Category: Semasa

  • Tauke dan syarikat judi hanya layak bersama PH

    Tauke dan syarikat judi hanya layak bersama PH

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, adalah tidak masuk akal tauke dan syarikat judi menyumbang kepada kumpulan yang terdapat di dalamnya yang dituduh sebagai Taliban, pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas.

    Berikut kenyataan penuh Hadi menerusi Minda Presiden Pas yang disiarkan dalam akaun Facebook beliau hari ini:

    HANYA akal yang berpusing sahaja boleh menerima tuduhan yang mengatakan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada Perikatan Nasional (PN), sedangkan sahamnya jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

    Sahamnya hanya naik semula, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih. Diikuti pula dengan pembentukan kabinet yang tidak bersih, kerana telah melibatkan bekas banduan walaupun telah diampun, kluster mahkamah yang belum selesai perbicaraannya, pemberi dan penerima rasuah serta golongan penipu yang selari dengan kemahuan tauke dan syarikat judi.

    Adalah tidak masuk akal tauke dan syarikat judi menyumbang kepada kumpulan yang terdapat di dalamnya yang dituduh sebagai Taliban, pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas. Hal ini bermakna tauke judi itu sangat bodoh, walaupun pandai menipu dan paling banyak menyumbang rasuah kepada penerima rasuah yang ditarik bergabung dengan bekas banduan kluster mahkamah, sehingga menjadi penyokong kuat PH bagi menubuhkan kerajaan.

    Apabila PAS memerintah Kelantan, maka diambil suatu langkah bagi menutup tempat perjudian yang diharamkan oleh Islam dan diadakan dialog dengan para pemimpin semua agama. Mereka memaklumkan bahawa judi turut diharamkan oleh semua agama.

    Selepas itu, kami menghadapi masalah apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian. Adapun lesen kebenaran berjudi adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, dan Menteri Kewangan pada masa itu ialah Perdana Menteri sekarang yang dilantik oleh PH, merangkap Menteri Kewangan juga.

    Apabila kerajaan PAS Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah menutup premis perjudian dan lain-lain di bawah bidang kuasanya, tiba-tiba tindakan itu mendapat protes daripada parti komponen PH, walaupun dalam perkara yang hanya berkait dengan hak umat Islam. Malangnya, mereka yang berwajah Islam dalam PH diam membisu.

    Pepatah Melayu ada menegaskan, “Kalau rumah berdinding kaca jangan dikacau rumah orang lain, nanti kalau dibalas maka berkecailah dinding rumah kamu itu.”

    Mereka juga boleh melakukan dengan cara menipu orang-orang yang sangat bodoh, khususnya melalui media yang boleh melariskan penipuan itu, laksana penjual ubat yang boleh menjual biji-biji tahi kambing, jika pandai mensyarahkannya maka boleh ditafsirkan menjadi majun yang laris dijual.

    Zuhair bin Abi Salama, seorang pujangga Arab pada zaman sebelum Rasulullah SAW pernah menegaskan:
    ‌وَمَهْمَا ‌تَكُنْ ‌عِنْدَ ‌امْرِئٍ ‌مِنْ ‌خَليقةٍ … وَإِنْ خَالَهَا تَخْفَى عَلَى النَّاسِ تُعْلَمِ.
    “Sekalipun seseorang itu mempunyai perangai yang disembunyikan kepada orang ramai, akhirnya ia akan tetap terdedah juga.”

    ABDUL HADI AWANG
    Presiden PAS
    Bertarikh: 12 Jumadal Ula 1444 / 7 Disember 2022
    [Bil: 66 / 2022]

  • Seminggu diperlukan soal bekas pegawai bank urus akaun Najib

    Seminggu diperlukan soal bekas pegawai bank urus akaun Najib

    PASUKAN pembelaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil masa selama seminggu untuk pemeriksaan balas bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping yang mengendalikan akaun milik bekas perdana menteri itu.

    Peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika ditanya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Sequerah berapa lama bekas pegawai bank itu akan disoal balas dalam perbicaraan kes Najib yang melibatkan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB. 

    Muhammad Shafee berkata beliau akan memulakan pemeriksaan balas ke atas Yu esok dan ia memerlukan beliau seminggu untuk menghabiskan pertanyaan  terhadap saksi. Yu telah selesai menghadapi pemeriksaan utama. 

    Sebelum itu, Yu memberi keterangan bagaimana akaun peribadi Ambank Najib dibuka dan bagaimana ahli perniagaan dalam perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah menghubungi AmBank pada 2009 untuk penerbitan bon RM10 bilion dengan tempoh 30 tahun untuk pendahulu 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA), “yang tidak pernah berlaku sebelum ini”. 

    Hari ini, mahkamah juga mendengar hujahan daripada Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengenai sama ada rakaman audio antara Najib dan seorang kerabat diraja Saudi boleh diterima dalam perbicaraan. 

    Muhammad Shafee berhujah bahawa hak Najib untuk satu perbicaraan yang adil mungkin terjejas jika mahkamah membenarkan kemasukan perbualan peribadinya dengan anggota kerabat Saudi itu yang ingin dibawa pendakwaan ke dalam perbicaraan itu, mungkin dicemari dengan maklumat palsu. 

    “Jika pematuhan undang-undang yang mentadbir kemasukan bukti dokumentari tidak dipatuhi, tertuduh berada di dalam keadaan  yang merugikannya kerana bukti itu tidak akan dikecualikan.

    Malah lebih buruk lagi, tiada cara untuk tertuduh membangkitkan sebarang bantahan berkaitan ketidakpatuhan itu kerana susunan kata dan terjemahan kepada Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Pihak pendakwaan telah menyalahgunakan proses mahkamah dengan tidak memasukkan komunikasi yang dipintas di bawak Seksyen 43 Akta SPRM tetapi sebaliknya menggunakan pintu belakang dengan memaksa mahkamah menerima “bukti dokumen” di bawah Seksyen 41(A) Akta SPRM,” kata beliau. 

    Muhammad Shafee menegaskan untuk menerima rakaman audio itu di bawah Seksyen 41 (A) Akta SPRM adalah tidak mengikut perlembagaan kerana ia tidak memakai peruntukan di bawah Akta Keterangan 1950.

    Di bawah Seksyen 41 (A) Akta SPRM menyatakan apa-apa dokumen atau salinan apa-apa dokumen diperoleh SPRM di bawah Akta ini dokumen itu hendaklah diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding di bawah Akta ini.   

    Pihak pendakwaan semalam berhujah adalah sukar untuk mereka untuk membawa individu korup ke muka pengadilan jika mereka perlu mematuhi peraturan di bawah Akta Keterangan.

    Sri Ram berkata keperluan pendakwaan untuk membuktikan setiap dokumen menurut peraturan ketat Akta itu menyebabkan ramai pesalah rasuah boleh melepaskan diri.

    Najib, 69 berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Perbicaraan bersambung esok. – BERNAMA 

  • Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM

    Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM

    POLIS sedang menyiasat satu video berunsur fitnah terhadap seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas di Petaling Jaya di sini yang tular di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu pada 6.30 petang semalam.

    “Klip video dimuat naik pemilik akaun @goodmorninglim memaparkan seorang pegawai polis sedang bertugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas berhampiran lampu isyarat Jalan PJS 3/44 bagi mengesan pemandu yang menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

    “Video tersebut turut disertakan dengan kapsyen menyindir iaitu “05/12 Look got people here (Lihat ada orang di sini) cari makan” dan emoji muka ketawa bersama karung wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata perbuatan individu memuat naik video klip tersebut boleh mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas polis selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan fitnah dan penyalahgunaan media sosial.

    “Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

    Semalam, tular di media sosial satu video berdurasi 25 saat dimuat naik individu berkenaan yang memaparkan seorang anggota polis trafik sedang menjalankan tugas berhampiran lampu isyarat di Petaling Jaya beserta kapsyen berunsur negatif. – BERNAMA

  • Kebakaran di Kementerian Kewangan

    Kebakaran di Kementerian Kewangan

    KEBAKARAN yang berlaku di Kementerian Kewangan hari ini sudah dipadamkan, kata laporan.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya berkata, kebakaran di Kementerian Kewangan itu berlaku pada 2.30 petang tadi.

    “Kebakaran itu berpunca daripada sisa pepejal di tapak pelupusan. Ia berjaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata sumber JBPM Putrajaya kepada Free Malaysia Today.

    Visual kebakaran itu turut tular di media sosial.

    Jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan kebakaran itu dan memaklumkan kenyataan media akan dikeluarkan tidak lama lagi.

  • Kenyataan tumbang kerajaan Anwar hanya pandangan peribadi, kata Shahidan

    Kenyataan tumbang kerajaan Anwar hanya pandangan peribadi, kata Shahidan

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kenyataan beliau berhubung usaha menumbangkan kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya pandangan peribadinya.

    Bekas menteri besar Perlis itu berharap, gerakan berkenaan berlaku, walaupun rancangan terbabit sebenarnya tidak wujud.

    “Rancangan (Perikatan Nasional jadi kerajaan) itu hanyalah kenyataan peribadi saya, yang saya berharap dan berdoa supaya perkara itu berlaku. Itu saja.

    “Apabila saya kata ada usaha itu semua, ia usaha sayalah. Cumanya, jika benar ada usaha itu (daripada pihak lain), sudah pasti saya sokong jadikan PN kerajaan,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Mengulas lanjut Shahidan berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai usaha menjadikan PN kerajaan kerana beliau tiada jawatan dalam gabungan itu.

    “Saya tidak dimaklumkan sebarang usaha atau menyusun apa-apa rancangan (jadikan PN kerajaan) kerana saya tidak ada jawatan dalam Pas atau pun Bersatu sendiri.

    “Bahkan saya juga tak boleh bercakap bagi pihak Pas atau Bersatu, saya cuma Ahli Parlimen PN yang bertanding atas tiket Pas. Jadi, apa-apa kenyataan saya tiada kaitan dengan parti,” katanya.

    Ahad lalu, Malaysiakini memetik Shahidan sebagai mendakwa wujud usaha untuk memastikan kerajaan pimpinan Anwar tidak bertahan lama serta PN akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat.

    “Kita bersyukur, petanda yang baik sekarang ini ialah sokongan kepada PN luar biasa. Saya ucap tahniah kepada barisan Kabinet Anwar. Kita redalah apa yang berlaku.

    “Jadi kami sedang berusaha supaya Kabinet ini tidak tahan lama dan insya Allah kami yang akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat. Parti yang menang besar ialah anggota daripada PN, iaitu Pas,” katanya.

    Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mendakwa tidak tahu mengenai gerakan menukar kerajaan seperti didakwa Shahidan.

    Shahidan mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada PRU15 atas tiket PN, selepas digugurkan dalam senarai calon Barisan Nasional.

  • Isu dana RM600b: SPRM buka kertas siasatan

    Isu dana RM600b: SPRM buka kertas siasatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan perkara itu namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan. 

    “Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas. 

    Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu. 

    Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. – BERNAMA

  • Dapat wang saku RM7 jika solat Subuh, Isyak di masjid

    Dapat wang saku RM7 jika solat Subuh, Isyak di masjid

    PEMBERIAN insentif wang saku persekolah sebanyak RM7 berjaya menarik minat remaja dan kanak-kanak untuk menunaikan solat Subuh dan Isyak berjemaah di Masjid Hadhari, Besut di Terengganu.

    Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Hadhari Jertih, Baharudin Ibrahim berkata, inisiatif itu adalah salah satu daripada program anak muda mengimarahkan masjid yang dilaksana melalui rakan muda masjid.

    Katanya, ia bagi memupuk dan menggalakkan golongan muda solat berjemaah di masjid sejak usia kecil.

    Sumbangan saguhati berbentuk wang tunai RM5 bagi solat Subuh dan RM2 bagi Isyak itu dapat dimanfaatkan sebagai wang saku persekolahan anak-anak.

    “Pendekatan ini merupakan satu usaha bagi menghidupkan suasana solat berjemaah khususnya dalam kalangan mereka berusia 15 tahun ke bawah.

    “Program ini baru sahaja dilaksana minggu lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

    Baharudin berkata, pada awalnya, hanya beberapa orang kanak-kanak sahaja yang hadir solat berjemaah, namun jumlah itu bertambah hingga tiga kali ganda apabila memasuki minggu kedua.

    “Program ini akan menjadi rutin dan kami turut menggalakkan masjid lain melaksana pelbagai program yang dapat menarik lebih ramai golongan muda mendekati masjid,” katanya.

    Selain itu Rakan Muda Masjid Hadhari turut menganjurkan program mengimarahkan masjid antaranya, kelas mengaji, kem pemantapan diri dan gotong-royong, yang sekali gus dapat memupuk ciri kepimpinan.

  • Anwar ambil pendekatan seperti minda pembangkang – Samsuri

    Anwar ambil pendekatan seperti minda pembangkang – Samsuri

    NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan seperti minda pembangkang yang mengaitkankan dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dengan syarikat perjudian.

    Justeru, beliau yang juga Pengerusi PN Terengganu mempersoalkan kenapa isu berkenaan dibangkitkan oleh Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan itu.

    Menurutnya, sudah ada satu surat atau dokumen yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu yang menunjukkan ada parti-parti politik lain sebenarnya menerima bantuan daripada tauke judi.

    Sehubungan itu, beliau berpandangan supaya berlaku adillah dalam membuat apa-apa kenyataan.

    Katanya, Perdana Menteri sepatutnya bertemu dengan media selepas mesyuarat yang penting di awal pemerinatah kerajaan bercakap tentang isu-isu kenegaraan.

    “Dan kalau kita tengok semalam pun yang disebut oleh Perdana Menteri selepas mesyuarat Kabinet jauh beza seorang Perdana Menteri yang sepatutnya bertemu dengan media selepas mesyuarat yang penting di awal pemerintahan kerajaan sepatutnya bercakap tentang isu-isu kenegaraan.

    “Ke mana nak dibawa negara ini, bagaimana nak menyelesaikan masalah rakyat, bagaimana nak menyelesaikan masalah harga barang, ekonomi dan sebagainya tetapi diambil pendekatan seperti minda pembangkang,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menjawab pertanyaan media, Samsuri berkata, apa yang ditimbukan itu tiada kesudahan.

    “Minda pembangkang begitulah. Dia sentiasa mencari salah orang sedangkan di hadapan ada tanggungjawab yang besar untuk melaksanakan apa yang perlu dibuat seperti yang dijanjikan

    “Bagi kita itu pandangan orang yang desperate, atas apa tujuan mereka,” tambahnya.

  • Pemandu lori didenda RM6,000 pindah 20 ekor lembu tanpa kebenaran

    Pemandu lori didenda RM6,000 pindah 20 ekor lembu tanpa kebenaran

    SEORANG pemandu lori didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana memindahkan 20 ekor lembu tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Ogos lepas.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas Rosmadie Ramli, 32, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah memindahkan 18 lembu hidup, seekor lembu yang lemah dan tidak bermaya serta seekor yang telah mati tanpa kebenaran bertulis dari Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

    Perbuatan itu, yang melanggar Perintah 4(1)(a), Perintah Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut (Negeri Selangor) 2001, dilakukan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, pada 1.10 pagi, 7 Ogos lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1)(c) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

    Pegawai Pendakwa Mohd Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memohon hukuman setimpal kerana lembu berkenaan mempunyai penyakit kuku dan mulut (FMD) yang boleh merebak kepada ternakan lain manakala Rosmadie yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan perlu menanggung isteri serta dua anak.

  • Ejen hartanah rugi RM7 juta diperdaya ‘pegawai KKM’

    Ejen hartanah rugi RM7 juta diperdaya ‘pegawai KKM’

    SEORANG ejen hartanah wanita mengalami kerugian lebih RM7 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam menggunakan modus operandi terkini dengan menyamar sebagai Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 18 Mei lepas.

    Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata wanita tempatan berusia 66 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan mangsa mempunyai 52 dos vaksin Sinovac dimohon atas nama mangsa secara tidak sah dan akan diambil tindakan oleh KKM.

    Beliau berkata panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada polis yang memberitahu mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan terdapat waran tangkap atas namanya.

    “Percaya dengan perkara itu, mangsa diminta untuk membuka tujuh akaun bank tempatan yang baharu serta perlu serahkan kesemua maklumat akaun bank tersebut kepada suspek.

    “Mangsa seterusnya diarahkan untuk membuat transaksi pemindahan wang simpanan peribadi berjumlah lebih RM7 juta ke dalam tujuh akaun baharu dibuatnya,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata wanita itu menyedari telah diperdaya selepas membuat semakan dengan Bank Negara dan dimaklumkan terdapat transaksi pengeluaran tanpa pengetahuan mangsa daripada ketujuh-tujuh akaun bank yang baharu dibuatnya.

    Beliau berkata mangsa yang tidak puas hati dan rasa tertipu telah membuat laporan polis semalam (5 Dis) dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA