Category: Semasa

  • Tanah runtuh Batang Kali: Bomba temui 4 petunjuk baharu, pertama kali guna GPR

    Tanah runtuh Batang Kali: Bomba temui 4 petunjuk baharu, pertama kali guna GPR

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini menemui empat petunjuk baharu yang berkemungkinan ada mayat tertimbus di lokasi tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, penggunaan radar penembusan tanah (GPR) itu, sangat membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam mengecilkan skop lokasi pencarian di semua sektor.

    Beliau berkata, ini adalah kali pertama alat mudah alih terbabit digunakan dalam operasi SAR bencana sedemikian di Malaysia, dan boleh menembusi tanah hingga sedalam lima meter (m) untuk tujuan pengesanan.

    Mohd. Khairi memaklumkan, alat berkenaan ditaja oleh syarikat Geoventure Solution melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada NADMA.

    “GPR berjaya mengesan objek disyaki tubuh manusia di bawah tanah, dan setakat ini membantu kenal pasti 14 titik.

    “Bagaimanapun, apabila penggalian dibuat pasukan tidak menemui sebarang badan mangsa. GPR tersebut mungkin telah kesan objek-objek lain di point tersebut. Namun, penggunaan GPR sangat membantu operasi SAR, dengan mengecilkan kawasan pencarian dalam sektor ditetapkan,” katanya, lapor Utusan TV.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitenden Suffian Abdullah berkata, tujuh kenderaan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Selangor, pada Jumaat lepas telah direkod nombor plat pendaftaran bagi mengenal pasti pemiliknya.

    Beliau berkata, polis akan meneliti kesemua nombor plat berkenaan untuk melihat jika berkait dengan sembilan mangsa yang masih hilang.

    “Saya akan semak dengan pemilik dan saudara mereka yang mempunyai kaitan dengan kereta-kereta yang terlibat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

    Beliau berkata usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus pada hari ini menemui jalan buntu dan usaha mengesan mereka akan berterusan.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Cuaca mendung, operasi SAR sembilan lagi mangsa diteruskan

    Tanah runtuh Batang Kali: Cuaca mendung, operasi SAR sembilan lagi mangsa diteruskan

    MEMASUKI hari keempat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Hulu Selangor diteruskan hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Selangor Datuk Norazam Khamis ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan memberi fokus di Sektor A (Hillview) dan Sektor C (Riverside) serta kawasan sekitar yang belum digali.

    Enam anjing unit pengesan (K9) turut mula dibawa masuk ke kawasan pencarian pada 8.30 pagi tadi, dalam keadaan cuaca mendung pada pagi ini.

    Semalam operasi berkenaan ditangguhkan pada kira-kira 9.30 malam berikutan keadaan cuaca buruk.

    Setakat ini, 24 mangsa disahkan meninggal dunia dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.–Bernama

  • Johari Abdul dipilih sebagai Speaker baharu Dewan Rakyat

    Johari Abdul dipilih sebagai Speaker baharu Dewan Rakyat

    BEKAS ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan.

    Proses pengundian yang dibuat melalui kertas undi menyaksikan Johari memperoleh 147 undi, sementara calon mewakili blok pembangkang Tan Sri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.

    Terdahulu, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan dua cadangan nama tersebut yang masing-masing dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 5 Disember lalu.

    Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun (Pakatan Harapan) mencadangkan Johari mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Hamzah yang juga Ketua Pembangkang pula mencadangkan bekas Menteri Dalam Negeri, Radzi sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, lapor Astro Awani.

    Johari kemudian mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

    Johari berkhidmat sebagai ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, namun tidak menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaliknya digantikan anaknya, Dr. Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil Pakatan Harapan (PH) menang di Kedah.

    Pada 2 Disember lalu, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilapor mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

  • Undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama

    Undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama

    PEMBENTANGAN usul undi percaya dan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu antara tumpuan hari pertama persidangan Parlimen bagi Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November sebagai Perdana Menteri ke-10, terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat.

    Ia bertujuan membuktikan beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

    Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung dua hari bermula hari ini, juga bakal menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU-15 mengangkat sumpah selain pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat terkandung pada urutan nombor dua dan lima.

    Pada 2 Disember, media melaporkan Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

    Menurut laporan media, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul disebut-sebut menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) menggantikan Azhar, manakala Perikatan Nasional (PN) mencalonkan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

    Selain itu, Ahli Parlimen Lanang daripada DAP Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,

    Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dicalonkan PN untuk jawatan sama.

    Turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini adalah pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

    Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet pertama 5 Disember lepas berkata, persidangan Parlimen pertama itu juga akan membentang dan meluluskan peruntukan khas atau bajet mini bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari.

  • Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Perak meningkat

    Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Perak meningkat

    JUMLAH mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Perak mencatatkan peningkatan malam tadi manakala di Johor kekal seperti petang semalam sepasukan.

    Di KELANTAN, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,642 orang daripada 1,679 keluarga malam tadi berbanding 3,320 orang daripada 975 keluarga pada sebelah petang.

    Menurutnya, sebanyak 58 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan lapan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

    Berdasarkan kenyataan di laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, tujuh sungai utama melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 36.10 meter (m) manakala Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli pada paras 29.55 m.

    Selain itu, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah pula pada paras 25.00 m, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.39 m), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.56 m), Kampung Jenob, Tanah Merah (25.00 m) dan Jambatan Melor, Bachok (9.42 m).

    Di TERENGGANU, situasi banjir semakin serius apabila angka mangsa terjejas terus melonjak kepada 3,785 orang daripada 1,068 keluarga berbanding 1,866 orang daripada 512 keluarga petang tadi.

    JPBN memaklumkan sebanyak 76 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu satu PPS di Kuala Terengganu, Besut (26), Hulu Terengganu (25) Setiu (11), Dungun (enam), Kemaman (enam) dan Marang (satu).

    Di PERAK pula, terdapat dua PPS iaitu di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4, Teluk Intan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat, Selekoh yang menempatkan 49 orang daripada 16 keluarga setakat 8 malam sekali gus menyaksikan peningkatan bilangan mangsa berbanding petang tadi iaitu 47 orang daripada 15 keluarga.

    Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa kawasan membabitkan Kerian, Larut, Matang, Selama dan Kuala Kangsar dijangka mengalami hujan berterusan hingga 20 Dis ini.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 75 orang daripada 21 keluarga dan mereka masih ditempatkan di tiga PPS.

    JPBN dalam kenyataan memaklumkan seramai 34 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak, 27 masih berada di Balai Raya Kampung Kuala Paya manakala Dewan Komuniti Kampung Tasek menempatkan 14 mangsa. 

    Dalam pada itu, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat melepasi paras amaran dengan ketinggian 8.91 m. 

  • Kalah teruk dalam PRU, ‘terikat’ MoU PH…apa lagi UMNO ada?

    Kalah teruk dalam PRU, ‘terikat’ MoU PH…apa lagi UMNO ada?

    SEBELUM Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) , pemimpin UMNO termasuklah ketua-ketua sayap parti itu sering menegaskan apa sahaja yang mereka lakukan adalah demi tuntutan ahli akar umbi.

    Dasar ‘No Anwar,No DAP’ atas kemahuan akar umbi, tidak bekerjasama dengan Bersatu atas kehendak akar umbi dan bertanding solo dalam PRU-15 atas desakan akar umbi.

    Tetapi apa yang berlaku selepas PRU-15 membuktikan suara akar umbi entah ke mana. Kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihan raya bagi parti itu ternyata tidak menghalang barisan kepemimpinan parti melakukan percaturan politik tanpa lagi merujuk kepada ‘suara akar umbi’.

    Dengan bersandarkan alasan ‘patuh kepada titah Agong’, UMNO dan BN melanggar dasarnya sendiri apabila lebih selesa untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang hakikatnya hanya mendapat 11 peratus sahaja sokongan orang Melayu.

    UMNO ada pilihan untuk bersama Perikatan Nasional yang mendapat sokongan 54 peratus sokongan Melayu tetapi tanpa bertanya dahulu kepada ‘akar umbi’, kepemimpinan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

    Ketika tindakan itu mendapat kecaman dan menjadi bahan kritikan dalam media-media sosial, sebahagian pemimpin UMNO terus mempertahankan langkah itu dengan alasan demi mewujudkan kerajaan yang stabil. Dan kini mereka bagaikan ‘menyeret’ parti itu ke dalam perangkap politik PH apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Gabungan Parti Kerajaan Perpaduan.

    Melalui MoU itu, kesemua ahli Parlimen BN termasuk 26 daripada UMNO MESTI menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan menyokong usul yang dibentangkan kerajaan. Ia bermakna ahli-ahli Parlimen BN/UMNO bagaikan ‘ditutup mulut’ dan ‘diikat tangan’ untuk membuat keputusan sendiri. Mereka perlu mengikut rentak politik PH.

    Kalau membantah, ‘hukumannya’ mereka boleh kehilangan kerusi Parlimen yang disandang. Walaupun pakar-pakar perundangan menganggap MoU itu tidak berperlembagaan namun ia ia tidak mampu menutup hakikatnya bahawa UMNO kini ‘sudah kehilangan segala-galanya’.

    Sudahlah prinsip,dasar dan ketetapan parti sekadar menjadi ‘hiasan’, kini hala tuju UMNO pula semakin bercelaru. Dengan menjalinkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan diterajui PH yang DAP memiliki kerusi terbanyak ‘suara’ UMNO akan terus tenggelam.

    Perlu diingatkan kerajaan pimpinan Anwar mempunyai majoriti dua pertiga, maknanya 148 kerusi, kalaupun BN menarik diri (sesuatu yang tak mungkin berlaku) – Anwar masih ada sokongan 118 ahli Parlimen. Maknanya, peluang untuk suara UMNO dipinggirkan amat tinggi. Kalau itu berlaku apa lagi yang UMNO ada? Sudahlah kalah teruk akibat ditolak rakyat dalam PRU, ‘tangan pula terikat’ dengan MoU. Bijak sungguh kepemimpinan UMNO membuat percaturan.

    Apa akar umbi boleh buat? Mereka tidak boleh berbuat apa-apa sebaliknya hanya menonton sahaja ‘percaturan’ politik kepemimpinan atasan yang ‘Bersatu Bersama PH’, ‘Bersetia Dengan Anwar’ dan “Berkhidmat Bersama-sama DAP’.

  • Pegawai bomba hiba keluarkan mayat dua beranak berpelukan

    Pegawai bomba hiba keluarkan mayat dua beranak berpelukan

    MENGELUARKAN mayat ibu dan anak berusia dalam lingkungan tiga tahun di bawah timbunan lumpur dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali cukup meruntun hati seorang pegawai bomba.

    Naluri Shahari Shamsuddin, 47, sebagai bapa tersentuh saat melihat jasad dua beranak yang berpelukan itu, lantas teringat anaknya dan bagaimana jika keluarga berdepan peristiwa menyayat hati seperti itu.

    “Ketika proses hendak mengeluarkan mayat mereka, saya terpaksa menahan perasaan sedih.

    “Sebagai anggota penyelamat, saya perlu mengawal emosi namun sebagai manusia biasa, perasaan hiba itu terlalu sukar untuk dibendung,” katanya lapor Bernama.

    Menceritakan kembali detik penemuan itu, Shahari berkata beliau tiba di lokasi kejadian pada 10 pagi dan ditugaskan bersama 30 lagi rakan sepasukan untuk menjalankan misi mencari mayat mangsa di zon merah.

    Kongsinya, lumpur tebal menyukarkan pergerakan dan pergerakan tanah juga masih berlaku di lokasi itu berikutan terdapat laluan air bawah tanah.

    Shahari berkata kerja-kerja menggali terpaksa dilakukan secara berhati-hati untuk mengelak daripada peralatan yang digunakan menjejas tubuh mayat di bawah tanah.

    Katanya tidak lama selepas menggali, mayat ke-17 dan 18 itu ditemukan di tapak perkhemahan yang terletak bersebelahan sungai pada jam 4.40 petang Jumaat.

    Setakat petang semalam, 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.

    Operasi mencari dan menyelamat sembilan mangsa yang belum ditemukan diteruskan hari ini bermula pada 9 pagi selepas ditamatkan pada 9 malam semalam.

  • Ramai ahli UMNO nyata minat sertai Pas

    Ramai ahli UMNO nyata minat sertai Pas

    PAS Negeri Sembilan menjangkakan lebih ramai ahli UMNO di negeri itu akan menyertai parti tersebut pada masa hadapan.

    Pesuruhjayanya, Rafiei Mustapha berkata, ini terbukti apabila Pas menerima kemasukan lebih daripada 3,000 ahli baharu di seluruh negeri dalam masa dua bulan.

    Selain itu, katanya lagi, beberapa kepimpinan UMNO peringkat cawangan di Kuala Pilah turut menyatakan hasrat untuk bersama Pas.

    “Buat masa ini saya tidak mahu dedahkan siapa. Tapi itu menunjukkan ahli UMNO ada hasrat sertai Pas disebabkan situasi yang berlaku kepada UMNO sekarang,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

    Rafiei bagaimanapun menafikan Pas mahu mengambil kesempatan di atas permasalahan yang berlaku di dalam UMNO.

    Sebaliknya kata beliau, parti itu sentiasa mengalu-alukan sesiapa saja yang berhasrat menyertai Pas.

    Dalam perkembangan lain, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri(PRN), pihaknya bercadang mengadakan program jelajah di setiap daerah dalam usaha menarik lebih ramai kemasukan ahli baharu.

  • Disangka patung rupanya mayat tersangkut

    Disangka patung rupanya mayat tersangkut

    SEORANG pekerja pam pasir yang dilaporkan terjatuh sungai sejak tiga hari lalu, ditemukan mayatnya tersangkut pada rumah rakit di Kampung Ekor Lambat di Parit, hari ini.

    Penduduk, Zulkhairi Meor Mohamed Amno, 28, berkata, pada mulanya disangkakan patung tersangkut pada rumah rakit berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari selepas terhidu bau busuk.

    “Saya bersama dua rakan selalu lepak di rumah rakit sambil menjahit jaring. Sebaik tiba sahaja di sini, saya tercari-cari bau busuk seperti bangkai di sekeliling rumah rakit.

    “Saya sangka objek terapung itu patung apabila saya mendekatinya, saya terkejut terus berlari naik atas tebing dan menghubungi pihak polis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, itu merupakan pengalaman pertama jumpa mayat sepanjang lima tahun bekerja di premis ternakan ikan sangkar.

    Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, mayat mangsa dikenali sebagai M. Chandran, 38, ditemukan kira-kira 30 kilometer dari lokasi terakhir dilihat.

    Tambahnya, lelaki terbabit ditemui pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan selepas menerima panggilan sekitar pukul 11.17 lagi, Jumaat lalu.

    “Mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan tersangkut di kawasan ternakan ikan.

    “Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit menggunakan bot untuk mengambil mayat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Katanya, seramai 26 pegawai dan anggota daripada bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dan operasi ditamatkan pada pukul 2.20 petang.

  • Hassan pertikai MoU ‘tidak undi, hilang kerusi, sanggup ‘dipancung’, tidak rela demokrasi berkubur

    Hassan pertikai MoU ‘tidak undi, hilang kerusi, sanggup ‘dipancung’, tidak rela demokrasi berkubur

    PERJANJIAN persefahaman (MoU) antara lima gabungan parti yang mewajibkan Ahli-ahli Parlimennya memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam usul undi percaya di Parlimen esok terus mendapat kritikan, termasuk dari kalangan pemimpin parti Pakatan Harapan sendiri.

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang sebelum ini mengkiritik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melantik pemimpin yang mempunyai kes mahkamah menyertai Kabinetnya melalui puisi, menulis sebuah satu deklarasi malam tadi menyatakan kekesalannya terhadap MoU yang ditandatangani antara pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan itu.

    MoU itu mewajibkan Ahli Parlimen di bawah Kerajaan Perpaduan menyokong Perdana Menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan pimpinan Anwar, yang mana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Parlimen yang dimenangi.

    Dalam deklarasi yang disiarkan di Facebook miliknya, Hassan mempertikaikan mengapa MoU tersebut dijadikan senjata tajam dengan memberi kata dua kepada Ahli Parlimen untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri atau mereka akan kehilangan kerusi.

    Berikut petikan penuh deklarasi beliau:

    Ini bukan puisi
    Ini satu deklarasi
    Izinkan aku bertanya
    Parlimen itu apa?

    Aku diberitahu
    Oleh Magna Carta dan Bills of Rights
    Parlimen itu kemuncak suara demokrasi

    Oh, begitu rupanya,
    Jadi Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi
    Yang bergerak satu hala saja
    Mengikut arah si sang ketua

    Biarlah aku bicara
    Sebagai seorang MP di sini
    Aku bukan robot, bukan zombi
    Aku masih ada maruah
    bukan bangkai bernyawa

    Lusa 19 Disember
    tarikh keramat di Palimen kami
    aku isytiharkan di sini,
    aku akan mengundi bebas ikut hatiku
    akan aku berikan undi kepercayaan
    kepada Perdana Menteri sahabatku

    Namun begitu,
    Sila dengar bicaraku
    Adakah kita punya legitimasi,……….wahai sahabat
    Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti
    Tetapi para MP hilang hak kebebasannya untuk mengundi?

    Ke mana perginya kepercayaan kita
    Kepada pertimbangan bijaksana?

    Mengapa MoU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam
    Undi MP itu mesti mandatori
    Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?

    Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia
    Sehingga tergamak kita memberi kata dua:
    Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi

    Kepada sahabatku
    Benarkan aku bertanya
    Ini autokrasi atau demokrasi?

    Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat
    Lalu rayuan terakhirku,
    Kembalikan hak kami para MP
    Bebas mengundi
    Menurut akal dan budi

    Maka
    Kepada mu abang Tuah
    Aku lafazkan satu deklarasi di sini

    Biarlah aku dipancung mati
    Aku tidak rela
    Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi.