Category: Semasa

  • Kanak-kanak lemas, kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai

    Kanak-kanak lemas, kereta dinaiki terjunam ke dalam sungai

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG kanak-kanak berusia 12 tahun ditemukan lemas selepas terperangkap dalam kereta dinaiki yang terjunam ke dalam Sungai Korok di Jitra, petang ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.23 petang.

    “Kejadian melibatkan sebuah kereta yang terjatuh ke dalam sungai dengan seorang mangsa berusia 12 tahun masih di dalam kereta tersebut.

    “Dua lagi mangsa dipercayai ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sayani berkata, anggota bomba kemudian berjaya menemukan dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu kira-kira pukul 4.10 petang.

    Katanya, operasi menyelamat turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

    “Kita juga mendapatkan bantuan kren di lokasi kejadian,” tambah beliau.

  • Wanita rugi lebih RM150,000 diperdaya kekasih alam maya

    Wanita rugi lebih RM150,000 diperdaya kekasih alam maya

    SEORANG wanita berusia 44 tahun mengalami kerugian sebanyak RM152,050 selepas terpedaya dengan cinta maya (love scam) seorang individu dikenalinya menerusi Facebook sejak awal Sept lepas.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek menghubungi wanita terbabit menggunakan aplikasi WhatsApp pada 8 Okt lepas, memaklumkan dia telah ditahan pihak Imigresen kerana membawa mata wang Britain dalam kuantiti yang banyak.

    “Atas dasar percaya dan kasihan, mangsa telah membuat 27 transaksi pindahan wang dari 10 Okt hingga 5 Dis ke dua akaun berbeza yang diberikan suspek bagi tujuan bayaran untuk menolong ‘kekasihnya’ itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkipli berkata mangsa yang menyedari telah ditipu selepas meragui bayaran tersebut kemudiannya menghubungi rakannya sebelum membuat laporan polis pada 8 malam, semalam.

    Sementara itu, Zulkipli menasihati orang awam agar berhati-hati dengan sindiket penipuan ‘love scam’ serta mengingatkan mereka agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu daripada seseorang yang hanya dikenali di laman sosial. – BERNAMA

  • Kerakyatan anak lahir di luar negara: Mahkamah beri kebenaran ibu merayu

    Kerakyatan anak lahir di luar negara: Mahkamah beri kebenaran ibu merayu

    PERSATUAN Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita memperoleh kebenaran bagi meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim juga membenarkan permohonan kebenaran merayu oleh wanita yang dilahirkan di  India, Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, yang mahu mendapatkan deklarasi sebagai warganegara Malaysia.

    Keputusan itu dibuat selepas Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang masing-masing mewakili kerajaan dalam kes Family Frontier dan Mahisha memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak membantah permohonan kebenaran itu.

    Abang Iskandar yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mary Lim Thiam Suan membenarkan permohonan itu membabitkan tiga persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan bagi kedua-dua kes.

    Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan kerajaan untuk memasukkan tiga lagi persoalan undang-undang.

    Dalam kes sivil, litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

    Antara persoalan undang-undang yang dibangkitkan ialah sama ada seseorang yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar Persekutuan adalah warganegara Malaysia mengikut kuat kuasa undang-undang menurut Perkara 14(1)(b) yang dibaca bersama Bahagian II Seksyen 1(b) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

    Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia dengan pasangan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

    Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Sept 2021.

    Family Frontiers dan enam wanita rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dengan anak kelahiran luar negara memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi, memohon supaya anak mereka berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

    Mereka juga memohon perintah mahkamah agar semua agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan dokumen berhubung kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

    Sementara itu dalam kes Mahisha, Mahkamah Rayuan pada hari yang sama, menolak rayuan wanita itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2020 yang menolak saman yang difailkan beliau untuk mendapatkan deklarasi bahawa beliau berhak menjadi warganegara Malaysia.

    Mahisha, 25, yang dilahirkan di India, beribukan rakyat Malaysia dan bapa warga India, telah memfailkan samannya melalui saman pemula, menamakan ketua pengarah JPN, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

    Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, peguam diketuai oleh Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Family Frontier dan enam ibu berkenaan manakala pasukan peguam diketuai Datuk Dr Cyrus Das mewakili Mahisha. 

    Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, A. Surendra Ananth, Khoo Suk Chyi dan Wong Ming Yen bertindak sebagai amicus curiae atau sahabat mahkamah bagi Majlis Peguam manakala peguam Tay Kit Hoo sebagai peguam pemerhati bagi pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

    Peguam Denise Lim sebagai peguam pemerhati bagi Persatuan Peguam Wanita (AWL), Women’s Centre for Change (WCC), Sisters in Islam (SIS) dan Justice for Sisters (JFS). – BERNAMA

  • Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah lebih awal tidak mengambil gaji, iaitu sejak COVID-19 melanda negara kerana Seri Paduka cakna dengan keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak COVID-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak COVID-19. Saya ingat eloklah kita beri penjelasan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini  hari ini.

    Anwar sebelum ini menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan perdana menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

    Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 Nov.

    Jemaah Menteri turut bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan atas atas semangat keprihatinan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.

    Sementara itu, Anwar menyatakan keyakinan pemimpin parti politik Kerajaan Perpaduan akan menyokong usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen 19 Dis ini.

    “Ketua parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan beberapa parti lain telah beri komitmen.

    “Insya-Allah, kita dapat teruskan dengan baik…minta doakan sebaiknya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin akan memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat ketika usul undi percaya itu dibentangkan pada persidangan Parlimen itu, Isnin depan.

    Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.

    Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

    Anwar semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri. – BERNAMA

  • Haqiem Stopa didakwa simpan gambar, video lucah bekas kekasih

    Haqiem Stopa didakwa simpan gambar, video lucah bekas kekasih

    SEORANG pencipta kandungan yang mempunyai sejuta pengikut dalam aplikasi TikTok, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dalam dua telefon bimbit.

    Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, didakwa menyimpan gambar dan video lucah wanita berumur 21 tahun itu di dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya di sebuah rumah di Rawang pada 4.30 petang, 9 Dis lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 23 Feb tahun depan.

    Pada 10 Dis lepas, media melaporkan lelaki itu ditahan polis pada Jumaat lepas kerana disyaki mengugut untuk menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya. – BERNAMA

  • Program tuala wanita perlu dinilai, elak jauh tersasar

    Program tuala wanita perlu dinilai, elak jauh tersasar

    KEBERKESANAN inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mestilah dinilai agar ia tidak dianggap syok sendiri.

    Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakob bagaimanapun berkata, beliau percaya program itu adalah satu program yang baik.

    Menurut beliau, ia sepatutnya dibincangkan dengan baik dalam satu pasukan tugas khas yang akan membincangkan segala hal berkaitan pelaksanaan program serta pandangan dari agensi terlibat sebelum dilaksanakan.

    “Pada peringkat awal nak mulakan program ni pun dah jauh tersasar, apa lagi maklum balas yang diinginkan juga dari orang dan tempat yang juga jauh tersasar. Sudah pasti maklum balas yg diterima akan tidak tepat.

    “Kalau nak pastikan pengoperasian berjalan dengan baik ada baiknya dibincangkan dengan baik dalam satu team task force yang akan membincangkan dari A-Z segala hal yang berkaitan perlaksanaan program serta mendapat pandangan dari agensi yang akan terlibat sebelum dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd Yadzil berkata demikian mengulas kenyataan Dr Zaliha berhubung cadangan KKM yang akan melaksanakan inisiatif tuala wanita percuma kepada wanita daripada golongan kurang berkemampuan dalam usaha memerangi kemiskinan haid.

    Dalam pada itu, Mohd Yadzil berkata, KKM perlu lebih cakna dengan teguran yang dibuat netizen.

    Ini kerana katanya, teguran yang dibuat netizen mungkin ada kebaikan yang boleh diambil sebagai input dalam melaksanakan cadangan murni tersebut.

    “Tak salah pihak menteri mengambil pandangan netizen itu untuk perbaiki pelaksanaan program itu kerana itu juga adalah maklum balas awal kepada menteri berkaitan program ini,” katanya lagi, lapor BeritaBersatu

  • Pengeluaran KWSP bersasar: PN bawa suara rakyat ke Parlimen

    Pengeluaran KWSP bersasar: PN bawa suara rakyat ke Parlimen

    SEBANYAK 320,000 pencarum menuntut kerajaan mempertimbang pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bersasar 2.0 bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam fasa peralihan ke endemik ketika ini.

    Menurut Pengerusi Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR), Azmi Mohd Tahir, jumlah permohonan pencarum mungkin akan mencatatkan peningkatan setelah mereka meminta borang aduan untuk diisi.

    Beliau berkata, dianggarkan 50 peratus daripada mereka yang menuntut itu berada dalam senarai hitam atau blacklist sekali gus menyukarkan mereka membuat sebarang pinjaman kecuali dengan ah long.

    “Alhamdulillah, kami dapat berjumpa dengan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu dan menyerahkan empat usul tuntutan KWSP Bersasar 2.0. Mereka menerima penerangan daripada saya dan reaksi mereka sangat positif dan mereka akan bawa suara ini di Dewan Rakyat.

    “Di blok kerajaan kami dah usulkan kunjung hormat kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan beberapa ahli Parlimen di pihak kerajaan, tetapi setakat ini kami telah berjumpa tiga orang sahaja.

    “saya sangat berharap, PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tengok sendiri kesusahan pencarum, kehidupan mereka amat terkesan, kerana gaji yang mereka dapat tak seimbang dengan apa yang mereka tanggung. Ada gaji ditolak, ada yang diberhentikan kerja, bukan keadaan waktu pandemik tapi sekarang ini,” katanya kepada Penerangan Bersatu, lapor BeritaBersatu.

    Azmi berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan empat usul tuntutan pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bersasar 2.0 kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Terdahulu, Azmi dijemput menyampaikan taklimat berhubung perkara itu kepada beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ahli Parlimen Bersatu.

    Hadir sama mendengar taklimat itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

    Yang turut hadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi; Ketua Srikandi Muda Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan Mantan Ketua Setiausaha Sulit PM-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

    Di dalam tuntutan itu, empat usul fokus bersasar ialah pertama, suri rumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak aktif lagi mencarum dibenar mengeluarkan kesemua simpanan persaraannya bagi menyara kelangsungan hidup mereka yang semakin terhimpit di samping dapat membantu ekonomi keluarga dan kemajuan anak-anak mereka.

    Kedua, bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja, berhenti secara sukarela, baru berhenti dan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta sukar untuk mendapat pekerjaan disebabkan faktor usia dan kesihatan, dibenar mengeluarkan kesemua simpanan persaraannya untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memperbaiki ekonomi yang semakin meruncing.

    Ketiga, pencarum yang masih aktif mencarum berusia 54 tahun dan ke bawah yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi RM20,000 dibenar mengeluarkan 30 peratus daripada Akaun 1 mengikut keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk mengatasi masalah ekonomi yang tidak menentu serta peningkatan harga barang yang berterusan sehingga kini pihak kerajaan masih gagal menangani dengan baik dan terakhir.

    Keempat ialah pencarum yang masih aktif mencarum yang mempunyai baki simpanan Akaun 1 RM19,999.99 dan ke bawah dibenar mengeluarkan keseluruhan simpanan dan meninggalkan baki sebanyak RM200 di dalam Akaun 1 dan 2.

  • Exco Pahang: Wan Rosdy pegang lapan portfolio

    Exco Pahang: Wan Rosdy pegang lapan portfolio

    MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memegang lapan portfolio dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diumumkan pagi tadi.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu bertanggungjawab dalam portfolio perancangan, kewangan, tanah, sumber asli, tenaga dan air.

    Beliau pada masa sama turut memegang portfolio berkaitan pembangunan ekonomi, perladangan dan komoditi.

    Anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar pula diberi tanggungjawab menjaga portfolio pelaburan, perindustrian, sains, teknologi dan inovasi.

    ADUN Benta, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak pula memegang portfolio pertanian, industri asas tani, bioteknologi dan pendidikan.

    Selain itu, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Adun Kerdau memegang portfolio hal ehwal agama Islam, pembangunan luar bandar dan hal ehwal Orang Asli.

    ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pula memegang portfolio kerja raya, pengangkutan dan kesihatan.

    Portfolio hal ehwal felda, koperasi dan usahawan pula dipegang ADUN Muadzam Shah, Ir Razali Kassim manakala Adun Pelangai, Datuk Seri Johari Harun pula memegang portfolio kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau.

    ADUN Guai dan ADUN Dong yang baru menjadi wakil rakyat untuk penggal pertama, Datuk Sabariah Saidan dan Mohd Fadzli Mohamad Kamal turut tersenarai sebagai exco dalam barisan kerajaan Pahang.

    Sabariah memegang portfolio kebajikan masyarakat, pembangunan wanita dan keluarga, manakala Mohd Fadzli pula memegang portfolio komunikasi dan multimedia, belia, sukan dan badan bukan kerajaan.

    Dua ADUN Pakatan Harapan (PH) yang turut dilantik sebagai exco ialah ADUN Teruntum, Sim Choon Siang dan ADUN Triang, Leong Yu Man.

    Sim diamanahkan memegang portfolio hal ehwal pengguna dan sumber manusia, manakala Leong pula memegang portfolio perpaduan, pelancongan dan kebudayaan.

    Wan Rosdy dalam sidang media selepas pengumuman barisan exco dan portfolio itu berharap semua pihak dapat mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi supaya dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap.

    “Saya harap semua agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

    “Laksanakanlah segala tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah untuk menjadikan Pahang sebuah negeri maju dapat dicapai,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Wan Rosdy turut meminta rakyat Pahang memberi peluang dan kepercayaan kepada kerajaan Pahang yang baru dibentuk ini demi kestabilan dan kemakmuran negeri.

    “Sudah sampai masanya untuk kita membuka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan perbezaan antara kita dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama,” katanya lagi.

    Pada PRU15 lalu, BN memperoleh 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) pula mendapat 17 kerusi dan PH memenangi lapan kerusi DUN.

    Bagaimanapun, kerajaan Pahang dapat dibentuk selepas BN bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

    BN mendapat kerusi ke-17 mereka selepas menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Tioman pada 7 Disember lalu.

  • 17 GRO asing leka layan pelanggan dicekup

    17 GRO asing leka layan pelanggan dicekup

    SEBANYAK 17 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di dua pusat hiburan dan satu pusat refleksologi di sekitar pusat bandar Melaka dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, malam kelmarin.

    Kesemua mereka antara 23 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan anggota dan pegawai Bahagian Penguat Kuasa JIM Melaka menerusi beberapa serbuan dilakukan bermula pukul 11 pagi kelmarin hingga 1 pagi semalam.

    Menurut Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini, lokasi serbuan turut membabitkan medan selera, bengkel kereta dan kafe hiburan yang disyaki menggaji warga asing.

    Katanya, serbuan dilakukan hasil aduan awam dan penduduk setempat mengenai Pati membabitkan pelbagai negara.

    “Seramai 17 wanita yang ditahan di pusat refleksologi dan pusat hiburan terdiri daripada warga Vietnam, Thailand, Laos dan China berusia antara 20 hingga 30 tahun. Selain itu seorang lelaki tempatan turut ditahan dalam serbuan sama.

    “Hasil risikan dijalankan mereka disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan yang kemungkinan diuruskan oleh ejen yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

    “Mereka dikatakan bergiat aktif pada hujung minggu berdasarkan permintaan tinggi pelanggan mengikut lokasi berbeza,” katanya, lapor Harian Metro.

    Anirwan Fauze berkata, keseluruhannya seramai 23 warga asing ditahan terdiri daripada 21 wanita dan dua lelaki sebelum dibawa ke pejabat JIM untuk siasatan lanjut.

    “Daripada jumlah itu 12 orang adalah warga Vietnam, Thailand (empat), Myanmar (dua), Indonesia (tiga) dan masing-masing seorang warga Laos dan China,” katanya.

    Beliau berkata, antara kesalahan adalah seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas atau permit dan lain-lain kesalahan mengikut akta dan peraturan migresen.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati premis kafe hiburan terbabit baru dibuka dan beroperasi tanpa lesen.

    “Premis beroperasi dalam keadaan mencurigakan apabila pintu utama ditutup rapat dan ada laluan khas yang dikawal oleh penjaga di luar premis berkenaan.

    “Kita turut mengeluarkan 11 saman kepada saksi untuk hadir memberi dan membantu siasatan selain mengesan pemilik kafe hiburan terbabit,” katanya.

  • Pemuda ketepi soal jodoh demi jaga ibu bapa sakit

    Pemuda ketepi soal jodoh demi jaga ibu bapa sakit

    SEORANG pemuda di Kedah sanggup melupakan dulu hasratnya untuk mencari teman hidup serta mencari pekerjaan tetap semata-mata untuk menjaga ibu bapanya yang menderita sakit.

    Bagi Mohd Yusri Haiqal Mohd Yusop, 32, dia sanggup berhenti kerja untuk pulang ke kampungnya di Kampung Chegar, Kuala Mawa di Pendang kerana ingin menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak tunggal.

    Katanya yang pernah bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, ibunya Mahani Saleh, 57, menghidap kanser payu dara tahap tiga sejak dua tahun lalu dan baru menjalani pembedahan membuang payu dara kanan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 27 Oktober lalu.

    Bapanya pula, Mohd Yusop Sulaiman, 62, diserang angin ahmar sejak 2017 akibat tekanan darah tinggi mendadak menyebabkan dia kini tidak dapat bergerak.

    Mohd Yusri Haiqal berkata, dia mengakui agak tertekan kerana terpaksa menjaga kedua ibu bapanya walaupun pada masa sama terpaksa bekerja sebagai mekanik secara sambilan untuk menyara kehidupan mereka.

    “Saya bukan mengeluh untuk menjaga mereka tapi saya agak tertekan kerana terpaksa tinggalkan ayah seorang diri di rumah kalau hendak bawa emak ke Hospital Lama di Alor Setar.

    “Bimbang juga apa-apa berlaku padanya kerana ayah tak boleh bergerak tetapi dalam masa sama saya perlu menguruskan emak ke hospital mengikut temu janji doktor kerana emak juga sudah tidak larat.

    “Adakalanya saya menangis memikirkan mereka selain mengenangkan ujian dari Allah yang saya perlu saya tempuhi,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mohd Yusri Haiqal berkata, dia amat berhasrat untuk mencari pekerjaan tetap, namun terpaksa melupakannya kerana tidak mahu berpisah dengan ibu bapanya selain mahu menjaga mereka sepenuhnya.

    Katanya, setiap hari dialah yang menguruskan untuk memandikan bapanya menggunakan kerusi roda serta menukar lampin pakai buang selain menyuap ubat.

    “Emak masih boleh bergerak tetapi dia perlu banyak berehat kerana awal Januari tahun depan, dia akan menjalani rawatan kemoterapi yang pertama.

    “Bukan saya tak mahu berkahwin, tapi saya perlu uruskan emak dan ayah dulu malah gaji yang saya peroleh hasil kerja sambilan juga tidak menentu bergantung pada permintaan. Kalau ada rezeki, adalah duit untuk saya,” katanya.

    Sementara itu, ibunya Mahani berkata, dia menghidap kanser selepas terdapat ketulan di payudara kanan sebelum membuat pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran.

    Katanya, selepas itu kesnya dirujuk di Hospital Lama Alor Setar dan selepas mengambil sampel, doktor mengesahkan dia menghidap kanser payu dara tahap tiga.

    “Sejak itu saya kerap berulang alik ke hospital di Alor Setar untuk menjalani rawatan sebelum malah doktor memberitahu kanser itu sudah merebak menyebabkan payu dara kanan terpaksa dibuang.

    “Dalam masa sama, saya berharap Mohd Yusri Haiqal bertemu jodoh kerana bimbang melihat keadaannya menguruskan kami serta bekerja secara sambilan dengan upah yang tidak menentu,” katanya.

    Mahani berkata, bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu digunakan sepenuhnya untuk kos ulang alik ke hospital, membeli susu formula serta lampin pakai buang suaminya selain membeli barangan keperluan dapur setiap bulan tetapi tidak mencukupi untuk menyara mereka tiga beranak.

    Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi 011-36035968 (Mohd Yusri Haiqal) atau ibunya, Mahani di talian 017-5803849 untuk maklumat lanjut.