Category: Semasa

  • Pas rela tolak berada dalam Kerajaan Pusat daripada jadi ‘yes man’ DAP

    Pas rela tolak berada dalam Kerajaan Pusat daripada jadi ‘yes man’ DAP

    NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mendedahkan Pas boleh memilih untuk membentuk kerajaan Pusat menerusi kerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Bagaimanapun, ujar beliau, Pas menolak kerjasama itu kerana tidak mahu menjadi ‘yes man’ kepada DAP seperti yang diputuskan secara kolektif dalam Majlis Syura Ulamak.

    “Kita tahu masa kita masuk PRU-14 itu, kita dah ‘ready’ (bersedia) untuk kalah. Jadi, biar kita ‘kalah tidak rebah, menang tidak megah’,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Ceramah Mega PN Best di Jalan Permatang Sungai Dua, Pulau Pinang malam tadi.

    Jelas Idris, berbeza dengan UMNO, kerjasama antara Pas dengan DAP sebelum ini adalah berteraskan ‘smart partnership’ (kerjasama pintar) yang membabitkan isu tertentu sahaja.

    “Ia (satu kerjasama) bersyarat iaitu jangan ganggu prinsip yang Pas mahu bawa dan kita juga tahu dia (DAP) punya dasar dan sebagainya.

    “Namun, apabila sampai ke tahap (prinsip) Pas pun kamu mahu ganggu, kita pilih untuk ‘withdraw’ (tarik diri daripada menjalin kerjasama politik),” ujar beliau.

    Sementara itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai melaungkan keyakinan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dapat mengulangi kemenangan ketika PRU-15 yang lalu di Pulau Pinang ketika merampas Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.

    “Insya-Allah, dengan ‘mood’ yang ada ketika ini, kita mengharapkan agar momentum kemenangan pada PRU-15 itu dapat dikekalkan sehingga hari mengundi PRN pada 12 Ogos ini,” katanya.

  • Suami simbah petrol, bakar isteri akibat perselisihan faham

    Suami simbah petrol, bakar isteri akibat perselisihan faham

    SEORANG suami di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang bertindak di luar batasan selepas tergamak menyimbah petrol dan membakar isterinya di kediaman mereka di kawasan ladang kelapa sawit malam kelmarin.

    Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, mangsa berusia 35 tahun mengalami kecederaan parah akibat melecur kira-kira 27 peratus pada bahagian badan.

    Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada jiran mangsa kira-kira pukul 10.45 malam.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati, pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga sejak 15 tahun lalu itu tinggal di kediaman yang disediakan untuk pekerja ladang di kawasan berkenaan.

    “Kejadian berlaku akibat perselisihan faham keluarga. Menurut anak lelaki mangsa, dia dan adik-adiknya ada terdengar pergaduhan di luar bilik mereka.

    “Anak lelaki mangsa hendak keluar dari bilik tetapi pintu telah ditolak dari luar. Bagaimanapun, anak lelaki pasangan tersebut berjaya keluar dan melihat ibunya berada di belakang rumah dalam keadaan badan terbakar.

    “Suspek cuba padamkan api dengan kain tetapi api menjadi lebih besar. Suspek kemudian bertindak melarikan diri di kawasan ladang kelapa sawit,” katanya kepada pemberita.

    Beliau memberitahu, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap dan polis sedang giat mengesan suami wanita berkenaan.

    Jelasnya, suspek yang berusia 36 tahun turut mempunyai empat rekod jenayah lampau dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

  • Zahid ke mesyuarat Kabinet, perbicaraan rasuah ditangguh lagi

    Zahid ke mesyuarat Kabinet, perbicaraan rasuah ditangguh lagi

    PERBICARAAN rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur ditangguhkan lagi.

    Peguam Datuk Hisyam Teh memberitahu wartawan, Presiden UMNO itu perlu menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

    “Mahkamah membenarkan (perbicaraan) hari ini ditangguhkan dan kita sambung esok,” katanya, lapor FMT.

    Bekas setiausaha Zahid, Rosiah Osman akan meneruskan keterangannya di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

    Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah berhubung pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

    Sebanyak 12 tuduhan membabitkan pecah amanah, lapan bagi rasuah dan baki untuk pengubahan wang.

    Pada Januari dan Februari lalu, Zahid menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara berkaitan tuduhan itu.

    Tetapi, mahkamah diberitahu semalam, pendakwaan masih mempertimbangkan representasi itu.

    Pasukan pembelaan kemudian memanggil saksi untuk memberi keterangan.

  • Pas Terengganu saran SPR sedia bas bantu pengundi luar balik mengundi PRN

    Pas Terengganu saran SPR sedia bas bantu pengundi luar balik mengundi PRN

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu menyediakan perkhidmatan bas bagi membolehkan pengundi luar pulang mengundi semasa pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

    Menurut Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Dr. Alias Razak, ini kerana jumlah bas ekspres yang ada di Terengganu tidak mencukupi untuk menampung keperluan pengundi luar balik mengundi secara serentak.

    “Saya difahamkan lebih 60,000 pengundi Terengganu yang merantau atau berada di luar negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu semalam.

    Pada 27 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan pemberian wang kononnya sedekah, bayaran tiket bas atau memberi ole-ole ketika musim pilihan raya adalah suatu kesalahan dan menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana ia boleh mempengaruhi pengundi untuk memenangkan seseorang calon.

    Sebelum ini, Pas mencadangkan kesemua enam negeri yang terbabit dengan PRN untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar supaya mereka dapat pulang mengundi pada 12 Ogos nanti.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan menyediakan perkhidmatan bas percuma seperti yang dilakukan kerajaan Kelantan, sewajarnya menjadi ikutan negeri lain sekali gus dapat meningkatkan peratus keluar mengundi.

    Mengulas lanjut, Dr. Alias berkata, pihakanya mempunyai cadangan seperti di Kelantan iaitu mahu menyediakan bas untuk mereka yang tiada pengangkutan.

    “Bayangkanlah pada hari itu semua orang nak balik tapi bas ekspres yang ada pun tak cukup.

    “Kalau tak ada bas tambahan mereka nak naik apa? Takkan dari Kuala Lumpur nak jalan kaki, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pun tak siap lagi.

    “Jadi kalau tak ada bantuan mereka yang tiada kenderaan nak balik macam mana? Jadi SPR kena fikir benda-benda macam ini dan sepatutnya SPR sediakan (bas),” ujar beliau.

    Pihaknya sedang mencari jalan lain untuk membantu pengundi luar yang tidak mempunyai kenderaan untuk pulang mengundi pada PRN nanti.

    “Kita sedang cari bagaimana cara boleh bantu. Kita akan bantu ringankan beban mereka nak balik tapi buat masa ini kita harap mereka balik secara sukarela.

    “Tentulah lepas ini kalau kerajaan tak boleh buat (bantu sedia bas), kita harap ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin bantu bawa balik pengundi luar sebagai usaha memastikan demokrasi dapat disuburkan bagi membolehkan pengundi tunaikan tanggungjawab mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Artis antarabangsa biadab: Pas desak Fahmi letak jawatan

    Artis antarabangsa biadab: Pas desak Fahmi letak jawatan

    PAS mendesak supaya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meletakkan jawatan susulan isu kelakuan tidak senonoh membabitkan kumpulan artis antarabangsa The 1975, bulan lalu.

    Tegas Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, kerajaan sepatutnya lebih peka dan membuat tapisan terlebih dahulu sebelum membenarkan artis antarabangsa membuat konsert di negara ini.

    Jelas beliau, perli diketahui banyak kumpulan rock antarabangsa menyokong agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

    “Mereka juga antara lainnya kumpulan Coldplay. Kami minta pihak kerajaan tapis dahulu sebelum meluluskan konsert sebegini dan sekiranya terbabit dengan agenda seperti ini jangan bagi masuk awal-awal lagi.

    “Namun kerajaan hentam kita pula dalam Dewan Rakyat, kata pembangkang ini tidak ada benda lain nak bercakap,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Isu-isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Kota Bharu malam tadi.

    Turut hadir, Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

    Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, isu yang berlaku itu menunjukkan kerajaan yang longgar dalam negara ketika ini.

    “Jadi, Menteri Komunikasi dan Digital wajib letak jawatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan, konsert kumpulan tersebut dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya, Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, pada 21 Julai lalu.

  • Gelombang sokong PN dalam PRN lebih besar berbanding ketika PRU-15

    Gelombang sokong PN dalam PRN lebih besar berbanding ketika PRU-15

    Oleh RIZQI ZABIDI

    GELOMBANG kebangkitan rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dilihat lebih besar berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu.

    Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, gelombang itu jelas terlihat terutamanya melibatkan golongan muda.

    Katanya, berbanding hanya terlihat ketika saat-sata akhir pada PRU15, gelombang tersebut kali ini sudah terzahir sejak dari awal.

    “Pada masa itu (PRU15), kita tak nampak sebab payah nak baca anak muda kerana seramai tujuh juta (pengundi baharu) yang masuk dalam sistem pilihan raya, kita tak tahu ke mana hala tuju mereka.

    “Dekat pilihan raya baru kita lihat gelombang bersama PN. Tetapi keadaan kini berbeza kerana sejak dari awal lagi iaitu sebelum hari penamaan calon, gelombang PN berlaku di semua enam negeri,” katanya.

    Beliau ketika demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Gelombang PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu di Pekan Naka, Padang Terap, Kedah, malam tadi.

    Tambah Tuan Ibrahim, gelombang terbabit sudah tidak dapat dibendung boleh disaksikan di mana-mana saja.

    Malah katanya, gelombang itu akan diterjemahkan pada hari pengundian PRN, 12 Ogos nanti.

    “Sebab itu mereka (BN dan PH) bimbang dan tengok siapa ‘kepala’ (PN) iaitu Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor). Sebab itu dia wirid Sanusi, Sanusi. Tidur malam pun mimpi Sanusi.

    “Sanusi kita lantik Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, dia jadi pengarah atau seperti komander tentera. Dia tahu nak bawa dan hadap macam mana serta strategi yang perlu dibuat,” katanya.

  • Azmin makin disenangi, diterima di penduduk Hulu Kelang

    Azmin makin disenangi, diterima di penduduk Hulu Kelang

    SEBAHAGIAN penduduk Hulu Kelang sudah tidak berapa ambil peduli tentang peranan Datuk Seri Azmin Ali dalam Langkah Sheraton dan kepercayaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor itu semakin meningkat susulan kerja kerasnya di kawasan itu.

    Beberapa penduduk memberitahu, mereka tidak lupa peranan Azmin dalam langkah politik itu yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, tetapi mereka turut mendapati beliau bekerja keras untuk memenangi hati mereka.

    Azmin julung kali mewakili Hulu Kelang pada 1999, sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa – Hulu Kelang terletak di bawah Parlimen Gombak.

    Orang ramai gembira bertemu Azmin Ali di pusat bandar Taman Melawati semasa berkempen malam tadi. – Foto Facebook Azmin Ali

    Halim Said, 51, berkata, Azmin bekerja keras dan kerap menemui penduduk, khasnya golongan miskin di kawasan itu.

    “Beliau bekerja seolah-olah dia masih wakil rakyat di sini.

    “Bahkan selepas PRU, beliau masih bertemu penduduk untuk mengenal pasti sebarang isu dan menghulur sumbangan kepada surau, masjid dan sekolah. Saya tidak terkejut jika beliau menang kali ini,” katanya memetik laporan FMT.

    Katanya, keputusan PH meletakkan Juwairiya Zulkifli yang kurang dikenali penduduk hanya memberi kelebihan kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

    Halim berkata, Anfaal Saari yang juga anak perempuan bekas ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib boleh menjadi pesaing lebih baik buat Azmin kerana lebih dikenali penduduk.

    Hulu Kelang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Azmin yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional dan Juwairiya, bekas ADUN Bukit Melawati.

    Orang ramai gembira bertemu Azmin Ali (tengah) di pusat bandar Taman Melawati dengan ditemani Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua kiri), malam tadi. – Foto Facebook Azmin Ali

    Rokiah Shamsudin, 61, pula mendapati Azmin pantas bertindak terhadap aduan berkaitan isu setempat, menyebabkan popularitinya semakin meningkat dalam kalangan penduduk selepas dilabel ‘pengkhianat’.

    Beliau percaya, Azmin akan mendapat sokongan pengundi kecewa selepas PH bekerjasama dengan bekas seterunya, Barisan Nasional (BN).

    Hamidah Majid yang berusia 40-an berkata, Langkah Sheraton dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini menjadi sejarah dan penduduk mahu wakil rakyat mudah didekati serta aktif turun padang.

    “Bagaimana kami nak undi individu kelihatan seperti orang asing di sini,” soalnya merujuk Juwairiya.

  • Harrison dah lama bersama kita, Bersatu tidak curi ahli UMNO-Ahmad Faizal

    Harrison dah lama bersama kita, Bersatu tidak curi ahli UMNO-Ahmad Faizal

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Faizal Azumu berkata, tidak timbul isu ‘mencuri’ ahli UMNO untuk menjadi calon Perikatan Nasional (PN) kerana Datuk Harrison Hassan sudah lama bersama mereka sebelum pilihan raya negeri (PRN).

    “Beliau sebenarnya dah lama bersama kita, tapi masih pegang jawatan (Timbalan Ketua UMNO Sungai Buloh),” katanya kepada FMT selepas ceramah di DUN Hulu Kelang malam tadi.

    Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, Harrison antara dua bekas pemimpin UMNO dicalonkan PN bagi PRN Selangor.

    Beliau memberitahu, seorang lagi bekas pemimpin itu ialah Nurul Syazwani Noh yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.

    Harrison berdepan saingan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN), Jahaya Ibrahim di DUN Jeram pada 12 Ogos ini.

    Pada 27 Julai lalu, Presiden UMNO, Datu Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keahlian Harrison terlucut secara automatik selepas beliau diumumkan sebagai calon PN.

    Faizal berkata, tiada istilah calon luar seperti didakwa sesetengah pihak kerana Harrison mewakili PN memulakan gerak kerja di Jeram sebelum PRN.

    “Pengaruh beliau lebih di kawasannya di Sungai Buloh, namun di Jeram juga beliau telah mulakan gerak kerja dan apabila kita nampak respons penduduk begitu baik, jadi jawatankuasa pemilihan (PN) setuju letakkan beliau di situ,” katanya.

  • Calon Gerakan: PN tidak tutup premis judi jika menang PRN

    Calon Gerakan: PN tidak tutup premis judi jika menang PRN

    PEMANGKU Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Negeri Sembilan, Tang Jay Son berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak akan melarang premis perjudian dibuka di negeri itu sekiranya PN mengambil alih pentadbiran.

    Beliau yang bertanding kerusi majoriti Cina di Dewan Undangan Negeri (Chuah) berkata, tidak seperti Kedah, Negeri Sembilan mempunyai penduduk bukan Islam yang besar dan oleh itu dasar PN untuk kedua-dua negeri akan berbeza.

    “Penduduk muslim di Kedah melebihi 80 peratus, jadi kerajaan tempatan mengambil majoriti etnik sebagai pertimbangan utama dalam menggubal dasar negeri.

    “Tetapi di Chuah, pengundi Cina melebihi 57 peratus. Dalam keadaan berbilang kaum, dasar mesti mengambil kira kepelbagaian dan saling menghormati.

    “Kedah dan Terengganu mempunyai penduduk majoriti Islam, jadi dasar kerajaan tempatan akan memihak kepada kumpulan etnik majoriti, tetapi di sini (Chuah) berbeza,” katanya, seperti dilapor The Star.

    Mengikut angka Banci 2020, 36.7 peratus penduduk Negeri Sembilan terdiri daripada bukan Islam.

    Tang berkata, peranan Gerakan dalam PN adalah untuk menyediakan semak dan imbang serta mengakui terdapat pengundi di kawasannya yang prihatin dengan cita-cita teokratik Pas.

    “Jika ada dasar yang kelihatan tidak menguntungkan kaum lain, kami akan menggesa sekutu kami untuk memperbetulkannya dan memastikan pendekatan yang seimbang, dan kami akan mengingatkan Pas untuk mentadbir secara adil,” kata Tang yang juga seorang peguam.

    Tang, 49, berdepan pencabar Yew Boon Lye dari Pakatan Harapan, 52, yang merupakan bekas ahli Majlis Perbandaran Klang.

    Sementara itu, calon PN Rantau, Rozmal Malakan berkata, terdapat persepsi bahawa gabungannya hanya mewakili orang Melayu dan ini perlu diubah.

    Beliau berkata, satu-satunya cara untuk berbuat demikian ialah melibatkan orang ramai secara aktif.

    “Mungkin bagi mereka yang tidak menerima kami dahulu, kerana kami tidak turun padang untuk berhubung secara langsung.

    “Kita dimomokkan dahulu, dan orang India dan Cina tidak dapat menerima kami.

    “Dan apabila itu berlaku, tumpuan diberikan kepada pengundi Melayu sebaliknya. Ini tidak betul, dan kita perlu pergi dan tunjukkan diri kita.

    “Saya harap calon-calon lain dari PN akan keluar bertemu rakyat. Mereka sedang menunggu,” katanya, menurut The Star.

    Rozmal, 58, merupakan bekas tokoh korporat dan kini merupakan Timbalan Ketua Pas Bahagian Rembau.

    Beliau berdepan penyandang empat penggal Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Timbalan Presiden UMNO.

  • Hapus cukai pintu, lesen perniagaan peniaga kecil, caj parkir antara manifesto PN Selangor – Azmin

    Hapus cukai pintu, lesen perniagaan peniaga kecil, caj parkir antara manifesto PN Selangor – Azmin

    ISU kebajikan rakyat Selangor menjadi keutamaan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Pengerusi PN Selangor itu berkata, antara tawaran yang akan dibuat kepada warga Selangor selepas PRN nanti adalah antaranya langkah untuk menghapuskan cukai pintu dan lesen perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil yang sebelum ini pernah dilaksanakan ketika di bawah pentadbirannya semasa menjadi Menteri Besar Selangor.

    “Hari ini kita menang, Insya-Allah cukai pintu dihapuskan, lesen perniagaan hapus… tapak-tapak perniagaan pasar malam, pasar tani, pasar minggu, peniaga-peniaga tidak perlu bayar.

    “Dan untuk Selangor utara, ada lima daerah, Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor… tidak perlu lagi bayar parking di semua tempat letak kereta,” kata Azmin semasa ceramah berkelompok di pusat bandar Taman Melawati malam tadi.

    Menurut Azmin, tawaran tersebut sudah dibincang dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju untuk memasukkan ke dalam tawaran manifesto yang akan dibentang pada Jumaat ini.

    Jelasnya, banyak rungutan diterima warga Selangor terhadap kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) selama lima tahun memerintah negeri tersebut yang tidak prihatin dengan nasib peniaga kecil, malah terpaksa berdepan saman parking yang banyak.

    “Zaman saya dulu, kita hapuskan cukai pintu… Betul? Saya hapuskan lesen perniagaan, peniaga-peniaga tak payah (bayar), sekarang? saman.

    “Saya pergi Tanjong Karang baru-baru ini, penduduk ‘complaint’ (mengadu) lambat lima minit kena saman,” katanya lagi.

    Selain itu, Azmin juga berjanji khairat kematian sebanyak RM2,500 akan diberikan semula penduduk Selangor selepas ini.

    “Hari ini kita menang, kalau ada ahli keluarga meninggal, saya akan beri semula RM2,500,” katanya lagi, lapor SatuBerita.

    Tidak ketinggalan, Azmin juga berkata, air percuma juga akan diberikan kepada penduduk Selangor seperti yang pernah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

    Untuk rekod, PN Selangor akan membentangkan ke semua tawaran manifesto mereka pada Jumaat ini.