CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendahului dengan 984 undi di kerusi Parlimen Tambun diikuti Datuk Aminuddin Md. Hanafiah (BN) 353 undi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH) 118 undi dan Abdul Rahim Tahir (GTA) dengan tujuh undi.
Category: Semasa
-

PRU15: Petugas SPR meninggal dunia di pusat mengundi
SEORANG petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninggal dunia dalam kejadian di pusat mengundi Sekolah ACS Methodist Jalan Raya Barat di Klang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai tidak sedarkan diri atas sebuah kereta buggy semasa bertugas di lokasi pusat mengundi tersebut.
Menurutnya, polis menerima makluman berkaitan kejadian pukul 12.15 tengah hari berkaitan mangsa berumur 45 tahun itu.
“Mangsa didapati tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menggunakan ambulans.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah meninggal dunia.
“Siasatan awal daripada keterangan isteri mangsa menyatakan bahawa mangsa sebelum ini pernah menerima rawatan sebagai pesakit jantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, HTAR untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya, lapor Sinar Harian.
-

PRU15: Dr Mahathir harap SPR terus haramkan telefon bimbit dalam pusat mengundi
PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat terus mengharamkan penggunaan telefon bimbit di dalam pusat mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, perkara berkenaan dapat mengelak pengundi daripada ‘membocorkan’ kertas undian mereka kepada pihak tertentu.
“Bila tidak bawa telefon bimbit di tempat mengundi, mereka tidak boleh dedahkan siapa yang mereka undi. Tetapi, kalau bawa telefon bimbit masuk, boleh ambil dan hantar gambar berkenaan kepada pihak tertentu.
“Jadi, orang luar boleh tahu siapa yang mereka undi. Kalau yang hendak bagi duit, tunjuk pangkah parti, jadi kena bagi duit dan apabila banyak sangat penggunaan duit ia akan mempengaruhi keputusan undi seseorang,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, di Alor Setar, kira-kira 10.55 pagi tadi.
-

PRU-15: Proses pengundian di seluruh negara lancar, terkawal
PROSES pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung di seluruh negara hari ini berjalan lancar dan terkawal walaupun terdapat kesesakan di beberapa pusat pengundian pada awalnya, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata tiada sebarang provokasi yang dikesan sepanjang proses berkenaan berlangsung.
“Semua pengundi melaksanakan pengundian dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram dan ini menunjukkan masyarakat kita semakin matang dalam proses pengundian.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang keluar mengundi kerana telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Kuala Lumpur, hari ini.
Acryl Sani berkata berdasarkan tinjauannya pada sebelah pagi mendapati orang ramai berpusu-pusu keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka, namun keadaan mula reda menjelang tengah hari apabila pengundi tidak lagi beratur hingga ke luar pagar pusat mengundi.
Turut hadir, Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Sementara itu, Acryl Sani menafikan dakwaan beliau ada menghubungi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa dalam satu video yang tular di media sosial malam tadi.
Beliau berkata dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan pihaknya tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan berhubung perkara itu.
“Mungkin beliau (Anwar) tersilap cakap dalam keghairahan berceramah dan berkempen,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video telah tular malam tadi yang mengandungi ucapan bekas timbalan perdana menteri itu ketika berkempen yang menyatakan Acryl Sani meminta beliau bersedia kerana berkemungkinan bakal membentuk kerajaan selepas PH dijangka memperoleh 112 kerusi Parlimen dalam PRU15.
-

Polis nafi berlaku gangguan elektrik di pusat undi SJKC Kepong
POLIS menafikan berlaku gangguan bekalan elektrik di pusat mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kepong, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata sebaliknya, hanya set generator di pusat mengundi berkenaan yang mengalami kerosakan akibat gangguan bekalan elektrik.
“Kami mendapati set generator yang digunakan rosak pagi ini tetapi keadaan itu berjaya dibaik pulih,” katanya.
Beliau berkata tiada sebarang provokasi berlaku semasa kejadian.
Sementara itu, TNB Careline menerusi kenyataan dalam Facebook memaklumkan siasatan mendapati punca kejadian itu disebabkan masalah pendawaian dan gangguan sistem bekalan melalui jana kuasa mudah alih di pihak pengguna.
“TNB akan terus memantau bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil sepanjang proses pengundian ini selesai,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, terdapat dakwaan mengenai kejadian power trip hampir satu jam di pusat pengundian itu dan pengundi terpaksa mengundi dalam gelap.
-

Suami isteri maut kemalangan selepas mengundi
Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEPASANG suami isteri maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan selepas pasangan itu selesai mengundi, dalam kejadian di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, pukul 12.08 tengah hari tadi.
Kemalangan berkenaan melibatkan kereta Perodua Alza dinaiki tiga beranak itu dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, siasatan mendapati Perodua Alza dalam perjalanan untuk ke Skudai, Johor Bahru setelah selesai mengundi di Lok Heng dekat Kota Tinggi.
“Perodua Alza tersebut yang menghala ke Johor Bahru terbabas semasa melalui selekoh dan berpusing di laluannya sebelum masuk ke laluan bertentangan menghala ke Mersing.
“Perodua Alza itu kemudian bertembung Toyota Hilux tersebut dalam keadaan jalan basah akibat hujan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza iaitu lelaki berusia 37 tahun dan isterinya, 31, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya patah kaki kanan.

Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, hari ini Sementara lelaki memandu Toyota Hilux berkenaan yang berusia 60 tahun katanya, tidak mengalami kecederaan.
Jelasnya, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Alza yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik.
Menurut Hussin, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Normak berkata, seramai lapan anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Mohd Rafi berkata, pasangan suami isteri terbabit tersepit di tempat duduk masing-masing manakala anaknya tidak tersepit.
“Kanak-kanak perempuan tersebut dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum bomba tiba. Bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dengan peralatan khas.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menambah, operasi menyelamat mangsa tersebut tamat pada pukul 1.09 petang.
-

‘Ayah nampak penat lepas kempen’ – Anak arwah calon PN Tioman
CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi tadi, dikatakan kelihatan agak penat semasa pulang ke rumah selepas tamat berkempen di Sungai Puteri, di Rompin malam tadi.
Anaknya, Khairyel Harith, 28, berkata ayahnya begitu bersungguh-sungguh berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, walaupun ada mengadu keletihan akibat jadual kempen yang padat.
“Setiap hari ayah nampak bersemangat untuk keluar berkempen. Selalunya beliau akan keluar dari 8 pagi dan pulang sekejap untuk solat Maghrib di rumah sebelum sambung berkempen hingga tengah malam.
“Malam tadi, selepas balik ayah hanya memberitahu sakit badan dan minta disapukan minyak angin, beliau nampak terlalu penat,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Taman Aman Jaya, Rompin hari ini.
Khairyel Harith, anak kedua Allahyarham berkata ayahnya mempunyai rekod sakit jantung dan pernah membuat pembedahan pintasan jantung pada 2013.
Jenazah Allahyarham masih berada di Hospital Rompin kerana menunggu keputusan saringan COVID-19, sebelum bedah siasat dilakukan dan dijangka akan dikebumikan esok.
Md Yunus, 61, yang merupakan seorang peniaga disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi tadi selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Rokiah Md Herham, 62, dan dua lagi anak iaitu Khairunisa Nadirah, 34, dan Khairyel Reezwan, 22.
Pada PRU15, DUN Tioman menyaksikan persaingan lima penjuru iaitu antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).
Allahyarham Md Yunus yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada PRU14.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan proses pengundian bagi DUN Tioman tidak berlangsung hari ini, dan akan diadakan pada 7 Dis, manakala hari penamaan calon pada 24 Nov dan hari mengundi awal pada 3 Dis ini.
Sementara itu, Mohd Johari yang turut menziarahi Allahyarham di hospital hari ini, berkata beliau sempat bertemu dengan Md Yunus malam tadi semasa mereka sama-sama berkempen di Sungai Puteri.
“Kami kenal sudah lama dari 2008. Walaupun berbeza parti, hubungan kami baik dan Allahyarham juga sangat peramah. Jadi kami selalu sahaja berborak tentang politik dan isu setempat di Rompin,” katanya.
-

Bangga menjadi rakyat Malaysia, Sergio Aguero teruja mengundi kali pertama
PEMAIN naturalisasi, Sergio Aguero teruja dapat menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia apabila mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut laporan BH Online, pemain bola sepak Sri Pahang FC itu mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Semambu, Kuantan, Pahang.
“Saya berbangga kerana menjadi warganegara Malaysia dan menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama. Harapan saya semoga Malaysia akan membentuk kerajaan yang stabil,” kata pemain berumur 28 tahun itu.
Aguero yang menyarung jersi Sri Pahang mengundi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan Parlimen Indera Mahkota.
Pada 16 September lalu, dia mengesahkan memiliki status warganegara Malaysia dan berbangga menjadi rakyat negara ini.
Penyerang itu berterima kasih kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan pengurusan kelab itu kerana menyokongnya sepanjang proses mendapatkan status warganegara.
“Kuantan adalah tempat yang istimewa untuk saya dan keluarga. Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan di sini bersama keluarga,” ujar beliau.
-

PRU-15: MySPR Semak ‘laku keras’, capai hits lepasi 2.5j persaat
APLIKASI dan portal MySPR Semak mendapat hits yang terlampau tinggi sehingga melepasi 2.5 juta persaat, dedah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Ini sekali gus menyebabkan berlakunya kesesakan dan gangguan pada capaian aplikasi dan portal berkenaan.
Menurut SPR, telah memaksimakan penggunaan server yang ada bagi mengatasi masalah ini.
“MySPR Semak mendapat hits yang terlampau tinggi sehing-ga melepasi 2.5 juta persaat. Ini sekaligus menyebabkan berlakunya kesesakan dan gangguan pada capaian aplikasi dan portal MySPR Semak.
“Pihak SPR telah memaksimakan penggunaan server yang ada bagi mengatasi masalah ini,” kata SPR menerusi makluman di Facebook.
Mengulas lanjut, SPR berkata, sebagai alternatif para pengundi boleh mendapatkan maklumat pengundian sama ada dengan menelefon talian hotline SPR.
Ia boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8892 7218 atau menyemak dibarung SPR di semua pusat mengundi.

