Category: Semasa

  • SPRM lancar tujuh bilik gerakan sempena PRN

    SPRM lancar tujuh bilik gerakan sempena PRN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan tujuh bilik gerakan sempena pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

    Suruhanjaya tersebut memaklumkan, langkah tersebut bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

    “Kesemua bilik gerakan beroperasi 24 jam mulai hari ini hingga 12 Ogos,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Bilik gerakan boleh dihubungi melalui 03-88911038 atau e-mel [email protected] (Ibu Pejabat SPRM), 03-55248318 atau [email protected] (Pejabat SPRM Selangor), 06-7625446 atau [email protected] pejabat SPRM Negeri Sembilan.

    Maklumat juga boleh disalurkan melalui talian 04-7001361 atau [email protected] (Pejabat SPRM Kedah), 04-2271982 atau [email protected] (Pejabat SPRM Pulau Pinang), 09-6301920 atau [email protected] (Pejabat SPRM Terengganu) dan 09-7661800 atau [email protected] (Pejabat SPRM Kelantan).

    “SPRM juga mengingatkan kepada semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya,” jelas SPR, lapor Sinar Harian.

    Tegas suruhanjaya tersebut, ini selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

  • PRN:MB Kelantan beri bayangan pencalonan penggal terakhir

    PRN:MB Kelantan beri bayangan pencalonan penggal terakhir

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob hari ini memberi bayangan bahawa pencalonannya kali ini merupakan penggal terakhir.

    Beliau memberitahu sudah bertanding pada penggal ketujuh untuk kali ini di N03 Pasir Pekan pada Pilihan Raya (PRN) Negeri Kelantan

    Katanya, pengunduran beliau bagi memberi laluan kepada generasi baharu dalam parti berkenaan untuk bertanding.

    “Sebab itu kita sudah memilih lebih 51 peratus calon muda yang juga muka baharu sebagai pelapis.

    “Dalam Pas kita akan sentiasa ada pelapis untuk memberi maklumat semasa dan mendidik ke arah pimpinan berakhlak, itu yang kita mahu.

    “Dalam politik Pas juga memberi peluang kepada ahli yang mampu memimpin untuk berupaya akan ke depan dan tiada ‘cah keting’ dalam parti ini.

    “Bagaimanapun, saya akan berada di ‘belakang’ parti untuk berjuang bersama-sama,” katanya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon PRN di Dewan Haji Wan Adam Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Pasir Pekan, Kota Bharu hari ini.

    Sementara itu, Ahmad berkata, pertandingan dua penjuru tidak memberi saingan sengit untuk memenangi DUN itu.

    “Pas akan mengikut gerak kerja yang sudah disusun supaya semua proses sehingga pertandingan berjalan dengan baik dan mencapai sasaran,” katanya.

    Ahmad turut menyerahkan pemilihan kepada pengundi yang dianggap sudah matang dalam demokrasi.

    “Penamaan calon berjalan dengan baik dan terserah kepada pengundi untuk memilih. Saya harapkan penyokong terbuka penuh demokrasi dan tiada perkara negatif,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Ahmad akan berdepan calon PKR, Mohamad Zamakh Sari Ibrahim pada PRN pada 12 Ogos nanti.

  • Dinding kaca pejabat PAS pecah berderai

    Dinding kaca pejabat PAS pecah berderai

    DINDING pejabat Pas di Kuala Lumpur pecah berderai awal pagi ini, kebetulan tidak lama sebelum proses penamaan calon pilihan raya enam negeri.

    Media sosial Pas mengumumkan perkara itu tetapi tidak mendedahkah butiran lanjut.

    Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dan kemalangan polis telah dibuat.

    “Ada rakaman CCTV dan ada saksi. Mudah-mudahan kes akan dapat diselesaikan segera,” kata penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil.

    Setakat laporan ini ditulis, masih tiada maklumat sama ada ia melibatkan perbuatan khianat.

    Proses penamaan calon bagi enam negeri melibatkan lebih 173 kawasan ditutup pada jam 10 pagi tadi.

    Pilihan raya akan berlangsung pada 12 Ogos depan.

  • PRN: Reezal Merican hadapi saingan calon PN di DUN Bertam

    PRN: Reezal Merican hadapi saingan calon PN di DUN Bertam

    AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berdepan persaingan sengit satu lawan satu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam apabila berdepan Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, daripada Perikatan Nasional (PN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang ini.

    Pencalonan Reezal Merican yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Khaliq Mehtab (Bersatu), diumum oleh Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Isma Wirda Yusof di Pusat Penamaan Calon DUN Bertam, Penaga dan Pinang Tunggal di Dewan Millenium Kepala Batas hari ini.

    Isma Wirda berkata borang pencalonan pertama dikemukakan Khaliq Mehtab pada 9.07 pagi, diikuti Reezal Merican yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada pukul 9.13 pagi.

    Reezal Merican, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas menyifatkan perebutan kerusi DUN Bertam itu sebagai usaha untuk menebus maruah setelah kalah pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kepala Batas sekali gus mengembalikan kebangkitan BN.

    Beliau berkata ia merupakan medan penting BN untuk mendapatkan kembali menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas 15 tahun.

    “PRN ini kita lihat kerajaan negeri yang bakal ditubuh. Wajar kita (BN) jadi rakan kongsi bermaruah dan kuat dalam kerajaan negeri. Insya-Allah DUN Bertam kita akan kembalikan ke pangkuan BN,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Millenium Kepala Batas hari ini.

    Mengakui cabaran besar berdepan figura politik tanah air besar, Khaliq Mehtab, yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya lepas sebelum kerusi itu diarah dikosongkan berikutan keputusan mahkamah pada awal 2023, berkata beliau yakin perkhidmatannya sebagai ADUN Bertam selama satu penggal akan membantu meraih undi.

    “Lawan saya bukan calang-calang orang. Seorang bekas menteri, bekas Ahli Parlimen tetapi saya ambil ini sebagai satu cabaran kepada PN untuk bekerja lebih kuat,” katanya.

    Pada PRU14, Khaliq Mehtab daripada PH ketika itu menang dengan undi majoriti 219 selepas memperoleh 6,485 undi, menewaskan Shariful Azhar Othman (BN) yang mendapat 6,268 undi dan Mokhtar Ramli (PAS) dengan 2,986 undi.

    Bagaimanapun, Khaliq Mehtab telah menarik sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb 2020 dan menyatakan pendirian untuk bersama Bersatu serta menyokong kepimpinan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sementara itu, penyandang kerusi DUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah daripada PAS akan berdepan dengan Mohd Naim Salleh daripada UMNO bagi mempertahankan kerusi berkenaan manakala DUN Pinang Tunggal menyaksikan perebutan antara Zainuddin Mohd daripada PKR dan Bukhori Ghazali daripada PAS.

    Pada PRU14, Mohd Yusni menang di DUN Penaga dengan memperoleh 8,350 undi, menewaskan calon BN Mohd Zain Ahmad manakala di DUN Pinang Tunggal pula menjadi milik Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, selepas menang tipis dengan 127 undi majoriti, mengalahkan Datuk Roslan Saidin (BN) dan Bukhori (PAS).

  • 572 calon layak bertanding PRN, PRK Parlimen Kuala Terengganu

    572 calon layak bertanding PRN, PRK Parlimen Kuala Terengganu

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen, dipertandingkan.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata seramai 572 calon mewakili pelbagai parti termasuk Bebas disahkan bertanding selepas tempoh penamaan ditutup pada pukul 10 pagi tadi.

    “Sejurus tamat tempoh penamaan calon pada pukul 10 pagi, sebanyak 573 kertas penamaan dikemukakan oleh pelbagai parti dan individu yang akan bertanding dalam PRN-15 dan PRK Parlimen P036 Kuala Terengganu.

    “Bagaimanapun, satu kertas penamaan calon ditolak membabitkan sorang calon Bebas DUN N09 Kota Lama, Kelantan,” katanya pada sidang media, hari ini.

    Abdul Ghani berkata, daripada 572 kertas penamaan yang disahkan, 108 daripadanya membabitkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (138), Perikatan Nasional (168), Pas (78), Parti Rakyat Malaysia (13), MUDA (19), Parti Sosialis Malaysia (4), Penang Front Party (2), Parti Utama Rakyat (1) dan Bebas (41).

    Katanya, sebanyak 181 pertandingan membabitkan satu lawan satu, tiga penjuru (51), empat penjuru (13) dan lima penjuru (1) iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N34 Lunas, Kedah.

    “Bilangan calon yang bertanding mengikut jantina adalah seramai 501 lelaki dan 71 wanita.

    “Calon paling tua adalah Ravinder Singh Mall Singh berusia 80 tahun dari Parti Rakyat Malaysia yang bertanding di kerusi DUN N36 Pantai Jerejak, Pulau Pinang manakala calon termuda ialah Melanie Ting Yi-Hlin berusia 23 tahun mewakili MUDA dan bertanding di kerusi N19 Bukit Antarabangsa, Selangor,” katanya.

    Beliau berkata, dengan selesainya proses penamaan calon itu, tempoh rasmi berkempen sudah bermula sehingga pukul 11.59 malam, 11 Ogos ini.

    “SPR berharap supaya aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

    “Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik, komponen, gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” katanya.

    Katanya, gambar pemimpin parti politik pada bahan kempen termasuk gambar pemimpin parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi namun menyokong atau bersekutu dengan calon parti politik bertanding, boleh digabung atau diletakkan secara berasingan.

    “Pemimpin yang dimaksudkan adalah individu yang mempunyai apa-apa jawatan di mana-mana peringkat di dalam parti atau parti gabungan yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi,” katanya lapor Berita Harian.

  • PRN: Mudah-mudahan menang, kata Muhyiddin

    PRN: Mudah-mudahan menang, kata Muhyiddin

    “MUDAH-MUDAHAN menang,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai calon-calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti dilaporkan Astro Awani.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditemui di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, hari ini.

    Muhyiddin sebelum itu mengiringi tiga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan Muhammad Hanif Jamaluddin bagi kerusi DUN Sungai Tua untuk PRN kali ini.

    Bagi kerusi Sungai Tua, penyandangnya, Datuk Seri Amirudin Shari akan menghadapi cabaran Muhammad Hanif dan seorang calon Bebas iaitu Suman Gopal.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi calon-calon PN di DUN Hulu Kelang iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan calon PN untuk DUN Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin. GAMBAR: Warta Rakyat

    Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua selama tiga penggal.

    Mohamed Azmin pula yang berpindah ke kerusi Hulu Kelang dari Bukit Antarabangsa akan berdepan satu lawan satu menentang Juwairiya Zulkifli dari Pakatan Harapan (PH).

    Azmin Ali menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang pada PRN Selangor di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, hari ini. – Foto GAMBAR Warta Rakyat

    Kerusi DUN Hulu Kelang sebelum ini ditandingi Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertukar kerusi DUN Batu Tiga dengan PKR.

    Pada PRU-14, DUN Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib dari Amanah mewakili PH.

    Dalam pada itu, satu lagi kerusi ‘panas’ di bawah Parlimen Gombak iaitu DUN Gombak Setia akan turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

    Pegawai Pengurus DUN N17 Gombak Setia, Mohd. Hasrul Hisham Abdullah mengisytiharkan penyandang kerusi itu, Muhammad Hilman Idham akan menentang calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

    Seorang lagi adalah calon Bebas iaitu Mohamed Salim Mohamed Ali.

  • PRN: Bekas kapten bola sepak lawan anak Yang Dipertua Dewan Rakyat di DUN Gurun

    PRN: Bekas kapten bola sepak lawan anak Yang Dipertua Dewan Rakyat di DUN Gurun

    BEKAS kapten bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang membuat kemunculan dalam arena politik bakal membuat perhitungan satu lawan satu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.

    Baddrol, 35, yang meninggalkan pasukan Sabah untuk menjadi calon Perikatan Nasional (PN) mendapat tentangan anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul iaitu Firdaus Johari di kerusi tersebut.

    Kerusi DUN Gurun dimenangi Johari pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

    Bagaimanapun, Johari bertindak mengosongkan kerusi tersebut selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Disember lalu.

    Firdaus sudah berada dalam politik di Gurun dan aktif dalam PKR selaku penyelaras pusat khidmat rakyat bagi kawasan DUN berkenaan.

    Beliau juga bertindak sebagai Timbalan Pengarah Strategi PKR Kedah, selain memegang jawatan Pengerusi Bersama Majlis Perpaduan Jerai dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pemuda Keadilan Kedah.

  • PRN:Sumbangan kempen kepada PN bukan satu kesalahan, kata Muhyiddin

    PRN:Sumbangan kempen kepada PN bukan satu kesalahan, kata Muhyiddin

    SUMBANGAN untuk menjalankan kempen pilihan raya negeri (PRN) yang disalurkan kepada Perikatan Nasional (PN) bukan satu kesalahan, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Sumbangan ini tidak perlu dipertikaikan berikutan ia hasil kerja keras penyokong mereka bagi membantu kelancaran kempen gabungan itu.

    “Ya, akaun saya semua dibekukan dan ini semua (sumbangan) adalah wang rakyat (penyokong) untuk membantu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN.

    “Jadi, kenapa kita perlu mempersoalkan (derma itu) kerana saya tidak mempertikaikan berapa banyak pun (wang) yang mereka (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) belanjakan (untuk kempen mereka),” katanya.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi calon-calon PN di DUN Hulu Kelang iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan calon PN untuk DUN Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin. GAMBAR: Warta Rakyat

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak hari ini.

    Muhyiddin mengulas mengenai sumber dana selepas mendapat sokongan lebih 5,000 penyokong sempena proses penamaan calon berkenaan.

    Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu turut membidas beberapa pengumuman bantuan tunai yang diumumkan kerajaan Selasa lalu.

    Menurutnya, secara tiba-tiba bantuan tunai kepada rakyat dilakukan dalam masa hanya dua minggu.

    Penyokong hadir menyokong calon-calon PN di DUN Hulu Kelang iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan calon PN untuk DUN Sungai Tua, Muhammad Hanif Jamaluddin. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Dia (sebelum ini) tabur janji demi janji ketika orang ramai menunggu, tetapi tiada apa yang diberikan,” katanya lapor Sinar Harian.

    “Tiba-tiba sekarang kamu ada duit. Tengok, inilah yang (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim lakukan sepanjang masa,” ujarnya.

    Muhyiddin terdahulu yang mengiringi calon PN bagi DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; DUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan DUN Sungai Tua, Hanif Jamaluddin tiba di pusat penamaan calon tersebut pukul 8.40 pagi.

  • PRN: Hadi yakin PN menang, namun akui tak mudah

    PRN: Hadi yakin PN menang, namun akui tak mudah

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui bukan mudah untuk berdepan gabungan kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN ini.

    Bagaimanapun, Presiden PAS itu berkata, beliau masih yakin untuk mencapai kemenangan berdasarkan sokongan pengundi muda dan kekuatan jentera parti berkenaan.

    “Kemenangan Insya-Allah dicapai. Kita tidak mengharap mudah, kita menghadapi parti PH yang jadi kerajaan.

    “Tapi Insya-Allah rakyat bersama kita, khususnya gelombang muda yang banyak mendukung kita pada PRU15 lalu.

    “Persiapan sudah dibuat dari awal, sebab itu tiada masalah kita menggerakkan jentera sahaja,” katanya kepada media selepas penamaan calon DUN Paya Jaras dan Kota Damansara di Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, hari ini.

    Terdahulu, Hadi mengiringi Abdul Halim Tamuri dari Pas dan Razlan Jalaluddin yang akan bersaing di kedua-dua kerusi DUN berkenaan.

    Ketibaan mereka di pusat penamaan calon turut disambut sekitar 350 penyokong PN yang hadir memberikan semangat, lapor FMT.

  • Harrison akur dipecat dari UMNO, PN lebih melekat di hati

    Harrison akur dipecat dari UMNO, PN lebih melekat di hati

    “SAYA akur (dipecat ahli UMNO) itulah prosedur organisasi. Saya terima dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada parti UMNO dan Barisan Nasional (BN),” kata Datuk Harrison Hassan.

    Keahliannya sebagai ahli UMNO digugurkan selepas beliau diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi DUN Jeram mewakili Perikatan Nasional (PN).

    Bekas Timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh itu berkata, ideologi yang ada pada PN menyamai dirinya menyebabkan beliau memilih untuk menjadi calon parti itu.

    Menurutnya, sebagai ahli politik beliau mahu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat seperti mana yang diperjuangkan oleh parti berkenaan.

    “Akhirnya kita hanya satu matlamat sebagai ahli politik untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

    “Saya akur dengan perkembangan semasa dan pembaharuan yang rakyat mahukan terutamanya rakyat di Jeram serta Selangor.

    “Saya berikrar untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangi DUN Jeram serta mengotakan manifesto saya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon DUN Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Kuala Selangor, hari ini.

    Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keahlian Harrison digugurkan selepas beliau diumumkan sebagai calon mewakili PN.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pengguguran keahlian Harrison adalah secara automatik selaras dengan perlembagaan UMNO dan peraturan dalam Lembaga Disiplin parti.

    Dalam pengumuman calon, Harrison berdepan saingan dua penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Jahaya Ibrahim bagi kerusi DUN Jeram pada PRN ini.

    Ditanya keyakinannya untuk memenangi kerusi itu kerana bersaing dengan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Harrison mengakui berdepan cabaran namun yakin rakyat mahukan pembaharuan.

    Sementara itu, Jahaya yang ditemui berkata, sokongan penuh daripada penyokong BN selain PH diyakini dapat membantu beliau memenangi kerusi itu lapor Harian Metro.

    Katanya, sebagai penduduk lama di Kuala Selangor beliau meletakkan matlamat untuk membuat perbaharuan dari segi ekonomi, perniagaan dan infrastruktur di Jeram.

    Untuk rekod, kerusi DUN Jeram dimenangi Mohd. Shaid Rosli dari PKR yang memperoleh 7,087 undi menewaskan calon BN, Zahar Azlan Arifin (5,896) dan calon Pas, Mohd. Nor Mohd. Shahar (4,326).