Category: Semasa

  • Saya tak lari dari kawasan, Anwar yang suka ‘lompat’, kata Azmin

    Saya tak lari dari kawasan, Anwar yang suka ‘lompat’, kata Azmin

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang seperti didakwa musuh politik.

    Sebaliknya calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu mendakwa perbuatan melompat kawasan gemar dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya konsisten kekal bertanding di kawasan kelahirannya sejak 1999, berbanding Anwar yang lari daripada Permatang Pauh, kemudian ke Port Dickson dan Tambun pada PRU lepas.

    “Hulu Kelang merupakan ‘political base’ saya, saya diberi mandat dalam politik ini seawal 1999 di Hulu Kelang dan ketika saya dipilih menjadi Ahli Parlimen Gombak, Hulu Kelang adalah dalam Parlimen Gombak, jadi tak timbul soal lari seperti didakwa musuh politik saya.

    “Yang lari daripada ‘political based’ adalah orang seperti (Anwar) dari Permatang Pauh, lari ke Port Dickson lari ke Tambun…itu lari,” katanya kepada media selepas penamaan calon DUN Hulu Kelang.

    Azmin, berpindah dari DUN Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang berdepan Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Juwairiya Zulkifli yang juga dipindahkan dari DUN Bukit Melawati.

    DUN Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu yang dimenangi dan dipertahankan aktivitis reformasi dan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah), Saari Sungib, selama tiga penggal berturut-turut.

    Beliau yang memenangi DUN Hulu Kelang atas tiket PKR mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN ini kerana masalah kesihatan.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Azmin gagal mempertahankan Parlimen Gombak yang disandang selama tiga penggal, di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

    Mengulas keyakinan menawan semula DUN Hulu Kelang selepas kekalahan besar pada PRU15, Azmin berkata beliau enggan menoleh ke belakang sebaliknya mahu bangkit memperbaiki rekod lampau.

    “Saya reda atas kekalahan lalu, kita telah lakukan muhasabah mungkin ada kelemahan yang harus diperbaiki,” katanya, lapor FMT.

  • Kem Presiden Gerakan nafi jentera Pas tak hadir di pusat penamaan calon

    Kem Presiden Gerakan nafi jentera Pas tak hadir di pusat penamaan calon

    KEM Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau menafikan bahawa jentera Pas tidak hadir untuk menyokong calon Bayan Lepas itu ketika beliau menyerahkan kertas pencalonannya pagi ini.

    Penyokong kepada Lau, Madzin Che Zin berkata, sekurang-kurangnya 20 penyokong Pas adalah sebahagian daripada hampir 100 orang yang berarak bersama ketua Gerakan itu ke pusat penamaan calon pagi ini.

    Madzin dari Parti Pribumi Berrsatu Malaysia (Bersatu) berkata, bahawa semua anggota komponen Perikatan Nasional PN di Pulau Pinang diarah memakai baju biru tua gabungan itu dan membawa benderanya, lapor FMT.

    Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan tiada jentera pilihan raya Pas hadir mengiringi Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN, untuk pencalonannya hari ini.

    Ia juga melaporkan bahawa perarakan itu kurang memberangsangkan berbanding kira-kira 300 orang yang berkumpul untuk menyokong calon Pakatan Harapan (PH), Azrul Mahathir Aziz dari Parti Amanah Negara (Amanah).

    Azrul, yang mempertahankan kerusinya di Bayan Lepas, diiringi penyokong kedua-dua PH dan Barisan Nasional (BN).

    Kerusi itu akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Azrul dan Lau, yang juga seorang Senator, sebaik pencalonan ditutup.

  • Rina Harun turun berbekalkan pengalaman menteri dalam PRN

    Rina Harun turun berbekalkan pengalaman menteri dalam PRN

    DATUK Seri Rina Mohd. Harun yang mencipta kejutan apabila diturunkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga akan menggunakan pengalaman sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebelum ini untuk menarik sokongan pengundi.

    Menurutnya, walaupun Selangor kubu kuat Pakatan Harapan (PH), beliau yakin Perikatan Nasional (PN) dapat membuat satu perubahan dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRN) kali ini.

    “Ia memang tidak mudah tetapi kami akan bekerja keras kerana kita lihat sentimen dan situasi sekarang ini membabitkan tujuh bulan kerajaan pusat memerintah banyak janji tidak ditepati.

    “Saya akan menggunakan pengalaman sebagai menteri untuk memikirkan cara membantu menaiktaraf sosioekonomi rakyat di Shah Alam ini dan membantu menaik taraf sistem kemudahan rakyat,” katanya.

    Rina Harun bertemu orang ramai semasa berkempen selepas menjadi calon DUN Batu Tiga. – Foto Facebook Rina Harun

    Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika ditemui selepas selesai penamaan calon di Shah Alam hari ini.

    DUN Batu Tiga dan Kota Anggerik menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

    Bagi kerusi DUN Batu Tiga, Rina mewakili PN manakala PH diwakili Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Danial AI Rashid.

    Seorang lagi calon dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syaidiyah Izzati Nur Razak.

    Rina Harun mencipta kejutan apabila diturunkan di DUN Batu Tiga pada PRN Selangor. – Foto Facebook Rina Harun

    Bagi Kerusi DUN Kota Anggerik pula, penyandang kerusi itu, Najwan Halimi akan mempertahankan kemenangannya dengan melawan Ketua Pemuda PN Selangor, Mohamed Sukri Omar dan MUDA, Azad Akhbar.

    Sementara itu, Najwan yakin mempertahankan kerusi itu seterusnya memberi kemenangan kepada PH.

    Najwan berkata, beliau bersama Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial AI Rashid yang bertanding di DUN Batu Tiga akan mula menjalankan gerak kerja kempen bermula hari ini.

    Menurutnya, jentera parti dan logistik sudah bersiap sedia untuk turun berkempen.

    “Kita akan berkempen secara matang dan berhemah tanpa menyentuh sensitiviti seperti yang disaran Sultan Selangor.

    “Jadi saya pohon sokongan semua dan kita yakin PH dan Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti dan seterusnya mempertahankan Selangor,” katanya, lapor Berita Harian.

  • PN tawar pemulihan ekonomi, inflasi segera jika menang PRN, kata Muhyiddin

    PN tawar pemulihan ekonomi, inflasi segera jika menang PRN, kata Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) menjanjikan keutamaan dalam menyelesaikan kos sara hidup, inflasi dan kenaikan harga barang sebaik sahaja gabungan itu berjaya tubuh kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu juga akan berusaha membantu ringankan bebanan rakyat disebabkan konflik-konflik tersebut dalam kadar segera sejurus selepas kerajaan negeri dibentuk. 

    Selain itu, katanya, PN juga meneliti isu-isu lain yang dihadapi rakyat contohnya isu berkaitan pekerjaan dan pendapatan serta masalah-masalah lain yang berbangkit sehingga mengganggu urusan harian rakyat. 

    “Secara umumnya adalah soal pemulihan ekonomi dipercepatkan supaya peluang-peluang kerja lebih banyak dan kediaman-kediaman dibina untuk orang yang tak ada rumah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak, hari ini. 

    Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan tawaran-tawaran yang disebut itu juga terkandung di dalam manifesto PN bagi menghadapi PRN di enam negeri. 

    Katanya, pelancaran manifesto itu dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat, lapor Malaysianow.

    Antara lain, katanya, terdapat juga beberapa isu utama yang lain akan difokuskan dalam manifesto berkenaan. 

    Ini termasuklah soal kesihatan rakyat, pendidikan, iklim, alam sekitar dan lain-lain turut ditekankan dalam kandungan manifesto itu. 

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pihaknya yakin dan percaya dengan pengalaman mereka pernah mentadbir negara dan negeri menjadikan PN ramai ahli-ahli korporat dan profesional sebagai calon untuk memikul amanah sebagai wakil rakyat.

  • Annuar Musa, anak berbeza khemah iringi calon PRN

    Annuar Musa, anak berbeza khemah iringi calon PRN

    BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan anaknya, Afiq Amani Annuar, berbeza khemah ketika hadir memberi sokongan kepada parti masing-masing di pusat penamaan calon di Majlis Daerah Ketereh-Bandaraya Islam (MDK-BI) pagi ini.

    Annuar hadir memberi sokongan kepada calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kadok dan Kok Lanas bersama lebih 3,000 penyokong yang tiba pukul 8.13 pagi.

    Sementara anaknya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh mengiring calon Barisan Nasional dan Parti Amanah Negara (Amanah) mewakili kerajaan perpaduan bersama Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

    Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) turut bersama beberapa nama besar Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Nasruddin Hassan Tantawi serta tiga calon PRN 2023 turut menunaikan solat hajat bersama penyokong sebelum menyerahkan borang pencalonan.

    Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu hadir sebagai ahli parti Pas bagi memberi sokongan kepada bakal calon di ketiga DUN iaitu Wan Rohaimi Wan Daud (N23 DUN Melor), Datuk Azami Mohd. Nor (N24 Kadok) dan Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (N25 Kok Lanas).

    Beliau menyambut baik tiga calon Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan sebagai calon yang bakal, profesional dan bekerjaya iaitu seorang juru ukur, peguam dan akauntan yang turut mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam parti.

    “Sudah tentu tawaran baik untuk pengundi ada wakil rakyat berwibawa, kita ada prinsip jelas, bukan nak jadi calon sahaja, ibarat kita sembahyang ada imam, ada makmum, pahala imam dapat makmum pun dapat, kalau tak, kita mementingkan diri bukan perjuangan yang baik.

    “Saya katakan saya patut dijadikan pilihan akhir, kalau ada calon muda, berwibawa, regenerasi, saya dah berkali-kali jadi calon, mereka harus diberi peluang,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di MDK-BRI, Ketereh di Kota Bharu, hari ini.

    Annuar hadir di pusat penamaan calon di Majlis Daerah Ketereh-Bandaraya Islam (MDK-BI), Kota Bharu hari ini. – Foto Facebook Annuar Musa

    Annuar berkata, jika menjadi calon beliau tidak dapat membantu Pas di negeri lain sebaliknya kini beliau boleh berceramah ke serata negeri bagi memenangkan Pas pada PRN kali ini.

    “Kita bukan fokus nak jadi calon saja, matlamat kita lebih besar nak ‘resetting’ politik negara yang kelihatan songsang, kerajaan yang tak berprestasi dan hilang kepercayaan rakyat.

    “Saya tetap akan mainkan peranan besar dalam PRN,” katanya, lapor Berita Harian.

    Annuar turut beriltizam membawa rakyat Ketereh untuk memberi kemenangan kepada Pas bagi kerusi DUN Kok Lanas yang sebelum ini dimenangi BN.

    Beliau yang pernah memegang Parlimen Ketereh akan memastikan rakyat Parlimen itu turut memberi kemenangan di kerusi DUN Kok Lanas yang menjadi milik UMNO sebelum ini.

    Dalam perkembangan sama, Annuar turut menyangkal ayat beliau memberi undi kepada UMNO adalah haram sebaliknya menyatakan beliau meminta pengundi mengharamkan tangan mengundi UMNO-BN selagi parti bersama parti DAP.

    “Betulkan kenyataan itu, saya tak kata haram undi UMNO-BN, tapi jangan sokong UMNO yang bersama DAP yang dasarnya bukan bercanggah sedikit tapi keseluruhan menolak negara Islam, nak hak sama rata, mengekalkan sokongan dasar Malaysian Malaysia, sindir permuafakatan orang Melayu sebagai Taliban dan sebagainya,” katanya.

  • ‘Pak Su Di’ yakin sokongan rakyat bantu tewaskan Mahdzir Khalid

    ‘Pak Su Di’ yakin sokongan rakyat bantu tewaskan Mahdzir Khalid

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu dari Perikatan Nasional (PN), Mohd. Radzi Md. Amin tidak gentar walaupun dicabar oleh calon ‘heavyweight’, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

    Menurut Mohd. Radzi yang lebih mesra disapa sebagai Pak Su Di, momentum sokongan rakyat yang kini tampak menyebelahi PN menambahkan lagi keyakinannya untuk mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal kedua berturut-turut.

    Justeru katanya, majoriti 670 undi yang memberinya kemenangan dalam PRU-14 tidak seharusnya dijadikan kayu ukur kepada kemampuannya untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    “Insya Allah kita cuba sedaya upaya mempertahankan kemenangan kerana kebanyakan dalam DUN ini merupakan kawan-kawan dalam pelbagai bidang. Saya yakin gerak kerja selama sepenggal di sini dapat memenangi hati rakyat di DUN Pedu.

    Gerombolan penyokon PN berarak ke Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap untuk menyokong Pak Su Di serta calon gabungan itu di DUN Kuala Nerang, Munir Zakaria, pagi tadi.

    “Dalam PRU-14, kita hanya menang dengan majoriti yang sedikit kerana ketika itu BN masih kuat. Tetapi dengan momentum semasa yang tampak memihak PN ketika ini, saya yakin sokongan rakyat di DUN Pedu juga bertambah dan majoriti akan meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap.

    Beliau tiba ke pusat penamaan calon tersebut bersama calon PN bagi DUN Kuala Nerang, Munir Zakaria kira-kira pukul 8.23 pagi dengan diiringi kira-kira 1,000 penyokong sebelum menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.04 pagi.

    Mahdzir yang tiba pukul 8.39 pula menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.07 pagi dengan pengesahan pencalonan kedua-dua calon bagi DUN Pedu itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Iman Hazwan Abd. Halim kira-kira 10.30 pagi.

    Mengulas lanjut Pak Su Di berkata, beliau amat memahami keperluan penduduk setempat setelah sepenggal berkhidmat di kawasan itu.

    “Rakyat di Pedu terutamanya mereka yang tinggal di kampung bukan mahu kayakan diri sendiri sebaliknya mereka mahu hidup dalam keadaan aman damai,” katanya.

    Dalam PRU-14, Pak Su Di memperolehi 8,164 undi menewaskan Kama Noriah Ibrahim (BN) yang mendapat 7,494 undi dan calon PKR, Hashim Idris yang hanya meraih 3,272 undi.

  • PRN: Empat penjuru di DUN Pandan Indah, Cik Ton lawan Izham

    PRN: Empat penjuru di DUN Pandan Indah, Cik Ton lawan Izham

    CALON Perikatan Nasional (PN), Fazil Mohamad Dali juga dikenali sebagai Ayahanda Cik Ton atau Cik Ton berdepan saingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

    Cik Ton dicabar penyandang kerusi DUN itu, Izham Hashim yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor selain Timbalan Ketua arlimen MUDA Bandar Tun Razak mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Lisa Redzuan.

    Dalam masa sama, seorang calon Bebas, Sivaneswaran Ramasundram turut mengesahkan pencalonan di kerusi DUN Pandan Indah.

    Sementara itu, kerusi DUN Teratai pula menyaksikan saingan satu lawan satu melibatkan dua muka baharu mewakili PH dan PN.

    PH meletakkan Yew Jia Haur, manakala PN, Chew Han Keai, lapor Astro Awani.

    Pengumuman rasmi calon di kedua-dua DUN berkenaan dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pandan Indah, Julaihah Jamaludin dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Teratai, Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Perbandaraan MPAJ Pandan Indah, di Ampang sekitar pukul 10.30 pagi.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Izham menang dengan majoriti 16,386 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Haniff Koslan dan Datuk Iskandar Abdul Samad (Pas) di DUN Pandan Indah.

    Sementara kerusi DUN Teratai pada PRU14 dimenangi calon Parti Warisan (Warisan), Bryan Lai Wai Chong dengan majoriti 29,425 undi menewaskan Mohd Irman Abdul Wahab (Pas) dan Liew Pok Boon (Barisan Nasional).

    Beliau mengumumkan keluar parti DAP pada April 2021 untuk menjadi wakil rakyat bebas sebelum menyertai Warisan pada Januari 2022.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi enam negeri pada 12 Ogos, manakala hari undi awal pada 8 Ogos.

  • Sanusi bertembung satu lawan satu dengan BN

    Sanusi bertembung satu lawan satu dengan BN

    Oleh BADLISHAH MAT

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri akan menyaksikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya penggal lalu.

    Menteri Besar Kedah itu bakal ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.

    Pengumuman nama mereka dilakukan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN Jeneri, Muhamad Suhaimi Man di Pusat Penamaan Calon Pejabat Daerah dan Tanah Sik.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.04 pagi diikuti Muhamad Khizri enam minit kemudian.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau menewaskan penyandang kerusi itu, Mahdzir Abd. Hamid daripada BN dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.

    Sementara itu, pertembungan dua penjuru turut berlaku di DUN Belantek apabila calon PN, Ahmad Sulaiman akan menentang calon PH, Mazli Saipi.

    Penyandang kerusi itu, Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia pada 14 Jun lalu selepas beliau menang dengan majoriti 2,574 undi mengatasi calon BN, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan calon PH, Abdul Rashid Abdullah.

  • Pusat penamaan calon SMK Sungai Pusu jadi tumpuan Muhyiddin, Anwar dan pemimpin utama lain

    Pusat penamaan calon SMK Sungai Pusu jadi tumpuan Muhyiddin, Anwar dan pemimpin utama lain

    PUSAT penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Sungai Tua dan Gombak Setia menjadi tumpuan top gun (pemimpin utama) parti politik tanah air untuk memberikan sokongan kepada calon ‘heavyweight’ masing-masing hari ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim antara yang hadir di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di Gombak pagi tadi sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

    Mereka mengiringi Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di DUN Hulu Kelang.

    Turut diiring, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin (Pas) yang dicalonkan di DUN Sungai Tua manakala penyandang kerusi Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham (Bersatu) mempertahankan DUN sama.

    Selain itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir diiringi Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

    Mereka menyertai perarakan bermula dari jambatan Sungai Chinchin kira-kira pukul 8.15 pagi, lapor Sinar Harian.

    Rombongan itu mengiringi calon PH yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua yang dimenangi beliau sejak 2008.

    Anwar mengiringi Amirudin, Megat Zulkarnain dan Juwairiya berarak ke Pusat Penamaan Calon SMK Sungai Pusu, Gombak. GAMBAR: Warta Rakyat

    Turut diiringi calon DUN Hulu Kelang yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli (PKR) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dari Barisan Nasional (BN) yang menghantar pencalonan untuk bertanding di kerusi Gombak Setia.

    Suasana di luar pusat tersebut meriah dengan penyokong dan jentera pelbagai parti yang turut melaungkan kata-kata semangat kepada calon masing-masing.

    Sehingga pukul 9.50 pagi tadi, proses penamaan calon terkawal tanpa sebarang provokasi dengan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijalankan serentak pada 12 Ogos sementara penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos ini.

  • Kerajaan tak boleh salah guna kuasa umum peruntukan di PRN

    Kerajaan tak boleh salah guna kuasa umum peruntukan di PRN

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan Madani supaya tidak menyalahguna kuasa dan membelakangkan amanah dalam membuat sebarang pengumuman dasar serta peruntukan daripada kementerian dan agensi Persekutuan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN), kali ini.

    BERSIH meminta kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mematuhi larangan 3C, iaitu tidak bersyarat (no condition), tidak berkempen (no campaign) dan tidak membawa calon (no candidate), seperti yang disarankan badan itu di enam negeri yang berdepan PRN.

    Badan itu merujuk kepada pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai peruntukan lebih setengah juta ringgit, di Dungun, semalam.

    Pengumuman Zahid itu membabitkan tambahan geran kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) berjumlah RM100,000, RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

    “Ahmad Zahid dalam ucapannya jelas mengenakan syarat dengan menyatakan jumlah peruntukan ini akan dinaikkan jika parti beliau menang pada PRN ini dan berkempen di hadapan belia yang hadir untuk memenangkan arus merah biru, yang merujuk kepada gabungan parti kerajaan dalam pilihan raya kali ini.

    “Peruntukan khas kepada tiga badan sosial di Terengganu dan bukan untuk semua badan seumpama itu di seluruh negara melanggar prinsip ‘tidak berkempen’, manakala kenyataan yang mengaitkan jumlah peruntukan kepada kemenangan PRN terang-terang melanggar prinsip ‘tidak bersyarat.’

    “Ini berbeza dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai kerangka ekonomi baharu ‘Ekonomi Madani’ yang merangkumi seluruh rakyat Malaysia dan tidak mengaitkan sebarang peruntukan dengan sokongan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini, BERSIH mencadangkan garis panduan 3C dalam aspek penggunaan sumber kerajaan menjelang PRN di enam negeri supaya ia tidak disalahgunakan dan memberi kelebihan kepada Kerajaan Persekutuan, berbanding pihak lawan.

    Pengerusinya, Thomas Fann berkata, walaupun Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu kini berada dalam pentadbiran kerajaan sementara dan tidak boleh menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen atau mengumumkan peruntukan, namun ia tidak menghalang Kerajaan Persekutuan daripada melakukan perkara itu, yang mampu meraih sokongan pengundi.

    Justeru, BERSIH menggesa Perdana Menteri untuk mengawal anggota Kabinetnya dan semua ketua agensi Persekutuan supaya tidak membuat pengumuman dasar atau peruntukan secara semberono, yang melanggar larangan 3C.

    “Tidak boleh ada pengumuman khas yang disasarkan kepada negeri yang menghadapi PRN untuk menarik sokongan.

    “Sudah tentu tidak boleh ada sebarang calon dalam upacara pengumuman. Sebarang pengumuman sebelum ini yang bersyarat, termasuk kenyataan Ahmad Zahid di Terengganu, mesti dibatalkan serta-merta,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, larangan 3C adalah untuk ‘menutup lubang’ bagi kerajaan bukan sementara, tanpa melarang mereka daripada melaksanakan amanah masing-masing.

    “Garis panduan ini bersama dengan etika kerajaan sementara harus dikanunkan sebagai Akta/Enakmen Keberkecualian Pentadbiran Dalam Pilihan Raya di kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.