Category: Semasa

  • Tanah Runtuh Batang Kali: 92 mangsa ditemui, 8 maut setakat 9.15 pagi

    Tanah Runtuh Batang Kali: 92 mangsa ditemui, 8 maut setakat 9.15 pagi

    SEKURANG-kurangnya lapan individu maut manakala tujuh lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali awal pagi ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 9.15 pagi seramai 92 orang mangsa telah ditemui.

    “Setakat pukul 9.15 pagi, seramai 92 orang mangsa telah ditemui. Hasil siasatan mendapati 53 mangsa yang ditemui selamat, 7 mangsa cedera dan 8 mangsa disahkan meninggal dunia.

    “Sehingga kini operasi SAR (mencari dan menyelamat) masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kira-kira pukul 2 pagi ini, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan di Fathers Organic FARM, Batang Kali, Kuala Selangor yang telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.

    Menurut Jurucakap Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Selangor, daripada jumlah yang maut, seorang daripadanya sudah dikenal pasti sebagai wanita dewasa manakala dua lagi adalah kanak-kanak manakala identiti mereka yang terkorban masih belum dikenal pasti.

    Kira-kira 7 pagi tadi, laporan awal dari Balai Polis Gohtong Jaya memaklumkan 36 orang yang terselamat ditempatkan di Balai Polis Ulu Yam Bharu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini untuk tindakan lanjut.

    Maklumat awal pihak polis menyebut 100 orang dikhuatiri terperangkap selepas tapak perkhemahan mereka terlibat dengan kejadian runtuhan tanah yang dianggarkan setinggi 30 meter, awal pagi tadi.

    Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan dengan pelbagai aset digerakkan ke lokasi kejadian.

    JBPM turut menerbangkan dron di sekitar lokasi kejadian untuk melihat bentuk muka bumi dalam misi penyelamatan.

    Kejadian tanah runtuh tersebut berlaku setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan 0.4 hektar.

    Antara agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Difahamkan, seramai 79 pengunjung dan 15 pekerja tapak perkhemahan berada di lokasi semasa kejadian.

  • 69 orang dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Batang Kali

    69 orang dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Batang Kali

    KIRA-kira 69 orang dikhuatiri terperangkap dan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Batang Kali, pada awal pagi ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.24 pagi sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi kejadian.

    “Menurut laporan awal komander operasi, kejadian tanah runtuh berlaku di tepi jalan berhampiran ‘Father Organic Farm’ dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan.

    “Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar.

    “Maklumat awal daripada pihak polis mendapati, terdapat 100 orang berada di tapak perkhemahan tersebut yang mungkin menjadi mangsa runtuhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Astro Awani.

    Bagaimanapun, Norazam berkata, setakat pukul 5.30 pagi, seramai 31 mangsa telah ditemukan dalam keadaan selamat.

    “Pasukan unit K9 dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas turut digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) turun telah diaktifkan untuk penyelamatan mangsa yang masih terperangkap,” tambahnya.

  • Dakwaan salah guna dana Covid-19: SPRM serbu 8 agensi, 9 syarikat

    Dakwaan salah guna dana Covid-19: SPRM serbu 8 agensi, 9 syarikat

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat hari ini dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion oleh kerajaan terdahulu.

    Sumber berkata, lapan agensi kerajaan itu menerima “peruntukan besar” dari pakej rangsangan yang diluluskan kerajaan pada 2020 dan 2021.

    Sumber itu berkata, susulan serbuan di lapan agensi kerajaan berkenaan, SPRM turut menyerbu sembilan syarikat “untuk mendapatkan dokumen tertentu”. Sembilan syarikat itu dipercayai “pembekal utama” lapan agensi terbabit.

    Menurut sumber berkenaan, masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut, dan menambah siasatan masih “di peringkat pertama”.

    “SPRM memerlukan lebih masa untuk menyemak kes itu secara menyeluruh dan mengesan sebarang rasuah, salah laku kuasa atau penyelewengan,´kata sumber berkenaan, lapor FMT.

    SPRM sebelum ini berkata, siasatannya terhadap dakwaan salah guna dana pakej rangsangan ekonomi ketika Covid-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion yang dibelanjakan kerajaan terdahulu.

    Dalam kenyataan, SPRM berkata Kementerian Kewangan telah memperincikan butiran dana tersebut di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

    Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan dianggarkan berjumlah RM530 bilion, dan berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

    Susulan itu, SPRM dikatakan bakal memanggil bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan dua bekas menteri untuk membantu siasatan.

  • Saya dah dedah, fokus sekarang siapkan LCS dengan wang berbaki – Rafizi

    Saya dah dedah, fokus sekarang siapkan LCS dengan wang berbaki – Rafizi

    TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli membidas pihak yang mempersoalkan pendiriannya berhubung isu skandal projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau sudah selesai melakukan pendedahan mengenai kemungkinan berlaku penyelewengan dalam projek LCS malah ada pihak yang sudah didakwa serta terdapat siasatan masih berjalan.

    “Dah dedah penuh pun. Ada yang didakwa, ada siasatan masih berjalan.

    “Fokus sekarang siapkan dua hingga tiga LCS dengan wang berbaki,” katanya di Twitter membalas ciapan seorang pengguna yang mempersoalkan status pendedahannya berhubung skandal projek pembinaan kapal itu.

    Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pada asalnya kapal model Sigma yang dipilih TLDM telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011.

    Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus. Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan.

    Susulan itu, Rafizi pada pertengahan Ogos lalu mula membuat beberapa siri pendedahan mendakwa berlaku keraguan membabitkan beberapa syarikat yang terlibat dalam projek berkenaan.

    Menteri Pertahanan Mohamad Hasan turut menegaskan mahu fokus memastikan aset ketenteraan negara itu siap dibina mengikut jadual, sambil menambah bahawa tidak guna mengungkit perkara lalu berhubung LCS.

    Mohamad yang memulakan tugas rasmi di kementerian pada 5 Dis lalu berkata, beliau akan mendapatkan taklimat berkaitan kemajuan projek LCS daripada pihak terbabit dalam masa terdekat sebelum memberikan sebarang penjelasan lanjut.

  • Dua lelaki diberkas buat laporan palsu dakwa disamun

    Dua lelaki diberkas buat laporan palsu dakwa disamun

    POLIS menahan dua lelaki yang membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa samun dalam tangkapan berasingan di Banting di Kuala Langat hari ini dan Isnin lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kedua-dua suspek diberkas berumur 36 tahun dan 27 tahun.

    “Kes pertama melibatkan seorang pemandu lori yang membuat laporan mendakwa disamun dua lelaki menaiki motosikal di hadapan kedai makan Jalan Bunga Pekan 2, Banting di Kuala Langat.

    “Suspek mendakwa dirinya disamun dua lelaki bersenjatakan parang dan mengakibatkan kerugian wang tunai berjumlah RM300 selain mendakwa dokumen- dokumen pengenalan diri dan buah telefon bimbit disamun dalam kejadian.

    “Bagaimanapun suspek kemudian diberkas setelah siasatan mendapati laporan dibuat tersebut merupakan laporan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kes kedua melibatkan seorang operator kilang yang turut membuat laporan berkaitan kejadian samun di tepi jalan berdekatan lampu isyarat Bandar Mahkota Banting di Kuala Langat.

    “Suspek mendakwa disamun dua lelaki menaiki motosikal selain kerugian melibatkan barangan peribadi seperti dokumen- dokumen pengenalan diri.

    “Suspek kemudian turut diberkas setelah siasatan mendapati laporan dibuat suspek itu palsu,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Surat tawaran haji dimaklumkan sebaik kuota diputus Arab Saudi

    Surat tawaran haji dimaklumkan sebaik kuota diputus Arab Saudi

    TARIKH pengeluaran surat tawaran haji kepada bakal jemaah terpilih bagi musim haji 1444H/2023M akan dimaklumkan menerusi platform komunikasi rasmi Tabung Haji (TH) kelak.

    Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita yang tular menerusi media sosial mengenai tarikh pengeluaran surat tawaran haji, rayuan haji, syarat kelayakan bakal haji dan kriteria pemeriksaan kesihatan.

    Beliau berkata berita tidak sahih itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan pihak TH telah menerima banyak pertanyaan mengenainya.

    “Bakal jemaah haji Malaysia dinasihatkan menunggu pengumuman rasmi status ibadah haji tahun ini daripada TH yang akan dimaklumkan sebaik sahaja jumlah kuota, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaannya untuk musim haji tahun ini telah diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi.

    “Setelah tarikh pengeluaran surat tawaran haji diumumkan, bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi THiJARI bagi menyemak dan menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kenyataan sama, TH turut memaklumkan kursus asas haji sedang dianjurkan selama 13 minggu bermula 25 Nov ini hingga 17 Feb 2023 sebagai persediaan melengkapkan bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di tanah suci.

    Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. – BERNAMA

  • Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    Anggota polis bertugas di Istana Negara maut digilis

    SEORANG anggota polis yang bertugas di Istana Negara meninggal dunia selepas digilis kenderaan lain dalam satu kejadian dekat Putrajaya, pagi ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku di Kilometer 37.7 Lebuhraya Elite arah utara melibatkan Lans Koperal Amirul Faiz Mohammad Ali, 31,.

    Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa dari arah Melaka menghala ke Jalan Duta, Kuala Lumpur.

    Katanya, motosikal jenis SYM ditunggang mangsa hilang kawalan dan terlanggar besi penghadang jalan, yang menyebabkannya terjatuh di lorong paling kanan.

    “Akibatnya, mangsa digilis kenderaan lain yang belum dipastikan,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Wan Kamarul Azran berkata, motosikal mangsa rosak di bahagian kanan hadapan, lampu belakang dan lain-lain.

    Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

  • Pasar raya, kedai runcit lima negeri berdepan kekurangan bekalan telur ayam

    Pasar raya, kedai runcit lima negeri berdepan kekurangan bekalan telur ayam

    BEKALAN telur ayam di pasar raya dan kedai runcit di lima negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Melaka dilihat semakin meruncing berikutan banyak pihak, termasuk pengguna dan peniaga mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalan itu ketika ini.

    Di PERAK, tinjauan Bernama di sebuah pasar raya segar di Bandar Meru Raya, Ipoh mendapati berlaku pengurangan stok telur ayam sehingga tiada bekalan mahupun simpanan di premis itu manakala beberapa kedai runcit pula boleh didapati dalam kuantiti amat sedikit.

    Seorang pekerja kedai runcit Muliadi Abdul Jalil, 32, berkata kekurangan bekalan telur berlaku sejak kira-kira tiga bulan lepas apabila premis berkenaan sebelum ini pernah menerima bekalan telur sebanyak 60 papan, tetapi kini hanya memperoleh separuh daripada tempahan atau lebih sedikit akibat ketiadaan stok.

    Menurut seorang lagi pekerja kedai runcit Fikri Abdul Rahman, 23, premis itu juga hanya memperoleh separuh bekalan telur iaitu hanya kira-kira 60 papan berbanding 150 papan sebelum ini.

    Di PULAU PINANG, pengusaha kedai makan di Bandar Perda, Azhar Basirun, 59, berkata beliau perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 60 biji telur ayam setiap hari untuk perniagaannya, namun terpaksa membeli di beberapa kedai runcit berikutan peniaga mengehadkan pembelian 10 biji sahaja untuk seorang.

    Pengguna Muhammad Haris Omar, 42, turut mengakui bekalan telur ayam terhad dan harganya agak mahal berbanding kebiasaan, justeru beliau berharap masalah itu dapat diselesaikan segera oleh pihak berkuasa kerana telur antara sumber makanan yang murah untuk keluarga B40.

    Bagi seorang peniaga telur ayam di pasar di Kepala Batas, Amirul Muizz, 45, beliau sendiri mendapat bekalan yang sedikit iaitu kurang separuh daripada biasa dan kadangkala tiada langsung telur ayam yang dihantar oleh pemborong kepadanya.

    Di KELANTAN, tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar raya menunjukkan tiada bekalan telur ayam seperti kebiasaannya di rak-rak jualan, sebaliknya masih digantikan dengan bekalan telur ‘omega’ dan telur putih. 

    Pekerja pasar raya di Bandar Baru, Hassan Basri, 27, berkata bekalan telur putih dan omega baru tiba di tempat kerja beliau hari ini dan dijangka habis hari ini juga.

    Selain itu, pengusaha bakeri Nadia Bustamam, 34, berkata ketiadaan bekalan telur ayam biasa sebelum ini menjejaskan operasi perniagaannya kerana terdapat beberapa jenis kek tidak boleh menggunakan telur lain selain telur ayam berwarna perang.

    Sementara itu di SELANGOR, tinjauan di sekitar Shah Alam mendapati bekalan telur sukar diperoleh sejak beberapa bulan lepas, terutamanya di kawasan yang jauh dari bandar.

    Suri rumah Rosliza Abdul Samad, 40, berkata ketiadaan bekalan sumber protein itu membuatkannya terpaksa pergi ke pasar raya lebih jauh dari kawasan penempatan selain terpaksa membeli telur jenis omega yang jauh lebih mahal kerana susah untuk mendapatkan telur biasa.

    Di MELAKA, peniaga nasi lemak Muhammad Ismail Sulaiman, 40, dari Klebang Pengkalan Rama berkata beliau telah beberapa kali berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur sehingga menjejaskan jualannya.

    “Kadang-kadang saya terpaksa mencari di lebih lima premis untuk membeli telur ayam dan terdapat juga kedai runcit atau pasar raya yang mengehadkan jualan bagi setiap pembeli. Selain bekalan, pilihan gred telur yang dijual kebanyakan gred B dan harganya lebih mahal…namun tiada pilihan,” katanya.

    Selain itu, Tan Hock Seng, 34, dari Bachang mengakui turut berhadapan situasi sama berikutan telur ayam di kedai runcit berhampiran rumahnya sering kehabisan bekalan dan ada kalanya hanya boleh dibeli pada hari tertentu. – BERNAMA

  • Anwar masih tak ada idea mengenai telur? Minta nasihat Ronald Kiandee

    Anwar masih tak ada idea mengenai telur? Minta nasihat Ronald Kiandee

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu mempunyai rekod yang baik dalam menjaga kebajikan rakyat.

    Justeru itu, beliau yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia mengesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar meminta nasihat daripada bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee bagi menangani isu kekurangan telur di negara ini.

    “Kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertanian, kalau gagal, apa kata minta nasihat daripada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang lebih berjaya menangani segera krisis bekalan dan harga ayam sebelum ini.

    “Kalau PH-BN dah tak ada idea, kami PN ada track record yang solid menjaga rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Gesaan itu diusul Wan Saiful ekoran tiada jalan penyelesaian yang diketengahkan kerajaan setakat ini.

    Malah Wan Saiful berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hanya mencadangkan agar negara mengimport telur dari luar negara yang merupakan perancangan jangka pendek semata-mata.

    “Malaysia negara pengeksport telur kelima terbesar dunia berdasarkan data pada 2021. Tapi pelik apabila kita selaku negara pengeksport telur menghadapi kekurangan telur untuk rakyat sendiri.

    “Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula umumkan bahawa Malaysia akan mengimport telur untuk stabilkan bekalan. Kita ni negara pengeksport. Mana logiknya nak import pula,” soal beliau, lapor Satu berita.

    Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu hanya mengenal pasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan belakan telur ayam dalam negara dengan kadar segera untuk pelan jangka pendek.

    Mohamad berkata, inisiatif membawa masuk telur ayam dari luar itu bukan untuk menekan pengusaha industri tempatan sebaliknya bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

    Dalam sidang Kabinet pertama pada Disember lalu, Anwar ‘menegur’ Mohamad ekoran masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.

  • Sorok diesel subsidi dalam ladang ternakan elak dikesan pihak berkuasa

    Sorok diesel subsidi dalam ladang ternakan elak dikesan pihak berkuasa

    SATU sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang berselindung di sebalik sebuah ladang ternakan di Valdor, Simpang Ampat, Pulau Pinang berjaya dipatahkan hasil serbuan sekumpulan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, seorang pemandu lori warga tempatan berusia 31 tahun turut ditahan ketika sedang memindahkan diesel seludup itu dari tangki sebuah lori tanah seberat 12 tan ke dalam tangki plastik.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menjalankan risikan selain turut menggunakan teknologi dron memandangkan lokasi serbuan itu terletak di kawasan terpencil.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat sebanyak 18 buah tangki plastik berkapasiti 1,000 liter setiap satu di lokasi itu dengan sebahagian besarnya berisi diesel.

    Secara keseluruhan ujar beliau, pihaknya merampas dan menyita dua buah lori masing-masing sebuah lori tanah seberat 12 dan tiga tan serta diesel sebanyak 10,400 liter.

    “Turut dirampas 18 unit tangki plastik, dua unit motor pam selain masing-masing satu unit pam hos dan telefon bimbit berjenama Vivo Y1s dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan RM92,560.

    “Pemilik ladang ternakan itu juga dipercayai mempunyai pertalian persaudaraan dengan suspek yang ditahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, ujar beliau, individu boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak lebih RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi atau berdepan tindakan tegas selain mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan berkaitan daripada orang awam.