Category: Semasa

  • Undi percaya terhadap Anwar hanya gimik-Ketua Pembangkang

    Undi percaya terhadap Anwar hanya gimik-Ketua Pembangkang

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya gimik semata-mata terutama selepas perjanjian dimeterai antara kerajaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

    “Usul yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu mewujudkan pelbagai persoalan.

    “Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

    “Kami sedar bahawa usul ini adalah gimik semata-mata apatah lagi dilakukan selepas satu perjanjian kerjasama ditandatangani semua pemimpin untuk menyokong Pakatan Harapan (PH),” katanya.

    Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian ketika berbahas pada usul percaya Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

    Hamzah seterusnya menyifatkannya sebagai satu perjanjian yang menyekat dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

    Katanya, kesan kumulatif peruntukan daripada perjanjian terbabit menyebabkan semua Ahli Parlimen daripada PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) mengundi hanya dengan cara yang dikehendaki Anwar.

    Jelasnya, keadaan itu bercanggah dengan prinsip asas berparlimen yang dijamin Perlembagaan dan undang-undang Malaysia.

    “Ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar awam, tidak sah serta tidak dibenarkan undang-undang.

    “Adakah ini demokrasi yang dilaungkan Yang Amat Berhormat Tambun. Yang Amat Berhormat Tambun tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sanggup melanggar prinsip perjuangan sendiri,” soalnya.

  • Bekalan telur habis sejak 4 hari lalu di Terengganu

    Bekalan telur habis sejak 4 hari lalu di Terengganu

    BEKALAN telur ayam di Terengganu kembali kritikal selepas kali terakhir beberapa pemborong hanya memperoleh sumber protein itu pada Khamis lalu.

    Tinjauan di tiga syarikat pemborong di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu mendapati premis kosong menyebabkan pengguna terpaksa pulang kehampaan.

    Pengurus sebuah syarikat pemborong telur di Cabang Tiga di Kuala Terenggnu, Nursyzanil Adha Ramli berkata, kali terakhir bekalan telur ayam diperolehnya sebanyak 3,000 papan mengandungi 90,000 biji pada empat hari lalu.

    “Syarikat pembekal mendakwa permintaan bekalan telur ayam tidak mencukupi untuk diedarkan kepada pemborong.

    “Syarikat pembekal berjanji untuk menghantar bekalan sumber protein itu pada Rabu atau Khamis depan.

    “Syarikat pembekal juga tidak boleh memberi jaminan jumlah keseluruhan sumber protein yang akan dihantar kepada kami,” katanya BH Online.

    Tinjauan di dua lagi syarikat pemborong mendapati semua jenis sumber protein termasuk omega dan telur ayam biasa kehabisan sejak Rabu lalu.

    Pengurus Syarikat Bigpoly Supplies, Fuan Chai Feng ketika dihubungi mengesahkan kali terakhir menerima bekalan sumber protein sebanyak 4,000 papan mengandungi 120,000 biji pada Selasa lalu.

    Katanya, bekalan itu terus dihantar ke tiga premis cawangannya di Kuala Terengganu termasuk di Cabang Tiga dan di Gong Badak, untuk dijual secara runcit kepada pelanggan.

    “Kita belum menerima maklumat penghantaran bekalan terbaru daripada syarikat pembekal,” katanya yang turut mengesahkan telur ayam jenis omega juga turut kehabisan di semua premisnya termasuk di Kota Baharu, Kelantan.

    Sementara itu, tinjauan juga mendapati lebih 35 pengguna terutama suri rumah datang ke syarikat pemborong untuk mendapatkan bekalan telur ayam, tetapi hampa apabila sumber protein itu kehabisan.

    Seorang pengguna, Halijah Awang, 48, dari Wakaf Mempelam, di Kuala Terenggnu, mendakwa kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak Isnin lalu.

    Katanya, bekalan telur ayam bukan saja sukar diperoleh di pasar raya dan kedai runcit, malah di syarikat pemborong.

    “Kita terpaksa menjelajah ke tiga syarikat pemborong hari ini (semalam) untuk mendapatkan bekalan telur, tetapi hampa kerana sumber protein itu kehabisan.

    “Keadaan ini menyebabkan kami sudah tidak tahu di mana mahu mencari bekalan telur,” katanya.

  • Mangsa banjir enggan berpindah, naik ke bukit selamatkan diri

    Mangsa banjir enggan berpindah, naik ke bukit selamatkan diri

    TERDAPAT mangsa di kawasan Sungai Durian, di Kuala Krai menolak untuk ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya memilih ke kawasan bukit bagi menyelamatkan diri daripada banjir.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, usaha memujuk dilakukan oleh pasukan penyelamat yang masuk menggunakan bot sejauh dua kilometer ke rumah penduduk.

    “Apabila pasukan penyelamat sampai di depan rumah, mereka tidak mahu berpindah.

    “Polis meneruskan usaha memujuk dan sentiasa memantau kawasan banjir bagi memastikan mereka selamat,” katanya ditemui ketika mengetuai operasi menyelamat di Kampung Petaling, Sungai Durian, Kuala Krai.

    Menurut Suzaimi, ada juga mangsa yang sanggup berada lama dalam air separas 0.8 meter kerana tidak mahu meninggalkan barangan berharga di rumah mereka.

    “Kami tidak menggalakkan mangsa berbuat demikian dan menasihati supaya patuh pada arahan berpindah kerana air naik dengan cepat.

    “Angka mangsa banjir ini juga dijangka meningkat jika hujan masih berterusan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, seramai 198 anggota keselamatan terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) melakukan operasi menyelamat di daerah itu.

    “Pertambahan anggota akan dilakukan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.

    “Kami meminta penduduk peka dengan keadaan semasa termasuk di Sungai Durian yang sudah melimpah ke jalan utama di daerah ini,” katanya.

    Setakat pukul 12 tengah hari tadi, Kuala Krai mencatat rekod seramai 2,155 mangsa dipindahkan ke 18 PPS di daerah itu.

    Antaranya Kampung Petaling, Kampung Sedek, Kampung Chenulang, Kampung Guchi dan Kampung Kenor.

    24)

  • Kekurangan aset sukarkan pasukan penyelamat ke lokasi banjir

    Kekurangan aset sukarkan pasukan penyelamat ke lokasi banjir

    POLIS Kontinjen Terengganu mengakui pihaknya kekurangan aset yang boleh digunakan bagi membantu mangsa banjir terutama pengangkutan bagi kerja memindah dan menyelamat penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, keadaan banjir yang semakin buruk di Terengganu sekarang, menyebabkan pihaknya perlu melakukan kerja menyelamat dengan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

    “Buat masa ini, selain menggunakan aset sendiri dari Terengganu, pihak kami turut memohon bantuan aset daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persatuan (PSP).

    “Bagaimanapun, ia masih tidak mencukupi lagi, malah kita dimaklumkan pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu akan memohon daripada Putrajaya bantuan segera dari segi aset jentera berat.

    “Polis juga menggerakkan semua 2,992 pegawai dan anggotanya membantu operasi sepanjang banjir yang bertambah buruk sekarang berbanding musim tengkujuh yang berlaku sebelum ini,” katanya lapor BH Online.

    Rohaimi berkata, beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) termasuk Kemaman, Besut dan Setiu juga sudah meminta penambahan aset bagi menghadapi banjir kali ini.

    Mengulas kelewatan bekalan makanan tiba di PPS, beliau berkata, ini antara masalah yang timbul walaupun pihak berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat tugasan terbaik dengan agensi berkaitan.

    Beliau berkata, pihaknya juga menyiapkan makanan segera yang boleh dibawa ke mana saja, namun masalah akses menyebabkan ada yang tidak dapat menerima bantuan disediakan itu.

    “Contohnya di sini (Kampung Kua), tetapi akses ke dua PPS berdekatan tidak dapat dilakukan sebab kita tiada kenderaan berat termasuk bot berkuasa tinggi untuk meredah arus deras,” katanya.

  • Ramli Mohd Nor, Alice Lau dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    Ramli Mohd Nor, Alice Lau dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    DUA wakil blok kerajaan iaitu Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md. Nor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

    Keputusan dicapai melalui undi bersurat dalam kalangan ahli Parlimen.

    Keputusan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyaksikan Ramli memperoleh 148 undi, manakala Alice mendapat 146 undi.

    Sementara itu, seorang lagi calon iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili blok pembangkang memperolehi 74 undi.

    Usul undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama persidangan Dewan Rakyat

    Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Ramli daripada Barisan Nasional (BN) dan Alice daripada DAP sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mencadangkan jawatan berkenaan diisi oleh Mas Ermieyati, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) bagi mewakili blok pembangkang.

    Usul berkenaan disokong oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Pas).

    Pada persidangan sebelum ini, jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat disandang oleh Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Bagaimanapun pada 23 Ogos tahun lepas, Azalina melepaskan jawatan itu, tetapi masih menjalankan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara sepanjang tempoh persidangan berlangsung.

    Ini adalah Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu, lapor Astro Awani.

  • JPNK tutup operasi semua TER, HTN, HSK di bawah pengurusannya

    JPNK tutup operasi semua TER, HTN, HSK di bawah pengurusannya

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menutup operasi semua Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan kawasan pendakian dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di bawah pengurusannya untuk sebarang aktiviti buat sementara waktu.

    Pengarah Perhutanan Negeri, Muhamad Abdullah berkata, langkah itu bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadap mana-mana individu yang berkunjung mahu pun melaksanakan aktiviti di kawasan tersebut.

    Katanya penutupan itu akan dilaksanakan hingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

    “Aktiviti rekreasi dimaksudkan termasuklah pendakian gunung, sukan lasak berkenderaan dan lain-lain jenis riadah. Penutupan sementara ini bagi mengelak sebarang kemalangan disebabkan kejadian bencana atau kemalangan seperti pokok tumbang, tanah runtuh, lemas, fenomena kepala air dan sebagainya yang mungkin mengancam nyawa dan keselamatan orang awam.

    “TER dan HTN yang ditutup adalah di bawah pengurusan JPNK yang melibatkan TER Bukit Wang di Kubang Pasu; Puncak Janing di Padang Terap; Sungai Teroi di Yan; Lata Mengkuang di Sik; Ulu Paip di Kulim; Sungai Rambai di Pendang; Tupah Kuala Muda; Bukit Hijau dan Lata Bayu di Baling serta Taman Negeri Ulu Muda.

    “Selain itu terdapat 15 kawasan pendakian yang ditutup sementara bagi sebarang kegiatan pendakian iaitu Gunung Jerai, Gunung Kemerlong, Bukit Perak, Bukit Enggang, Bukit Saiong, Gunung Bintang, Bukit Besar Kulim, Bukit Batu Merah, Bukit Fakir Terbang, Bukit Air Terjun Lebai Husin, Bukit Kilim, Gunung Matchinchang, Bukit Selat Panchor, Gunung Raya (Tangga Helang Seribu) dan Bukit Batu Licin (Pulau Tuba),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, penutupan sementara itu tidak termasuk TER yang telah diswastakan kepada operator yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Kedah.

    “Sebanyak 10 TER di Negeri Kedah telah diswastakan antaranya Pasir Tengkorak, Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, Tasik Dayang Bunting dan Gua Cherita di Langkawi.

    “Selain itu Seri Perigi, Batu Hampar dan Titi Hayun di Yan; Perangin di Sik dan Sungai Sedim di Kulim,” katanya.

    Kalangan operator serta syarikat swasta yang menguruskan TER itu bagaimanapun dinasihatkan supaya memberhentikan operasi buat sementara waktu.

    “Tanggungjawab bagi menjaga keselamatan para pengunjung di TER yang telah diswastakan adalah tertakluk kepada pihak operator masing-masing.

    “JPNK tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang insiden kemalangan dan kecelakaan yang berlaku sepanjang musim tengkujuh ini. Pihak JPNK berharap agar semua para pengunjung mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh JPNK untuk keselamatan semua,” katanya.

  • 4 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan  

    4 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan  

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan bot nelayan asing Indonesia pukul 11 pagi semalam selepas didapati menceroboh perairan negara.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan asing Indonesia itu di kedudukan 26 batu nautika barat Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

    Ujar beliau, pemeriksaan ke atas bot nelayan asing Indonesia itu mendapati, bot terbabit berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara dan dikendalikan empat kru warga Indonesia berumur antara 35 hingga 50 tahun.
     
    “Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Menurut beliau, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
     
    Dalam pada itu Abd. Razak menegaskan, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • 22 kotak ginseng dikirim melalui pos dari China dirampas

    22 kotak ginseng dikirim melalui pos dari China dirampas

    JABATAN Pemeriksaan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas sebanyak 22 kotak ginseng yang dihantar melalui pos dari China dalam pemeriksaan di sebuah pejabat pos di Simpang Ampat, Nibong Tebal.

    Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, pemeriksaan pada Rabu lalu itu hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan ginseng seberat 28 kilogram (kg) itu milik warganegara tempatan yang dibeli secara online dari negara China.

    “Kesemua ginseng yang dianggarkan bernilai RM3,600 itu dibawa masuk bagi kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya, perbuatan mengimport ginseng tanpa permit import Maqis yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tambahnya, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tegas beliau, pihaknya akan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

  • Persatuan Pembina minta KPDN siasat punca kenaikan harga konkrit,simen

    Persatuan Pembina minta KPDN siasat punca kenaikan harga konkrit,simen

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta menyiasat punca kenaikan harga konktrit dan simen yang mendadak sejak November 2020.

    Persatuan Pembina Johor, Persatuan Pembina Melaka, Persatuan Kontraktor Perak dan Persatuan Pembina Pulau Pinang dalam satu kenyataan bersama berharap agar isu itu mendapat perhatian KPDN dan diselesaikan dengan segera.

    “Kami juga ingin memanjangkan rayuan kepada kementerian untuk membuat semakan, sama ada terdapat mana-mana pihak yang mungkin telah melanggar Akta Persaingan yang melarang perjanjian antipersaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran semasa pelaksanaan kenaikan harga ini,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, kenaikan sekali lagi harga konkrit dan simen sebanyak 15 peratus pada bulan lepas setelah ia meningkat sebanyak 15 peratus pada Mac, bakal menjejaskan seluruh industri pembinaan dan meletakkanya dalam keadaan tertekan.

    “Bagaimanapun, kami berharap semua pihak dalam industri pembinaan dapat meneruskan persekitaran perniagaan yang sememangnya sukar ketika ini dengan cara yang lebih mampan,” katanya.

  • Rus’sele Eizan angkat sumpah Speaker DUN Perlis baharu

    Rus’sele Eizan angkat sumpah Speaker DUN Perlis baharu

    TIMBALAN Pesuruhjaya Pas Perlis Rus’sele Eizan mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang baharu berkuat kuasa hari ini pada Persidangan Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15.

    Usul melantik Rus’sele dikemukakan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan disokong oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Belia dan Sukan, Pembangunan Sumber Manusia, Penerangan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Muhammad Azmir Azizan.

    Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis turut mengangkat sumpah pada persidangan hari ini iaitu ADUN Titi Tinggi Izizam Ibrahim (Bersatu), Haziq Asyraf Dun (Pas-Beseri), Saad Seman (Pas-Chuping), Wan Badariah Wan Saad (Pas-Mata Ayer), Muhammad Azmir Azizan (Pas-Santan), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong).

    Datin Marzita Mansor (Bersatu-Sena), Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan), Abu Bakar Hamzah (Bersatu-Kuala Perlis), Asrul Aimran Abd Jalil (PAS-Kayang), Megat Hashirat Hassan (Bersatu-Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak(Bersatu-Tambung Tulang), Mohd Ridzuan Hashim (Pas-Guar Sanji), Razali Saad (Pas-Simpang Empat) dan Mohd Shukri Ramli (Pas-Simpang Empat).

    Rus’sele, 65, berkata beliau berharap semua ADUN dapat memberikan pandangan bernas dan hujah yang berintergeriti sepanjang persidangan DUN selama empat hari bermula hari ini.

    “Saya akan menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin atas kepercayaan yang telah diberikan bagi mengendali persidangan dewan.

    “Diharapkan semua exco, ADUN dan ketua jabatan dapat bersama membangunkan negeri ini tanpa sebarang perbezaan pendapat demi merealisasikan harapan rakyat khususnya,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 kerusi DUN dan satu sahaja kerusi Indera Kayangan dimenangi oleh PKR.