Category: Semasa

  • Larang parti tabur ‘umpan’ ketika kempen, Tuan Ibrahim minta SPR tegas

    Larang parti tabur ‘umpan’ ketika kempen, Tuan Ibrahim minta SPR tegas

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu tegas melarang parti politik memberi “hadiah” ketika kempen, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang merujuk janji ditabur Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya DUN Tioman.

    Tegas ketua pembangkang DUN Pahang itu, ia jelas satu salah guna kuasa yang dilakukan pihak yang bertanding walaupun ia dari kerajaan negeri.

    “SPR perlu tegas melarang pemberian pelbagai ‘hadiah’ dalam musim kempen sebagai rasuah politik, seperti pemberian geran tanah, projek segera dan apa jua bentuk pemberian kepada pengundi.

    “Ia jelas salah guna kuasa yang dilakukan oleh pemerintah,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Tuan Ibrahim merujuk kepada beberapa pengumuman kerajaan Pahang yang diketuai Wan Rosdy Wan Ismail daripada BN kepada penduduk DUN Tioman sekiranya gabungan itu menang.

    Antaranya menaik taraf jeti kargo di Kampung Tekek, Pulau Tioman bernilai RM8 juta; membina masjid baharu di Felda Selendang, Kuala Rompin (RM3 juta), membina stadium mini baharu di Kampung Kolam, Kuala Rompin (RM15 juta); dan membaik pulih jeti Kampung Juara, Kampung Salang dan Kampung Genting, Pulau Tioman (RM22.6 juta).

    Pada pilihan raya DUN Tioman, calon BN Datuk Seri Johari Hussain mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan dengan majoriti 573 undi.

    Seksyen 7 hingga 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengingatkan semua parti politik dan calon pilihan raya supaya mematuhi peraturan khusus berkaitan salah laku dan aktiviti rasuah.

    Mengikut peruntukan undang-undang itu, segala bentuk rasuah dinyatakan adalah berkaitan aktiviti penyamaran; jamuan; pengaruh tidak wajar dan penyogokan yang mana ia mungkin boleh berlaku sama ada sebelum, semasa atau selepas tempoh pilihan raya diadakan.

    Jika berlaku aktiviti dan salah laku rasuah, pesalah boleh dikenakan tindakan atau hukuman penjara serta denda, sekali gus boleh mengakibatkan kekosongan kerusi seseorang calon yang mana pilihan raya kecil perlu diadakan.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan ADUN Cheka membidas badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih yang sebelum ini lantang mengkritik salah laku parti politik sepanjang berkempen yang hanya menutup mulut walaupun kesalahan itu dikesan berlaku di DUN Tioman.

    “NGO Bersih yang konon berjuang sistem pilihan raya adil, jangan tutup mulut bila dilakukan oleh parti mereka dan hanya bising bila PN melakukannya,” katanya.

  • Muat naik video guna senjata api tanpa lesen, calon PRU-15 ditahan

    Muat naik video guna senjata api tanpa lesen, calon PRU-15 ditahan

    POLIS menahan seorang calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membantu siasatan berhubung kes penggunaan senjata api tanpa lesen serta kebenaran, yang videonya dimuat naik di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata wanita berusia 28 tahun itu ditahan bersama rakannya, seorang lelaki berumur 41 tahun di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 10.20 malam tadi.

    Beliau berkata tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan 6.53 petang semalam, berhubung kejadian seorang warga tempatan memuat naik klip melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor di media sosial.

    Katanya video itu dimuat naik oleh wanita itu di dua platform media sosial miliknya iaitu TikTok dan Instagram.

    “Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ku Mashariman berkata kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA

  • JAS Pulau Pinang arah kontena bahan buangan elektrik, elektronik dihantar pulang ke AS

    JAS Pulau Pinang arah kontena bahan buangan elektrik, elektronik dihantar pulang ke AS

    SEBUAH kontena yang mengandungi bahan buangan elektrik dan elektronik yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat (AS) dipercayai cuba dilupuskan secara haram di negara ini diarah dihantar pulang ke negara asal.

    Tindakan itu diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang selepas kontena terbabit disita selepas membuat pengisytiharan tidak benar yang mana bahan buangan itu diikrar sebagai aloi aluminium.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kontena itu disita sewaktu pemeriksaan pihaknya di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC), Pulau Pinang hari ini dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pegawai pelabuhan bertugas.

    Jelas beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kontena seluas 40 kaki (12 meter persegi) itu menjumpai sebanyak 38 pelet di dalamnya yang dimuatkan dengan buangan sekerap merangkumi papan litar tercetak (printed circuit board); ‘internal hard disk drive’; unit pemprosesan komputer (CPU) dan lain-lain komponen elektronik.

    Ujar beliau, kesemua bahan itu dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    Kontena disita sewaktu pemeriksaan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBTC), Pulau Pinang hari ini dengan kerjasama JKDM dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta pegawai pelabuhan bertugas.

    “Susulan itu, JAS Pulau Pinang mengeluarkan satu notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pengimport untuk pemulangan kontena tersebut ke negara asal.

    “Sekiranya pengimport gagal berbuat demikian, tindakan mahkamah mengikut Seksyen 34B melibatkan denda maksima RM500,000 dan mandatori penjara maksimum lima tahun boleh dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu kata beliau, pengimport yang beralamat di Klang, Selangor itu turut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 dan 37 bagi kesalahan gagal mematuhi notis sekiranya mengingkari arahan yang dikeluarkan.

    Semua bahan ini dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW 110 (e-waste) Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    Jelasnya, pensampelan bahan bukti turut dibuat untuk siasatan lanjut.

    Tegasnya, pemprosesan secara haram boleh memberikan implikasi negatif kepada alam sekitar dan kesihatan terutama apabila majoriti bahan terbabit mungkin dihantar ke premis-premis tidak berlesen untuk pemprosesan secara haram atau lebih buruk jika dilupus secara dibakar atau ditanam.

    Selain itu katanya, pemprosesan secara haram tanpa alat kawalan boleh menyebabkan pelepasan bahan kimia berbahaya termasuk logam berat yang mencemar tanah, air dan udara.

    “Sisa elektrik dan elektronik yang dihasilkan di Malaysia perlu dihantar dan diproses hanya di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja,” katanya.

  • Tuduhan seleweng dana: SPRM minta pihak ada bukti, dokumen, tampil serah bukti

    Tuduhan seleweng dana: SPRM minta pihak ada bukti, dokumen, tampil serah bukti

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional daripada semua sudut, berkaitan dakwaan penyelewengan perbelanjaan negara RM600 bilion.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan, diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat itu.

    “Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen berkenaan,” menurut kenyataan itu.

    Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19, pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

    Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu itu.

    Anwar berkata Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu berkenaan.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat, susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan itu, ketika beliau mengetuai pentadbiran sebelum ini.

  • Juruteknik dipenjara 6 bulan ugut sebar gambar bogel bekas teman wanita

    Juruteknik dipenjara 6 bulan ugut sebar gambar bogel bekas teman wanita

    SEORANG juruteknik dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan untuk menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya, Januari lalu.

    Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu terhadap Wan Azuan W Ismail, 29, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang wanita berusia 22 tahun melalui panggilan telefon di Kuala Ibai, pada 7.48 pagi, 25 Januari lalu menurut laporan Astro Awani.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 15 Oktober lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Polis Selangor rampas metamphetamine dianggarkan bernilai RM13.26 juta

    Polis Selangor rampas metamphetamine dianggarkan bernilai RM13.26 juta

    POLIS Selangor berjaya merampas dadah jenis metamphetamine yang dianggarkan bernilai RM13.26 juta dalam dua serbuan pada 5 Disember lalu.

    Ketua Polisnya, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, bertindak atas maklumat, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah menahan empat suspek di kawasan pusat membeli belah di Putrajaya.

    Katanya, hasil serbuan, polis menemukan bungkusan plastik berwarna kuning yang disyaki mengandungi dadah metamphetamine dianggarkan seberat 355.75 kilogram di dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat membeli belah berkenaan.

    “Lanjutan daripada tangkapan dan rampasan tersebut, pihak polis membuat serbuan kedua di sebuah kondominium di Putrajaya.

    Sebahagian daripada dadah jenis syabu dengan berat 378.84 kilogram bernilai RM13.26 juta yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah Methamphetamine di Selangor ketika Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Merampas 23 bungkusan terdiri daripada 22 bungkusan plastik kehijauan dan satu bungkusan plastik lut sinar masing-masing mengandungi bahan disyaki dadah metamphetamine yang dianggarkan 23.09 kilogram.

    “Nilai rampasan dadah adalah berjumlah lebih kurang RM13.26 juta dan dadah yang dirampas dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed GAMBAR: Warta Rakyat

    Sebahagian daripada dadah jenis syabu dengan berat 378.84 kilogram bernilai RM13.26 juta yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah Methamphetamine di Selangor ketika Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

    Arjunaidi berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed bersama pegawainya menunjukan sebahagian daripada dadah jenis syabu dengan berat 378.84 kilogram bernilai RM13.26 juta yang dirampas selepas berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah Methamphetamine di Selangor ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Malah, katanya lagi, hasil saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah.

    “Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 17 Kanun Tatacara Jenayah mulai 6 hingga 12 Disember 2022.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya, lapor Utusan TV.

  • Bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun didengar 4 Januari

    Bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun didengar 4 Januari

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 4 Jan untuk mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun Ahd Razali supaya dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella yang dihadapinya disemak semula.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili pengasas Rumah Bonda itu memberitahu mahkamah bahawa bantahan awal yang difailkan oleh pendakwaan pada 1 Dis lepas telah diserahkan kepada pembelaan pada 5 Dis.

    Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing dalam tempoh dua minggu.

    Dalam notis usul yang difailkan pada 30 Nov lepas dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden, Siti Bainun memohon untuk menyemak dua pertuduhan tersebut apabila Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi tidak mempertimbangkan isu berkenaan pertuduhan-pertuduhan itu yang didakwa defektif (cacat) dan prejudis ketika memerintahkannya membela diri.

    Siti Bainun selaku pemohon mendakwa, perintah Hakim Mahkamah Sesyen itu untuk memanggilnya membela diri pada 24 Nov lepas adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan-pertuduhan di dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan (24 Nov).

    Terdahulu, Nur’Aminahtul Mardiah memberitahu mahkamah bahawa kehadiran anak guamnya dikecualikan hari ini kerana dia diberi sijil cuti sakit selama 22 hari bermula 28 Nov kerana masalah kesihatan.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, perbuatan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias. – Bernama

  • 3 penyamun tak sempat berjoli hasil rompakan

    3 penyamun tak sempat berjoli hasil rompakan

    TIGA penyamun tidak sempat ‘berjoli’ hasil rompakan apabila kesemua mereka ditahan polis pada hari sama setelah melakukan jenayah berkenaan di sebuah hotel dan kedai serbaneka di Masai dan Ulu Tiram, di Johor Bahru semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 23 dan 24 tahun itu ditahan di sekitar Pasir Gudang.

    “Polis menerima laporan yang dibuat pekerja kaunter hotel dan juruwang kedai serbaneka berkenaan yang masing-masing berusia 37 dan 48 tahun.

    “Mengikut pengadu, kejadian samun tersebut berlaku pada pukul 4 hingga 5 pagi, dimana semasa kejadian mangsa disamun dua lelaki tempatan yang bersenjatakan parang.

    “Seorang daripada suspek mengacukan parang ke arah mangsa selain melarikan barangan berharga, antaranya telefon bimbit jenama Vivo Y15 dan wang tunai berjumlah RM750,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Mohd. Sohaimi, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota membuat serbuan di sekitar Pasir Gudang sebelum beraya menahan suspek antara pukul 10 malam hingga 11.30 malam, hari sama.

    “Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan lapan rekod dadah termasuk rekod orang yang dikehendaki.

    “Rampasan dibuat termasuklah dua buah motosikal, dua topi keledar, lima helai jaket, sebilah parang, tiga pasang kasut dan dua telefon bimbit,” jelasnya.

    Mohd. Sohaimi turut memberitahu, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan.

    “Semua suspek kini direman di bawah Seksyen Kanun Prosedur Jeayah (KPJ) selama tujuh hari bermula hari ini hingga 14 Disember,” tambahnya.

  • Tak perlu cari salah, fokus bela nasib rakyat

    Tak perlu cari salah, fokus bela nasib rakyat

    PARTI politik di negara ini tidak perlu mencari salah antara satu sama lain sebaliknya perlu fokus membela nasib rakyat sejurus Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) berakhir.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, sama ada yang menang atau kalah, mereka perlu berhenti menuding jari mencari kelemahan mana-mana pihak.

    Beliau menjelaskan, dendam politik hanya akan membinasakan dan menyebabkan perpaduan yang baharu hendak dibentuk akan musnah.

    “Saya berpandangan bahawa apa sahaja parti politik sekalipun sama ada yang menguasai kerajaan ataupun tidak perlu bersama -sama mencambah idea membantu menghasilkan dasar yang membela nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Mahathir mengulas lanjut memberitahu, ketika kempen PRU-15, janji menerusi manifesto diwujudkan oleh semua parti politik untuk meyakinkan pengundi mereka adalah pilihan terbaik.

    “Sekarang adalah waktu untuk masing-masing mengotakan janji itu demi menghargai pengundi yang menyokong dan memilih kita sebagai wadah perjuangan agar masalah dan rintihan mereka didengari dan dibantu,” katanya.

    Menurutnya, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Bajet 2023 disemak semula oleh kerajaan, ia sebenarnya menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

    “Rakyat sebenarnya tidak perlu diseksa lagi dengan pemanjangan perbincangan Bajet 2023,” jelasnya, lapor BeritaBersatu.

    Dalam pada itu Mahathir berkata, kerajaan harus merangka semula sistem pendidikan semasa kepada sistem yang lebih baharu dan efisien bagi memastikan mutu pendidikan negara pada tahap terbaik.

    “Sebenarnya mereka (pelajar) perlukan sokongan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dari sekolah berasrama penuh hinggalah ke peringkat universiti,” ujarnya.

  • Polis tahan wanita bakar al-Quran

    Polis tahan wanita bakar al-Quran

    POLIS menahan seorang wanita yang disyaki membakar helaian dua naskhah al-Quran di laluan tangga tempat letak kereta sebuah premis di Jalan Ampang, di sini awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di lokasi kejadian pada 2 pagi selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 1.51 pagi.

    “Wanita itu melakukan perbuatan tersebut lebih kurang pukul 1.15 pagi. Motif suspek bertindak sedemikian masih belum jelas.

    “Bagaimanapun, siasatan awal mendapati suspek menghadapi tekanan perasaan dan kesan daripada masalah keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Beliau berkata pemeriksaan air kencing mendapati wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian saringan dadah negatif serta tidak mempunyai rekod masalah mental.

    Noor Dellhan berkata suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

    “Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – BERNAMA