding dengan syarikat berkenaan dan akan mengesyorkan langkah seterusnya kepada Kementerian Kewangan.

    “KASA akan membuat perbincangan tentang apa yang diperlukan dan pada masa sama akan membuat penilaian sama ada syarikat itu diluluskan atau tidak yang melibatkan tahap kewangan, teknikal dan sebagainya, sekurang-kurangnya mengambil masa dua hingga tiga bulan.

    “Bagi saya, saya percaya ini adalah isu yang dipolitikkan kerana perkara itu clear (jelas), tiada surat setuju terima (LOA) dan surat niat (LOI) (diberikan). Hanya ada kelulusan untuk syarikat tersebut berunding dengan KASA,” katanya kepada pemberita di Kuala Selangor, malam tadi.

    Justeru, beliau menasihati Mohd Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan di Parlimen Pandan untuk terus melaporkan dahulu sebarang salah laku dalam kerajaan kepada pihak berkuasa dan bukannya membuat pendedahan seperti itu.

    “Pergilah jumpa polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak-pihak yang berkuasa,” katanya sambil menambah adalah lebih baik para pemimpin membuat pengumuman apa yang mahu dibuat untuk pembangunan demi kebaikan rakyat.

    “Itu yang rakyat nak dengar. Saya rasa dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, saya pun ramai kawan-kawan yang letih dengan politik dan ahli politik kerana terlalu banyak berpolitik,” katanya.

    Semalam, Mohd Rafizi mendedahkan satu surat berkenaan projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan bernilai RM285 juta di Klang Selatan, bertarikh 27 Okt.

    Mohd Rafizi mendakwa projek itu diluluskan 17 hari selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Okt.

  • PRU15 Pas berkempen secara matang-Zawawi

    PRU15 Pas berkempen secara matang-Zawawi

    PAS sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan menolak bentuk kempen secara kotor dan melampau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Secara umumnya perbuatan yang tidak bermoral seperti kegiatan sengaja membakar poster parti sangat tidak berhemah,” kata Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

    Menurutnya, perbuatan membakar poster parti pihak lawan secara sengaja ataupun tidak adalah tindakan berkempen secara tidak sihat.

    “Sabotaj seperti ini seringkali berlaku dalam tempoh PRU. Ada yang sengaja membakar poster bagi menagih simpati dan menimbulkan isu.

    “Walau bagaimanapun, Pas tidak pernah mendidik ahlinya untuk melakukan perbuatan yang sebegitu dan kita sangat mementingkan profesional dalam berkempen,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian bantuan Program Transformasi Sosio Ekonomi Keluarga Malaysia Bagi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Jajahan Pasir Puteh, di Pasir Puteh.

    Muhammda Zawawi mengulas mengenai kejadian membakar poster wajah calon BN Parlimen Kuala Kedah, Datuk Mashitah Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Tambah beliau, Pas menafikan sekeras-kerasnya sekiranya ada pihak yang menuduh parti itu melakukan perbuatan sebegitu demi meraih undi.

  • Tindakan Rafizi ugut KP SPRM tidak wajar – Rais Yatim

    Tindakan Rafizi ugut KP SPRM tidak wajar – Rais Yatim

    UGUTAN dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tidak wajar.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim, siasatan dijalankan SPRM terhadap syarikat milik Rafizi iaitu Invoke Solutions Sdn Bhd dibuat berdasarkan laporan kepada suruhanjaya tersebut.

    “Suruhanjaya (SPRM) itu pula menjalankan tugas serta peranannya. Dalam tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini tidak harus keluar kenyataan sebegini kerana ia boleh disifatkan sebagai satu provokasi atau ugutan.

    “Apa yang dilakukan Rafizi itu tidak betul dan tidak wajar,” katanya kepada Berita Harian.

    Beliau berkata, apa yang dinyatakan Rafizi boleh dianggap sebagai satu bentuk ugutan dan jika Rafizi was-was terhadap siasatan dijalankan SPRM, beliau sepatutnya membuat laporan kepada polis atau JKMR.

    Terdahulu, pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru malam tadi, Rafizi memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki jika gabungan itu memenangi PRU15 Sabtu ini.

    “Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya-Allah.

    “Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila PH menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya.

  • Proses berkaitan projek naik taraf loji tangguh selepas Parlimen bubar – KASA

    Proses berkaitan projek naik taraf loji tangguh selepas Parlimen bubar – KASA

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menangguhkan semua proses rundingan bersama kontraktor atau perunding berkaitan projek naik taraf Loji Bagi Kawasan Tadahan Pembetungan Klang Selatan selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lepas.

    Kementerian itu memaklumkan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan sementara atau caretaker, pihaknya turut menangguhkan pengeluaran Surat Niat, Surat Pelawaan dan Surat Setuju Terima.

    “KASA sangat berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan dalam tempoh kerajaan sementara ini.  Justeru, kenyataan yang tular ini adalah tidak berbangkit sama sekali kerana tiada sebarang ikatan kontrak telah dijalin antara kerajaan dengan syarikat dalam tempoh ini,” menurut KASA dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kementerian itu mengulas dakwaan pihak tertentu mengenai pemberian kontrak bernilai RM285 juta kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd selepas 17 hari Parlimen dibubarkan.

    Menurut KASA, projek naik taraf Loji Bagi Kawasan Tadahan Pembetungan Klang Selatan telah diluluskan pada November 2021 di bawah Rolling Plan 1 (RP1) 2021 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

    “Proses perolehan projek ini telah bermula sejak 6 Okt 2021 sedangkan pembubaran Parlimen pada 10 Okt 2022,” menurut kenyataan itu.

    Menyifatkan dakwaan itu sebagai tohmahan tidak berasas, KASA menegaskan perkara itu perlu dibuktikan kebenaran melalui siasatan pihak berkuasa.

    Menurut KASA, Surat Pekeliling Kementerian Kewangan bertarikh 18 Okt, berkaitan pelaksanaan perolehan kerajaan selaras peranan dan fungsi kerajaan sementara serta garis panduan peranan dan fungsi kerajaan sementara antara lain menetapkan apa-apa komitmen kontraktual atau aku janji hendaklah dielakkan.

    Ia turut menetapkan apa-apa rundingan atau aku janji baharu yang boleh mengikat dan membebankan serta memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baharu hendaklah dielakkan.

    Mengenai dakwaan kononnya terdapat surat kelulusan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, KASA menegaskan perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa dari segi ketepatan fakta, bukannya dengan cara mendedahkan kepada rakyat secara umum dengan niat mewujudkan persepsi tidak baik. – BERNAMA

  • Tiada perbincangan rasmi gabung parti-Wan Ahmad Fayhsal

    Tiada perbincangan rasmi gabung parti-Wan Ahmad Fayhsal

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak bersetuju gabungan itu dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Namun saya perkara ini kepada pucuk pimpinan PN yang akan membuat keputusan selepas PRU-15,” katanya yang juga Ketua Bersatu Anak Muda (Armada).

    Beliau berpendapat, PN sebenarnya mampu menubuhkan kerajaan sendiri tanpa gabungan dengan mana-mana pihak.

    “Dasar parti sebelum ini ialah tiada kerjasama dengan mana-mana pihak dan jajaran baharu yang dikaitkan selepas Malaysia memilih diharap tidak berlaku,” katanya ketika ditemui di Machang, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, sebelum ini tiada sebarang perbincangan rasmi dalam PN mengenai gabungan pemerintahan bersama parti lain.

    Jika ada perubahan selepas ini ujarnya, terpulang kepada kepimpinan tertinggi parti tetapi ketika ini PN mampu mentadbir Putrajaya.

    “Semua perundingan akan berlangsung melalui wadah rasmi dalam Pas dan Bersatu. Kita tunggu selepas 19 November,” katanya.

    Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan gabungan politik lain untuk membentuk kerajaan selepas PRU-15.

    Beliau turut meminta bukti kerana menyifatkan dakwaan itu cuba mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.

  • PRU-15:Biarpun panas dan hujan, tunaikanlah kewajiban mengundi-Muhyiddin

    PRU-15:Biarpun panas dan hujan, tunaikanlah kewajiban mengundi-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat negara ini untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walau dalam keadaan apa pun pada Sabtu ini.

    “Bagi yang mengundi di kampung halaman, semak di mana anda mengundi dan pergi mengundi beramai-ramai bersama ahli keluarga, rakan dan jiran. Biarpun panas dan hujan, tunaikanlah kewajiban.

    “Persediaan telah dilakukan jentera-jentera parti bagi membantu dan memudah cara untuk anda mengundi. Ingat satu undi amat penting untuk menentukan masa depan negara yang lebih baik dan hak anda sebagai rakyat terpelihara.

    “Undilah Perikatan Nasional demi mewujdukan sebuah kerajaan yang lebih prihatin, bersih dan stabil.

    “Semua rakyat Malaysia sama ada warga emas, anak muda, mereka yang berada di bandar, pinggir bandar dan desa, fikirkan sedalam-dalamnya, ‘do what is right’.

    “Undi dengan yakin dan percaya bahawa Perikatan Nasional bakal membawa Malaysia ke tahap yang lebih maju, aman dan makmur, PN Best,” katanya dalam perutusan ringkas menerusi Facebook miliknya, hari ini.

  • PRU-15: PN Machang mahu Ahmad Jazlan disiasat

    PRU-15: PN Machang mahu Ahmad Jazlan disiasat

    PERIKATAN Nasional (PN) Machang mahu polis melakukan siasatan ke atas calon BN Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berhubung satu kenyataan artikel berkait salah guna kuasa melibatkan tokoh berkenaan bernilai RM2.2 juta sebagaimana dilaporkan oleh sebuah portal giaklian.wordpress.com.

    Portal tersebut mendakwa bekas penyandang kerusi Parlimen Machang itu telah menggunakan kedudukannya semasa memegang jawatan Timbalan Menteri Luar Bandar untuk mempengaruhi Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi meluluskan projek di atas sebidang tanah persendirian di Bukit Tiu, Machang dipercayai milik isterinya sendiri.

    Timbalan Ketua Pemuda PN Machang, Ahmad Firdaus Nawi berkata, berdasarkan penulisan itu terdapat keterangan yang menyatakan bahawa projek ini sememangnya telah diluluskan di peringkat Menteri KKLW pada waktu tersebut.

    “Tujuan saya membuat laporan ini adalah supaya pihak polis menyiasat keabsahan status penulisan di dalam laman sesawang terbabit.

    “Ia agar dapat menangani kegelisahan rakyat kerana beliau adalah calon bagi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini,” katanya, lapor SinarHarian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, Kelantan, hari ini.

    Laporan yang dibuat pada pukul 12.15 tengah hari itu turut dihadiri oleh 30 wakil PN Machang.

  • Pelajar kolej nekad jalan kaki dari Kepala Batas ke Kelantan untuk mengundi

    Pelajar kolej nekad jalan kaki dari Kepala Batas ke Kelantan untuk mengundi

    SEORANG pelajar Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) nekad berjalan kaki untuk pulang ke kampung halamannya di Kelantan bagi menunaikan kewajipan sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Muhammad Haikal Noor Azmin,18, yang juga pelajar orang kurang upaya (OKU) terpaksa berbuat demikian selepas tiket bas ekspres ke kampung halamannya habis.

    Bagaimanapun, dia yang berjalan bersendirian sambil menyorong beg pakaian ditemui pensyarahnya yang kebetulan dalam perjalanan pulang di sekitar Jalan Bertam Indah 2, kira-kira pukul 7 petang semalam.

    Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB), Ts Jasni Mohd. Yusof ketika dihubungi berkata, pelajar terbabit kelihatan letih, namun tetap mahu meneruskan perjalanan pulang ke kampung.

    “Muhammad Haikal adalah pelajar bidang Sijil Animasi 2D dan dia juga kurang sempurna daripada segi pergerakan dan pertuturan, namun semangatnya kuat.

    “Kita mengambil inisiatif menghantar Muhammad Haikal pulang ke Kelantan menggunakan kenderaan jabatan hari ini supaya boleh mengundi Sabtu ini.

    “Sumbangan turut dibuat oleh semua kakitangan kolej bagi memudahkan urusan perjalanan pelajar berkenaan,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, dia amat terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak KKKB yang turut dapat meringankan beban keluarganya.

    Difahamkan, dia kematian ayah sejak berusia 11 tahun dan memikul tanggungjawab sebagai anak sulung daripada lima beradik.