Category: Semasa

  • PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PENGUNDI di empat pusat pengundian di Limbang dan Baram terpaksa meredah banjir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan empat pusat pengundian yang terkesan akibat banjir itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak dan SK Meritam di Limbang serta SK Dato Sarif, Kampung Narum, Marudi dan SK Long Bemang di Baram.

    Maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menyatakan trend air meningkat dilaporkan di SK Meritam setinggi satu meter dan SK Telahak (0.6 meter), sementara trend menurun dicatatkan di SK Long Bemang (0.33 meter).

    Turut dilaporkan keadaan banjir yang melibatkan laluan menuju ke SK Dato Sarif dengan paras air berada 0.08 meter dari paras jalan raya.

    Di sebalik keadaan bencana alam ini, proses pengundian untuk PRU15 di kawasan berkenaan berjalan lancar.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri yang ditemui pemberita di sini hari ini berkata Ketua Polis Daerah di kawasan terkesan banjir berkenaan melaporkan proses pengundian berlangsung lancar setakat ini.

    Katanya, Polis Sarawak bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan keadaan banjir itu tidak menjejaskan perjalanan proses berkenaan.

    “Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai),” tambahnya.

    Semalam, media tempatan melaporkan SPR akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan Parlimen itu. – BERNAMA

  • PRU-15: Dilarang rai kemenangan di jalan awam – Polis Terengganu

    PRU-15: Dilarang rai kemenangan di jalan awam – Polis Terengganu

    SEMUA penyokong parti diingatkan agar tidak terbabit dalam sebarang perarakan bagi meraikan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama di jalan awam.

    Ketua Urusetia Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Polis Terengganu, Superintendan Mohd Aluwi Husain, berkata sebarang aktiviti seumpama itu tidak dibenarkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

    Beliau berkata, pasukan polis bersiap sedia mengawal keadaan dan orang ramai digesa mematuhi segala peraturan dan undang-undang ditetapkan.

    “Polis Kontinjen Terengganu berharap proses PRU15 yang kini berjalan dengan aman dapat dikekalkan sehingga keputusan diketahui.

    “Justeru, kerjasama semua pihak amat diperlukan sehingga kerajaan dibentuk. Jangan timbulkan provokasi atau kekacauan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

  • ‘Apapun keputusan PRU-15, terima dengan tenang’

    ‘Apapun keputusan PRU-15, terima dengan tenang’

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru semua pengundi menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara berlapang dada dan tenang.

    Menurut beliau, rakyat perlu bersikap matang dan tidak mencetuskan sebarang provokasi atau kekecohan selepas pengumuman keputusan yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.

    “Kita manfaatkan amalan demokrasi dengan cara yang beradab dan bersopan. Alhamdulillah saya dapati setakat ini (sepanjang kempen) tidak berlaku perkara yang tidak diingini di seluruh negara.

    “Ini satu keadaan yang baik, yang tenang. Kita harap suasana yang tenang dan aman ini berterusan walau apapun keputusan pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang, hari ini.

    Ditanya sambutan terhadap Perikatan Nasional (PN) setakat ini, calon Parlimen Marang itu berkata ia menunjukkan perkembangan positif.

    “Kita nampak (sambutan terhadap PN) menunjukkan perkembangan positif di seluruh semenanjung, dari Perlis sampai ke Johor. Ia amat menggalakkan khususnya dengan kehadiran anak-anak muda (yang keluar mengundi) dan ini merupakan satu petanda yang baik.

    “Dengan keadaan cuaca yang baik kita harap peratusan keluar mengundi itu tinggi dan kesedaran juga tinggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Abdul Hadi turut mengakui mampu kekalkan kemenangan di Marang berdasarkan peningkatan undi diterima setiap kali pilihan raya.

    Beliau turut menyeru kepada pengundi supaya keluar menunaikan kewajipan itu.

    “Saya menyeru kepada pengundi Islam, pengundi muda untuk keluar mengundi. Kita manfaatkan amalan demokrasi kerana kita tak boleh ketinggalan dalam masalah (perkara) ini.

    “Dan sebagai orang bukan Islam juga tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin masing-masing,” ujar beliau.

  • Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga calon PN Tioman

    Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga calon PN Tioman

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi ini.

    Beliau yang juga calon PN Parlimen Pagoh berharap keluarga Allahyarham terus tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan itu.

    “Ia berita yang amat menyedihkan.

    “Saya mengucapkan takziah kepada keluarga (Md Yunus),” katanya kepada pemberita selepas mengundi bagi kawasan Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar di sini hari ini.

    Muhyiddin turut ditemani isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

    Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin, Pahang pada 3.30 pagi ini, selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya dipercayai akibat serangan jantung.

    Dalam pada itu, Muhyiddin menasihatkan semua pengundi untuk keluar awal mengundi kerana bimbang banjir akan berlaku jika hujan lebat berterusan.

    Bagaimanapun, beliau melihat cuaca hujan hari ini di Muar tidak menjadi penghalang pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

    “Jadi keluar mengundi seawal mungkin adalah lebih baik,” katanya, kata lapor Sinar Harian.

  • PN bergabung dengan gabungan politik lain bentuk kerajaan bergantung keputusan PRU15-Azmin

    PN bergabung dengan gabungan politik lain bentuk kerajaan bergantung keputusan PRU15-Azmin

    PENGARAH Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan untuk PN bergabung dengan mana-mana parti politik bagi membentuk kerajaan masih belum dibuat setakat ini.

    “Fokus utama ketika ini adalah untuk mendapatkan seberapa banyak kerusi untuk membentuk kerajaan.

    “Sebab itu kita bertanding 171 kerusi atas tiket PN, dengan harapan kita mendapat sokongan yang wajar, sekurang-kurangnya 112 kerusi.

    “Jadi, tidak timbul soal nak membentuk kerajaan dengan gabungan lain,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Terdahulu, Azmin hadir bersama isteri Datin Seri Shamshida Taharin di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, Gombak, untuk membuang undi pada pukul 8.30 pagi.

    Ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu rela menjadi pembangkang daripada bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

    Mohamed Azmin berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.

    “Itu terpulang kepada keputusan hari ini dan kita akan bincang apakah langkah seterusnya, sekarang kita nak fokus mendapatkan kerusi yang secukupnya,” ujarnya.

    Abdul Hadi sebelum ini berkata, Pas tidak sekali-kali akan bergabung dengan BN yang dianggap masih `keruh’, selain masih mengekalkan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.

  • Peja optimis pertahan kerusi Tambun, harap SPR cepat kira undi

    Peja optimis pertahan kerusi Tambun, harap SPR cepat kira undi

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diharapkan tidak mengheret keputusan pengiraan undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hingga melewati waktu tengah malam.

    Menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ini kerana SPR mempunyai petugas yang mencukupi selain penggunaan teknologi yang boleh mempercepat dan melancarkan urusan berkenaan.

    “Saya harap jangan lama sangat. Dunia makin hari makin maju. Lagi pun SPR ada cukup petugas.

    “Saya fikir nak kira undi bukan terlalu sulit. Harap tak perlu tunggu sampai tengah malam. Saya juga harapkan semuanya berjalan lancar,” katanya selepas hadir mengundi di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Ihtidayah Tambun Height pagi tadi lapor Berita Harian.

    Sebelum itu, Ahmad Faizal yang juga calon PN kerusi Parlimen Tambun tiba bersama isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin kira-kira pukul 7.55 pagi.

    Mengenai peluang untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu, Ahmad Faizal optimis PN mampu mencapai kejayaan bersandarkan gelombang sokongan terhadap gabungan parti di seluruh negara.

    “Secara jujurnya selepas dua minggu berkempen, saya rasa ada gelombang di seluruh negara yang menyokong PN …sangat menggalakkan,” katanya.

    Berkenaan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang meninggal dunia pagi tadi, Ahmad Faizal berharap SPR dapat membuat satu keputusan yang baik untuk semua pihak.

    Kepada keluarga Allahyarham, beliau mengucapkan takziah sambil mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

    “Saya rasa amat berduka cita dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga beliau dan kita sama-sama doakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-saa orang beriman serta beramal soleh,” katanya.

  • PRU-15: Pengundian DUN Tioman tangguh

    PRU-15: Pengundian DUN Tioman tangguh

    PROSES pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi ini. 

    Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Datuk Zamree Hamli yang memaklumkan perkara itu berkata proses pengundian bagi Parlimen Rompin dan dua lagi DUN di bawahnya iaitu Muadzam Shah dan Bukit Ibam bagaimanapun berjalan seperti biasa. 

    “Status DUN Tioman akan disahkan oleh ibu pejabat SPR dan perkembangan berkaitan tarikh baharu juga mereka akan buat,”  katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

    SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Terdapat 42 kerusi DUN di Pahang.

    Md Yunus, 61, daripada PAS, meninggal dunia di Hospital Rompin pada kira-kira 3.30 pagi selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya dipercayai akibat serangan jantung.

    Pada PRU15, DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

    Allahyarham yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.

    Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian Md Yunus.

    “Penangguhan (pengeluaran kertas undi)  hanya melibatkan DUN berkenaan sahaja,” kata Ahmad Nasim. – BERNAMA 

  • Muhyiddin, isteri selesai mengundi di SMK Sri Muar

    Muhyiddin, isteri selesai mengundi di SMK Sri Muar

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selesai mengundi di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, Muar, hari ini.

    Beliau dan isteri menaiki kenderaan jenis Alphard berwarna hitam tiba di pintu masuk SMK Sri Muar kira-kira pukul 8.50 pagi.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan isteri itu selesai mengundi bagi kerusi Parlimen Muar pukul 9.05 pagi, lapor Sinar Harian.

    Muhyiddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pagoh selama enam penggal berdepan saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Muhyiddin dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

    Kerusi Parlimen Pagoh disandang Muhyiddin yang menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi, menewaskan calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz dan dan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Mohamed.

    Sementara Razali, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, menang tiga penggal berturut-turut pada PRU-11, PRU-12 dan PRU-13, namun tewas pada PRU-14 kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan majoriti 6,953 undi di kerusi Parlimen Muar.

  • PRU-15: Calon PN DUN Tioman meninggal dunia

    PRU-15: Calon PN DUN Tioman meninggal dunia

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Md. Yunus Ramli, meninggal dunia awal pagi tadi.

    Md. Yunus, 61, dipercayai meninggal dunia pada jam 3.30 pagi akibat komplikasi jantung

    Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata,
    Pas merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Md Yunus.

    Menurutnya, dalam undang-undang pilihan raya umum (PRU) sekiranya ada dalam kalangan calon di Parlimen atau DUN meninggal dunia, proses pengundian baharu perlu dilakukan.

    “PRU semula perlu dilakukan dengan satu prosedur baharu sebagaimana yang berlaku di Padang Serai, Kedah.

    “Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga calon yang meninggal,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Maktab Sultan Ismail (SIC) di Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau hadir bersama isteri, Datin Seri Hariza Yusoff.

  • PRU-15: Pilih parti terbaik bentuk kerajaan – Muhyiddin

    PRU-15: Pilih parti terbaik bentuk kerajaan – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi memilih dengan betul bagi menentukan pembentukan kerajaan Persekutuan yang terbaik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu meminta semua pengundi memilih parti yang membuktikan wadah perjuangan yang mendengar denyut nadi rakyat, selain menjulang aspirasi dan cita-cita rakyat dalam tempoh singkat.

    Bekas Perdana Menteri itu antara lain mengajak pengundi menolak parti yang tidak mementingkan integriti, membudayakan rasuah dan tidak mampu menunaikan janji.

    “Dalam sesi bersama rakyat, ada yang bertanya kepada saya. Mengapa kita perlu memilih PN? Saya sering menjawab pilihlah PN kerana ia parti yang mengarusperdanakan agenda prihatin dalam kerajaan, mengutamakan rakyat dan tidak putus-putus membantu rakyat.

    “Daripada memberi bantuan tunai ke bakul makanan, subsidi upah ke moratorium, memastikan vaksinasi diberi kepada semua secepat mungkin, telah Kerajaan PN lakukan dan buktikan ketika mentadbir di era pandemik (Covid-19).

    “Kerajaan PN ikhlas membantu mengemudi negara dan membantu semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya menerusi Amanat Abah sempena PRU15, malam ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengajak pengundi memilih PN bagi membentuk kerajaan bersih, dipimpin individu berintegriti dan berlaku adil kepada semua.

    Selain itu, katanya, kerajaan stabil dapat dijana melalui keharmonian politik parti yang mentadbir, selain memaklumkan PN sentiasa menghormati semua pihak, setiakawan dan bekerjasama ke arah kebaikan negara.

    “Kestabilan dijamin melalui politik harmonis inilah yang akan menjamin kestabilan Kerajaan PN, membolehkan kita mentadbir dengan efektif dan inklusif apabila mendapat mandat daripada rakyat, insya-Allah.

    “Kestabilan inilah yang akan menjana pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan keyakinan pelabur di dalam dan luar negara untuk terus melabur dan merancakkan ekonomi negara,” katanya seperti dilaporkan BH Online

    Calon PN Parlimen Pagoh itu berkata, Covid-19 juga membuktikan kemampuan semua pihak bersatu padu menghadapi ancaman kepada negara, selain menegaskan kesan pandemik berbeza kepada setiap rakyat.

    Beliau juga menginsafi hakikat lebih 36,000 terkorban akibat pandemik dan jutaan lagi yang dijangkiti, selain mendoakan kesejahteraan semua pihak yang pernah dijangkiti Covid-19, termasuk saya serta keluarga.

    Katanya, berkat usaha semua pihak, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) bagi pekerja swasta berjaya dilaksanakan.

    “Berkat usaha kerajaan dipimpin saya ketika itu, kita bersama-sama keluar daripada pandemik ini melalui Pelan Pemulihan Negara yang membawa semua negeri bergerak keluar dengan selamat dan teratur melalui empat fasa mengikut tiga nilai ambang iaitu bilangan kes, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.

    “Kejayaan kita membekalkan vaksinasi dengan kadar segera, telah menyelamatkan jutaan nyawa rakyat. Terima kasih tidak terhingga saya kepada barisan hadapan kesihatan dan keselamatan yang membantu memastikan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.

    Mengimbau ketika menggalas jawatan Perdana Menteri, beliau berkata, banyak keputusan sukar diambil, selain mengakui beliau dihina, dikeji dan dicaci berikutan tindakan berkenaan.

    “Tidak mengapa. Setiap keputusan saya ambil dikaji dengan teliti, mengambil kira pandangan pakar, baik kesihatan mahupun ekonomi, serta bersama sama pemimpin negeri dan rentas parti. Semua dibuat berdasarkan data dan sains, dan keputusan bersama, demi kebaikan negara dan rakyat,” katanya.