Category: Semasa

  • Jalaluddin pilih Muhyiddin, mahu kerajaan perpaduan tanpa PH

    Jalaluddin pilih Muhyiddin, mahu kerajaan perpaduan tanpa PH

    AHLI Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias secara terbuka mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menerusi satu kenyataan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata keputusan itu dibuat susulan Perikatan Nasional (PN) memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas Pakatan Harapan (PH).

    “Secara terbuka, saya mengambil sikap berjiwa besar dan matang dalam kolektif politik untuk mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri atas kerangka bahawa PN memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas PH. 

    “Kerangka pemikiran ini adalah atas prinsip saya untuk memastikan rakyat dan negara ini terus berada dalam keadaan stabil dan makmur sepertimana yang parti saya perjuangkan,” memetik kenyataan tersebut.

    Mengulas lanjut, beliau menerima keputusan PRU-15 dengan penuh kematangan dan keputusan BN yang hanya mampu menang di 30 kawasan Parlimen.

    Dalam situasi ini, tiada satu parti pun yang beroleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

    “Namun demikian, kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara ini harus diteruskan dengan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman.

    “Berpaksikan ‘track record’, saya berprinsip bahawa kita harus membentuk sebuah ‘unity government’ (kerajaan perpaduan) tanpa Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui kerajaan Malaysia pasca PRU15 ini.

    “Asas utama penolakan terhadap PH ini adalah atas kegagalan pentadbiran negara dan keruntuhan negara semasa 22 bulan diperintah mereka pada PRU14 lalu,” katanya.

    Perkara ini katanya, ahli-ahli Parlimen sewajarnya menjadi ‘collective responsibility’ dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat BN, PN, Parti Pejuang Tanah Air, Gabunan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Bebas dan lain-lain.

  • PRU15: Takkan pemimpin kanan lain tengok saja, KJ persoal pendirian pemimpin kanan UMNO

    PRU15: Takkan pemimpin kanan lain tengok saja, KJ persoal pendirian pemimpin kanan UMNO

    KHAIRY Jamaludin menyuarakan sokongan terhadap gesaan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan yang dilakukan oleh bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Beliau yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Sungai Buloh berkata, Shahril dan Onn Hafiz telah melakukan perkara yang betul.

    “Sekarang, pemimpin kanan perlu ikut. Takkan tengok saja? Menang sorak di WTC (World Trade Centre), negara tergadai,” katanya dalam satu muat naik di Instagram, hari ini, lapor Astro Awani.

    Hari ini, Shahril Hamdan mengumumkan meletak jawatan Ketua Penerangan UMNO dan mendesak Ahmad Zahid berundur secara terhormat susulan prestasi buruk parti pada PRU15 semalam.

    Nada sama dilontarkan Onn Hafiz yang turut menggesa Ahmad Zahid mengundurkan diri dengan segera sebagai tanggungjawab atas kekalahan BN dan UMNO yang mencatat prestasi terburuk pada PRU15.

    Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi BN dilaporkan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

    Pada PRU14, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen.

    Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).

  • PRU-15: Presiden MIC turut digesa letak jawatan

    PRU-15: Presiden MIC turut digesa letak jawatan

    PRESIDEN MIC, Tan Sri SA Vigneswaran turut digesa meletak jawatan susulan prestasi parti itu bersama gabungan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Penerangan MIC Johor, S. Deva, berkata prestasi parti itu mungkin tidak merosot dengan mendadak sekiranya suara di peringkat akar umbi diberi perhatian sebelum PRU-15.

    Katanya, sebelum pilihan raya lagi pihaknya sudah membuat ramalan bahawa pengundi akan beralih sokongan kepada parti gabungan lain sekiranya tiada perubahan dilakukan.

    Sehubungan itu katanya, Vigneswaran harus meletakkan jawatan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    “Sebelum PRU-15, saya secara konsisten mengatakan bahawa perlu mengambil pengajaran yang diperoleh daripada PRU14, tetapi ia tidak dipedulikan.

    “BN juga gagal mendengar penyokong dan pemimpin akar umbinya untuk memilih pemimpin yang dikehendaki ramai.

    “Sebagai balasan, orang ramai menghantar mesej yang kuat untuk menunjukkan betapa mereka kecewa dengan keputusan yang dibuat dan nasi sudah menjadi bubur,” katanya lapor BH Online.

    Deva berkata, berbanding calon tempatan yang boleh dipercayai, parti berkenaan juga membuat keputusan kurang memberangsangkan apabila meletakkan calon dari negeri lain seperti Perak dan Kuala Lumpur.

    “Pada masa sama, ahli politik seperti Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Datuk Halimah Mohamed Sadique yang berkhidmat dengan baik di kawasan mereka digugurkan daripada senarai calon.

    “Tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan akar umbi, mereka memutuskan untuk meletakkan calon dari negeri lain yang diminati kepimpinan parti.

    “Malah, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang sebelum ini berkata tidak mahu bertanding turut didesak untuk bertanding bagi menawan semula kerusi Parlimen Pulai sedangkan ada calon tempatan lain yang boleh bertanding di kerusi itu,” katanya.

    Deva berkata, beliau menggesa BN untuk mengorak langkah ke depan dengan membuat perubahan drastik daripada pengajaran yang diperoleh daripada dua PRU lalu.

    “Saya yakin ramai yang sayang BN, namun apa yang mereka mahu adalah perubahan termasuk dari barisan kepimpinan,” katanya.

    Setakat ini ramai pemimpin dan akar umbi parti itu menggesa Ahmad Zahid meletakkan jawatan serta-merta susulan prestasi buruk BN dalam PRU-15.

  • Muhyiddin yakin akan peroleh sokongan mencukupi

    Muhyiddin yakin akan peroleh sokongan mencukupi

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkeyakinan bahawa beliau akan memperoleh bilangan sokongan yang mencukupi daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat.

    Muhyiddin berkata, keyakinan itu diperoleh susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

    GPS dan GRS telah menyatakan kesediaan Ahli-Ahli Dewan Rakyat parti masing-masing untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-10.

    “Sebagai Pengerusi PN, saya berkeyakinan bahawa saya akan memperolehi bilangan sokongan yang mencukupi daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan saya dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10
    sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Kerajaan campuran dipercayai akan terbentuk iaitu antara PN, GPS, GRS dan Barisan Nasional (BN).

  • Halimah gesa Zahid berjiwa besar letak jawatan macam Najib

    Halimah gesa Zahid berjiwa besar letak jawatan macam Najib

    BEKAS Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam.

    Menurut beliau, UMNO tidak mampu dan tidak boleh lagi menanggung segala liabiliti individu dalam parti yang hanya meletakkan kepentingan peribadi.

    “Dengan rasa penuh hormat, saya memohon supaya Presiden UMNO, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya segera meletakkan jawatan.

    “Berjiwa besarlah Presiden. Bertanggungjawablah atas apa yang telah berlaku.

    “Letakkan kepentingan Parti sebagai keutamaan seperti yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2018 bila kita kalah. Beliau buat begitu kerana sayangkan Parti UMNO,” katanya menerusi catatan Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Halimah turut berpesan kepada Ketua UMNO Bahagian agar berani mempertahankan parti dengan iltizam untuk membersihkan dan menguatkan parti itu dengan meletakkan pemimpin yang lebih bertanggungjawab untuk terus memimpin UMNO.

    “Kepada semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian, jadilah seorang ketua yang ikhlas, bertanggungjawab dan kita sama-sama minta Presiden undur diri dan meletak jawatan demi perjuangan dan masa depan parti.

    “Pulangkan perjuangan UMNO kepada niat asal. Perjuangan dan keutamaan parti adalah tertumpu kepada suara akar umbi yang mendambakan sebuah institusi yang berupaya membawa suara dan nasib rakyat terbanyak. Kepada Allah kita berserah,” katanya.

    Sementara itu, Halimah menyokong sepenuhnya kenyataan dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang terlebih dahulu menggesa Zahid meletak jawatan.

    Jelas beliau, untuk itu, perlukan kepada perubahan besar untuk membersihkan nama UMNO yang suci.

    “Jangan cemarkan lagi kesucian Parti UMNO dengan pemikiran yang dangkal tidak berasas dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan peribadi,” katanya.

  • Beberapa Ahli Parlimen BN sokong PN

    Beberapa Ahli Parlimen BN sokong PN

    PERIKATAN Nasional (PN) dikatakan mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan, tanpa kerjasama Pakatan Harapan (PH).

    Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee memberitahu media di luar kediaman Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang ini.

    Teck Lee yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat (GRS) Sabah dan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga menyokong gabungan PN untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.

    Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 semalam menyaksikan PN memenangi 73 kerusi Parlimen, blok kedua terbesar selepas PH dengan 82 kerusi.

    Sementara itu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata perbincangan mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan hampir selesai, namun enggan mengulas lanjut.

    Beliau ditemui ketika meninggalkan kediaman Muhyiddin sebentar tadi, lapor Berita Harian.

  • Tindakan Ku Li bawa tuah kepada PN di Gua Musang

    Tindakan Ku Li bawa tuah kepada PN di Gua Musang

    TINDAKAN Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li memilih berada diblok bebas membawa tuah kepada Perikatan Nasional (PN) apabila berjaya ‘merobohkan’ kubu kuat BN di Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Datuk Mohd Azizi Abu Naim yang baru diberi mandat sebagai Ahli Parlimen kawasan itu berkata, tindakan Ku Li berbuat demikian seakan-akan menafikan hak rakyat Gua Musang.

    “Ahli Parlimen yang sepatutnya duduk di blok kerajaan tetapi memilih untuk berada di blok pembangkang, itu antara faktor penolakan terhadap BN pada PRU-15 kali ini.

    “Kami (PN) mewujudkan gelombang pembaharuan dengan menguar-uarkan pada rakyat untuk menolak kepimpinan Ku Li,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    Beliau yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang berkata, rakyat sudah lama inginkan perubahan di Gua Musang dan sehingga sekarang sepanjang pemerintahan di bawah BN ia tidak berlaku.

    Ujarnya, sebagai permulaan selepas diberi mandat oleh rakyat, beliau akan mengenal pasti keperluan serta kemudahan infrastruktur yang diperlukan di sini.

    Tambah Mohd Azizi, dengan itu beliau akan berhubung dengan semua agensi kerajaan bagi merealisasikan perkara tersebut.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kemenangannya di Parlimen tersebut adalah rezeki buatnya serta rakyat Gua Musang.

    “Syukur Alhamdulillah, bukan mudah untuk menang di kubu kuat BN ini namun peluang yang diberikan oleh rakyat tidak akan dipersiakan,” katanya.

    Mohd Azizi mewakili PN menang majoriti tipis iaitu hanya 163 undi sahaja mengalahkan bekas penyandang, Ku Li (BN).

    Beliau memperolehi 21,826 undi manakala Ku Li 21,663, Asharun Uji (PH) 4,517 dan Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (GTA) 371.

  • ‘Hilang keyakinan’: MCA juga tuntut Zahid Hamidi letak jawatan

    ‘Hilang keyakinan’: MCA juga tuntut Zahid Hamidi letak jawatan

    DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi terus menerima desakan daripada luar dan dalam partinya untuk berundur daripada mengetuai UMMO dan Barisan Nasional (BN).

    Terbaru Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon tampil membuat gesaan itu setelah Zahid memimpin BN memasuki pilihan raya yang mencatatkan keputusan paling buruk buat gabungan itu semalam.

    “MCA juga menyatakan pendirian bahawa parti MCA telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN dan beliau haruslah meletakkan jawatan dengan terhormat supaya seorang pemimpin baharu dapat mengambil alih pucuk pimpinan BN untuk menentukan hala tuju parti,” katanya.

    Dalam kenyataan sebentar tadi, Chong turut menyatakan rasa kecewa atas keputusan Zahid menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada malam ini. 

    Katanya, ketika politik tidak stabil selepas pilihan raya, keperluan untuk bermesyuarat amat mendesak supaya BN dapat membuat keputusan sebagai satu blok.

    “MCA mengambil pendirian yang tegas bahawa tiada mana-mana pihak yang berhak mewakili BN untuk berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya lapor FMT.

    Dia juga mendesak pemangku pengerusi BN memanggil Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dengan segera, jika Zahid berundur.

  • Gelombang kebangkitan rakyat bantu PN catat majoriti besar di Jerlun

    Gelombang kebangkitan rakyat bantu PN catat majoriti besar di Jerlun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Ahli Parlimen Jerlun yang baharu, Dr. Abd. Ghani Ahmad percaya bahawa kejayaannya mencatatkan majoriti besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam merupakan sebahagian daripada gelombang kebangkitan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil.

    Sambil mengucapkan syukur kepada Allah, beliau juga turut berterima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepadanya hingga mencatatkan sejarah memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti besar berjumlah 20,456 undi.

    “Gelombang kebangkitan pengundi muda juga merupakan salah satu faktor kemenangan besar yang kita kecapi ini. Sesungguhnya kemenangan inni merupakan kemenangan milik kita bersama.

    “Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada semua petugas-petugas Perikatan Nasional (PN) di setiap peringkat yang sentiasa bergabung tenaga, berkorban masa dan jiwa raga bagi memastikan kemenangan bergaya di Jerlun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada anak Jerlun yang pulang dari perantauan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih PN.

    “Semoga Allah membalas segala keringat yang telah dicurahkan dan mempermudahkan segala urusan kita semua,” katanya.

  • PRU-15: Anak muda pencetus gelombang sokongan luar biasa kepada PN

    PRU-15: Anak muda pencetus gelombang sokongan luar biasa kepada PN

    SOKONGAN anak muda adalah pencetus gelombang luar biasa kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pilihan raya kali ini menyaksikan kebangkitan rakyat Malaysia yang membentuk gelombang sokongan luar biasa kepada PN, terutama sokongan anak muda.

    “Terima kasih kepada semua jentera yang sentiasa bersiap-sedia menerima arahan dan menjalankan tugasan dengan sebaiknya. Keikhlasan dan kesungguhan yang ditonjolkan membuahkan hasil yang lumayan melalui kemenangan besar PN dalam PRU15 ini.

    “Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mampu membalas setiap masa dan tenaga yang dikorbankan demi menegakkan kebenaran di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera sepanjang fasa pilihan raya dan memberi undi kepada kepimpinan yang bersih dan stabil untuk menerajui Malaysia.

    “Hal ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin cakna dengan perkembangan semasa dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif fitnah yang dibawa oleh musuh. Sesungguhnya kemenangan PN adalah kemenangan rakyat Malaysia.

    “Pemuda PN menyokong penuh pembentukan kerajaan PN yang bersih dan stabil di peringkat persekutuan dan akan terus komited berkhidmat demi kesejahteraan rakyat, seterusnya mengangkat aspirasi agama, nusa dan bangsa dengan sebaiknya,” katanya lapor portal BeritaBersatu.