CALON Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Mohd. Zaidy Abdul Kadir dilaporkan terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan pemandu kereta dinaikinya kritikal, awal pagi tadi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan kemalangan berlaku 3.25 pagi di Jalan Pasir Besar-Palong, Tampin.
“Pemandu agak kritikal. Mohon semua dapat doakan agar keduanya kembali sembuh dengan sempurna dan diangkat segala kesakitan,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.
Difahamkan Zaidy dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Jempol.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab ketika dihubungi FMT mengesahkan kejadian dan memberitahu kenyataan media akan dikeluarkan kemudian.
“Kenyataan akan dibuat selepas siasatan di tempat kejadian selesai,” katanya.
Pada PRN 12 Ogos depan, beliau akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Surash Sreenivasan di kerusi yang sebelum ini dimenangi BN menerusi MIC.
PERBADANAN Menteri Besar (MBI) Kedah membuat laporan polis bagi menafikan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dianggap sebagai fitnah terhadap anak syarikat kerajaan negeri (GLC) itu.
Jurucakap Polis Kedah, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, laporan itu dibuat seorang wanita yang merupakan Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI Kedah.
Katanya, laporan berkenaan dibuat kira-kira pukul 6 petang semalam.
“Wanita itu membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan Saifuddin yang tular dalam media sosial pada 27 Julai lalu menyatakan terdapat seorang lelaki China bekerja dengan MBI Kedah.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Saifuddin dalam siri ceramah sebelum ini beberapa kali membuat dakwaan kononnya terdapat lelaki warganegara China yang dibawa masuk dan diambil bekerja dengan MBI bagi projek unsur nadir bumi (REE).
Alzafny dalam pada itu memaklumkan, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai ucapan menyentuh perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R).
“Secara keseluruhannya terdapat 59 ceramah diadakan di seluruh Kedah semalam iaitu 10 melibatkan Barisan Nasional (BN), lima Pakatan Harapan (PH), 38 Perikatan Nasional (PN) dan enam bebas.
“Kota Setar mencatatkan jumlah ceramah terbanyak iaitu 13, diikuti Kulim (7), Baling (6) dan Kubang Pasu (5),” katanya.
BEKAS Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar tidak mengambil pusing kecaman diterimanya sebaik terjun ke dunia politik dan menganggap perkara itu sebagai cabaran biasa yang perlu ditempuhi dalam dunia baharunya itu.
Katanya, beliau sedikit pun tidak berkecil hati sebaliknya kecaman sebegitu hanya membuatkannya lebih bersemangat untuk membuktikan bahawa langkahnya menyertai politik merupakan satu pilihan tepat.
“Segala kata-kata itu saya anggap sebagai motivasi untuk terus memperjuangkan belia selain seluruh masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum di Kedah.
“Bermain bola sepak mencabar, begitu jugalah politik. Saya akan berusaha memimpin, seperti mana saya memimpin rakan-rakan untuk mencapai kemenangan di atas padang,” katanya ketika ditemui dalam program santai bersama penduduk Kuala Kedah, petang semalam.
Baddrol akan berdepan saingan Mohammed Firdaus Johari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ketika ini pelbagai kecaman dilemparkan terhadap Baddrol daripada penyokong parti lawan yang memperkecilkan kemampuan individu berusia 35 tahun tersebut dalam dunia politik.
Mengulas lanjut Baddrol berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor banyak memberi panduan berkaitan politik.
“Beliau banyak memberi inspirasi kepada saya. Muhammad Sanusi turut mengingatkan bahawa politik tidak seperti bermain bola sepak yang penatnya cuma 90 minit, politik pula penatnya 24 jam,” katanya.
PERDANA Menteri menuduh pengubahsuaian Seri Perdana ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri adalah satu pembaziran.
Saya terlibat secara langsung dalam mengurus proses pengubahsuaian dan pembaikan Seri Perdana pada ketika itu atas kapasiti sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri Ke-8.
Pada awalnya, saya dibawa melawat Seri Perdana untuk melihat keadaannya. Seri Perdana ini ada dua sayap. Satu sayap kediaman peribadi dan satu lagi sayap protokol untuk majlis-majlis rasmi.
Sayap kediaman peribadi adalah untuk kediaman rasmi Perdana Menteri. Di situ ada ruang tamu, bilik-bilik tidur, perpustakaan, ruang makan, ruang rehat, dapur, halaman dan lain-lain yang biasa ada pada sebuah rumah kediaman. Luasnya lebih kurang 56,000 kaki persegi. Bukan kecil.
Gambar tular pada tahun 2021 yang menunjukkan kerosakkan dalam Seri Perdana.
Masalah utama Seri Perdana ialah kebocoran di beberapa bahagian bangunan yang menyebabkan bumbung, siling, dinding dan lantainya rosak. Saya diberitahu peralatan dapur juga tidak boleh digunakan di samping masalah pendawaian yang telah usang dan perlu diganti baharu. Selain itu, Seri Perdana juga telah diubahsuai sebelum ini menyebabkan keadaannya yang asal telah berubah.
Kebanyakan perabot juga telah tiada. Ini kerana terdapat kelemahan dalam sistem inventori yang menyebabkan pegawai tidak dapat memastikan sama ada perabot di Seri Perdana milik kerajaan atau milik peribadi mantan Perdana Menteri Ke-6, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.
Saya menerima permohonan daripada Datuk Sri Najib untuk mengeluarkan sebahagian besar daripada perabot di Seri Perdana yang dikatakan milik peribadi beliau. Ini termasuk lampu dan chandelier di Seri Perdana. Perkara ini menjadi pertikaian sejak sekian lama. Tetapi Alhamdulillah dapat diselesaikan oleh pihak JPM pada ketika itu.
Dengan keadaan ini, Seri Perdana yang sepatutnya menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri, didapati tidak sesuai untuk didiami. Selepas Datuk Seri Najib bersara, saya diberitahu Tun Dr. Mahathir Mohamad pun tak pernah tinggal di situ. Ia seolah-olah bangunan terbiar. Dari luar nampak cantik, tapi di dalamnya tak boleh diduduki.
Oleh sebab itu, kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian terpaksa dilaksanakan untuk membolehkan ia diduduki dan mengembalikan Seri Perdana kepada keadaannya yang asal. Bangunan mana pun kalau tak dibaiki, tak diduduki dan dibiarkan rosak begitu sahaja, lama kelamaan kerosakannya akan menjadi lebih teruk dan kosnya akan lebih meningkat.
Saya ingat lagi Tan Sri Muhyiddin pernah berpesan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM pada ketika itu dua perkara mengenai Seri Perdana:
1. Perlu ada inventori yang lengkap semua harta kerajaan di Seri Perdana supaya tidak ada mana-mana Perdana Menteri yang boleh mengambil mana-mana perabot atau hiasan di Seri Perdana selepas bersara, kecuali barangan milik peribadi.
2. Perlu ada satu Akta mengenai Seri Perdana sebagai bangunan warisan yang tidak boleh diubahsuai sesuka hati. The original state of Seri Perdana must be preserved.
Alhamdulillah, setelah dibaiki dan dikembalikan kepada keadaannya yang asal, Seri Perdana telah boleh didiami oleh Perdana Menteri Malaysia dan digunakan untuk pelbagai acara rasmi.
Perdana Menteri Ke-10 juga banyak mengadakan majlis rasmi dan acara keraian di Seri Perdana. Saya harap dua perkara yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin mengenai Seri Perdana dapat juga dilaksanakan oleh kerajaan.
Nota:
Proses pengubahsuaian dan pembaikan Seri Perdana masih belum siap ketika TSMY meletak jawatan pada bulan Ogos 2021.
CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Datuk Razali Idris menegaskan supaya tidak sesekali membawa unsur kleptokrasi di Terengganu.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu itu berkata, ini kerana rakyat di negeri ini terutama golongan belia tidak terperdaya dengan dakyah tersebut yang masih segar dan mengakar dalam kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid ketika berceramah pada Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) yang disyaki mengandungi unsur sogokan terhadap pengundi muda.
“Tolak kleptokrasi dalam kepimpinan kakistokrasi Kerajaan Perpaduan Madani ini. Kleptokrasi terbaharu datang dari Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika berucap sewaktu LesGU pada Jumaat lalu. Menggunakan platform Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang mana melaungkan kepada umum bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Ia dikatakan bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri ini,” katanya di Facebooknya, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini media melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di Terengganu.
Perkembangan itu diumumkan ketika LesGU sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun pada Jumaat.
Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut.
Mengulas lanjut, Razali berkata, kemudian disogokkan pula jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan belia dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Ujarnya, ia juga dicampur aduk dengan ucapan politik bahawa yakin gelombang biru dan merah akan mengubah ‘pantai politik’ di Terengganu pada PRN nanti apabila didukung golongan pengundi belia yang turut akan diberikan peruntukan RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri ini.
“Sefaham saya agaknya berapa banyak persatuan permotoran di pantai timur ini dan agaknya semua dapat atau kroni atau geng nepotisme yang terpilih sahaja ? Inilah gula-gula PRN secara terang-terangan oleh kerajaan Perpaduan Madani.
“Makin rosak nampaknya. Rakyat dan pengundi Terengganu semakin bimbang dengan sebuah pemerintahan yang dipimpin ahli-ahli korup menggunakan kuasa untuk mempergunakan rakyat dan sumber negara mereka agar dapat menambahkan kekayaan dan tampuk kekuasaan mereka sendiri,” jelasnya.
Menurut Razali, sistem sebegini biasanya melibatkan penyelewengan simpanan negara sehingga menyusahkan rakyat termasuk ‘menggula-gulakan’ rakyat menerusi angka yang sangat mempersonakan.
“KALAU pun orang kata baharu lapan bulan, tapi lapan bulan tak menunjukkan satu keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.”
Itu kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sejak penghujung tahun lalu.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, segala tadbir urus dan soal dasar yang direncana Anwar hanya dibuat secara umum tetapi tidak jelas.
Malah, beliau turut mendakwa tiada satu pun perancangan dilaksanakan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Jelas Muhyiddin, perkara itu cukup berbeza semasa beliau menjawat jawatan nombor satu negara itu apabila pelbagai bantuan dan sokongan diberikan untuk rakyat.
“Di ceramah saya pergi banyak tempat, saya minta rakyat beri satu sahaja apa yang Anwar dah buat setakat ini. Tiada orang boleh jawab. Tiada respons jelas. Berbanding waktu Kerajaan Prihatin yang saya pimpin dahulu, mereka boleh jawab sampai hari ini. Mereka boleh ingat apa kita buat kerana ketika itu waktu susah dan sekarang pun zaman susah,” katanya kepada UtusanTV .
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut mendakwa tidak nampak petanda bahawa Anwar mampu menguruskan negara berdasarkan tatakelola yang terbaik seperti yang sering diungkapkan Perdana Menteri.
Kata beliau, soal kos sara hidup merupakan perkara besar yang sering dibangkitkan rakyat, namun perkara itu didakwa tidak ‘disentuh’ Kerajaan Madani ketika ini.
“Bebanan hidup, pendapatan kecil, harga barang melambung malah tiada harga yang turun. Bila saya pergi bertemu rakyat, mereka kata satu sahaja yang turun iaitu hujan tapi harga barang lain semua naik. Kalau tak salah dalam kerajaan ada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL). Dengar tak apa cerita NACCOL? Tidak ada,” katanya.
GERAN berjumlah RM100,000 yang akan diberi kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu bukanlah satu bentuk rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya melihat pemberian itu dari kementerian di peringkat Persekutuan.
“Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat. Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan. Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah,” katanya lapor Sinar Harian.
Kata beliau, pemberian seumpama ini juga bukan berbentuk rasuah.
Pada Jumaat, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Ketengah bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di Terengganu.
Pengumuman itu disampaikan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Terengganu.
Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.
PAS menyifatkan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu yang mengumumkan pelbagai sumbangan dan geran kepada belia negeri itu Jumaat lalu sangat jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara.
Sehubungan itu Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu menanti apakan tindakan Suruhanjaya Pencecahan Rasuah Malaysia (SPRM).
‘’Tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi BN-PH jelas merupakan satu bentuk rasuah menjelang pilihan raya negeri. ‘Walaupun pelbagai pihak meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam pelbagai diplatform media sosial di atas ucapan tersebut, nampaknya SPRM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan,’’ katanya dałam kenyataan hari ini, lapor Harakah Daily.
Beliau mengulas pengumuman Ahmad Zahid pada Jumaat yang meluluskan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu, selain RM200,000 bagi kelab bermotosikal di negeri itu, sehari sebelum penamaan calon berlangsung semalam.
Ahmad Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menggesa belia yang hadir pada majlis itu supaya mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN bulan depan.
Beliau berkata, sikap SPRM jauh berbeza dengan tindakan segera SPRM yang mengeluarkan kenyataan terhadap tindakan pihak pembangkang.
‘’Sehinggakan menyediakan bas oleh kerajaan Kelantan untuk kemudahan pengundi pulang mengundi tanpa sebarang syarat pun dianggap oleh SPRM sebagai satu kesalahan rasuah.
‘’Hal yang sama turut dirasai rakyat terhadap BERSIH. Suatu masa dahulu BERSIH begitu lantang memperjuangkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil namun turut sepi apabila parti pemerintah melakukan kesalahan,’’ katanya.
Keadaan itu kata beliau berbeza jika hal yang sama dilakukan oleh parti pembangkang, BERSIH akan segera mengeluarkan kenyataan yang begitu lantang membantah tindakan pembangkang.
‘’BERSIH kini dilihat gagal berperanan sebagaimana ia diasaskan diawal penubuhannya kerana dilihat condong menyokong parti pemerintah khususnya PH.
‘’Perjuangan untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya Malaysia semakin sepi bilamana beberapa orang tokoh mereka menyertai PH dalam pilihanraya dan tidak lagi dilihat adil terhadap parti pembangkang,’’ katanya.
Tuan Ibrahim berkata, akyat kini menuntut tindakan segera sebelum mereka menterjemahkan dalam peti undi pada 12 Ogos nanti.
CALON termuda yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri ialah Melanie Ting Yi-Hlin, 23, manakala Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) MS Ravinder Singh, 80, menjadi calon paling tua.
Melanie, yang juga Ketua Turus Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), berdepan persaingan tiga penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Kamri Kamaruddin dan Shasha Lyna Abdul Latif daripada Perikatan Nasional (PN).
MS Ravinder Singh, yang juga bekas guru, bertanding di Pantai Jerejak dalam persaingan empat penjuru menentang Fahmi Zainol (PH-PKR), Oh Tong Keong (PN-Gerakan) dan calon MUDA Loh Xiang Pin.
PRN kali ini turut menyaksikan pembabitan anak-beranak dan mereka yang mempunyai pertalian kekeluargaan,lapor Bernama.
Isteri bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid tampil bergandingan dengan anaknya, Mohd Najib Mohd Isa yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Port Dickson, bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) masing-masing di Juasseh dan Bagan Pinang.
Bibi Sharliza, yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, akan menentang Datuk Eddin Syazlee Shith (PN-Bersatu) manakala Mohd Najib berdepan pertandingan satu lawan satu dengan Abdul Fatah Zakaria (PN-PAS).
Turut bertanding Nurul Syazwani Noh dan Danni Rais, yang mewakili PN, masing-masing di DUN Permatang, Selangor dan DUN Klawang, Negeri Sembilan.
Nurul Syazwani, yang juga anak bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, menentang Mohd Yahya Mat Sahri (PH-PKR) manakala Danni, anak bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, berdepan pertembungan tiga penjuru dengan Saiful Bahri Jaaman @ Sharman (Bebas) dan Datuk Bakri Sawir (PH-Amanah).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
PRK bagi Parlimen Kuala Terengganu diadakan setelah kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun lepas membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengaktifkan bilik gerakan Op Cantas bagi pengumpulan maklumat berkaitan perjalanan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri terlibat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bilik gerakan yang akan berpusat di Bukit Aman itu berperanan dalam mengenal pasti kesalahan yang dilakukan termasuk provokasi atau sebarang elemen negatif sepanjang PRN.
Menurutnya, segala maklumat akan dihantar terus ke bilik gerakan yang dikenali Op Room Cantas yang berpusat di Bukit Aman.
“Bilik gerakan ini berperanan sebagai tempat pengumpulan maklumat berkaitan provokasi yang dicetuskan mana-mana pihak bagi memastikan tindakan dijalankan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.
Tambah beliau, setiap insiden akan dirakam mengikut masa sebenar (real time) melibatkan keenam negeri terlibat.
“Pelaksanaan tugas ini turut dijalankan oleh unit dron yang mana dron akan diterbangkan di kawasan terlibat di enam negeri,” katanya.
Beliau berkata, selain penugasan pasukan Op Cantas yang ditugaskan sebelum ini, polis turut menjalankan pemantauan menggunakan dron dan menyalurkannya kepada bilik gerakan Op Cantas itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media di Bukit Aman, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Katanya, sejumlah 17,136 anggota PDRM telah digerakkan bagi memantau tahap keselamatan di setiap DUN yang terlibat PRN di enam negeri.
“Penugasan turut dibantu 572 anggota Rela selain sejumlah 82 pasukan Cantas berjumlah 1,459 pegawai dan anggota terlibat bagi memantau proses penamaan calon hari ini.
“Op Cantas, keanggotaan ini telah bermula pertengahan Mei bagi lima lagi negeri telah bermula 29 Jun lepas dengan tangkapan lebih 400 orang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar semua parti politik memohon permit sebelum menjalankan sebarang ceramah atau ‘walkabout’ ketika berkempen sepanjang PRN ini.
Jelas Razarudin, ia bagi memudahkan pihak polis untuk melaksanakan pemantauan sekali gus mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Sebaiknya mohon sehari awal untuk kita pastikan segala proses berjalan lancar, namun saya telah maklumkan kepada Ketua Polis Negeri terlibat, permohonan dalam tempoh 24 jam tetap kita akan teliti.
“Sebarang ceramah atau ‘walkabout’, mohon permit dahulu supaya tidak berlakunya pertembungan dengan parti lain,” katanya, lapor Sinar Harian.