Category: Semasa

  • Anwar tidak jawab pertanyaan media akan pergi ke Istana Negara atau tidak hari ini

    Anwar tidak jawab pertanyaan media akan pergi ke Istana Negara atau tidak hari ini

    CALON Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan kediamannya di Cheras, sekitar 11.05 pagi untuk ke ibu pejabat Pakatan Harapan di Petaling Jaya.

    Apabila ditemui media yang berada di hadan rumahnya sebelum ke pejabat, beliau memaklumkan akan ke pejabat dahulu dan akan kembali ke kediaman itu kemudian, namun tidak menyebut jangkaan waktu yang tepat.

    “Ofis (dahulu) … di (Jalan) Gasing. Lepas itu balik rumah,” katanya ringkas, lapor Astro Awani.

    Anwar juga tidak memberi sebarang respons apabila ditanya jika beliau akan pergi ke Istana Negara hari ini.

    Pemerhatian Astro Awani mendapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk kenderaan yang membawa ahli-ahli politik lain, namun difahamkan rundingan antara PH dan BN masih berjalan di lokasi berlainan.

  • PRU15:Kediaman Muhyiddin terus jadi tumpuan

    PRU15:Kediaman Muhyiddin terus jadi tumpuan

    KEDIAMAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di Kuala Lumpur terus menjadi lokasi tumpuan susulan tempoh membentuk kerajaan tamat pada jam dua petang ini.

    Media mula berkumpul sejak pukul 7 pagi bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi politik melibatkan gabungan parti mana yang akan membentuk kerajaan, lapor Astro Awani.

    Bermula pukul 10 pagi tadi, beberapa pimpinan PN mula memasuki kediaman Muhyiddin antaranya Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Hari ini, Hamzah dalam satu kenyataan berkata, PN telah menerima satu lagi Surat Akuan Berkanun daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

    Kata Hamzah, Surat Akuan Berkanun berkenaan telah dihantar ke Istana Negara pagi ini.

    Semalam, Abdul Hadi berkata, gabungan parti itu masih menunggu undangan Istana Negara pada bila-bila masa sahaja.

    Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, PN sudah mempunyai lebih majoriti sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

    Malah, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan berkata, surat akuan berkanun (SD) yang dihantar ke Istana Negara adalah melebihi 112 jumlah Ahli Parlimen.

    Namun, perkara itu masih lagi menjadi persoalan selagi tidak ada sebarang perkhabaran rasmi dari Istana Negara.

    Justeru, situasi semasa itu menyebabkan banyak pihak masih mencongak gabungan parti mana yang boleh membentuk kerajaan.

    Dalam masa sama, kerusi parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan terus menjadi ‘rebutan’ bagi mencapai majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

    Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan PN menang 73 kerusi Parlimen setakat ini termasuk 22 calon PN yang menggunakan logo Pas.

  • GPS tetap dengan pendirian tubuh kerajaan bersama PN-BN-GRS

    GPS tetap dengan pendirian tubuh kerajaan bersama PN-BN-GRS

    GABUNGAN Parti Sarawak hari ini sekali lagi menegaskan cadangannya untuk menubuhkan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS), mengatakan penubuhan kerajaan yang stabil demi kepentingan negara adalah melebihi kepentingan peribadi.

    Dalam sebuah kenyataan, Pejabat Premier Sarawak berkata, GPS menyerahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik kerajaan kukuh dalam mentadbir negara selari peruntukan kuasa dalam Perlembagaan Malaysia.

    “GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan daripada gabungan PN, BN, GPS dan GRS mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

    “Memandangkan kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian mandat rakyat hendaklah dihormati,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    Pilihan raya umum pada Sabtu menyaksikan Pakatan Harapan bersama Muda memenangi 82 kerusi, diikuti PN (73), BN (30), GPS (23), GRS (enam) dan Warisan (tiga).

    Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing memenangi satu kerusi manakala blok Bebas memenangi dua kerusi.

    Sebelum ini, GPS berkata, ahli Parlimennya dan GRS akan menyokong Muhyiddin Yassin dalam gabungan PN.

    Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya menafikan ahli Parlimen dari bloknya telah bersetuju untuk bergabung bersama GPS dan GRS untuk bekerjasama dengan PN, memberikan amaran bahawa hanya beliau yang mempunyai mandat untuk memutuskan siapa yang disokong oleh BN.

    Zahid dan beberapa pemimpin BN turut mengadakan rundingan dengan pemimpin PH di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur semalam, bagaimanapun tiada sebarang keputusan muktamad dalam rundingan tersebut.

    Dalam pada itu, PN menegaskan telah menerima sokongan lebih daripada 112 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

  • Pasca PRU-15: Tuan Ibrahim-Wan Rosdy adakan perbincangan

    Pasca PRU-15: Tuan Ibrahim-Wan Rosdy adakan perbincangan

    WAKIL Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Pengesahan perbincangan itu dimaklumkan oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    “Berkaitan pembentukan kerajaan negeri Pahang, wakil Majlis Tertinggi PN Datuk Seri (Tuan Ibrahim) sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi BN Pahang (Wan Rosdy).

    “Hari ini, akan diadakan perbincangan selanjutnya,” kata Saifuddin memetik laporan BH Online.

    Menerusi kenyataan media semalam, Majlis Tertinggi PN melantik Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden Pas untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan Pahang.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN Pahang memperoleh 17 daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

    Berbanding BN, yang hanya memperoleh 16 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh lapan kerusi pada pilihan raya kali ini.

    Bagaimanapun, itu bergantung kepada rundingan yang dilakukan tiga parti berkenaan iaitu PN, BN dan PH dalam membentuk kerajaan.

    Perbincangan berkenaan boleh dilaksanakan antara PN-BN atau BN-PH.

  • PRU15:PN terima satu lagi surat sokongan ahli Parlimen untuk Muhyiddin menjadi PM ke-10

    PRU15:PN terima satu lagi surat sokongan ahli Parlimen untuk Muhyiddin menjadi PM ke-10

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) telah menerima satu lagi Surat Akuan Berkanun daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Surat Akuan Berkanun berkenaan telah dihantar ke Istana Negara pagi ini.

    Semalam, Hamzah dalam kenyataan media berkata, gabungan berkenaan telah menyerahkan lebih daripada 112 akuan berkanun menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, kepada Agong.

    “Parti Perikatan Nasional telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

    “Jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” kata hamzah.

    Sementara Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gabungan itu hanya menunggu untuk diundang ke Istana Negara setelah menyerahkan surat akaun bersumpah (SD) daripada semua ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kesepuluh.

    Dalam kenyataan ringkas dalam akaun media sosial beliau, Presiden Pas itu berkata gabungan itu sudah mempunyai SD mencukupi untuk membentuk kerajaan.

  • Elak provokasi, hormati keluhuran undang-undang – Abdul Hadi

    Elak provokasi, hormati keluhuran undang-undang – Abdul Hadi

    PAS memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya ‘tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan’, demi menjaga kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa adalah penting untuk semua pihak menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara.

    “Pas menyeru semua pihak menghormati keputusan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung secara harmoni. 

    “Malaysia kini sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

    “Justeru Pas menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam, serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, Pas memberi jaminan pihaknya tidak akan melaksanakan langkah-langkah yang menekan mana-mana pihak, khususnya di Sabah dan Sarawak, sekiranya ia menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan baharu.

  • Ahmad Faizal sangkal dakwaan Saarani, sifatkannya sebagai penipu besar

    Ahmad Faizal sangkal dakwaan Saarani, sifatkannya sebagai penipu besar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyangkal dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menyatakan tiada tawaran diberikan PN kepada Barisan Nasional (BN) Perak berkenaan pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Saaani melakukan penipuan besar apabila mendakwa PN Perak tidak mahu berjumpa dengannya berkenaan perbincangan untuk menubuhkan kerajaan menerusi kerjasama PN-BN.

    “Hakikat sebenarnya ialah saya telah bertemu dengan beliau pada Ahad, 20 November 2022 di Kuala Lumpur. Perjumpaan itu turut dihadiri Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

    “Kami telah berunding berkenaan kerjasama PN dan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri Perak yang baharu. Dalam perjumpaan itu beliau menyatakan hasrat untuk kekal dicadangkan sebagai Menteri Besar Perak dan perkara itu adalah sesuatu yang amat penting.

    “Saya juga telah menyatakan kebimbangan saya dengan keadaan di mana kerajaan negeri Perak belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera demi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Ahmad Faizal menegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama namun Saarani bertegas untuk PN menawarkan tawaran jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri.

    “Beliau memohon untuk merujuk kepada kepimpinan UMNO sebelum membuat apa-apa keputusan,” ujar bekas Menteri Besar Perak itu.

    “Namun pada hari ini beliau dan kepimpinan UMNO telah menyelamatkan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sambil menipu perwakilan UMNO yang lalu dengan slogan ‘No DAP’,” katanya.

    Katanya, tangggungjawab Menteri Besar adalah amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan yang dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli dengan penipuan kepada rakyat jelata.

    Hari ini, BN dan PH bergabung membentuk kerajaan negeri Perak selepas mendapat majoriti 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

    Keputusan PRU15 menyaksikan PN memenangi 26 kerusi DUN diikuti 24 kerusi dimenangi PH manakala BN hanya memenangi sembilan kerusi daripada 59 kerusi yang dipertandingkan.

    Menerusi sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu, Saarani mendakwa, tiada sebarang bentuk tawaran yang diberikan PN kepada pihaknya bagi tujuan pembentukan kerajaan.

    Saarani berkata: “Dia (Zainol Fadzi) minta saya berunding dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN). Maka pada pukul 10 pagi semalam, sebelum saya hadir mesyuarat Biro Politik UMNO, saya berjumpa dengan beliau dan Datuk Zainol.

    “Saya memaklumkan kepada mereka bahawa saya telahpun diberi tawaran peranan itu (tawaran jawatan Menteri Besar oleh Pakatan Harapan (PH).

    “Jadi jika Perikatan Nasional nak buat apa-apa tawaran kepada saya, silalah. Namun sehingga semalam saya tak ada menerima apa-apa tawaran,” kata Saarani yang juga Pengerusi BN Perak.

  • Nazir bimbang Najib ditipu Jho Low, pengurusan 1MDB – Saksi

    Nazir bimbang Najib ditipu Jho Low, pengurusan 1MDB – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu Tan Sri Mohamed Nazir Razak pernah menyuarakan kebimbangan bahawa abang sulungnya, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah ditipu oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, berkaitan hal ehwal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pengerusi Kumpulan The Edge Media Tan Sri Tong Kooi Ong, 63, berkata Nazir pernah berjumpa beliau pada 2009 dan 2010 serta melahirkan kebimbangan bahawa Najib telah ditipu dalam urus niaga membabitkan dana kekayaan negara itu.

    Tong juga bersetuju dengan cadangan peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa berdasarkan siasatan beliau sendiri dan pasukan pakarnya terhadap dokumen yang mereka peroleh, saksi tersebut membuat kesimpulan Jho Low serta pengurusan 1MDB telah menipu bekas Perdana Menteri itu.

    “Sebenarnya, saya terlibat dalam perkara ini atas permintaan Nazir kerana kami beranggapan bahawa Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah ditipu.

    “Tanggapan pertama kami ialah Najib dan Lembaga Pengarah 1MDB telah ditipu oleh Jho Low serta beberapa anggota pengurusan 1MDB yang bersekongkol dengan ahli perniagaan itu,” kata saksi pendakwaan ke-43 itu pada perbicaraan kes Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Terdahulu, Tong berkata beliau tidak tahu sama ada data yang diperoleh daripada bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) Xavier Andre Justo dicuri oleh warga Switzerland itu daripada bekas pekerjanya kerana tiada sesiapa mendakwa data mereka telah dicuri.

    Saksi itu turut menafikan beliau telah membayar Justo untuk mendapatkan data tersebut.

    Muhammad Shafee: Adakah anda tahu Justo telah meringkuk selama 18 bulan di penjara Thailand atas pertuduhan melakukan peras ugut?

    Tong: Saya tidak tahu mengenai fakta kes itu.

    “Saya hanya ingat Justo kalah dalam saman yang difailkannya di Singapura terhadap Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Ho Kay Tat, Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan saya sendiri untuk mendapatkan semula bayaran bagi data itu,” katanya.

    Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

  • Pas tak guna kedudukan laksana dasar menekan rakyat – Takiyuddin

    Pas tak guna kedudukan laksana dasar menekan rakyat – Takiyuddin

    PAS tidak akan menggunakan kedudukan kerusi yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar bagi menekan mana-mana pihak terutama di Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani kehidupan harmoni mengikut adat resam serta agama masing-masing.

    Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dan individu bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama tersebut melainkan atas kerelaan serta kefahaman sendiri.

    Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia serta mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Pas telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui di Kelantan lebih 30 tahun,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

    Beliau berkata PAS memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan kongsi meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

    Takiyuddin juga berkata para pemimpin dan ahli PAS yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besar profesional mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing apabila diberikan kedudukan serta peranan di dalam kerajaan dan agensinya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, PAS yang merupakan komponen Perikatan Nasional tampil sebagai parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen iaitu 49 manakala Bersatu 24.

    PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. – BERNAMA

  • Annuar puji ketegasan Ismail Sabri tolak kerjasama BN-PH

    BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memuji ketegasan Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang konsisten mempertahankan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

    Beliau turut terharu dengan ketegasan ahli-ahli Parlimen BN, khususnya Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang tegas mempertahankan keputusan berkenaan.

    “Saya selaku antara individu yang banyak terlibat dengan pelbagai keputusan dan dasar parti sekian lama terutama ketika menjadi ahli Parlimen, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Setiausaha Agung parti dan sebagainya merasakan sampailah masanya pencerahan dibuat.

    “Ini demi kepentingan ahli parti mengetahui perkara sebenar berhubung banyak perkara yang tidak dikongsikan sebelum ini,” katanya dalam Facebook milinya, harui ini, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu media melaporkan seramai 26 ahli Parlimen BN hadir dalam perjumpaan bersama parti itu dan PH di sebuah hotel hari ini.

    Bagaimanapun, dua lagi tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

    Setakat ini belum ada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan sehingga meletakkan Parlimen dalam situasi tergantung.

    Keputusan rasmi menunjukkan PH memiliki kerusi terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

    BN yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.

    Dalam pada itu, Annuar berkata, atas permintaan ramai pihak, beliau akan menjawab semua soalan dalam sesi ‘Tiada Apa Perlu Disembunyikan Lagi’ menerusi siaran langsung di akaun Facebook miliknya dan saluran berkaitan pada jam 9 malam ini.