Category: Semasa

  • Polis siasat video Jalur Gemilang dikibar dengan bendera Israel

    Polis siasat video Jalur Gemilang dikibar dengan bendera Israel

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung penyebaran klip video menunjukkan beberapa individu menyanyikan lagu Negaraku sambil menaikkan bendera Malaysia dan Israel.

    Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashriman Ku Mahmood berkata, siasatan dilakukan susulan satu laporan dibuat seorang lelaki tempatan pada 29 Nov lalu yang melihat rakaman video itu tular di WhatsApp.

    Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan bersama agensi pelancongan.

    “Kita menerima satu laporan polis daripada lelaki warga tempatan yang menyatakan melihat rakaman video berdurasi 47 saat di kumpulan sembang WhatsApp, di mana lagu Negaraku dinyanyikan beberapa individu dan bendera Malaysia dikibarkan bersama bendera Israel.

    “Siasatan awal mendapati kejadian dalam video itu berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke sebuah negara bersama agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

    Ku Mashriman berkata, meminta orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan di mana-mana platform.

    Katanya, ia bagi mengelakkan spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan polis serta menggugat ketenteraman awam.

    Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Operasi Maritim Malaysia, AADK tahan 19 nelayan positif dadah

    Operasi Maritim Malaysia, AADK tahan 19 nelayan positif dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 19 individu terdiri daripada nelayan di Kuala Kedah ditahan akibat positif dadah dalam operasi bersepadu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar dan Pokok Sena, semalam.

    Sebahagaian daripada nelayan yang diperiksa Maritim Malaysia dan AADK dalam operasi dijalankan semalam.

    Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir, operasi tersebut bermula kira-kira pukul 10 pagi semalam bertujuan membanteras kegiatan penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

    “Serbuan dilakukan di jeti-jeti bot sekitar muara Kuala Kedah serta pemeriksaan awak terhadap bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berhampiran.

    “Hasil operasi itu, seramai 19 individu ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine. Selain itu sebuah bot nelayan tempatan kelas B turut diambil tindakan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan.

    Tambahnya, operasi tersebut melibatkan seramai 60 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi terlibat.

    “Kesemua individu ditahan merupakan warganegara tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun. Mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Menurutnya, Maritim Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang di perairan negara.

    “Kami amat mengalu-alukan aduan mahu pun laporan mengenai sebarang aktiviti jenayah mahu pun kecemasan di laut.

    “Maklumat mengenai perkara itu boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

  • Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil pihak pengurusan TikTok untuk memberikan penjelasan berhubung penularan tiga klip video berbaur provokasi mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969. 

    MCMC dalam kenyataan memaklumkan penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, MCMC terus memantau penyebaran klip video tersebut serta pendedahan sebuah portal berita yang tiga klip video itu merupakan kandungan berbayar. 

    Selain itu, MCMC dan PDRM akan mempertingkat usaha untuk mengekang penyebaran video sedemikian yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

    Sebuah portal berita hari ini melaporkan terdapat pengguna media sosial yang menyatakan beberapa video berhubung amaran rusuhan 13 Mei 1969 yang tular di TikTok mempunyai label “paid partnership” atau perkongsian berbayar. – BERNAMA

  • AGC tidak rayu keputusan mahkamah serah semula barangan mewah Najib, Rosmah

    AGC tidak rayu keputusan mahkamah serah semula barangan mewah Najib, Rosmah

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan ia tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memulangkan barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

    Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi Bernama berkata AGC tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 14 Nov 2022.

    “Ya, AGC tidak merayu terhadap keputusan hakim kerana kami bersetuju dengan keputusan Yang Arif,” kata Idrus menerusi mesej WhatsApp hari ini.

    Pada 14 Nov, Hakim Muhammad Jamil memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesemua barangan yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018 adalah hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim itu turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan difailkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

    Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

    Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan tersebut dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang didakwa milik UMNO dan Najib. Bagaimanapun kerajaan gagal melucut hak wang itu.

    Barangan tersebut didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal dana 1MDB, disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Barangan kemas dan beg tangan didakwa milik Rosmah manakala jam tangan milik Najib. – BERNAMA

  • Rayuan Azeez kes saman fitnah terhadap Guan Eng didengar 19 Mei

    Rayuan Azeez kes saman fitnah terhadap Guan Eng didengar 19 Mei

    PEMDENGARAN rayuan bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng ditetapkan semula pada 19 Mei tahun depan.

    Felix Lim, seorang daripada peguam yang mewakili Lim, mengesahkan tarikh pendengaran baharu itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Dr Syahliza Warnoh hari ini.

    Pendengaran rayuan itu pada mulanya ditetapkan hari ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Hashim Hamzah tetapi telah ditangguhkan.

    Hakim Lee memberitahu kedua-dua pihak bahawa panel itu masih belum berehat sejak prosiding bermula pada sebelah pagi.

    “Kami perlu memohon maaf kepada anda semua. Kami masih belum rehat dan jam hampir 2 petang…dan berdasarkan anggaran hujahan kedua-dua pihak (memerlukan) satu jam dan (lebih banyak masa) untuk balasan,” katanya.

    “Kami fikir dalam keadaan ini, kami perlu menghantarnya kepada pengurusan kes untuk menjadualkan semula tarikh pendengaran baharu,” kata Hakim Lee.

    Ahli Parlimen Baling itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020 yang menolak samannya ke atas Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung pembinaan projek terowong dasar laut di negeri berkenaan.

    Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Guan Eng, bekas Menteri Kewangan, telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Feb 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.

    Beliau meminta ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, peguam Datuk Porres Royan dan Craig Ho mewakili Abdul Azeez manakala Lim diwakili Datuk N. Mureli dan Felix. – Bernama

  • Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    Mekanik maut, van jenazah dipandu terbabas masuk gaung 7 meter

    SEORANG mekanik maut selepas van jenazah yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi tujuh meter di Kilometer 16, Jalan Jemaluang-Mersing dekat Mersing, pagi tadi. 

    Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata dalam kejadian pada kira-kira 9.15 pagi di hadapan Institut Latihan Perindustrian Mersing itu, mangsa dikenal pasti sebagai Wan Mohd Nasyarudin Wan Ismaon, 38.

    “Van yang dipandu Mohd Nasyarudin dipercayai dari arah Johor Bahru-Mersing, telah terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan di laluan bertentangan sebelum van berkenaan terjatuh dalam gaung,”  katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Cyril Edward berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pakar perubatan dan jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat da kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Warga emas meninggal dunia dalam tandas

    Warga emas meninggal dunia dalam tandas

    SEORANG pekerja tandas awam di Jalan Klebang Besar, Melaka ditemui meninggal dunia pada malam tadi.

    Mohamad Ismail Saadah, 67, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kerusi kaunter tandas milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu dan laporan polis telah diterima pada pukul 8.25 malam.

    “Siasatan mendapati tiada unsur jenayah pada mayat berkenaan. Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, punca kematian dipercayai akibat serangan jantung berdasarkan rekod kesihatan juga warga emas itu pernah menerima rawatan di hospital kerana menghidap penyakit itu tiga tahun lalu.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Wajib mengundi setiap kali pilihan raya, elak negara dalam bahaya

    Wajib mengundi setiap kali pilihan raya, elak negara dalam bahaya

    TAN Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengingatkan akan kewajipan mengundi kepada rakyat negara ini setiap kali mereka berdepan pilihan raya.

    Menurut Presiden Pas itu, kegagalan mengundi boleh mengakibatkan politik dan negara umat Islam dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam sekali gus mengundang pelbagai azab di dunia.

    Namun Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, sebahagian umat Islam itu sendiri mengabaikan tanggungjawab tersebut apabila ada yang tidak mahu turun mengundi.

    “Malah (sebahagian umat Islam) menolak demokrasi secara keseluruhan dengan alasan bahawa demokrasi berasal dari Barat.

    “Kesannya, politik dan negara umat Islam dikuasai oleh mereka yang memusuhi Islam atau tidak memahami Islam dengan makna yang sebenar, lantas mengundang pelbagai azab di dunia seperti keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, kemiskinan, kenaikan kos sara hidup, dan banyak lagi,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, demokrasi pilihan raya hakikatnya berasal daripada Islam melalui kitab-kitab karangan para ulama Siyasah al-Syar‘iyyah berasaskan pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

    Beliau berkata, demokrasi pilihan raya kemudian dicedok oleh pihak Barat semasa mereka menjarah tanah air umat Islam.

    “Marilah kita umat Islam sama-sama kembali kepada penghayatan Islam yang hakiki, khususnya dengan melibatkan diri dalam politik demi menjamin masa depan umat dan negara yang lebih baik,” tambahnya.

  • Kes saman 1MDB: Firma guaman wakili ibu Jho Low tarik diri

    Kes saman 1MDB: Firma guaman wakili ibu Jho Low tarik diri

    SEBUAH firma guaman hari ini menarik diri daripada mewakili ibu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam kes saman berjumlah US$3.7837 bilion yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Seorang peguam dari Skrine & Co yang mewakili 1MDB berkata Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan Tetuan Valen, Oh & Partners untuk menarik diri sebagai peguam daripada mewakili Puan Sri Goh Gaik Ewe.

    “Pengurusan kes ditetapkan pada 21 Dis ini,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini yang turut disertai peguam Oh Choong Ghee, mewakili firma guaman tersebut.

    Pada Julai lepas, Hakim Hayatul Akmal membenarkan firma guaman sama (Tetuan Valen, Oh & Partners) untuk menarik diri daripada mewakili Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng yang juga defendan dalam kes saman itu.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap Jho Low, ibu dan bapanya, kakak dan adik lelaki Jho Low iaitu May Lin dan Taek Szen serta rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong selaku defendan.

    Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut US$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing US$41 juta, US$397 juta, US$608 juta dan US$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta US$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

    1MDB Global Investments Limited pula menuntut US$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta US$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

    Plaintif turut menuntut US$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta US$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain US$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

  • Harga RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal

    Harga RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal

    HARGA runcit RON97 turun 10 sen kepada RM3.85 seliter berbanding RM3.95, manakala harga RON95 dan diesel kekal tidak berubah untuk minggu ini dari 1 hingga 7 Dis.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga siling RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, walaupun harga pasaran kedua-dua produk itu meningkat melebihi harga siling semasa.

    Harga runcit RON97 telah diturunkan sejajar dengan pergerakan harga pasaran.

    Penetapan harga itu dibuat berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah global dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA