Category: Semasa

  • Pengurusan kes rayuan bebas Ahmad Zahid 10 Januari

    Pengurusan kes rayuan bebas Ahmad Zahid 10 Januari

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 10 Januari depan untuk satu lagi pengurusan kes bagi rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan menerima rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Peguam bekas TImbalan Perdana Menteri itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, ketika dihubungi berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz pada Selasa telah menetapkan tarikh tersebut selepas rekod rayuan belum siap.

    Pendakwaan menfailkan rayuan pada 26 September lalu selepas tiga hari, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa membebaskan Ahmad Zahid, 69, yang juga Presiden UMNO, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

    Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Bagi kes itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Beliau juga berdepan 33 pertuduhan pilihan iaitu sebagai Menteri Dalam Negeri menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN.

    Peruntukan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

  • Tiga pemuda mengaku tidak bersalah rompak stesen minyak guna pistol mainan

    Tiga pemuda mengaku tidak bersalah rompak stesen minyak guna pistol mainan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIGA pemuda mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan pistol mainan di sebuah stesen minyak dekat Kodiang, Kedah kira-kira dua minggu lalu.

    Ketiga-tiga individu berkenaan, Mohd. Aliff Danish Abdullah, 24, Muhammad Iqmal Md. Yusli, 22 serta Mohd. Zamanizam Mat Hassan, 29, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim. Juraidah Abbas.

    Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan rompakan tersebut terhadap pekerja stesen minyak tersebut yang berusia 24 tahun dengan bersenjatakan pistol mainan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4.15 pagi, 12 November lalu di sebuah stesen minyak di Kodiang dekat Kubang Pasu.  

    Pertududuhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nur Syifa Mohd. Hamzah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 397 Kanun sama manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

    Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan disebat.

    Terdahulu Nur Syifa mencadangkan agar mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

    Mohd. Aliff yang bekerja sebagai pembantu kedai telefon kemudiannya memohon agar kadar jaminan itu dikurangkan dengan jaminan tersebut akan dibayar oleh bapanya yang tinggal di Sarawak, kerana mengikuti jemaah tabligh.

    Dua lagi tertuduh iaitu Muhammad Iqmal dan Mohd. Zamanizam bagaimanapun hanya menyatakan bahawa tiada waris yang hadir ke mahkamah untuk menjamin mereka.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan ketiga-tiga tertuduh dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan kesemua mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan pada setiap bulan, hingga kes tersebut selesai.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Disember depan.

  • Saya belum tahu keputusan Agong, kata Abang Johari

    Saya belum tahu keputusan Agong, kata Abang Johari

    PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg memaklumkan masih menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menentukan langkah seterusnya berhubung pembentukan kerajaan campuran.

    Premier Sarawak itu berkata, beliau sibuk dengan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak hari ini.

    Keadaan itu membuatkan beliau tidak dapat mengikuti sepenuhnya perkembangan politik terbaru yang sedang berlaku di Semenanjung.

    “Tengoklah…saya belum tahu keputusan Agong, tak tahu….saya lagi (masih) di dewan (Dun),” katanya kepada media di ruang legar Kompleks Dun Sarawak, Kuching, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Barisan Nasional (BN) untuk kekal sebagai pembangkang.

    Terdahulu, GPS dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong, mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

    GPS turut menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

    Beliau berkata, BN tidak menyokong mana-mana gabungan sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

    GPS kini memiliki 23 kerusi Parlimen susulan keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Baram yang disahkan petang semalam.

  • PM ke-10: Belum ada keputusan daripada Agong – Anwar

    PM ke-10: Belum ada keputusan daripada Agong – Anwar

    ISTANA Negara belum membuat sebarang keputusan berhubung pelantikan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu setakat ini.

    Perkara itu disahkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini

    Anwar berkata dalam pertemuan itu, Agong menitahkan keperluan menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang inklusif untuk semua kaum, agama dan wilayah.

    Setakat ini katanya, tidak timbul persoalan mengenai pembentukan kerajaan minoriti.

    Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap di Istana Negara pada pukul 4.30 petang.

    Ini susulan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

  • Zahid wajar dengar desakan pemimpin, ahli untuk berundur – Ismail Sabri

    Zahid wajar dengar desakan pemimpin, ahli untuk berundur – Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mesti mendengar luahan dan pandangan pemimpin serta ahli akar umbi yang mendesak beliau untuk berundur dari parti.

    Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahmad Zahid tidak wajar menutup telinga, tanpa memberi sebarang kata putus terhadap desakan kepadanya.

    “Presiden kena dengar pandangan daripada semua. Bila Ketua Bahagian UMNO buat kenyataan, beberapa pihak buat kenyataan. Saya harap Presiden UMNO buat pertimbangan sewajarnya. Jangan menutup telinga untuk tidak mendengar langsung pandangan.

    “Mungkin untuk kebaikan parti, presiden mesti memikirkan masa depan parti, sama ada perlu kekal kerana dia menang pemilihan dan tak boleh dipecat begitu saja. Presiden kalau mahu dipecat mesti dua pertiga ahli panggil mesyuarat agung luar biasa untuk pecat presiden.

    “Tapi presiden juga boleh menarik diri atau berhenti. Itu kuasa yang diberikan Perlembagaan (parti). Presiden perlu memikirkan demi masa depan parti dan jangan menutup telinga (desakan) Ketua Bahagian UMNO, pemuda. Setiap hari kita dengar macam-macam desakan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Semalam, ramai pemimpin UMNO dan ahli akar umbi parti mendesak supaya Ahmad Zahid berundur daripada jawatannya, selepas Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh kemenangan bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).

  • Rakyat perlu terima kerajaan gabungan: Yadim

    Rakyat perlu terima kerajaan gabungan: Yadim

    RAKYAT perlu terima kerajaan gabungan dan bukannya lagi gabungan politik tunggal yang mentadbir negara sepertimana kebiasaan dialami sejak berdekad lamanya.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, langkah untuk bekerjasama antara parti selepas tidak mendapat majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 ) adalah pilihan kedua kepada sistem pemilihan yang bersifat majoriti dan bukannya berkadar.

    “Kerajaan gabungan tidak akan bercakap soal idealisme dan agenda parti masing- masing tetapi lebih kepada sasaran serta bidang tumpuan bersama.

    “Perbincangan ke arah kerajaan gabungan selepas pilihan raya pernah dibincangkan parti-parti politik di Malaysia.

    “UMNO pernah bercakap hal ini, Pas juga tidak ketinggalan selain parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) walaupun setiap pihak mahu menang dan membentuk kerajaan secara solo.

    “Cuma mungkin kerana ini realiti baharu yang dihadapi oleh kita, maka kita masih gayat dan mengulasnya berdasarkan pengalaman dan idealisme lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Di Malaysia, lebih 15 juta pengundi yang meletakkan rakyat pada realiti bahkan dalam dunia demokrasi yang matang dan maju, kerajaan gabungan terjadi dengan begitu biasa.

    Menafikan kerajaan gabungan sebenarnya lebih hipokrit, Tuan Kamarul Arief memberitahu, soal itu tidak berbangkit kerana ia realisme yang dipilih oleh pengundi.

    “Contohnya, kerajaan gabungan Cameron-Clegg yang terbina selepas parlimen tergantung di United Kingdom (UK) pada tahun 2010 telah menggabungkan dua parti yang bertentangan ideologi iaitu konservatif dan liberal.

    “Kerajaan ini berjaya mengimbangkan kembali ekonomi UK selepas krisis ekonomi global 2008-2010,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Tambah beliau, selain itu, Koalisi Indonesia Maju (KIM) merupakan gabungan 12 parti yang sangat bertentangan ideologi mereka.

    “Lebih menarik, Jokowi sendiri bukanlah pemimpin utama partinya PDI-P, tetapi diberi sokongan untuk mengetuai gabungan ini.

    “Hasilnya? Indonesia sekarang menjadi destinasi pelaburan bernilai tinggi dunia dan ke arah menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia menjelang 2030,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Tuan Kamarul Arief menegaskan, beliau yakin bahawa setiap pihak mempunyai cita-cita untuk Malaysia yang lebih baik.

    “Ini bukan masanya untuk mengangkat panji kerajaan PH, Perikatan Nasional (PN) atau BN. Ini kerajaan gabungan rakyat Malaysia,” katanya.

  • Muhyiddin, Anwar tiba di Istana Negara

    Muhyiddin, Anwar tiba di Istana Negara

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong petang tadi.

    Kenderaan membawa Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur pada pukul 4.10 petang.

    Sementara kenderaan membawa Muhyiddin juga dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara kira-kira pukul 4.05 petang, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya ketua gabungan PH dan PN menghadap pada pukul 4.30 petang ini di Istana Negara.

    Kenderaan yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba jam 4.12 petang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid (Warta Rakyat)

    Justeru, pemimpin-pemimpin daripada kedua-dua gabungan itu termasuk Anwar dan Muhyiddin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini selepas memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah.

    Menurut beliau, Istana Negara hari ini telah menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen banyak susulan keputusan PRU-15.

    Bersama pemakluman tersebut, Ahmad Fadil berkata, ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik berkenaan turut mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara.

  • BN tewas, perjanjian dengan GRS terbatal

    BN tewas, perjanjian dengan GRS terbatal

    PERJANJIAN kerjasama di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Barisan Nasional (BN) Sabah menjadi terbatal apabila BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.

    Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor berkata, perjanjian dipersetujui GRS dan BN sebelum ini adalah GRS akan memberi sokongan kepada UMNO/BN jika parti itu layak membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri.

    “Bagaimanapun, apabila BN kalah dan UMNO tidak layak menjadi Perdana Menteri, maka perjanjian itu tidak sah dengan sendirinya.

    “Perlu ditegaskan tiada janji sebelum pilihan raya dengan orang (pihak) lain termasuk dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan, hari ini, memetik laporan BH Online.

    Semalam, Hajiji dalam kenyataannya berkata, pendirian GRS untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan membentuk kerajaan.

    Sementara itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, GRS menolak dakwaan BN Sabah bahawa GRS mengisytiharkan ‘perang’ terhadap BN seperti dituduh pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam.

    Hajiji berkata, GRS tidak pernah mengisytiharkan perang terhadap BN seperti yang didakwa Bung Moktar.

    “Kita tidak ada apa-apa alasan atau perlu isytihar perang terhadap BN. Malah, dalam PRU15, GRS dan saya sendiri turun padang berkempen membantu calon BN di kawasan mereka,” katanya.

    Tuduhan Bung Moktar itu dikaitkan dengan keputusan GRS menyokong PN dalam soal pemilihan Perdana Menteri dan kerajaan baharu Persekutuan.

    Hajiji juga menafikan dakwaan beliau bersama Ahli Parlimen Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas menemui Tan Sri Muhyiddin di kediaman pemimpin berkenaan di Kuala Lumpur.

    “Mereka berjumpa dengan Tan Sri (Muhyiddin) atas kerelaan sendiri dan saya tidak terbabit langsung pada perjumpaan itu.

    “Saya berharap UMNO/BN akan terus bekerjasama mentadbir negeri ini selaras dengan mandat diberikan rakyat kepada kerajaan GRS-BN pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16),” katanya.

  • Mohd Shukri angkat sumpah MB Perlis  ke-11

    Mohd Shukri angkat sumpah MB Perlis ke-11

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-11 hari ini.

    Mohd Shukri, 61, menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau pada 4 petang.

    Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Tuanku Syed Sirajuddin memberi perkenan pelantikan Mohd Shukri berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

    Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu sebagai Menteri Besar dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi PN yang menyerah watikah lantikan pada Ahad lepas sebelum mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin semalam.

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis adalah ADUN Sanglang selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

    Menteri Besar, Perlis, Mohd Shukri Ramli, sumpah, Istana Arau

  • Agong titah Muhyiddin, Anwar menghadap petang ini

    Agong titah Muhyiddin, Anwar menghadap petang ini

    YANG di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menghadap di Istana Negara pada pukul 4.30 petang ini.

    Ini susulan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

    “Setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon-calon PM, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai PM seperti yang diperuntukkan Perkara yang tersebut di atas,” kata Istana Negara menerusi satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Sultan Abdullah menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan PM ke-10 selesai.

    “Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

    Sebelum ini ketika ditemui media, Sultan Abdullah berkata, baginda tidak dapat mendedahkan apa-apa kerana ‘belum melihat apa-apa lagi’.

    Ini berlaku selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyokong PH atau PN untuk membentuk kerajaan dan kekal sebagai pembangkang.