Category: Semasa

  • Kes aniaya Bella: Siti Bainun bebas atau bela diri diketahui esok

    Kes aniaya Bella: Siti Bainun bebas atau bela diri diketahui esok

    KEPUTUSAN sama ada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan diketahui esok di Mahkamah Sesyen di sini.

    Hakim Izralizam Sanusi dijadual membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9 pagi.

    Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Siti Bainun, 30, maka dia akan dipanggil membela diri, manakala jika sebaliknya pengasas rumah kebajikan itu akan dilepaskan dan dibebaskan.

    Pada 28 Okt lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lepas.

    Selain Bella, saksi lain termasuk bekas penghuni Rumah Bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

    Siti Bainun, mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Pertemuan Agong dengan pemimpin BN, GPS selesai

    Pertemuan Agong dengan pemimpin BN, GPS selesai

    SESI menghadap antara beberapa pemimpin parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara selesai setakat tengah hari ini.

    Pertemuan berkenaan membabitkan tiga pimpinan Barisan Nasional (BN) dan empat pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    BN diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

    Ketiga-tiga mereka tiba di Istana Negara secara berasingan sekitar pukul 10.40 pagi, sebelum keluar pada pukul 11.23 pagi selepas mengadakan pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah selama kira-kira 40 minit, lapor BH Online.

    Sementara itu, GPS diwakili Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Datuk Seri Tiong King Sing daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).

    Keempat-empat pemimpin GPS berkenaan tiba pada pukul 11.07 pagi menaiki empat kenderaan berwarna hitam, sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong selama kira-kira 45 minit dan keluar pada pukul 11.56 pagi.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap baginda pada pukul 10.30 pagi ini.

    Namun, mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam memutuskan untuk memohon kepada Istana Negara menangguhkan pertemuan baginda dengan 30 Ahli Parlimen berkenaan.

    Sehingga pukul 12.30 tengah hari ini, kelibat semua Ahli Parlimen itu, kecuali Ahmad Zahid dan Mohamad, masih tidak kelihatan, manakala Istana Negara tidak mengeluarkan kenyataan memaklumkan sama ada pertemuan berkenaan ditangguhkan atau sebaliknya.

    Kemelut pemilihan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu kini memasuki hari keempat, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.

  • GPS kekal sokong Muhyiddin sebagai PM

    GPS kekal sokong Muhyiddin sebagai PM

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) kekal dengan pendiriannya untuk membentuk kerajaan dan akan terus menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, menurut laporan.

    Sin Chew Daily memetik Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai berkata, GPS juga telah menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan Ahli Parlimen terhadap Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri.

    Fadillah, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mengetuai delegasi pemimpin GPS di Istana Negara pagi ini.

    Beliau mengesahkan hanya empat pemimpin gabungan menghadap Agong, termasuk Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Datuk Seri Tiong King Sing, selain dirinya.

  • Penceramah bebas didakwa kes pelaburan tidak wujud

    Penceramah bebas didakwa kes pelaburan tidak wujud

    SEORANG penceramah bebas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas empat pertuduhan pelaburan tidak wujud berjumlah RM187,000 sejak 2019 hingga 2021 yang lepas.

    Tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 45, mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

    Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa telah bersetuju menerima deposit antara RM10,000 hingga RM100,000 secara berasingan daripada empat lelaki berbeza berusia 45 hingga 49 tahun sebagai satu pelaburan yang mana tertuduh tidak mempunyai satu lesen yang sah.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 Ogos 2019 hingga 7 September 2021 di empat lokasi iaitu di tiga buah kedai makan sekitar Mantin dan Bandar Baru Nilai serta satu lagi di Taman Seri Rambai, Labu di sini.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 137(1)Akta Perkhidmatan Kewangan 2013(Akta 758) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama, lapor Sinar Harian.

    Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya.

    Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan berjumlah RM550,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

    Tertuduh yang diwakili peguam Mohamed Musthafa memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah dan akan dijamin oleh isterinya.

    Sementara itu, isteri tertuduh yang hadir ketika prosiding dalam rayuannya memaklumkan hanya mampu menjamin sebanyak RM5,000 bagi kesemua pertuduhan atas alasan mereka mempunyai dua anak yang masih bersekolah serta suaminya menghidap penyakit kronik.

    Bagaimanapun, hakim menegaskan jumlah jaminan itu tidak munasabah dan mengambil kira kerugian bagi semua pertuduhan hampir RM200,000.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya di Labu sebulan sekali.

    Kes disebut semula pada 16 Januari tahun hadapan.

  • Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu hari ini.

    Mohd Shukri, 61, tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

    Beliau kemudian mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya pukul 9 pagi.

    Mohd Shukri yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’ berkata beliau akan berusaha menjalankan tugasnya dengan baik demi rakyat di negeri ini.

    “Ini merupakan pengalaman baharu…bermulalah dunia baharu setelah lama tidak masuk pejabat, saya akan menyesuaikan diri dengan rutin ini setelah lama bersara sebagai guru,” katanya kepada pemberita di sini.

    Dalam perkembangan lain, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu berkata beliau telah menghantar nama barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis kepada PN Pusat semalam.

    “Kita tunggu lampu hijau daripada PN Pusat dahulu untuk buat keputusan,” kata ADUN Sanglang itu.

    Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis akan diadakan di Istana Arau pada petang Jumaat ini (25 Nov).

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau semalam.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

  • Pengesahan serah 115 SD bukti Muhyiddin ada sokongan majoriti – Wan Saiful

    Pengesahan serah 115 SD bukti Muhyiddin ada sokongan majoriti – Wan Saiful

    PENGESAHAN Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan ‘statutory declaration’ (SD) daripada 115 Ahli Parlimen membuktikan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau turut menandatangani SD tersebut pada 20 November lalu.

    “Saya juga gembira dengan pengesahan itu. Saya menyokong sepenuhnya pandangan Muhyiddin berkaitan penubuhan kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan.

    Wan Saiful berkata, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 20 November lalu sebulat suara bersetuju memberi mandat dan kepercayaan penuh kepada Muhyiddin untuk mengambil apa-apa keputusan yang perlu untuk membolehkan kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil dibentuk.

    Jelasnya, Mesyuarat Khas tersebut turut mempertegaskan bahawa Bersatu mencadangkan Muhyiddin menerajui kerajaan selaku Perdana Menteri.

    Sebelum ini, Muhyiddin menegaskan gabungan parti itu berpendirian untuk tidak terlibat dengan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

    Menurutnya, beliau juga telah menandatangani surat dan memilih untuk tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

    Memetik laporan Astro Awani, Muhyiddin turut berkata, gabungan itu menyerahkan dokumen mengandungi akuan berkanun daripada 115 Ahli Parlimen kepada Istana Negara, pada Isnin.

    Muhyiddin berkata, dokumen itu dihantar secara dalam talian dan pihaknya juga sudah menerima akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Al-Sultan Abdullah, Datuk Nazim Mohd Alim. Beliau turut menunjukkan surat akuan penerimaan dokumen daripada Istana Negara.

  • BN minta tangguh: Tindakan ingkar titah Agong, ada tidak kena dalam BN – Annuar Musa

    BN minta tangguh: Tindakan ingkar titah Agong, ada tidak kena dalam BN – Annuar Musa

    PERCUBAAN Barisan Nasional (BN) meminta penangguhan proses menghadap Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja dilihat ingkar titah berkenaan tetapi menyerlahkan ada sesuatu tidak kena dalam gabungan itu.

    Veteran UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, BN sepatutnya tidak menyulitkan Yang di-Pertuan Agong menyempurnakan tugas baginda.

    “Namun kini jelas ada sesuatu yang tidak kena di pihak BN dan bukannya Istana Negara,” katanya dalam kenyataan dalam Facebooknya, hari ini.

    Berikut kenyataan penuh Annuar Musa.

    Malam tadi diberitakan BN mahu memohon utk menangguhkan sekali lagi titah mengadap 30 ahli parlimennya.

    Titah mengadap adalah seperti yang dimaklumkan melalui kenyataan rasmi Istana Negara.

    Ini menimbulkan tanda tanya dikalangan rakyat tentang apakah yg sebenarnya sedang berlaku, terutama dalam BN itu sendiri.

    Sewajarnya BN lebih terbuka dan telus dengan orang ramai kerana ini adalah perkara menyentuh kepentingan ramai.

    Percubaan menangguhkan ini bukan saja dilihat sebagai perbuatan ingkar titah DYMM SPB YDP AGONG, tetapi juga menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam BN itu sendiri.

    Hal ini patut di jelaskan kepada orang ramai. BN sepatutnya tidak menyulitkan SPB YDP Agong menyempurnakan tugas Baginda, namun kini jelas ada sesuatu yg tidak kena dipihak BN dan bukannya Istana Negara.

    Beberapa pemimpin utama BN, khususnya YAB PM,YB DS Hishamudin, Ahli Parlimen MCA, MIC, PBRS dan sejumlah besar MP BN telah menyatakan secara terbuka mereka menolak DS Anwar Ibrahim dan mempertahankan Dasar Parti, NO ANWAR, NO DAP. Ini menjadi bukti DSAI sudah gagal mendapat cukup bilangan kerana beliau memerlukan sekurang kurangnya 27 drp 30 MP BN.

    Terdapat pihak yang kini cuba melengah-lengahkan titah mengadap, kerana jika itu berlaku, sudah pasti rancangan dan komplot Murid dan Guru akan gagal.

    Penangguhan, jika di perkenankan akan meletakkan SPB YDP AGONG dlm keadaan serba salah dan mungkin dituduh berkerjasama dengan satu pihak yang tertentu, sedangkan kita tahu Baginda hanya mahu perkara ini di sempurnakan dengan baik dan berperlembagaan.

    Percubaan menghalang titah yg telah di keluarkan secara terbuka dan telus oleh Istana Negara adalah tidak wajar dan boleh disifatkan sebagai menghalang SPB YDP Agong daripada menyempurnakan tugas Baginda.

    Ini bakal mendedahkan Istana Negara kepada pelbagai tuduhan yg tidak wajar.

    BN perlu telus dengan memberi update perkara sebenar. Hal ini juga meletakkan BN sebagai parti yg di lihat berterusan menimbulkan masalah kepada rakyat, bukan menyelesaikan masaalah rakyat.

    Inilah juga antara sebab BN ditolak rakyat.

    Semuanya berpunca dari SATU ORANG.

    Parti menanggung akibatnya.

    Belum cukupkah lagi kerosakan yg telah dibawa kepada parti ini?

    TS Annuar Musa

  • Muhyiddin dipercayai keluar dari kediaman pagi ini

    Muhyiddin dipercayai keluar dari kediaman pagi ini

    KENDERAAN pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dipercayai membawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, pagi ini.

    Kenderaan berkenaan yang diiringi pengawalnya dilihat keluar pada 10 pagi tadi, namun tidak berhenti atau membuka tingkap kepada media.

    Semalam media melaporkan, teka-teki siapa yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 masih belum terjawab.

    Keadaan tergantung itu berlaku selepas gabungan dua parti terbesar Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberikan tempoh masa untuk perbincangan lanjut dijalankan.

    Yang di-Pertuan Agong kemudiannya menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional menghadap secara individu di Istana Negara, 10.30 pagi ini.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dipetik berkata, ini bertujuan agar Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

    Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) mungkin akan memohon penangguhan terhadap titah 30 Ahli Parlimen berkenaan dan perkara itu disahkan beberapa pemimpin kanan BN selepas selesai bermesyuarat malam tadi.

    Permohonan penangguhan mengadap Yang di-Pertuan Agong dibuat atas dasar beberapa perkara yang masih diteliti parti gabungan itu.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan berkata, PN sudah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

    Menurut beliau, jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112 surat, iaitu jumlah kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

  • Keputusan PRU15 masih belum diwartakan-SPR

    Keputusan PRU15 masih belum diwartakan-SPR

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) masih belum mewartakan keputusan Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan proses pengundian P017 Padang Serai masih berjalan.

    Menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook SPR hari ini menjelaskan, sebarang keraian berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan mengikut Akta Pilihan Raya 1957.

    “Urusan PRU15 belum selesai sepenuhnya ya. Jangan lupa Parlimen Padang Serai masih belum selesai. Jadi ia bermaksud SPR tidak boleh wartakan lagi keputusan PRU15.

    “Kalau hendak buat makan-makan, kenduri kendara, biarlah selesai (PRU15) dahulu,” kata petugas SPR dalam rakaman tersebut, lapor Sinar Harian.

    Proses pilihan raya P017 Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember depan susulan kematian salah seorang calon yang bertanding.

    Calon PH Padang Serai, M Karupaiya, 69, dilapor meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kulim, Kedah pada pukul 2.27 petang Rabu minggu lalu.

    Turut ditangguhkan kepada tarikh sama, proses pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) N42 Tioman kerana calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli meninggal dunia di Hospital Rompin, beberapa jam sebelum proses pengundian, Sabtu lalu.

    PRU15 yang berlangsung 19 November lalu menyaksikan tiada parti politik memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

    Pakatan Harapan (PH) memperoleh 76 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 51 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (23), Pas (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), DAP (lima) dan Warisan (tiga).

    Muda dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing memperoleh satu kerusi Parlimen manakala Bebas dua.

  • PDRM laksana sekatan jalan raya di lokasi strategik seluruh negara

    PDRM laksana sekatan jalan raya di lokasi strategik seluruh negara

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik setiap daerah di seluruh negara dengan penugasan secara 24 jam mulai malam tadi.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah mengadakan sekatan jalan raya ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan ‘omnipresence’ atau kehadiran polis.

    Menurut beliau, ia bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam.

    “Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan lalu lintas atau sekatan pada waktu puncak dan siang hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui sekatan jalan raya terutama di waktu puncak.

    “Masyarakat tidak perlu bimbang untuk melakukan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di seluruh negara adalah terkawal,” tambahnya.