Category: Semasa

  • Annuar: Ramai pemimpin, ahli UMNO keluar parti 4 Ogos

    Annuar: Ramai pemimpin, ahli UMNO keluar parti 4 Ogos

    BEKAS Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa akan menjadi tuan rumah kepada majlis pengisytiharan keluar parti secara beramai-ramai oleh pemimpin dan ahli UMNO pada 4 Ogos nanti.

    Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu berkata, majlis berkenaan akan berlangsung di kediamannya di Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan yang turut akan dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Kita akan buat pengumuman penting termasuk pengisytiharan ramai pemimpin dan ahli parti serta mantan ketua setiausaha dan bekas Exco yang akan keluar daripada Umno.

    “Ini bukan sahaja dalam kalangan pemimpin dan ahli dalam Parlimen Ketereh, malah beberapa kawasan yang lain,” katanya pada sidang media di ceramah isu semasa sempena pilihan raya negeri (PRN) peringkat dewan undangan negeri (DUN) Kok Lanas, di Kota Bharu, malam tadi.

    Turut hadir, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, calon PN DUN Kok Lanas, Mohamed Farid Zawawi dan calon DUN Kadok, Azami Mohd. Nor.

    Annuar berkata, tindakan pemimpin dan ahli keluar daripada UMNO berikutan rakyat sudah tidak yakin dengan perjuangan parti itu serta kepimpinan presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

    “Gelombang krisis keyakinan kepada UMNO sudah wujud kerana (segelintir pemimpin) parti itu melakukan banyak kesilapan dan kesalahan. Juga terlalu banyak penipuan dan pembohongan sehingga menyebabkan ahli UMNO hilang keyakinan.

    “UMNO menghadapi satu krisis yang sangat tenat. Kemungkinan juga akan berlaku penutupan cawangan UMNO.

    “Ini menunjukkan bahawa rakyat Kelantan solid (padu) bersama PN dan Pas kerana parti ini konsisten walaupun tidak menjadi pemimpin kerajaan Persekutuan. Saya boleh rasa situasi itu sekarang,” ujar bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.

  • ‘Kes Zahid gugur, paku terakhir keranda UMNO’

    ‘Kes Zahid gugur, paku terakhir keranda UMNO’

    KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN) memberi gambaran bahawa akan ada perkembangan terbaru berkaitan kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

    Fadhli Shaari mendakwa, khabar angin mengenai perkembangan itu membabitkan kemungkinan kes dihadapi Ahmad Zahid digugurkan.

    “Bunyi khabar esok (hari ini) ada satu perkembangan akan berlaku dalam kes melibatkan Presiden UMNO. Kita nak nyatakan malam ini sebelum ia berlaku esok (hari ini), kalau terjadi sungguh hebatlah tekaan kita.

    “Kalau betullah pendakwaan terhadap Ahmad Zahid Hamidi digugurkan, ia akan menjadi paku yang terakhir di atas keranda UMNO,” katanya ketika berucap di program ceramah isu-isu semasa sempena pilihan raya negeri (PRN) di Kok Lanas, Kota Bharu, di Kelantan malam tadi.

    Turut hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, calon PN bagi dewan undangan negeri (DUN) Kok Lanas, Mohamed Farid Zawawi dan calon PN DUN Kadok, Azami Mohd. Nor.

    Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini diberitahu bahawa representasi dikemukakan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri untuk menggugurkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapinya masih belum diputuskan.

    Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC), Mohd. Dusuki Mokhtar berkata AGC masih menunggu hasil siasatan lanjut daripada Pasukan Petugas Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan.

    “Pasukan petugas khas sedang menjalankan siasatan. Tiada lagi keputusan mengenai siasatan tersebut,” katanya pada perbicaraan kes dihadapi Ahmad Zahid di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

    Ahmad Zahid, 70, mengemukakan representasi melebihi 200 muka surat mengandungi isu kompleks yang dihantar kepada Peguam Negara Idrus Harun sebagai asas untuk pertimbangan agar pertuduhan dihadapinya digugurkan.

    Sementara itu Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, pihaknya akan menanti perkembangan itu kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dengan kerajaan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim ini.

    “Nanti kita tengok macam mana, tapi tak boleh kira dalam kerajaan PMX (Anwar) sekarang ini, macam-macam boleh berlaku.

    “Dia boleh sebuat kata tak campur tangan dalam isu mahkamah, tak pernah campur isu pendakwaan. Inilah PMX, mesin basuh yang paling cepat berpusing, jenama baru jenama PMX, tapi mudah ‘koyak’,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Hutang peneroka Felda, lawan tetap lawan – Muhyiddin

    Hutang peneroka Felda, lawan tetap lawan – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin nekad untuk melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah berkait fitnah berhubung isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tohmahan dan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu telah mencalarkan imejnya sebagai bekas Perdana Menteri.

    “Saya saman Perdana Menteri (Anwar), peduli saya… betul tak? Fasal ini maruah saya. Saya manusia, saya mantan Perdana Menteri, awal daripada dia.

    “Tak faham perakaunan (dan) faham makna bon,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum DUN Hulu Bernam di Hulu Selangor malam tadi, lapor Astro Awani.

    Beliau turut menyindir tindakan Anwar menuntutnya membayar pampasan RM200 juta kerana didakwa menjejaskan reputasi beliau berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

    “Belum habis saya minta dia (Anwar) mohon maaf dan dia tak nak minta maaf (tetapi) dia saman saya RM200 juta. Macam mana tu?

    “Saya suruh dia minta maaf fasal dia dah salah… dia tak nak mengaku salah, dia saman saya dan suruh minta maaf dengan nilai RM200 juta. Habis macam mana? Lawan, lawan? Lawan tetap lawan.

    “Fasal saya berpegang pada prinsip kebenaran. Berani kerana benar. Kalau orang buat tohmah, dan ini memfitnah saya hidup-hidup,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

    Pada 21 Julai lalu, Anwar menuntut Muhyiddin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

    Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin menerusi firma guamannya SN Nair & Partners, menyatakan Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

    Selain itu, Anwar menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutan beliau dan semua kenyataan (yang didakwa) fitnah diterbitkan berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda serta-merta dan tidak berbelah bahagi serta memadamkan atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan dan bersifat fitnah.

    Sementara itu, Muhyiddin pada 28 Julai memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung isu sama.

    Muhyiddin mengemukakan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership selaku plaintif dengan menamakan Anwar sebagai defendan.

    Beliau menuntut ganti rugi teladan yang sepadan dengan jumlah RM200 juta pampasan.

    Sebelu itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata dokumen yang dikemukakan Anwar bukan berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda, sebaliknya dokumen berkenaan sukuk.

  • PRN: Bantuan air percuma antara manifesto PN Selangor diumum Jumaat ini-Muhyiddin

    PRN: Bantuan air percuma antara manifesto PN Selangor diumum Jumaat ini-Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) dijadual mengumumkan manifesto bagi Selangor pada Jumaat ini sebagai tawaran kepada pengundi-pengundi di negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos akan datang.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan tersebut sekali gus menafikan dakwaan bahawa gabungan itu tidak mempunyai idea untuk membentangkan tawaran kepada para pengundi.

    Jelas Muhyiddin, manifesto yang akan diumumkannya itu disifatkan sebagai ‘game changer’ kepada negeri Selangor.

    “Saya baru tadi (semalam) duduk dengan beberapa kawan-kawan saya dalam jawatankuasa nak meneliti persiapan manifesto.

    “Saya rasa yang akan saya umumkan ini sesuatu yang bukan sahaja menarik tetapi satu ‘game changer’ yang boleh meningkatkan negeri Selangor dan juga kedudukan rakyat Selangor kepada satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.

    Bekas Perdana Menteri itu ketika berucap pada Ceramah Umum DUN Hulu Bernam di Hulu Selangor malam tadi.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menambah, manifesto tersebut antaranya dijangka meliputi pemberian bantuan langsung kepada golongan kurang berkemampuan termasuk miskin dan miskin tegar.

    “(Manifesto) ini dapat memberikan bantuan-bantuan langsung dan tidak langsung, menyediakan bantuan prihatin, kemudahan untuk anak-anak muda, wanita, orang tua, dewasa dan pelbagai lagi.

    “… yang saya teliti tadi agak cukup elok, dan kita akan umumkan pada Jumaat malam akan datang. Ia jelas apa yang termaktub dalam itu termasuk antara lain soal pemberian air secara percuma bagi sesetengah kategori penduduk di Negeri Selangor,” jelasnya lapor Sinar Harian.

  • Sanusi dakwa Anwar pernah datang ke Kedah dengan lelaki Indonesia berkaitan REE sebelum jadi PM

    Sanusi dakwa Anwar pernah datang ke Kedah dengan lelaki Indonesia berkaitan REE sebelum jadi PM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah datang ke negeri itu bersama seorang lelaki Indonesia berkaitan urusan unsur nadir bumi (REE) sebelum menjadi Perdana Menteri.

    Justeru menurut Muhammad Sanusi, beliau seolah-olah mendapat jawapan mengapa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat beria-ia bercakap mengenai kecurian REE di Kedah.

    “Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Anwar datang ke Kedah bersama seorang warga Indonesia. Saya lihat di portal lelaki ini berjumpa seseorang, rupanya datang untuk memohon kawasan lombong REE.

    “Patut Saifuddin ‘pulun’ sangat, saya tau dah. Saya cuba cantumkan ‘puzzle’, teringat Anwar datang dengan lelaki itu jumpa orang di sana sini.

    “Mengapa tak beritahu?,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang PN Pedu, malam tadi.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi mendakwa, beliau pernah dihubungi seseorang yang menyatakan lelaki Indonesia itu mahu memberikan ratusan ekor lembu bersempena hari raya korban.

    “Tapi saya tak mahu kerana hampir dengan pilihan raya, takut jadi rasuah. Saya minta mereka berikan di tempat lain,” katanya.

    Muhammad Sanusi menambah, sesiapa saja yang mempunyai kemahiran boleh membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk melombong REE di Kedah.

    Beliau bagaimanapun bertegas bahawa kegiatan itu perlu dilakukan mengikut undang-undang dengan hasilnya perlu dipulangkan kepada rakyat Kedah.

    “Siapa saja di dunia yang ada kepakaran, kemahiran dan duit nak mohon kawasan REE, boleh mohon dan kita akan luluskan dengan syarat hasil itu dipulangkan kepada rakyat Kedah.

    “Sesiapa pun boleh mari. Anwar, Saifuddin, (lelaki Indonesia) boleh mari. Kita buka seluasnya janji buat kerja ikut undang-undang dan betul. Jangan tanah kita rosak, mineral kita hilang (tapi) duit kita tak dapat,” katanya.

    Mengulas kecurian REE yang dikatakan mengakibatkan kerugian berbilion ringgit, Muhammad Sanusi berkata, tapak lombong di Bukit Enggang hanya seluas lapan hektar sahaja dan cuma mewakili satu peratus daripada keseluruhan kawasan itu yang dipercayai mempunyai REE dalam jumlah besar.

    “Kenapa mereka kata (kerajaan negeri) rugi berbilion? (Tujuannya) nak menggambarkan kita tak pandai memerintah hingga harta hilang berbilion.

    “Dalam lawatan saya, kawasan yang dicuri itu 20 ekar (kira-kira 8 hektar), tak sampai satu peratus. Kita ada banyak lagi rizab kawasan ada REE, sebab itu mereka menitis air liur,” katanya.

  • Sanusi minta ahli Pas undi PN di kerusi ditandingi calon Bebas

    Sanusi minta ahli Pas undi PN di kerusi ditandingi calon Bebas

    Oleh BADLISHAH MAT

    KETUA Pengarah Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menggesa ahli Pas di Langkawi mengundi calon PN susulan tindakan dua ahli mereka bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Ayer Hangat dan Kuah.

    Muhammad Sanusi berkata, masih terlalu awal untuk menilai kesan tindakan dua ahli Pas itu yang memutuskan untuk menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kedua-dua kerusi itu.

    “Masih terlalu awal, kita baru dua hari (kempen pilihan raya), kita akan lihat bagaimana keadaannya dalam beberapa hari akan datang. (Tetapi) apa yang boleh dilakukan dah kalau orang itu dah kena pecat, bukan lagi ahli Pas. Nak boleh buat apa kan? Negara ini demokrasi.

    “Kalau kita nak larang kena (lakukan) sebelum (penamaan calon) tapi masa itu kita tak tahu nak jadi (bantahan terhadap calon Bersatu),” katanya pada program Sembang Santai di Unit Daerah Mengundi (UDM) Taman Seri Putera, Kuala Kedah.

    Menteri Besar Kedah itu berkata, situasi tersebut bukan sahaja melibatkan Pas tetapi parti lain turut berdepan isu sama apabila terdapat ahli mereka bertanding Bebas.

    “Ahli lain pun ada, ahli UMNO pun ada tanding Bebas. Penyandang tak penyandang semua ada,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menolak ramalan penganalisis bahawa pembangunan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan menurun jika negeri-negeri itu diperintah PN.

    “Soal ekonomi bukan berkaitan dengan parti politik. Ada negeri yang maju tanpa Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan. Ada negeri yang miskin tetapi tidak ditadbir oleh PN.

    “Analisa ini mengarut dan tidak berasas. Hanya orang gila sahaja yang akan berkata seperti itu, (ekonomi) bersangkut dengan parti,” katanya.

    Tambah Muhammad Sanusi, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan manakala parti politik hanya memainkan peranan kecil dalam proses itu.

    “Ekonomi membangun bukan hanya tentang kerja yang dilakukan oleh satu atau dua pemimpin politik. Ia melibatkan jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan pelaburan dan sebagainya,” katanya.

    Beliau mengulas kebimbangan penganalisis bahawa pembangunan di negeri-negeri yang dipegang PH iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kononnya akan merudum jika pentadbiran diambil alih oleh PN.

  • So Loi Fat berada di Malaysia sebelum saya jadi Menteri Besar’ – Sanusi

    So Loi Fat berada di Malaysia sebelum saya jadi Menteri Besar’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan lelaki warga China yang bernama So Loi Fat seperti disebut oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah lama berada di Malaysia.

    Beliau berkata, Loi Fat yang merupakan pemilik syarikat Prospek Suria yang diberikan lesen menjelajah unsur nadir bumi (REE) telah masuk ke negara ini sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada Mei 2020 lagi.

    Katanya, beliau mengenali lelaki itu sebagai ‘Mr. So’ yang tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu dan memerlukan penterjemah bernama Mendy jika Loi Fat mahu memberitahu sebarang perkara kepadanya.

    “Dia (Loi Fat) dok mai pejabat (Menteri Besar) sebelum saya masuk, dah ada kerjasama dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI). Dia mai dengan satu lawyer kawan Saifuddin dulu, kalau saya sebut nama, entah-entah Pudin terkejut.

    “Takpa mai panggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanya saya untuk sebut nama lawyer tu. Kalau kita dedah semua hari ini, esok dia (Saifuddin) konar kot lain.

    “(Mereka) mai explain kat saya, syarikat Prospek Suria telah habis RM30 juta duit dok di Malaysia lobi projek (REE) dan bayar kepada MBI pada masa itu sekurang-kurangnya RM5 juta,” katanya pada program Sembang Santai di Unit Daerah Mengundi (UDM) Taman Seri Putera, Kuala Kedah.

    Terdahulu, Saifuddin mendedahkan gambar Muhammad Sanusi dan Loi Fat yang didakwanya sebagai bukti mengaitkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dengan kes kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.

    Muhammad Sanusi menjelaskan gambar tersebut mungkin diambil semasa sambutan hari raya sebelum ini.

    “Saya (ambil) gambar dengan orang bujang ada, dengan lelaki ada, perempuan ada. Semua orang tangkap gambar dengan saya. You tengok tadi berapa juta tangkap gambar dengan saya, saya kan popular. Dia (Loi Fat) dah ada di Malaysia lama. Jadi Saifuddin kena check balik maklumat dia terima takut depa ni pekena dia. Lawyer dia, agensi-agensi hat duk supply maklumat kat dia pekena dia,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mempersoalkan mengapa isu tersebut digembar-gemburkan oleh Saifuddin semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung ketika ini berbanding menyerang lebih awal atau selepas pilihan raya itu.

    “Hang nak main politik, ambil kesempatan isu REE untuk burukkan orang padahal memburukkan diri sendiri. Dia tak elok, hati tak murni. Pi cari lagi 59 lombong, ada 60 lokasi (REE) yang diakui Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KetSA) dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara.

    “Ada di Negeri Sembilan, Pahang, Perak. Awat tak pi siasat? Pasai apa mai di Kedah ja? Pasai hang nak bunuh Sanusi, Sanusi ini nyawa liat bos, dia payah mati,” katanya.

  • Polis Selangor buka kertas siasatan Fahmi berucap dalam masjid di Rawang Nurul Hidayah Bahaudin

    Polis Selangor buka kertas siasatan Fahmi berucap dalam masjid di Rawang Nurul Hidayah Bahaudin

    POLIS Selangor menjalankan siasatan berhubung gambar tular Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kejadian itu.

    Kata beliau, pihaknya sudah mendapatkan rakaman ucapan dalam masjid berkenaan dan akan menelitinya untuk siasatan lanjut.

    “Kita akan beri maklum balas serta perkembangan mengenai kes terbabit dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan ke-7 Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan berhubung gambar berkenaan yang tular dalam media sosial.

    Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung perkara terbabit.

    JAIS turut menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

    Sementara itu, Fahmi menafikan beliau menggunakan masjid untuk berkempen sebaliknya singgah untuk solat Zohor sahaja di masjid itu kerana berdekatan dengan lokasi program seterusnya.

    Beliau kemudiannya dijemput oleh kariah masjid untuk ulas sedikit isu kumpulan muzik The 1975.

  • Hamzah: Polis lepas rakam ceramah, beritahu keluarga sokong PN

    Hamzah: Polis lepas rakam ceramah, beritahu keluarga sokong PN

    BEKAS Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggesa anggota polis yang bertugas mengawasi kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri supaya mempromosikan gabungan itu dalam kalangan ahli keluarga mereka.

    Setiausaha Agung PN itu berkata, anggota terbabit juga boleh mengambil kesempatan mendengar tawaran yang diberikan gabungan parti pembangkang itu.

    “Saya nak bagi tahu polis yang dengar ini (ceramah), kerja dia bukan sahaja ‘tangkap’ apa yang kita ucap, dia juga kena ingat dalam hati, kena jaga masa depan anak bangsa.

    “Jadi, bila dengar ucapan jangan rakam sahaja, dengar sekali. Macam kita…kita ucap, dengar balik dan buat kerja.

    “Begitu juga mereka…berita kepada anak-anak, keluarga dan sahabat handai, kerajaan yang lebih baik adalah kerajaan PN,” katanya.

    Hamzah berkata demikian ketika berucap pada Program Himpunan Jentera N.03 Sungai Panjang di Markaz Tarbiah PAS Smpang Lima, Sungai Besar, malam tadi.

    Mengakhiri ucapannya, beliau itu meminta penyokong yang hadir supaya berdiri sebelum meminta anggota polis yang berada pada majlis terbabit mengambil gambar mereka dan menunjukkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Polis, ambil gambar mereka. Tunjukkan kepada PM, mereka (rakyat) sudah bangkit,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Pada 24 Julai lalu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang yang mendakwa beliau menerima maklumat berkenaan PRN akan datang daripada ‘sahabat-sahabatnya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)’ yang PN sebenarnya mendahului di Selangor.

    Ini berbeza dengan dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa Pakatan Harapan (PH) menikmati tahap sokongan yang lebih tinggi.

    Seramai 40,000 anggota dan pegawai polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, jumlah berkenaan membabitkan anggota dan pegawai di negeri terbabit serta bantuan dari negeri lain.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

  • Bersih lancar kempen #UndiLokal

    Bersih lancar kempen #UndiLokal

    GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melancarkan kempen #UndiLokal bagi mengembalikan tumpuan pengundi di enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini kepada isu negeri dan tempatan.

    Pengerusinya, Thomas Fann berkata, perkara ini penting kerana sekiranya kerajaan negeri tidak dipilih dengan baik akan menjejaskan kebajikan dan masa hadapan rakyat.

    “Sebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk melantik ahli majlis, yang mana keputusan akan memberi kesan secara langsung kepada perkhidmatan, pembangunan dan perniagaan tempatan.

    “Secara rumusannya, PRN ini adalah penting kerana ia secara langsung memberi kesan kepada kualiti hidup kita,” katanya ketika sidang akhbar pelancaran kempen #UndiLokal di pejabat Bersih dekat Petaling Jaya hari ini.

    Katanya, pada pemantauan Bersih ketika ini, kempen parti politik yang bertanding dilihat lebih memfokuskan kepada isu yang lebih nasional serta memainkan isu referendum terhadap Kerajaan Perpaduan mengenai isu-isu seperti 3R (Kaum, Agama, Raja).

    Justeru ujar beliau, pihaknya mahu isu-isu yang lebih bersifat tempatan diutamakan selain memfokuskan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan.

    Selain itu, katanya, #UndiLokal juga meminta pengundi untuk turun beramai-ramai bagi menjalankan tanggungjawab demokrasi pada 12 Ogos nanti.

    Jelasnya, matlamat kempen itu juga adalah mahu meningkatkan peratusan keluar mengundi pada PRN.

    “Data sejarah PRN yang tidak diadakan sempena Pilihan Raya Umum (PRU) menunjukkan peratusan keluar mengundi adalah 10-15 peratus lebih rendah daripada PRU,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, kadar keluar mengundi untuk PRU15 ialah 74 peratus sekali gus bermakna peratusan keluar mengundi untuk enam PRN mungkin sekitar 59-64 peratus, jika pihaknya tidak menyeru untuk peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi.

    Tambahnya lagi, untuk itu pihaknya berharap peratusan keluar mengundi pada enam PRN kali ini boleh mencecah lebih 70 peratus keluar mengundi.

    “Jadi jika anda mahu pengurusan perkhidmatan, pembangunan dan perniagaan tempatan yang lebih baik, keluarlah mengundi dan undilah kerajaan negeri yang lebih baik,” katanya.

    Kempen #UndiLokal itu mendapat kerjasama Astro Awani serta beberapa NGO yang lain, ia menggesa orang ramai untuk menggunakan tanda pagar #UndiLokal untuk menyuarakan isu tempatan di kawasan mereka serta tag kepada calon-calon yang bertanding untuk perhatian mereka.