Category: Semasa

  • Diuji banjir selepas rumah terbakar minggu lalu

    Diuji banjir selepas rumah terbakar minggu lalu

    SEORANG pemuda yang melecur di seluruh badan akibat rumah terbakar minggu lalu, terpaksa membalut tubuhnya menggunakan plastik sebelum dibawa menaiki lori bomba ke kediamannya di Taman Wahyu, di Rantau Panjang, semalam.

    Azlan Zainudin, 36, tidak dapat mengharungi air susulan laluan ke penempatannya dinaiki banjir lebih satu meter sebelum dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kembali ke rumah.

    Menurutnya yang sudah lima hari dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, tidak menyangka air naik terlalu cepat menyebabkan dia dan isteri, Rosnida Fauzi, 37, terkandas.

    “Pihak hospital sudah membalut bahagian yang melecur dengan sebaiknya, tetapi saya mengambil inisiatif untuk menambahkan balutan lagi menggunakan plastik hitam bersaiz besar kerana risau terkena air.

    “Tambahan pula, saya tidak boleh berjalan sendiri dan perlu diangkat. Nasib baik, ada anggota penyelamat yang turut membantu mengangkat dan memastikan saya selamat sampai ke rumah.

    “Saya terpaksa menahan kesakitan sepanjang jalan tetapi bersyukur semuanya selamat,” katanya ketika ditemui semasa diselamatkan anggota bomba di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Rantau Panjang, semalam.

    Azlan turut berkongsi kesedihan apabila kediamannya di Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang, musnah 100 peratus dalam kebakaran pada Rabu lalu.

    “Ujian bertubi-tubi menimpa saya, namun saya reda mungkin ada hikmah di sebalik yang berlaku selain berharap dapat segera sembuh dan kembali bekerja seperti biasa.

    “Doktor ada memberitahu bahawa untuk sembuh perlu mengambil masa beberapa bulan kerana badan saya melecur hampir 70 peratus.

    “Saya berharap banjir segera reda kerana perlu berulang alik ke hospital dua kali seminggu untuk proses cuci luka dan rawatan susulan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • 62 jalan di Terengganu ditutup kepada semua lalu lintas

    62 jalan di Terengganu ditutup kepada semua lalu lintas

    SEBANYAK 62 laluan di seluruh Terengganu ditutup kepada semua lalu lintas selepas ditenggelami air, berikutan hujan berterusan sejak Ahad lalu.

    Jalan di daerah Besut mencatatkan penutupan tertinggi menyebabkan daerah itu terputus hubungan antara Kelantan dan Kuala Terengganu, lapor BH Online.

    Sebanyak 24 jalan utama, termasuk Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, bermula di Kampung Padang Luas hingga ke Bukit Yong, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Tok Dor dan Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Renek ditutup kepada semua lalu lintas selepas ditenggelami air sedalam antara 0.30 meter (m) dan 0.80m pada jarak sejauh antara 300m dan 8,000m.

    Penutupan jalan kepada semua lalu lintas di daerah Besut, termasuk melalui jalan pantai menyebabkan daerah itu terputus hubungan antara Kelantan dan Kuala Terengganu.

    Sehingga pukul 8 pagi ini, JKR turut memaklumkan 11 jalan di daerah Hulu Terengganu ditutup kepada semua lalu lintas selepas ditenggelami air sedalam antara 0.35m dan 700m.

    Hanya tiga laluan iaitu Jalan Sungai Tong/Permaisuri di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong, Jalan Pengkalan Merbau/Pelong di Kampung Seri Kenangan dan Jalan Pengkalan Merbau di Kampung Padang ditutup kepada semua lalu lintas selepas dinaiki air sedalam antara 0.90m dan 1.25m.

    Sebanyak 16 jalan di daerah Dungun turut ditutup kepada semua lalu lintas selepas masing-masing ditenggelami air sedalam antara 0.80m dan 1.0m.

    Hanya dua laluan iaitu Jalan Penghubung Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) di Bukit Payong dan Jalan Kuala Terengganu/Bukit Besi di simpang ke LPT2, ditutup kepada semua lalu lintas selepas ditenggelami air sedalam antara 0.35m dan 0.80m.

  • Banjir: Rantau Panjang terkepung, hanya boleh guna bot

    Banjir: Rantau Panjang terkepung, hanya boleh guna bot

    PARAS air terus meningkat menyebabkan hanya kenderaan seperti perahu dan bot boleh melalui laluan utama ke Rantau Panjang, sejak awal pagi tadi.

    Tinjauan BH Online mendapati, lori atau trak agensi keselamatan juga sudah tidak dapat digunakan dan pihak terbabit sedang berusaha sebaik mungkin untuk mencari inisiatif lain bagi melancarkan urusan misi menyelamat hari ini.

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Anwar Abu Bakar, berkata pihaknya bersedia menggunakan semua bot yang ada untuk mengharungi jalan yang ditenggelami air.

    Beliau berkata, JBPM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bergabung tenaga dalam operasi banjir kali ini.

    “Kita akan berusaha membantu mangsa banjir, bagaimanapun semua pihak diharap bersabar dan mengambil langkah terbaik untuk memastikan keselamatan diri terjaga.

    “Penduduk yang mempunyai bot atau sampan juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak keluar jika tiada sebarang urusan memandangkan ada beberapa kawasan dengan arus yang agak deras.

    “Untuk hari ini kita memfokuskan misi menyelamat, terutama di kawasan kritikal termasuk mengutamakan kes kecemasan,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang hari ini.

    Balai itu juga digenangi air sejak semalam, namun ia tidak mematahkan semangat anggota bomba bertugas demi tanggungjawab kepada masyarakat.

    Anwar berkata, anggota penyelamat daripada semua agensi keselamatan bertungkus-lumus membantu mangsa banjir tanpa mengira waktu.

    “Setakat ini semua anggota bertugas dan cuti dibekukan, selain bersiap sedia selama 24 jam supaya dapat peka dengan sebarang masalah yang melanda,” katanya.

  • Enam jam berpaut pada pokok, 3 bekas askar terkandas banjir

    Enam jam berpaut pada pokok, 3 bekas askar terkandas banjir

    TIGA bekas askar terpaksa berpaut pada dua batang pokok leban selama hampir enam jam susulan paras air banjir naik mendadak di Kampung Bukit Tokbat, Hulu Terengganu semalam.

    Menurut mangsa, Abd Latif Jamaludin, 54, sebelum kejadian itu, mereka sedang bertani di lokasi yang menjadi tapak projek Tanaman Sayur Koperasi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Hulu Terengganu.

    Dua mangsa lain yang turut bersama Latif ialah Wan Azmi Wan Ibrahim, 50, dan Rusli Muhammad, 42.

    “Kami tiba pada 8 pagi (kelmarin) sebelum hujan lebat dan paras air naik mendadak tidak sampai dua jam kemudian.

    “Kawasan pertanian kami tiba-tiba berubah menjadi seolah-olah lautan dengan banjir setinggi 1m,” kata Latif, menurut laporan Free Malaysia Today (FMT).

    Latif berkata, mereka bertiga yang terperangkap pada mulanya berlindung di sebuah pondok yang terdapat di situ.

    Harapan mereka agar banjir surut tidak kesampaian apabila air naik sehingga 2m menjelang lewat petang.

    “Kami terpaksa memanjat dua batang pokok leban untuk selamatkan diri pada tengah malam sehingga subuh (semalam).

    “Sepanjang terperangkap kami hanya alas perut dengan biskut dan mi segera,” katanya.

    Mereka akhirnya dapat meminta bantuan seorang rakan, Mohd. Fauzi Sufian, 51, menggunakan telefon bimbit Wan Azmi yang masih berfungsi.

    “Kami diselamatkan Mohd. Fauzi yang berjaya memasuki kawasan bencana dengan menaiki sebuah bot gentian kaca pukul 10 pagi (semalam).

    “Sebaik tiba di jalan besar yang terletak kira-kira lima kilometer, kami mengharung pula banjir sedalam kira-kira 1m,” katanya.

    Setakat pagi ini, situasi banjir di Terengganu tidak menunjukkan petanda lebih baik. Angka mangsa banjir terus melonjak kepada 37,792 orang melibatkan 10,401 keluarga, berbanding 26,494 orang daripada 7,369 keluarga malam tadi.

  • 63,415 mangsa banjir di lima negeri, jumlah terus meningkat

    63,415 mangsa banjir di lima negeri, jumlah terus meningkat

    JUMLAH keseluruhan mangsa banjir di 21 daerah melibatkan lima negeri terus meningkat hingga kini mencecah 63,415 orang terdiri daripada 17,377 keluarga, setakat pukul 6 pagi tadi

    Negeri yang terjejas melibatkan Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu seramai 37,021 orang melibatkan 10,211 keluarga.

    Sementara di Kelantan merekodkan 25,353 mangsa melibatkan 6,897 keluarga, manakala di Pahang, 934 mangsa daripada 235 keluarga.

    Di Johor pula seramai 53 mangsa daripada 17 keluarga yang terjejas dengan banjir, dan Perak mencatatkan 17 mangsa melibatkan 17 keluarga.

  • PM Anwar dijangka bentang Bajet Mini 2023 di Parlimen hari ini

    PM Anwar dijangka bentang Bajet Mini 2023 di Parlimen hari ini

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650 di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2023.

    Akta berkenaan akan membenarkan perbelanjaaan dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi sebahagian tahun 2023 antaranya termasuk bagi tujuan pembayaran emolumen penjawat awam.

    Ia susulan Rang Undang-Undang Perbekalan bagi tahun 2023 (Bajet 2023) tidak akan diluluskan Parlimen sebelum 1 Jan 2023, maka peruntukan perlu dikeluarkan untuk perbelanjaan dalam tahun 2023 bagi tempoh dari 1 Jan sehingga tarikh Rang Undang-Undang Perbekalan bagi 2023 menjadi undang-undang dan mula berkuat kuasa.

    Sebelum ini Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Okt lepas.

    Dalam pada itu, Anwar akan turut mencadangkan sejumlah RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi 2023 untuk perbelanjaan segera, sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan.

    Perdana Menteri turut mencadangkan sejumlah RM31,834 juta baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) serta RM3,211 juta daripada Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) bagi tahun 2022 dipindahkan ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan.

    Beliau turut dijadual mencadangkan sejumlah RM16,200 juta baki wang MGII bagi 2022 dipindahkan ke Kumpulan Wang COVID-19 di bawah seksyen 3(1) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Seksyen 4(2) Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020.

  • Anwar peroleh sokongan majoriti jadi PM-10

    Anwar peroleh sokongan majoriti jadi PM-10

    AHLI Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini.

    Usul undi percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan kemudian dibahaskan oleh 12 Ahli Parlimen.

    Tujuannya bagi membuktikan Anwar daripada Pakatan Harapan (PH) yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu mendapat sokongan ahli Parlimen memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

    Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sekarang ialah 148 orang.

    Itu merangkumi daripada PH 82, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6, Parti Warisan (Warisan) 3, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) 2, Parti Bangsa Malaysia (PBM) 1 dan Bebas 1 kerusi.

    Selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik PN yang merupakan blok pembangkang, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang juga ketua pembangkang membuka tirai perbahasan usul berkenaan.

    Ahli Parlimen lain yang turut berbahas adalah Lim Guan Eng (PH-Bagan), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Datu Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran), Datuk Seri Johari Ghani (BN-Titiwangsa) dan Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

    Begitu juga Rafizi Ramli (PH-Pandan), Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), Datuk Seri Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

  • Tanah runtuh: Lebih 80 peratus kawasan runtuhan digali, diperiksa-Bomba

    Tanah runtuh: Lebih 80 peratus kawasan runtuhan digali, diperiksa-Bomba

    LEBIH 80 peratus kawasan runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Hulu Selangor telah diperiksa anggota penyelamat setakat ini bagi mencari baki sembilan lagi mangsa yang masih hilang.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata faktor tanah yang lembut dan cuaca hujan yang menyumbang kepada takungan air di bawah tanah menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat.

    Beliau berkata walaupun tinggal kira-kira hanya 20 peratus kawasan pencarian, keselamatan anggota penyelamat juga perlu diambil kira.

    “Tanah di sini sememangnya lembut dan apabila ditambah dengan air hujan, ia menyebabkan struktur tanih menjadi lembap dan lemah, susah nak bergerak dalam keadaan macam ini,” katanya kepada Bernama.

    Setakat ini, seramai 135 anggota penyelamat ditempatkan di lapangan dengan kerjasama pelbagai agensi untuk operasi SAR.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.

    Norazam berkata operasi SAR telah dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A (Hill View), sektor B (Farm View) dan sektor C (River View) melibatkan kerjasama lima agensi utama kerajaan yang berganding bahu menghadapi bencana itu selain terdapat juga beberapa agensi sokongan lain.

    “Sejak hari pertama SAR lagi, kita telah menggunakan jentera pengorek yang amat memudahkan kerja kami kerana ia mampu digunakan berterusan serta dapat mengurangkan tenaga manusia untuk kerja mengorek tanah.

    “Jika diikutkan, anggota penyelamat sememangnya telah melakukan pengesanan dan pencarian mangsa mengikut kawasan runtuhan iaitu dari atas runtuhan sehinggalah ke kawasan bawah,” katanya. – Bernama

  • PN nafi guna duit judi, sedia jadi pembangkang dan ambil alih kerajaan – Hamzah

    PN nafi guna duit judi, sedia jadi pembangkang dan ambil alih kerajaan – Hamzah

    PERIKATAN Nasional (PN) secara tegas menafikan tuduhan bahawa gabungan itu menerima dana politik daripada hasil perjudian ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mengeluarkan tuduhan dan persepsi buruk terhadap kerajaan sebelum ini.

    Jelas Ahli Parlimen Larut itu, jika benar berlaku pelanggaran, siasatan perlu dijalankan terhadap mana-mana pihak.

    “Yang Berhormat Tambun, anda sekarang adalah Perdana Menteri bukan lagi Ketua Pembangkang. Saya ialah Ketua Pembangkang sekarang.

    “Jangan buat tuduhan semberono, ‘no more fake news’ daripada anda. Ini harapan daripada rakyat, semua rakyat sedar PN mempunyai sokongan yang agak besar, 74 ahli parlimen yang diberikan kepercayaan dan sokongan.

    “Jangan pula sokongan yang ikhlas dan jujur ini ditohmah sebagai sokongan yang dibeli dengan wang perjudian.

    “Kenyataan seperti ini adalah berniat jahat apabila cuba memberikan gambaran dana politik PN adalah hasil sumbangan judi,” katanya ketika membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkuasa penuh terhadap lesen perjudian dan Anwar sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada beliau.

    “Jangan timbulkan persepi yang bukan-bukan terhadap kami.

    “Kami bersedia menjadi pembangkang yang berwibawa dan bersedia mengambil alih kerajaan apabila tiba masanya nanti,” ujarnya lapor Astro Awani.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media sebelum ini mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

  •  Hamzah cabar Anwar saman media Eropah gelarnya homoseksual

     Hamzah cabar Anwar saman media Eropah gelarnya homoseksual

    DEWAN Rakyat bersidang buat pertama kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ahli Parlimen hari ini memilih speaker Dewan Rakyat yang baru, serta dijangka mengundi usul percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

    Malaysiakini melaporkan apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini secara langsung.

    Lagi insiden jerit menjerit, speaker beri amaran

    3.40 petang: Sany Hamzah sekali lagi mengecam ahli parlimen pembangkang dengan menggelarkan Awang Solahudin (PN-Pendang) sebagai beruk.

    Dia mendakwa ahli parlimen Pendang itu telah menghinanya terlebih dahulu.

    Hal itu menimbulkan kemarahan speaker, Johari Abdul yang memberi amaran kepada Sany dan ahli-ahli parlimen lain bahawa dia tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku sedemikian dan akan mengambil tindakan jika mereka mengulangi perkara sama.

    Ketua pembangkang cabar Anwar saman media eropah gelarnya homoseks

    3.25 petang: Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman media Eropah, yang telah menerbitkan artikel mengenai pelantikannya sebagai perdana menteri dengan menggelarnya sebagai’ ‘homoseksual sepenuhnya’ (full-blown homosexual).

    Hamzah berkata, itu jelas adalah satu penghinaan kepada Anwar, dan dia mesti mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

    Beliau berkata, Anwar sebelum ini telah disabitkan ‘mengenai perkara itu’, merujuk kepada sabitan kesalahan liwat sebelum ini, tetapi mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Dewan kembali tenang, ketua pembangkang mula bahas

    3.18pm: Shahidan Kassim (PN-Arau) kedengaran berkata ‘bodoh’, sehingga menimbulkan kemarahan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat).

    “Siapa yang bodoh,” soal Sany berulang kali.

    Johari cuba mengawal keadaan Dewan dan mengarahkan Howard Lee (PH-Ipoh Timur) supaya duduk dan tidak membuat kacau.

    Keadaan kecoh itu bagaimanapun kembali tenang dan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin dijemput sebagai ahli parlimen pertama yang membahaskan usul percaya terhadap Anwar.

    MP saling bertekak

    3.15 petang: Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) membangkitkan peraturan mesyuarat dengan mengatakan nama Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya digunakan untuk mewajarkan usul percaya itu.

    Keadaan itu menimbulkan kekecohan apabila Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengatakan Anwar tidak seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan perdana menteri itu cukup berani untuk berdepan undi percaya.

    TPM bentangkan usul percaya terhadap Anwar

    3.10 petang: Anwar membentangkan rang undang-undang mengenai Kumpulan Wang Disatukan untuk bacaan kali pertama. Bagaimanapun, butiran rang undang-undang itu belum diberikan kepada media.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof kini membentangkan usul percaya terhadap Anwar.

    Anwar ucap takziah pada mangsa kejadian tanah runtuh

    3.05 petang: Anwar mengucapkan takziah kerajaan kepada mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, dan banjir di Terengganu.

    Dia memberikan perkembangan terkini Dewan Rakyat mengenai status semasa mangsa, dan berterima kasih terhadap anggota pasukan penyelamat atas usaha keras mereka.

    Anwar juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong kerana kesudian kedua-dua baginda melawat lokasi kejadian baru-baru ini.

    Tanah runtuh di Batang Kali pada Jumaat lalu mengorbankan 24 orang, dengan sembilan yang lain masih belum ditemui.

    MP PH, BN dipilih sebagai timbalan speaker

    2.15 petang: Ramli Md Nor (BN-Cameron Highlands) dan Alice Lau (PH-Lanang) dipilih sebagai timbalan speaker.

    Ramli mendapat 148 undi iaitu majoriti dua pertiga, manakala Lau mendapat 146 undi.

    Tidak jelas siapa dua ahli parlimen kerajaan yang tidak mengundi Lau.

    Sementara itu calon pembangkang, Mas Ermieyati pula mendapat 74 undi.

    Selepas keputusan diumumkan, Shahidan Kassim (PN-Arau) secara berseloroh mengucapkan tahniah kepada UMNO dan DAP.

    Dia kemudiannya menyanyikan lagu ‘penyamun’ yang telah diubah suai senikatanya oleh penyokong PH daripada lagu tema PH, Aduh Malaysia selepas PRU15.

    PN calonkan Mas Ermieyati sebagai timbalan speaker

    2.35 petang: PN mencalonkan Mas Ermieyati Samsuddin (PN-Masjid Tanah) sebagai timbalan speaker.

    Pemilihan melalui undi akan diadakan memandangkan terdapat tiga calon untuk dua kerusi timbalan.

    Ahli parlimen perlu mengundi sama ada satu atau dua calon yang dicalonkan dan ahli parlimen yang dicalonkan dibenarkan mengundi untuk diri mereka sendiri, kata Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

    Dewan Rakyat kembali bersidang

    2.30 petang: Aturan urusan mesyuarat selepas makan tengah hari ialah pemilihan timbalan speaker.

    Ahli Parlimen Cameron Highland dari BN, Ramli Md. Nor dan Ahli Parlimen Lanang dari PH, Alice Lau dijangka menjadi calon kerajaan.

    Tidak jelas sama ada PN mempunyai calon timbalan speaker.

    Terdapat dua aturan urusan mesyuarat selepas itu sebelum usul percaya terhadap Anwar Ibrahim dibentangkan.

    Semua MP selesai angkat sumpah

    1.10 tengah hari – Semua 222 anggota parlimen telah selesai mengangkat sumpah.

    Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan untuk rehat dan makan tengah hari.

    Ia dijadual bersambung semula pada pukul 2.30 petang ini.

    20 MP masih belum angkat sumpah

    12.55 tengah hari: Dewan Rakyat meluluskan usul untuk melanjutkan sesi sebelah pagi selepas 1 tengah hari – iaitu waktu Dewan Rakyat dijadualkan berhenti rehat.

    Ini supaya upacara angkat sumpah bagi semua ahli parlimen dapat diselesaikan sebelum waktu rehat.

    Sehingga berita ini ditulis, kira-kira 20 ahli parlimen pembangkang masih belum mengangkat sumpah.

    ‘Timbalan menteri tiba lewat kerana tidak sihat’

    12.40 tengah hari: Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof menjelaskan Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib lewat tiba ke parlimen kerana tidak sihat.

    FMT memetik Fadillah sebagai berkata ini menyebabkan ahli parlimen GPS itu lewat dalam perjalannya ke parlimen dan tidak tiba tepat pada masanya untuk mengundi speaker baru.

    Dewan Rakyat bahas undi percaya terhadap Anwar

    12.30 tengah hari: Perbahasan usul percaya terhadap Anwar Ibrahim akan diadakan sebelum ahli parlimen melakukan undian.

    Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (Harapan-Pandan) menerusi Twitter berkata dia antara yang akan terlibat dalam perbahasan tersebut kira-kira pukul 3.30 petang ini.

    Usul itu dijangka dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) pada sesi sebelah petang.

    MP pembangkang mula angkat sumpah

    12.20 tengah hari: Ahli parlimen pembangkang mula mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

    Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut) mendahului mereka diikuti Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), dan Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

    Kumpulan bantah sekatan video Tik Tok

    12.07 tengah hari: Sekumpulan sembilan ahli Kami Anak Muda Indipenden (KAMI) tiba di parlimen.

    Mereka dilihat memakai baju-T hitam yang tertera logo kumpulan mereka.

    Kumpulan itu cuba menyerahkan memorandum kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membantah sekatan terhadap Video Tiktok yang melanggar garis panduan kerajaan baru-baru ini.

    Memorandum mereka diterima oleh kakitangan kementerian Komunikasi dan Digital, Ahmad Firdaus Mohd.

    KAMI merupakan sebuah kumpulan pro-PN.

    Penyokong kerajaan angkat sumpah

    11.40 pagi: Ahli Parlimen blok D Dewan Rakyat kini mengangkat sumpah, dengan Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) menjadi yang pertama, diikuti bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).

    Blok D terdiri daripada 61 ahli parlimen, yang kesemuanya adalah penyokong kerajaan.

    Selepas mereka, giliran ahli parlimen pembangkang pula mengangkat sumpah.

    NGO pro-Najib mahu siasatan terhadap Nazlan dinyahklasifikasi

    11:16 pagi: Gabungan NGO yang dikenali sebagai ‘Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Datuk Sri Najib’ memohon semakan dan nyahklasifikasi laporan siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

    Ketika membaca memorandum mereka di luar pintu Parlimen, jurucakap NGO itu Lokman Noor Adam mendakwa Nazlan mempunyai ‘konflik kepentingan’ ketika mengadili perbicaraan kes SRC International membabitkan Najib. Dia mendakwa sabitan bersalah terhadap Najib adalah ‘dirancang’.

    Lokman menambah siasatan SPRM mendapati Nazlan boleh didakwa di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan, berkaitan hakim yang ‘melakukan rasuah atau berniat jahat menyebabkan mana-mana orang dibicarakan atau dikurung”.

    Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

    Beberapa wakil memasuki kawasan parlimen untuk menyerahkan memorandum mereka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

    Semua menteri, timbalan selesai angkat sumpah

    11.15 pagi: Semua menteri dan timbalan menteri yang merupakan ahli parlimen selesai mengangkat sumpah.

    Ini diikuti oleh Zahir Hassan (PH- Wangsa Maju) yang menjadi ahli ‘backbencher’ (penyokong) kerajaan pertama mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen.

    Penyokong tuntut keadilan untuk ‘Bossku’

    11:05 pagi: Sekumpulan ahli NGO tiba di luar pagar parlimen untuk menuntut keadilan kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang dipenjarakan.

    Lebih 100 penyokong berkumpul namun hanya 10 orang daripada mereka dibenarkan berada berdekatan pintu pagar parlimen, kata bekas ahli majlis tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam.

    Para penyokong kelihatan memegang sepanduk bertulis ‘bebaskan Najib’ dan ‘Keadilan untuk Bossku’.

    Mereka memohon untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

    Timbalan menteri terlepas peluang undi Speaker

    11.05 pagi: Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib kini berada di parlimen dan telah mengangkat sumpah.

    Dia dipercayai tiba lewat di parlimen dan terlepas peluang untuk mengundi Speaker Dewan Rakyat yang baru.

    Seorang MP kerajaan didapati tidak hadir

    10.45 pagi: Jumlah ahli parlimen yang mengundi semasa pemilihan speaker ialah seramai 221 orang, kurang satu daripada jumlah keseluruhan 222 ahli parlimen.

    Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib (GPS-Mukah) merupakan ahli parlimen yang tidak hadir pada sidang hari ini.

    Tidak jelas mengapa dia tidak berada di Dewan Rakyat.

    Sekiranya Hanifah hadir, seramai 148 ahli parlimen berpihak kepada kerajaan, dengan Johari dijangka memperoleh majoriti dua pertiga undi sebagai speaker.

    Ahli parlimen angkat sumpah

    10.40 pagi: Ahli Parlimen angkat sumpah.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) adalah yang pertama mengangkat sumpah, diikuti oleh dua timbalan perdana menteri.

    Johari gesa Ahli Parlimen utamakan kepentingan negara

    10.35 pagi: Johari Abdul berikrar menggunakan pengalamannya sebagai bekas diplomat, ahli perniagaan dan ahli parlimen untuk menjalankan tugas sebagai speaker DewanRakyat yang baru. Dia juga berikrar akan menjalankan tugasnya dengan adil.

    Johari turut menyeru ahli parlimen supaya mengutamakan kepentingan negara, dan bukannya menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan perang politik.

    Dia juga berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pembentukan kerajaan baru dan berterima kasih kepada pengundi kerana menjalankan tanggungjawab mereka pada pilihan raya umum ke-15.

    Speaker kemudian meminta Dewan Rakyat bertafakur kepada mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.

    Johari Abdul dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat

    10.25 pagi: Johari Abdul dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat dengan 147 undi, kurang satu undi daripada majoriti dua pertiga.

    Calon pembangkang iaitu Ahli Parlimen Kangar, Mohd Radzi Sheikh Ahmad mendapat 74 undi.

    Selepas Johari memakai jubah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Shahidan Kassim (PN-Arau) didengar menyindir “tahniah Umno.”

    Sekumpulan individu berhimpun depan parlimen

    10.15 pagi: Sekumpulan kira-kira 20 orang dilihat berkumpul beberapa ratus meter di jalan menuju ke parlimen, dengan menaikkan beberapa kain rentang bagi menuntut kerajaan menangani isu kos sara hidup.

    Kumpulan yang dikenali sebagai Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR) itu dilihat membawa sepanduk menggesa kerajaan meluluskan pengeluaran one-off daripada KWSP.

    Menurut kenyataan PGIR, antara yang patut diberikan kebenaran mengeluarkan KWSP ialah suri rumah dan ibu tunggal yang tiada pendapatan stabil, bekas pekerja swasta yang diberhentikan atau berhenti serta sukar mendapatkan pekerjaan tetap.

    Anggota polis berpakaian seragam juga dilihat berada di siti ketika kumpulan itu menunggu kenderaan rasmi milik ahli parlimen memasuki parlimen.

    Memorandum kumpulan itu diterima bekas ahli parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

    10.15 pagi: Seperti amalan biasa bagi sesi pertama persidangan parlimen selepas pilihan raya umum, Yang di-Pertuan Agong tidak menghadiri persidangan hari ini.

    Sebaliknya, titah baginda supaya parlimen bersidang dibacakan oleh setiausaha Dewan Rakyat.

    Proses pengundian lantik speaker bermula

    10.07 pagi: Pengundian bagi memilih Speaker Dewan Rakyat sedang berlangsung.

    Kerajaan mencalonkan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan pembangkang mencalonkan Ahli Parlimen Kangar Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

    Parlimen mula bersidang

    10 pagi: Loceng dibunyikan menandakan sesi persidangan parlimen bermula.

    Beratur panjang

    9.25 pagi: Individu bukan ahli parlimen mengambil masa kira-kira 30 minit untuk beratur memasuki bangunan parlimen, jauh lebih lama daripada sebelumnya.

    Petugas media berada di bilik tanpa tingkap – dikenali sebagai ‘penjara bawah tanah’ – di mana mereka boleh mengikuti sesi perbhasan melalui televisyen.

    Ahli Parlimen kadang kala mengadakan sidang media di bilik media berkenaan.

    Sidang dimulakan dengan pemilihan speaker

    9 pagi: Seperti biasa, sidang Dewan Rakyat hari ini akan bermula pada pukul 10 pagi.

    Ahli Parlimen akan terlebih dahulu memilih speaker Dewan Rakyat yang baru.

    Johari Abdul daripada PKR merupakan calon kerajaan bagi mengisi jawatan itu manakala PN akan mencalonkan Ahli Parlimen Kangar, Mohd. Radzi Sheikh Ahmad.

    Sebaik sahaja speaker baru dipilih, ahli parlimen kemudiannya akan mengangkat sumpah dan selepas itu akan memilih timbalan speaker.

    Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md. Nor dari BN, dan Ahli Parlimen Lanang dari PH, Alice Lau dijangka menjadi calon kerajaan bagi jawatan timbalan speaker.

    Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan mengemukakan usul agar polis memastikan ahli parlimen tidak dihalang memasuki Parlimen.

    Selepas itu, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang mengenai Kumpulan Wang Disatukan bagi bacaan kali pertama.

    RUU bagi bacaan kali pertama tidak akan melalui perbahasan dan merupakan perkara prosedur.

    Ini diikuti dengan undi percaya terhadap Anwar Ibrahim yang akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

    Rang undang-undang Kumpulan Wang Disatukan dan usul bagi peruntukan lain berkemungkinan besar akan dibahaskan esok.