Category: Semasa

  • MB Perlis tewas kepada PN di DUN Bintong

    MB Perlis tewas kepada PN di DUN Bintong

    MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Fakhrul Anwar Ismail dalan pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Azlan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, hanya memperolehi 2,996 undi, berbanding 7,325 undi yang diperoleh Fakhrul Anwar.

    Fakhrul Anwar menang dengan majoriti 4,329 undi dalam saingan lima penjuru itu, lapor Berita Harian.

    Calon Pakatan Harapan (PH) memperolehi undi sebanyak 2,029; Shazwan Suban (PEJUANG) 157 undi; Datuk Hashim Suboh (Bebas) 157 undi dan Mohamad Khair Mohd Noor (WARISAN) 57 undi.

  • PRU-15: BN Melaka berputih mata, tewas semua kerusi Parlimen

    PRU-15: BN Melaka berputih mata, tewas semua kerusi Parlimen

    BARISAN Nasional (BN) Melaka terpaksa berputih mata apabila tewas di semua enam kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Senario itu menyaksikan BN julung kalinya terlepas semua kerusi Parlimen apabila tiga kerusi di Parlimen Tangga Batu, Jasin dan Masjid Tanah berjaya ditawan Perikatan Nasional (PN) manakala tiga lagi kerusi di Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka berada dalam genggaman Pakatan Harapan (PH), lapor Astro Awani.

    Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang membuat penampilan sulung di kerusi Parlimen Alor gajah berjaya menumbangkan calon ‘heavyweight’ BN iaitu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dengan majoriti 890 undi.

    PH turut mengekalkan kemenangan di Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim yang memperolehi majoriti 8,638 selepas menewaskan Ketua UMNO bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali daripada BN yang hanya memperoleh 30,780 undi.

    Dua lagi calon lain di Parlimen itu ialah Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Pejuang yang juga peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh daripada Gerakan Tanah Air (GTA) dan ahli perniagaan, Mohd. Azrudin Md. Idris daripada PN.

    Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP) turut berjaya mempertahankan kerusi itu yang disandangnya dengan majoriti selesa 46,420.

    PN Melaka turut membuat kejutan apabila penyandang kerusi parlimen itu di Masjid Tanah iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 4,411 undi menewaskan calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid yang hanya meraih 21,193 undi.

    Turut mencuri tumpuan apabila dua wakil Pas yang bertanding atas tiket PN berjaya menawan kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin menerusi Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkifli Ismail di Jasin dengan majoriti 322 dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Bakri Jamaluddin dengan majoriti selesa 8,849 undi di Tangga Batu.

  • Asyraf Wajdi kalah lagi, PN tawan Gerik

    Asyraf Wajdi kalah lagi, PN tawan Gerik

    KETUA Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki kalah lagi – kali kedua – dalam cubaannya untuk menjadi Ahli Parlimen menerusi Pilihan Raya Umum (PRU).

    Pada PRU-14, Asyraf kalah dengan majoriti 1,360 undi di Parlimen Pasir Puteh di mana Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada Pas menang undian sebanyak 32,307.

    Kali ini, pada PRU-15, beliau berpindah kawasan ke kubu kuat UMNO/Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gerik, Perak, dengan harapan memenangi hati pengundi di situ.

    Bagaimanapun, tindakan UMNO/BN meletakkan beliau di kerusi berkenaan dengan mengetepikan anak tempatan menerima padah apabila Asyraf Wajdi tumbang ditangan calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob.

    Keputusan itu diumumkan secara rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi.

    Fathul Huzir memperoleh 15,105 undi, menang majoriti 1,377 undi.Asyraf Wajdi memperoleh 13,728 undi manakala calon PH, Tarmizi Mohd Jam (5,779 undi), lapor Agenda Daily.

  • PRU-15: PN dahului setakat 12.30 malam

    PRU-15: PN dahului setakat 12.30 malam

    PERIKATAN Nasional (PN) mendahului Pilihan Raya Umum ke-15 dengan memenangi 35 kerusi Parlimen setakat 12.30 malam ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan keputusan di 112 kerusi Parlimen di seluruh negara.

    Pakatan Harapan pula memenangi 33 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (20), Barisan Nasional (16), Gabungan Rakyat Sabah (empat), Warisan (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan seorang calon Bebas iaitu Riduan Rubin (Tenom) masing-masing satu kerusi. – BERNAMA

  • Wan Saiful menang  besardi Tasek Gelugor

    Wan Saiful menang besardi Tasek Gelugor

    PERIKATAN Nasional (PN) berjaya merobohkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tasek Gelugor selepas calonnya, Datuk Wan Saiful Wan Jan menang dengan majoriti besar sebanyak 12,252 undi.

    Sepanjang sejarah pilihan raya umum (PRU), kerusi Parlimen Tasek Gelugor tidak pernah dimenangi mana-mana parti selain BN atau lebih tepat menerusi calon UMNO.

    Menerusi keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diumumkan Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) P.042 Tasek Gelugor, Supardi Amaludin kira-kira pukul 12.15 malam ini, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu berjaya mendapat sebanyak 31,116 undi.

    Beliau menewaskan empat lagi calon iaitu daripada Barisan Nasional (BN), Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang mendapat 18,864 undi; Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH) sebanyak 16,547 undi; Mohamad Akmal Azhar (Warisan) sebanyak 179 undi dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang) sebanyak 406 undi.

    Dalam pada itu, Wan Saiful mengakui tidak menyangka dapat mencapai kemenangan dengan majoriti selesa memandangkan pada PRU14, kerusi itu menyaksikan persaingan sengit dengan majoriti hanya 81 undi.

    Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada pengundi Tasek Gelugor yang memberi kepercayaan kepada PN yang mana ia disifatkan isyarat jelas rakyat mahukan perubahan dalam pentadbiran negara.

    “Kejayaan ini juga tidak akan berlaku tanpa adanya gelombang sokongan daripada anak-anak muda yang mahukan sebuah kerajaan Pusat yang bersih dan stabil yang akan dibawa oleh kerajaan PN khususnya di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada pemberita di Tasek Gelugor, malam ini, lapor SatuBerita.

    Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon BN (UMNO), Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendapat 18,466 undi dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).

    Bagaimanapun, Shabudin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada Disember 2018 sebelum membuat keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi itu kali ini dan memberi laluan kepada Wan Saiful.

  • Shahidan kekal penguasaan, terajui PN sapu bersih Arau

    Shahidan kekal penguasaan, terajui PN sapu bersih Arau

    DATUK Seri Shahidan Kassim yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen Arau pada Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Meskipun bertanding atas tiket Perikatan nasional (PN), Shahidan dilihat selesa mendahului dua pencabar di kerusi dimenanginya sejak 2013 itu dengan majoriti 23,216 undi, lapor BH Online.

    Shahidan memperoleh 31,458 undi menewaskan calon BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang memperoleh 8,242 undi serta calon Pakatan Harapan (PH), Fatin Amelina Fazlie dengan 7,089 undi.

    Selain Parlimen Arau, PN turut menyapu bersih lima kerusi DUN dalam kawasan itu iaitu Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang.

    Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan pernah memenangi kerusi Parlimen Arau pada 1986 dan 1990, sebelum beralih ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang antara 1995 hingga 2008.

    Selepas jawatan beliau selaku Menteri Besar Perlis digantikan dengan Datuk Seri Md Isa Sabu, Shahidan kembali bertanding di Parlimen Arau sejak 2013.

  • Motivasi tinggi, kekuatan jentera bantu kemenangan PN di Padang Terap

    Motivasi tinggi, kekuatan jentera bantu kemenangan PN di Padang Terap

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEKUATAN jentera Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Padang Terap menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan gabungan tersebut memenangi kerusi Parlimen itu yang sebelum ini disandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Menurut Ahli Parlimen baharu di situ, Nurul Amin Hamid daripada PN, kekuatan yang dibentuk oleh jentera berkenaan menyebabkan PN sama sekali tidak gentar untuk menggempur ke mana-mana kawasan meski pun berdepan calon lawan yang dianggap sebagai ‘heavyweight’.

    Malah katanya, cabaran dihadapi itu dianggap sebagai satu motivasi kepada seluruh jentera bagi memastikan kemenangan PN di kawasan Parlimen tersebut.

    “Saya bersyukur dengan kemenangan dari Allah dan ini boleh disifatkan sebagai kemenangan seluruh rakyat di Padang Terap. Alhamdulillah, sepanjang kempen kita dapat melihat gelombang PN berlaku di seluruh negara.

    “Saya berterima kasih kepada semua penyokong, pengundi dan semua yang terlibat dengan kejayaan ini. Doakan saya agar dapat berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

    Nurul Amin Hamid

    Menerusi pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Terap, Datuk Abd. Ghani @ Zulkifli Zainuddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi parlimen tersebut di Kolej Mara Kuala Nerang kira-kira pukul 11 malam tadi, Nurul Amin disahkan sebagai pemenang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 10,959 undi.

    Beliau yang sebelum ini merupakan Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memperolehi 28,217 undi manakala Mahdzir yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar sekadar mendapat 17,258 undi.

    Dua lagi calon bertanding iaitu Muaz Abdullah dari Pakatan Harapan (PH) dan Razali Lebai Salleh yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) jauh ketinggalan apabila masing-masing sekadar mendapat 2,702 dan 452 undi.

    Sebaik diumumkan sebagai pemenang di kawasan Parlimen tersebut, Nurul Amin terus melaksanakan sujud syukur di atas pentas.

    Ditanya langkah awal yang mahu dilaksanakannya sebaik terpilih sebagai Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada golongan kurang berkemampuan di kawasan itu terlebih dulu.

    “Dalam masa sama, saya akan mengusahakan tujuh tawaran yang dinyatakan akan dilaksanakan di Padang Terap semasa dalam tempoh berkempen sebelum ini,” katanya.

  • MB Kelantan zahir kesyukuran menang kesemua kerusi Parlimen

    MB Kelantan zahir kesyukuran menang kesemua kerusi Parlimen

    PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan manzahirkan kesyukuran atas kemenangan besar gabungan itu di negeri itu dengan memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen.

    Pengerusinya, Datuk Ahmad Yakob berkata, kemenangan itu amat bermakna buat mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    “Walaupun keputusan ini belum rasmi, keputusan terkini memihak kepada PN dan Insya-Allah kita sapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

    “Apa yang mengejutkan, kita berjaya merampas kerusi Parlimen Gua Musang yang disandang oleh Tengku Razaleigh Hamzah sejak sekian lama.

    “Hampir keseluruhan kerusi Parlimen kita mencatatkan kemenangan dengan majoriti yang besar,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

    Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan turut berterima kasih kepada semua penyokong PN termasuk pengundi luar.

    “Di kesempatan ini saya memohon dan menyeru penyokong supaya menyambut kemenangan dengan penuh syukur dan tidak membangkitkansuasana yang tidak harmoni,” katanya.

  • [RASMI] PAS sapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan

    [RASMI] PAS sapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu, Kelantan

    PAS mencipta rekod apabila memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Kemenangan itu termasuk di kerusi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang apabila memperoleh 73,115 undi dengan majoriti 41,729 undi.

    Keputusan juga amat mengejutkan apabila calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang memegang Parlimen berkenaan selama 11 penggal akhirnya tewas dengan calon Pas, Mohd. Azizi Abu Naim.

    Selain Gua Musang, Pas turut merampas dua kerusi milik BN di Ketereh dan Machang di Kelantan, manakala Parlimen Besut dan Hulu Terengganu di Terengganu.

    Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menewaskan tiga pencabar daripada BN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

    Daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan, enam Parlimen sudah selesai proses pengiraan yang kesemuanya dimenangi oleh Pas.

    Malah, kerusi Parlimen Machang yang disandang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub juga dirampas oleh calon Pas, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Di Terengganu, kemenangan juga diraih penyandang di kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid apabila memperoleh 49,601 undi dengan majoriti 22,197 undi.

    Ini sekali gus menidakkan pencabarnya daripada BN yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

    Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim turut mendahului dengan majoriti 35,914 undi.

    Selain itu, calon Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alias Razak mendahului dengan majoriti 28,860 undi, meninggalkan calon BN yang juga penyandang kerusi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

    Mohd. Khairuddin pertama kali memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus pada PRU13 dengan majoriti 610 undi.

    Beliau mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU14 yang diadakan pada 2018 dengan majoriti 8,447 undi selepas menewaskan calon UMNO dan Parti Keadilah Rakyat (PKR).

    Bagaimanapun, Mohd. Khairuddin keluar Pas berkuat kuasa serta-merta pada Mac lalu.

    Penyandang kerusi Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang memperoleh 42,841 undi menewaskan pencabarnya dalam persaingan empat penjuru dengan majoriti 15,806 undi.

    Di Dungun, penyandangnya, Wan Hassan Mohd. Ramli turut mendahului apabila memperoleh 17,882 undi manakala Setiu yang diwakili, Shaharizukirnain Abdul Kadir memperoleh 26,320 undi.

    Calon muka baharu bagi Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh turut mendahului dengan majoriti 17,241 undi.

  • Pas yakin PN mampu bentuk Kerajaan Pusat

    Pas yakin PN mampu bentuk Kerajaan Pusat

    PAS yakin Perikatan Nasional (PN) dapat membentuk kerajaan Pusat berdasarkan keputusan awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan berbincang dengan rakan-rakan PN untuk membentuk kerajaan dan Kabinet yang bakal diterajui mereka dengan secepat mungkin.

    “Kemenangan ini adalah hasil kerjasama antara ahli-ahli dan rakan-rakan dalam PN yang bekerja keras sejak awal lagi. Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang beri kepercayaan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi. 

    “Kami sedaya upaya mungkin untuk melaksanakan tawaran dijanjikan dan meneruskan Agenda Sejahtera Induk Negara 2021,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Agung Pas malam ini, lapor SatuBerita.