Category: Semasa

  • Warga emas didakwa lakukan amang seksual

    Warga emas didakwa lakukan amang seksual

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kelindan van sekolah didakwa Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dan mahu menghasilkan bahan pornografi terhadap seorang kanak-kanak perempuan, tiga tahun lalu.

    Goh Heng Hong, 67, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut pertuduhan pertama, warga emas tersebut didakwa dalam persediaan untuk menghasilkan suatu pornografi kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lapan tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam van sekolah di dalam daerah Johor Bahru antara Mac hingga Julai 2019.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan tidak kurang daripada lima sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan yang sama dengan menyentuh paha dan dada kanak-kanak itu di dalam van sekolah dalam daerah Johor Bahru antara Mei hingga Jun 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum itu, Danial memohon kes berkenaan tidak ditawarkan sebarang ikat jamin memandangkan tertuduh masih bekerja sebagai kelindan van sekolah di laluan sama dengan mangsa hendak ke sekolah.

    Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM35,000 bagi setiap pertuduhan.

    Namun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kepada RM1,000 memandangkan dia hanya bekerja sebagai kelindan van sekolah dan tinggal seorang diri kerana belum berumah tangga.

    Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai, menyerahkan pasport antarabangsa serta tidak mengganggu mangsa serta keluarganya.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh mendapatkan khidmat guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan ( YBGK) kerana tertuduh tidak mampu melantik peguam.

    Kes disebut semula pada 25 Januari tahun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

  • Kerajaan perlu buktikan mereka cekap urus ekonomi

    Kerajaan perlu buktikan mereka cekap urus ekonomi

    BAGI mereka yang mengikuti persidangan Parlimen semalam, kita dapat menyaksikan pelbagai sikap wakil rakyat yang berbahas untuk menentukan keabsahan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Walaupun ada kalangan wakil rakyat berada dalam blok kerajaan, masih ada yang terjerit-jerit dan terpekik hingga membuatkan sidang Parlimen menjadi kelam-kabut.

    Daripada pemerhatian Tok Chey, Dewan Rakyat kali ini mempunyai suara pembangkang yang cukup kuat bagi menjadi semak dan imbang dalam pengurusan kerajaan.

    Kerajaan tidak lagi boleh bertindak sesuka hati kerana ramai wakil rakyat berpengalaman yang pernah berada dalam kerajaan kini berada di blok pembangkang.

    Apa yang menarik perhatian Tok Chey ialah ucapan daripada Yang Berhormat Titiwangsa iaitu Johari Ghani yang menunjukkan kepada kita keadaan ekonomi Malaysia ketika ini yang agak membimbangkan.

    Kata Johari, jika tidak diuruskan dengan baik, tidak mustahil negara ini boleh menjadi muflis seperti Sri Lanka dalam masa lima hingga 10 tahun lagi.

    Daripada apa yang Tok Chey dengar, pemimpin BN itu berkata, kerajaan ketika ini perlu mempunyai satu pasukan yang berpengalaman, kompeten dan berintegriti untuk memulihkan ekonomi negara.

    Beliau mengambil contoh pada empat tahun lepas apabila Malaysia sudah ketinggalan ke belakang di mana dari tahun 2018 hingga 2021 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita tidak berkembang iaitu -0.1 peratus.

    Berbanding Indonesia pada tempoh sama, KDNK perkapita mereka berkembang 11.8 peratus, Vietnam berkembang 24.2 peratus, Thailand (9.7 peratus), Filipina (19.3 peratus).

    Katanya, semua negara jiran tetangga mencatatkan perkembangan positif tetapi Malaysia -0.1 peratus walaupun sebelum ini Malaysia jauh ke depan berbanding mereka.

    Menurutnya lagi, untuk membangunkan negara, dua elemen penting iaitu pelaburan dan perbelanjaan perlu diberikan perhatian.

    Dalam konteks Malaysia pertumbuhan pelaburan tidak berkembang dengan baik dan pelaburan menguncup apabila pada 2018 pelaburan hanya 1.4 peratus tetapi perbelanjaan +7.1 peratus, 2019 pelaburan (-2.1%), perbelanjaan 6.6%).

    Pada 2020 pelaburan (-14.5%) perbelanjaan (-2.9 %) dan pada 2021 pelaburan (0.9%), perbelanjaan (2.2%). Antara kesannya ialah jumlah graduan yang dikeluarkan oleh universiti tidak seimbang dengan peluang kerja yang ditawarkan iaitu pada 2018 (299,000 graduan) tetapi peluang kerja hanya 101,000.

    Pada 2019 sebanyak 386,000 graduan, pekerjaan 103,000, pada 2020 graduan 294,000, pekerjaan 73,000 dan pada 2021 sebanyak 286,000 graduan tetapi hanya 69,500 pekerjaan disediakan.

    Katanya, indeks kompetitif global Malaysia juga jatuh dari tangga 25 ke 32 dan jika dibandingkan dengan Indonesia pelaburan terus asing (FDI) mereka amat besar berbanding Malaysia iaitu pada 2018 mereka menerima (US$2.5 bilion) Malaysia (US$7.6 b), pada 2019 Indonesia (US$23.8b) manakala Malaysia (US$7.8b), pada tahun 2020 Indonesia menerima US$18.3b, Malaysia (US$3.5b) dan pada tahun lepas Indonesia menerima US$23.2b tetapi Malaysia hanya US$7.3b.

    Dan paling membimbangkan katanya ketika ini hutang Malaysia sebanyak RM1.2 trilion berbanding sebanyak RM686 bilion pada 2017 iaitu bayaran bayaran faedah hutang sebanyak RM27.9 bilion dan pada tahun ini faedah hutang itu sudah mencecah RM43 bilion.

    Dan fakta-fakta yang dikemukakan itu tidak boleh disangkal kerana kesan yang berlaku terhadap kos sara hidup rakyat ketika ini sudah dapat disaksikan berlarutan dan semakin mendesak dari hari ke hari.

    Oleh itu, memandangkan Johari juga kini menganggotai parti yang berada dalam kerajaan, maka sudah pasti pasukan untuk pemulihan ekonomi itu perlu segera bekerja untuk memulihkan masalah ekonomi dalam negara.

    Mereka tidak lagi boleh bertindak dan mempunyai minda seperti pembangkang dan harus menterjemahkan keupayaan memulihkan ekonomi melalui strategi berkesan supaya negara kita tidak muflis yang kesannya sudah pasti tidak sanggup untuk kita semua lalui.

  • Bomba selamatkan bayi dalam pantang ke PPS

    Bomba selamatkan bayi dalam pantang ke PPS

    SEORANG bayi berusia 40 hari bersama tujuh ahli keluarga antara mangsa banjir yang diselamatkan pihak bomba selepas kediamannya di Kampung Pulau Rusa Hilir di Kuala Terengganu, dinaiki air pada semalam.

    Pihak bomba mengambil masa kira-kira 45 minit bagi memindahkan keluarga terbabit ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Haja, seramai enam anggota bomba yang ditugaskan di situ berdepan cabaran arus deras sepanjang proses menyelamat kerana air sungai naik mendadak di kawasan berkenaan.

    “Sebelum sampai ke rumah tersebut, air sungai sedang naik dan pihak bomba berdepan cabaran arus sungai yang agak deras dan perlu lebih berwaspada dan mengutamakan aspek keselamatan.

    “Ketika pasukan penyelamat sampai di rumah itu, paras air sudah setinggi lebih satu meter.

    “Bagaimanapun, dengan kerjasama diberikan penduduk serta ahli keluarga mangsa banjir, proses pemindahan di situ berjalan lancar,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Dalam pada itu, Rozizah turut mengingatkan semua mangsa banjir untuk sedia berpindah lebih awal bagi mengelak kemungkinan tidak diingini.

    “Ada juga mangsa banjir yang pada mulanya enggan berpindah dengan memberikan alasan mahu berlindung di tingkat atas kediaman, namun mereka kembali menelefon pihak bomba untuk berpindah setelah air semakin naik.

    “Itu bukan langkah terbaik dalam tempoh bencana ini kerana kita bimbang proses menyelamat lebih sukar pada waktu malam.

    “Jadi kita mohon sangat kepada mangsa banjir ini segera berpindah setelah pihak bomba sampai kerana nyawa lebih penting untuk diselamatkan. Apabila air kembali surut bolehlah pulang ke rumah,” katanya.

    Sementara itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sehingga pukul 10 pagi tadi, seramai 38,454 mangsa banjir dari 10,595 keluarga dipindahkan ke 315 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah selepas kediaman mereka dinaiki air.

    Banjir gelombang kedua di Terengganu kali ini disifatkan paling buruk apabila semua daerah iaitu Kemaman, Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun terjejas.

  • ‘’Saya tidak akan campur urusan badan kehakiman’’ – Anwar

    ‘’Saya tidak akan campur urusan badan kehakiman’’ – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaannya tidak akan campur tangan dalam mana-mana kes mahkamah yang sedang berlangsung.

    Beliau turut memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan kebebasan badan kehakiman.

    “Selaku Perdana Menteri, saya tidak akan campur urusan badan kehakiman, dan mereka (hakim) jalankan (tugas) dengan bebas dan telus.

    “Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perlembagaan (Persekutuan) dan rakyat, dan akhirnya kepada Allah SWT,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini, lapor FMT.

    Beliau mendakwa, pelabur antarabangsa keberatan untuk melabur di Malaysia kerana kurang keyakinan terhadap kebebasan dan ketelusan badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan.

    Anwar juga berkata, beliau telah bercakap dengan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki untuk mengingatkan beliau sedang berhadapan dengan Perdana Menteri baharu yang “maksud apa yang beliau katakan” apabila membanteras rasuah.

    “Saya mahu membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa,’’ tegasnya.

    Anwar juga menggesa Ahli Parlimen supaya menjaga tatasusila ketika berbahas di Dewan Rakyat, susulan perang mulut berlaku di Dewan Rakyat semalam.

    Beliau kemudiannya mengecam Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana didakwa memfitnahnya semalam dengan memetik laporan agensi berita Itali yang kurang dikenali yang menyifatkan beliau sebagai “homoseksual”.

    Hamzah bertanya kepada Anwar sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita, Agenzia Nova.

    Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mempersoalkan kredibiliti saluran berita itu, menunjukkan bahawa ia tidak berada dalam senarai saluran berita Reuters di Itali.

    Beliau memberitahu Hamzah supaya tidak “menipu” rakyat, sambil menambah beliau berpendapat ketua pembangkang itu akan memetik portal berita atau agensi yang betul “setaraf” dengan Bernama, BBC atau New York Times.

  • Tiga remaja maut, dua cedera kereta terbabas rempuh pembahagi jalan

    Tiga remaja maut, dua cedera kereta terbabas rempuh pembahagi jalan

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIGA remaja lelaki maut, manakala dua rakan mereka cedera apabila kereta dinaiki dipercayai terbabas di Kilometer 63.5, Jalan Alor Setar-Butterworth di Sungai Petani, awal pagi tadi.

    Nahas kira-kira pukul 2.30 pagi itu mengorbankan pemandunya, Muhammad Aiman Rusdi, 17, dan dua penumpang, Muhammad Izani Mohd. Tuah, 15, serta Mohd. Iman Mohd. Akhir, 17.

    Ketiga-tiga mangsa terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.

    Dua lagi mangsa, Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, manakala Alif Danial Abdul Aziz, 15, pula hanya cedera ringan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki kesemua remaja itu dalam perjalanan dari Bakar Arang menghala ke Padang Temusu sebelum dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi kiri jalan.

    “Kereta jenis Honda itu dipercayai dipandu laju dengan impak pelanggaran yang kuat menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan serta seorang daripada tiga penumpang belakang maut di lokasi kejadian.

    “Mayat ketiga-tiga remaja itu kini telah dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat,” katanya.

    Tambahnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi semua mangsa sudah tidak bersekolah dan kereta yang dipandu adalah milik abang kepada pemandu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Tekong bot nelayan dicari, tidak pulang selepas semalaman di laut

    Tekong bot nelayan dicari, tidak pulang selepas semalaman di laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG tekong bot nelayan kini dicari apabila tidak pulang ke rumahnya setelah keluar ke laut dari Kuala Sanglang di Perlis, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, individu berkenaan dikenali sebagai Zaizali Harun, 61, dipercayai menuju ke Selat Bagan Nyior untuk menangkap ikan.

    “Anak lelaki itu, Rokie Zaizali memaklumkan, bapanya tidak pulang ke rumah selepas keluar ke laut kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

    “Bot lelaki itu dipercayai mengalami kerosakan dan usaha mencari serta menyelamat mangsa kini giat dijalankan dengan turut dibantu agensi sahabat terdiri daripada Pasukan Polis Marin (PPM) serta beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, semua pihak yang turun ke laut diingatkan supaya mengambil langkah keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Pengesan Lokasi Individu (PLB).

    “Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya.

  • Bapa berkali-kali kucup jenazah tiga beradik

    Bapa berkali-kali kucup jenazah tiga beradik

    BAPA kepada tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di Tumpat, tidak dapat mengawal kesedihan apabila menangis di sisi jenazah anak-anaknya.

    Mohd. Nadzir Mohamad, 67, dilihat berkali-kali mengucup tiga anak perempuannya, Nurul Syazwani, 33, Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27, sebaik semua jenazah tiba di Masjid Al Ismaili, Kampung Morak, pukul 11 malam tadi, selepas proses bedah siasat selesai dibuat di Hospital Tumpat.

    Kira-kira 200 yang hadir mengiringi jenazah tiga beradik itu sebaik tiba dengan menaiki tiga van jenazah dan disolatkan di masjid berkenaan.

    Dalam keadaan mengalirkan air mata, Mohd. Nadzir reda dengan pemergian anak ketiga, lima dan enam dari lapan beradik itu dalam keadaan menyayat hati.

    Ketika ditemui, dia berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan tiga beradik itu kecuali layanan yang mesra diberikan oleh Nurul Syazwani dan Noor Fathiah, terhadap dirinya kebelakangan ini.

    “Sebelum ini, ketiga-tiga mereka memang sudah baik budi pekerti tapi kebelakangan ini melayan saya dengan sangat baik terutama Syazwani dan Fathiah yang sering bertanyakan makan minum saya.

    “Jika saya beritahu nak makan apa-apa, mereka segera menyediakannya dan saya tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya apabila berlaku tragedi ini, baru saya sedar akan perubahan itu,” katanya ditemui malam tadi, lapor Harian Metro.

    Jenazah tiga beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak di Tumpat pukul 11.45 malam tadi.

    Mohd. Nadzir berkata, masih terbayang di ingatannya mengenai kejadian yang menimpa tiga anaknya itu pagi semalam dan memberitahu tidak pasti mampu atau tidak untuknya melupakan detik itu.

    “Luluh hati saya melihat tiga anak dalam keadaan bergelimpangan dalam air dan sebaik bekalan elektrik diputuskan, saya segera menerpa ke arah mereka bertiga sambil gagal menahan air mata meratapi pemergian mereka dengan cara itu.

    “Tidak dapat dinafikan naluri sebagai ayah menyebabkan saya sebak mengenangkan takdir ini namun dalam masa yang sama menerimanya dengan reda,” katanya.

    Dalam kejadian 11.45 pagi semalam, tiga beradik itu terkena renjatan elektrik sebaik seorang daripada mereka berpegang pada sebatang tiang di rumah jiran yang mengalirkan elektrik apabila ingin bermain air banjir.

    Tindakan itu menyebabkan ketiga mereka jatuh ke dalam air sebelum tubuh menjadi seakan kejang dan meninggal dunia serta-merta.

  • Kerajaan teruskan pemberian kenaikan gaji tahunan, bantuan khas kewangan

    Kerajaan teruskan pemberian kenaikan gaji tahunan, bantuan khas kewangan

    KERAJAAN Perpaduan bersetuju untuk meneruskan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam gred 11 hingga 56, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah dan sebanyak RM350 kepada satu juta pesara kerajaan.

    “Kerajaan Perpaduan ini amat berterima kasih atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi anggota awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kerajaan memang silih berganti, tetapi penjawat awam kekal setia dan dedikasi demi negara,” kata beliau ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di Dewan Rakyat hari ini.

    Rang Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 itu melibatkan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.

    Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, beberapa inisiatif diumumkan untuk penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran KGT mulai Januari depan dan pemberian BKK Tahun 2023 sebanyak RM700 pada Januari.

    Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) turut menyeru kerajaan baharu di bawah pimpinan Anwar supaya mengekalkan semua inisiatif untuk penjawat awam yang telah diumumkan kerajaan terdahulu.

    Presidennya Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata inisiatif yang telah diumumkan melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Nov lepas, adalah suatu yang telah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam.

    — BERNAMA

  • Hati-hati kemungkinan fenomena Air Pasang Besar ketika hujan di Kedah

    Hati-hati kemungkinan fenomena Air Pasang Besar ketika hujan di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SELAIN berdepan dengan angin kencang dan hujan lebat akibat Monsun Timur Laut, rakyat Kedah dinasihatkan turut berjaga-jaga dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di pesisiran pantai di negeri ini bermula esok hingga 28 Disember depan.

    Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusoff, fenomena air pasang besar itu berkemungkinan akan meningkatkan paras air ke tahap 3.3 meter di sesetengah lokasi dan menyebabkan kawasan rendah di sesetengah kawasan dilanda banjir.

    “Mesyuarat dijalankan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan akan berlaku fenomena air pasang besar di pesisiran pantai di Kedah. Dalam masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga meminta kita berjaga-jaga sekiranya fenomena ini berlaku dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang berikutan Monsun Timur Laut.

    “Oleh itu pemantauan akan sentiasa dijalankan pada setiap masa di pantai-pantai dalam negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Ke Pantai Timur Pejabat APM Kota Setar, malam tadi.

    Sementara itu Pegawai Sekretariat APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain memaklumkan, pihaknya memberi lebih tumpuan kepada empat daerah iaitu Baling, Kulim, Bandar Baharu dan Kuala Muda bagi menghadapi Monsun Timur Laut ketika ini.

    Menurutnya, empat daerah tersebut diberi lebih perhatian bersandarkan kepada data dikeluarkan JPS serta rekod kekerapan banjir dan tahap kerosakan sebelum ini.

    “Baling contohnya sebelum ini telah mengalami 23 kali banjir. Disebabkan itu, daerah tersebut sememangnya diberi tumpuan yang lebih dalam persediaan kali ini.

    “Di kawasan-kawasan ini, APM Kedah telah melakukan lebih persediaan terutamanya dari aspek anggota dan aset-aset logistik. Sekiranya berlaku bencana, maka mereka ini bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah menasihatkan kalangan pengunjung yang hadir ke pantai-pantai terutamanya pada musim cuti sekolah ketika ini agar sentiasa berhati-hati serta peka terhadap keadaan sekeliling.

    Katanya, kalangan pengunjung tidak seharusnya berdegil dengan tetap turun ke laut sekiranya bendera merah telah dinaikkan sebagai petanda kepada situasi tidak selamat untuk turun ke pantai.

    “Kalau bendera merah sudah dinaikkan, kita harap tiada mana-mana pengunjung yang berdegil untuk tetap mandi-manda di pesisir pantai. Kita tak mahu berlaku kejadian tidak diingini apatah lagi dengan kemasukan pengunjung yang ramai ke pantai-pantai terutamanya di Langkawi ketika ini,” katanya.

  • ‘Sultan Muhammad V telefon saya, beri pengampunan tanpa syarat’ – Anwar

    ‘Sultan Muhammad V telefon saya, beri pengampunan tanpa syarat’ – Anwar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa beliau tidak pernah memohon pengampunan pada 2018 daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V, kerana kesalahan yang sudah disabitkan.

    Perdana Menteri menegaskan Sultan Muhammad V berkenan mengambil inisiatif dan menelefon beliau untuk memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kerana baginda mengikut perkembangan perbicaraan kesnya.

    Kata Ahli Parlimen Tambun itu lagi, apa yang diperjuangkan sebelum ini adalah bantahan terhadap penghakiman, yang disifatkan melanggar prinsip hukum.

      “Saya harap Yang Berhormat khususnya dari Kelantan boleh mohon menghadap Sultan Muhammad V. Saya tidak mohon pengampunan kerana saya dihukum, itu adalah jelas.

    “Kita bantah penghakiman yang melanggar prinsip hukum, mengada-adakan termasuk dalam kes pertama membuat pertuduhan peristiwa berlaku di bangunan yang belum ada, dan memaksa orang menjadi saksi atau mengambil siasatan sebelum pun laporan polis dibuat.

    “Saya nak jelaskan di sini ini fakta, ialah (YDPA) menelefon saya dan menyatakan Anwar, saya akan beri pengampunan penuh kerana saya ikuti perkembangan perbicaraan saudara dan saya petik apa yang Baginda guna ialah travesty of the justice atau pelanggaran prinsip keadilan.

    “Oleh demikian saya (Sultan Muhammad V) akan memberi pengampunan penuh segera,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini, lapor AstroAwani.

    Presiden PKR itu berkata, Pas didakwa memainkan persepsi pembebasannya kerana ‘permohonan’ pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Pada April 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan rasuah, dan pada Ogos 2000 beliau dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kerana kesalahan liwat.

    Pada 2004, beliau dibebaskan selepas sabitan liwatnya dibatalkan tetapi pembebasannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Mac 2014.

    Beliau kemudian menerima pengampunan diraja dan dibebaskan pada 2018 sebaik Pakatan Harapan mentadbir negara.