Category: Semasa

  • ‘Pas Pengkalan Chepa akan patah sayap jika buang legasi Nik Aziz’

    ‘Pas Pengkalan Chepa akan patah sayap jika buang legasi Nik Aziz’

    PAS Pengkalan Chepa akan ‘kepatahan sayap’ sekiranya membuang legasi Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata seorang anak saudara kepada Allahyarham, Muhammad Fadzilul Hakimi A. Rahman.

    “Lambang kekuatan Pas Pengkalan Chepa adalah kerana pernah memiliki dua tokoh hebat iaitu Nik Abdul Aziz dan Allahyarham Nik Abdullah Arsyad.

    “Kedua-kedua tokoh ini saling berganding bahu membina Pas Pengkalan Chepa semenjak berzaman.

    “Jika mana-mana legasi tokoh ini membuang legasi tokoh yang kedua, PAS Pengkalan Chepa akan patah sayap, akan berlaku pertembungan dan berlaku kelemahan,” katanya dalam satu hantaran dalam media sosial.

    Menurutnya, Tmtidak boleh mana-mana pihak mendabik dada mendakwa Pas Pengkalan Chepa hak legasi mereka sahaja.

    “Pertembungan di antara dua legasi tokoh ini perlu dijaga,” katanya lapor Malaysiakini.

    Nik Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Nik Lah di kalangan penduduk Kelantan merupakan bekas ahli parlimen Pengkalan Chepa dan seorang ulama terkemuka dalam Pas.

    Allahyarham juga ialah bapa kepada Datuk Mohd. Amar Abdullah, yang sekarang merupakan timbalan Menteri Besar Kelantan dan Naib Presiden Pas.

    Allahyarham Nik Aziz pula ialah bekas Menteri Besar Kelantan selama lebih 20 tahun dan juga pernah menjadi ahli parlimen Pengkalan Chepa.

    Bekas Mursyidul Am Pas itu juga ialah bapa kepada Nik Mohammad Abduh, yang pernah menjadi ahli Parlimen Bachok dan ahli Parlimen Pasir Mas.

    Baru-baru ini Nik Abduh dikhabarkan akan dinamakan sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka selepas dua penggal menjadi ahli parlimen dan tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    DUN Chempaka ialah satu DUN di bawah Parlimen Pengkalan Chepa.

    Bagaimanapun ketika majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) di Kota Bharu, nama Nik Abduh tiada dalam senarai calon di DUN berkenaan.

    Malah penyandang DUN tersebut, Fathan Mahmood, juga tidak dicalonkan semula.

    Sebaliknya Pas menggantikan Fathan dengan muka baharu yang juga seorang peguam, Nik Baharum Nik Abdullah.

    Susulan keputusan itu, adik kepada Nik Aziz, Nik Din Nik Mat mendakwa Mohd. Amar merupakan dalang di sebalik ketiadaan nama Nik Abduh sebagai calon di DUN Chempaka.

    Sedangkan katanya, beliau sendiri bertemu dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Rusila pada 23 Jun lalu dan diberi jaminan bahawa Nik Abduh akan dicalonkan.

    Dalam rakaman video yang tular, Nik Din juga meminta pengundi supaya menolak Mohd. Amar dalam PRN akan datang.

    Malaysiakini kemudian melaporkan kenyataan Fathan yang menegaskan perjuangan Pas bukan warisan keluarga atau keturunan sesiapa.

    Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Fathan dipercayai merujuk kepada kenyataan tular dikeluarkan Nik Din.

    “Legasi dalam parti ini adalah legasi perjuangan, sesiapa nak duduk dalam perjuangan ini nak jadikan legasi adalah legasi perjuangan bukan legasi siapa keturunan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Muhammad Faddzilul berkata, dakwaan bahawa legasi dalam Pas adalah ‘legasi perjuangan semata-mata’ adalah tidak tepat.

    Ini kerana katanya, Pas Pengkalan Chepa dibina oleh Allhahyarham Nik Aziz dan Allahyarham Nik Lah sejak zaman berzaman.

    “Krisis yang berlaku di Pengkalan Chepa tidak akan selesai jika kedua-dua legasi tokoh ini tidak digabungkan untuk membina Pas Pengkalan Chepa.

    “Apapun suara yang menjerit mengatakan legasi tokoh ini adalah perjuangan sahaja tidak tepat kerana kedua-dua tokoh ini meninggalkan legasi anak sebagai pemimpin.

    “Legasi keluarga juga perlu diraikan,” kata sepupu kepada Nik Abduh itu.

  • Bersatu selesai pertikaian Mohamad Zaidi calon DUN Sungai Air Tawar

    Bersatu selesai pertikaian Mohamad Zaidi calon DUN Sungai Air Tawar

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabak Bernam telah menyelesaikan isu pertikaian pemilihan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Mohamad Zaidi Selamat.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, semua permasalahan dibangkitkan Bersatu bahagian itu dapat diselesaikan.

    “Sebarang pertikaian seumpama itu dianggap sebagai lumrah dalam sesuatu pilihan raya.

    “Isu (pertikaian) sememangnya biasa terutama dalam tempoh sehari dua ini (pilihan raya) dan masalah (dibangkitkan Bersatu Bahagian Sabak Bernam mengenai) calon DUN kawasan ini sudah selesai sepenuhnya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Himpunan Jentera Perikatan Nasional DUN Sungai Air Tawar di Markas Tarbiah Pas di Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam malam tadi.

    Sebelum itu, Hamzah semasa dalam ucapannya berkata, pemilihan Mohamad Zaidi sebagai calon diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti.

    “Usaha ketika ini adalah memastikan calon PN ditampilkan itu mesti memenangi kerusi berkenaan,” katanya.

    Jelasnya, perkara paling penting ketika ini adalah memenangkan semua calon PN pada pilihan raya semua negeri.

    “Jika Ketua (Bersatu) Bahagian (Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh) dan semua boleh menyokong termasuk Pas, kita yakin PN menang di Selangor ini,” katanya lapor
    Sinar Harian.

    Media pada 27 Julai lalu melaporkan, Bersatu Bahagian Sabak Bernam sebulat suara membantah Mohamad Zaidi sebagai calon DUN Sungai Air Tawar yang disifatkan sebagai calon luar.

    Mohd. Fasiah dalam kenyataannya berkata, hasil mesyuarat bersama peringkat cawangan Bersatu pada malam Khamis mengambil keputusan menolak pencalonan Mohamad Zaidi.

    Sementara itu, Mohamad Zaidi yang ditemui memaklumkan, dakwaan terbabit tidak tepat kerana beliau anak kelahiran Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan yang merupakan satu kawasan di daerah Sabak Bernam.

  • PN sokong tindakan JAIS siasat Fahmi berucap di masjid, tegas Hamzah

    PN sokong tindakan JAIS siasat Fahmi berucap di masjid, tegas Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjalankan siasatan berhubung gambar tular Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap di sebuah masjid di Rawang kelmarin.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sesiapa sahaja tanpa mengira parti politik yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan JAIS harus diambil tindakan.

    “Saya yakin JAIS melakukan sesuatu yang adil dan rakyat akan memahami agensi ini (tegas) kepada mana-mana parti (yang melakukan kesalahan untuk diambil tindakan).

    “JAIS sebagai sebuah organisasi Islam di negeri ini seharusnya dihormati dan umat Islam terutama pemimpin dinasihatkan mematuhi undang-undang, peraturan serta garis panduan yang sudah ditetapkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Himpunan Jentera Sungai Air Tawar di Markas Tarbiah Pas di Bagan Nakhoda Omar di Sabak Bernam, malam tadi.

    Hamzah berkata, mana-mana pihak yang didapati bersalah dan melanggar perintah serta peraturan yang telah ditetapkan, maka tindakan harus diambil.

    “Jangan biarkan satu pihak sahaja yang boleh lakukan (kesalahan), (manakala pihak lain) tidak boleh,” ujar beliau.

    Beliau memberitahu, sekiranya tindakan adil dilakukan sudah tentu rakyat dapat menilai dan percaya kepada sesebuah agensi tersebut.

    Menurut Hamzah, agensi kerajaan lain juga seharusnya mengikut contoh JAIS yang menjalankan siasatan secara adil tanpa berat sebelah.

    “Kita tidak mahu agensi kerajaan lain pilih kasih dan tidak ada keadilan terutama melibatkan pemimpin PN,” jelas beliau, lapor Sinar Harian.

    Ujarnya, pemimpin yang melanggar ketetapan JAIS juga disifatkan ingkar terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang setiap ahli politik yang tiada tauliah berceramah di masjid atau surau.

    Mengulas mengenai kenyataan Fahmi yang menjelaskan ucapannya dalam sebuah masjid itu hanya berkisar mengenai isu kumpulan The 1975 tanpa menyentuh hal politik, Hamzah berkata, perbuatan itu tetap menjadi kesalahan.

    “Bercakap mengenai kumpulan The 1975 dalam surau atau masjid lagi berat (kesalahannya),” jelas beliau.

    Media semalam melaporkan, JAIS mengesahkan menerima aduan berhubung gambar Fahmi berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang kelmarin.

    Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

    Fahmi dalam kenyataannya di Facebook menjelaskan ucapannya dalam sebuah masjid di Kuang, Rawang hanya berkisar mengenai isu kumpulan The 1975 tanpa menyentuh hal politik atau berkempen untuk PRN.

  • Tukar 16 calon PRN demi masa depan Kelantan, jelas Mohd. Amar

    Tukar 16 calon PRN demi masa depan Kelantan, jelas Mohd. Amar

    KERAJAAN Kelantan melaksanakan satu lonjakan besar dengan menukar 16 calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sempena pilihan raya negeri (PRN).

    Menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Abdullah, perubahan itu merupakan sebahagian taktikal dan strategi yang dilakukan untuk perubahan masa depan Kelantan.

    Beliau turut memuji kecemerlangan ADUN sebelum ini yang sudah melakukan usaha terbaik di kawasan mereka.

    “Mereka yang tidak bertanding bukan tidak bagus tetapi pertukaran dibuat kerana kita mahu melakukan satu lonjakan untuk masa depan Kelantan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Kelantan Maju Rakyat Sejahtera (Manifesto PRU Dewan Negeri Kelantan ke-15), di Tanah Merah malam tadi.

    Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Noor.

    Mohd. Amar berkata,
    kerajaan menyedari cabaran lebih besar pada masa akan datang dengan melaksanakan perubahan terbesar dalam politik Kelantan.

    “Sebanyak 51.1 peratus calon baharu termasuk mengetengahkan calon Orang Kurang Upaya (OKU) kerana menunjukkan kesungguhan dalam parti,” katanya.

    Menurutnya, calon yang diperkenalkan juga melibatkan golongan dalam pelbagai bidang profesional.

    Sementara itu, Mohd. Amar berkata, Kelantan tidak mahu menjadi negeri industri sebaliknya akan dikenali sebagai jelapang makanan negara.

    “Kelantan akan melaksanakan lebih banyak perubahan dengan cetusan idea dan politik baharu,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Kelantan teruskan bas percuma balik mengundi

    Kelantan teruskan bas percuma balik mengundi

    KELANTAN akan meneruskan pengangkutan bas percuma kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, apa yang dilakukan pihak kerajaan negeri itu bukannya membeli undi sebaliknya, itu tanggungjawab mereka kepada pelajar yang kekurangan wang untuk pulang mengundi.

    “Kerajaan negeri Kelantan tidak membatalkan perkhidmatan bas percuma kerana kita sudah berjanji dengan rakyat.

    “Kita yang hanya menyediakan perkhidmatan bas percuma pun dikata mahu membeli undi sedangkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pemberian geran di Terengganu, jelas mahu membeli undi, namun dikatakan sebaliknya.

    “Jika macam itu pun bukan rasuah, jadi yang sebenar rasuah adalah macam mana?” katanya pada sidang media selepas Majlis Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) ‘Kelantan Maju Rakyat Sejahtera’, di Tanah Merah malam tadi.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

    Mengulas lanjut, Ahmad memohon pihak berkuasa menjelaskan perkara itu secara terperinci bagi memudahkan sebarang perlaksanaan dilakukan di peringkat negeri.

    “Kita di peringkat negeri juga masih lagi kerajaan walaupun kerajaan ‘caretaker’ dan kita juga boleh melakukannya sebagaimana yang dibuat Kerajaan Pusat. Jika bila kita buat perkara tertentu dikatakan salah pula.

    “Maka, biarlah ada panduan jelas berkaitan perkara itu (pemberian sepanjang PRN) sama ada ia berbentuk rasuah atau sebaliknya,” katanya.l, lapor FMT.

    Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, sebagai sebuah kerajaan pemerintah, ia berhak untuk memberi inisiatif yang difikirkan wajar kepada rakyat.

    Menurutnya, beliau berasakan tiada isu boleh dikaitkan dengan pemberian geran berkenaan kerana ia adalah satu inisiatif daripada kerajaan.

  • Representasi kes rasuah Zahid masih disemak peguam negara, mahkamah diberitahu

    Representasi kes rasuah Zahid masih disemak peguam negara, mahkamah diberitahu

    PIHAK pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi, permohonan representasi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes rasuahnya masih dalam pertimbangan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar berkata, proses semakan ‘masih berjalan’ dan sebuah pasukan pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara sedang meneliti representasi Zahid itu.

    “Tiada keputusan setakat ini,” katanya pada permulaan perbicaraan Timbalan Perdana Menteri itu hari ini.

    Pembelaan kemudian memanggil saksi seterusnya, Kamal Abdullah bagi memberi keterangan, lapor FMT.

    Zahid sedang dibicarakan atas tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah berhubung pelbagai projek ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

    Sebanyak 12 tuduhan membabitkan pecah amanah, lapan berkaitan rasuah dan baki untuk pengubahan wang.

    Dalam prosiding 10 April lalu, mahkamah diberitahu pembelaan menghantar representasi kepada peguam negara pada Januari dan Februari lalu.

    Mahkamah menangguhkan perbicaraan sehingga hari ini bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan lanjut.

  • Pas ‘pujuk’ calon bebas, enam yang lain di Kuah, Ayer Hangat

    Pas ‘pujuk’ calon bebas, enam yang lain di Kuah, Ayer Hangat

    PAS menunjukkan kompromi apabila membuka sedikit ruang kepada tujuh daripada lapan ahli Pas Kedah yang berdepan tindakan disiplin ekoran pembabitan mereka dalam tindakan menyanggah keputusan pemimpin.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan peraturan yang diketahui umum, parti itu tidak mempunyai pilihan selain menguatkuasakan peruntukan sedia ada.

    “Ini kecuali individu yang sudah mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Pas, masih ada cara untuk ahli yang lain cuba mengelak daripada dikenakan tindakan seperti digantung keahlian atau dipecat.

    “Mereka yang berkenaan (kecuali yang telah keluar parti) turut diberikan pilihan untuk membuat perisytiharan menarik diri daripada pertandingan serta meminta para penyokong mereka menyokong calon-calon Perikatan Nasional (PN) di kedua-dua DUN terbabit,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PN menyaksikan beberapa pihak menyatakan rasa kurang senang dengan arahan pucuk pimpinan Pas.

    Selain kemelut membabitkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau dan Pas di Bayan Lepas, Pulau Pinang, keadaan di Kedah menyaksikan dua pemimpin parti peringkat akar umbi menongkah arus apabila menjadi calon Bebas.

    Ini membabitkan Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, manakala Timbalan Ketua Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie menjadi calon di Ayer Hangat.

    Turut berdepan dengan tindakan disiplin ialah masing-masing tiga individu lain membabitkan wakil calon, pencadang dan penyokong bagi setiap calon.

    Takiyuddin berkata, semalam Pejabat Setiausaha Agung Pas menerima surat daripada Mazlan dan Safwan Hanif dengan seorang daripadanya memaklumkan sudah meletakkan semua jawatan yang disandangnya dalam parti.

    Pejabatnya juga, kata Takiyuddin, menerima surat peletakan jawatan daripada enam ahli Pas yang menjadi pencadang, penyokong dan wakil bagi calon-calon terbabit.

    “Seorang ahli yang menjadi calon Bebas itu pula mengisytiharkan keluar parti,” katanya.

    Menurut Takiyuddin jika tawaran yang dikemukakan Pas iaitu menarik diri daripada menjadi calon dan mengumumkan sokongan kepada PN diterima tujuh individu terbabit, ia boleh menjadi faktor mitigasi terhadap apa-apa pertuduhan tatatertib yang boleh dibuat nanti.

    Dalam pada itu, Pas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli terbabit atas penglibatan, sumbangan, jasa baik dan pengorbanan yang diberikan kepada parti selama ini dengan harapan ia diterima sebagai ibadah dan amal soleh di sisi Allah SWT.

    “Pas percaya perbezaan pandangan dan keutamaan pada detik atau berkait isu-isu tertentu dan khusus seperti ini bukanlah pemutus hubungan baik dan persaudaraan yang terjalin sejak sekian lama antara individu terbabit dengan parti dan ahli-ahli yang lain,” katanya.

  • Penjenamaan semula AKSB antara 18 program tawaran PN Kelantan

    Penjenamaan semula AKSB antara 18 program tawaran PN Kelantan

    PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan menawarkan 18 program utama sebagai manifesto berdepan pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

    Tema ‘Kelantan maju, rakyat sejahtera’ diangkat dengan membabitkan 96 pengisian tawaran.

    PN Kelantan antara lain menawarkan program pembangunan sosioekonomi yang memberi fokus pembukaan bandar-bandar baru dan membangunkan bandar sempadan yang mampu menambah peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

    Selain itu, gabungan parti diterajui Pas yang mentadbir Kelantan sejak 33 tahun itu menawarkan pembangunan bekalan air bersih dengan penjenamaan semula Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB) dan menambah simpanan bekalan air melalui projek takungan air pinggiran sungai (Taps).

    Melalui buku tawaran program yang diedarkan, ia juga menawarkan program pembangunan insaniah, pembangunan pendidikan dan kemahiran, pembangunan wanita, pembangunan keluarga dan masyarakat, anak muda bermaruah, kecaknaan insan istimewa, perluasan prarasana digital dan memajukan produktiviti pertanian.

    Selain itu ia juga meliputi pelestarian alam sekitar, ihtirafi tadbir urus, kesejahteraan rakyat, seni budaya dan warisan Kelantan, kesukanan dan reakrasi, mengukuhkan hubungan antara kaum, cakna perantau dan kebersamaan NGO.

    Sementara itu Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika mengumumkan tawaran itu berkata, program yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun akan datang sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.

    Tegasnya, ia bukan tawaran retorik atau janji kosong sebaliknya kesemua program itu akan dilaksanakan sebagai janji malam ini.

    “Apa yang kita tawarkan itu juga mengikut keupayaan negeri selepas mengadakan perbincangan dan berharap rakyat terus mengekalkan pemerintahan Pas di Kelantan,” katanya pada sidang media selepas majlis ceramah dan pelancaran program PN Kelantan, di Tanah Merah, malam tadi.

    Tambah Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan, untuk manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pihaknya berjaya menyelesaikan 98 peratus.

    “Hanya dua peratus sahaja yang tidak selesai dan perkara itu akan diteruskan untuk tawaran kali ini,” jelasnya.

  • UMNO akan ‘makan kawan’ bila semakin berkuasa, Tuan Ibrahim beri amaran

    UMNO akan ‘makan kawan’ bila semakin berkuasa, Tuan Ibrahim beri amaran

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran UMNO akan mengkhianati kawannya apabila parti itu semakin berkuasa.

    Contohnya kata beliau, UMNO menarik sokongan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

    “Jika tuan-tuan perhati, bila masa UMNO rasa dia kuat, dia lawan, dia makan kawan sendiri. Di Perak dia tarik sokongan, undi tak percaya pada Peja (Faizal) akhirnya tukar (menteri besar) kepada UMNO.

    “Di Persekutuan, mereka tarik sokongan pada Muhyiddin walaupun duduk dalam Kabinet sama, bincang sama-sama. Waktu susah bersama-sama, bila senang, 15 orang (Ahli Parlimen) tarik sokongan pada Muhyiddin,” katanya dalam ceramah di Lenggeng, Negeri Sembilan malam tadi.

    Tuan Ibrahim berkata, Pas turut membantu UMNO ketika dalam susah, termasuk pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.

    “Bila UMNO kalah, Pas satu-satunya parti yang datang membantu. Kita pernah mengecam UMNO, tetapi akhirnya saya beritahu semua tolong sokong UMNO,” katanya, lapor FMT.

    Muhyiddin dilantik Perdana Menteri susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

    Bagaimanapun, Muhyiddin memegang jawatan itu hanya selama 17 bulan, sebelum Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya dan kerajaan diterajui Perikatan Nasional.

    Beliau digantikan Naib Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan kompromi antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN).

  • TPM tawar wang untuk undi jelas rasuah – Pensyarah Undang-Undang

    TPM tawar wang untuk undi jelas rasuah – Pensyarah Undang-Undang

    Oleh PROF. MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF

    DILAPORKAN bahawa Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada Jumaat lalu mengumumkan pemberian geran sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu, RM200,000 kepada kelab motosikal di seluruh negeri, dan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
    Semasa acara tersebut, TPM, yang juga pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno, menyeru belia yang hadir untuk mengundi ‘gelombang biru dan merah’ pada pilihan raya negeri bulan depan, dengan menambah bahawa jumlah peruntukan mungkin akan ditingkatkan bergantung kepada hasil undi pada 12 Ogos.
    Parti MUDA membuat laporan polis dan mendakwa wujud unsur rasuah. NGO Bersih juga mengkritik mengatakan Zahid melanggar prinsip pilihan raya adil. Perdana Menteri mempertahankan Zahid. Ketua Pesuruhjaya SPRM pula berkata tiada unsur rasuah.

    Komen saya:

    1. Dari sudut menggunakan kuasa sebagai Menteri untuk mendapatkan undi dengan menawarkan peruntukan tertentu jika undi parti tertentu – jelas salah guna kuasa. Duit kerajaan adalah duit rakyat – pembayar cukai bukan dari PH atau BN sahaja, tapi semua rakyat. Jadi guna duit rakyat untuk kepentingan parti satu bentuk salah guna kuasa.

    2. Dari sudut rasuah pilihan raya. Berdasarkan Seksyen 10 dan Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1958, tindakan menawarkan sesuatu balasan bagi mendorong pengundi supaya mengundi parti tertentu adalah rasuah. Boleh didenda sehingga RM5,000 dan dipenjara dua tahun. 

    3. Dari sudut ‘pilihan raya bersih dan adil’ amalan demikian bertentangan dengan prinsip demokrasi. Menteri Persekutuan – yang sedang berkuasa sepatutnya tidak berkempen menggunakan tawaran program kerajaan untuk memancing undi. Sedih bila ketua SPRM pun boleh pertahankan tindakan sebegini.

    4. Dari sudut retorik hapus rasuah. Ke laut nampaknya!

    *PROF. MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF adalah Pensyarah Kanan Undang-undang dan Polisi  UTM Kuala Lumpur 

    *Artikel ini dipetik daripads HarakahDaily.net