Category: Semasa

  • Pemborong sayur cedera ditetak sekumpulan lelaki

    Pemborong sayur cedera ditetak sekumpulan lelaki

    PEMBORONG sayur cedera di kedua-dua tangan selepas ditetak dengan senjata tajam oleh sekumpulan lelaki di pasar awam Parit Buntar, pada pukul 3.15 petang tadi.

    Mangsa yang berusia lingkungan 50-an dikatakan baru tiba di pasar itu sebelum kumpulan lelaki menaiki Proton Waja menghampirinya dan berlaku pergelutan.

    Harian Metro melaporkan, mangsa cedera pada jari kiri dan pergelangan tangan kanan akibat ditetak, manakala beberapa lelaki terbabit berjaya ditahan polis yang berada di lokasi ketika kejadian.

    Mangsa menerima rawatan di Hospital Parit Buntar.

  • Mangsa sempat minta tolong, terkapai-kapai sebelum lemas

    Mangsa sempat minta tolong, terkapai-kapai sebelum lemas

    SEORANG lelaki berusia lingkungan 50-an ditemukan lemas di sungai berhampiran Pandamaran Jaya, Klang, tengah hari tadi.

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 10.34 pagi daripada seorang individu yang memberitahu ternampak seorang lelaki terkapai-kapai meminta tolong sebelum tenggelam di sungai berkenaan.

    Beliau berkata sepasukan 10 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dikerah dalam operasi berkenaan.

    “Anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) kemudian melakukan selaman di dasar sungai dan berjaya menemukan mangsa.

    “Mangsa dibawa ke darat sebelum pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi mengesahkannya sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

    Norazam berkata pihak polis juga tidak menjumpai sebarang identiti pada mangsa.

  • Harap Anwar teruskan hubungan baik kerajaan Persekutuan-Kelantan, kata Tok Pa

    Harap Anwar teruskan hubungan baik kerajaan Persekutuan-Kelantan, kata Tok Pa

    SEMANGAT federalisme serta perpaduan antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang diamalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini wajar diteruskan.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, konsep federalisme yang diamalkan itu mewujudkan kerjasama rapat yang seharusnya dipraktikkan oleh kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Jelas beliau, konsep federalisme itu penting dan semua pihak perlu melupakan sejarah lama dan harus memandang ke hadapan.

    “Kita mengharapkan keadilan dan ihsan di pihak kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan hubungan erat dan kemajuan di Kelantan serta negeri negeri kurang membangun dapat diteruskan.

    “Menjadi satu sejarah dan kenangan manis buat Kelantan dan rakyatnya apabila lima menteri penuh dan tujuh timbalan menteri menganggotai Jemaah Menteri (dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sebelum ini) sekali gus menyaksikan banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di Kelantan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi persidangan DUN Kelantan (Pembentangan Belanjawan 2023) di Kota Bharu, hari ini.

    Mustapa yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) pernah dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua pada 7 September 1998, selepas Anwar diarahkan meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1 September 1998.

    Mustapa pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) baru-baru ini tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli yang diwakilinya sejak sekian lama atas alasan kesihatan.

  • Kami faham Najib dalam penjara, tak dapat maklumat terkini

    Kami faham Najib dalam penjara, tak dapat maklumat terkini

    KETUA Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak berkecil hati terhadap kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang memetik namanya berhubung sokongan 10 Ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ini kerana beliau memahami hakikat bahawa bekas Perdana Menteri itu kini berada dalam penjara kerana terbabit dalam kes penyelewengan wang SRC International dan tidak mendapat maklumat terkini.

    “Tak apa, kami faham, Najib dalam penjara, susahlah dia nak dapat semua maklumat terkini.

    “Tapi itu bukan bermakna kamu ada lesen nak menipu ahli UMNO dan rakyat Malaysia sewenang-wenangnya macam kamu menipu pasal 1MDB sampai jatuh bersalah dan dihukum penjara,” katanya dalam kenyataan, lapor Agenda Daily.

    Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu yang menang kerusi Parlimen Machang itu turut bertanya kepada Najib kenapa tidak mengulas tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang cuba menipu Yang di-Pertuan Agong.

    “DYMM YDP Agong pun tak persoalkan langsung tentang surat sokongan tersebut. Jadi kenapa Najib nak persoalkan? Oh ya, Najib tak nak ulas tentang penipuan Presiden UMNO, Zahid Hamidi terhadap YDP Agong?

    “Kononnya kata Zahid ada 30 Ahli Parlimen BN telah menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, walhal kesemua ahli Parlimen BN tersebut langsung tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

    “Sudahlah bohong rakan-rakan dalam parti, YDP Agong pun dia bohong! Derhaka sungguh,” katanya sambil mengingatkan bahawa sokongan kepada Perdana Menteri adalah hak individu, bukannya blok parti.

    Wan Ahmad Fayhsal juga berkata, admin Facebook Najib tidak faham mengenai pindaan Perlembagaan mengenai larangan bertukar parti yang langsung tidak melarang ahli Dewan Rakyat memberi sokongan secara individu.

    “Dalam Perlembagaan pun disebut, sokongan majoriti kepada Perdana Menteri adalah daripada kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat, langsung tak sebut ia perlu mengikut parti yang diwakili oleh ahli Dewan Rakyat tersebut.

    “Adakah Najib dan penyokong Zahid lupa yang meminta akuan bersumpah setiap ahli Parlimen adalah Istana Negara sendiri melalui surat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    “Mantan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga sudah nyatakan perkara ini dengan jelas. Beliau berpendapat yang sama.

    “Jadi tidak timbul soal curi ahli Dewan Rakyat dan sebagainya. Mereka yang memberi sokongan kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah secara sukarela bukan secara paksa.

    “Tak tahulah kalau Najib faham beza antara perkataan ‘sukarela’ dan ‘memaksa’. Akta antipindah parti tidak menjadikan seorang ahli Parlimen seperti robot atau “rubber stamp” untuk parti politik,” katanya.

  • Lelaki tular menyamun warga asing kena tahan

    Lelaki tular menyamun warga asing kena tahan

    LELAKI ditahan selepas disyaki menyamun wang tunai RM500 daripada dua warga asing di premis mencuci kenderaan di Taman Saujana Kajang, yang tular di media sosial semalam.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan di Taman Kantai Permai, Kajang pada hari sama dan disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

    Beliau berkata, lelaki terbabit juga tidak menyamar sebagai polis seperti yang ditularkan.

    “Suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan pihak polis turut merampas sebuah motosikal serta pakaian yang disyaki digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Lelaki itu direman empat hari hingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak tanpa menggunakan senjata.

    Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924.

  • Kabinet harus bersih daripada individu terbabit kes mahkamah – Nik Nazmi

    Kabinet harus bersih daripada individu terbabit kes mahkamah – Nik Nazmi

    PEMILIHAN anggota Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus bersih daripada mereka yang terbabit dengan kes mahkamah.

    Menurut Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, adalah lebih baik untuk tidak melantik individu yang mempunyai kes mahkamah berterusan menganggotai Kabinet supaya tiada sebarang isu bakal berbangkit.

    “Saya rasa situasi terbaik dan ideal adalah untuk tidak meletakkan mereka (ada kes mahkamah) dalam Kabinet kerana saya berasa ini isu yang sering ditekankan oleh rakyat sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan kali ini ialah rasuah.

    “Mungkin ada kes mahkamah yang sedang berjalan, tetapi bagi saya definisi (Kabinet) sepatutnya bersih sebersihnya daripada sebarang tuduhan apabila diamanahkan memegang jawatan itu.

    “Apabila kita mentadbir, kita perlu meletakkan penanda aras yang tinggi dalam aspek integriti dan rasuah,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu dalam bual bicara bertajuk ‘Kabinet Bayangan Anwar Ibrahim’, semalam.

    Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, terdapat ramai Ahli Parlimen daripada setiap parti dalam kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang boleh memegang jawatan kanan dan menteri serta jawatan Timbalan Perdana Menteri.

    “Memandangkan kerajaan perpaduan Anwar berjaya mencapai dua pertiga (majoriti) Parlimen, terdapat kumpulan yang layak dan mencukupi untuk membentuk Kabinet.

    “Berdasarkan janji Anwar untuk membentuk Kabinet yang lebih kecil daripada barisan sebelum ini yang hampir 70 orang, saya melihat ia sesuatu yang terbaik kerana meletakkan orang yang tepat.

    “Kita perlu meletakkan standard yang tinggi supaya mempunyai menteri yang benar-benar layak dan timbalan menteri yang terbaik untuk membantu mereka selain mengiktiraf kemampuan penjawat awam juga,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, mengenai Kabinet bayangan yang dikatakan menyenaraikannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nik Nazmi menolaknya dan menyifatkan ia sebagai tidak rasmi serta sekadar hiburan, menyamakannya dengan pasukan fantasi semasa Piala Dunia.

    “Itulah harapan rakyat dan mereka mungkin merasakan ia adalah barisan terbaik, bagaimanapun, Perdana Menteri akan memutuskan apa yang terbaik,” katanya sambil menambah bahawa beliau bersedia untuk memegang jawatan menteri jika diberi peluang.

  • DUN Kelantan lulus Enakmen Antilompat Parti

    DUN Kelantan lulus Enakmen Antilompat Parti

    PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti-Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.

    Usul pindaan itu dibawa oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan mendapat sokongan sebulat suara tanpa dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN Kelantan ke-14 di sini.

    “Tujuan pindaan dilaksanakan adalah bagi memastikan Enakmen Anti-Lompat Parti sekata dan selaras dengan apa yang telah diputuskan di Parlimen sebelum ini,” katanya ketika menggulung rang undang-undang itu. 

    Speaker Datuk Abdullah Ya’kub pula berkata pindaan itu dilaksana selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang berkuat kuasa 5 Okt lepas.

    Akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos dan diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 Sept lepas.

    Persidangan bersambung 29 Nov ini. – BERNAMA

  • BN dan PH bentuk kerajaan negeri Pahang, Wan Rosdy dilantik MB

    BN dan PH bentuk kerajaan negeri Pahang, Wan Rosdy dilantik MB

    PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah memperkenankan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata baginda juga berkenan, untuk melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan Pengerusi BN negeri sebagai Menteri Besar.

    Lantikan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

    “Majlis pengurniaan surat cara lantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar akan diadakan pada 11 pagi Isnin, 28 Nov di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Ahmad Khirrizal juga menyatakan Tengku Hassanal telah berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat kepimpinan parti-parti politik yang terlibat, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebelum membuat keputusan tersebut.

    Pelantikan Menteri Besar itu mengakhiri kemelut politik yang berlaku di Pahang, yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung buat kali pertama, selepas tiada parti politik yang memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi pada pilihan raya umum itu.

    Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi DUN, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN), manakala PH mendapat lapan kerusi. Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi di DUN Pahang.

    Pengundian bagi DUN Tioman telah ditangguhkan dan akan berlangsung pada 7 Dis ini, susulan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian PRU15 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

    Keputusan DUN Tioman bagaimanapun tidak memberi kesan kerana tiada parti akan memperoleh majoriti mudah daripada keputusan tersebut. – BERNAMA 

  • PN tolak sertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana rasis – Wan Saiful

    PN tolak sertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana rasis – Wan Saiful

    PERIKATAN Nasional (PN) menafikan dakwaan bahawa gabungan politik itu bersifat perkauman apabila menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dalam kerajaan perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sebaliknya, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penolakan kerjasama dengan DAP oleh PN adalah disebabkan ideologi haluan kiri yang dibawa parti itu.

    “Kami (PN) tidak menolak DAP kerana sentimen perkauman atau agama. Kami menentang DAP kerana strategi parti itu untuk menafikan hak sesiapa yang berbeza pendapat.

    “Jika DAP mendesak orang lain untuk berhenti bercakap tentang perkauman, mereka harus berhenti mendakwa bahawa sesiapa yang tak setuju dengan dia (DAP) semuanya atas dasar perkauman,” katanya ketika menyertai kempen calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin di Taman Mahsuri, Padang Serai di Kulim, hari ini.

    PN sebelum ini memutuskan untuk tidak menyertai Kerajaan Perpaduan meskipun diajak untuk bekerjasama oleh Anwar selaku Perdana menteri, sebaliknya memilih untuk menjadi pembangkang.

    Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa DAP sedang menyebarkan agenda berhaluan kiri yang tidak pernah dinafikan parti itu.

    “Negara kita dibina atas falsafah sayap kanan dan kita menentang apa sahaja yang diperjuangkan oleh DAP bukan kerana mereka Cina atau India, malah orang Melayu yang berada dalam DAP juga salah kerana parti itu mempunyai ideologi yang salah.

    “Ini yang kita cuba jelaskan kepada rakyat supaya mereka tidak terpedaya dengan propaganda DAP bahawa sesiapa yang menentang mereka adalah rasis,” katanya.

    Mengulas pilihan dibuat PN untuk kekal sebagai pembangkang, beliau berkata, pihaknya tidak boleh boleh membenarkan kerajaan didominasi PH khususnya DAP untuk mentadbir negara tanpa semak dan imbang sewajarnya.

    “Kita beranggapan bahawa kerajaan (Persekutuan) ini bukan kerajaan perpaduan, tetapi kerajaan PH,” katanya lapor BH Online.

    Selain Azman, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut disertai calon Barisan Nasional (BN), Datuk C. Sivaraj; Dr. Mohamad Sofee Razak (PH), Hamzah Abd. Rahman (PEJUANG), Mohd. Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

  • Agong titah BN sertai kerajaan bukan diterajui PN, kata Zahid

    Agong titah BN sertai kerajaan bukan diterajui PN, kata Zahid

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen gabungan itu supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) ketika kemuncak kemelut politik yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Zahid berkata, tujuannya bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk selepas sebelumnya membuat untuk berkecuali dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk menentukan keputusan akhir.

    “Hal ini berlaku selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh PN.

    “Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti.

    “BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama,” katanya, memetik laporan Malaysianow, hari ini.

    Kemelut politik melanda negara apabila kerajaan tidak dapat dibentuk selepas tiada gabungan mendapat majoriti mudah bagi menentukan Perdana Menteri baharu selepas keputusan PRU15 diumumkan.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui Pakatan Harapan (PH) terpaksa bersaing untuk membuktikan mereka mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, kedua-dua mereka mendakwa mempunyai majoriti kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

    Kedua-dua mereka dipanggil mengadap oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di mana Muhyiddin berkata 115 akuan bersumpah ahli Parlimen diserahkan kepada Istana Negara.

    Bagaimanapun ditolak istana dan Agong mencadangkan supaya Anwar dan Muhyiddin membentuk kerajaan perpaduan yang ditolak oleh PN.

    Namun, setelah Agong mendapatkan nasihat Majlis Raja-Raja Melayu, Anwar akhirnya dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu pada 24 November sekali gus mengakhiri kemelut politik selama hampir lima hari dalam negara.